Tafsir Surah Mukminoon Ayat 98 – 104 (Roh tak kembali)

Ayat 98: Ayat sebelum ini Nabi ﷺ diajar untuk berdoa supaya diselamatkan dari bisikan syaitan.

وَأَعوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحضُرونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And I seek refuge in You, my Lord, lest they be present with me.”

(MELAYU)

Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku, dari kedatangan mereka kepadaku”.

 

Dan ini adalah permintaan yang lebih tinggi lagi iaitu meminta supaya syaitan hendak datang bisik pun tidak boleh. Kerana bahaya kalau syaitan sudah datang bisik kerana mungkin kita akan termakan dengan bisikan mereka. Syaitan memang pandai hendak menipu kita kerana dia tahu apa yang manusia minat.

Kerana itulah Nabi ﷺ memerintah­kan agar selalu disebut nama Allah ﷻ dalam permulaan semua urusan untuk mengusir syaitan, baik ketika hendak makan, bersetubuh, menyembelih mahupun urusan-urusan lainnya.

Ini perumpamaan macam ada anjing datang kacau kita. Kita kita halau dia, dia tak mahu pergi. Maka cara terbaik untuk halau anjing itu adalah dengan panggil tuan dia untuk tinggalkan kita. Dan begitulah kita dengan syaitan – kita minta tolong kepada ‘tuan’ syaitan, iaitu Allah ﷻ. Syaitan takut  kepada Allah ﷻ.

Ini mengajar kita untuk berharap dengan Allah ﷻ dan bergantung kepada Allah ﷻ sahaja. Kalau kita hendak guna kekuatan kita sendiri, tidak boleh lawan syaitan.


 

Ayat 99: Sekarang Allah ﷻ menceritakan bagaimanakah keadaan manusia yang mengikut bisikan syaitan di akhirat kelak.

حَتّىٰ إِذا جاءَ أَحَدَهُمُ المَوتُ قالَ رَبِّ ارجِعونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[For such is the state of the disbelievers] until, when death comes to one of them, he says, “My Lord, send me back

(MELAYU)

(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata: “Ya Tuhanku kembalikanlah aku (ke dunia),

 

حَتّىٰ إِذا جاءَ أَحَدَهُمُ المَوتُ

(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka,

Sampai bilakah kita kena minta perlindungan kepada Allah ﷻ dari bisikan dan kedatangan syaitan? Sampai kita mati nanti. Kerana apabila kita hendak mati nanti pun syaitan akan datang dan cuba hendak hasut kita untuk kali terakhir.

Kerana itu Rasulullah ﷺ berdoa kepada Allah ﷻ dari diganggu syaitan semasa hendak mati. Imam Abu Daud telah meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ pernah berkata dalam doanya:

“اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الهَرَم، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الهَدْم وَمِنَ الْغَرَقِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ يَتَخَبَّطَنِيَ الشَّيْطَانُ عِنْدَ الْمَوْتِ”

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari nyanyuk, dan aku berlindung kepada Engkau dari keruntuhan dan tenggelam. Dan aku berlindung kepada Engkau agar terhindar dari rasukan (godaan) syaitan ketika hendak mati.

Dan amat malang kalau kita termakan dengan bisikan syaitan. Kerana nanti apabila orang yang sudah termakan bisikan syaitan itu mati, mereka akan menyesal. Kerana mereka akan sedar yang mereka sudah buat salah dan mereka tahu yang mereka sudah kena tipu. Waktu itu, apa yang mereka akan minta?

 

قالَ رَبِّ ارجِعونِ

dia berkata: “Ya Tuhanku kembalikanlah aku (ke dunia),

Mereka yang berdosa akan meminta supaya mereka dikembalikan ke dunia semula. Mereka sudah sedar yang mereka sudah buat salah semasa di dunia. Maka mereka hendak baiki amalan dan fahaman mereka balik. Banyak disebut tentang perkara ini dalam Qur’an. Antaranya:

{وَلَوْ تَرَى إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ}

Dan (alangkah ngerinya) jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya. (Mereka berkata), “Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin.” (As-Sajdah: 12)

Janganlah nanti sewaktu kita sudah mati nanti kita bermohon kepada Allah ﷻ untuk dikembalikan ke dunia kerana kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan. Kerana waktu itu sudah terlambat. Maka kita kena baiki amalan dan akidah kita semasa di dunia lagi. Marilah belajar agama dengan benar. Iaitu pengajaran agama yang berasaskan dalil dari Qur’an dan sunnah.

Allah ﷻ memberi isyarat di dalam ayat ini yang orang-orang zalim dan tidak memikirkan hal agama dan tidak memikirkan persediaan ke akhirat kelak, mereka nanti akan meminta supaya dikembalikan ke dunia kerana waktu itulah baru mereka hendak mempertahankan diri mereka dari syaitan dan tidak mahu mengikut bisikan syaitan.


 

Ayat 100: Kenapa mereka hendak balik ke dunia? Allah ﷻ jelaskan kenapa.

لَعَلّي أَعمَلُ صٰلِحًا فيما تَرَكتُ ۚ كَلّا ۚ إِنَّها كَلِمَةٌ هُوَ قائِلُها ۖ وَمِن وَرائِهِم بَرزَخٌ إِلىٰ يَومِ يُبعَثونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That I might do righteousness in that which I left behind.”¹ No! It is only a word he is saying; and behind them is a barrier until the Day they are resurrected.

  • Or “in that which I neglected.”

(MELAYU)

agar aku berbuat amal yang soleh terhadap yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja. Dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan.

 

لَعَلّي أَعمَلُ صٰلِحًا فيما تَرَكتُ

agar aku berbuat amal yang soleh yang telah aku tinggalkan.

Begitulah apabila sudah mati baru mereka hendak kembali ke dunia kerana waktu itu baru mereka berazam untuk melakukan amal-amal soleh. Masa di dunia dahulu mereka tidak membuat amal yang soleh. Nah sekarang baru mereka hendak buat semula.

Mereka sekarang baru bersungguh hendak buat amal-amal kebaikan yang dahulu mereka tidak lakukan semasa mereka hidup di dunia. Mereka tinggalkan amalan-amalan itu sebab sibuk dengan dunia. Mereka sibuk membuat amalan-amalan yang salah termasuk amalan-amalan yang bidaah.

Banyak ayat-ayat dalam Qur’an yang menyebut permintaan sebegini. Tetapi bolehkah balik ke dunia?

 

كَلّا

Sekali-kali tidak. 

Ini adalah kalimah penolakan. Tidak ada harapan dan permohonan itu tidak akan dipenuhi langsung. Mahu balik ke dunia mana lagi? Dunia sudah hancur pada masa itu. Kalau mereka di alam kubur, badan mereka pun sudah hancur. Macam mana hendak balik?

Maka ambillah iktibar dari ayat ini. Kita hanya ada satu peluang sahaja semasa di dunia ini untuk beramal dengan amalan yang soleh. Janganlah buang masa hendak dunia sahaja.

Janganlah juga sibuk hendak beramal dengan amalan bidaah yang tidak memberikan pahala pun. Buang masa sahaja.

 

إِنَّها كَلِمَةٌ هُوَ قائِلُها

Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja.

Allah ﷻ memberitahu yang permintaan mereka itu adalah kata-kata kosong dari mereka sahaja. Ini adalah kerana jikalau mereka dikembalikan ke dunia pun, mereka akan jadi orang yang sama juga dengan tidak melakukan amalan soleh.

Allah ﷻ tahu apakah yang mereka akan lakukan. Kerana mereka itu orang yang sama sahaja, dengan perangai yang sama sahaja. Kalau diberi peluang kedua pun mereka takkan berubah. Ini seperti yang Allah ﷻ sebut dalam ayat lain:

{وَلَوْ رُدُّوا لَعَادُوا لِمَا نُهُوا عَنْهُ وَإِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ}

Sekiranya mereka dikembalikan (ke dunia), tentulah mereka kembali kepada apa yang mereka telah dilarang menger­jakannya. Dan sesungguhnya mereka itu adalah pendusta-pendusta belaka. (Al-An’am: 28)

Memang kalimah ini akan diucapkan oleh setiap yang mati dan menyesal kerana tidak menjalankan tugas di dunia dahulu. Tetapi itu tinggal sebagai permintaan sahaja kerana permohonan itu tidak akan dilayan.

