Tafsir Surah Muddaththir Ayat 19 – 31 (Mencari ‘pembenaran’)

Ayat 19:

فَقُتِلَ كَيفَ قَدَّرَ

Sahih International

So may he be destroyed [for] how he deliberated.

Malay

Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (yang demikian)?

 

Kalimah فَقُتِلَ ini adalah dalam bentuk doa (Semoga dia binasa). Ini adalah kerana begitu teruk sekali perbuatan Walid al Mughirah itu, sampaikan dia dijanjikan dengan kebinasaan.

Alangkah beraninya berani mengatakan perkara yang tidak benar tentang Al-Qur’an? Sedangkan dia sendiri sudah tahu dan percaya yang ianya bukan kata-kata dari manusia. Begitulah, apabila manusia sudah tahu kebenaran tapi masih lagi mahu menolaknya, azab yang dikenakan kepada mereka amat berat.


 

Ayat 20:

ثُمَّ قُتِلَ كَيفَ قَدَّرَ

Sahih International

Then may he be destroyed [for] how he deliberated.

Malay

Sekali lagi: binasalah dia hendaknya! Bagaimana dia berani mereka-reka (tuduhan-tuduhan itu)?

 

Diulang ayat yang sebelumnya sebagai penekanan kepada keburukan yang dilakukan oleh Walid al Mughirah dan orang-orang yang sebegitu. Jarang Allah mengulang ayat Al-Qur’an, maka ini menunjukkan teruk sangat apa yang dilakukan oleh Walid itu.


 

Ayat 21:

ثُمَّ نَظَرَ

Sahih International

Then he considered [again];

Malay

Kemudian dia merenung dan memikirkan

 

Walid al Mughirah telah melihat Nabi Muhammad membaca Al-Qur’an. Nampak macam dia betul-betul dengar, tapi sebenarnya dia hendak mencari silap. Kalau orang lain tanya dia nanti, bolehlah dia kata yang dia sudah dengar betul-betul ayat-ayat Al-Qur’an itu dibacakan. Jangan dikata dia kritik tanpa dengar dulu.

Ini sama dengan mereka yang datang ke kelas pengajian sunnah untuk mencari kesalahan-kesalahan dalam pengajian itu. Mereka pergi ke kelas pengajian itu supaya bolehlah mereka kata, “aku dah pergi dah kelas mereka, tapi mereka ajar bukannya betul pun…”


 

Ayat 22:

ثُمَّ عَبَسَ وَبَسَرَ

Sahih International

Then he frowned and scowled;

Malay

Setelah itu dia memasamkan mukanya serta dia bertambah masam berkerut;

 

Dia melihat dengan muka yang marah. Dan kemudian dia buat muka macam tak suka dengan apa yang dia sudah dengar. Muka tak puas hati. Muka nak kata: “apa benda aku dengar ni?”.


 

Ayat 23:

ثُمَّ أَدبَرَ وَاستَكبَرَ

Sahih International

Then he turned back and was arrogant

Malay

Kemudian dia berpaling (dari kebenaran) dan berlaku sombong angkuh,

 

Dan selepas itu dia berpaling, kononnya nak tunjuk bagaimana dia sudah cukup dengar apa yang Nabi bacakan, tapi selepas dia dengar, kononnya tidak ada apa-apa.

Dan dia dikatakan sebagai sombong kerana tidak mahu menerima kebenaran dari Al-Qur’an. Oleh kerana itu, kalau ada kalangan masyarakat kita yang tak terima Al-Qur’an, mereka pun dikira sebagai ‘sombong’.

Lihatlah bagaimana Allah sebut satu-satu apa yang Walid telah lakukan.


 

Ayat 24:

فَقالَ إِن هٰذا إِلّا سِحرٌ يُؤثَرُ

Sahih International

And said, “This is not but magic imitated [from others].

Malay

Serta dia berkata: ” (Al-Qur’an) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya);

 

Selepas Walid pulang dari berjumpa Nabi Muhammad, maka pemuka Quraish berbincang dengannya, apakah yang mereka nak labelkan Nabi Muhammad? Mungkin mereka boleh kata yang baginda itu penipu? Walid kata: tidak boleh, orang tak akan percaya; bagaimana kalau tuduh Muhammad itu gila? Walid kata itu pun tidak boleh, kerana orang tidak akan percaya.

Lihatlah bagaimana mereka berbincang mencari satu tuduhan yang seragam, supaya mereka tolak baginda dengan satu nada. Kalau mereka kejap kata itu dan kejap kata ini, nanti orang ramai tidak terima nanti.

Oleh itu, dia mencadangkan untuk melabelkan Al-Qur’an yang dibaca oleh Nabi Muhammad itu sebagai ‘sihir’. Dan bukan sihir biasa, tapi sihir yang hebat – يُؤْثَرُ – yang meninggalkan kesan. Kalau dengar sahaja, akan terkesan dengan apa yang dibacakan itu, macam kena pukau. Mereka pun telah lihat bagaimana para sahabat waktu itu, yang apabila telah dengar Al-Qur’an dan telah pegang kemas kepada Al-Qur’an itu.

Mereka juga nak kata yang Nabi Muhammad telah pelajari sihir itu dari orang lain.

Kenapa mereka menggunakan hujah ini? Kerana dari zaman dahulu lagi, manusia memang terpesona dengan sihir. Mereka tidak tahu nak jelaskan apakah sihir itu; manusia pun memang sudah takut dengan sihir; mereka juga takjub dengan sihir. Maka, kalau ada sesuatu perkara yang hebat dan tak dapat dijelaskan dengan akal mereka, mereka akan kata itu adalah sihir, kalau dalam bahasa sekarang, dipanggil ‘magik’.

Lihatlah bagaimana mereka telah tersilap dalam memilih hujah itu. Kerana apabila mereka kata yang ayat-ayat Al-Qur’an itu adalah sihir/magik, maka mereka dalam masa yang sama menyatakan yang Al-Qur’an itu sendiri adalah sesuatu yang hebat, tidak dapat dijelaskan, bukan datang dari manusia dan datang dari kuasa luar selain manusia.


 

Ayat 25:

إِن هٰذا إِلّا قَولُ البَشَرِ

Sahih International

This is not but the word of a human being.”

Malay

“Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia!”

 

Walaupun mereka sudah kata yang Al-Qur’an itu adalah sihir, bermaksud ianya bukan sesuatu yang biasa, tapi mereka masih tidak mengaku juga yang ianya adalah sesuatu yang hebat. Sebab itu mereka kena tambah hujah pertama mereka itu dengan menegaskan yang Al-Qur’an itu adalah hanya kata-kata manusia sahaja, tidak lebih dari itu.

Habislah kisah apakah yang telah dilakukan oleh Walid al Mughirah.

Diriwayatkan bahawa Al-Walid datang kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam yang sedang membacakan Al-Qur’an, seakan-akan dia simpati terhadap baginda. Lantas berita tersebut sampai kepada Abu Jahal, lalu dia mendatanginya seraya berkata, “Wahai pamanku, sesungguhnya kaummu akan mengumpulkan harta agar diberikan kepadamu.”

Al-Walid merasa hairan dan berkata, “Untuk apa wahai anak saudaraku?!”

Abu Jahal berkata, “Untuk memberimu, kerana engkau mendatangi Muhammad untuk memaparkan apa yang diperolehnya!”

Al-Walid berkata dengan kesal lagi menyombongkan diri, “Demi Allah, kaum Quraisy mengetahui bahawa akulah orang yang paling kaya di antara mereka.”

Di sini Abu Jahal berkata, “Wahai paman, katakanlah mengenai Al-Qur’an kepada kaummu bahawa ia mungkar dan engkau membencinya.”

Al-Walid berkata, “Apa yang akan kukatakan?! Demi Allah, tidak ada di antara kalian lelaki yang lebih mengetahui dan lebih luas wawasannya tentang syair daripadaku, dan demi Allah dia tidak mirip dengan syair sama sekali.”

Demi Allah, perkataan yang diucapkannya adalah sesuatu yang manis, dia memiliki keindahan, dan ada buah di atasnya, sementara di bawahnya lebat. Sungguh, ia amat tinggi dan tiada tara, dia pun akan menghancurkan apa yang di bawahnya.

