Ayat 210: Ayat ini adalah ayat takhwif duniawi. Ia adalah tentang azab yang mungkin diberikan kepada mereka yang degil untuk menerima Islam dan mengamalkannya 100%. Ini adalah sambungan daripada ayat sebelum ini, di mana kita disuruh berpegang dengan agama 100%.
هَل يَنظُرونَ إِلّا أَن يَأتِيَهُمُ اللَّهُ في ظُلَلٍ مِّنَ الغَمامِ وَالمَلائِكَةُ وَقُضِيَ الأَمرُ ۚ وَإِلَى اللَّهِ تُرجَعُ الأُمورُ
SAHIH INTERNATIONAL
Do they await but that Allah should come to them in covers of clouds and the angels [as well] and the matter is [then] decided? And to Allah [all] matters are returned.
MALAY
(Orang-orang yang ingkar itu) tidak menunggu melainkan kedatangan (azab) Allah kepada mereka dalam lindungan-lindungan awan, bersama-sama dengan malaikat (yang menjalankannya), padahal telah pun diputuskan perkara itu (balasan azab yang menimpa mereka); dan kepada Allah jua kembalinya segala urusan.
هَل يَنظُرونَ
Adakah mereka menunggu?
Adakah mereka menangguh-nangguh untuk beramal dengan agama Islam? Maksud perkataan ‘menunggu’ itu adalah mereka tidak mengamalkan agama Allah ﷻ dengan sepenuhnya dan kalau begitu, yang mereka tunggu adalah azab Allah ﷻ. Apa lagi yang mereka tunggu? Apa lagi yang menghalang mereka daripada mengamalkan Islam sepenuhnya?
Ini adalah sifat orang Munafik. Dia tahu yang sebagai seorang Muslim, kenalah amalkan agama Islam dengan sepenuhnya seperti yang disebut dalam ayat 208. Tetapi mereka menangguh juga lagi. Mereka kata: “Takpelah aku muda lagi”; bila nak kahwin, apabila keluarga suruh bersanding, mereka buat juga dan dalam hati kata: “Waktu ini sahaja aku buat syirik sebab nak jaga hati keluarga, nanti selepas dah duduk rumah sendiri bolehlah aku amalkan Islam sepenuhnya”;
Kalau waktu kerja atau berniaga, mereka sibuk sampai tidak menjaga salat – mereka kata bila sudah tidak sibuk nanti mereka akan jaga salat – dan macam-macam lagi alasan mereka apabila menangguh itu. Semua itu buat sedap hati sahaja.
إِلّا أَن يَأتِيَهُمُ اللَّهُ في ظُلَلٍ مِّنَ الغَمامِ
melainkan kedatangan (azab) Allah kepada mereka dalam lindungan-lindungan awan,
Allah ﷻ hendak beritahu bahawa masa yang mereka tunggu untuk mengamalkan Islam sepenuhnya itu tidak akan datang, yang akan datang adalah azab Allah ﷻ. Tidaklah yang mereka tunggu melainkan azab Allah ﷻ sahaja yang akan sampai kepada mereka.
Allah ﷻ ‘datang’ itu dengan membawa azab. Atau, bukanlah Allah ﷻ datang tetapi Allah ﷻ ‘datangkan’ azab itu. Azab Allah ﷻ itu mungkin boleh datang dalam bentuk di bawah awan yang gelap. Pernah terjadi di zaman dahulu telah berlaku kemarau yang panjang dan apabila datang awan yang gelap, mereka kegembiraan kerana mereka sangkakan yang hujan akan turun. Padahal yang sebaliknya adalah awan yang gelap itu adalah azab dari Allah ﷻ yang akan datang kerana di dalam awan yang mendung itu ada api yang membakar.
وَالمَلائِكَةُ
dengan malaikat
Boleh juga terjadi azab itu dibawa oleh malaikat dalam bentuk tempikan dan gegaran dari malaikat. Ini biasa juga terjadi seperti yang terjadi kepada umat-umat yang terdahulu.
