Hashr Ayat 17:
فَكانَ عٰقِبَتَهُما أَنَّهُما فِي النّارِ خٰلِدَينِ فيها ۚ وَذٰلِكَ جَزاءُ الظّٰلِمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So the outcome for both of them is that they will be in the Fire, abiding eternally therein. And that is the recompense of the wrongdoers.
(MELAYU)
Maka adalah kesudahan keduanya, bahawa sesungguhnya keduanya (masuk) ke dalam neraka, mereka kekal di dalamnya. Demikianlah balasan orang-orang yang zalim.
فَكانَ عٰقِبَتَهُما أَنَّهُما فِي النّارِ
Maka adalah kesudahan keduanya, bahawa sesungguhnya keduanya (masuk) ke dalam neraka,
Dua golongan yang dimaksudkan adalah golongan Munafik dan Yahudi. Atau ia merujuk kepada Syaitan dan manusia. Syaitan itu kerana mereka menghasut, dan manusia itu kerana taat kepada pujukan syaitan. Kerana penolakan mereka kepada agama yang benar, maka mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.
خٰلِدَينِ فيها
mereka kekal di dalamnya.
Kerana mereka menentang agama Allah, maka mereka akan kekal dalam neraka itu. Tidak ada peluang untuk keluar sampai bila-bila.
وَذٰلِكَ جَزاءُ الظّٰلِمينَ
Demikianlah balasan orang-orang yang zalim.
Itulah balasan yang layak bagi mereka. Allah tidak zalim kerana mengekalkan mereka dalam neraka kerana kesalahan yang mereka lakukan itu amat besar.
Sekian Ruku’ 2 dari 3 ruku’ dalam surah ini.
Hashr Ayat 18: Sekarang Allah bekalkan kita dengan petunjuk. Ayat 18 – 24 ini adalah nasihat yang diberikan kepada orang munafik itu. Ia adalah Perenggan Makro Keempat dan terakhir. Allah suruh perbetulkan aqidah tentang Hari Akhirat dan Sifat-sifat Allah.
Teguran diberikan kepada manusia termasuk kita supaya sedar. Ada di kalangan munafik itu yang lemah iman sahaja dan ada harapan untuk berubah. Maka mereka kena tadabbur ayat ini.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَلتَنظُر نَفسٌ مّا قَدَّمَت لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللهَ ۚ إِنَّ اللهَ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O you who have believed, fear Allāh. And let every soul look to what it has put forth for tomorrow – and fear Allāh. Indeed, Allāh is Acquainted with what you do.
(MELAYU)
Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللهَ
Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah
‘Orang-orang beriman’ yang dimaksudkan di sini adalah golongan munafik. Bukanlah ia bermaksud sudah beriman benar lagi. Ini boleh dilihat dalam ayat-ayat yang menggunakan kalimah الذين ءامنوا di dalam Al-Qur’an. Kalau benar-benar sudah beriman, kalimah yang digunakan adalah المؤمنون.
Jadi yang diseru dalam ayat ini adalah mereka yang belum benar-benar beriman lagi, termasuklah golongan munafik itu. Mereka itu masih ada harapan lagi untuk beriman kerana mereka sanggup untuk duduk bersama Nabi dan para sahabat lagi. Mereka tidaklah menentang dengan jelas, maknanya mereka tidaklah menentang dengan kuat lagi maka mereka masih ada harapan untuk kembali ke jalan yang benar. Maka mereka hendaklah mengambil pengajaran ini supaya mereka dapat baiki keadaan iman mereka supaya jadi benar-benar beriman.
Maksud ‘taqwa’ itu adalah taat kepada Allah dan ikut syariat yang Allah telah berikan. Dalam segala perbuatan kita, kena sedar yang Allah sedang memerhatikan kita. Kerana kalau sedar Allah sedang memerhatikan kita, maka kita takut untuk melakukan kesalahan kerana Allah akan balas perbuatan yang jahat.
Maka dengan taqwa itu kena buat apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang Allah larang. Maka kena belajar dan tahu apakah hukum melakukan sesuatu perkara itu.
وَلتَنظُر نَفسٌ مّا قَدَّمَت لِغَدٍ
dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok
‘Hari esok’ yang dimaksudkan adalah Hari Akhirat. ‘Hari ini’ adalah kehidupan di dunia dan nanti yang menyusul adalah esok, iaitu ‘akhirat’. Sebagaimana kita digalakkan untuk menabung untuk hari esok, maka kita pun kenalah bersedia untuk ‘menabung’ untuk hari akhirat. Kena hantar pahala dan amal kita siap-siap ke akhirat. Apabila kita hantar amalan kita, ianya akan menunggu kita di akhirat kelak.
Kalimah نظر bermaksud berjaga-jaga dan tengok dalam kadar yang lama (memikirkan dengan mendalam). Allah suruh kita tengok kepada apa dilaburkan untuk akhirat. Kerana segala perbuatan kita selama di dunia ini adalah sebagai saham untuk akhirat. Kalau amal baik, dapat saham yang baik; kalau amal yang buruk, maka akan dapat amal yang buruk.