Maka Abu Jahal berkata dengan untuk membangkitkan dasar-dasar kekufuran di hati Al-Walid yang paling dalam, “Demi Allah, kaummu tidak rela terhadapmu sehingga engkau mengatakan buruk tentangnya.”

Al-Walid berkata, “Biarkan aku berfikir.” Sesudah berfikir keras, berperang melawan jiwa, berfikir dengan bantuan gerombolan setan dalam dirinya, dia berkata, “ini adalah sihir yang membekas.”

Dari riwayat ini, kita dapat tahu apakah yang sebenarnya terjadi. Walid sebenarnya sudah terkesan dengan Al-Qur’an. Dia sudah dapat rasa bahawa Al-Qur’an itu benar dan bukanlah syair. Dia pun memang pandai dan dapat bezakan yang Al-Qur’an bukanlah sesuatu yang biasa, bukan syair dan ia memang hebat.

Akan tetapi dia telah terkesan dengan kata-kata Abu Jahal, pemuka Quraish. Dia seolah-olah terpaksa mencari apakah kesalahan Al-Qur’an. Maknanya, dia sudah tutup hatinya dari kebenaran, sedangkan ia sudah mula masuk sebelum itu. Dia kemudian telah mendengar kembali Al-Qur’an untuk mencari-cari salahnya.

Maka kerana itu kalau kita sudah ada prejudis kepada kebenaran, maka kebenaran tidak akan kelihatan, sebaliknya yang nampak adalah keburukan. Kalau kita hendak mencari buruk pada sesuatu, pada seseorang, memang akan jumpa. Kerana kita sudah ada prejudis.

Maka ini bukanlah orang yang mencari ‘kebenaran’, tapi mencari ‘pembenaran’. Mereka mencari-cari apakah yang boleh dijadikan hujah untuk menguatkan kehendak mereka.

Sebagai contoh, kalau ada orang yang mencari salah pada jalan sunnah, memang mereka akan berjumpa. Kerana hati mereka telah cenderung kepada prejudis: ada yang tidak kena dengan mereka yang dikatakan ‘sunnah’ itu. Kalau beginilah sikap manusia, maka mungkin sampai bila-bila pun mereka tidak akan jumpa kebenaran.


 

Ayat 26: Ayat 26 – 29 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia menceritakan akibat buruk kepada mereka yang mendustakan Al-Qur’an.

سَأُصليهِ سَقَرَ

Sahih International

I will drive him into Saqar.

Malay

(Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia ke dalam neraka Saqar.

 

‘Saqar’ adalah salah satu dari nama Neraka. Apabila seseorang itu demam dan berjalan pula di panas terik, kepalanya akan kepanasan – orang kata ‘berasap kepalanya’ – itulah سَقَرَ – jadi, apabila digunakan perkataan سَقَرَ, ianya memberi isyarat bahawa penghuni سَقَرَ nanti kepanasan kepala mereka (menggelegak), mereka akan duduk dalam kepanasan.


 

Ayat 27:

وَما أَدرٰكَ ما سَقَرُ

Sahih International

And what can make you know what is Saqar?

Malay

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan neraka Saqar itu?

 

Allah tanya: “macam mana kamu nak tahu apa itu saqar?” Apabila Allah kata begini (kalimah أَدراكَ di dalam bentuk fi’il madhi), maknanya Allah nak beritahu kita dalam ayat seterusnya. Kerana kita tidak akan dapat tahu tentang neraka, melainkan dengan maklumat dari Allah.

Ini adalah kerana neraka itu termasuk hal-hal ghaib dan tidak ada jalan lain melainkan dengan wahyu dari Allah. Kalau Allah tak beritahu, kita tidak akan tahu. Kerana perkara ghaib tidak boleh dicapai dengan aqal, melainkan dengan naqal.


 

Ayat 28:

لا تُبقي وَلا تَذَرُ

Sahih International

It lets nothing remain and leaves nothing [unburned],

Malay

Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa, dan tidak membiarkannya (binasa terus)

 

Apabila neraka membakar manusia dan jin, ia akan membakar semua sekali tubuh manusia dan jin, tidak ada yang tinggal.


 

Ayat 29:

لَوّاحَةٌ لِّلبَشَرِ

Sahih International

Blackening the skins.

Malay

Ia terus-menerus membakar kulit manusia!

 

Kenapa sebut kulit pula sedangkan sebelum ini telah disebut semua sekali? Kerana kulitlah yang dibangga-bangga manusia. Ramai yang lihat kepada warna kulit untuk membezakan diri mereka dengan bangsa lain. Maka kulit yang mereka banggakan itu akan dibakar berkali-kali.

Dalam ayat surah yang lain, ada disebut bagaimana kulit itu akan diganti dengan kulit yang baru. Ini adalah kerana kulit itulah yang merasa sakit kerana deria sakit itu berada pada lapisan kulit. Maka untuk bagi sakit ahli neraka, kulit mereka akan dibakar.


 

Ayat 30: Ayat 30 – 31 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia menceritakan tentang 19 Malaikat Penjaga Neraka.

عَلَيها تِسعَةَ عَشَرَ

Sahih International

Over it are nineteen [angels].

Malay

Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat).

 

19 individu yang dimaksudkan adalah para malaikat zabaniah warden penjaga neraka. Tidak disebut dalam ayat ini, tapi disebut dalam ayat yang seterusnya. Mereka menjaga Neraka dan juga menjalankan hukuman kepada penghuni Neraka. Mereka amat cermat, kasar dan amat taat dalam menjalankan tugas mereka. Mereka hanya taat kepada Allah sahaja. Jadi, jangan harap nak dapat pujuk mereka untuk berhenti walau sesaat pun.

Oleh itu, jangan bandingkan mereka dengan manusia. Manusia terhad dari segi kekuatan dan apa yang kita boleh lakukan. Tapi Allah telah memberi kelebihan kepada para malaikat untuk menjalankan tugas mereka. Mereka tidak boleh dikalahkan.

Ada kisah menarik tentang nombor 19 ini yang akan diterangkan dalam ayat seterusnya.


 

Ayat 31: Ayat ini datang kemudian. Tidaklah diturunkan terus selepas ayat 30 di atas.

وَما جَعَلنا أَصحٰبَ النّارِ إِلّا مَلَـٰٓٮِٕكَةً ۙ وَما جَعَلنا عِدَّتَهُم إِلّا فِتنَةً لِّلَّذينَ كَفَروا لِيَستَيقِنَ الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ وَيَزدادَ الَّذينَ ءآمَنوا إيمٰنًا ۙ وَلا يَرتابَ الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ وَالمُؤمِنونَ ۙ وَلِيَقولَ الَّذينَ في قُلوبِهِم مَّرَضٌ وَالكٰفِرونَ ماذا أَرادَ اللَّهُ بِهٰذا مَثَلًا ۚ كَذٰلِكَ يُضِلُّ اللَّهُ مَن يَشاءُ وَيَهدي مَن يَشاءُ ۚ وَما يَعلَمُ جُنودَ رَبِّكَ إِلّا هُوَ ۚ وَما هِيَ إِلّا ذِكرىٰ لِلبَشَرِ

Sahih International

And We have not made the keepers of the Fire except angels. And We have not made their number except as a trial for those who disbelieve – that those who were given the Scripture will be convinced and those who have believed will increase in faith and those who were given the Scripture and the believers will not doubt and that those in whose hearts is hypocrisy and the disbelievers will say, “What does Allah intend by this as an example?” Thus does Allah leave astray whom He wills and guides whom He wills. And none knows the soldiers of your Lord except Him. And mention of the Fire is not but a reminder to humanity.

Malay

Dan (ketahuilah bahawa hikmat) Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal neraka itu melainkan (dari kalangan) malaikat, (kerana merekalah sekuat-kuat dan sebenar-benar makhluk yang menjalankan perintah Kami); dan (hikmat) Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan orang-orang kafir itu, supaya orang-orang yang diberi Kitab (Yahudi dan Nasrani) boleh percaya dengan yakin (akan kebenaran Al-Qur’an), dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya; dan juga supaya orang-orang yang diberi Kitab dan orang-orang yang beriman itu tidak ragu-ragu (tentang kebenaran keterangan itu); dan (sebaliknya) supaya orang-orang (munafik) yang ada penyakit (ragu-ragu) dalam hatinya dan orang-orang kafir berkata: “Apakah yang dimaksudkan oleh Allah dengan menyebutkan bilangan ganjil ini?” Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja. Dan (ingatlah, segala yang diterangkan berkenaan dengan) neraka itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia.

 

وَمَا جَعَلْنَا أَصْحٰبَ النَّارِ إِلَّا مَلَـٰٓٮِٕكَةً‌

Dan Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal neraka itu melainkan (dari kalangan) malaikat,

Kenapa Allah beritahu dalam ayat ini yang 19 individu itu adalah malaikat? Kerana hendak memberitahu yang mereka itu bukannya manusia yang boleh dikalahkan.

Asbabun Nuzul ayat ini: apabila Musyrikin Mekah dapat tahu yang hanya ada 19 sahaja penjaga Neraka, mereka kata senanglah mereka nak kalahkan. Ada seorang lelaki yang gagah yang yang bernama Kaldah berkata, biar dia sahaja yang kalahkan 17 malaikat itu, dan orang lain boleh kalahkan yang lagi dua.

Oleh itu, Allah turunkan ayat ini kerana hendak menekankan yang mereka yang menjaga neraka itu bukanlah manusia biasa, tapi mereka itu adalah malaikat. Dan malaikat tidak sama dengan manusia. Jangan mereka nak main-main dengan malaikat. Jangan mereka sangka mereka boleh kalahkan para malaikat itu.

 

وَمَا جَعَلْنَا عِدَّتَهُمْ إِلَّا فِتْنَةً لِّلَّذِينَ كَفَرُوا

dan Kami tidak menjadikan bilangan itu melainkan sebagai satu ujian kepada orang-orang kafir itu,

Allah sebut nombor 19 itu sebagai ujian sahaja. Bukan ada makna spesifik yang perlu dikaji. Kita kena ingat, Allah berhak untuk memilih bilangan apa pun yang Dia hendak letak. Bukan kita perlu untuk kaji kenapa 19, kenapa 3, kenapa 21 atau apa-apa nombor pun.

Memang hal berkenaan dengan nombor ini memang banyak masalah pada sebahagian manusia. Ada orang yang percaya dengan ilmu nombor. Kalau orang kafir tu, kita fahamlah juga, sebab mereka kafir. Tapi yang mengaku Muslim pun percaya juga. Kalau orang yang tak tahu agama pun, kita faham juga, sebab mereka orang jahil. Tapi, orang-orang yang kononnya pandai pun, tertipu dengan hal nombor juga.

Sebagai contoh, ada Darul Hadis di Kedah yang mengatakan nombor 13 adalah nombor bertuah dalam Islam. Dan hujah yang diberikan adalah hujah akal, hujah kebetulan dan macam-macam lagi hujah yang mengarut. Masalahnya, yang berkata begitu adalah mudir Darul Hadis itu!

Jadi, sebab pertama nombor 19 itu adalah sebagai ujian. Dan banyak yang sudah kalah dengan ujian ini. Ada yang sangka ada kelebihan pula pada nombor ’19’ ini. Mulalah memikirkan ‘kenapa’ 19, apa yang boleh digunakan dengan nombor ini, dan macam-macam lagi fahaman karut.

 

لِيَسْتَيْقِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ

supaya orang-orang yang diberi Kitab (Yahudi dan Nasrani) boleh percaya dengan yakin

Tujuan kedua Allah sebut nombor 19 itu adalah kerana ditujukan kepada Ahli Kitab. Supaya Ahli Kitab itu tahu yang apa yang Nabi Muhammad beritahu itu adalah kebenaran kerana mereka pun tahu dari Kitab mereka yang bilangan penjaga Neraka adalah 19 orang.

Ilmu tentang nombor 19 itu bukan dalam kitab-kitab yang boleh diketahui oleh penganut mereka yang awam, tapi pendita-pendita mereka sahaja. Kerana kita sendiri pun masih tidak mendapati bilangan penjaga Neraka ini 19 dalam kitab-kitab utama mereka. Jadi, mereka tahu yang Nabi Muhammad tidaklah mendapat maklumat ini dari cakap-cakap manusia sahaja, tapi ianya adalah wahyu.

