Tafsir Surah Kahfi Ayat 46 – 49 (Harta dan anak untuk dunia sahaja)

Ayat 46: Dua perkara yang melalaikan manusia adalah harta dan anak-anak. Maka Allah sentuh tentang perkara ini dimana Allah menjelaskan kedudukan yang sebenarnya.

المالُ وَالبَنونَ زينَةُ الحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ وَالبٰقِيٰتُ الصّٰلِحٰتُ خَيرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوابًا وَخَيرٌ أَمَلًا

Sahih International

Wealth and children are [but] adornment of the worldly life. But the enduring good deeds are better to your Lord for reward and better for [one’s] hope.

Malay

Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.

 

الْمَالُ وَالْبَنُونَ

Adapun harta dan anak pinak

Kalimah الْبَنُونَ bukan sahaja merujuk kepada ‘anak pinak’ sahaja tapi boleh juga bermaksud orang-orang bawahan kita. Itu termasuk tentera, pekerja-pekerja, kumpulan-kumpulan dan anak-anak buah kita.

 

زِينَةُ الْحَيَوٰةِ الدُّنْيَا

adalah perhiasan hidup di dunia;

Harta dan anak pinak ianya hanya untuk sementara sahaja. Ianya memang menarik perhatian kita dan kerana itu Allah mengatakan ianya adalah ‘perhiasan’. Tapi ianya hanya di dunia sahaja. Maka janganlah kita tumpukan perhatian kita kepada dua perkara ini sahaja kerana ini akan menyebabkan persediaan kita untuk akhirat tergendala.

Mengadap Allah adalah lebih baik bagi manusia daripada menyibukkan diri dengan perhiasan dunia dan sibuk mencari kekayaan untuk mereka. Bukanlah kita nak tolak harta dan anak pinak itu, tapi kena berpada-padalah.

Ada juga orang Islam yang salah faham tentang perkara ini sampai mereka buang terus segala harta mereka. Dan ada yang kerana menjalankan kerja dakwah, mereka tinggalkan anak isteri mereka tanpa bekalan nafkah. Mereka kata: Allah akan cukupkan.

Itu adalah salah faham yang amat terus sekali. Bagaimana mereka boleh dakwah dan ajar orang lain tapi mereka biarkan anak isteri tanpa pedoman? Sedangkan itu adalah tanggungjawab mereka? Maka salah faham sebegini akan menyebabkan masalah dalam keluarga. Kerana anak isteri kita tetap memerlukan masa kita. Kita jangan abaikan kononnya kerana hendak memberikan diri kita sepenuhnya kepada agama.

 

وَالبٰقِيٰتُ الصّٰلِحٰتُ خَيرٌ عِندَ رَبِّكَ

dan yang kekal abadi ialah kebaikan amal soleh yang dilakukan ianya lebih baik di sisi Tuhan kamu

Yang lebih penting dari harta dan anak pinak adalah amal soleh kita.

Ada perincian tentang makna ayat ini. Ada yang mengatakan ini adalah solat lima waktu. Dan ada yang mengatakan berdasarkan hadis Nabi bahawa ianya  adalah: takbir, tahlil, tasbih, alhamdulillah serta zikir la hawla wala quwwata illaa billah. Selain dari itu, ia termasuk juga dengan puasa, salat, haji, sedekah dan lain-lain lagi amalan yang baik-baik.

Maka kalau begitu, kita boleh katakan segala amalan itu termasuk dalam ibadat yang perlu dilakukan. Yang penting, kita kena pastikan yang amalan itu adalah amalan soleh. Dan amalan soleh itu adalah amalan yang ada contoh dari Nabi dan bukannya amalan bidaah.

 

ثَوَابًا

sebagai balasan

Amal kebaikan yang telah dilakukan itulah yang boleh diharap untuk menjadi pahala bagi kita di akhirat kelak. Harta dan anak pinak belum tentu lagi dapat menyelamatkan kita. Malah dalam ayat Qur’an yang lain, Allah ada menyebut yang Allah jadikan harta dan anak pinak itu sebagai ujian bagi orang-orang yang tidak beriman.

 

وَخَيرٌ أَمَلًا

dan cita-cita yang lebih baik untuk diharapkan;

Kita tidak dapat nak berharap dengan bantuan sesiapa pun melainkan dengan balasan kepada amalan ibadah kita semasa di dunia. Jadi kalau tak buat apa-apa amalan, tidaklah boleh mengharap apa-apa.

Manusia banyak mengharap kepada anak-anak mereka dan harta mereka. Tapi Allah nak cakap itu adalah harapan yang sia-sia. Belum tentu lagi boleh menolong kita. Lainlah kalau harta itu diinfakkan pada jalan Allah dan anak-anak itu dididik dengan agama dan mereka menjalankan kerja-kerja agama. Barulah mereka menjadi ‘saham’ buat kita.

Kenapa kita tidak patut mengharap kepada dunia? Kerana dunia akan hancur semuanya seperti yang akan disebutkan dalam ayat seterusnya ini.


 

Ayat 47: Takhwif Ukhrawi. Allah menceritakan tentang kejadian Hari Kiamat nanti.

وَيَومَ نُسَيِّرُ الجِبالَ وَتَرَى الأَرضَ بارِزَةً وَحَشَرنٰهُم فَلَم نُغادِر مِنهُم أَحَدًا

Sahih International

And [warn of] the Day when We will remove the mountains and you will see the earth prominent, and We will gather them and not leave behind from them anyone.

Malay

Dan (ingatkanlah) hari Kami bongkar dan terbangkan gunung-ganang dan engkau akan melihat (seluruh) muka bumi terdedah nyata; dan Kami himpunkan mereka (di Mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan seorangpun dari mereka.

 

وَيَوْمَ نُسَيِّرُ الْجِبَالَ

Dan pada hari Kami memperjalankan gunung-ganang;

Kata سَيِّرُ bermaksud ‘berjalan dengan santai sahaja’. Macam tidak ada apa-apa kesusahan pada perjalanan itu. Itulah yang akan terjadi kepada gunung ganang nanti. Kita lihat sekarang gunung ganang itu kukuh dan tegap, tapi pada hari Kiamat nanti, ianya akan bergerak. Ia akan bergerak kerana hancur ditiup oleh angin.

 

وَتَرَى الْأَرْضَ بَارِزَةً

Dan kamu dapat lihat tanah itu akan jadi rata;

Dan nanti tidak akan ada lagi atas muka bumi. Dan kerana gunung dah hancur, maka segalanya jadi rata sekarang. Sekarang bayangkanlah, kalaulah bumi ini bergegar seminit sekali pada skala richter 3 sahaja, tidak lama kemudian, seluruh tanah akan jadi rata dan masuk dalam laut.

Itu baru pada skala 3 richter sahaja. Bayangkan gegaran semasa Hari Kiamat nanti lagi kuat dan pasti lama-lama akan hancur bumi ini. Tidak dapat dibayangkan kekuatan gegaran pada hari kiamat nanti.

Tafsir kedua: Perkataan بَارِزَةً bermaksud ‘bersemuka’. Bermakna, bumi akan menampakkan apa yang disembunyikan di dalamnya selama ini. Bumi akan memuntahkan apa yang ada dalam perutnya. Termasuklah segala kubur akan dibongkarkan dan akan dikeluarkan penghuni kubur itu.

 

وَحَشَرْنٰهُمْ

dan Kami akan kumpulkan mereka itu;

Semua makhluk akan dikumpulkan di Mahsyar nanti. Selalunya perkataan حشر ini digunakan untuk mengumpulkan binatang. Kerana selalunya kalau hendak mengumpulkan manusia digunakan perkataan جمع ‘jama’a’. Bermakna, Allah akan mengumpulkan semua makhluk dan akan dibawa ke Mahsyar macam binantang. Seperti pengembala lembu akan menghalau lembu-lembu peliharaan mereka untuk pulang ke kandang.

 

فَلَمْ نُغَادِرْ مِنْهُمْ أَحَدًا

Maka tidak akan tertinggal walau seorang pun dari mereka;

Allah tidak akan tinggalkan sesiapa pun. Kalau kita berjalan ramai-ramai dalam rombongan, mungkin ada juga yang tertinggal kalau nak kumpul kumpulan kita balik sebab ramai sangat orang dan ketua rombongan pun tidak terjaga. Atau kalau ramai-ramai nak masuk dalam stadium bola, ada juga seorang dua yang boleh menyelit masuk tanpa bayar sebab manusia ramai sangat waktu itu.

Keadaan di akhirat nanti tidak akan jadi macam tu. Tidak ada sesiapa yang boleh melarikan diri. Allah tidak akan tinggalkan sesiapa. Tidak ada sesiapa yang terselamat.

Kalau di dunia, mungkin kita nak hukum orang yang ramai, mungkin dalam ramai-ramai itu ada yang kita kasihan dan kita tidak jadi hukum dia, kita hukum orang lain sahaja. Tidak begitu nanti di Mahsyar.


 

Ayat 48:

وَعُرِضوا عَلىٰ رَبِّكَ صَفًّا لَّقَد جِئتُمونا كَما خَلَقنٰكُم أَوَّلَ مَرَّةٍ ۚ بَل زَعَمتُم أَلَّن نَّجعَلَ لَكُم مَّوعِدًا

Sahih International

And they will be presented before your Lord in rows, [and He will say], “You have certainly come to Us just as We created you the first time. But you claimed that We would never make for you an appointment.”

Malay

Dan mereka tetap akan dibawa mengadap Tuhanmu dengan berbaris teratur, (sambil dikatakan kepada mereka): “Kamu sekarang telah datang kepada Kami – (berseorangan) sebagaimana Kami telah jadikan kamu pada mulanya; bahkan kamu dahulu menyangka, bahawa Kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa yang tertentu (untuk melaksanakan apa yang Kami telah janjikan)”.

 

وَعُرِضُوا عَلَىٰ رَبِّكَ صَفًّا

Dan mereka akan dihadapkan kepada Tuhan kamu berbaris-baris;

Semua makhluk akan dihadapkan dalam keadaan bersaf-saf. Semua sekali dalam keadaan duduk berlutut kerana takut keadaan yang sedang dialami waktu itu. Keadaan itu diceritakan sedikit-sedikit di dalam beberapa surah yang lain. Nanti apabila kita telah belajar semua ayat, kita akan mendapat satu gambaran keadaan di Mahsyar nanti.

 

لَّقَدْ جِئْتُمُونَا كَمَا خَلَقْنٰكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ

Sesungguhnya kamu datang kepada Kami sepertimana Kami ciptakan kamu awal-awal dulu;

Semua akan datang dalam keadaan asal iaitu dalam keadaan bertelanjang bulat dan tanpa alas kaki. Semua akan datang seorang diri kerana tidak ada keluarga bersama kita yang akan menemani kita. Tidak juga guru-guru dan kawan-kawan kita semasa di dunia dulu.

Semua menunggu dalam keadaan ketakutan, hanya berbisik-bisik antara satu sama lain. Hanya kedengaran bunyi tapak kaki malaikat sahaja. Semua sekali menunggu keputusan Allah dalam keadaan takut. Semua sekali risau tentang apakah nasib yang akan mereka hadapi nanti.

Juga bermaksud dalam ayat yang lain, semasa kita dalam keadaan roh, kita dulu telah dikumpulkan di hadapan Allah. Jadi, dalam ayat ini, ini adalah pengumpulan kali kedua. Sebagaimana dulu pernah dikumpulkan seperti yang disebut dalam A’raf:172, begitulah yang manusia akan dikumpulkan sekali lagi di Mahsyar.

 

بَلْ زَعَمْتُمْ أَلَّنْ نَّجْعَلَ لَكُمْ مَّوْعِدًا

Bahkan kamu menyangka bahawa tidaklah Kami jadikan bagi kamu satu perjanjian perjumpaan;

Allah perli mereka yang tidak percaya kepada perjumpamaan di Mahsyar itu. Iaitu perjanjian untuk kembali semula untuk dihadapkan di hadapan Allah; mereka sangka mereka tidak akan dipertemukan dengan Allah dan kerana itu mereka tidak buat persediaan untuk menghadapi hari yang pasti datang itu.

Itu adalah sangkaan yang salah sekali. Jadi ayat ini adalah tempelak kepada mereka, kerana mereka tidak percaya kepada adanya hari Kiamat itu. Mereka akan menyesal pada hari itu kerana mereka tidak percaya akan adanya hari pengumpulan itu. Sekarang hari itu sudah ada di depan mereka dan Allah perli mereka: “Dulu kamu tidak percaya, bukan? Nah sekarang ia sudah ada di depan mata kamu.”


 

Ayat 49:

وَوُضِعَ الكِتٰبُ فَتَرَى المُجرِمينَ مُشفِقينَ مِمّا فيهِ وَيَقولونَ يٰوَيلَتَنا مالِ هٰذَا الكِتٰبِ لا يُغادِرُ صَغيرَةً وَلا كَبيرَةً إِلّا أَحصٰها ۚ وَوَجَدوا ما عَمِلوا حاضِرًا ۗ وَلا يَظلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Sahih International

And the record [of deeds] will be placed [open], and you will see the criminals fearful of that within it, and they will say, “Oh, woe to us! What is this book that leaves nothing small or great except that it has enumerated it?” And they will find what they did present [before them]. And your Lord does injustice to no one.

Malay

Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.

 

وَوُضِعَ الْكِتٰبُ

dan kitab amalan akan dibentangkan kepada mereka

Kitab Amalan manusia semasa hidup di dunia akan ditunjukkan kepada mereka. Perkataan وُضِعَ bermaksud ‘meletakkan ke bawah’. Seperti kitab amalan itu akan dijatuhkan di hadapan mereka. Mereka akan kena baca sendiri kitab amalan itu yang menceritakan dengan terperinci apa yang mereka lakukan dulu semasa di dunia.

 

فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ

Maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu dalam ketakutan dengan apa yang di dalamnya

Perkataan shafaq bermaksud di antara cerah dan gelap, iaitu waktu senja. Inilah ketika siang hendak bertukar kepada malam. Ia juga digunakan untuk mengambarkan perasaan ‘cinta dan takut’.

Apabila buku amalan itu dibentangkan, mereka akan mempunyai perasaan yang diantara dua sifat itu. Mereka dalam mengharap kalau-kalau ada yang baik dalam kitab amalan itu tapi dalam masa yang sama, mereka amat takut. Tapi akhirnya, seperti juga malam akan menang pada waktu senja itu, mereka juga tidak berapa lama kemudian akan tahu bahawa mereka bernasib malang.

 

وَيَقُولُونَ يٰوَيْلَتَنَا

Dan mereka berkata: alangkah celakanya kami

Bila mereka buka sendiri Kitab Amalan mereka itu, maka amatlah terkejutnya mereka. Waktu itu mereka sudah tahu nasib mereka bagaimana kerana apa yang tertulis di dalam kitab itu adalah adalah kebenaran. Maka mereka sudah rasa mereka akan jadi celaka.

 

مَالِ هَٰذَا الْكِتٰبِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصٰهَا

Apakah kitab ini, tidak ditinggalkan yang kecil dan besar melainkan dihitung semuanya;

Kitab Amalan itu akan tulis semua sekali perbuatan mereka, samada kecil ataupun besar. Mereka akan kata: kenapa dengan buku ini? Semua nak kira kah?

Perumpamaan begini: katakanlah kita hantar anak kita ke sekolah dan hujung tahun guru akan bagi laporan tentang anak kita semasa di sekolah. Kalau dia cerita tentang pencapaian akademik, perangai dia secara umum di sekolah, itu biasalah. Tapi kalau laporan itu sebut bagaimana semasa sampai di sekolah anak itu susun kasut dia, kemudian pergi ke tandas, kemudian makan apa di sekolah setiap hari, tentu kita pun hairan, bukan? Laporan apa ini sampai benda kecil pun nak cerita?

Begitulah kehairanan nanti bagi mereka yang banyak buat dosa. Mereka sangka perbuatan mereka itu kecil sahaja dan tidak patut ditulis pun, tapi semua sekali akan ada. Dalam ayat yang lain disebut bagaimana kerlingan mata pun akan ditulis.

 

وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا

Dan mereka dapati apa yang mereka lakukan hadir di depan mereka;

Mereka akan lihat semua apa yang mereka lakukan ada tertulis dalam kitab itu. Tak boleh nak tolak dah, kerana rekod sudah ada.

Maka akan ditulis semua sekali perbuatan manusia. Dalam hadis ada diceritakan yang kitab amalan itu digulung macam scroll. Bila dibuka, terhampar sejauh mata memandang. Itu baru perbuatan mereka untuk sehari sahaja semasa di dunia. Kita kena baca sendiri amalan kita itu. Selagi Tuhan tak tanya, tidak ada masalah. Kalau tanya sahaja, “kenapa buat begitu”, itu nak masuk neraka dah tu.

 

وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Dan tidaklah Tuhan kamu menzalimi satu orang pun;

Allah senaraikan semua sekali kerana Allah Maha Adil. Allah tidak akan zalim dengan menghukum perbuatan yang manusia tak buat. Tidak akan jadi begitu.

Dan mana-mana amalan baik manusia akan dibalas juga. Sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda dan boleh jadi lebih lagi. Maka tentu tidak boleh dikatakan Allah zalim, bukan?

Maka, tamatlah kisah manusia. Kerana kisah mereka akan tamat di akhirat. Dalam ayat seterusnya, Allah kembali mengisahkan tentang kejadian manusia pada mula-mula dulu iaitu kejadian Nabi Adam a.s.

Allahu a’lam. Habis Ruku’ ke 6 dari 12. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 13 Januari 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s