Maka ini adalah arahan Allah untuk kita berfikir tentang akhirat. Sebelum ini telah disebut tentang taqwa dan taqwa tidak akan ada tanpa fikir akhirat. Kerana orang yang tidak hiraukan akhirat tidak akan mahu taat kepada Allah. Maka jangan fikirkan tentang dunia sahaja, tapi hendaklah lebih banyak berfikir tentang akhirat kerana itu yang lebih kekal, bukan?
Jadi ini adalah ayat tentang muhasabah diri kita. Kena tengok apa amalan kita, fahaman kita, ilmu kita; adakah menuju ke syurga atau menuju ke neraka? Kita memanglah tidak tahu tempat kita di syurga atau di neraka, tapi kita tengok amalan kita pun, kita sudah boleh agak-agak, bukan?
وَاتَّقُوا اللهَ
dan bertakwalah kepada Allah,
Diulang sekali lagi arahan untuk taqwa sebagai penekanan. Ini adalah kerana taqwa ini adalah amat penting sekali. Yang selamat dan masuk syurga adalah mereka yang bertaqwa. Taqwa ini mestilah dilakukan walaupun di kalangan orang ramai atau pun dikala sepi, semasa bersendirian sahaja. Kerana kadang-kadang kita baik sahaja apabila di hadapan orang, tapi berperangai buruk apabila berseorangan.
إِنَّ اللهَ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ
sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Kita kena sedar yang Allah sentiasa memerhatikan dan tahu apa sahaja yang kita lakukan. Kalau kita dapat hayati maksud ayat ini, maka kita akan dapat mencapai tahap taqwa.
Apabila Allah tahu apa sahaja yang kita lakukan, maksudnya Allah akan balas. Yang baik dibalas baik, dan yang buruk dibalas buruk. Tidak akan terlepas dan tidak akan ada yang tidak dibalas.
Hashr Ayat 19: Sekarang diberikan ayat yang menyentuh tentang psikologi manusia. Ini adalah ayat Zajrun (ayat teguran) dan contoh lalai leka yang manusia selalu lakukan. Sepatutnya manusia segerakan amal kebaikan, tapi ada yang lengahkan. Maka Allah beri teguran dalam ayat ini.
وَلا تَكونوا كَالَّذينَ نَسُوا اللهَ فَأَنسٰهُم أَنفُسَهُم ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And be not like those who forgot Allāh, so He made them forget themselves. Those are the defiantly disobedient.
(MELAYU)
Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.
وَلا تَكونوا كَالَّذينَ نَسُوا اللهَ
Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah,
Allah ingatkan supaya jangan lupa Dia. Maksud lupa itu adalah rosak akidah dan rosak amal. Kalau lupa Allah, mereka itu yang tidak kisah tentang Allah dan apalah arahan dan laranganNya. Mereka lupa hak-hak Allah ke atas mereka. Oleh itu mereka tak kisah nak betulkan akidah dan amal.
Kita memang kena ingat kepada Allah sentiasa, kena sedar yang Allah sedang memerhatikan kita. Kalau kita lupa Allah di saat kita senang, maka Allah akan lupakan kita di saat susah. Tidakkah begitu yang terjadi kepada kebanyakan manusia? Mereka hanya ingat Allah semasa susah sahaja. Tapi kalau kita hanya ingat di kala susah, Allah boleh buat tidak layan kepada kita di saat kita memerlukanNya. Macam kita hendak minta tolong kepada seseorang, takkan minta tolong hanya apabila susah sahaja? Tapi kalau waktu kita senang pun kita tetap berhubungan dengan dia, maka senanglah dia hendak tolong kita nanti di kala susah.
فَأَنسٰهُم أَنفُسَهُم
lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri.
Apabila mereka lupa kepada Allah dan kewajipan dalam agama, maka Allah jadikan mereka lupa diri mereka. Bukanlah hilang ingatan sampai lupa nama, lupa alamat rumah. Maksud lupa itu adalah ‘lupa’ nak selamatkan diri sendiri. Lupa nak buat persediaan kepada hari akhirat. Iaitu mereka yang hanya ingat tentang dunia sahaja sepanjang masa.
Mereka juga lupa kepada kedudukan mereka sebagai ‘hamba Allah’. Bila lupa yang diri mereka itu hamba yang kena taat kepada Allah, maka mereka akan ada masalah nanti. Mereka tidak takut untuk buat dosa kerana mereka tidak rasa mereka kena taat kepada Allah.
Mereka juga lupa tentang roh. Kita kena sedar yang diri kita ini ada fizikal dan ada roh. Diri kita sebenarnya adalah roh yang berada dalam fizikal kita. Itulah ‘diri’ kita yang sebenarnya dan bukannya tubuh kita yang akan rosak bila kita sudah mati. Roh kita ini ada, tapi kita nak tunjukkan pun tak boleh. Inilah yang dinamakan ‘nafs’ atau ‘roh’.
