Memahami Hakikat Syirik dan Bahagian-bahagiannya
Kita wajib mengenali hakikat syirik. Apabila kita menyatakan bahawa kita telah memahami tauhid, ibadah, erti ilah, serta maksud la ilaha illallah, itu merupakan sisi penetapan (ithbat), iaitu perkara yang wajib kita akui, sahkan, dan benarkan. Itu adalah dalam perkara yang positif, iaitu yang kita kena lakukan.
Namun begitu, di sisi lain terdapat perkara yang wajib kita nafikan, tolak, dan berlepas diri (bara’ah) daripadanya, iaitu syirik yang menjadi lawan kepada tauhid. Oleh itu, kita perlu mengenali apakah itu syirik menurut takrifan syarak.
Secara ringkasnya, syirik ialah antonim bagi tauhid; jika tauhid bermaksud mengesakan Allah, maka syirik bermaksud menyekutukan Allah. Syirik berlaku apabila seseorang menyekutukan Allah pada perkara yang menjadi kekhususan bagi-Nya, iaitu perkara yang sepatutnya kita esakan Allah padanya, tetapi kita palingkan hak Allah Taala tersebut kepada selain-Nya.
Apakah hak mutlak Allah Taala? Hak tersebut ialah ibadah kita yang wajib dipersembahkan hanya kepada-Nya semata-mata. Al-Qur’an telah menjelaskan takrifan syirik dalam Surah al-Baqarah, ayat 22:
الَّذي جَعَلَ لَكُمُ الأَرضَ فِرٰشًا وَالسَّمآءَ بِنآءً وَأَنزَلَ مِنَ السَّمآءِ مآءً فَأَخرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرٰتِ رِزقًا لَّكُم ۖ فَلا تَجعَلوا لِلهِ أَندادًا وَأَنتُم تَعلَمونَ
“Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkan-Nya air hujan dari langit, lalu dikeluarkan-Nya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).”
Allah SWT turut berfirman di dalam Surah al-Baqarah, ayat 165:
وَمِنَ النّاسِ مَن يَتَّخِذُ مِن دونِ اللَّهِ أَندادًا يُحِبّونَهُم كَحُبِّ اللَّهِ
“(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah…”
Maksud ayat-ayat ini ialah larangan keras daripada mengadakan bagi Allah sebarang tandingan (andad), sekutu, atau sesuatu yang dianggap setaraf dengan-Nya.
Dalam Surah asy-Syu’ara’, ayat 97–98, Allah merakamkan pengakuan penyesalan ahli neraka:
تَٱللَّهِ إِن كُنَّا لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ (٩٧) إِذۡ نُسَوِّيكُم بِرَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (٩٨)
“Demi Allah, sesungguhnya kami dahulu benar-benar dalam kesesatan yang nyata, ketika kami menyamakan kamu dengan Tuhan sekalian alam.”
Kesesatan ini dinamakan sebagai taswiyah, iaitu perbuatan menyamaratakan taraf makhluk dengan Tuhan semesta alam. Sedangkan tidak mungkin ada makhluk yang sama setaraf dengan sifat kesempurnaan Allah.
Al-Qur’an juga menggunakan perkataan seperti as-sami (tandingan atau yang serupa) sebagaimana dalam firman-Nya di dalam Surah Maryam, ayat 65,
رَبُّ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما بَينَهُما فَاعبُدهُ وَاصطَبِر لِعِبٰدَتِهِ ۚ هَل تَعلَمُ لَهُ سَمِيًّا
“Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; oleh itu, sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadat kepadaNya; adakah engkau mengetahui sesiapa pun yang senama dan sebanding denganNya?”
Dan di dalam ayat yang kita sangat biasa iaitu Surah Ikhlas, ayat 4,
وَلَم يَكُن لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ
dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia”.
Maka, hakikat syirik ialah mengangkat dan menjadikan sesuatu selain Allah setaraf, setanding, atau sebanding dengan Allah Taala. Ia merupakan perbuatan menyamakan makhluk dengan kedudukan Allah sebagai satu-satunya Zat Pencipta yang berhak disembah secara mutlak serta memiliki segala sifat kesempurnaan (kamal) yang tiada tolok bandingnya.
Dua Bentuk Penyamarataan (Taswiyah)
Para ulama membahagikan perbuatan menyamakan ini kepada dua bentuk:
-
- Menyamakan kedudukan Allah dengan makhluk (merendahkan darjat Allah): Bentuk ini amat jarang berlaku dalam kalangan manusia.
- Menyamakan makhluk dengan kedudukan Allah (meninggikan kedudukan makhluk). Inilah bentuk yang paling banyak menimpa manusia, iaitu menjadikan makhluk sebagai sekutu bagi Allah dalam hal ketuhanan dan peribadatan (uluhiyyah).
Antara bentuk kesesatan ini ialah dakwaan bahawa sembahan mereka merupakan ‘anak Tuhan’. Allah SWT menolak dakwaan ini dalam Surah al-Mu’minun, ayat 91:
مَا اتَّخَذَ اللهُ مِن وَلَدٍ وَما كانَ مَعَهُ مِن إِلٰهٍَ
“Allah sekali-kali tidak mempunyai anak, dan sekali-kali tidak ada ilah (yang lain) berserta-Nya…”
Sebahagian manusia pula menganggap wujudnya perantara yang mempunyai pengaruh mutlak di sisi Tuhan, di mana jika mereka memohon, permohonan tersebut kononnya tidak boleh ditolak oleh Allah. Fahaman ini menafikan keesaan Allah dalam memperkenankan doa.
Hakikat syirik terletak pada tindakan mengangkat makhluk ke darjat ilah (sesembahan). Jarang sekali manusia mendakwa makhluk sebagai al-Khaliq (Pencipta alam). Sebagai contoh, dalam doktrin Triniti, gelaran anak dijadikan objek sembahan, sedangkan status pencipta diletakkan kepada Tuhan Bapa. Pokok persoalannya kembali kepada perbuatan mengalihkan sembahan.
Apabila mereka menyembah selain Allah, mereka secara tidak langsung mengangkat sembahan tersebut ke darjat Rabb dengan konotasi penjaga atau pelindung. Sikap ini dicela oleh Allah SWT di dalam Surah Furqan, ayat 55:
وَيَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ ما لا يَنفَعُهُم وَلا يَضُرُّهُم ۗ وَكانَ الكافِرُ عَلىٰ رَبِّهِ ظَهيرًا
Dan mereka menyembah selain Allah apa yang tidak memberi manfaat kepada mereka dan tidak (pula) memberi mudharat kepada mereka. Adalah orang-orang kafir itu penolong (syaitan untuk berbuat durhaka) terhadap Tuhannya.
Yang disembah itu sepatutnya yang boleh memberi manfaat, bukan? Atau kalau tidak boleh memberi manfaat, kita sembah sebab kita takut kalau tak sembah dia, dia beri mudharat pula kepada kita. Tapi ini tidak berlaku pun. Secara logiknya, pihak yang disembah sepatutnya melindungi penyembahnya. Kepada yang disembah itulah kita minta perlindungan kalau kita mendapat bahaya, kepadanyalah kita mengadu, kita minta tolong kalau tidak cukup makan dan tidak cukup duit, bukan? Namun sebaliknya, manusia yang membuat patung berhala, memandikannya, melumurkannya dengan wangian, dan memahat anggota tubuhnya. Perbuatan ini jelas merupakan suatu kebodohan.
Sesembahan orang musyrikin itu mereka anggap sebagai ilah dan rabb kecil (rabbun saghir) dan bukannya sebagai Pencipta alam, sebaliknya sekadar penjaga hal-hal tertentu. Ini dapat dilihat pada konsep dewa dalam pelbagai peradaban, seperti Dewa Tanah atau Dewa Api. Kepercayaan ini turut meresap ke dalam budaya tradisional masyarakat Melayu melalui kepercayaan kepada mambang (seperti Mambang Kuning, Mambang Hitam, Mambang Api, dan Mambang Tanah) yang dianggap menguasai kawasan-kawasan tertentu. Fahaman khurafat ini wajib dibasmi dengan penerapan akidah tauhid yang sahih.
Penolakan Konsep Perantara Mutlak dan Penebusan Dosa
Kesesatan akidah ini turut menyusup ke dalam ajaran agama lain yang menyeleweng, seperti doktrin bahawa Nabi Isa (Jesus) dijadikan sebagai penebus dosa dan perantara mutlak antara manusia dengan Tuhan. Fahaman ini bercanggah dengan prinsip tauhid. Dalam Islam, Nabi Isa AS ialah seorang hamba dan rasul yang mulia, bukan Tuhan atau anak Tuhan. Baginda diutuskan dengan risalah tauhid untuk mengajak manusia menyembah Allah semata-mata.
Islam menolak konsep penebusan dosa oleh pihak lain. Setiap individu memikul tanggungjawab amalan masing-masing di hadapan Allah dan boleh bertaubat terus kepada-Nya tanpa sebarang perantara. Tanggapan bahawa keampunan hanya dicapai melalui persetujuan entiti tertentu adalah tertolak.
Allah SWT berfirman dalam Surah an-Nisa’, ayat 64:
وَلَو أَنَّهُم إِذ ظَّلَموا أَنفُسَهُم جاءوكَ فَاستَغفَرُوا اللهَ وَاستَغفَرَ لَهُمُ الرَّسولُ لَوَجَدُوا اللهَ تَوّابًا رَّحيمًا
“Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”
Ayat ini membuktikan bahawa para nabi tidak memiliki kuasa mengampunkan dosa. Manusia tetap wajib memohon ampun terus kepada Allah, manakala permohonan Rasulullah SAW hanyalah sebagai sokongan atau syafaat dengan izin-Nya.
Bahkan, keizinan untuk memohon keampunan ini mempunyai batasan syarak. Allah SWT melarang Nabi SAW daripada memohonkan keampunan bagi orang yang mati dalam kekufuran, sebagaimana firman-Nya dalam Surah at-Taubah, ayat 113:
ما كان للنبي والذين آمنوا أن يستغفروا للمشركين ولو كانوا أولي قربى بعد ما تبين لهم أنهم أصحاب الجحيم
“Tidaklah patut bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memohonkan ampun bagi orang-orang musyrik, walaupun mereka adalah kaum kerabat, setelah jelas bagi mereka bahawa orang-orang itu adalah penghuni neraka.”
Sekalipun terhadap bonda baginda sendiri, Nabi SAW tidak diizinkan untuk memohon ampun kerana beliau wafat dalam era jahiliah sebelum Islam, sebagaimana yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim (No. 976):
زَارَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبْرَ أُمِّهِ، فَبَكَى وَأَبْكَى مَنْ حَوْلَهُ، فَقَالَ: اسْتَأْذَنْتُ رَبِّي فِي أَنْ أَسْتَغْفِرَ لَهَا فَلَمْ يُؤْذَنْ لِي، وَاسْتَأْذَنْتُهُ فِي أَنْ أَزُورَ قَبْرَهَا فَأُذِنَ لِي، فَزُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ
“Nabi SAW telah menziarahi kubur ibunya, lalu Baginda menangis dan menyebabkan orang-orang di sekelilingnya turut menangis. Kemudian Baginda bersabda: ‘Aku memohon izin daripada Tuhanku untuk memohon ampun baginya, tetapi tidak diizinkan untukku. Dan aku memohon izin untuk menziarahi kuburnya, lalu diizinkan untukku. Maka ziarahilah kubur, kerana sesungguhnya ziarah kubur itu dapat mengingatkan (kamu) kepada kematian.'”
Begitu juga dalam urusan memberi hidayah dan menentukan nasib manusia, hak mutlak kekal pada sisi Allah. Ia juga bukan di tangan Rasulullah. Begitulah ketika Nabi SAW berhadapan dengan tentangan hebat musuh musyrikin Mekah, baginda minta musuh-musuh baginda itu dimusnahkan dan tidak diampunkan dosa-dosa mereka. Ini seperti disebut di dalam hadis,
عَنْ سَالِمِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، عَنْ أَبِيهِ، أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنْ الرُّكُوعِ فِي الرَّكْعَةِ الْآخِرَةِ مِنْ الْفَجْرِ يَقُولُ: «اللَّهُمَّ الْعَنْ فُلَانًا وَفُلَانًا وَفُلَانًا» بَعْدَ مَا يَقُولُ: «سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ»، فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: ﴿لَيْسَ لَكَ مِنَ الْأَمْرِ شَيْءٌ أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ أَوْ يُعَذِّبَهُمْ فَإِنَّهُمْ ظَالِمُونَ﴾ (رواه البخاري)
Daripada Salim bin Abdullah, daripada ayahnya (Abdullah bin Umar RA), bahawa beliau mendengar Rasulullah ﷺ apabila mengangkat kepalanya daripada rukuk pada rakaat terakhir solat Subuh, baginda berdoa: “Ya Allah, laknatlah si fulan, si fulan, dan si fulan” selepas baginda mengucapkan: “Sami’allahu liman hamidah, Rabbana wa lakal hamd”, lalu Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan firman-Nya: {Bukanlah urusanmu sedikit pun (wahai Muhammad) sama ada Allah menerima taubat mereka atau mengazab mereka, kerana sesungguhnya mereka orang-orang yang zalim}Ali Imran:128.
(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 4559)
Dalam sebahagian riwayat yang lain, baginda mendoakan kebinasaan ke atas tokoh-tokoh pembesar musyrikin Mekah, antaranya, Abu Sufyan bin Harb, Safwan bin Umayyah, Suhail bin Amr dan al-Harith bin Hisham.
Allah tidak setuju dengan doa Nabi Muhammad ini kerana Allah Maha Mengetahui bahawa sebahagian daripada tokoh-tokoh yang didoakan itu akhirnya akan bertaubat dan memeluk Islam. Urusan beri hidayah atau menentukan hukuman bukan di tangan baginda. Allah menegaskan dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 128:
لَيْسَ لَكَ مِنَ الْأَمْرِ شَيْءٌ أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ أَوْ يُعَذِّبَهُمْ فَإِنَّهُمْ ظَالِمُونَ
“Engkau (wahai Muhammad) tidak mempunyai sebarang hak dalam urusan (penentuan) itu, sama ada Allah menerima taubat mereka atau mengazabkan mereka, kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim.”
Memang hidayah bukan di tangan manusia, walaupun di tangan Rasulullah. Kisah kewafatan bapa saudara baginda, Abu Talib, menjadi bukti nyata bahawa hidayah milik Allah semata-mata, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (No. 1360, 4772) dan Muslim (No. 24):
عَنْ سَعِيدِ بْنِ الْمُسَيَّبِ، عَنْ أَبِيهِ، أَنَّهُ أَخْبَرَهُ: أَنَّهُ لَمَّا حَضَرَتْ أَبَا طَالِبٍ الْوَفَاةُ، جَاءَهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، فَوَجَدَ عِنْدَهُ أَبَا جَهْلِ بْنَ هِشَامٍ، وَعَبْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي أُمَيَّةَ بْنِ الْمُغِيرَةِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم لأَبِي طَالِبٍ: «يَا عَمِّ، قُلْ: لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، كَلِمَةً أَشْهَدُ لَكَ بِهَا عِنْدَ اللَّهِ» فَقَالَ أَبُو جَهْلٍ وَعَبْدُ اللَّهِ بْنُ أَبِي أُمَيَّةَ: يَا أَبَا طَالِبٍ، أَتَرْغَبُ عَنْ مِلَّةِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ؟ فَلَمْ يَزَلْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَعْرِضُهَا عَلَيْهِ، وَيُعِيدَانِ لَهُ تِلْكَ الْمَقَالَةَ، حَتَّى قَالَ أَبُو طَالِبٍ آخِرَ مَا كَلَّمَهُمْ: هُوَ عَلَى مِلَّةِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ، وَأَبَى أَنْ يَقُولَ: لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: «أَمَا وَاللَّهِ لأَسْتَغْفِرَنَّ لَكَ مَا لَمْ أُنْهَ عَنْكَ» فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: {مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى} [التوبة: 113]، وَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى فِي أَبِي طَالِبٍ فَقَالَ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: {إِنَّكَ لاَ تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ} [القصص: 56].