وَقُضِيَ الأَمرُ
dan diputuskanlah keputusan
Dan apabila azab itu datang, selesailah segala keputusan. Maknanya mereka akan dimatikan dan akan dimasukkan ke dalam neraka. Itulah maksud ‘selesai’. Mereka yang ‘selesai’.
وَإِلَى اللَّهِ تُرجَعُ الأُمورُ
dan kepada Allah jua kembalinya segala urusan.
Allah ﷻlah yang berhak menentukan segala keputusan yang dikenakan kepada manusia. Allah ﷻ yang menentukan sama ada hendak mengenakan azab kepada kita atau tidak. Semuanya di tangan Dia.
Jangan sangka perkara ini tidak boleh terjadi kepada kita. Allah ﷻ boleh sahaja mengenakan azab kepada kita semasa kita di dunia lagi, atau Allah ﷻ boleh tangguh azab itu di akhirat kelak. Kalau Allah ﷻ tangguhkan, itu adalah kerana Allah ﷻ beri peluang kepada kita untuk bertaubat.
Habis Ruku’ 25 dari 40 surah ini
Ayat 211: Allah ﷻ memberi contoh apa yang terjadi kepada umat yang dahulu iaitu Bani Israil. Sebelum umat Nabi Muhammad ﷺ dibangkitkan, Bani Israillah umat Islam pada zaman mereka. Tetapi mereka tidak mahu mengamalkan Islam dengan sepenuhnya, maka mereka telah diazab.
Ayat ini adalah sebagai peringatan untuk kita, sebenarnya. Allah ﷻ hendak ingatkan kita sebagai umat Islam yang menggantikan mereka, supaya jangan jadi macam mereka.
سَل بَني إِسرٰئيلَ كَم ءَاتَينَـٰهُم مِّن ءَايَةِۭ بَيِّنَةٍ ۗ وَمَن يُبَدِّل نِعمَةَ اللَّهِ مِن بَعدِ ما جاءَتهُ فَإِنَّ اللَّهَ شَديدُ العِقابِ
SAHIH INTERNATIONAL
Ask the Children of Israel how many a sign of evidence We have given them. And whoever exchanges the favor of Allah [for disbelief] after it has come to him – then indeed, Allah is severe in penalty.
MALAY
Bertanyalah kepada Bani Israil, berapa banyak keterangan-keterangan yang telah Kami berikan kepada mereka (sedang mereka masih ingkar)? dan sesiapa menukar nikmat keterangan Allah (dengan mengambil kekufuran sebagai gantinya) sesudah nikmat itu sampai kepadaNya, maka (hendaklah dia mengetahui) sesungguhnya Allah amat berat azab seksaNya.
سَل بَني إِسرٰئيلَ
Tanyalah kepada Bani Israil,
Allah ﷻ beri contoh perkara yang sudah berlaku, iaitu kepada Bani Israil. Mereka masih lagi berdegil tidak mahu menggunakan sepenuhnya wahyu yang telah diberikan kepada mereka. Kita telah banyak belajar dalam surah Baqarah bagaimana mereka pilih-pilih mana hendak pakai dan mana mereka hendak tolak.
Maka ingatlah bahawa perkara yang sama juga boleh terjadi kepada kita. Ada juga masyarakat kita yang tidak pakai semua ayat Al-Qur’an. Mana yang tidak kena dengan jiwa dan nafsu mereka, mereka tolak.
Allah ﷻ suruh tanya kepada Bani Israil itu, kerana mereka ada di kalangan umat Islam di Madinah waktu itu. Tanya apa?
كَم ءَاتَينَـٰهُم مِّن ءَايَةِۭ بَيِّنَةٍ
berapa banyak keterangan-keterangan yang telah Kami berikan kepada mereka
Allah ﷻ suruh tanya kepada puak Bani Israil itu berapa banyak tanda-tanda yang telah diberikan kepada mereka. Mereka telah dapat melihat banyak mukjizat-mukjizat, tanda-tanda dan Kalam Allah ﷻ yang diberikan kepada mereka berupa kitab Taurat dan Kitab Injil.
Mereka telah melihat berbagai-bagai tanda dan mukjizat kepada kebenaran seperti terbelahnya laut, air keluar dari batu, makan Manna dan Salwa yang turun dari langit, awan yang melindungi mereka dan macam-macam lagi, namun mereka masih degil untuk taat sepenuhnya.
وَمَن يُبَدِّل نِعمَةَ اللَّهِ مِن بَعدِ ما جاءَتهُ
dan sesiapa menukar nikmat keterangan Allah sesudah nikmat itu sampai kepada-Nya,
Bani Israil itu telah menukar nikmat yang telah diberikan kepada mereka. Dan sesiapa yang menukar nikmat agama yang diberikan dengan menderhaka kepada Allah ﷻ, mereka akan menerima azab yang keras. ‘Menderhaka’ itu bermaksud tidak bersyukur dengan nikmat hidayah yang telah diberikan setelah nikmat itu sampai kepada mereka, maka ingatlah yang Allah ﷻ amat keras azabnya.
Mereka tidak endahkan wahyu-Nya dan masih lagi mementingkan perkara yang lain. ‘Nikmat’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah wahyu. Wahyu sudah ada tetapi ramai yang masih hendak pakai pendapat selain daripada wahyu. Antaranya mereka pakai pendapat pendeta mereka yang bercanggah dengan Kalam Allah ﷻ.
Atau mereka rujuk kitab karangan manusia tanpa memeriksa sama ada pendapat penulis kitab itu bersesuaian dengan wahyu atau tidak.
Malangnya, begitulah yang terjadi di kalangan masyarakat Islam kita sekarang. Ramai yang tidak menggunakan Al-Qur’an dan Sunnah, tetapi sebaliknya ‘tukar’ hidayah dengan ambil pendapat tok guru, kitab karangan manusia, dan hawa nafsu mereka.
فَإِنَّ اللَّهَ شَديدُ العِقابِ
maka sesungguhnya Allah amat berat azab seksaNya.
Ketahuilah bahawa azab Allah ﷻ itu amat berat. Memang tidak sanggup hendak tanggung. Maka kita kena berhati-hati semoga kita terselamat daripada azab Allah ﷻ itu.
Kita jangan sangka perkara ini tidak boleh berlaku kepada kita. Jikalau kita tidak mementingkan wahyu yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita, dan kita tukar dengan pakai pendapat yang lain, maka azab yang sama boleh dikenakan kepada kita.
‘Tukar’ itu bukan sahaja bermaksud kita tidak percaya kepada wahyu itu tetapi ia juga terjadi kalau kita lebih ‘mementingkan’ perkara-perkara lain dalam agama kita – umpamanya mementingkan pendapat dari guru atau kitab. Atau kita lebih mementingkan dunia kita – harta, kedudukan, keluarga dan macam-macam lagi tanpa rujuk kepada Al-Qur’an sebagai panduan hidup kita.
Ayat 212: Ini adalah dorongan kepada jihad (targhib) yang kelima. Allah ﷻ hendak beritahu kedudukan orang yang bertaqwa.
Allah ﷻ juga hendak mengingatkan kita bahawa dunia ini sementara sahaja, maka jangan tertipu dengan godaan dunia.
زُيِّنَ لِلَّذينَ كَفَرُوا ٱلحَيَوٰةُ الدُّنيا وَيَسخَرونَ مِنَ الَّذينَ ءَامَنُواْ ۘ وَالَّذينَ اتَّقَوا فَوقَهُم يَومَ ٱلقِيَـٰمَةِ ۗ وَاللَّهُ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ
SAHIH INTERNATIONAL
Beautified for those who disbelieve is the life of this world, and they ridicule those who believe. But those who fear Allah are above them on the Day of Resurrection. And Allah gives provision to whom He wills without account.
MALAY
Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturanNya).
زُيِّنَ لِلَّذينَ كَفَرُوا ٱلحَيَوٰةُ الدُّنيا
Dunia diperhiaskan pada (pandangan) orang-orang kafir,
Soalan yang mungkin timbul di dalam fikiran manusia adalah: kenapa mereka yang dikatakan derhaka kepada Allah ﷻ telah diberikan dengan nikmat dunia yang berganda-ganda? Dari dahulu sampai sekarang, kita boleh lihat bagaimana orang kafir itu sentiasa sahaja lebih kaya, lebih maju daripada orang Islam.
Mungkin ada yang kata, nampak macam Allah ﷻ lebihkan mereka pula. Adakah mereka itu dalam puak yang benar dan Allah ﷻ sayang mereka? Tetapi dikatakan mereka derhaka kepada Allah ﷻ pula? Kenapa jadi macam ini? Nampak macam tidak logik pula, bukan?
Allah ﷻ beritahu bahawa kekayaan dan kesenangan yang mereka dapati itu bukanlah kayu ukur atau sebagai tanda yang Allah ﷻ sayang kepada mereka atau kedudukan mereka lebih tinggi. Sebenarnya dunia ‘diperlihatkan’ indah kepada orang-orang kafir dan kerana itu mereka bersusah payah dan berusaha bersungguh-sungguh hanya kepada hal-hal keduniaan sahaja.
Orang-orang Islam bukanlah tidak memandang keindahan dan kesenangan dunia, tetapi dalam masa yang sama, kita juga nampak kepentingan akhirat. Orang kafir nampak hanya dunia sahaja yang penting dan indah. Orang Mukmin pula mementingkan akhirat (tanpa menolak dunia). Kalau ada percanggahan antara dunia dan akhirat, akhiratlah yang lebih diutamakan.
Oleh kerana orang kafir nampak hanya dunia sahaja yang penting (dan hanya dunia sahaja yang ada), maka mereka berusaha dengan sekeras-kerasnya untuk mendapatkan kesenangan dunia itu dan sanggup untuk melakukan apa sahaja untuk mendapatkannya walaupun terpaksa menipu dan sebagainya.
Tumpuan mereka hanya pada dunia sahaja. Maka kerana itu sahaja yang mereka tumpukan dan usahakan, maka mereka dapatlah dunia itu kerana mereka berusaha keras untuk mendapatkannya. Kerana kalau mereka hendak sangat dunia, Allah ﷻ boleh berikan kepada mereka dan menjadikan dunia itu sebagai ujian untuk mereka.
Tetapi orang Islam tidak boleh buat begitu, maka adalah kekurangan di sana sini dari segi keduniaan. Namun sebagai seorang mukmin, dia akan redha dengan apa sahaja pemberian dari Allah ﷻ.
وَيَسخَرونَ مِنَ الَّذينَ ءَامَنُواْۘ
mereka memandang rendah kepada orang-orang yang beriman.
Oleh kerana mereka hanya nampak kejayaan dunia sahaja, maka mereka memperkecilkan dan merendah-rendahkan orang-orang beriman yang tidak ada kedudukan dan kekayaan dalam dunia. Ini adalah kerana mereka hanya memandang kejayaan itu daripada segi kedudukan keduniaan sahaja.
Itu adalah pandangan yang amat silap. Kalau kita menilai kejayaan manusia dengan melihat pencapaian mereka dalam hal keduniaan sahaja, itu adalah salah. Lihatlah para Nabi, kebanyakan dari mereka miskin-miskin belaka.
Orang kafir kata orang Islam itu bodoh. Sebab hidup kita tersekat dengan berbagai sekatan agama. Macam-macam tidak boleh buat. Sebagai contoh, pakaian kena jaga aurat, hari-hari kena salat, bercakap hendak kena jaga sebab tak boleh cakap sebarangan, pergi kelab malam tidak boleh, tidak boleh makan riba dan macam-macam kekangan lagi.