Apabila mereka mendengar tentang nombor 19 ini, sepatutnya ia menarik perhatian mereka kerana mereka memang suka dengan nombor-nombor ini. Antaranya mereka amat prihatin tentang bilangan Pemuda Kahfi seperti yang diceritakan dalam tafsir Surah Kahf.

 

وَيَزْدَادَ الَّذِينَ ءآمَنُوا إِيمٰنًا

dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya;

Sebab ketiga adalah untuk menambah iman orang Muslim yang memang sudah ada iman dalam diri mereka. Yang sudah ada iman, Allah tambah lagi iman mereka. Ini adalah kerana apabila mereka melihat Ahli Kitab pun percaya dengan apa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad, itu tentunya menambahkan lagi keimanan mereka.

 

وَلَا يَرْتَابَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ وَالْمُؤْمِنُونَ

dan juga supaya tidak ragu-ragu orang-orang yang diberi Kitab dan orang-orang yang beriman itu

Kalau mereka tetap di atas pendirian iman mereka, Ahli Kitab dan orang-orang yang beriman itu akan mendapat lebih iman lagi.

 

وَلِيَقُولَ الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ وَالْكٰفِرُونَ

dan supaya orang-orang yang ada penyakit (ragu-ragu) dalam hatinya dan orang-orang kafir berkata:

Orang yang ada penyakit dalam hati mereka merujuk kepada orang-orang Munafik. Tetapi bagaimana pula ada orang munafik di Mekah? Kerana pendapat umum mengatakan yang orang munafik hanya ada di Madinah sahaja. Kerana tidak perlu orang muslim hendak bermuka-muka mengaku beriman di Mekah kerana lebih bahaya kalau mengaku Muslim daripada mengaku kafir. Hanya apabila di Madinah, apabila Islam sudah naik, ada orang yang tidak beriman tapi mengaku Islam.

Dari itu, ada yang mengatakan yang golongan Munafik, bukan sahaja ada di Madinah, tapi di Mekah pun sudah ada.

Ataupun, penyakit hati itu adalah berbentuk umum. Iaitu mereka yang belum cukup iman mereka. Yang baru berjinak-jinak dengan Islam, baru belajar, baru hendak meninggalkan fahaman lama yang karut.

 

مَاذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهَٰذَا مَثَلًا

“Apakah yang dimaksudkan oleh Allah dengan menyebutkan bilangan ganjil ini?”

Orang kafir, orang munafik dan orang yang lemah iman akan menggunakan hujah bilangan 19 malaikat ini sebagai ejekan sahaja. Mereka kata ini tentunya satu perkara yang mengarut yang tidak masuk akal.

Dan akan ada yang tertanya-tanya pula, apakah maksud 19 itu? Mereka cuba memikirkan benda yang tidak perlu difikirkan. Biarkan mereka tertanya-tanya apakah maksud nombor 19 itu dan jangan kita campur dengan kekeliruan mereka. Ini memang telah terjadi. Pernahkan anda dengar tentang ‘Kod 19‘?

Ini adalah satu teori yang dibawa oleh seorang lelaki Mesir yang bernama Rashad Khalifa. Dia telah memasukkan ayat-ayat Al-Qur’an ke dalam komputer dan konon hasilnya, terdapat satu kod dalam Al-Qur’an iaitu nombor 19. Jadi, dia mengatakan bahawa bilangan ayat, bilangan huruf, bilangan sebutan Allah dalam Al-Qur’an itu, semuanya ada kena mengena dengan nombor 19.

Nampak macam menarik dan seperti ianya adalah dalil kepada keajaiban matematik Al-Qur’an. Tapi hasil dari perkara ini, Rashad Khalifa telah mengaku sebagai rasul selepas Nabi Muhammad. Dia kata mukjizat Nabi Muhammad adalah Al-Qur’an dan mukjizat dia adalah kod 19 itu. Dengan kod 19 itu juga, dia telah menolak dua ayat Al-Qur’an kerana dua ayat itu tidak kena dengan bilangan 19.

Sekarang kita selalu mendengar golongan anti-hadis, bukan? Tahukah anda yang permulaan mereka itu dari teori Kod 19 ini? Pengikut fahaman Rashad Khalifa ini sekarang ini menggelar diri mereka The Submitter. Sampaikan Syeikh Ahmed Deedat sendiri tertipu dengan apa yang dikatakan oleh Rashad Khalifa ini (tapi selepas itu beliau tahu penipuan di dalamnya dan meninggalkan fahaman itu).

Kita tidaklah mahu memanjangkan perbincangan tentang perkara ini. Tapi perlu juga diketahui serba sedikit supaya kalau kita bertemu dengan hujah golongan ini, atau terbaca artikel tentangnya, tidaklah terpesong nanti. Anda boleh baca tulisan Syeikh Bilal Phillips di sini atau boleh dengar video pendek berkenaannya di sini:

 

كَذَٰلِكَ يُضِلُّ اللَّهُ مَن يَشَاءُ

Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya

Allah menyesatkan sesiapa yang ada keinginan untuk sesat di dalam hatinya. Ayat ini tidaklah bermakna yang ada orang yang Allah hendak dia jadi sesat pula. Bukanlah Allah hendak menyesatkan sesiapa. Tapi mereka yang tidak condong kepada kebenaran, akan senang tertipu dengan hujah-hujah yang pelik dan nampak lain dari yang lain.

Mereka yang kafir, selalu mencari-cari kesalahan di dalam Islam dan Al-Qur’an, akan menggunakan ayat-ayat sebegini untuk menolak Islam.

 

وَيَهْدِي مَن يَشَاءُ

dan memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya

Mereka yang ada keinginan kepada kebenaran akan menjumpai kebenaran. Allah akan membawa orang itu kepada kebenaran dan hidayah. Ini kerana mereka telah condong kepada kebenaran (dinamakan sifat inabah) dan kerana itu mereka ditarik oleh Allah ke arah kebenaran.

 

وَمَا يَعْلَمُ جُنُودَ رَبِّكَ إِلَّا هُوَ

dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja.

Ada banyak lagi bilangan penjara neraka itu. Kerana para Malaikat Zabaniah itu ketua sahaja dan mereka ada malaikat lain bawahan mereka. Macam Malaikat Maut ada satu sahaja, tapi dia ada malaikat bawahannya yang menjalankan kerja mencabut nyawa makhluk (bukanlah dia seorang cabut semua nyawa).

Hanya Allah sahaja yang tahu bilangan malaikat yang amat banyak itu. Dalam hadis ada disebut bagaimana Nabi Muhammad telah melihat banyaknya malaikat yang tawaf di Baitul Ma’mur. Maka akan ada yang ditugaskan juga untuk menjaga neraka dan menjadi algojo menyeksa manusia di dalam neraka.

 

وَمَا هِيَ إِلَّا ذِكْرَىٰ لِلْبَشَرِ

Dan ianya tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia.

Yang dimaksudkan ‘ianya’ adalah Neraka. Jadi ayat-ayat di atas adalah sebagai peringatan. Kita kena ambil pengajaran dari ayat-ayat yang telah disampaikan. Jangan pula pakai untuk halau hantu, ayat Pengasih dan sebagainya. Masalah dengan orang kita, kalau ada pelik sikit, mula mereka gunakan ayat-ayat itu sebagai ‘azimat’. Tambah pula kalau ada nombor-nombor seperti ayat ini.

Mereka tak faham pun makna ayat-ayat yang mereka bacakan. Kalau mereka tahu, mereka akan sedar bahawa ayat-ayat itu tidak ada kena mengena dengan niat mereka membaca ayat-ayat itu. Sebagai contoh, ada yang menggunakan ayat لَقَدْ جَاءكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ (Tawbah:128) sebagai Ayat Pengasih, padahal ianya menceritakan tentang datangnya Nabi Muhammad dan menceritakan sifat-sifat baginda.

Perbuatan masyarakat kita yang menjadikan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai azimat ini amat menyedihkan. Sedih kita lihat kejahilan masyarakat kita dalam hal agama ini.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Januari 2020


Rujukan:

Ustaz Adli Yayasan Taalim

Nouman Ali Khan

Hijaab Iqbal Al-Huda International

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s