“Daripada Sa’id bin al-Musayyab, daripada bapanya, bahawa bapanya mengkhabarkan kepadanya: Ketika saat kewafatan Abu Talib tiba, Rasulullah SAW datang menemuinya, lalu mendapati di sisinya ada Abu Jahal bin Hisyam dan Abdullah bin Abi Umayyah bin al-Mughirah. Maka Rasulullah SAW berkata kepada Abu Talib: ‘Wahai bapa saudaraku, ucapkanlah: Lā ilāha illallāh (tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah), satu kalimah yang akan aku jadikan saksi (hujah pembelaan) untukmu di sisi Allah kelak.’ Lalu Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah mencelah: ‘Wahai Abu Talib, adakah engkau membenci agama Abdul Muttalib?’ Rasulullah SAW terus-menerus menawarkan kalimah tersebut kepadanya, manakala mereka berdua juga terus mengulang-ulang kata-kata hasutan tersebut, sehinggalah perkataan terakhir yang diucapkan oleh Abu Talib kepada mereka adalah bahawa dia kekal di atas agama Abdul Muttalib, dan dia enggan mengucapkan Lā ilāha illallāh. Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Demi Allah, aku pasti akan memohon ampun untukmu selagi mana aku tidak dilarang daripada berbuat demikian.’ Lantas Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan firman-Nya: {Tidaklah patut bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memohon ampun bagi orang-orang musyrik, walaupun mereka adalah kaum kerabat…} [Surah at-Taubah: 113], dan Allah Taala turut menurunkan ayat berkenaan Abu Talib seraya berfirman kepada Rasulullah SAW: {Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak mampu memberi petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki…} [Surah al-Qasas: 56].”
Lihatlah Rasulullah hendak beri hidayah kepada orang yang baginda paling sayang sekali pun, tidak boleh.
Hubungan Terus Antara Hamba dan Pencipta dalam Ibadah
Keistimewaan hubungan ibadah antara manusia dengan Allah dapat dilihat dalam konteks penurunan wahyu. Apabila para sahabat bertanya tentang urusan hukum-hakam, kebiasaannya Allah memerintahkan Nabi SAW untuk memberikan jawapan dengan lafaz “Qul” (Katakanlah), seperti firman-Nya mengenai haid di dalam Surah al-Baqarah, ayat 222:
وَيَسأَلونَكَ عَنِ المَحيضِ ۖ قُل هُوَ أَذًى فَاعتَزِلُوا النِّساءَ فِي المَحيضِ ۖ وَلا تَقرَبوهُنَّ حَتّىٰ يَطهُرنَ ۖ فَإِذا تَطَهَّرنَ فَأتوهُنَّ مِن حَيثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوّٰبينَ وَيُحِبُّ المُتَطَهِّرينَ
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.
Namun, apabila persoalan menyentuh tentang kedekatan Allah dalam permohonan doa, Allah SWT menjawab persoalan tersebut secara langsung tanpa menggunakan perantara perkataan “Qul”, sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Baqarah, ayat 186:
وَإِذا سَأَلَكَ عِبادي عَنّي فَإِنّي قَريبٌ ۖ أُجيبُ دَعوَةَ الدّاعِ إِذا دَعانِ
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.
Kenapa Allah tidak suruh Nabi yang jawab sedangkan mereka bertanya kepada baginda? Kerana urusan ibadah dan doa ini adalah hak Allah. Hal ini menunjukkan bahawa pintu ibadah dan doa adalah hak mutlak Allah yang terpelihara daripada sebarang bentuk campur tangan atau perantaraan makhluk.
Sadd az-Zari’ah: Menutup Segala Pintu Syirik
Syarak amat menitikberatkan pemeliharaan tauhid dengan menutup segala pintu yang boleh menjerumuskan manusia ke kancah kesyirikan (dengan menggunakan kaedah sadd az-zari’ah). Oleh sebab itu, beberapa perkara yang pernah dibenarkan dalam syariat terdahulu seperti perbuatan sujud sebagai tanda penghormatan (tahiyyah) sebagaimana sujud malaikat kepada Nabi Adam AS atau sujud keluarga Nabi Yusuf AS, telah dimansuhkan dan diharamkan sama sekali dalam syariat Nabi Muhammad SAW.
Hal ini dijelaskan dalam hadis riwayat Abdullah bin Abi Aufa RA (Sunan Ibn Majah, No. 1853; Musnad Ahmad):
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي أَوْفَى قَالَ: لَمَّا قَدِمَ مُعَاذٌ مِنَ الشَّامِ سَجَدَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «مَا هَذَا يَا مُعَاذُ؟» قَالَ: أَتَيْتُ الشَّامَ فَوَجَدْتُهُمْ يَسْجُدُونَ لِبَطَارِقَتِهِمْ وَجَثَالِقَتِهِمْ، فَوَدِدْتُ فِي نَفْسِي أَنْ نَفْعَلَ ذَلِكَ بِكَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «فَلاَ تَفْعَلُوا، فَإِنِّي لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِغَيْرِ اللَّهِ، لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا، وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لاَ تُؤَدِّي الْمَرْأَةُ حَقَّ رَبِّهَا حَتَّى تُؤَدِّيَ حَقَّ زَوْجِهَا، وَلَوْ سَأَلَهَا نَفْسَهَا وَهِيَ عَلَى قَتَبٍ لَمْ تَمْنَعْهُ»
“Daripada Abdullah bin Abi Aufa, beliau berkata: Tatkala Mu’adz baru pulang dari negeri Syam, beliau sujud kepada Nabi SAW. Lalu baginda bertanya: ‘Apakah ini, wahai Mu’adz?’ Mu’adz menjawab: ‘Aku mendatangi Syam dan mendapati mereka sujud kepada para panglima tentera (batariqah) serta para paderi besar (jasaliqah) mereka. Maka terbitlah keinginan di dalam diriku agar kami melakukan perkara yang sama terhadapmu.’ Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Janganlah kamu melakukannya! Kerana sesungguhnya sekiranya aku dibenarkan memerintahkan seseorang untuk sujud kepada selain Allah, nescaya aku akan perintahkan seorang wanita untuk sujud kepada suaminya. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, seorang wanita tidak dikira menunaikan hak Tuhannya sehinggalah dia menunaikan hak suaminya; bahkan sekiranya suaminya meminta dirinya (mengajak bersama) sedangkan dia berada di atas pelana unta (qatab), dia tidak boleh menolaknya.'”
Di dalam Islam iaitu syariat Nabi Muhammad, sujud sebagai tanda hormat pun tidak dibenarkan, apatah lagi kalau sujud untuk sembah. Ini adalah untuk menjaga supaya tidak jadi syirik. Segala pintu yang boleh membawa kepada syirik ditutup.
Pembahagian dan Peringkat Syirik
A. Dari sudut hukum, syirik dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu Syirik Akbar (Besar) dan Syirik Asghar (Kecil). Perlu ditekankan bahawa kedua-duanya tergolong dalam kategori dosa besar; perkataan “kecil” tidak bermakna dosanya kecil, sebaliknya ia merujuk kepada perbezaan implikasi hukumnya.
1. Syirik Akbar
Syirik akbar ialah pegangan (i’tiqad), perbuatan, atau ucapan yang membatalkan asas tauhid secara total dan menafikan kalimah la ilaha illallah. Ia membatalkan keislaman seseorang dan menyebabkannya terkeluar daripada Islam (ar-riddah).
Allah SWT menegaskan berkenaan syirik ini dalam Surah an-Nisa’, ayat 48:
إِنَّ اللهَ لا يَغفِرُ أَن يُشرَكَ بِهِ وَيَغفِرُ ما دونَ ذٰلِكَ لِمَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُشرِك بِاللهِ فَقَدِ افتَرىٰ إِثمًا عَظيمًا
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.
Dan diulang dalam Surah an-Nisa’, ayat 116:
إِنَّ اللَّهَ لا يَغفِرُ أَن يُشرَكَ بِهِ وَيَغفِرُ ما دونَ ذٰلِكَ لِمَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُشرِك بِاللهِ فَقَد ضَلَّ ضَلٰلًا بَعيدًا
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.
Kesan utama syirik akbar:
1. Menghapuskan seluruh amalan: Amalan kebajikan pelakunya musnah dan tidak bernilai, sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Furqan, ayat 23:
وَقَدِمنا إِلىٰ ما عَمِلوا مِن عَمَلٍ فَجَعَلنٰهُ هَباءً مَّنثورًا
Dan kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan.
Mereka akan kekal di dalam neraka jika tidak bertaubat: Sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 217:
وَمَن يَرتَدِد مِنكُم عَن دينِهِ فَيَمُت وَهُوَ كافِرٌ فَأُولٰئِكَ حَبِطَت أَعمٰلُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۖ وَأُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ
dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) daripada ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).