Mereka kata kita hidup dalam kerugian. Begitulah Nabi ﷺ telah bersabda bahawa dunia ini adalah penjara kepada orang beriman.
حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ يَعْنِي الدَّرَاوَرْدِيَّ عَنْ الْعَلَاءِ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الدُّنْيَا سِجْنُ الْمُؤْمِنِ وَجَنَّةُ الْكَافِرِ
Telah menceritakan kepada kami Qutaibah bin Sa’id telah menceritakan kepada kami Abdulaziz Ad Darawardi dari Al Ala` dari ayahnya dari Abu Hurairah رضي الله عنه berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Dunia ini adalah penjara orang mukmin dan syurga orang kafir.” (Hadith Sahih Muslim no 5256)
Allah ﷻ beritahu mereka yang nampak dunia itu indah hanyalah orang kafir sahaja. Malangnya, ada orang Islam pun macam itu juga, bukan? Mereka yang ajak kita buat maksiat, ajak pergi majlis bid’ah, buat benda yang salah dan macam-macam lagi. Lalu siapakah mereka itu sebenarnya?
وَالَّذينَ اتَّقَوا فَوقَهُم يَومَ ٱلقِيَـٰمَةِۗ
Padahal orang-orang yang bertaqwa lebih tinggi daripada mereka pada hari kiamat kelak.
Inilah berita gembira kepada orang yang bertaqwa: Allah ﷻ memberitahu bahawa mereka yang bertaqwa, iaitu mereka yang menjaga hukum Allah ﷻ, lebih tinggi kedudukan daripada orang-orang kafir itu di akhirat kelak. Mungkin di dunia orang bertaqwa itu nampak rendah dan hina, namun di akhirat orang bertaqwa yang lebih tinggi kedudukan mereka.
Dalam ayat ini, Allah ﷻ menggunakan perkataan ‘orang-orang bertaqwa’ kerana beriman sahaja tidak cukup. Kerana taqwa adalah peringkat yang lebih tinggi selepas beriman. Kerana beriman itu maksudnya ‘percaya’ dan ‘taqwa’ adalah menjaga hukum dan perintah Allah ﷻ selepas percaya.
Orang-orang yang bertaqwa akan masuk ke dalam syurga dan orang kafir itu akan masuk ke dalam neraka. Apabila masuk ke dalam syurga, maka kedudukan ahli syurga memang akan lebih tinggi daripada kedudukan mereka yang di neraka. Waktu itu orang bertaqwa pula yang akan mentertawakan orang kafir itu.
وَاللَّهُ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ
Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terkira
Sama ada rezeki lebih atau kurang itu adalah daripada takdir Allah ﷻ. Allah ﷻ yang menentukan siapa yang akan dapat berapa. Tidak boleh kita persoalkan kepada siapa Allah ﷻ hendak beri. Kalau Allah ﷻ hendak beri lebih banyak kepada orang kafir, bukan hak kita untuk persoalkan. Semuanya adalah atas kehendak Allah ﷻ untuk menguji hamba-Nya.
Kenapa sebut tentang rezeki dalam ayat ini? Kerana orang-orang kafir itu pada mereka mudah sahaja mereka rasa untuk dapat harta – boleh kerja macam-macam tanpa halangan, boleh makan riba, boleh menipu dan sebagainya.
Maka Allah ﷻ hendak beritahu bahawa Allah ﷻ boleh beri rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Kalau kita bertaqwa, Allah ﷻ masih juga akan beri rezeki yang kadang-kadang kita tidak sangka. Allah ﷻ akan beri jalan keluar. Seperti yang Allah sebut dalam Talaq:3
وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ
Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya.
Tidak perlu kita melanggar hukum Allah ﷻ untuk mendapatkan rezeki. Kita masih boleh dapat rezeki kalau kita menjaga hukum-hukumNya. Allah ﷻ masih lagi boleh beri rezeki yang banyak.
Ayat 213: Ini adalah dorongan/targhib jihad yang ke-enam.
