Risalah ke 4 Usul Daurah Tafsir: Perbahasan tentang ilah

Muqaddimah

Amat penting sekali kena faham betul-betul tentang ilah ini. Kalau faham, akan mudah faham tafsir Quran. Bila kita tahlil pun, akan rasa lain kerana ia akan memberikan kesan ke dalam hati kerana kita sudah faham maksud ilah itu. Apabila kita lafaz la ilaha illallah, kita sebut dengan kefahaman yang jitu. Waktu itu, kita akan rasa bergantung sungguh kepada Allah.

Dalam bahasa Melayu, ilah selalunya hanya disebut ‘Tuhan’. Tapi siapakah ‘Tuhan’? Ramai dalam kalangan orang Islam tak faham pun apakah maksud ilah itu, tapi Musyrikin Mekah amat faham lafaz ilah itu. Sebab fahamlah, mereka lawan Nabi kerana tidak ada persetujuan kefahaman dalam tauhid pada ilah. Maknanya, pertentangan itu adalah atas perkara akidah.

Masyarakat kita memang ramai yang tak faham ilah. Mereka hanya pandai sebut sahaja. Sebab itu, apabila kita tegur mereka tentang ‘tawasul’ salah yang mereka lakukan, mereka akan tolak kita, lawan kita. tuduh kita macam-macam. Ini semua kerana mereka tak faham dengan sebenarnya, apakah lafaz ilah itu. Maka kitalah yang kena belajar dan yang kena faham dulu supaya kita dapat beri penjelasan kepada mereka. Isu agama memang sensitif dan mereka akan marah kalau kita tegur mereka, walaupun mereka salah – manusia memang susah ditegur, apatah lagi dalam hal agama. Maka kita kena faham dengan kemas dulu sebelum beritahu kepada orang lain.

Akidah yang Haq adalah: tidak membenarkan lafaz ilah berkongsi dengan selain Allah. Lafaz ilah itu hanya untuk Allah sahaja. Nabi, wali, malaikat dan sesiapa sahaja tidak boleh memilikinya. Sifat ketuhanan hanya milik Allah.

Sedangkan akidah yang batil itu membenarkan lafaz ilah itu dikongsi dengan selain Allah. Iaitu kepada roh wali, malaikat dan jin. Mereka kongsi status ilah itu dengan Allah. Inilah akidah Musyrikin Mekah. Tugas terbesar Nabi Muhammad adalah menerangkan tauhid dan menolak perkongsian ilah dengan selain Allah. Itulah Tauhid pada lafaz ilah.

Adakah selain Allah yang memiliki sifat Tuhan? Ada yang kata ada dan itu yang kita nak bersihkan.

Ringkasan Tajuk-tajuk dalam masalah ilah. Semuanya diambil dari Quran:
1. Kepentingan untuk tahu masalah ilah ini. Ianya amat penting untuk kita kenal Allah.

2. Kitab-kitab yang diturunkan dahulu berkenaan perkara ini. Bukan Qur’an sahaja yang sebut tentang tauhid kepada ilah. Semua kitab dari langit membicarakan perkara ini. Rukun iman pun ada menyebut tentang percaya kepada kitab-kitab. Kita kena terima yang semua Nabi membawa akidah yang sama yang kena disampaikan kepada umat mereka.

3. Terdapat 4 syubhat (kekeliruan) ilah ini yang difahami oleh Musyrikin Mekah. Begitu juga ianya adalah kekeliruan masyarakat Islam sekarang. Kerana mereka keliru, sebab itulah mereka amal perkara syirik. Tak perasan yang sama sahaja akidah mereka dengan Musyrikin Mekah. Mereka sangka mereka tidak sama dengan akidah Musyrikin Mekah, tapi apabila dikaji, serupa sahaja. Tapi kerana tak belajar tafsir Qur’an, mereka tetap berada atas kesesatan itu. Oleh itu, kena belajar akidah musyrikin Mekah supaya kita tidak buat perkara yang sama dan ada fahaman salah yang sama macam mereka. Penting untuk belajar, kerana kesesatan ini bukan sahaja dari segi amalan, tapi perkara dalam hati. Perkara dalam hati ini, orang lain tak tahu, jadi kita sendiri kena periksa samada benar atau salah. Kalau kita salah dalam ibadat solat contohnya, bolehlah orang nampak dan tegur kita, tapi kalau dalam hati?

4. Perbahasan syirik di segi ilmu dan qudrat. Ini banyak salah faham dalam masyarakat. Ada yang sangka, mereka yang telah mati, dapat tahu lagi apa terjadi dalam kehidupan dunia. Dan ada juga yang sangka, orang sudah mati ada qudrat untuk beri pertolongan kepada yang hidup. Ini semua adalah salah faham tentang akidah.

5. Perbahasan syirik di segi tasarruf. Inilah jenis-jenis syirik yang banyak merosakkan akidah manusia. Kita akan tunjukkan bagaimana kedua-duanya milik Allah sahaja.

6. Tauhid di dalam adat, ibadat ubudiyyah dan uluhiyah.

Syarah:

1. Seluruh Nabi akan menyampaikan ajaran mengesakan Tuhan. Inilah yang pertama sekali akan disampaikan oleh para Rasul kepada umat mereka. Ianya adalah satu ilmu yang amat penting sekali, yang kalau salah faham dalam ilmu ini, maka tidak bergunanya amalan dan fahaman agama yang lain. Dalil: Anbiya’:25:

وَما أَرسَلنا مِن قَبلِكَ مِن رَسولٍ إِلّا نوحي إِلَيهِ أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا أَنا فَاعبُدونِ

Dan Kami tidak mengutus seorang rasulpun sebelum kamu melainkan Kami wahyukan kepadanya: “Bahwasanya tidak ada Tuhan (yang hak) melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku”.

2. Kitab-kitab yang lain dari langit juga menyampaikan hal ilah sebagai ajaran utama. Terlebih sekali Qur’an. Kitab selain Qur’an telah diubah, jadi mana kita tahu yang kitab-kitab itu memperkatakan tentang ilah juga? Kita tahu kerana ianya telah diberitahu dalam Qur’an. Allah dah sebut dah yang kitab-kitab itu juga memperkatakan tentang ilah. Bukannya perlu kita baca Taurat dan Injil pula untuk pastikan. Cukup dengan kita percaya sahaja apa Allah sebut dalam Quran. Mana-mana tulisan kitab-kitab itu yang berlawanan dengan Qur’an, maksudnya ianya telah ditukar. Kisah-kisah ini banyak disebut dalam Quran: Isra:2

Audio kuliah boleh dengar di sini: Masalatul ilah 1

3. Kesamaran tentang mafhum ilah:

Ini adalah tentang kesamaran kepada umat zaman sekarang tentang masalah ilah. Orang Arab tak keliru, sebab itu mereka lawan Nabi. Orang kita sahaja yang keliru sampai terjerumus dalam syirik walaupun mereka mengucap syahadah setiap hari. Kerana mereka tak faham apa yang mereka ucapkan. Ini kerana pada sangkaan mereka, syirik Arab Mekah itu berlainan dengan iktikad mereka. Sedangkan setelah dikaji, syirik masyarakat kita yang tidak ada ilmu tentang ilah itu sama sahaja dengan Musyrikin Mekah.

Sebab terjadinya akidah bathil itu adalah kerana tiada panduan dan pengajian tentang akidah ini melalui kitab muktabar dan guru yang muktabar. Kitab paling muktabar adalah Qur’an dan guru yang muktabar adalah guru yang belajar talaqqi secara bersanad. Bahaya kalau baca sendiri ilmu tentang akidah kerana takut keliru. Kerana dengan sanadlah yang menjaga kesahihan ilmu. Kerana kita dapat kepastian yang pengajaran itu tidak putus sampai kepada Nabi. Masyarakat Islam kita rosak kerana tiada panduan dan ajaran agama yang sahih. Sampaikan mereka tak tahu apakah persamaan akidah mereka dan Musyrikin Mekah.

Begitulah penyakit yang berleluasa dalam masyarakat kita adalah mabuk ‘cinta dunia’ dan mabuk ‘jahil agama’. Sebab itulah, walaupun kita ramai tapi diratah orang kafir.

Sebelum kita berbincang apakah kesamaran-kesamaran itu, ada perkara yang kita kena tahu dahulu supaya kita boleh faham perbincangan seterusnya nanti. Seperti yang kita sudah tahu, Allah menguji sekalian hambaNya. Dan dunia ini dijadikan Darul Ibtila’ – Medan ujian. Bukanlah dunia ini ‘medan kebahagiaan’ tapi ianya adalah tempat ujian sahaja. Akhirat nanti adalah Darul Jaza’ – Tempat Pembalasan. Oleh itu, bukanlah dunia ini tempat bersuka-ria tapi ianya adalah tempat untuk beribadat dan mengisi bekal untuk akhirat.

Jadi jangan putus asa dengan medan ujian semasa kita di dunia ini. Ingatlah yang ianya bukan tempat yang kekal pun. Susah dan senang yang kita alami sepanjang kehidupan kita dari lahir sampailah kita mati, semua itu adalah sebahagian dari ujian sahaja. Biasanya, dalam ujian, macam-macam yang akan kena dengan kita. Dan kadang kala kita akan buat kesalahan semasa dalam ujian itu. Allah dengan kebijaksanaanNya yang sempurna telah menjadikan medan ujian di dunia berjalan mengikut sunnahNya – mengikut caraNya. Cara yang Allah sendiri yang adakan. Sebagai contoh, kalau kita tanam benih padi, nanti kita dapat beras. Tidaklah keluar tumbuhan yang lain pula, kerana itu akan mengelirukan kita nanti.

Sunnah Allah ke atas sekalian hamba pula terbahagian kepada dua:

1. Ma fauqal asbab – di atas lingkungan asbab
2. Ma tahtal asbab  – di bawah lingkungan asbab

Menyeru dan memanggil seseorang, boleh jadi harus dan boleh juga jadi haram. Kalau ianya sesuatu yang normal dan boleh diterima akal, seperti kalau panggil orang di luar negara, tapi pakai telefon, itu adalah harus.

Tapi kalau seru Nabi, malaikat dan jin, itu di luar asbab. Kita kena tahu yang seru selain Allah, yang di luar asbab, tidak dibenarkan. Kalau seru Allah, hanya itu sahaja yang dibenarkan. Malangnya ramai orang sekarang seru dan panggil Nabi dan wali. Siapa suruh? Quran, Nabi dan hadis tak suruh pun. Ada bukti dan dalilkah dari amalan mereka itu? Tentu tidak ada. Ini adalah kerana ada orang memandai buat sahaja. Jangan kita terlibat buat sama dengan mereka. Walau betapa ramai pun orang yang buat.

Apakah hukumnya? Kalau mereka seru dan mereka iktikad yang Nabi mendengar seruan mereka dan boleh datang pula ke majlis mereka, sudah jatuh kafir mereka. Tapi kalau mereka menyeru dalam bentuk madah dan sastera, ulama’ berselisih pendapat dalam hal ini. Ada yang kata salah kerana boleh menyebabkan kekeliruan dalam akidah. Ada yang kata, kalau orang itu sedar dan tahu apa yang dia buat, cuma dalam bentuk madah sahaja, dibolehkan. Tetapi, elok ditinggalkan sahaja perkara yang boleh menyebabkan kekeliruan.

Setengah dari perkara-perkara ma tahtal asbab (yang dibawah asbab) diperlihatkan oleh Allah kepada seluruh hambaNya. Iaitu melalui hukum takwini – hukum kun fayakun. Sebagai contoh, kalau tanam padi, hasilnya akan tumbuh padi. Ianya adalah hukum yang diberikan sama rata dan bukan hukum syariah. Orang kafir atau muslim tertakluk kepada hukum alam yang sama ini. Oleh itu, tidak boleh jadikan hukum takwini untuk menyatakan murka atau redha Allah kerana Allah berikan sama kepada semua. Iaitu kalau seseorang itu dapat banyak kebaikan, tidaklah itu bermakna yang Allah suka kepada orang itu.

SunnahNya dari jenis ma fauqal asbab (yang diatas asbab) diperlihatkan kepada hamba-hambaNya melalui hukum tasyri’ie (hukum syariat). Hukum inilah yang boleh menyebabkan manusia masuk samada syurga atau neraka. Ianya adalah neraca kepada amalan kita. Ada suruhan dan larangan di dalam hukum ini. Hukum terdapat dalam kitab wahyuNya yang mesti diikuti oleh manusia.

Kedua-dua jenis hukum ini dari Allah belaka. Allah yang menentukan kedudukannya. Allah menuntut hambaNya mengikut hukum tasyri’ie ini yang sifatnya tidak berubah dan dilakukan dalam hukum takwini yang sifatnya sentiasa berubah. Sebagai contoh, kita kena puasa tidak kira di dalam musim sejuk atau musim panas. Kerana musim boleh bertukar tapi hukum tidak bertukar. Itulah maksudnya hukum takwini bertukar-tukar tapi hukum tasyri’ie tidak. Itu semua adalah dalam rangka Allah menguji hambaNya.

Dalam solat pula, kita kena buat juga solat lima waktu sehari semalam dalam apa keadaan pun. Cara solat pun dari dulu sampai sekarang sama sahaja. Allah menguji hambaNya dengan hukum takwini dengan keadaan hambaNya itu. Sebagai contoh, kadang-kadang cuaca panas sangat, kadang sejuk sangat, tapi solat tetap kena solat juga. Tidaklah kalau sejuk sangat, dah tak perlu solat. Tentulah tidak begitu, bukan? Begitu juga, keadaan dalam diri kita pun berubah-ubah dari masa ke semasa. Kadang-kadang hati kita seronok, kadang kita lapang, kadang sibuk, kadang sedih dan sebagainya, tapi masih tetap kena solat juga. Itu semua adalah dugaan dari Allah dan ujian kita semasa di dunia.

Kalau kita terkesan dengan hukum takwini sampai meninggalkan hukum tasyri’ie, Allah mengatakan yang mereka itu golongan celaka dan kufur. Nauzubillahi min zaalik.

Audio kuliah boleh dengar di sini: Masalatul ilah 2

Tetapi malangnya, ramai yang tidak tahu tentang apakah maksud ilah ini. Ini adalah kerana mereka tidak belajar tentangnya. Ramai yang sangka mereka telah tahu agama, tapi sebenarnya mungkin tidak lagi. Oleh kerana tidak belajar, maka ada keraguan dan kesamaran tentang tauhid dan lebih-lebih lagi tentang maksud ilah. Di sini kita hendak membincangkan apakah kesamaran manusia tentang ilah :

i. Ramai yang sangka, syirik itu terjadi hanya apabila menduakan Allah. Iaitu kalau kata: “ada tuhan selain Allah”, baru dikira telah melakukan syirik. Sebagai contoh, mereka sangka, syirik itu adalah apabila meletakkan sifat sempurna yang seperti Allah pada entiti lain. Mereka kata kalau ada yang kata ada tuhan lain yang ada sifat sempurna macam Allah, barulah dikatakan syirik. Sebagai contoh, kalau kata ada lagi entiti lain yang buat alam ini.

Oleh itu, pada mereka, kalau seru para wali, Nabi dan malaikat, tidak mengapa dalam sangkaan mereka dan tidaklah lagi termasuk dalam perkara syirik.

Jawapan: Ini adalah satu fahaman yang salah. Dan mereka sangka begitu kerana tidak belajar. Dan kerana mereka tidak faham akidah Musyrikin Mekah. Mereka buat sangkaan sahaja tentang apakah fahaman orang Musyrikin Mekah. Mereka sangka Musyrikin Mekah anggap ada entiti yang sama macam Allah. Padahal tidak begitu. Musyrikin Mekah sebenarnya kenal Allah sebagai Tuhan dan mereka tidak pernah menyamakan sembahan-sembahan mereka sebagai mempunyai kedudukan yang sama macam Allah.

Jadi, Musyrikin Mekah pun sangka mereka tak salah bila seru jin, Nabi, wali dan malaikat sebab mereka tak kata pun yang Nabi, wali dan malaikat itu bersifat sempurna seperti Allah. Mereka kata mereka minta ‘syafaat’ sahaja dengan Nabi, wali dan malaikat itu. Mereka kata, itu semua sekadar menyokong doa mereka sahaja, dan mereka masih meminta doa kepada Allah. Iaitu supaya doa mereka mudah diterima.

Atau, mereka kata, seruan itu untuk ambil ‘berkat’ sahaja. Mereka kata kalau begini, tidak syirik. Mereka pun beri perumpamaan, seperti memakai orang tengah untuk masuk istana raja. Mereka kata, kenalah pakai orang tengah sebab tak faham bahasa istana dan tak faham selok belok istana dan tidak layak untuk bercakap dengan raja dan masuk istana. Mereka sangka hujah mereka itu munasabah sebab para wali, Nabi dan malaikat itu sudah dekat dengan Allah. Mereka sangka entiti-entiti itu akan merayu bagi pihak mereka kepada Allah. Kerana itu, macam-macam permintaan yang disampaikan melalui mereka.

Mereka kata tak syirik apa yang mereka lakukan itu sebab keempat-empat entiti itu (Nabi, wali, malaikat dan jin) hanya makhluk yang hampir dengan Allah dan tidaklah mereka itu dianggap sebagai sama kedudukan dengan Allah. Tujuan mereka menyeru jin, wali, Nabi dan malaikat itu hanyalah untuk menjadi rapat dengan mereka, bukannya menyembah mereka seperti menyembah Allah. Semuanya hanya untuk jadi ‘broker’ antara mereka dan Allah. Sebenarnya, apa yang mereka lakukan itulah yang dinamakan ‘tawasul’. Dan selain dari jadi perantara, mereka juga dijadikan sebagai tempat minta berkat. Itulah dua perkara syirik yang mereka lakukan (sebagai perantara dan sebagai pemberi berkat). Inilah juga yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah dan Allah dengan jelas mengatakan mereka itu ‘musyrik’. Lalu kalau akidah kita sama sahaja dengan mereka, apakah kita tidak musyrik?

Mereka sebenarnya telah melakukan perkara syirik tapi mereka tetap kata ini tidak syirik. Ketahuilah yang mereka itu salah dan janganlah kita pun terikut-ikut dengan mereka. Itulah sebenarnya syirik Arab Mekah dan kenapa mereka dipanggil ‘musyrikin’ oleh Allah. Mereka pun faham macam itu juga dulu. Cuma beza orang Melayu, kita tak terima jin sebagai tempat tawasul. Cuma Arab Mekah sahaja yang kata Allah telah menikah dengan jin dan keluar malaikat sebagai anak. Kecuali para bomoh yang dengan jelas memanggil-manggil jin. Itu pun ramai lagi yang pergi kepada bomoh.

Ketahuilah, ada dua jenis tawasul yang salah.
A. Seru Allah tapi guna berkat selain Allah. Sebagai contoh, ada yang berdoa begini: “Ya Allah, dengan berkat Nabi Muhammad, kabulkanlah permintaan kami ini”. Ini adalah cara doa bidaah yang berdosa. Iaitu mereka seru Allah, tapi ambil berkat Nabi dan wali.
B. Seru makhluk lain untuk bawa doa kepada Allah. Ini syirik dan kufur. Ini adalah jenis tawasul yang syirik.

Jangan kita salah sangka dengan Tawasul, kerana ada tawasul yang dibenarkan. Bukanlah kita kata semua tawasul tidak boleh. Tawasul itu ada, tapi amalkanlah tawasul yang dibenarkan sahaja. Tawasul yang elok adalah menggunakan amal soleh. Iaitu setelah melakukan amal soleh, kita terus berdoa kepada Allah. Sebagai contoh, selepas solat, kita berdoa; atau selepas membaca ayat Quran, kita terus berdoa.

Satu lagi tawasul yang dibenarkan dan digalakkan adalah dengan menggunakan asma’ Allah. Sebagai contoh, kita berdoa begini: “ya Razzaq, kurnialah kami rezeki yang banyak”. Ini juga dibolehkan. Jadi, kita sebagai seorang muslim, kena tahu nak bezakan manakah tawasul yang dibenarkan dan manakah yang tidak. Dan untuk tahu, kena belajar.

Oleh itu, seperti yang kita telah sebut, masyarakat Islam kita sangka, syirik itu hanya apabila menyamakan kedudukan entiti selain Allah pada kedudukan yang sama macam Allah, barulah dikira sebagai syirik. Mereka telah tersilap faham. Mereka mungkin juga telah tersilap dalam menggunakan dalil yang disebut dalam Quran, bagaimana orang kafir telah samakan kedudukan Allah dengan sembahan mereka. Ini seperti yang disebut dalam An’am:1

 ثُمَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُونَ

orang-orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka.

Mereka kata kalau samakan semua sifat Allah, barulah syirik. Ini adalah salah faham yang biasa terjadi. Sebenarnya, tidak perlu menyamakan semua sifat Allah kepada makhluk sudah dikira syirik. Kerana kalau satu sudut pun kita dah samakan dengan Allah, itu sudah syirik. Ini kita akan sebut selepas ini bagaimana kalau kita kata makhluk mempunyai pengetahuan ghaib pun, sudah dikira sebagai syirik. Itu dinamakan Shirk fil ilmi (Syirik dalam Ilmu).

Lagi satu dalil yang mungkin disalahfahami oleh mereka yang tidak faham tentang ilah ini ada dalam Syu’ara:98

إِذْ نُسَوِّيكُم بِرَبِّ الْعَالَمِينَ

“Kerana kami menyamakan kamu dengan Tuhan sekalian alam;

Mereka yang diazab dalam ayat ini adalah kerana mereka menyamakan sembahan lain dengan Allah.
‘Kamu’ dalam ayat ini adalah merujuk kepada Nabi, wali dan malaikat. Bukanlah penyamaan itu dalam segenap sudut seperti yang ada disangkakan oleh sebahagian umat Islam. Kalau samakan satu pun sifat khas Allah dengan makhluk pun sudah salah akidah.

Kebanyakan umat Islam yang salah akidahnya, menyamakan ibadat kepada Allah dalam bentuk ibadat ‘seru’. Kita kena tahu yang ‘seru’ adalah satu bentuk ibadat. Itulah yang banyak dilakukan oleh mereka yang jahil. Mereka seru: “Ya Nabi'”, “ya wali”, “ya sheikh Qadir Jailani” dan macam-macam lagi seruan-seruan mereka. Seru juga adalah doa sebenarnya dan sebab itu ianya hanya boleh dilakukan kepada Allah sahaja kerana doa hanya kepada Allah. Maka kalau menyamakan Allah dalam bentuk apa sahaja, itu sudah syirik.

Mungkin ada yang kata: takkan kita sama macam Musyrikin Mekah sedangkan Musyrikin Mekah itu sembah patung berhala sedangkan kita tak pernah buat begitu. Kita kena faham bahawa patung berhala mereka itu bukanlah ‘tuhan’ tapi kiblat tawajuh sahaja. Maksudnya, berhala, patung dan sebagainya itu, adalah tempat mereka fokuskan wajah atau fikiran mereka sahaja. Mereka tahu yang patung itu bukannya tuhan. Mereka tahu yang patung itu tidak boleh buat apa-apa pun. Yang mereka seru adalah roh yang dimaksudkan oleh hati mereka. Sebagai contoh, kalau kita tanya kepada orang Hindu, samada patung mereka yang di kuil dan di rumah itu, adakah tuhan mereka, tentu mereka akan jawap tidak. Mereka yang buat patung itu, takkan patung itu pula jadi tuhan mereka. Mereka akan kata yang patung itu adalah tempat fokus fikiran mereka sahaja. Yang mereka sembah adalah dewa Siva, Vishnu dan sebagainya.

Jadi orang Musyrikin Mekah pun tidaklah menganggap yang patung itu adalah tuhan mereka tapi yang mereka maksudkan adalah roh sembahan mereka seperti Nabi, wali dan malaikat. Dalam masa yang sama, mereka sendiri tahu yang roh-roh itu tidak ada kuasa mencipta dan memperkenankan apa-apa. Cuma mereka minta sampaikan kepada Allah sahaja.

Oleh itu, tidaklah perlu ada patung kalau nak jadi syirik. Kalau kita pun ada menyeru roh wali dan Nabi, atau malaikat, tanpa ada patung pun, itu sudah menjadi syirik.

Oleh itu, Musyrikin Mekah tidaklah percaya yang roh-roh yang mereka sembah itu ada sifat sempurna macam Allah dari segi Dzat dan sifat. Tapi mereka cuma memuja sebagai tempat minta ‘syafaat’ dan ‘tawasul’ sahaja. Pada mereka roh-roh itu menjadi penyebab untuk hampir kepada Allah. Dan mereka tahu roh-roh itu tidak ada kuasa apa pun.

ii. Kesamaran yang seterusnya yang masyarakat kita ada kepada akidah musyrikin Mekah adalah kita sangka mereka percaya kepada benda yang tidak bernyawa. Kita sangka mereka percaya patung berhala yang mereka sembah itu ada kuasa. Dan kita sangka kita lain dengan mereka kerana kita percaya kepada roh, bukan barang yang tidak bernyawa. Inilah sangkaan orang yang jahil.

Jawapan: Arab Mekah berfahaman yang orang yang soleh sebelum mereka telah banyak beribadat, buat baik, tolong orang lain dan sebagainya, dan kerana itu mereka telah dapat kedudukan yang hampir kepada Allah. Lalu Allah memberi mereka kuasa ketuhanan sebagai ‘anugerah’. Masa mereka hidup lagi mereka sudah dipanggil ahlullah (ahli Allah). Dan mereka sangka, bila bila mati Allah beri tugasan khas kepada mereka. Dan kerana salah sebeginilah, orang Mekah zaman Jahiliah akan puja kubur tertentu. Kubur orang tertentu sahaja. Bukan semua kubur orang Mekah yang dipuja. Macam jugalah orang kita, pilih kubur-kubur ‘keramat’

Salah faham ini kerana samakan hal dunia dengan hal di akhirat. Macam kalau seseorang berjasa kepada negara, dia akan diberi pingat oleh kerajaan, bukan? Begitulah lebih kurang sangkaan Musyrikin Mekah terhadap orang-orang yang soleh dari kalangan mereka – orang-orang soleh itu akan mendapat anugerah kuasa dari Allah. Bukan dapat semua kuasa penuh pun, tapi sebahagian sahaja. Kuasa itu tertakluk kepada bahagian-bahagian tertentu dan tempat-tempat tertentu sahaja. Kuasa keseluruhan masih ada pada Allah. Inilah khayalan dalam fahaman mereka. Oleh kerana pada sangkaan mereka orang-orang soleh itu ada kuasa, Musyrikin Mekah rasa mereka itu berhak dipuja. Sebab mereka hampir dengan Allah, sebab mereka dikatakan telah mendapat ‘pakaian kemuliaan’. Iaitu pakaian kemuliaan dan ketuhanan. Mereka sangka Allah anugerah kerana kedudukan wali-wali dan Nabi itu.

Mereka bukanlah sembah patung sebab sangka patung itu ada kuasa. Sebab tak muhasabah kalau begitu kerana mereka pun tahu yang patung itu tidak ada kuasa. Orang berakal tidak akan buat begitu. Dan mereka tidak bodoh begitu. Mereka pun belajar dan habis belajar dari universiti juga. Tapi manusia yang sudah pandai itu, buat juga perkara-perkara yang pelik. Tapi mereka beri hujah, yang mereka bukan sembah batu dan kayu tapi kayu dan batu itu adalah kiblat tawajuh sahaja. Untuk memusatkan fikiran mereka sahaja. Batu dan kayu atau apa sahaja itu dijadikan sebagai wakil sahaja. Wakil kepada roh-roh seperti roh Buddha, roh Nabi Isa dan sebagainya.Kadang-kadang dijadikan dalam bentuk gambar. Mereka agak-agak sahaja rupa individu itu kerana mana ada sesiapa yang tahu rupa asal mereka pun. Semua itu dijadikan sebagai gambaran orang yang telah mati itu.

Sebenarnya yang mereka seru adalah roh wali itu. Macam orang zaman sekarang pun ada buat begitu juga. Ada juga yang memuja dan menyeru kubur kerana sangka tok wali akan suka dengan sembahan mereka itu dan akan beri syafaat sebagai balasan. Nama berhala itu pun diambil dari nama orang terdahulu yang soleh, seperti Manat, Uzza dan sebagainya.

Dalam Quran, lafaz ‘Syai’an’ dan ‘min dunillah’ adalah lafaz umum yang merujuk kepada apa-apa sahaja yang disembah selain Allah, seperti patung, gambar, roh dan berhala atau apa-apa sahaja. Macam orang kita juga, sangka ada kelebihan pada batu, kayu dan sebagainya. Ramai yang sangka begitu dari kalangan orang Melayu pun, mengaku beragama Islam, mengaku amal tauhid. Tapi dalam masa yang sama, mereka ada masalah tauhid.

iii. Ini adalah hujah ketiga yang diberikan oleh mereka yang jahil. Mereka kata, sekiranya seruan kepada roh-roh orang mati itu syirik, maka panggilan sesama hidup juga adalah syirik. Hujah mereka, kalau minta sembuh dengan roh mati itu syirik, maka minta ubat kepada doktor pun syirik juga. Inilah hujah bathil mereka yang sebenarnya datang dari syaitan. Syaitan telah memberi hujah itu kepada mereka. Ketahuilah yang syaitan boleh tipu mereka yang jahil sahaja. Payah syaitan nak tipu orang yang mahir dengan agama.

Jawapan: Permintaan kepada mereka yang hidup seperti minta ubat dari doktor itu adalah perkara di bawah asbab. Kerana mereka masih hidup lagi dan boleh menolong kita kerana dalam kemampuan mereka. Mereka pun boleh dengar permintaan kita.

Tapi kalau permintaan itu permintaan di luar dari asbab, seperti minta kepada orang mati yang tidak mendengar permintaan kita, itu adalah syirik. Kalau seru sesama yang hidup, ianya masih dalam asbab. Maka boleh minta kepada mereka yang dalam lingkungan asbab. Itu harus dan dibenarkan. Sebagai contoh, minta ubat dari doktor, makan ubat akar kayu dan sebagainya. Dalam Qur’an, banyak Allah berikan contoh minta bantuan dalam asbab. Macam dalam surah al-Kahf, Dzulqarnain ada minta tolong kepada orang di sekeliling kawasan itu untuk buat benteng untuk berlinding dari Yakjuj Makjuj. Allah juga ada suruh kita jadi pembantu kepada Nabi. Nabi Isa pun ada minta tolong kepada hawariyyun. Kesimpulannya, bantu membantu dan permintaan pertolongan kepada yang hidup dibenarkan.

Ketahuilah, seruan syirik adalah seruan luar lingkungan asbab. Iaitu permintaan kepada roh wali, Nabi dan malaikat atau sesiapa sahaja yang tidak dapat mendengar permintaan kita itu.

iv. Ada yang salah anggap dengan perkara mukjizat dan karamah. Mereka sangka yang mukjizat Nabi dan keramah wali itu adalah kerana usaha mereka. Mereka sangka, para Nabi dan wali itu boleh buat mukjizat dan karamah itu bila-bila masa sahaja. Macam Nabi Musa, mereka sangka yang baginda boleh guna tongkat baginda bila-bila masa dan baginda boleh tukarkan tongkat itu jadi ular, keluarkan air dan batu dan belah lautan. Maka mereka sangka, kalau mereka boleh buat begitu, bolehlah minta kepada mereka, kerana mereka ada kelebihan-kelebihan luar biasa yang boleh membantu mereka yang meminta.

Jawapan: Segala mukjizat dan karomah sebenarnya dari kudrat Allah. Bukan ikhtiar dari Nabi dan wali. Allah sahaja yang tentukan. Mukjizat dan karamah tidak berlaku melainkan dengan perlakuan Allah. Bukan dari kehendak Nabi dan wali. Hanya apabila Allah suruh Musa lemparkan tongkat baginda, barulah tongkat itu menjadi ular. Kalau baginda saja-saja lempar dengan niat menjadikan tongkat itu sebagai ular, tidak akan terjadi.

Audio kuliah boleh dengar di sini: Masalatul ilah 3

4. Perbahasan syirik tentang ilmu yang biasa berlaku dalam masyarakat kita.

Ketahuilah, apabila satu-satu sifat itu milik khas Allah, maka selain Allah tidak boleh memilikinya. Kalau kita kata ada juga yang memilikinya, itu adalah syirik. Mari kita bincangkan perkara yang selalu disyirikkan oleh masyarakat kita. Yang pertama sekali adalah tentang ‘ilmu’. Kita kena bezakan antara ilmu kita dan ilmu Allah. Tentunya ia tidak sama.

i. Allahlah sahaja yang memiliki ‘ilmu dzaati’. Kita pun ada juga ilmu, bukan? Dan Allah pun ada ilmu juga. Tapi ilmu yang pada Allah ada adalah ‘ilmu dzaati’ dan ilmu yang kita ada adalah ‘ilmu ato’ie’ iaitu ilmu yang Allah beri kepada kita dan Allah boleh tarik bila-bila masa. Hari ini mungkin kita tahu dan esok boleh lupa kalau Allah tarik ilmu itu dari kita. Kerana ilmu itu bukan ada pada kita pun.

ii. Selain dari itu, ilmu yang ada pada Allah adalah sempurna dan ilmu yang ada pada kita terhad sahaja. Allah Maha mengetahui segala-galanya. Maka tidak sama ilmu kita dan ilmu Allah. Sebab itu pada Allah kita letak lafaz ‘Maha Mengetahui’ untuk membezakan antara ilmu kita dan ilmu Allah.

iii. Allah juga memiliki ‘ilmu kulli’ – mengetahui segalanya, dulu dan akan datang dan menyeluruh. Tidak ada yang tersembunyi dari Allah. Kita hanya ada ‘ilmu juz’ie’ – kita tahu bahagian-bahagian tertentu sahaja.

iv. Allah memiliki ‘ilmu dzaati sudoor’ – mengetahui rahsia hati hamba. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang ada dalam hati kita. Selain Allah, tidak ada sesiapa yang tahu. Sebab itu hal ikhlas dalam hati manusia, malaikat pun tak tahu. Mereka hanya boleh tulis yang zahir sahaja. Sebab itu ada amalan manusia yang Allah buang di akhirat kelak. Dan apabila malaikat lihat apa yang Allah lakukan, malaikat akan kata yang dia sendiri nampak manusia buat amalan itu. Allah akan tanya adakah malaikat tahu apakah manusia ikhlas dalam melakukannya? Malaikat pun mengaku yang dia tidak tahu. Jadi kalau kita kata ada tok wali yang tahu apa dalam hati kita, itu sudah syirik. Ini banyak terjadi dalam masyarakat kita, kerana ada yang takut dengan guru mereka kerana mereka rasa guru-guru mereka tahu apakah yang ada dalam hati mereka. Sampai ada yang takut nak bersalam tangan dengan ulama kerana takut ulama itu tahu apa yang ada dalam hati kita. Ini karut.

v. Allah tahu ilmu ghaib langit dan bumi. Hanya Allah sahaja yang tahu. Kita tidak tahu ilmu ghaib. Yang tahu ilmu ghaib hanyalah para rasul dan Nabi sahaja, dan itu pun hanya apa yang Allah berikan sahaja, bukan semua Allah berikan.

vi. Hanya Allah tahu bila berlakunya kiamat. Tidak ada sesiapa yang tahu bilakah akan terjadinya kiamat itu. Ianya boleh terjadi bila-bila masa sahaja.

vii. Hanya Allah sahaja yang tahu tentang lima perkara yang Allah sebut dalam ayat Luqman:34

إِنَّ اللَّهَ عِندَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَّاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.

– tentang bila berlaku kiamat
– bila hujan akan turun
– kandungan dalam rahim ibu
– apa yang akan dilakukan manusia esok hari
– di manakah kita akan mati.

Lima perkara ini khas untuk Allah sahaja yang tahu. Kalau kita kata ada makhluk yang tahu, itu adalah syirik.

5. Syirik pada tasarruf – mengurus dan mentadbir dengan segala ikhtiar dan bebas dari segala asbab. Kita bezakan kerana makhluk pun ada mengurus juga tapi tidak bebas dari asbab. Yang bebas dari asbab adalah hanya pada Allah sahaja. Pentadbiran kita walaupun ada, tapi terhad sahaja.

Allah sebut satu persatu perkara-perkara yang Allah sahaja yang boleh urus dan tadbir. Kalau kita kata ada makhluk yang bebas mentadbir dalam perkara-perkara di bawah, itu adalah syirik fi tasarruf kerana 11 perkara ini khusus bagi Allah sahaja.

i. Tasarruf kulli – mentadbir semua sekali

ii. Tasaruf samawi – mentadbir di udara dan angkasa hingga ke atas

iii. Tasarruf jawi – mentadbir segala apa yang berada di udara

iv. Tasarruf Ardh – mentadbir bumi dan dasar bumi

v. Tasarruf Ma tahta sara – mentadbir yang di bawah bumi, bukan permukaan

vi. Mentadbir soal dukacita dan gembira. Allah sahaja yang boleh menggembirakan dan menyebabkan seseorang itu sedih.

vii. Tasarruf al mawti wal hayat – mengurus hal kematian dan menghidupkan. Walaupun malaikat yang mematikan, tapi atas arahan Allah.

viii. Tasarruf Ba’da rizqi  wa qadarihi  – mentadbir melapangkan dan menyempitkan rezeki

ix. Tasarruf Soal zuriat. Allah sahaja yang boleh menentukan samada boleh melahirkan anak atau tidak

x. Tasarruf Soal hujan turun dan menyebarkan hujan itu kepada bumi.

xi. Tasarruf Soal kemuliaan dan kehinaan. Allah lah sahaja yang memuliakan sesiapa dan menghina sesiapa pun.

Tasarruf semua ini disebut dalam Qur’an yang akan jumpa apabila kita belajar tafsir nanti.

Tasarruf terbahagi kepada dua: tasarruf takwini dan tasarruf tasyri’ie.

Soal kejadian alam yang jenis ma fauqal asbab itu hanya pada Allah sahaja. Kalau ma tahta asbab, makhluk pun ada yang uruskan juga.

Tasarruf tasyri’ie – Mengurus dalam memberi hukum dan menarik balik hukum itu. Hanya Allah sahaja yang layak buat hukum. Jadi halal haram atau sunat hanya Allah sahaja yang tentukan. Ini bahaya kerana kadang-kadang kita memandai-mandai mengharamkan perkara yang Allah tak haramkan. Dalam masyarakat kita, ada yang haramkan perkara yang halal tanpa sedar. Sebagai contoh, mereka mengharamkan memakan makanan yang halal. Ada puak yang kata keturunan mereka tak boleh makan sesuatu. Ini adalah perkara yang salah yang mengambil kerja Tuhan dalam mengharamkan makanan. Kalau doktor yang kata tak boleh, itu adalah sebab tahta asbab – ada alasan yang doktor berikan, mungkin dia alah dengan sesuatu makanan itu dan sebagainya. Tapi ramai yang syirik sebab mengharamkan tanpa sebab.

Mempercayai ada kuasa lain boleh buat hukum adalah syirik. Yahudi dan Nasara banyak buat sebab mereka banyak mengharamkan yang halal.

Kalau ulama yang mengharamkan sesuatu, mereka beritahu perkara itu dari dalil yang sahih. Ulama yang benar hanya menyampaikan dan memberitahukan mana yang haram dari Allah sahaja. Nak kata sesuatu itu haram, kena ada dalil yang sah.

Ada yang meletakkan kuasa tasarruf kepada mereka yang telah mati. Ini adalah perkara luar asbab. Sebagai contoh, ada umat Islam yang mendakwa para wali ada kuasa mengurus semasa hidup dan selepas mati. Maka mereka memohon pertolongan kepada wali. Mereka berdoa kepada kubur wali untuk menyelesaikan masalah mereka dan menyempurnakan hajat mereka. Mereka kata wali itu ada keramat semasa hidup dan boleh mentadbir semasa mati pun. Ini kufur kepada Allah.

Semua ini terjadi dalam masyarakat kita kerana tidak ada ilmu Qur’an dan sunnah. Fahaman ini akan memasukkan mereka ke dalam neraka dan mereka akan kekal dalam neraka. Itulah kebinasaan yang abadi.

6. Tauhid di dalam ibadat dan ubudiyyah.

Ibadat adalah perkara dan amalan khusus yang Allah syariatkan kepada hamba untuk dilakukan hanya kepadaNya.

Amalan di luar amalan ibadat dinamakan ubudiyyah. Maknanya, bukan amalan ibadat sahaja kita jadi hamba Allah. Luar solat pun kita masih jadi hamba Allah. Kita semua hidup dalam peraturan halal dan haram. Sebagai contoh, kalau luar waktu ibadat pun kita kena tutup aurat dan sebagainya.

Kita semua adalah hamba Allah dan kena ikut apa yang Allah tetapkan dalam segala segi kehidupan. Semua ada undang-undang yang kita kena ikuti. Kita kena hinakan diri kita kepada Allah. Dan kemuncak penghinaan diri adalah dalam ibadat kita. Itulah kemuncak penghinaan diri kepada Allah. Seperti yang kita lakukan dalam solat, terlebih sekali dalam sujud. Sewaktu sujud, kita memuliakan Allah semulia-mulianya kerana sudahlah kita letakkan kepala kita yang mulia di tanah, tapi kita naikkan punggung kita lebih tinggi dari kepala kita. Kita lakukan semua itu kerana kita hinakan diri kita dan muliakan Allah.

Kita ibadat kepada Allah kerana kita percaya Allah yang disembah itu ada kuasa ghaib. Kerana kita tahu yang Allah mampu memberi faedah dan mudharat kepada kita. Jadi, kalau kita buat ibadat kepada selain dari Allah, bagaimana? Tentulah itu kufur dan syirik kepada Allah.

Audio kuliah boleh dengar di sini: Masalatul ilah 4

Sekian Usul Daurah Tafsir. Allahu a’lam. Sambung kepada Daurah Tafsir Surah Fatihah

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Risalah ke 4 Usul Daurah Tafsir: Perbahasan tentang ilah”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s