Maka satu lagi maksud ‘mereka lupa’ adalah mereka lupa kepada elemen roh mereka. Mereka yang lupa Allah akan ingat yang fizikal sahaja. Maka mereka akan puaskan fizikal mereka sahaja seperti hanya akan makan, tidur, jaga badan nak selesa sentiasa, bersuka-ria. Hendaklah kita ingat yang itu semua tidaklah salah tapi itu semua untuk badan fizikal sahaja. Ianya hanya satu elemen dari diri kita sahaja.
Kalau kita hanya mementingkan kehendak fizikal sahaja, maka Allah telah menjadikan kita macam binatang sahaja kerana binatang itu hanya ikut kehendak fizikal sahaja. Maknanya kalau tidak mementingkan roh, maka orang itu hanya tunggu untuk mati sahaja. Mereka hanya akan guna sahaja apa dalam dunia ini. Allah telah beri peringatan dalam ayat yang lain:
{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلا أَوْلادُكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللهِ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ}
Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barang siapa yang membuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. (Al-Munafiqun:9)
Jangan jadi seperti binatang yang tahu nak makan sahaja sedangkan apa yang mereka makan itu akan jadi tahi sahaja. Tapi kalau jaga kehendak roh dan apabila masukkan makanan roh itu, ia akan mengeluarkan perkara baik. Dan kita telah telah sebutkan dalam perbincangan di tempat lain, makanan roh kita adalah wahyu. Orang yang ingat kepada roh akan sentiasa berikan makanan roh, iaitu ayat-ayat Al-Qur’an. Maka mereka akan selalu baca Al-Qur’an, selalu tadabbur Al-Qur’an dan akan selalu cuba amalkan apa yang ada di dalamnya.
Maka jangan lupa kepada kepentingan roh kita. Dan begitu pentingnya roh itu, sampaikan malaikat disuruh sujud kepada Adam apabila sudah ada roh dalam tubuh baginda.
أُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ
Mereka itulah orang-orang yang fasik.
Mereka yang lupa kepada Allah dan kemudian lupa kepada rohnya, mereka itu adalah orang yang fasik. Orang yang fasik adalah orang yang sudah rosak. Orang yang fasik adalah orang yang sentiasa melakukan dosa. Ini adalah kerana mereka tidak menghargai roh yang Allah telah berikan kepada mereka. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan ini.
Hashr Ayat 20: Allah ingatkan tentang hari esok iaitu akhirat, yang ada syurga dan neraka. Kena pilih nak masuk ke mana dari sekarang. Kerana pilihan itu akan menentukan jalan kehidupan mereka.
لا يَستَوي أَصحٰبُ النّارِ وَأَصحٰبُ الجَنَّةِ ۚ أَصحٰبُ الجَنَّةِ هُمُ الفائِزونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Not equal are the companions of the Fire and the companions of Paradise. The companions of Paradise – they are the attainers [of success].
(MELAYU)
Tidaklah sama penghuni-penghuni neraka dengan penghuni-penghuni jannah; penghuni-penghuni jannah itulah orang-orang yang beruntung.
لا يَستَوي أَصحٰبُ النّارِ وَأَصحٰبُ الجَنَّةِ
Tidaklah sama penghuni-penghuni neraka dengan penghuni-penghuni jannah;
Tak sama langsung antara dua golongan ini. Balasan yang mereka dapat di sana tidak sama. Amat berbeza sangat kerana penghuni neraka dapat azab sedangkan penghuni syurga dapat nikmat. Ini adalah kesan dari cara mereka menjalani kehidupan mereka di dunia.
Mereka yang malang adalah mereka yang lupa roh mereka, sebenarnya mereka sudah ada dalam neraka walaupun mereka itu di dunia. Hidup mereka memang tidak keruan kerana mereka tidak tenang semasa di dunia ini. Kehidupan mereka bergelumang dengan dosa. Mereka itu hanya tunggu mati sahaja untuk menerima azab dari Allah yang bermula dari dalam kubur. Dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka yang sebenarnya nanti.
Sedangkan mereka yang ingat kepada roh dan buat persediaan kepada akhirat, mereka akan tenang sentiasa. Dalam dunia lagi mereka telah hidup dalam syurga dunia. Amalan mereka juga adalah amalan yang soleh dan mereka berpegang dengan akidah yang benar.
أَصحٰبُ الجَنَّةِ هُمُ الفائِزونَ
penghuni-penghuni jannah itulah orang-orang yang beruntung.
Orang yang berjaya menyelamatkan diri mereka dari neraka adalah orang yang beruntung sungguh. Mereka itulah orang yang sebenar-benarnya yang berjaya. Mereka berjaya kerana selamat dari azab api neraka.
Jadi kalau amalan dan fahaman tidak sama, maka balasan di akhirat pun tentu tidak sama. Ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:
{أَمْ حَسِبَ الَّذِينَ اجْتَرَحُوا السَّيِّئَاتِ أَنْ نَجْعَلَهُمْ كَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَوَاءً مَحْيَاهُمْ وَمَمَاتُهُمْ سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ}Apakah orang-orang yang membuat kejahatan itu menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh, iaitu sama antara kehidupan dan kematian mereka? Amat buruklah apa yang mereka sangka itu. (Al-Jatsiyah: 21)
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 29 Julai 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
TafsirWeb