 

وَمِن وَرائِهِم بَرزَخٌ إِلىٰ يَومِ يُبعَثونَ

Dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan.

Kenapa mereka tidak akan dapat kembali? Kerana di belakang mereka ada ‘barzakh’ iaitu halangan sebagai pengadang; dan mereka sekarang berada di alam barzakh yang mereka tidak akan dapat keluar darinya sampai bila-bila hinggalah ke hari kiamat. Memang mereka hidup tetapi ia dinamakan Hidup Barzakhi.

Muhammad ibnu Ka’b berkata, barzakh adalah alam yang terletak di antara alam dunia dan alam akhirat. Para penghuninya tidak sama dengan ahli dunia yang dapat makan dan minum, tidak pula sama dengan ahli akhirat yang mendapat balasan dari amal perbuatan mereka.

Abu Sakhr mengatakan bahawa barzakh adalah alam kubur, para penghuninya tidak ada di dunia dan tidak pula di akhirat; mereka tinggal di alam barzakh menunggu sampai hari berbangkit.

Ayat ini juga menjadi dalil bahawa roh orang mati tidak dapat balik ke dunia. Soalan ini akan timbul setiap kali bulan Puasa dan Hari Raya kerana masih ada lagi masyarakat Melayu yang berfahaman begitu. Masih sampai lagi fahaman Hindu tok nenek dalam diri mereka. Nama mereka Muslim tetapi masih ada fahaman Hindu dalam fikiran mereka. Maka sampaikan kepada mereka ayat ini sebagai dalil bahawa roh orang mati tidak akan pulang ke dunia.

Ayat ini juga menjadi dalil untuk menolak hujah puak Sufi dan tariqat yang mengatakan ada roh-roh wali yang kembali ke dunia untuk tolong manusia dan sebagainya. Itu bukan roh wali tetapi syaitan yang menjelma sebagai mereka yang dikatakan wali itu untuk menipu orang-orang yang senang ditipu.

Ayat Qur’an menjadi pegangan kita. Mana mungkin hujah akal dapat melawan hujah dari Qur’an? Kalau ada yang kata boleh roh kembali ke dunia semula, maka kena ada hadis yang sahih dari Rasulullah ﷺ sebagai pengecualian. Kerana keadaan umum sudah ada di dalam ayat ini: roh takkan kembali ke dunia.

Ini kerana ada dari sesetengah hujah yang berkata: “Roh orang biasa memang tak boleh balik, tapi roh wali boleh balik untuk menolong Manusia”. Kita katakan: Ya, kalau ada dalilnya, bawa ke mari. Kita orang Islam pakai dalil, bukan?


 

Ayat 101: Ini pula kejadian selepas habis dan tamat alam barzakh. Masuk ke alam akhirat pula.

فَإِذا نُفِخَ فِي الصّورِ فَلا أَنسابَ بَينَهُم يَومَئِذٍ وَلا يَتَساءَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when the Horn is blown, no relationship will there be among them that Day, nor will they ask about one another.

(MELAYU)

Apabila sangkakala ditiup maka tidaklah ada lagi pertalian nasab di antara mereka pada hari itu, dan tidak ada pula mereka saling bertanya.

 

فَإِذا نُفِخَ فِي الصّورِ

Apabila sangkakala ditiup

Ini adalah apabila tiupan sangkakala yang kedua telah ditiup. Tiupan yang pertama akan mematikan semua makhluk yang masih hidup. Dan tiupan kedua dalam ayat ini akan membangkitkan semua makhluk dari kuburan masing-masing.

 

فَلا أَنسابَ بَينَهُم يَومَئِذٍ

maka tidaklah ada lagi pertalian nasab di antara mereka pada hari itu, 

Maka pada waktu itu tidak ada lagi talian kekeluargaan dan talian persaudaraan sesama manusia. Bukan sahaja talian kekeluargaan tidak ada, tetapi apa-apa talian dengan orang lain pun tidak ada, seperti kawan, majikan, guru dan murid dan apa-apa sahaja talian. Tiada guna lagi kaitan adik beradik dan emak ayah sekali pun.

Ini adalah kerana manusia akan bersendirian sahaja waktu itu. Pertalian Nasab yang dikira masa di dunia sahaja. Di akhirat nanti tidak ada guna kalau ada ayah mukmin atau abang yang soleh. Kerana mereka tidak dapat menyelamatkan kita. Kita kena bergantung kepada amalan kita sahaja.

 

وَلا يَتَساءَلونَ

dan tidak ada pula mereka saling bertanya.

Dan apabila hari kiamat telah bermula maka tidak ada lagi sesiapa pun yang akan bertanya tentang kawannya, keluarganya, anak muridnya, kerana semua sibuk dengan hal masing-masing. Mereka takut risaukan nasib mereka entah selamat, entah tidak. Mereka yang masuk ke dalam neraka tidak akan bertanya pun tentang kawan-kawan yang dulu mereka rapat semasa di dunia.

{وَلا يَسْأَلُ حَمِيمٌ حَمِيمًا. يُبَصَّرُونَهُمْ}

Dan tidak ada seorang teman akrab pun menanyakan temannya, sedangkan mereka saling melihat. (Al-Ma’arij: 10-11)

Tetapi ada disebut dalam ayat-ayat yang lain kepada kita tentang ahli syurga, kita dapat tahu bahawa ahli syurga akan bertanya tentang kawan-kawan mereka yang mereka rapat di dunia dahulu. Maka ahli neraka takkan bertanya tetapi ahli syurga akan bertanya. Tetapi itu adalah apabila sudah di syurga nanti.

Jadi jangan hendak berharap kepada orang lain nanti. Mereka takkan bertanya, malah ada yang lari dari orang yang mereka kenal kalau mereka nampak di Mahsyar. Kita hanya boleh berharap kepada amalan kita sahaja. Ini disebut dalam ayat yang lain.

{يَوْمَ يَفِرُّ الْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ. وَأُمِّهِ وَأَبِيهِ. وَصَاحِبَتِهِ وَبَنِيهِ}

Pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, ibu dan bapak­nya, dari isteri dan anaknya. (‘Abasa: 34-36)


 

Ayat 102: Waktu itu, kena tengok kepada amalan. Kalau banyak amalan yang baik, maka mereka akan selamat. Maka ayat ini Tabshir Ukhrawi.

فَمَن ثَقُلَت مَوٰزينُهُ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those whose scales are heavy [with good deeds] – it is they who are the successful.

(MELAYU)

Barangsiapa yang berat timbangan (kebaikan)nya, maka mereka itulah orang-orang yang dapat keberuntungan.

 

Dan di akhirat nanti mereka yang ada amal timbangan yang berat, mereka itulah orang yang akan mendapat kejayaan yang sebenar. Iaitu akan ditimbang pahala dan dosa manusia untuk melihat mana yang lebih berat. Sekiranya berat lebih satu sahaja dari dosa, maka berjayalah orang itu. Mereka akan berjaya masuk ke dalam syurga.

Dan kalimah المُفلِحونَ ini telah kita berjumpa di dalam ayat yang pertama surah ini lagi. Maknanya mereka yang telah berusaha dengan amalan itu. Kerana mereka amalkan sendiri – bukannya berharap orang lain bersedekah amal. Perangai orang kita banyak yang buruk – malas hendak beramal kerana kononnya mereka boleh disedekahkan pahala oleh orang lain masa majlis tahlil dan sebagainya.

Itu adalah harapan yang sia-sia kerana pahala itu tidak akan sampai kepada mereka. Tetapi kerana ada fahaman salah macam inilah yang menyebabkan orang kita lemau dalam beramal. Mereka sangka anak beranak dan ahli keluarga mereka akan sedekah pahala nanti.

Janganlah begitu. Beramal lah sendiri. Jangan menyesal nanti apabila pahala yang ditunggu-tunggu tidak sampai. Waktu itu, siapa yang rugi? Pahala memang tidak sampai. Yang untung adalah manusia yang hidup dan datang ke majlis tahlil itu. Kerana mereka dapat kenyangkan perut mereka. Serta ustaz dan tok imam yang menjadi tekong majlis itu akan dapat sampul berisi wang. Mereka itu sahajalah yang untung. Tapi untung dunia sahaja.


 

Ayat 103: Bagaimana pula kalau timbangan amal itu kurang? Sekarang diberikan Takhwif Ukhrawi.

وَمَن خَفَّت مَوٰزينُهُ فَأُولٰئِكَ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم في جَهَنَّمَ خٰلِدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those whose scales are light – those are the ones who have lost their souls, [being] in Hell, abiding eternally.

(MELAYU)

Dan barangsiapa yang ringan timbangannya, maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, mereka kekal di dalam neraka Jahannam.

 

وَمَن خَفَّت مَوٰزينُهُ فَأُولٰئِكَ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم

Dan barangsiapa yang ringan timbangannya, maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri,

Mereka yang mempunyai timbangan amal yang ringan lah sebenarnya orang yang rugi kerana mereka tidak mengambil peluang semasa mereka di dunia untuk melakukan amal-amal kebaikan. Mereka sibuk dengan dunia, sibuk kejar harta, sibuk berjalan melancong ke sana sini, sibuk dengan politik dan macam-macam lagi perkara keduniaan.

Mereka terlalu sibuk sampai tidak sempat hendak beramal. Sibuk sampai tidak sempat hendak belajar agama. Akhirnya jahil tentang agama, tidak tahu apa-apa.

 

في جَهَنَّمَ خٰلِدونَ

mereka kekal di dalam neraka Jahannam.

Dan kalau amal mereka itu adalah amal syirik, maka mereka akan kekal di dalam neraka selama-lamanya. Kerana kalau amal kebaikan tidak ada, maka amal apa lagi yang ada? Kerana manusia tetap akan beramal.

Maka kalau bukan amal kebaikan yang mereka lakukan, maka amal keburukan lah yang mereka akan amalkan. Dan paling teruk kalau amal yang mereka lakukan itu adalah amal syirik. Maka kerana amal syirik, akan menyebabkan manusia kekal di dalam neraka.


 

Ayat 104: Dan sekarang Allah ﷻ menerangkan keadaan di neraka kelak.

تَلفَحُ وُجوهَهُمُ النّارُ وَهُم فيها كٰلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The Fire will sear their faces, and they therein will have taut smiles.¹

  • Their lips having been contracted by scorching until the teeth are exposed.

(MELAYU)

Muka mereka dibakar api neraka, dan mereka di dalam neraka itu dalam keadaan cacat.

 

تَلفَحُ وُجوهَهُمُ النّارُ

Muka mereka dibakar api neraka,

Bukanlah wajah sahaja yang kena bakar api neraka tetapi keseluruhan tubuh badan. Akan tetapi disebut wajah kerana wajah lah anggota badan yang paling dijaga oleh manusia. Maka kalau wajah pun sudah kena bakar, maka tubuh badan yang lain tentulah sudah kena bakar juga maksudnya.

 

وَهُم فيها كٰلِحونَ

dan mereka di dalam neraka itu dalam keadaan cacat.

Kalimah كٰلِحونَ dari katadasar ك ل ح yang bermaksud muka yang mencebik, atau menyeringai. Ini adalah kerana mereka teruk menahan kesakitan sampaikan muka mereka menunjukkan mereka sakit ataupun bibir mereka yang terkiat. Ini kerana mereka akan diberi minum air yang amat panas sampai bibir mereka akan terkiat kerana rosak. Maka bibir dan muka akan menjadi cacat.

Juga bermaksud mulut mereka tidak dapat ditutup kerana mereka sentiasa menjerit kerana kesakitan. Lihatlah bagaimana semasa di dunia mulut mereka tidak berhenti-henti mencaci-maki Rasulullah ﷺ dan juga agama Islam, maka Allah ﷻ balas perbuatan mereka itu dengan menyebabkan mulut mereka tidak dapat ditutup kerana menahan kesakitan. Maka menjerit-jeritlah mereka tanpa henti meminta pertolongan yang tidak akan ada datang kepada mereka.

Allah ﷻ memberi gambaran yang menakutkan tentang neraka supaya kita beringat. Maka takutlah dengan ancaman-ancaman ini supaya kita berhati-hati dengan amalan kita. Jangan kita menyesal di akhirat kelak.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya.

Kemaskini: 23 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment