Tafsir Surah Waqiah Ayat 17 – 34 (Nikmat dalam syurga)

Ayat 17: Penjelasan dari Allah lagi tentang keadaan di syurga yang diberikan kepada golongan Muqarraboon itu.

يَطوفُ عَلَيهِم وِلدٰنٌ مُّخَلَّدونَ

Sahih International

There will circulate among them young boys made eternal

Malay

Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka, –

 

Pelayan-pelayan itu akan kekal umur mereka dalam belasan tahun, tidak meningkat umur mereka. Mereka tidak akan jadi tua-tua. Kalau sekarang di dunia, selalunya pelayan adalah orang-orang muda dan tugas mereka adalah jadi valet di hotel-hotel dan sebagainya. Mereka muda dan kerana itu mereka semangat untuk bekerja.

Memang umur penghuni syurga tidak akan berubah-ubah. Tetap pada satu umur sahaja. Kalau perempuan akan sentiasa berumur 28 tahun dan lelaki akan sentiasa berumur 33 tahun. Begitu juga para pelayan itu tidak meningkat usia mereka. Kerana kalau pelayan di hotel atau di restoran, apabila mereka telah tua, mereka diganti dengan orang muda yang lain. Sedangkan pelayan-pelayan di syurga akan kekal tidak ditukar-tukar.

Ada yang kata bahawa pemuda-pemuda itu adalah anak orang kafir yang mati kecil. Ada yang kata Tuhan cipta mereka secara khas.

Ada pula pendapat yang kata mereka itu anak-anak muslim yang mati sebelum baligh. Maka mereka tidak ada pahala untuk dibalas dengan syurga dan dosa untuk dibalas dengan neraka. Maka mereka ditugaskan jadi pelayan di syurga sahaja.

Maka mereka berkhidmat kepada ahli syurga sahaja. Tapi ini agak lemah kerana dalam ayat Tur:21 telah disebut yang anak-anak orang mukmin akan dimasukkan sekali dengan ibu bapanya dalam syurga. Kerana itu lebih sesuai kalau kita katakan mereka itu adalah anak-anak orang kafir yang mati sebelum baligh. Allahu a’lam.

Mereka itu ramai menjadi pelayan tuan syurga, mungkin ada beribu dalam satu-satu istana. Seorang penghuni syurga pula ada banyak istana.

Nota: Ada juga golongan gay yang kata, pelayan-pelayan lelaki ini untuk memuaskan nafsu golongan gay yang masuk ke syurga. Mereka kata Allah maha pemurah, golongn gay pun Allah ada bagi layanan untuk memuaskan nafsu seks! Ma sha Allah, sudahlah buruk perangai, mereka itu jahil dan bodoh sangat! Mana pula golongan gay akan masuk syurga? Golongan gay masuk neraka!

Begitulah antara cara manusia memusing dan mengatakan benda yang tidak benar tentang Qur’an. Ini jenis syaitan sudah kawal mereka sampai mereka boleh kata begitu.


 

Ayat 18: Apa tugas pelayan-pelayan itu? Apa yang mereka bawa?

بِأَكوابٍ وَأَباريقَ وَكَأسٍ مِّن مَّعينٍ

Sahih International

With vessels, pitchers and a cup [of wine] from a flowing spring –

Malay

Dengan membawa piala-piala minuman dan teko-teko serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir.

 

بِأَكْوَابٍ

Dengan gelas-gelas;

Pelayan-pelayan dalam syurga itu akan berpusing dalam syurga membawa air minuman untuk tuannya. Gelas itu nampak macam kaca, tapi diperbuat dari emas. أكواب adalah gelas jenis tidak ada pemegang.

 

وَأَبَارِيقَ

dan teko-teko;

Dan teko-teko itu juga diperbuat dari emas. Atau dipanggil kendi. Ianya ada pemegang kalau dibandingkan dengan أكواب. Ianya tentulah jenis yang layak untuk syurga. Tidaklah dapat kita nak bayangkan.

 

وَكَأْسٍ مِنْ مَعِينٍ

dan piala-piala dipenuhi dengan air arak;

Kalimah كأس adalah bekas minuman yang dipenuhi dengan air. Piala itu dipenuhi dengan arak. Memang semasa kita di dunia kita tidak boleh minum arak. Tapi di syurga, arak boleh diminum. Seperti juga lelaki tidak boleh pakai sutera semasa di dunia, tapi di syurga akan dipakaikan dengan sutera yang berkualiti tinggi.

Ada berbagai jenis arak dan minuman yang ada dalam syurga. Arak itu adalah cairan arak yang tulen. Kerana di dunia ini hanya tiruan sahaja. Dan arak itu jauh lebih sedap dari arak di dunia. Arak di dunia sebenarnya bukan sedap sangat. Orang minum kerana nak pening-pening sahaja. Kerana nak dapat pening itu, mereka minum juga arak yang tidak sedap dan masam itu. Lama kelamaan, mereka sudah biasa dengan rasa yang tidak sedap itu.

Dan arak itu boleh diambil dari sungai yang mengalir dalam rumahnya sahaja. Kalimah مَعِينٍ dari ع ي ن yang bermaksud mata air dan مَعِينٍ bermaksud mata air yang mengalir. Kerana dalam istananya, ada empat batang sungai, dari madu, susu, arak dan air.


 

Ayat 19: Apakah minuman yang diberi itu?

لّا يُصَدَّعونَ عَنها وَلا يُنزِفونَ

Sahih International

No headache will they have therefrom, nor will they be intoxicated –

Malay

Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya.

 

لَا يُصَدَّعُونَ عَنْهَا

Tidak memeningkan kepala kerana meminumnya,

Sudahlah arak itu sedap, ia tidak memeningkan pula seperti arak yang di dunia sekarang. Selalunya kalau malam minum arak, esoknya akan pening sepanjang hari (hangover). Nak buat kerja atau pergi ke mana-mana pun tidak boleh. Ada cahaya cerah dah sakit mata, kalau ada bunyi bising dah sakit lagi.

Jadi pening itu tidak bagus kerana kalau minum arak dan pening, itu bukan perkara baik. Kalau dah pening, takkan nak minum lagi? Jadi tidak dapat nak minum banyak kalau begitu. Kalau tidak boleh minum banyak, itu sudah bukan nikmat namanya.

 

وَلَا يُنْزِفُونَ

dan tidak menyebabkan mabuk;

Bukan sahaja arak itu tidak memeningkan, ia juga tidak memabukkan. Kerana mabuk itu bukan sifat yang baik, bukan? Kalau dah mabuk, dah tak tentu arah dan buat perkara yang tidak patut, cakap benda kurang ajar dan lucah. Kalau mereka nampak diri mereka semasa mereka mabuk, mereka pun akan malu.

Air itu diambil dari sungai-sungai yang mengalir di dalam istananya. Pelayan-pelayan itu akan mencedok dari sungai itulah. Penghuni syurga minum arak itu bukan kerana dahaga. Kerana sesiapa yang masuk syurga, tidak akan dahaga dan tidak akan lapar sampai bila-bila. Tapi kenapa makan dan minum juga? Kerana nak menikmati makanan itu. Dan cara makan mereka adalah cara makan orang yang tidak lapar. Makan dengan tenang untuk menikmati makanan syurga yang memang sedap.

Khamr di dunia terdapat empat hal: mabuk, menyebabkan kepala pusing, menyebabkan muntah dan kencing banyak. Tapi khamr di syurga nanti tidak ada semua itu.


 

Ayat 20: Tadi disebut tentang minuman, bagaimana pula dengan makanan?

وَفٰكِهَةٍ مِّمّا يَتَخَيَّرونَ

Sahih International

And fruit of what they select

Malay

Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih,

 

Mereka akan dapat ikut apa yang mereka hendak. Mereka boleh pilih mana yang mereka suka. Kerana kalimah يَتَخَيَّرونَ bermaksud mereka pilih, iaitu ambil masa untuk pilih. Maknanya mereka akan dipersembahkan dengan banyak sekali makanan dan mereka boleh pilih ikut suka mereka, tidak kelam kabut. 

Buah-buah semua jenis, termasuklah Durian Musang King atau apa sahaja (sebagai contoh sahaja kerana memang ada buah-buahan yang ada di dunia yang akan diberi di syurga). Ada makanan yang manusia itu tahu ada di dunia, tapi dia tidak berpeluang rasa semasa di dunia.

Semua buah-buahan itu ada diperbuat dari emas. Nampak macam durian, tapi diperbuat dari emas. Ada yang diperbuat dari perak. Bagaimana pula boleh makan emas pula? Rupanya memang semasa di dunia ini lagi sudah ada makanan yang diperbuat dari emas. Kalau zaman dulu kita tidak pernah tengok, tapi zaman sekarang sudah ada. Ini dilakukan oleh mereka yang kaya sangat sampai tidak tahu apa yang mereka nak buat dengan duit mereka. 

Bata jongkong bina istana diperbuat dari jongkong emas dan plaster dari kasturi. Antara dinding ke dinding 63 batu jaraknya. Tidak ada tandas dan bilik air kerana tidak perlu kerana ahli syurga tidak buang najis.

Walaupun mereka makan banyak, tapi tak buang najis pun. Mereka makan banyak sekali sama dengan kadar seribu orang makan, tapi tidak berak dan kencing. Makanan yang mereka makan itu akan keluar ikut liang peluh yang ianya berbau wangi.

Tidak ada malam dalam syurga. Siang sentiasa supaya penghuninya dapat menikmati kenikmatan sepanjang masa. Kerana kalau ada malam, maka ada tidur. Bila tidur, dah kurang masa untuk nikmat pula. Maka tidak ada malam di syurga. 


 

Ayat 21: 

وَلَحمِ طَيرٍ مِّمّا يَشتَهونَ

Sahih International

And the meat of fowl, from whatever they desire.

Malay

Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini.

وَلَحْمِ طَيْرٍ

Dan daging burung; 

Dalam riwayat dikatakan burung itu sebesar unta. Ini berdasarkan Sabda Nabi:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا سَيَّارُ بْنُ حَاتِمٍ، حَدَّثَنَا جَعْفَرُ بْنُ سُلَيْمَانَ الضَّبُعِيُّ، حَدَّثَنَا ثَابِتٍ، عَنْ أَنَسٍ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنَّ طَيْرَ الْجَنَّةِ كَأَمْثَالِ الْبُخْتِ، يَرْعَى فِي شَجَرِ الْجَنَّةِ”. فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ هَذِهِ لَطَيْرٌ نَاعِمَةٌ فَقَالَ: “أَكَلَتُهَا أَنْعَمُ مِنْهَا -قَالَهَا ثَلَاثًا-وَإِنِّي لَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ مِمَّنْ يَأْكُلُ مِنْهَا”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Sayyar ibnu Hatim, telah menceritakan kepada kami Ja’far ibnu Sulaiman Ad-Dab’i, telah menceritakan kepada kami Sabit, dari Anas yang menceritakan bahawa Rasulullah Saw. telah bersabda: Sesungguhnya burung syurga itu besarnya seperti unta, burung-burung itu terbang dengan bebasnya di pohon-pohon syurga. Maka Abu Bakar r.a. berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya burung syurga itu benar-benar burung yang hidupnya senang.” Rasulullah Saw. bersabda: Aku akan memakannya dan merasa lebih senang darinya —sebanyak tiga kali—. Dan sesungguhnya aku berharap semoga engkau termasuk salah seorang yang memakannya.

Berjenis-jenis burung dan jenis daging yang akan diberikan kepada ahli syurga. Memang bahagian makanan tidak perlu risau.

 

مِمَّا يَشْتَهُونَ

daripada apa yang mereka ingini;

Kalimah dari ش ه و yang darinya dijadikan kalimah ‘syahwat’, iaitu keinginan. Mereka akan dapat dapat resipi apa yang mereka minta. Ikut keinginan selera mereka nak makan jenis apa hari itu. Kerana orang lain suka cara masak yang lain.

Contohnya mereka minta hidangan itu dalam cara masakan negeri Perak. Tapi lagi sedap dari apa yang kita dah rasa dalam dunia. Itu masakan yang dia tahu. Dia juga akan diberi dengan apa yang dia tidak pernah tahu wujud sebelum itu. Contohnya, kita tak tahu macam mana masakan syurga.


 

Ayat 22: Bagaimana pula pasangan mereka? Kalau nikmat banyak tapi tidak ada pasangan pun tidak menarik, bukan?

وَحورٌ عينٌ

Sahih International

And [for them are] fair women with large, [beautiful] eyes,

Malay

Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya,

 

Kalimah حورٌ nisbah kepada kulitnya yang cantik. Dan kalimah عينٌ pula nisbah kepada matanya yang cantik. Kalimah عينٌ bermaksud mata, dan ia juga bermaksud mereka cantik dipandang. Maknanya, mata mereka cantik dan mereka juga cantik dipandang.

Ini adalah dua kecantikan yang selalunya menarik perhatian lelaki, bukan? Maka Allah berikan kecantikan jenis ini kepada mereka. Dan tentulah perkara-perkara yang lain tentang mereka pun serba serbi cantik.

Seperti yang kita selalu dengar, pasangan syurga akan diberikan dengan bidadari. Dan mata mereka itu bukan sahaja cantik tapi ‘bermata jeli’. Maksudnya mereka bermata kuyu, mata yang hendak ‘dicampuri’, hendak digauli. Kalau di dunia, kadang-kadang suami kena merayu isteri untuk ‘bersama’, tapi di syurga, bidadari itu yang mahukan kita.

Mata mereka juga akan terjaga. Mereka akan tengok pasangannya sahaja, tak tengok lain dah. Kalau kita bawa isteri kita di dunia dulu jalan-jalan, mata mereka rambang hendakkan macam-macam yang ada di kedai-kedai. “abang, abang… cantik kan beg tangan tu bang, kan? Kalau pakai dengan baju raya tahun ni… aduhaiiiiii…..” Tapi bidadari ini tidak memandang kepada yang lain, tetapi kepada kita sahaja. Kerana pada mereka, tuan merekalah yang paling cantik dan paling hebat.

Jadi bidadari itu memang cantik. Tapi kriteria kecantikan di syurga tidak sama dengan kriteria kecantikan di dunia. Kerana mereka makhluk jenis lain dan penghuni syurga pun sudah jadi makhluk lain juga. Fizikal kita dah lain dan keinginan pun mungkin sudah lain dari keinginan di dunia. Dan kalau kita baca hadis tentang bidadari di syurga itu, dikatakan kita boleh nampak urat darah mereka.

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Rombongan yang pertama masuk syurga adalah dengan wajah bercahaya bak rembulan di malam purnama. Rombongan berikutnya adalah dengan wajah bercahaya seperti bintang-bintang yang berkemilau di langit. Masing-masing orang di antara mereka mempunyai dua isteri, dimana sum-sum tulang betisnya kelihatan dari balik dagingnya. Di dalam syurga nanti tidak ada bujangan.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Kalau di dunia, boleh nampak tulang sum-sum, bagaimana itu cantik, bukan? Agaknya kita lari dari orang sebegitu, tapi ia akan menjadi cantik untuk kita nanti. Jadi jangan nilai keadaan di akhirat dengan keadaan di dunia sekarang.


 

Ayat 23:

كَأَمثٰلِ اللُّؤلُؤِ المَكنونِ

Sahih International

The likenesses of pearls well-protected,

Malay

Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.

 

Mereka seolah-olah seperti mutiara yang tersimpan. Kalau mutiara di dunia, tentu kita simpan dengan baik, bukan? Kita letak dalam kotak supaya tidak berdebu.

Di dalam hadis disebut bidadari itu sebelum dipertemukan dengan pasangan ahli syurganya, mereka duduk dalam mutiara yang jin dan manusia tidak pernah tengok. Ini adalah kerana bidadari itu dicipta secara langsung oleh Allah untuk melayan penghuni syurga. Mereka tidak ada kehidupan lain sebelum itu. Mereka tidak ada emak ayah dan tidak ada bekerja sebelum itu. Mereka duduk tunggu penghuni syurga datang sahaja.

Dan jangan tak tahu yang ketua bagi bidadari itu semua adalah isteri yang dari dunia. Kalau bidadari itu cantik, isteri dia akan lebih cantik dari bidadari. Kerana bidadari tidak pernah ada ujian, tidak pernah buat ibadat. Tapi isterinya ada amalan semasa di dunia, telah lulus ujian di dunia. Jadi maqamnya tentulah lebih tinggi dari bidadari itu. Maka tentulah mereka akan dijadikan lebih cantik lagi dari bidadari itu. Takkan bidadari lagi cantik dari mereka pula.

Imam Ibnu Utsaimin menjelaskan,

المرأة الصالحة في الدنيايعني: الزوجةتكون خيراً من الحور العين في الآخرة ، وأطيب وأرغب لزوجها ، فإن النبي صلى الله عليه وعلى آله وسلم أخبر أن أول زمرة تدخل الجنة على مثل صورة القمر ليلة البدر

Wanita solihah di dunia – yaitu para isteri – lebih baik dibandingkan bidadari di akhirat. Mereka lebih indah dan lebih dicintai suaminya. Kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam menyebutkan bahawa  kelompok pertama yang masuk syurga itu seperti cahaya bulan di malam purnama. (Fatawa Nur ‘ala ad-Darb, 12/58)

Itu kalau isterinya masuk syurga sekali. Kalau tidak masuk sekali, dia akan diberi dengan isteri yang lain yang juga telah lulus ujian semasa di dunia. Termasuk juga kalau isteri masuk syurga, tapi suami masuk neraka. Isteri itu akan diberikan dengan suami yang lain.


 

Ayat 24:

جَزاءً بِما كانوا يَعمَلونَ

Sahih International

As reward for what they used to do.

Malay

(Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan.

Allah berikan segala kesenangan dan nikmat itu kerana perbuatan baik manusia dan jin itu semasa di dunia. Kerana mereka taat kepada Allah dan menjalankan segala perintah dan menjauhkan diri dari laranganNya, maka balasannya adalah syurga yang mereka akan kekal di dalamnya.

Perbuatan amal kebaikan kita tidak layak untuk mendapatkan tiket untuk masuk ke syurga sebenarnya. Ini adalah kerana syurga itu amat mahal. Tak mampu kita nak membayar harga masuk syurga itu. Tapi Allah dengan rahmatNya, menerima amalan kita yang sedikit itu dan dibalas dengan syurga yang jauh berkali-kali ganda lebih baik dari amalan kita.

Jadi, kita tidak boleh kata amalan kita akan memasukkan kita ke dalam syurga. Kerana amalan kita takkan cukup. Cuma Allah sahaja yang sanggup terima amalan kita yang sedikit itu dan balas dengan syurga yang jauh lebih hebat.

Kita pun selalu dengar: kita tidak masuk syurga dengan amalan kita, tapi dengan rahmat Allah. Dan inilah rahmat Allah: Allah terima amalan kita yang sedikit itu dan balas dengan syurga yang berjuta kali ganda lebih hebat.


 

Ayat 25: 

لا يَسمَعونَ فيها لَغوًا وَلا تَأثيمًا

Sahih International

They will not hear therein ill speech or commission of sin –

Malay

Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa; –

 

لَا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا

Tidaklah mereka akan mendengar di dalam syurga itu perkataan yang sia-sia;

Di syurga nanti tidak ada cakap-cakap kosong, lucah, cemburu dan sebagainya. Semua itu hanya memudarkan nikmat sahaja kerana tidak menggembirakan langsung. Semua perasaan buruk itu telah dicabut semua sekali. Maknanya, ada perasaan gembira sahaja di di syurga nanti.

Termasuk perasaan yang dicabut adalah perasaan teringat dan sayang kepada orang-orang yang dulunya dia sayang di dunia, tapi mereka itu masuk dalam neraka. Contohnya, katakanlah anaknya dimasukkan ke dalam neraka. Allah akan cabutkan perasaan sayang dan teringat kepada anaknya itu. Termasuk juga ibu bapa, adik beradik, suami dan isteri atau sesiapa sahaja. Kerana kalau dia teringat, tentulah dia akan bersedih mengenangkan orang yang dia sayang dulu. Dan sedih bukanlah perasaan yang boleh ada di syurga.

Jadi tidak ada kata-kata yang sia-sia. Antara contoh cakap kosong adalah, kalau kita nampak kereta cantik, kita kata “eh, cantiknya kereta tu.” Selepas itu sambung macam-macam. Itu adalah contoh cerita perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah apa-apa pun. Dan kita memang suka buat perkara ini, bukan? Kalau bersembang dari satu topik ke satu topik tak habis-habis.

Akan tetapi, orang beriman kalau dengar orang bercakap kosong, dia kena lari dan tidak campur dengan mereka. Ini kerana bercakap kosong itu pun dah berdosa dah.

 

وَلَا تَأْثِيمًا

dan tidak ada dosa;

Sudah tidak ada dosa lagi dalam syurga. Bukan sahaja tidak ada dosa, tapi perkara yang membawa kepada dosa pun tidak ada. Kerana kalimah إثم itu adalah dosa tapi kalimah تأثيم adalah perkara yang membawa kepada dosa. Sebagai contoh, kadangkala kita nak bercakap sahaja tapi lama kelamaan benda dosa. Iaitu bersembang dengan kawan kita tapi lama kelamaan mulalah bercerita tentang orang itu dan ini dan akhirnya jadi mengumpat, bukan? Jadi ini adalah contoh satu perkara dari percakapan. Itu pun tidak ada.

Dan sudah tidak ada ibadat. Maknanya tidak ada solat, puasa dan apa sahaja ibadat yang diwajibkan ke atas penghuninya. Ini kerana mereka itu tinggal dalam syurga untuk menikmati kehidupan sahaja. Sampai bila? Selama-lamanya.

Dan nikmat yang paling besar adalah dapat berjumpa Tuhan. Ada hamba Allah yang dapat jumpa Tuhan, pagi sekali dan petang sekali. Tidakkah kita mahu untuk jumpa Tuhan? Tapi Tuhan hanya berjumpa dengan penghuni syurga sahaja. Iaitu Allah akan masuk dalam syurga dan beri salam kepada penghuninya.

Waktu itu Allah akan bercakap-cakap dengan makhlukNya. Alangkah nikmatnya kalau dapat hidup sebegitu. Banyak hadis yang menceritakan tentang Allah berkata-kata dengan makhluknya dalam syurga. Maka ini adalah akidah ahli Sunnah. Yang tidak menerimanya adalah mereka yang tidak faham.


 

Ayat 26: 

إِلّا قيلًا سَلٰمًا سَلٰمًا

Sahih International

Only a saying: “Peace, peace.”

Malay

Mereka hanya mendengar ucapan: ” Selamat! Selamat! ” (dari satu kepada yang lain).

 

Apabila berjumpa penghuni syurga yang lain, mereka menceritakan tentang kenikmatan yang mereka dapati. Mereka akan beri salam sesama mereka. Mereka amat suka dengan apa yang mereka dapat, maka mereka tidak berhenti menceritakan kelebihan-kelebihan yang mereka dapat itu.

Maknanya juga mereka bercakap dengan aman. Tidak takut tersalah cakap. Kalau di dunia, kita kena berhati-hati kalau bercakap, bukan? Kalau orang yang sudah berkahwin, mereka akan tahu perkara ini. Kadangkala nak cakap sesuatu, tapi tercakap benda yang lain dan tergurislah hati pasangan kita, bukan? Tapi di syurga nanti, bersembang lama pun tapi tidak menyebabkan sesiapa pun akan terasa dan terguris hati.

Maknanya, mereka dalam keadaan yang gembira dan senang. Tidak ada yang akan sebut mereka akan masalah atau tidak tenang hati. Segalanya baik-baik sahaja di syurga. Semua penghuni syurga akan hidup dalam keadaan sejahtera, aman, sihat dan teramat suka. Di dunia tidak akan terjadi perkara ini.

Semuanya akan gembira, maka itu pun penting juga. Kerana kalau kita sekarang gembira semasa di dunia, tapi bila dengar orang lain ada masalah, kita pun serabut juga fikiran kita, bukan? Tapi di syurga nanti, semua akan sebut berita baik sahaja. Semua menceritakan nikmat yang mereka terima dari Allah sahaja.


 

Ayat 27: Ini adalah golongan kedua pula. Sebelum ini telah disebut tentang golongan yang Muqarraboon (rapat) dengan Allah. Sekarang golongan yang lain pula iaitu yang menerima Kitab Amalan mereka dari tangan kanan. Mereka ini masih lagi golongan orang Mukmin tapi kedudukan mereka di bawah kedudukan golongan yang pertama tadi.

وَأَصحٰبُ اليَمينِ ما أَصحٰبُ اليَمينِ

Sahih International

The companions of the right – what are the companions of the right?

Malay

Dan puak kanan, – alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu!

 

وَأَصْحَابُ الْيَمِينِ

Dan golongan kanan;

Kebanyakan dari orang mukmin tak dapat masuk golongan pertama. Kerana golongan itu bukanlah golongan yang majoriti. Mereka itu adalah golongan yang teramat istimewa. Kita berharap, kalau kita tidak dapat menjadi golongan pertama itu, harapnya kita dapat masuk dalam golongan yang kedua ini.

 

مَا أَصْحَابُ الْيَمِينِ

Siapakah golongan kanan itu;

Allah buat pertanyaan dalam ayat ini sebagai penarik perhatian kepada pembaca Qur’an. Macam kita apabila bercerita dengan orang lain, kita tanya: “nak tahu? nak tahu tak?” Jadi ini sebagai penarik perhatian manusia.

Ataupun kalimah ini dalam bentuk ta’jub: alangkah beruntungnya mereka itu!


 

Ayat 28: Allah menceritakan keadaan mereka.

في سِدرٍ مَّخضودٍ

Sahih International

[They will be] among lote trees with thorns removed

Malay

Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri.

 

Golongan kedua ini juga dimasukkan ke dalam syurga. Dan di syurga itu ada banyak pohon Bidara. Tapi pohon bidara ada duri, bukan?

Kalimah مَّخضودٍ maksudnya tidak berduri. Di dunia ini ada pokok bidara, tapi berduri. Di syurga nanti pokok bidaranya tidak berduri. Di dunia, pokok bidara sedikit buahnya, tapi di syurga, banyak buahnya. Jadi, kalau di syurga nanti akan ada juga buah durian, tapi ia tidak berduri juga. Semuanya untuk memudahkan ahli syurga.


 

Ayat 29: 

وَطَلحٍ مَّنضودٍ

Sahih International

And [banana] trees layered [with fruit]

Malay

Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya,

 

Negeri Arab itu orangnya tinggal di padang pasir. Jadi, Allah memberitahu tentang buah-buahan yang mereka tahu sahaja. Dan sekarang disebut jenis buah pisang yang tersusun (maksudnya banyak sekali). Ia mengingatkan hal ini kepada orang-orang Quraisy karena mereka merasa kagum dengan pohon yang besar yang rendang naungannya seperti pohon talh dan pohon bidara.

Bukanlah nak kata di syurga itu hanya ada buah-buahan itu sahaja. Tapi kalau Allah sebut buah-buahan yang mereka tak kenal, dah jadi satu kerja lain pula nak menceritakan kepada mereka apakah buah-buahan itu.

Tapi buah-buahan itu sangat sedap dan lebih manis dari madu. Ianya lebih sedap dari buah-buahan yang kita ada di dunia ini.


 

Ayat 30:

وَظِلٍّ مَّمدودٍ

Sahih International

And shade extended

Malay

Dan naungan yang tetap terbentang,

 

Sebenarnya, matahari tidak ada di syurga maka tidak perlu untuk naungan sebenarnya kerana tidak panas pun. Tapi Allah hendak beri gambaran betapa nyamannya suasana di sana. Kerana naungan memberi isyarat keadaan yang redup dan menyenangkan.

Ada pokok di istana penghuni syurga. Pokok itu sangat luas. Dalam hadis diceritakan bahawa dari perdu pokok itu, kalau mengembara naik kuda yang paling pantas, 100 tahun tidak berhenti-henti ia belum lagi sampai ke hujung dahannya. Bermakna, dahan itu lebih besar dari pokok itu lagi. Itu baru pokok sahaja. Kalau pokok pun sudah begitu hebat, bayangkan pula istana penghuninya!

قَالَ الْبُخَارِيُّ: حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، عَنْ أَبِي الزِّنَادِ، عَنِ الْأَعْرَجِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ -يبلُغُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ-قَالَ: “إِنَّ فِي الْجَنَّةِ شَجَرَةً يَسِيرُ الرَّاكِبُ فِي ظِلِّهَا مِائَةَ عَامٍ لَا يَقْطَعُهَا، اقرؤوا إِنْ شِئْتُمْ: {وَظِلٍّ مَمْدُودٍ}
Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ali ibnu Abdullah, telah menceritakan kepada kami Sufyan, dari Abuz Zanad. dari Al-A’raj, dari Abu Hurairah yang menyampaikannya dari Nabi Saw. yang telah bersabda: Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah pohon, bila seorang pengendara berjalan di bawah naungannya selama seratus tahun, ia masih belum menempuhnya. Bacalah oleh kalian jika kalian suka akan firman-Nya, “Dan naungan yang terbentang luas.” (Al-Waqi’ah: 30)

Naungan itu tidak terputus, di dalamnya tidak terdapat matahari, tidak panas seperti sebelum terbitnya fajar. Jadi cuaca di syurga itu amat nyaman – tidak panas dan tidak sejuk. Begitulah yang kita suka, bukan?


 

Ayat 31:

وَماءٍ مَّسكوبٍ

Sahih International

And water poured out

Malay

Dan air yang sentiasa mengalir,

 

Air itu macam air terjun. Dan ini menambah keindahan syurga itu. Orang Arab tidak ada air yang banyak di tempat mereka. Jadi air adalah sesuatu yang amat menarik perhatian mereka. Allah hendak menarik minat mereka kepada syurga supaya mereka berharap dan mahu beriman. Ini menjadi motivasi kepada mereka.

Bukan sahaja mereka suka kepada air, orang kita yang duduk di Malaysia pun suka kepada air walaupun tempat kita banyak juga sumber air. Sebab itu kalau rumah berdekatan dengan air, ia adalah kawasan perumahan yang mahal.

Bukan sahaja orang kita, di mana-mana sahaja memang kawasan yang air itu adalah kawasan perumahan yang mahal. Itulah sebabnya kalau rumah yang ada tasik, itu adalah rumah yang mahal. Dan kalau orang kaya, mereka akan buat kolam air pula di dalam rumah mereka. Ini kerana manusia memang suka tengok air kerana ia akan menenangkan hati mereka.


 

Ayat 32:

وَفٰكِهَةٍ كَثيرَةٍ

Sahih International

And fruit, abundant [and varied],

Malay

Serta buah-buahan yang banyak,

 

Terdapat banyak buah-buahan yang beraneka ragam warnanya, yang tidak pernah dilihat mata, tidak pernah didengar telinga, dan tidak pula pernah terbersit dalam hati manusia. Ulama mengatakan ada dua jenis buah-buahan di sana. Ada jenis buahan yang kita pernah lihat di dunia dan ada jenis yang kita tidak kenal pun.

Ada satu hadis riwayat Ibn Abbas: “Pernah terjadi gerhana matahari, lalu Rasulullah SAW mengerjakan solat dan orang-orang mengerjakan solat bersama baginda. Baginda menjelaskan tentang salat. Mengenai hal itu, mereka mengatakan: “Ya Rasulullah, kami melihatmu mengambil sesuatu dari tempatmu ini, kemudian kami melihatmu tertahan?!” Baginda menjawab: “Sesungguhnya aku telah melihat Syurga, lalu aku mengambil setandan buah darinya. Seandainya aku mengambilnya, pasti kalian akan terus memakannya sepanjang sisa umur dunia ini.”


 

Ayat 33: Sifat buah-buahan itu.

لّا مَقطوعَةٍ وَلا مَمنوعَةٍ

Sahih International

Neither limited [to season] nor forbidden,

Malay

Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya,

 

لَا مَقْطُوعَةٍ

Yang tidak putus-putus;

Apabila dipetik sahaja buah, akan terbit buah yang lain. Tidak putus musim. Tidak ada musim macam di dunia sekarang. Kalau buahan di dunia, tidak sentiasa ada. Ini macam kita yang kena tunggu musim durian kalau nak makan durian, bukan? Tapi di syurga, semua jenis buah itu tidak ada putus musimnya.

Semua jenis buah ada, tidak tertakluk dengan musim. Dalam surah ar-Rahman, disebutkan bahawa satu pokok, ada dua jenis rasa. Dan semua rasa itu sedap-sedap belaka.

Atau kalimah لَا مَقْطُوعَةٍ bermaksud bukanlah buah itu terputus dari tangkainya. Macam buah di dunia ada yang jatuh ke tanah, bukan? Buah-buahan syurga tidak begitu kerana ia tetap segar di dahannya. Maknanya petik segar dari dahannya.

 

وَلَا مَمْنُوعَةٍ

Tidak terlarang untuk mendapatkannya; 

Tidak tertahan untuk mengambilnya, baik pagar, mahupun duri atau jarak yang jauh. Semua buah itu kita boleh ambil. Ia mudah diambil, malah kalau kita mahu, dahan buah itu akan datang sendiri kepada kita untuk kita memetiknya.

Allah sebut di sini, kerana hendak membandingkan dengan syurga yang didiami oleh Nabi Adam a.s. sebelum diturunkan ke bumi. Waktu itu, ada pokok terlarang, bukan? Itu adalah sebagai ujian kepada Nabi Adam. Jenis pokok sebegitu tidak ada lagi di syurga yang baru ini. Maka semua buah dan makanan yang ada di syurga itu boleh dimakan, tidak ada yang terlarang.


 

Ayat 34: 

وَفُرُشٍ مَّرفوعَةٍ

Sahih International

And [upon] beds raised high.

Malay

Dan tempat-tempat tidur yang ditinggikan.

 

Indah dan selesanya kehidupan dalam syurga itu. Allah hanya beri sedikit maklumat sahaja kerana kalau nak diceritakan semuanya, kita tidak akan faham. Salah satu penerangan dari Allah untuk menunjukkan keselesaan di dalamnya ada katil dan tilam yang tinggi. Tinggi itu maksudnya ‘tinggi nilainya’.

Tidak disebut di sini, tapi dengan mengambil kira ayat kemudiannya, memberitahu bahawa di atas hamparan tilam itu ada wanita-wanita yang berbaring di atasnya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 Disember 2017


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Rosman

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s