Hashr Ayat 13: Ini adalah sambungan sifat orang munafik yang disebut sebelum ini.
لَأَنتُم أَشَدُّ رَهبَةً في صُدورِهِم مِّنَ اللهِ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَفقَهونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
You [believers] are more fearful within their breasts than Allāh. That is because they are a people who do not understand.
(MELAYU)
Sesungguhnya kamu dalam hati mereka lebih ditakuti daripada Allah. Yang demikian itu kerana mereka adalah kaum yang tidak mengerti.
لَأَنتُم أَشَدُّ رَهبَةً في صُدورِهِم مِّنَ اللهِ
Sesungguhnya kamu, dalam hati mereka lebih ditakuti daripada Allah.
Golongan munafik itu (dan juga orang Yahudi) tak takut dengan Allah tapi mereka takut orang mukmin tahu apa yang ada dalam hati mereka. Sepatutnya mereka takut kepada Allah tapi mereka tak takut kerana mereka tidak beriman sebenarnya. Jadi mereka tidak kisah pun tentang Allah.
Tapi yang mereka takut adalah orang mukmin. Kerana mereka takut kalau orang mukmin tahu hati mereka, maka mereka akan kena halau dari Madinah atau kena pulau.
Mereka juga takut kepada golongan mukmin itu kerana mereka nampak orang mukmin itu sangat takut kepada Allah dan tidak takut kepada manusia. Memang nampak jelas kewibawaan mereka, dan kerana itulah golongan munafik dan Yahudi itu takut kepada golongan mukmin. Jadi apabila orang mukmin berperang, mereka berperang sungguh-sungguh kerana mereka bukan cari kepentingan keduniaan, tapi akhirat. Mereka tak takut berperang kerana kalau mereka mati pun mereka tidak kisah kerana mereka mahu mati syahid.
Satu lagi maksud ayat ini: para sahabat yang mukmin itu lebih takut kepada Allah. Bukannya macam golongan Yahudi dan munafik itu yang tidak takut kepada Allah.
ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَفقَهونَ
Yang demikian itu kerana mereka adalah kaum yang tidak mengerti.
Adakah patut manusia yang lebih ditakuti? Ini tidak sepatutnya berlaku kerana tak boleh takut lebih kepada makhluk daripada takut kepada Allah. Mereka sepatutnya tahu yang Allah lah yang berkuasa ke atas mereka. Tapi kerana orang munafik itu tidak beriman dan tidak berfikir, maka mereka tidak mengamalkan agama seperti yang sepatutnya. Mereka hanya nampak kepentingan duniawi sahaja.
Puak munafik takut kepada manusia kerana mereka tidak sedar yang manusia tidak ada kuasa apa-apa tanpa Allah berikan kuasa itu. Memang mereka tidak mengerti hakikat ini.
Ayat ini mengajar kita supaya takut kepada Allah kena lebih. Jangan takut kepada manusia atau kata-kata manusia. Sebagai contoh, mungkin ada yang takut hendak dakwah ajaran Sunnah kepada manusia kerana takut dikatakan sebagai Wahabi pula. Ini tidak patut.
Hashr Ayat 14: Allah menceritakan lagi kelemahan golongan munafik itu.
لا يُقٰتِلونَكُم جَميعًا إِلّا في قُرًى مُّحَصَّنَةٍ أَو مِن وَراءِ جُدُرٍ ۚ بَأسُهُم بَينَهُم شَديدٌ ۚ تَحسَبُهُم جَميعًا وَقُلوبُهُم شَتّىٰ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَعقِلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They will not fight you all except within fortified cities or from behind walls. Their violence [i.e., enmity] among themselves is severe. You think they are together, but their hearts are diverse. That is because they are a people who do not reason.
(MELAYU)
Mereka tidak akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu padu, kecuali dalam kampung-kampung yang berbenteng atau di balik tembok. Permusuhan antara sesama mereka adalah sangat hebat. Kamu kira mereka itu bersatu, sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang tidak mengerti.
لا يُقٰتِلونَكُم جَميعًا
Mereka tidak akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu padu,
Orang Mukmin telah menerima desas desus yang golongan munafik akan membantu Bani Nadhir semasa puak Islam mengepung mereka. Mereka kata mereka ada 2 ribu orang dan ditambah pula dengan bantuan dari Yahudi dari Bani Quraizah dan Bani Ghatafan.
Tentu golongan mukmin ada terkesan juga maka Allah beritahu yang golongan munafik dan Yahudi itu tidak akan bersatu untuk melawan orang Islam secara berdepan. Tak perlu risau kepada mereka kerana mereka itu tidak akan datang menolong Bani Nadhir pun.
