Ayat 3: Ayat 3 ini adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia mengandungi permintaan perlindungan kepada Allah dari kejahatan malam.
وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ
From the mischief of Darkness as it overspreads;
Dan dari bahaya kegelapan apabila ia masuk;
Perkara kedua yang kita perlukan perlindungan daripada Allah adalah ‘Kegelapan Malam’. غَاسِقٍ lebih tepat lagi, adalah ‘awal malam’. Iaitu apabila hari menjadi semakin gelap.
Atau ia boleh bermaksud ‘kegelapan bulan’ dan bulan memang datang pada waktu malam. Maka secara umumnya, ia bermaksud waktu malam.
Dalam ayat ini, kita diajar untuk meminta perlindungan dari keburukan malam. Ini adalah kerana, pada waktu malam banyak perkara tersembunyi dari pancaindera kita. Kita tidak tahu apa yang berlaku di hadapan mahupun di belakang kita. Kita tidak tahu apa yang boleh mengganggu kita. Kalau waktu siang, kita masih boleh lagi nampak dan boleh cuba mempertahankan diri kita. Tapi, apabila malam, kita tidak dapat berbuat apa-apa kerana suasana yang gelap. Maka, kita berdoa dan berharap Allah selamatkan kita pada waktu malam.
Pada waktu malam, pelbagai perkara boleh terjadi. Seperti yang kita tahu, jenayah banyak berlaku pada waktu malam. Ini kerana penjenayah berasa lebih selesa melakukan kerja sebab orang susah nampak atau kesan. Binatang berbisa juga banyak keluar pada waktu malam. Masalahnya, kita tidak nampak binatang tersebut pada waktu malam dan ramai yang terkena sengatan binatang berbisa pada waktu malam.
Maka, malam amat berbeza dengan siang. Hendak berjalan juga bahaya kerana banyak kita tidak nampak. Tapi tidak akan langsung tidak boleh keluar, bukan? Maka, jangan takut dengan malam tapi mintalah Allah melindungi kita. Namun, kalau kita terpaksa dan perlu untuk melakukan aktiviti pada waktu malam kerana Nabi melarang kita melakukan aktiviti di luar rumah pada waktu malam.
إِذَا كَانَ جُنْحُ اللَّيْلِ أَوْ أَمْسَيْتُمْ فَكُفُّوا صِبْيَانَكُمْ ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْتَشِرُ حِينَئِذٍ ، فَإِذَا ذَهَبَ سَاعَةٌ مِنْ اللَّيْلِ فَخَلُّوهُمْ ، وَأَغْلِقُوا الْأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لَا يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا ، وَأَوْكُوا قِرَبَكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ ، وَخَمِّرُوا آنِيَتَكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ وَلَوْ أَنْ تَعْرُضُوا عَلَيْهَا شَيْئًا ، وَأَطْفِئُوا مَصَابِيحَكُمْ
“Jika malam datang menjelang, atau kalian berada di kala senja hari, maka tahanlah anak-anak kalian, kerana sesungguhnya ketika itu syaitan sedang bertebaran. Jika telah berlalu sesaat dari waktu malam, maka lepaskan mereka. Tutuplah pintu dan berzikirlah kepada Allah, kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu yang tertutup. Tutup pula bekas minuman dan makanan kalian dan berzikirlah kepada Allah, walaupun dengan sekadar meletakkan sesuatu di atasnya, matikanlah lampu-lampu kalian.” (HR. Bukhari, no. 3280, Muslim, no. 2012)
Perkataan وَقَبَ pula bermaksud apabila sesuatu telah tetap. Ianya apabila malam sudah betul-betul gelap hingga tidak nampak langsung.
Kalimah وَقَبَ juga ada kaitan dengan bulan. Kalau bulan mengambang, air laut akan naik/pasang, bukan? Kerana ada daya tarikan bulan kepada air laut itu. Dan bukankah di dalam badan kita juga ada air? Ada kajian sosiologi yang melaporkan bagaimana kejadian jenayah meningkat semasa bulan mengambang.
Seolah-olah keadaan manusia menjadi lain pada waktu bulan mengambang. Dalam bahasa Inggeris, bulan adalah ‘lunar’. Dan orang yang gila tidak tentu arah, digelar ‘lunatic’. Mungkin itu ada kaitan dengan bulan dan malam serta bagaimana timbulnya keburukan pada waktu itu. Allahu a’lam.
Ayat 4: Ayat 4 ini adalah Perenggan Makro Keempat. Ia mengandungi permintaan perlindungan kepada Allah dari kejahatan sihir.
وَمِن شَرِّ ٱلنَّفَّـٰثَـٰتِ فِى ٱلۡعُقَدِ
From the mischief of those who practise Secret Arts;
Dan dari kejahatan yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan
Kalimah النَّفَّاثَاتِ bermaksud yang menghembus dan jenis hembusan dari mulut yang ada air liur sedikit – bukan hembus kosong sahaja. Ianya adalah dalam bentuk Isim Mubalaghah – bersangatan. Maksudnya, yang menghembus itu, menghembus dengan banyak dan berkali-kali.
Perkataan ini dalam bentuk muannas (feminine) sebab hendak menekankan mubalaghah pada perkataan itu. Kerana ia dalam bentuk jamak dan nafs memang dalam bentuk muannas. Maksudnya, kita minta perlindungan daripada semua yang menghembus. Tapi, ini bukanlah hembus yang biasa, tapi hembusan yang dibuat dengan niat yang buruk – untuk melakukan sihir. Ada cara-cara yang dilakukan oleh ahli sihir untuk menjalankan sihir mereka dan salah satunya adalah dengan hembusan.
Kalimah الْعُقَدِ bermaksud ‘simpulan ikatan’. Ahli sihir ada yang mengikat pada tali dan menghembus pada tali itu dengan tujuan melakukan sihir. Seperti yang telah ditujukan kepada Nabi Muhammad dalam hadith yang telah disampaikan sebelum ini. Oleh itu, perkataan النَّفَّاثَاتِ merujuk kepada ahli sihir. Ini adalah kerana, mereka membaca jampi dan kemudian menghembus pada simpulan.
Dari segi bahasa nahu, kenapa ada ال pada perkataan النَّفَّاثَاتِ? Kita tahu apabila digunakan ال, ianya adalah untuk menunjukkan sesuatu yang khusus. Kenapa begitu? Kerana النَّفَّاثَاتِ sudah pasti ada keburukan dalamnya, kalau tidak ada niat jahat dia tidak akan lakukan sihir itu.
Tapi ‘malam’ dan ‘hasad’ (yang kita juga disuruh berlindung darinya dalam surah ini) tidak semestinya ada niat jahat dan tidaklah semestinya ada usaha untuk melakukan keburukan. Memang ada kemungkinan ada keburukan dalam malam dan hasad, tapi tidak semestinya ia pasti ada.
Ayat 5: Apakah sebab keburukan yang disebutkan sebelum ini? Salah satu sebabnya adalah kerana hasad dengki. Kerana hasad dengki juga yang menyebabkan orang melakukan sihir kepada orang lain. Maka ayat 5 ini adalah Perenggan Makro Kelima. Ia mengandungi permintaan perlindungan kepada Allah dari kejahatan hasad dengki.
وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ
And from the mischief of the envious one as he practises envy.
Dan dari kejahatan yang dengki apabila ia dengki.
Kalimah حَسَدَ bermaksud ‘dengki’. Ianya adalah perasaan benci yang timbul dalam hati kerana Allah sudah beri sesuatu kebaikan kepada seseorang yang lain. Ia boleh jadi apa-apa sahaja. Ada orang dapat kereta baru, anak, kejayaan dan sebagainya. Yang membenci ini adalah jenis orang yang tidak suka orang lain mendapat kebaikan.
Dan dalam masa yang sama, dia ingin kebaikan itu ditarik daripada orang yang mendapat kebaikan itu. Perasaan itu timbul dalam hati dan kemudian dikeluarkan melalui kata-kata, fitnah, atau apa-apa sahaja untuk merosakkan imej seseorang dan sebagainya. Maksudnya, dia bukan simpan sahaja perasaan itu, namun dia zahirkan perasaan itu ke dunia nyata. Ada yang dia sekadar simpan di dalam hati sahaja. Ini tidak membahayakan orang lain (memakan dirinya sendiri sahaja).
Tapi, yang menjadi bahaya adalah apabila dia bertindak. Perbuatan itu pula perbuatan yang boleh merosakkan seseorang. Contohnya, kalau ada rakan sekerja dia dapat naik pangkat, orang yang hasad itu ada membuat fitnah yang tidak benar tentang orang itu, hingga pangkat orang itu boleh ditarik balik.
Banyak sangat perasaan hasad dalam masyarakat kita. Ianya timbul kerana tidak redha dengan apa yang Allah telah berikan kepada orang lain. Ini adalah kerana mereka jauh dari agama dan wahyu. Dia tidak belajar bagaimana hendak redha dan menyucikan hatinya dari sifat-sifat buruk. Malangnya, ada sahaja rasa tidak puas hati dalam hati manusia. Ianya sampai boleh menyebabkan kerosakan yang banyak. Kerosakan di dalam keluarga, masyarakat dan juga negara.
Kita minta diselamatkan dari perbuatan orang yang hasad itu. Iaitu, apabila dia menjalankan perasaan hasad itu. Kalau ada hasad sahaja, sudah ada bahaya juga sebenarnya. Kerana ayat ini berkata: ‘apabila’ إِذَا dia berhasad, bukan ‘jika’ إن dia berhasad. Kerana sedikit sebanyak, sudah ada keburukan yang boleh terjadi. Kerana kalau dia tidak melakukan sesuatu yang fizikal sekali pun, dia boleh mencederakan juga orang lain. Seperti apa yang terjadi dari ‘al-ain’ (evil eye).
‘Ain (pandangan mata jahat) merupakan satu perkara yang agak asing dalam masyarakat kita walaupun ia sebenarnya adalah satu perkara yang amat penting untuk diketahui kerana besarnya mudarat yang boleh tertimpa ke atas seseorang melalui ‘ain. Sebagai contoh, kita takut orang dengki dengan anak kita kalau orang nampak.
Katakanlah kita dapat anak yang comel, ada orang yang dengki tengok anak itu. Dari kerana perasaan dengki itu, boleh menyebabkan anak itu jatuh sakit. Itulah sebabnya, tidak digalakkan memasukkan gambar anak-anak kecil kita di dalam media sosial. Di dalam Facebook contohnya, kerana kita tidak tahu apakah perasaan mereka yang melihat gambar-gambar itu.
‘Evil eye’ atau dalam bahasa Arab dipanggil al-Ain ini memang telah pernah terjadi di zaman Nabi dan ada disentuh dalam Al-Qur’an juga. Iaitu dalam ayat Qalam:51
وَإِن يَكَادُ الَّذِينَ كَفَرُوا لَيُزْلِقُونَكَ بِأَبْصَارِهِمْ لَمَّا سَمِعُوا الذِّكْرَ وَيَقُولُونَ إِنَّهُ لَمَجْنُونٌ
Dan sesungguhnya orang-orang yang kafir itu, hampir-hampir menggelincir dan menjatuhkanmu dengan pandangan mereka (yang penuh dengan permusuhan dan kebencian), semasa mereka mendengar Al-Qur’an sambil berkata: “Sebenarnya (Muhammad) itu, sungguh-sungguh orang gila”.
Terdapat banyak hadith Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam yang menyebut mengenai ‘ain dan ini membuktikan kebenarannya dan kewujudannya. Ia mungkin kedengaran agak janggal bagaimana pandangan mata itu boleh merosakkan, memudaratkan atau menyebabkan seseorang itu sakit. Tetapi sebagai seorang yang beriman kepada Allah dan perkara ghaib, kita wajib menerima perkara ini walaupun ia sukar diterima akal dan kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan ‘ain supaya tidak menimpa kita dan ‘ain kita tidak pula menimpa orang lain.
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata: Sesungguhnya pandangan mata itu adalah benar. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ahmad]
Dari Ibn ‘Abbas radhiyallallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata: “Pandangan mata itu adalah benar, jika ada satu perkara yang boleh mendahului qadar (ketetapan Allah), maka ‘ainlah yang boleh mendahuluinya”. [Diriwayatkan oleh Muslim]
Dari Ummu Salamah radhiyallahu ‘anha, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam melihat seorang hamba perempuan di rumahnya dan mukanya berubah warna kehitaman. Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata: “Berilah dia ruqyah (jampi), sesungguhnya dia telah ditimpa pandangan mata”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim].
Dalam satu hadis juga ada menceritakan kisah seorang Sahabat yang bernama Sahl bin Hunaif sedang mandi, lalu seorang Sahabat yang lain yang bernama ‘Aamir bin Rabi’ah berjalan melewatinya yang sedang mandi. Apabila ‘Aamir ternampak kulit Sahl yang putih dan cantik itu, beliau terus berkata dengan penuh kagum: “Demi Allah, aku tidak pernah melihat (sesuatu) seperti yang aku nampak hari ini hatta tidak seperti kulit hamba perempuan!”. Lalu Sahl terus jatuh pengsan. Maka Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam datang kepada ‘Aamir dan dengan marah baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Untuk apa kamu hendak membunuh saudaramu? Apakah kamu tidak mendoakan keberkatan baginya? Mandilah untuk dia!”. [Diriwayatkan oleh al-Imam Malik; al-Arna-uth berkata: Perawinya semua dipercayai]
Tulisan yang bagus berkenaan al-ain ini boleh dibaca di sini.
Sama seperti juga dengan keburukan lain yang kita tidak nampak, orang yang hasad kepada kita akan melakukan sesuatu tanpa kita sedar. Maka, kita minta perlindungan kepada Allah.
Kalau kita lihat, ayat مِن شَرِّ مَا خَلَقَ juga sudah merangkumi segala bentuk kejahatan. Ketiga-tiga perkara selepas itu boleh diletakkan di bawahnya. Tetapi kenapa Allah sebut satu persatu perkara-perkara itu? Kerana ianya adalah pengkhususan dari kejahatan. Ada banyak kejahatan, tetapi yang ketiga-tiga ini yang paling bahaya. Maka, Allah suruh kita minta perlindungan yang khusus kepada ketiga-tiganya.
Ada hasad yang dibenarkan. Iaitu dalam perkara sedekah dan amalan ilmu. Maksudnya, bukanlah semua hasad tidak dibenarkan.
Dari Abu Hurairah radhiyallahu’anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Tidak ada hasad kecuali dalam dua perkara: seorang lelaki yang diberikan ilmu oleh Allah tentang al-Qur’an sehingga dia pun membacanya sepanjang malam dan siang maka ada tetangganya yang mendengar hal itu lalu dia berkata, “Seandainya aku diberikan sebagaimana apa yang diberikan kepada si fulan nescaya aku akan beramal sebagaimana apa yang dia lakukan.” Dan seorang lelaki yang Allah berikan harta kepadanya maka dia pun menghabiskan harta itu di jalan yang benar kemudian ada orang yang berkata, “Seandainya aku diberikan sebagaimana apa yang diberikan kepada si fulan nescaya aku akan beramal sebagaimana apa yang dia lakukan.”.” (HR. Bukhari dalam Kitab Fadha’il al-Qur’an [5026])
Ini adalah dua jenis hasad yang dibenarkan dan digalakkan. Iaitu apabila kita lihat ada yang melakukan kebaikan, kita hendak mengikuti seperti mereka juga. Bukannya kita harap semua kebaikan itu ditarik daripada mereka, tapi sebaliknya kita hendak jadi seperti mereka juga.
Ada jenis hasad yang tidak suka melihat orang lain menjadi baik. Mereka hendak orang lain terus melakukan kesalahan. Apa kita perlu lakukan? Terus lakukan apa yang kita perlu lakukan sahaja. Abaikan dan jangan hiraukan mereka. Ini disebut oleh Allah dalam surah Baqarah:109
وَدَّ كَثيرٌ مِن أَهلِ الكِتابِ لَو يَرُدّونَكُم مِن بَعدِ إيمانِكُم كُفّارًا حَسَدًا مِن عِندِ أَنفُسِهِم مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُمُ الحَقُّ ۖ فَاعفوا وَاصفَحوا حَتّىٰ يَأتِيَ اللَّهُ بِأَمرِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌBanyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Mereka jenis itu tidak suka kalau kita jadi baik. Kerana kalau kita jadi baik, akan menyusahkan mereka untuk melakukan kejahatan pula. Bukan Ahli Kitab sahaja begitu, orang Islam juga ada yang begitu.
Sebagai contoh, kalau dulu kita nakal juga, bersama kawan-kawan kita lakukan perkara tidak elok. Tapi, lama kelamaan, Allah memberi taufik kepada kita, maka kita tinggalkan perkara buruk itu. Bila jadi begitu, kawan-kawan yang bersama lakukan onar itu, tentu tidak suka kerana sudah tidak boleh berkawan dengan kita dan tidak boleh lakukan perkara nakal lagi.
Musuh Islam juga tidak suka kalau kita beriman dengan Islam. Mereka akan cuba membawa kita semula kepada keburukan. Mereka lakukan dengan berbagai-bagai cara. Antaranya, mereka akan sebarkan hiburan-hiburan yang melalaikan kepada anak-anak kita. Itu semua adalah konspirasi jahat mereka.
Tapi, Allah ajar dalam ayat ini supaya jangan takut dengan konspirasi mereka. Seperti yang diajar dalam ayat Baqarah tadi, serahkan kepada Allah untuk menyelamatkan kita. Kita cuma perlu lakukan apa yang kita perlu lakukan, iaitu berbuat amal kebaikan. Abaikan dan jangan hiraukan mereka.
Allahu a’lam. Lompat ke surah yang seterusnya
Kemaskini: 3 Oktober 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair