Tafsir Surah Hashr Ayat 21 – 24 (Asmaa’ul Husna)

Ayat 21: Sekarang Allah cara untuk dapat taqwa, iaitu dengan mempelajari dan mengamalkan apa yang diajar dalam Qur’an. Maka oleh kerana Qur’an itu amat penting, maka sekarang Allah memberitahu tentang kehebatan Qur’an.

لَو أَنزَلنا هٰذَا القُرءآنَ عَلىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيتَهُ خٰشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّن خَشيَةِ اللهِ ۚ وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَفَكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If We had sent down this Qur’ān upon a mountain, you would have seen it humbled and splitting from fear of Allāh. And these examples We present to the people that perhaps they will give thought.

(MELAYU)

Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.

 

لَو أَنزَلنا هٰذَا القُرءآنَ عَلىٰ جَبَلٍ

Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung,

Qur’an ini amat hebat dan Allah buat perbandingan kalaulah ianya diturunkan kepada gunung. Dalam Surah A’raf ada disebut bagaimana Musa minta untuk lihat wajah Allah. Dalam ayat itu diberitahu bagaimana Allah telah tajalli (menampakkan diri) pada gunung dan gunung itu hancur dan Nabi Musa pun pengsan.

 

لَّرَأَيتَهُ خٰشِعًا مُّتَصَدِّعًا

pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah 

Maka, begitulah juga kalau Qur’an ini diturunkan kepada gunung, ia akan pecah juga. Kalimah ‘khusyuk’ tidak bergerak, kaku kerana takut. Kerana itulah dalam solat, apabila kita khusyuk, kita akan tegak sahaja. Kerana kita sedang mengadap Allah dalam keadaan takut kepada Allah.

Kalimah مُّتَصَدِّعًا pula dari kalimah ص د ع yang bermaksud ‘pecah’.

 

مِّن خَشيَةِ اللهِ

disebabkan ketakutannya kepada Allah. 

Kenapa gunung itu pecah? Kerana gunung itu takut kepada Allah. Kerana hebatnya Qur’an yang diturunkan kepadanya. Ini adalah kerana dalam Qur’an itu memberitahu tentang Allah dan gunung takut kepada Allah.

Gunung takut kalau diberikan dengan tanggungjawab menanggung Qur’an itu dan kerana itu ia akan pecah. Ia tidak akan sanggup seperti yang disebut dalam Ahzab:72

إِنّا عَرَضنَا الأَمانَةَ عَلَى السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَالجِبالِ فَأَبَينَ أَن يَحمِلنَها وَأَشفَقنَ مِنها وَحَمَلَهَا الإِنسٰنُ ۖ إِنَّهُ كانَ ظَلومًا جَهولًا

Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh,

Tapi mungkin timbul persoalan: kenapa Qur’an yang kita selalu dengar dan malah dibaca sehatian ini tak memberi kesan dan rasa apa-apa kepada kita? Kenapa hati kita tidak pecah dan tak menangis?

Kita tak menangis dan tidak terkesan kerana kita pun tidak sedar kehebatan Qur’an ini. Oleh kerana itu, Qur’an nak ingatkan manusia tentang diri kita sendiri yang jauh dari Qur’an dan tidak menghargainya. Qur’an ada bersama kita, tapi kita tak sedar apa yang kita ada ini.

 

وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَفَكَّرونَ

Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.

Inilah salah satu misalan yang Allah berikan kepada kita untuk beri kita faham tentang kehebatan Qur’an ini. Bayangkan, sekeras-keras dan sebesar-besar gunung itu pun boleh tunduk dan terkesan dengan Qur’an.

Allah berikan cara perbandingan atau misalan ini supaya kita dapat faham. Cara perbandingan seperti ini memberi kesan kepada mereka yang memahaminya.

Ibnu Abbas mengatakan bahawa Allah berfirman, “Seandainya Aku turunkan Al-Qur’an ini kepada gunung untuk dipikulnya, niscaya akan terpecah belahlah dan tunduk kerana beratnya Al-Qur’an dan kerana takut kepada Allah.” Maka Allah memerintahkan kepada manusia apabila diturunkan kepada mereka Al-Qur’an, hendaklah mereka menerimanya dengan takut yang sangat (kepada Allah) dan tunduk. Kemudian Allah Swt. berfirman: Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berpikir. (Al-Hasyr: 21)

Dan peringatan ini bukan kepada orang mukmin sahaja tapi kepada keseluruhan manusia. Jadi, kerana orang bukan Islam tidak kenal dengan Qur’an, maka kitalah yang kena sampaikan ajaran Qur’an ini kepada mereka.

Mungkin ada yang hairan, bagaimana pula gunung yang kaku itu boleh kenal Qur’an pula?

Di dalam hadis mutawatir telah disebutkan bahawa ketika dibuatkan untuk Rasulullah sebuah mimbar, dan sebelumnya bila Nabi Saw. berkhutbah baginda selalu berdiri di sebelah salah satu dari batang pohon kurma yang menjadi tiang-tiang masjid.

Maka setelah mimbar diletakkan pada yang pertama kali, lalu Nabi Saw. datang untuk berkhutbah, maka baginda melewati batang kurma itu menuju ke mimbarnya, dan ketika itu batang kurma tersebut menangis dan merintih sebagaimana anak-anak merintih kerana rindu kepada zikir dan wahyu yang biasa ia dengar di sisinya, maka Nabi Saw. mendiamkannya.

Menurut sebagian riwayat hadis ini, disebutkan bahwa Al-Hasan Al-Basri sesudah mengetengahkan hadis ini mengatakan, “Kalian seharusnya lebih merindukan Rasulullah Saw. ketimbang batang kurma itu.”

Demikianlah bunyi ayat yang mulia ini, baahwa apabila gunung-gunung yang merupakan benda mati, seandainya ia mendengar Kalamullah dan memahaminya, niscaya tunduklah ia dan berpecah belahlah ia kerana takut kepada Allah. Maka bagaimanakah dengan kalian (manusia), padahal kalian telah mendengarnya dan memahaminya? Dalam ayat lain telah disebutkan melalui firman-Nya:

{وَلَوْ أَنَّ قُرْآنًا سُيِّرَتْ بِهِ الْجِبَالُ أَوْ قُطِّعَتْ بِهِ الأرْضُ أَوْ كُلِّمَ بِهِ الْمَوْتَى} الْآيَةَ

Dan sekiranya ada suatu bacaan (kitab suci) yang dengan bacaan itu gunung-gunung dapat diguncangkan atau bumi jadi terbelah atau oleh kerananya orang-orang yang sudah mati dapat berbicara, (tentulah kitab itu adalah Al-Qur’an). (Ar-Ra’d: 31), hingga akhir ayat.


 

Ayat 22: Ini adalah Dakwa Surah ini. Seperti yang kita mungkin sudah perasan, dalam surah-surah musabbihaat ini Allah nak ingatkan manusia tentang DiriNya. Maka di hujung surah ini ada banyak asma’Nya yang disebut-sebut supaya kita kenal Dia dengan lebih mendalam lagi.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang kehebatan Qur’an dan tanggungjawab menanggung Qur’an. Sekarang Allah beritahu kepada kita siapakah yang telah menurunkan Qur’an itu kepada kita. Ia bukan dari manusia, tapi dari Allah dan sekarang Allah tekankan yang Dialah yang menurunkan Qur’an itu, maka kenalah kita ambil peduli.

Kita kena sedar yang isi penting Qur’an adalah tentang Allah. Kita kena gunakan Qur’an ini untuk kenal Allah. Oleh kerana ayat ini menceritakan tentang DiriNya, maka ia boleh dijadikan bacaan amalan harian. Ini adalah rentetan ayat-ayat yang banyak menyebut nama Allah selain dari Ayat Kursi.

هُوَ اللهُ الَّذي لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ عٰلِمُ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ ۖ هُوَ الرَّحمٰنُ الرَّحيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He is Allāh, other than whom there is no deity, Knower of the unseen and the witnessed. He is the Entirely Merciful, the Especially Merciful.

(MELAYU)

Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia, Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Dialah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

 

هُوَ اللهُ الَّذي لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia,

Allah menyebut tentang Tauhid. Inilah Kesimpulan Wahyu – Hanya Allah sahaja ilah yang satu, tidak ada ilah yang lain. Hanya sembah Allah taala sahaja, doa kepada Dia sahaja. Maka jangan jadikan selain Allah sebagai ilah kerana itu semua tidak layak menjadi ilah.

Allah lah sahaja tempat pengharapan. Maka kena faham maksud ilah ini, barulah dapat memahami syahadah yang kita bacakan setiap hari.

 

عٰلِمُ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ

Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, 

Selepas menyebut tentang kalimah tauhid, Allah menyebut sifat-sifatNya. Hanya Allah sahaja yang tahu dan ada ilmu ghaib. Manusia tidak ada ilmu ghaib melainkan yang diberitahu sahaja. Dan ini adalah satu salah faham dalam masyarakat yang kata ada manusia yang tahu ilmu ghaib.

Ini adalah fahaman syirik kerana hanya Allah taala sahaja yang ada ilmu ghaib. Yang manusia ada ilmu ghaib itu adalah kerana Allah beri sedikit pengetahuan kepada para Nabi. Tapi setakat itu sahaja. Tidaklah manusia atau mana-mana makhluk tahu semua ilmu ghaib.

Allah tentu sekali nampak yang zahir juga. Kita pun ada juga nampak yang zahir, tapi itu pun tidaklah semuanya.

Jadi Allah tahu segala-galanya dan Allah tidak perlu sesiapa pun untuk memberitahu kepadaNya. Kalau kita ada maklumat apa-apa, kita memerlukan orang untuk memberitahu kepada kita, bukan? Tapi tidak dengan Allah kerana Allah tahu dari mula lagi, malah sebelum ianya terjadi lagi Allah sudah tahu.

 

هُوَ الرَّحمٰنُ الرَّحيمُ

Dialah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Dua sifat Allah yang selalu disebut-sebut adalah sifat Rahman dan Raheem ini. Kita sudah bincangkan dalam tafsir Surah Fatihah dengan panjang lebar. Begitu banyak sekali nikmat yang Allah berikan kepada makhluk kerana Allah kasih dan penyayang kepada makhlukNya.

Sebelum ini telah diberitahu yang Allah segala-galanya; termasuklah diri kita. Walaupun Allah tahu segala-galanya tentang diri kita luar dan dalam, tapi Allah masih tetap sayang kepada kita kerana kita hambaNya.


 

Ayat 23:

هُوَ اللهُ الَّذي لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ المَلِكُ القُدّوسُ السَّلٰمُ المُؤمِنُ المُهَيمِنُ العَزيزُ الجَبّارُ المُتَكَبِّرُ ۚ سُبحٰنَ اللهِ عَمّا يُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He is Allāh, other than whom there is no deity, the Sovereign, the Pure, the Perfection,¹ the Bestower of Faith,² the Overseer, the Exalted in Might, the Compeller, the Superior. Exalted is Allāh above whatever they associate with Him.

  • Literally, “Free” from any imperfection or “the Security.”
  • Or “of Safety.”

(MELAYU)

Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia, Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengurniakan Keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki segala Keagungan, Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.

 

هُوَ اللهُ الَّذي لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia,

Allah ulang lagi kalimah tauhid seperti dalam ayat yang sebelum ini sebagai penekanan. Ini kerana ia adalah amat penting. Kerana salah faham tentang ilah inilah yang menyebabkan banyak kesyirikan yang terjadi dalam masyarakat.

 

هُوَ المَلِكُ

Dialah Raja

Allah sebenar-benar Raja yang memiliki segala-galanya. Walaupun manusia ada yang jadi raja di dunia, tapi tidaklah sama kedudukan itu dengan Allah.

Raja di dunia itu adalah kerana Allah sahaja yang benarkan orang itu jadi raja. Tapi tidaklah dia berkuasa penuh sedangkan Allah berkuasa penuh. Allah bebas untuk urus dan tadbir alam ini tanpa ada sekatan apa-apa pun.

 

القُدّوسُ

Yang Maha Suci,

Ini adalah kalimah mubalaghah. Allah yang Maha Suci dari kekurangan atau keburukan. Tidak mungkin kita boleh memikirkan perkara yang buruk tentang Allah. Maka Allah tidak jahat, tidak menjelekkan. Allah Maha Suci dan Allah sahaja yang boleh menyucikan kita.

 

السَّلٰمُ

Yang Maha Sejahtera,

Allah tidak mungkin mengalami kepayahan atau kesusahan kerana Allah sentiasa sejahtera.

Yaitu Maha sejahtera dari segala bentuk cela dan kekurangan, kerana kesempurnaan Dzat, sifat, dan perbuatan-Nya.

Allah sahaja yang boleh beri keamanan kepada kita. Maka kita kenalah berharap untuk mendapat keamanan dari Allah.

 

المُؤمِنُ

Yang Mengurniakan Keamanan,

Maksud ‘mukmin’ adalah yang memberikan keamanan. Iaitu keamanan dari ketakutan. Allah yang memberi keselamatan kepada manusia, yang memberi perlindungan kepada makhlukNya.

MakhlukNya selamat dari takut Allah berlaku zalim kepada mereka, tidak memberikan hak-hak mereka, tidak membalas kebaikan yang dilakukan semasa di dunia, tidak menepati janjiNya.

Ada juga yang menafsirkan maksudnya ‘memberi iman’. Maksudnya Allah sahaja yang boleh beri iman kepada manusia. Hidayah iman itu milik Allah dan bukan kita boleh beri kepada orang lain, termasuklah yang di bawah kita seperti anak-anak kita sendiri. Kita boleh sampaikan sahaja dakwah iman tapi untuk memberi orang itu beriman, itu adalah dalam kuasa takluk Allah taala.

 

المُهَيمِنُ

Yang Maha Memelihara,

Kalimah Muhaimin ada tiga maksud dari segi bahasa:

1. Penjaga dan pengawal
2. Pemerhati yang memerhatikan segala yang dilakukan oleh orang lain
3. Seorang yang mengambil kedudukan untuk memenuhi keperluan orang lain.

Ketiga-tiga sifat ini boleh digunakan dalam konteks ayat ini. Oleh itu Allah lah yang menjaga dan memelihara semua makhlukNya; Dia memerhatikan segala kelakuan dan perbuatan kita semua; Dia juga yang bertanggungjawab memberikan segala keperluan kita. Tanpanya kita tidak mungkin dapat hidup dan terus hidup.

Dan kalau kita sambungkan dari sifat sebelum ini, ia mengajar kita yang Allah sahaja yang ada kuasa untuk menjaga manusia supaya tak sesat selepas diberikan dengan iman. Sudahlah Dia yang beri iman, hendak mengekalkan iman itu juga dalam kuasaNya.

 

العَزيزُ

Yang Maha Perkasa,

Allah tidak dapat dikalahkan oleh sesiapa pun. Tidak ada sesiapa pun yang berani angkat muka dengan Allah. Maka Allah boleh beri apa sahaja azab kepada manusia kalau mereka menentang kebenaran dan tidak mahu beriman.

 

الجَبّارُ

Yang Maha Kuasa,

Kalimah ‘jabbar’ bermaksud yang membetulkan sesuatu dengan menggunakan kekuatan. Ini macam membetulkan tulang yang terkehel supaya masuk balik di tempatnya. Maka ini mengajar kita yang kadang-kadang Allah gunakan kekerasan untuk membetulkan kita.

Qatadah mengatakan bahawa makna al-jabbar ialah Tuhan Yang menundukkan makhluk-Nya menurut apa yang dikehendaki-Nya. Ibnu Jarir mengatakan, al-jabbar artinya Tuhan Yang memperbaiki urusan-urusan makhluk-Nya. Yang mengatur mereka sesuai dengan apa yang menjadi kemaslahatan bagi mereka.

Kerana itu ada orang yang setelah ditimpa musibah dan masalah yang besar, barulah dia jadi orang yang baik. Semoga kita menunggu dikenakan dengan azab baru nak jadi baik.

 

المُتَكَبِّرُ

Yang Memiliki segala Keagungan, 

Allah sahaja yang ada kebesaran. Maka kita tidak boleh takabbur. Allah sahaja yang layak membesarkan DiriNya. Kita ini tidak ada apa-apa sebenarnya. Segala apa yang kita ada adalah dari Allah. Maka kenapa nak sombong dan rasa besar diri?

Allah tidak suka kepada makhluk yang kibr, sebagaimana yang telah disebutkan di dalam sebuah hadis sahih (hadis Qudsi) yang mengatakan:

“العَظَمة إِزَارِي، وَالْكِبْرِيَاءُ رِدَائِي، فَمَنْ نَازَعَنِي وَاحِدًا مِنْهُمَا عَذَّبته”.

Kebesaran adalah (bagaikan) kain-Ku dan Keagungan adalah (bagaikan) selendang-Ku; maka barang siapa yang menyaingi-Ku pada salah satu dari keduanya, niscaya Kuazab dia.

Jadi sifat kibr adalah satu sifat buruk kalau ianya ada pada makhluk kerana makhluk tidak ada apa-apa yang hendak disombongkan; tapi bagi Allah, ianya layak bagi Dia, jadi tidak salah kalau Allah bersifat mutakabbir.

 

سُبحٰنَ اللهِ عَمّا يُشرِكونَ

Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.

Ramai manusia yang mengatakan perkara yang salah tentang Allah. Antaranya, ada manusia yang kata Allah ada anak, Allah ada sekutu dalam pentadbiran alam ini, Allah memerlukan wasilah dalam doa, dan macam-macam lagi fahaman salah dan syirik.

Allah memberitahu yang Dia suci dari segala salah faham itu.


 

Ayat 24:

هُوَ اللهُ الخٰلِقُ البارِئُ المُصَوِّرُ ۖ لَهُ الأَسماءُ الحُسنىٰ ۚ يُسَبِّحُ لَهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He is Allāh, the Creator, the Inventor, the Fashioner; to Him belong the best names.¹ Whatever is in the heavens and earth is exalting Him. And He is the Exalted in Might, the Wise.

  • Refer to the final paragraphs of the “Introduction” for a brief discussion of these attributes.

(MELAYU)

Dialah Allah Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa, Yang Mempunyai Asmaaul Husna. Bertasbih kepada-Nya apa yang di langit dan bumi. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

هُوَ اللهُ الخٰلِقُ

Dialah Allah Yang Menciptakan,

Allah sahaja yang menciptakan sesuatu yang tidak ada kepada ada. Tidak ada sesiapa selain Allah yang boleh melakukannya. Musyrikin Mekah pun kenal Allah dan tahu bahawa pencipta itu hanya Allah sahaja.

 

البارِئُ

Yang Mengadakan,

Allah yang mengadakan sesuatu yang tidak ada kepada ada. Selepas Allah rancang untuk menjadikan sesuatu, Allah akan menjadikannya. al-Bari’ adalah dari katadasar ب ر ئ yang bermaksud ‘putus’ atau ‘bebas’. Maksudnya Allah menjadikan makhluk bebas dari kekurangan.

Maknanya Allah merealisasikan apa yang telah direncanakan dan ditetapkan ke alam wujud dan alam nyata. Tiada seorang pun yang merencanakan sesuatu dapat melaksanakan dan merealisasikannya selain hanya Allah taala.

 

المُصَوِّرُ

Yang Membentuk Rupa, 

Segala rupabentuk adalah dalam kehendak Allah. Segala bentuk dalam alam ini tidaklah terjadi sendiri tapi ia telah ditentukan oleh Allah untuk jadi sebegitu rupa.

Maka Allah juga yang jadikan kita dalam rupa kita sekarang ini. Maka tidak boleh nak marah Allah dan kritik kerja Allah. Kalau kita tidak cantik, maka jangan marah ketidakcantikan kita itu. Kerana kalau kita marah, bermaksud kita kutuk Allah yang menjadikan rupa kita begitu.

Tiga kalimah awal yang menceritakan sifat Allah ini adalah tentang kejadian dalam tiga bentuk atau proses:

Pertama, Allah sebagai al-Khaaliq. Ini adalah sifat perancang. Ini macam arkitek yang sebelum menjadikan sesuatu bangunan, ia akan merancang bagaimana bentuk bangunan itu.

Kedua, pada peringkat kejadian ini kalau diumpamakan seperti pembinaan bangunan, ia seperti menjadikan tapak, naikkan dinding dan membentuk bangunan itu sehingga ia terbina.

Ketiga, pada peringkat memberi bentuk yang sempurna kepada kejadian itu seperti mengemaskan bentuk bangunan sampai menjadi sempurna.

Tetapi tidaklah kita samakan penciptaan manusia dan Allah. Dalam manusia mencipta dan menjadikan sesuatu, tentulah ada contoh sebelumnya. Tapi Allah menjadikan alam ini tidak ada contohnya. Allah cipta sendiri.

 

لَهُ الأَسماءُ الحُسنىٰ ۚ

Yang Mempunyai Asmaaul Husna. 

Allah sahaja ada yang nama yang memberi kesan apabila diseru. Nama-nama lain tidak memberi kesan apabila diseru. Ini adalah kerana nama-nama Allah itu memang benar dan bertepatan dengan Dia. Sebagai contoh, kalau seorang lelaki bernama Rahman, tidaklah bermakna itu seorang yang pemurah. Tetapi apabila dikatakan Allah itu ar-Rahman, memang Allah bersifat Maha Pemurah. Maka kita gunakan nama-nama Allah ini untuk kita menyeruNya dalam doa kita.

Nama-nama itu semua al-husna, iaitu baik. Tidak ada nama yang memburukkan Allah. Nama-nama itu melambangkan kesempurnaan Allah taala.

Asmaul Husna adalah salah satu perkara yang rapat dengan masyarakat kita. Selalu ianya dinyanyikan oleh anak-anak kecil malah orang tua yang menghafalnya. Sebenarnya tidak ditemukan hadits yang sahih yang menyebutkan dan mengumpulkan sembilan puluh sembilan Al-Asmâ-ul-Husna dalam satu hadîts. Adapun hadits yang diriwayatkan di dalam Sunan At-Tirmidzi, Mustadrak Al-Hakim dan yang lainnya, para ulama mendhaifkannya.

At-Tirmidzi setelah menyebutkan hadîts yang terdapat di dalamnya Al-Asmâ-ul-Husna tersebut, beliau mengatakan, “Hadîts ini gharîb…hadîts ini diriwayatkan dengan jalan lain dari Abu Hurairah dan kami tidak mengetahui pada sebagian besar riwayat-riwayat tersebut yang menyebutkan nama-nama ini kecuali di hadîts ini…”

Banyak orang yang menyangka bahawa Allah hanya memiliki sembilan puluh sembilan nama, dengan dalil yang diriwayatkan dari Abu Hurairah radhiallâhu ‘anhu bahwasanya Rasulullah shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

( إِنَّ ِلِِلهِ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ اسْمًا مِائَةً إِلَّا وَاحِدًا مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الْجَنَّة )

Artinya: “Sesungguhnya Allah memiliki sembilan puluh sembilan nama/seratus dikurangi satu. Barang siapa yang dapat menghitung atau menghafalnya maka dia akan masuk syurga.” HR Al-Bukhâri no. 2736 dan Muslim no. 6/2677.

Ihshâ’ (menghitung/menghapal) Al-Asmâ-il-Husnâ di dalam hadîts tersebut memiliki empat tingkatan, yaitu:

  1. Menghitung dan menghafal nama-nama tersebut.

  2. Memahami makna yang terkandung di dalamnya

  3. Berdoa dengan menggunakan nama-nama tersebut, seperti: Ya Razzâq (Yang Maha Memberi Rezeki)! Berilah aku rezeki, Ya Ghafûr (Yang Maha Pengampun)! Ampunilah dosa-dosaku.

  4. Menyembah Allah dengan seluruh kandungan nama-nama tersebut. Jika kita tahu bahwa Allah Ar-Rahîm (Maha Pemberi Rahmat), maka kita selalu mengharapkan rahmat atau kasih sayang-Nya. Jika kita tahu bahwa Allah Al-Ghafûr (Maha Pemberi Ampun), maka kita selalu memohon ampun kepadanya. Jika kita tahu bahawa Allah As-Samî’ (Maha Mendengar), maka kita selalu menjaga perkataan kita, jangan sampai membuat Dia marah. Jika kita tahu bahawa Allah Al-Bashîr (Yang Maha Melihat), maka kita selalu menjaga perbuatan kita agar tidak mengerjakan sesuatu yang tidak diridhainya.

Benarkah Allah hanya ada 99 nama sahaja? Padahal, Allah memiliki banyak nama yang tidak kita ketahui dan disembunyikan di sisi-Nya. Sebagaimana Rasulullah shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah berdoa, :

( …أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ …)

Artinya: “… Aku memohon dengan seluruh nama yang Engkau miliki, yang Engkau menamakan diri-Mu dengannya, yang Engkau ajarkan kepada salah seorang dari makhluk-Mu, yang Engkau turunkan di dalam Kitab-Mu atau yang Engkau sembunyikan di ilmu ghaib di sisi-Mu…” HR Ahmad no. 3712, Al-Hâkim no. 1877 dan yang lainnya. Syaikh Al-Albâni berkata di Ash-Shahîhah no. 199, “Hadîst ini shahîh.”

Hadis di atas sangat jelas menyatakan bahawa nama Allah ta’ala tidak hanya sembilan puluh sembilan, kerana ada nama-nama yang disembunyikan di sisi-Nya. Jadi apabila Allah kata Dia ada 99 nama, tidaklah bermaksud tepat 99 nama. Ini sebagaimana ada orang yang kata dia ada ‘sejuta ringgit’. Tidaklah dia ada tepat sejuta ringgit tapi lebih ataupun kurang dari sejuta juga.

Jadi bilangan nama Allah ini tidak disepakati. Al-Qurthubi berkata, “Telah kami sebutkan bahawa nama-nama Allah ada yang telah disepakati oleh para ulama dan ada yang masih diperselisihkan. Yang kami dapatkan di buku-buku para imam kami, (nama-nama tersebut) mencapai lebih dari dua ratus nama.”

 

يُسَبِّحُ لَهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Bertasbih kepada-Nya apa yang di langit dan bumi. 

Surah ini dimulai dengna tasbih dan diakhiri dengan tasbih macam mulanya. 10 surah yang kita sedang baca sekarang dinamakan Surah-surah Musabbihaat kerana ada tasbih di dalam surah-surah itu.

Allah tekankan tentang tasbih dan memberitahu bahawa semua makhluk di langit dan di bumi bertasbih kepadaNya. Maka Allah nak perli di dalam surah-surah ini: mana tasbih kamu? Kenapa kamu tidak bertasbih?

 

وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah bersifat al-Aziz bermaksud Allah boleh kenakan azab kepada mana-mana makhluk dengan apa-apa cara pun dan tidak ada sesiapa yang boleh menghalangNya.

Tapi Allah juga bersifat al-Hakeem. Maksudnya tidaklah Allah terus beri azab kepada manusia setiap kali manusia buat salah. Allah beri tangguh kepada manusia untuk mengubah sifat mereka. Dan ini adalah kerana Allah bersifat al-Hakeem. Semua perbuatan Allah itu adalah di atas kebijaksanaanNya.

Sekian ayat-ayat tentang sifat Allah. Ketiga-tiga ayat ini adalah antara wirid-wirid yang boleh diamalkan.

Allahu a’lam. Sambung ke surah seterusnya, Surah Mumtahanah.

Tarikh: 4 April 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s