كانَ النّاسُ أُمَّةً وٰحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيّينَ مُبَشِّرينَ وَمُنذِرينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلكِتَـٰبَ بِالحَقِّ لِيَحكُمَ بَينَ النّاسِ فيمَا اختَلَفوا فيهِ ۚ وَمَا اختَلَفَ فيهِ إِلَّا الَّذينَ أوتوهُ مِن بَعدِ ما جاءَتهُمُ ٱلبَيِّنَـٰتُ بَغيًا بَينَهُم ۖ فَهَدَى اللَّهُ الَّذينَ ءَامَنُواْ لِمَا اختَلَفوا فيهِ مِنَ الحَقِّ بِإِذنِهِ ۗ وَاللَّهُ يَهدي مَن يَشاءُ إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ
SAHIH INTERNATIONAL
Mankind was [of] one religion [before their deviation]; then Allah sent the prophets as bringers of good tidings and warners and sent down with them the Scripture in truth to judge between the people concerning that in which they differed. And none differed over the Scripture except those who were given it – after the clear proofs came to them – out of jealous animosity among themselves. And Allah guided those who believed to the truth concerning that over which they had differed, by His permission. And Allah guides whom He wills to a straight path.
MALAY
Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut ugama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, – mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya).
كانَ النّاسُ أُمَّةً وٰحِدَةً
Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu
Kita kena menjalankan jihad ini kerana asalnya seluruh umat manusia adalah Muslim belaka dan kita kena kembalikan manusia kepada Tauhid itu. Perkataan واحِدَةً dalam ayat ini bermaksud ‘tauhid’. Semua umat manusia asalnya berpegang kepada fahaman tauhid yang sama sahaja.
Fahaman kafir ini adalah fahaman yang baru sebenarnya kerana umat manusia pada zaman Nabi Nuh عليه السلام yang kafir semuanya telah mati belaka. Selepas kejadian Banjir Besar itu, semua umat adalah Muslim belaka dan tidak ada orang kafir di dunia ini selepas itu.
Lagi satu hujah yang membuktikan umat manusia ini asalnya adalah atas akidah tauhid kerana Nabi Adam عليه السلام memang sudah berada di atas akidah tauhid. Kekafiran itu datangnya kemudian. Maknanya, bapa kita yang pertama adalah atas pegangan tauhid sebenarnya.
Perpecahan manusia kepada yang berpegang dengan tauhid dan yang syirik itu datangnya kemudian. Syaitanlah yang membisikkan fahaman kesyirikan kepada manusia supaya manusia duduk bersama dengan mereka di dalam neraka. Maka ada manusia yang terima pujukan syaitan dan menjadi kafir dan musyrik dan sesetengahnya lagi kekal di atas akidah tauhid.
Jadi tugas kitalah untuk menjadikan umat manusia itu semuanya di atas akidah tauhid kembali. Oleh itu untuk menghapuskan orang kafir atas muka bumi ini ataupun supaya berkurangnya orang kafir di dunia ini, bermaksud jihad perlu dijalankan. Jikalau jihad dijalankan, insya Allah umat Islam akan semakin ramai dan orang kafir akan berkurangan. Tentulah dengan cara-cara dan syaratnya. Tidaklah terus bunuh orang kafir itu.
فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيّينَ مُبَشِّرينَ وَمُنذِرينَ
maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi amaran
Untuk memperbetulkan keadaan yang telah kacau bilau ini maka Allah ﷻ telah bangkitkan para Rasul untuk mengajarkan balik akidah tauhid kepada manusia dan menjadikan umat manusia umat yang satu kembali.
Tugas para Rasul itu adalah memberi berita gembira kepada mereka yang taat dan memberi ancaman kepada mereka yang tidak taat. Maka, oleh kerana para Rasul sudah tiada lagi pada zaman sekarang, maka tugas itu terbeban ke atas kita umat Islam ini.