2. Syirik Asghar
Syirik asghar ialah setiap amalan, ucapan, atau kepercayaan yang dinamakan oleh syarak sebagai syirik atau menjadi perantara kepada syirik akbar, namun tidak sampai meruntuhkan asas tauhid secara keseluruhan dan tidak mengeluarkan pelakunya daripada agama Islam.
Ia dalam perkara yang bukan melibatkan esensi Tauhid tetapi ia perkara yang berkaitan dengan Tauhid. Akan tetapi ia bukan ibadah secara langsung tetapi ia boleh membawa kepada Syirik Akbar. Ia adalah perkara-perkara yang berbentuk kadang-kadang dalam bentuk kepercayaan, kadang-kadang dalam bentuk ucapan, yang kita tak maksudkan dengan syirik akan tetapi ucapan itu sendiri memberikan sangkaan seolah-olah menyamakan kedudukan Tuhan dengan makhluk.
Kedudukan pelakunya: Pelakunya kekal sebagai seorang Muslim, amalannya tetap ditimbang, dan dosanya berada di bawah kehendak pengampunan Allah.
Bahayanya: Dosa ini jauh lebih berbahaya daripada dosa-dosa besar yang lain, dan amalan syirik asghar yang berterusan boleh mengheret seseorang kepada syirik akbar.
B. Pengkategorian Syirik Melalui Dimensi Lain
Mengikut Bahagian Tauhid: Sebagaimana tauhid terbahagi kepada Rububiyyah, Uluhiyyah, dan Asma’ wa Sifat, maka syirik juga boleh berlaku dalam ketiga-tiga aspek ini, sama ada pada tahap akbar mahupun asghar. Oleh itu,
Ada syirik akbar rububiyyah dan ada syirik asghar rububiyyah.
Ada syirik akbar uluhiyyah dan ada syirik asghar uluhiyyah.
Ada syirik akbar asma’ wa sifat dan ada syirik asma’ wa sifat.
1. Syirik dalam Rububiyyah. Berkait dengan penciptaan, pemilikan, mentadbir alam, memberi rezeki, serta mendatangkan manfaat atau mudarat.
Contoh Syirik Akbar Rububiyyah:
-
- Menyakini ada pencipta atau pengatur alam selain Allah: Percaya ada kuasa ghaib lain (seperti jin, dewa, atau roh nenek moyang) yang mengawal cuaca, menentukan hidup mati, atau memberi rezeki secara mandiri.
- Mempercayai azimat/tangkal memberi kesan sendiri: Menggantung tali atau tangkal dengan iktikad bahawa benda fizikal itu sendiri yang menolak bala atau memberi keselamatan tanpa kehendak Allah.
- Iktikad dualisme (seperti Majusi): Berpegang bahawa alam ini dicipta oleh dua tuhan (cth: Tuhan Cahaya/Kebaikan dan Tuhan Kegelapan/Kejahatan).
Contoh Syirik Asghar Rububiyyah:
-
- Menjadikan sebab yang tidak sah: Contohnya memakai benang atau tangkal keselamatan dengan keyakinan bahawa ia hanyalah sebab perlindungan, manakala yang memberi perlindungan tetap Allah (sedangkan syariat mahupun sains tidak mengiktirafnya sebagai sebab).
- Menisbahkan nikmat kepada sebab semata-mata: Contohnya mengatakan, “Kalau bukan kerana anjing menyalak semalam, rumah kita sudah dirompak,” atau “Kalau bukan kerana kapten kapal, kita sudah tenggelam,” tanpa mengaitkan keselamatan itu kepada takdir dan rahmat Allah terlebih dahulu.
- Menyandarkan hujan kepada bintang: Menganggap kemunculan bintang tertentu sebagai petanda cuaca secara tabi’i/sebab semata-mata tanpa sedar dan melupakan Allah sebagai penurun hujan (jika diyakini bintang itu sendiri yang menurunkan hujan, ia menjadi akbar).
2. Syirik dalam Uluhiyyah. Berkait dengan perbuatan hamba dalam mengkhususkan ibadah hanya kepada Allah (doa, sembelihan, nazar, tawakal, takut, dan harap).
Contoh Syirik Akbar Uluhiyyah:
-
- Berdoa kepada selain Allah: Memohon pertolongan (istighatsah) kepada orang mati, wali di kubur, atau jin untuk hajat yang hanya mampu dipenuhi oleh Allah (seperti meminta anak atau keampunan dosa).
- Menyembelih korban untuk selain Allah: Menyembelih ayam atau kambing sebagai sajian penunggu tanah, laut, atau jin (ancak).
- Nazar dan sujud: Bernazar atau sujud menyembah berhala, kubur, atau makhluk.
Contoh Syirik Asghar Uluhiyyah:
-
- Riya’ (menunjuk-nunjuk dalam ibadah): Memperelokkan solat, bacaan Al-Qur’an, atau sedekah supaya dipuji oleh manusia.
- Sum’ah: Menceritakan amalan kebaikan yang telah dilakukan agar didengari dan disanjung orang lain.
- Beramal kerana habuan dunia semata-mata: Melakukan amal ibadah akhirat (seperti belajar agama) semata-mata untuk mengaut keuntungan wang ringgit atau pangkat duniawi.
3. Syirik dalam Asma’ wa Sifat. Berkait dengan penamaan, sifat-sifat kesempurnaan Allah, dan keesaan-Nya dalam sifat-sifat tersebut.
Contoh Syirik Akbar Asma’ wa Sifat:
-
- Menyandarkan sifat ketuhanan mutlak kepada makhluk: Menyakini bahawa seorang tok guru, wali, peramal, atau Nabi mengetahui perkara ghaib masa depan secara mutlak sama seperti ilmu Allah (‘Ilm al-Ghaib al-Muthlaq).
- Tasybih/Tamtsil melampau: Menyamakan sifat Allah sama persis dengan sifat makhluk (misalnya mendakwa tangan Allah seperti tangan manusia), atau mengangkat martabat manusia setaraf sifat ketuhanan.
- Menamai berhala dengan nama Allah (Ilhad): Seperti kaum musyrikin dahulu menamakan berhala mereka al-Lāt (diambil daripada kata Allah) atau al-‘Uzzā (daripada kata al-‘Azīz).
Contoh Syirik Asghar Asma’ wa Sifat:
-
- Bersumpah dengan selain nama Allah: Mengucapkan sumpah atas nama selain Allah tanpa mengagungkannya setaraf Allah (contoh: “Demi anakku”, “Demi ibuku”, atau “Demi keramat tok wali”). Nabi ﷺ bersabda: “Sesiapa yang bersumpah dengan selain Allah, maka dia telah kafir atau syirik” (HR. at-Tirmidzi). Perbuatan ini dinilai syirik asghar melainkan jika yang disumpah itu diagungkan seperti mengagungkan Allah).
- Penggunaan ungkapan kesetaraan: Mengucapkan ungkapan yang menggabungkan nama makhluk dan nama Allah dengan kata penghubung “dan”, seperti: “Ini atas kehendak Allah dan kehendakmu” (sepatutnya: “Atas kehendak Allah, kemudian kehendakmu”).
- Memakai gelaran yang berlebihan: Menggunakan nama atau gelaran penghormatan yang mendekati pengkhususan sifat keagungan Allah, seperti menggelar seseorang “Hakim segala hakim” (Qadhi al-Qudhat / Malik al-Amlak) tanpa menyakini dia setaraf tuhan.
C. Mengikut Bentuk Zahir dan Tersembunyi:
1. Syirik Jali (Nyata): Perkara syirik yang jelas kelihatan, seperti menyembah dan sujud kepada berhala atau patung. Yang kalau orang nampak, memang jelas yang ia adalah perbuatan syirik.
2. Syirik Khafi (Tersembunyi): Perkara yang berada di dalam hati, manusia lain tidak tahu. Sebagai contoh, seseorang yang tidak sembah tokkong, tapi dalam hati dia anggap bagus kalau sembah.
Contoh lain adalah seperti sifat riya’ (menunjuk-nunjuk dalam amalan). Kita tidak nampak apa yang di dalam hatinya, ikhlas atau riya’. Riya’ pula terbahagi kepada riya’ akbar (seperti sifat golongan munafik yang menyembunyikan kekufurannya) dan riya’ asghar (terlintas keinginan dipuji oleh makhluk semasa beribadah).
Perkara utama yang kita kena faham apabila membincangkan Tauhid dan Syirik adalah Bab Doa. Kena faham betul-betul tentang hal doa ini kerana ia adalah laluan utama untuk mensyirikkan Allah.
Kemaskini: 4 November 2026
