Tafsir Surah Muddaththir Ayat 32 – 47 (Neraka Saqar)

Ayat 32: Ayat 32 – 48 adalah Perenggan Makro Keenam. Ia mengandungi kesaksian bulan, malam dan pagi.

كَلّا وَالقَمَرِ

Sahih International

No! By the moon

Malay

Sebenarnya! Demi bulan,

 

Allah bersumpah dengan bulan. Huruf ‘و’ bukan sahaja bermaksud ‘dan’, tetapi ia juga digunakan dalam sumpah/qosam. Jadi kena pandai bezakan. Kalau hujung perkataan itu kasrah, maka ia adalah ayat sumpah.

Kenapa Allah bersumpah dengan bulan? Tentu ada sebab kerana Allah tidak saja-saja menggunakan sumpah. Benda yang dijadikan sumpah oleh Allah ada kepentingan. Untuk mengetahuinya, maka kita kena lihat apakah sifat bulan.

Bulan ada cahaya tapi tidak banyak dan tidak menyerlah sangat kerana ianya mengambil cahaya pun dari matahari. Oleh itu, cahaya bulan tidak tidak sama macam cahaya matahari. Cahaya dan sinaran tidak sama.

Kita simpan dahulu dan lihat lagi apakah sumpah Allah dalam ayat seterusnya.


 

Ayat 33:

وَاللَّيلِ إِذ أَدبَرَ

Sahih International

And [by] the night when it departs

Malay

Dan malam apabila ia balik melenyapkan diri,

 

Dalam ayat ini, Allah bersumpah pula dengan malam. Malam datang dan pergi, seperti juga bulan.

Dalam ayat sebelum ini, Allah bersumpah dengan bulan, sekarang dengan malam pula. Sewaktu bulan ada, ada cahaya sedikit. Tapi kalau malam tidak ada bulan, langsung gelap gelita. Kita lihat pula sumpah Allah yang ketiga.


 

Ayat 34:

وَالصُّبحِ إِذا أَسفَرَ

Sahih International

And [by] the morning when it brightens,

Malay

Dan waktu subuh apabila ia terang-benderang,

 

Malam pergi dengan datangnya subuh.

Semua kejadian alam ini menunjukkan kehebatan Allah kerana Allah yang menguruskannya. Tetapi digunakan ketiga-tiga makhlukNya itu sebagai isyarat kepada ‘cahaya wahyu’:

Bulan: sebelum Nabi Muhammad dilantik menjadi Nabi, masih ada lagi wahyu dalam dunia waktu itu, seperti Kitab Taurat dan Injil. Tapi ianya ibarat cahaya bulan sahaja – lemah dan tidak boleh bergantung kepada cahaya bulan itu sahaja.

Malam: isyarat kepada kegelapan syirik apabila kesyirikan berlaku dengan berleluasa.

Subuh: apabila cahaya matahari mula menyinari bumi sepertimana cahaya wahyu bergemerlapan dengan datangnya Nabi Muhammad sebagai Nabi membawa Al-Qur’an.

Ayat ini dan banyak ayat-ayat lain, Allah bersumpah dengan makhlukNya. Allah boleh bersumpah dengan apa sahaja. Ini hak Allah. Allah bersumpah untuk menekankan satu-satu perkara.

Kita pula tidak boleh bersumpah ikut suka kita. Kalau nak sumpah juga, kena gunakan nama Allah. Kalau kita sumpah ‘demi negara’ pun, sudah ada masalah. Maka jangan lagi buat macam itu. Demi bulan, demi bintang, demi Nabi sekalipun tidak boleh.

nota tambahan: ‘Waktu Asfar’ adalah waktu apabila cahaya sudah mula kelihatan. Ianya masih lagi dalam waktu Subuh. Kalau kita lihat di luar, kita sudah kenal itu kambing, itu lembu, itu orang dan sebagainya.

Kepada mazhab Hanafi, Waktu Asfar adalah masuk waktu Solat Subuh. Ini berlainan dengan mazhab-mazhab yang lain yang berpendapat Waktu Subuh masuk lebih awal, iaitu selepas keluar Fajar Sadiq. Antara hujah mazhab Hanafi, ‘Waktu Asfar’ ini ada disebut dalam Al-Qur’an, iaitu di dalam ayat ini. Maka ia waktu yang lebih penting pada mereka.


 

Ayat 35: Ini adalah jawab kepada sumpah Allah dalam ayat sebelum ini.

إِنَّها لَإِحدَى الكُبَرِ

Sahih International

Indeed, the Fire is of the greatest [afflictions]

Malay

Sesungguhnya neraka Saqar itu adalah salah satu (malapetaka) yang amat besar,

 

‘Sesuatu’ yang dimaksudkan dalam ini adalah neraka. Surah Makkiah banyak menyentuh dan mengajar tentang akidah. Sekarang ayat ini adalah tentang kepercayaan kepada neraka. Allah menceritakan sifat neraka dalam ayat ini. Ianya adalah sesuatu yang amat besar, amat menakutkan.

Kita kenalah tahu hal neraka. Kerana dengan mengetahui apakah neraka, sifatnya dan kepayahan yang tidak terhingga di dalamnya, maka akan menyebabkan kita takut untuk melakukan dosa. Allah sudah beritahu siap-siap, tentang hukuman yang akan diberikan kalau kita tidak menurut perintahNya.

Jangan jatuh kepada perbincangan golongan falsafah yang kata neraka itu hanyalah sebagai ‘momokan’ untuk menakutkan manusia sahaja. Sampai ada golongan tarekat dan Sufi yang kata: kalau takut kepada neraka adalah syirik kerana mereka kata ianya seperti takut kepada makhluk selain Allah. Pemahaman ini amat jauh dari pemahaman yang ada dari Al-Qur’an dan sunnah. Kerana ingatlah yang Allah dan Nabilah yang menakutkan kita dengan neraka.

Ada juga yang mengatakan bahawa إِنَّهَا bermaksud Al-Qur’an. Kalau yang dimaksudkan Al-Qur’an, ianya juga adalah sesuatu yang amat besar kerana ianya memberi hidayah kepada manusia.


 

Ayat 36:

نَذيرًا لِّلبَشَرِ

Sahih International

As a warning to humanity –

Malay

Yang menjadi amaran bagi umat manusia,

 

Neraka itu adalah salah satu amaran kepada manusia. Allah menceritakan tentang neraka untuk menakutkan manusia. Supaya kita semua beringat jangan buat dosa.

Maka begitu juga dengan para pendakwah, kena beri amaran dan menceritakan keburukan yang akan manusia terima kalau mereka tidak taat kepada Allah. Bukan nak cerita benda sedap sahaja seperti syurga dan rahmat Allah. Neraka pun kena cerita juga. Kerana ada manusia yang terkesan dengan sesuatu yang menakutkan.

Dan kalau إِنَّهَا itu merujuk kepada Al-Qur’an, maka Al-Qur’an itu juga sebagai peringatan kepada manusia juga. Ada banyak sekali ayat-ayat peringatan di dalam Al-Qur’an yang kita kena ambil perhatian.


 

Ayat 37:

لِمَن شاءَ مِنكُم أَن يَتَقَدَّمَ أَو يَتَأَخَّرَ

Sahih International

To whoever wills among you to proceed or stay behind.

Malay

(Iaitu) bagi sesiapa di antara kamu yang mahu maju (dalam mengerjakan kebaikan) atau yang mahu mundur (daripada mengerjakannya).

 

‘Maju’ itu bermaksud mereka yang mahu menerima peringatan dan menerima petunjuk dan melakukan kebaikan dalam kehidupan mereka di dunia. Tapi dalam masa yang sama, ada yang mundur dan berpaling.

Yang menerima akan mendapat untung dan yang menolak akan mendapat kerugian yang besar. Terpulang kepada manusia mana mereka nak ikut. Tapi Allah sudah beri amaran dengan neraka.

Keimanan kepada syurga dan neraka adalah kepercayaan kepada perkara ghaib. Kerana kita tak akan nampak syurga dan neraka semasa di dunia. Inilah latihan membina taqwa dalam diri kita. Kerana walaupun tak nampak, tapi kita percaya juga. Kita percaya kerana ia ada di dalam Al-Qur’an.


 

Ayat 38:

كُلُّ نَفسٍ بِما كَسَبَت رَهينَةٌ

Sahih International

Every soul, for what it has earned, will be retained

Malay

Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya,

Setiap manusia akan disoal tentang apa yang dilakukannya. Kecil atau besar akan ditanya. Lihat ayat Kahf:49

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.

Manusia akan terkejut kerana melihat segala-gala perbuatan mereka di dunia telah ditulis. Mereka sangka yang besar-besar sahaja yang direkod, tapi rupanya yang mereka anggap kecil pun ditulis dan akan dipersoalkan. Macam kita sekarang, dalam zaman media mudah, senang sahaja apa yang kita nak tulis sampaikan seluruh dunia boleh lihat apa yang ditulisnya.

Perkataan رَهِينَةٌ bermaksud gadai. Kalau kita lihat ada kedai pajak gadai Islam yang bernama ar-Rahnu, bukan? Apabila kita gadai barang kita ke kedai pajak gadai, barang itu akan tertahan di kedai itu sampailah kita boleh tebus barang itu dengan bayaran. Dan bayaran di akhirat nanti adalah dengan amalan ibadat kita dan iman kita. Amal ibadat itu tidak terus diterima, ianya akan diperiksa dahulu. Kerana ada amalan kita yang salah, ada amalan yang tidak ikhlas dan sebagainya. Oleh itu, amalnya tergantung hingga dipersoalkan.


 

Ayat 39:

إِلّا أَصحٰبَ اليَمينِ

Sahih International

Except the companions of the right,

Malay

Kecuali puak Kanan,

 

Golongan ini adalah mereka yang akan menerima Kitab Amal mereka di tangan kanan. Mereka ini akan melalui sesi perbicaraan dengan mudah sahaja. Pengiraan mereka mudah sahaja. Siapa ‘Puak Kanan’ ini ada disebut dalam Surah Waqiah dari ayat 27-40.


 

Ayat 40:

في جَنّٰتٍ يَتَساءَلونَ

Sahih International

[Who will be] in gardens, questioning each other

Malay

(Mereka ditempatkan) di dalam Syurga (yang penuh nikmat), mereka bertanya-tanya,

 

Mereka akan bertanya sesama sendiri. Sama ada sesama ahli syurga atau mereka bertanya kepada ahli neraka.


 

Ayat 41:

عَنِ المُجرِمينَ

Sahih International

About the criminals,

Malay

Tentang (tempat tinggal) orang-orang yang bersalah,

 

Mereka bertanya sesama ahli syurga tentang orang lain yang dulu di dunia berbuat kesalahan.

Ataupun mereka tanya sendiri kepada orang yang berdosa (ahli Neraka). Allah boleh jadikan mereka boleh bertanya kepada ahli neraka, walaupun mereka duduk di tempat berlainan – satu di syurga dan satu di neraka.

Siapakah orang yang bersalah ini? Adakah orang kafir atau orang Muslim yang jahat? Mufassir mengatakan yang ianya boleh jadi dua-dua sekali. Kerana kita kena faham, tidak semestinya seorang yang mengaku Muslim itu terus masuk syurga. Mereka ada yang dimasukkan ke dalam neraka.


 

Ayat 42: Inilah soalan yang mereka tanyakan kepada ahli neraka.

ما سَلَكَكُم في سَقَرَ

Sahih International

[And asking them], “What put you into Saqar?”

 

Malay

(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?”

Ini adalah dalil bagaimana semua akan ditanya tentang perbuatan mereka semasa di dunia. Termasuklah orang kafir sekali. Orang orang kafir pun akan ditanya tentang solat mereka, puasa mereka dan sebagainya. Jangan sangka kerana mereka itu sudah kafir, mereka tidak ditanya tentang amalan-amalan yang mereka sepatutnya lakukan.


 

Ayat 43: Inilah jawapan pertama yang diberikan.

قالوا لَم نَكُ مِنَ المُصَلّينَ

Sahih International

They will say, “We were not of those who prayed,

Malay

Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;

 

Yang pertama adalah tentang solat. Mereka yang dimasukkan ke dalam neraka itu adalah mereka yang tidak solat. Maka solat adalah perkara yang amat penting. Inilah perkara pertama yang disebut menyebabkan masuk neraka.

Maka kita kena jaga solat kita dan kena tahu ilmu tentang solat. Jaga segala perkara yang berkaitan dengan solat. Jangan ambil mudah dengan solat. Takut cara solat kita lakukan itu tidak betul sampaikan tidak diterima dan tidak dikira melakukan solat lagi.

Ramai orang sibuk dengan hadis-hadis yang menceritakan keburukan kalau meninggalkan solat. Banyak pula hadis-hadis itu dhaif atau palsu. Apakah tidak cukup dengan amaran dari ayat ini? Ini sepatutnya sudah cukup menakutkan kita. Kalau tidak solat, boleh dimasukkan ke dalam neraka.


 

Ayat 44: Ini adalah sebab kedua kenapa mereka dimasukkan ke dalam neraka.

وَلَم نَكُ نُطعِمُ المِسكينَ

Sahih International

Nor did we used to feed the poor.

Malay

“Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;

 

Mereka buat tak kisah kepada orang miskin. Mereka pandang sahaja, tanpa menolong. Mereka tidak tahu dan tidak kenal pun siapa orang miskin dalam masyarakat mereka kerana mereka tidak bercampur gaul melainkan dengan kalangan mereka yang kaya raya.

Solat adalah hubungan dengan Allah dan memberi makanan adalah hubungan dengan manusia. Kedua-duanya kena dijaga. Maka kalau ada masalah salah satu, memang akan akan masalah di akhirat kelak.


 

Ayat 45: Ini adalah sebab ketiga.

وَكُنّا نَخوضُ مَعَ الخائِضينَ

Sahih International

And we used to enter into vain discourse with those who engaged [in it],

Malay

“Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya;

 

Perkataan خوض bermaksud ‘memperdalam perbahasan’. Nampak macam perkara baik tapi ia merujuk kepada perkara yang tidak elok. Iaitu berbincang benda yang tak perlu bincang.

Contohnya bincang tentang Dzat Allah. Atau apabila dengar tentang suruhan Allah, bincangkan kebaikan atau tidak suruhan itu. Atau bincang kenapa Allah tak masukkan kita terus dalam syurga. Banyak lagi perkara-perkara lain yang dibangkitkan oleh mereka yang lemah akalnya. Perkara-perkara itu semua buang masa sahaja.

Masalah zaman kita sekarang, kita sekarang banyak ‘mufti’. Mufti Internet, mufti Facebook, Whatsapp dan sebagainya. Banyak yang menulis dan berbahas di media massa supaya orang puji mereka, kononnya mereka banyak ilmu. Berdakwah memang bagus, tapi masalahnya, mereka berkata-kata tanpa ilmu. Lihat A’raf 33.

وَأَن تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

dan kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.

Kalau nak bercakap tentang Islam, kenalah ada pengetahuan asas tentang agama. Kenalah pergi belajar di kuliah dan kelas agama. Janganlah baru membaca sedikit, sudah nak bahas tentang agama dan hukum. Janganlah baca ayat Al-Qur’an dan hadis sendiri-sendiri.

Kena belajar tafsir ayat-ayat Al-Qur’an itu dan syarah hadis-hadis itu. Kerana kalau baca sahaja, kita tidak faham kerana asas tidak ada. Dua perkara yang tidak boleh sembang langsung kalau tidak ada ilmu: tentang Allah dan tentang ayat Al-Qur’an.

Orang Melayu kita memang ada baca Al-Qur’an dan hadis. Tapi bila tak biasa pergi majlis ilmu, hanya sekali sekala dengar ceramah di masjid dan surau, mereka sangat keliru tentang agama. Sebagai contoh, mereka baca Nabi pernah pacak pelepah tamar di kubur, mereka pun nak buat begitu juga. Padahal, sahabat pun tak buat begitu walaupun mereka nampak Nabi melakukannya.

Ini kerana mereka tahu itu bukanlah sunnah. Dan tidaklah Nabi buat perkara yang sama kepada kubur yang lain. Memang hadis perbuatan Nabi itu ada, tapi ini perlu dipelajari. Jangan baca hadis sahaja tanpa faham. Tidaklah semua hadis sahih itu menjadi sunnah.

Ilmu dalam mengamalkan sesuatu itu amat penting, kerana Allah telah berfirman dalam Isra’:36

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

Ayat ini memberitahu kita yang kita kena ada ilmu untuk beramal. Dalam mazhab Syafie, kalau beramal tanpa ilmu, amalan itu tertolak. Dan ilmu itu bukan taklid, hanya mengikut apa kata ustaz sahaja. Oleh itu, jangan ambil jalan mudah dengan hanya mengikut sahaja. Kita kena tahu apakah dalil dari sesuatu amalan itu, bagaimana Nabi melakukannya. Jangan hanya dengar kata-kata ustaz sahaja.


 

Ayat 46: Ini adalah kesalahan keempat yang dilakukan oleh ahli neraka.

وَكُنّا نُكَذِّبُ بِيَومِ الدّينِ

Sahih International

And we used to deny the Day of Recompense

Malay

“Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan,

 

Perkataan الدِّينِ dalam ayat ini bukan bermaksud ‘agama’ tapi bermaksud ‘pembalasan’. Ada ustaz yang tak tahu bahasa Arab, mereka terjemahkan ayat ini sebagai ‘Hari Agama’.

Ahli neraka itu kata mereka masuk neraka kerana dulu semasa di dunia, mereka tidak percaya kepada hari pembalasan – Hari Kiamat. Ataupun kalau mereka percaya, mereka menjalani kehidupan mereka macam Hari Kiamat itu tidak akan datang.

Jadi ada empat perkara yang menyebabkan mereka masuk Neraka Saqar:

1. Tidak solat
2. Tidak beri makan orang miskin
3. Berbincang tentang agama, tentang perkara yang tidak perlu dibincang, tanpa ilmu.
4. Tidak percaya kepada Hari Kiamat/akhirat


 

Ayat 47:

حَتّىٰ أَتٰنَا اليَقينُ

Sahih International

Until there came to us the certainty.”

Malay

“Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini”.

 

Perkataan الْيَقِينُ dalam ayat ini adalah ‘kematian’. Seperti yang digunakan dalam Hijr:99

وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ

Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu yang diyakini (kematian).

Ayat dari Surah Hijr ini banyak yang salah faham. Ada golongan yang sesat kata mereka buat ibadat kalau belum sampai tahap yakin sahaja. Apabila kononnya mereka sudah yakin dengan agama (sampai Maqam Yaqin), sudah tak perlu buat ibadat lagi. Padahal Nabi sampai mati pun masih sibuk buat ibadat.

Ini adalah kerana mereka tak belajar tafsir Al-Qur’an, tapi baca Al-Qur’an dan faham sendiri sahaja. Mereka hanya tahu maksud ‘yakin’ itu, satu sahaja. Mereka tak tahu bahasa Al-Qur’an. Inilah masalah kalau salah belajar.

Kenapa kematian dipanggil sebagai ‘al-yaqin’? Kerana ianya adalah sesuatu yang kita pasti, kita yakin dia akan datang. Semua benda lain kita tidak boleh pastikan, tapi kita yakin yang suatu hari nanti, kita semua akan mati.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Januari 2020


Rujukan:

  1. Ustaz Adli (Yayasan Ta’lim)
  2. Nouman Ali Khan (Bayyinah Institute)
  3. Hijaab Iqbal (al-Huda Foundation)

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s