Maka orang yang sudah belajar tentulah kena menjalankan tugas tegur menegur ini. Tetapi memang sudah menjadi kebiasaan manusia yang ditegur akan melenting. Maka ini biasa sahaja. Ini adalah kerana sifat degil manusia sahaja. Maka kita tetap kena tegur sahaja. Jangan takut dengan kata-kata manusia.
وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلكِتَـٰبَ بِالحَقِّ
dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang yang mengandungi kebenaran,
Allah ﷻ tidak menurunkan para Rasul itu dengan tangan kosong tetapi mereka diberikan dengan Kitab Kalam Allah ﷻ. pada zaman kita ini, kita telah diberikan dengan Al-Qur’an. Maka, oleh kerana para Rasul itu berdakwah dengan kitab Wahyu, maka kita pun kenalah menggunakan Al-Qur’an ini untuk berdakwah kepada manusia.
Jangan tinggalkan Al-Qur’an dalam metode dakwah sama sekali. Malangnya, ramai yang gunakan bermacam-macam cara tetapi tidak menggunakan Al-Qur’an. Kita kena belajar tafsir Al-Qur’an ini supaya kita boleh sampaikan kepada manusia. Bagaimana kita hendak sampaikan kepada manusia kalau kita sendiri tidak tahu tafsir Al-Qur’an?
لِيَحكُمَ بَينَ النّاسِ فيمَا اختَلَفوا فيهِ
untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan
Tujuan kitab-kitab wahyu itu diturunkan bukanlah untuk disorok tetapi digunakan sebagai sumber hukum kepada manusia. Kitab dari Allah ﷻ itu menjadi kayu ukur untuk membezakan manakah fahaman yang benar dan manakah fahaman yang salah.
Ia digunakan untuk menentukan mana yang benar dan mana yang tidak. Kerana itu kalau ada perbezaan pendapat, kena rujuk kepada wahyu. Banyak sekali perbezaan pendapat di kalangan umat, tetapi ramainya tidak rujuk pun kepada wahyu sebagai kata putus. Ini kerana ramai yang jahil tentang ilmu wahyu ini.
Sedangkan ia amat jelas kepada mereka yang belajar. Yang tidak jelas hanyalah kepada mereka yang tidak belajar atau mereka yang degil setelah mengetahuinya.
وَمَا اختَلَفَ فيهِ إِلَّا الَّذينَ أوتوهُ مِن بَعدِ ما جاءَتهُمُ ٱلبَيِّنَـٰتُ
tidaklah mereka berselisih padanya melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata,
Perpecahan yang terjadi itu bukanlah sebelum kedatangan para Nabi ataupun sebelum kitab Allah ﷻ diturunkan, tetapi ia terjadi selepas adanya para Nabi dan kitab wahyu disampaikan kepada mereka. Maknanya perpecahan itu terjadi selepas manusia telah diberitahu manakah yang salah dan manakah yang betul. Mereka berselisih bukan kerana jahil tetapi mereka berselisih kerana mereka degil.
Daripada ayat ini kita dapat tahu bahawa antara yang memesongkan agama ini adalah orang yang tahu tentang agama. Mereka menggunakan agama untuk kepentingan dan kedudukan mereka kerana mereka nampak agama ini boleh digunakan. Mereka nampak agama boleh digunakan untuk dapat duit, boleh dapat kedudukan dan sebagainya.
Maka ramai yang ambil peluang. Mereka itulah yang dinamakan ulama’ suu‘ – ulama yang jahat. Jangan sangka semua ulama’ atau ustaz itu sama sahaja. Ramai yang menyalahgunakan agama untuk kepentingan mereka sahaja.
Ataupun kerana mereka memang jahil kerana walaupun kitab wahyu sudah ada, tetapi mereka tidak mempelajarinya. Samalah juga dengan masyarakat kita yang tidak faham maksud yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an.
Jangan kata masyarakat awam sahaja, malah ada guru-guru agama yang banyak mengajar sekarang pun tidak tahu pun tafsir Al-Qur’an kerana mereka tidak pernah belajar tafsir Al-Qur’an lagi. Kita sahaja yang sangka mereka mahir tentang Al-Qur’an, tetapi cubalah tanya guru-guru anda, adakah mereka telah belajar tafsir Al-Qur’an? Jangan terkejut dengan jawapan yang diberikan nanti.
بَغيًا بَينَهُم
kerana hasad dengki sesama sendiri.
Perpecahan itu terjadi kerana ada sifat dengki dalam diri mereka yang tidak mahu orang lain jadi baik. Mereka hendak mereka sahaja yang nampak baik pada mata masyarakat.
Ataupun mereka dengki kalau orang lain lebih tinggi kedudukannya daripada mereka kerana mereka nampak kedudukan mereka akan jatuh dan mereka sudah tidak dapat mengawal masyarakat lagi. Inilah yang dilakukan oleh ulama’-ulama’ jahat yang menggunakan agama untuk kepentingan mereka.
Ulama’-ulama’ sebeginilah yang tidak mahu masyarakat faham agama kerana jikalau masyarakat bodoh, maka senanglah untuk mereka mengawal masyarakat itu. Sudahlah mereka itu ada yang jahil, dan mereka membodohkan masyarakat lagi dengan menggunakan hujah dan dalil yang batil di dalam membolehkan ajaran mereka yang salah.
فَهَدَى اللَّهُ الَّذينَ ءَامَنُواْ لِمَا اختَلَفوا فيهِ مِنَ الحَقِّ بِإِذنِهِ
Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka, dengan izin-Nya.
Allah ﷻ tetap memberi pimpinan hidayah kepada orang yang mahu beriman. Kalau manusia hendak beriman, Allah ﷻ akan memperjelaskan mana yang benar antara perselisihan manusia itu.
وَاللَّهُ يَهدي مَن يَشاءُ إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ
Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.
Persoalan yang banyak timbul dalam masyarakat awam sekarang adalah: manakah pihak yang benar? Masyarakat awam amat keliru kerana terlalu banyak ahli agama yang berlainan pendapat. Mereka tertanya-tanya manakah pihak yang benar sebenarnya?
Inilah jawapan Allah ﷻ kepada kita semua. Kalau kita mahu beriman kepada Allah ﷻ, Allah ﷻ akan tunjukkan kebenaran itu kepada kita. Oleh itu hendaklah kita berdoa kepada Allah ﷻ supaya tunjukkan kebenaran itu walaupun ia berada di pihak yang lain daripada kita. Ikhlaskan dalam doa kita, kata kita betul-betul mahu kebenaran.. “Tolonglah tunjukkan kepada aku”.
Malangnya ramai di kalangan kita yang menutup kebenaran daripada sampai kepada kita apabila kita hanya mahu melihat kebenaran daripada pihak kita sahaja. Kalau kita ikhlas mahukan kebenaran, Allah ﷻ pasti akan tunjukkan kebenaran itu kepada kita.
Sebahagian besar tentang agama ini adalah tentang akhlak. Malah ia lebih penting daripada ilmu sebenarnya. Ini kerana kita menambah ilmu agama supaya akhlak kita semakin baik. Bukannya kita belajar ilmu agama ini untuk kita menghentam pihak-pihak yang lain dengan mengatakan mereka salah dan kita benar. Jadi jikalau kita mahukan kebenaran maka hendaklah kita menjaga akhlak kita.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 13 Disember 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Ayat 211 :
“dan sesiapa menukar nikmat keterangan Allah sesudah nikmat itu sampai kepada-Nya,
Bani Israil itu telah menukar nikmat yang telah diberikan kepada mereka. Dan sesiapa yang menukar nikmat agama yang diberikan dengan menderhaka kepada Allah ﷻ”
Tuan,
Terjemahan ayat ‘nikmat itu sampai kepada-Nya’ saya cenderung membacanya sebagai ‘sampai kepadanya’. Kalau saya salah, boleh jelaskan bagaimana yang dikatakan nikmat itu sampai kepada-Nya?
Jzkk
LikeLike