Ini kerana mereka sendiri takut untuk berperang dan mereka tidak bersatu padu sesama mereka. Semua ada agenda masing-masing. Mereka bukannya ada objektif yang sama, tapi semuanya hanya sama-sama tidak suka kepada Nabi Muhammad dan orang Mukmin sahaja. Mereka semua nak menaikkan kedudukan masing-masing dan kerana itu mereka tidak akan bersatu. Sesama mereka pun ada perpecahan dan tidak percaya satu sama lain.
إِلّا في قُرًى مُّحَصَّنَةٍ
kecuali dalam kampung-kampung yang berbenteng
Kalau mereka nak lawan pun, mereka akan lawan di tempat yang mereka rasa mereka selamat. Iaitu tempat mereka dan mereka ada banyak tempat perlindungan.
أَو مِن وَراءِ جُدُرٍ
atau di balik tembok.
Atau mereka akan berperang dari sebalik tembok. Ini adalah kerana senang mereka nak lari dan nak sembunyi.
Kenapa sebut tentang cara mereka yang penakut ini? Kerana pada zaman itu peperangan dilakukan di padang terbuka. Tapi mereka takkan berani nak berlawan dari tempat terbuka dan lapang. Maknanya mereka itu sendiri takkan berperang tapi mereka akan hasut sahaja orang lain untuk berperang bagi pihak mereka.
بَأسُهُم بَينَهُم شَديدٌ
Permusuhan antara sesama mereka adalah sangat hebat.
Mereka sebenarnya tidak bersatu. Permusuhan antara mereka sangat teruk kerana Allah kucar kacirkan hati mereka sampai ada dendam dengki sesama sendiri.
Tapi sekarang nampak macam mereka bersatu menentang Islam. Sebenarnya permusuhan antara mereka itu akan nampak secara zahir apabila umat Islam sudah berpegang dengan wahyu.
تَحسَبُهُم جَميعًا وَقُلوبُهُم شَتّىٰ
Kamu kira mereka itu bersatu, sedang hati mereka berpecah belah.
Mereka nampak sahaja seperti bersatu tetapi hati mereka berpecah. Ada sahaja perkara yang membezakan mereka dan mereka akan besarkan perbezaan itu. Kalimah شَتّىٰ dari katadasar ش ت ت yang bermaksud dipisahkan, berpecah belah, dibahagikan.
ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَعقِلونَ
Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang tidak mengerti.
Itu semua terjadi kerana mereka tidak mengerti hal agama. Mereka tak fikir bahawa Islam adalah terbaik bagi mereka. Ini adalah kerana mereka tak belajar agama dengan betul. Mereka berpegang kepada fahaman yang sesat.
Hashr Ayat 15:
كَمَثَلِ الَّذينَ مِن قَبلِهِم قَريبًا ۖ ذاقوا وَبالَ أَمرِهِم وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Theirs is] like the example of those shortly before them: they tasted the bad consequence of their affair, and they will have a painful punishment.
(MELAYU)
(Mereka adalah) seperti orang-orang Yahudi yang belum lama sebelum mereka telah merasai akibat buruk dari perbuatan mereka, dan bagi mereka azab yang pedih.
كَمَثَلِ الَّذينَ مِن قَبلِهِم قَريبًا
(Mereka adalah) seperti orang-orang yang belum lama sebelum mereka
Allah beritahu yang perbandingan mereka itu seperti Yahudi yang terdahulu macam Bani Qainuqa’ yang telah dihalau sebelum itu. Juga sama seperti kekalahan yang dialami oleh puak Quraish dalam Perang Badr. Mereka lebih kuat dari Muslim dari segi kekuatan tapi mereka tetap kalah juga.
Bani Qainuqa’ telah dihalau 2 tahun sebelum itu.
Quraish pula telah dikalahkan dalam Perang Badr 6 bulan sebelum itu.
ذاقوا وَبالَ أَمرِهِم
mereka telah merasai akibat buruk dari perbuatan mereka,
Kalimah وبال bermaksud akibat buruk dari kesalahan besar yang mereka lakukan kerana menentang Rasulullah dan umat Islam. Kalau yang dimaksudkan adalah Quraish Mekah, mereka itu semua telah merasai akibat buruk dari perbuatan mereka seperti Perang Badr. Mereka telah dikalahkan dan ramai dari ketua mereka telah dibunuh.
Dan kalau yang dimaksudkan adalah Bani Qainuqa’, mereka telah dihalau pada tahun 2H. Kejadian itu masih baru lagi dan sekarang Bani Nadhir yang kena halau pada tahun 4H.
وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ
dan bagi mereka azab yang pedih.
Mereka mendapat kehinaan di dunia tapi di akhirat mereka akan mendapat azab yang lebih buruk. Mereka akan dikenakan dengan azab neraka yang tentu berkali-kali ganda lagi teruk dari azab di dunia.
Hashr Ayat 16:
كَمَثَلِ الشَّيطٰنِ إِذ قالَ لِلإِنسٰنِ اكفُر فَلَمّا كَفَرَ قالَ إِنّي بَريءٌ مِّنكَ إِنّي أَخافُ اللهَ رَبَّ العٰلَمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[The hypocrites are] like the example of Satan when he says to man, “Disbelieve.” But when he disbelieves, he says, “Indeed, I am disassociated from you. Indeed, I fear Allāh, Lord of the worlds.”
(MELAYU)
(Pujukan orang-orang munafik itu adalah) seperti (pujukan) syaitan ketika dia berkata kepada manusia: “Kafirlah kamu”, maka tatkala manusia itu telah kafir, maka ia berkata: “Sesungguhnya aku berlepas diri dari kamu, kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Rabb semesta Alam”.
كَمَثَلِ الشَّيطٰنِ إِذ قالَ لِلإِنسٰنِ اكفُر
seperti (pujukan) syaitan ketika dia berkata kepada manusia: “Kafirlah kamu”,
Ini adalah bandingan golongan munafiqin yang hendak bersekongkol dengan Yahudi. Sebelum ini telah disebut bagaimana mereka berjanji nak bantu golongan Yahudi kalau mereka dihalau atau diperangi.
Allah nak beritahu yang janji mereka itu sama sahaja macam janji syaitan kepada Musyrikin Mekah semasa Perang Badr 6 bulan sebelum itu. Ini seperti yang disebut dalam Anfal:48
وَإِذ زَيَّنَ لَهُمُ الشَّيطانُ أَعمالَهُم وَقالَ لا غالِبَ لَكُمُ اليَومَ مِنَ النّاسِ وَإِنّي جارٌ لَكُم ۖ فَلَمّا تَراءَتِ الفِئَتانِ نَكَصَ عَلىٰ عَقِبَيهِ وَقالَ إِنّي بَريءٌ مِنكُم إِنّي أَرىٰ ما لا تَرَونَ إِنّي أَخافُ اللَّهَ ۚ وَاللَّهُ شَديدُ العِقابِ
Dan ketika syaitan menjadikan mereka memandang baik pekerjaan mereka dan mengatakan: “Tidak ada seorang manusia pun yang dapat menang terhadapmu pada hari ini, dan sesungguhnya aku ini adalah pelindungmu”. Maka tatkala kedua pasukan itu telah dapat saling lihat melihat (berhadapan), syaitan itu balik ke belakang seraya berkata: “Sesungguhnya saya berlepas diri daripada kamu, sesungguhnya aku dapat melihat apa yang kamu sekalian tidak dapat melihat; sesungguhnya aku takut kepada Allah”. Dan Allah sangat keras siksa-Nya.
فَلَمّا كَفَرَ قالَ إِنّي بَريءٌ مِّنكَ
maka tatkala manusia itu telah kafir, maka ia berkata: “Sesungguhnya aku berlepas diri dari kamu,
Semasa syaitan berjanji kepada manusia, syaitan janjikan macam-macam pertolongan. Tapi bila manusia sudah jadi kufur, mereka akan tinggalkan sahaja manusia itu begitu sahaja. Kerana kerja mereka sudah selesai.
Munafik itu macam syaitan juga yang kata mereka berkawan dengan puak Yahudi itu. Mereka berjanji nak keluar bersama-sama, membantu dalam peperangan dan lain-lain lagi janji mereka. Tapi selepas mereka bercakap, mereka akan larikan diri kemudiannya. Begitulah yang mereka janjikan kepada puak Yahudi Bani Nadhir. Mereka berjanji akan tolong tapi kemudian mereka akan larikan diri. Sama sahaja dengan janji syaitan.
إِنّي أَخافُ اللهَ رَبَّ العٰلَمينَ
kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Rabb semesta Alam”.
Kenapa syaitan meninggalkan golongan yang kafir? Kerana syaitan takut apabila mereka di medan perang. Ini adalah kerana Allah akan suruh para malaikat untuk pukul syaitan. Mereka nampak para malaikat sedangkan manusia tidak nampak.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 22 Julai 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi