Pengenalan:
Walaupun Surah Al-Fatihah ini pendek sahaja, tetapi ianya mewakili seluruh makna Al-Qur’an 30 juzuk (ringkasan). Sebab itu sah solat kalau baca Surah Al-Fatihah sahaja dalam setiap rakaat. Oleh itu, amat penting untuk kita memahami maksud Surah Al-Fatihah kerana dengan memahaminya, seolah-olah kita memahami ringkasan seluruh Al-Qur’an.
Kalau sesiapa baru masuk Islam, Surah Al-Fatihah adalah surah pertama yang kena diajar kepada mereka. Supaya mereka dapat memahami kesimpulan Al-Qur’an. Dan tentunya supaya mereka boleh terus solat.
Semasa kita di dalam solat, kalau kita dapat faham maksud Surah Al-Fatihah, ianya akan memberi kesan yang mantap dan mendalam dalam solat kita. Inilah salah satu cara untuk membolehkan kita khusyuk dalam solat. Kita boleh jadi khusyuk kalau kita memahami apa kita lafazkan. Dan kita diingatkan tentang keseluruhan agama Islam dan ajaran Al-Qur’an di dalam solat kita itu.
Nama Surah Al-Fatihah
Ada banyak nama yang digunakan untuk Surah Al-Fatihah selain dari ‘Al-Fatihah’ itu sendiri. Perkataan ‘Fatihah’ itu maksudnya ‘pembukaan’. Ianya bermaksud ‘Pembukaan’ kepada Al-Qur’an. Ia juga memberi isyarat ‘penutup’. Maka ianya adalah amat indah sekali, kerana ada maksud buka dan maksud tutup – dan itu maksudnya lengkap kerana ada buka dan ada tutup.
Macam Surah Yusuf yang ada pembukaan dan penutupan di dalam awal surah itu. Kerana itulah ianya adalah ahsanul qasas – sebaik-baik kisah. Nanti kita akan belajar bagaimana dari mimpi yang ringkas di awal surah itu, sudah ada rumusan keseluruhan kisah baginda. Maka ianya adalah kisah yang indah. Begitu juga dalam lafaz ‘Al-Fatihah’, sudah ada isyarat kepada penutup.
Seperti yang kita sebut, Surah Al-Fatihah ini ada banyak nama. Daripada banyak nama-nama Surah Al-Fatihah itu, kita akan bahaskan dua sahaja dari nama-nama tersebut. Ia adalah dua nama Surah Al-Fatihah yang paling terkenal: Ummul Qur’an dan Taklimul Mas’alah.
1. Ummul Qur’an
Ia bermaksud ‘Induk Al-Qur’an’ atau ‘Ibu Al-Qur’an’. Oleh kerana Al-Fatihah itu adalah Induk Al-Qur’an, maka apabila kita sudah belajar makna Surah Al-Fatihah, maka kita telah telah belajar ringkasan seluruh Al-Qur’an.
Ini menunjukkan betapa pentingnya Surah Al-Fatihah ini. Perkara-perkara penting dalam keseluruhan ayat-ayat Al-Qur’an itu ada dalam Surah Al-Fatihah. Iaitu, semuanya telah disebut dalam Al-Fatihah dalam bentuk isyarat. Ianya akan jelas kepada mereka yang belajar.
Untuk mula memahaminya, kita kena tahu yang ada 6 perkara besar yang dibahas dalam Al-Qur’an:
1. Tauhid
2. Risalah (kerasulan)
3. Akhirat
4. Ahkam (hukum dan undang-undang)
5. Keadaan orang yang taat
6. Keadaan orang yang durhaka
Apabila dikatakan Surah Al-Fatihah itu adalah Induk Al-Qur’an, maka keenam-enam perkara itu mesti ada dalam Surah Al-Fatihah.
1. Tentang Tauhid disentuh dalam tiga ayat pertama.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
2. Tentang Akhirat disentuh dalam ayat مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ
3. Tentang Risalah (Kerasulan) disentuh dalam ayat
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
dan
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
Ayat إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ mengajar tentang melakukan ibadat kepada Allah dan ayat اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ adalah tentang memohon untuk ditunjukkan cara beribadat kepadaNya. Tanpa Nabi, kita tidak akan tahu cara buat ibadat.
4. Tentang Ahkam, iaitu tentang undang-undang dan cara hidup Islam, disentuh dalam ayat اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ. Oleh itu, ayat اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ juga adalah tentang ahkam selain daripada tentang Risalah.
5. Keadaan mereka yang taat dan diberi nikmat disentuh dalam potongan ayat صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ
Ayat ini juga memberi isyarat kepada dua perkara: Orang yang taat dan juga merujuk kepada Risalah (Kerasulan). Kerana para Nabi dan para Rasul adalah antara mereka yang juga diberi nikmat kerana mereka telah taat.
6. Tentang keadaan orang yang durhaka, disebut dalam potongan ayat seterusnya غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ
Di atas adalah cara pembahagian yang pertama. Iaitu Al-Qur’an 30 juzuk dibahagikan kepada enam bahagian. Ada lagi cara pembahagian yang kedua.
Sebelum pergi lebih jauh, kita kena tahu bahawa semua ajaran kitab-kitab Samawi (langit) seperti Taurat dan Injil, ada dimasukkan dalam Al-Qur’an. Dihimpunkan semuanya sekali dalam Al-Qur’an.
Tetapi oleh kerana persamaan dalam semua ajaran Nabi-Nabi adalah dalam hal akidah, maka yang disebut hanyalah tentang akidah sahaja. Tentang syariat, tidak disebut kerana syariat Nabi-Nabi terdahulu telah dimansuhkan/tidak diamalkan lagi, maka tidak perlu disebut lagi. Selain dari Hukum Aqidah, Hukum Akal juga dimasukkan kerana boleh dipakai sampai ke Hari Kiamat.
Oleh kerana kita umat Nabi Muhammad tahu perkara ini, maka kitalah nanti yang akan menjadi saksi di akhirat kelak untuk menyatakan persamaan yang ada dalam segala kitab-kitab itu. Kitalah nanti yang akan menjadi saksi kepada para Nabi-Nabi yang terdahulu yang mereka telah menyampaikan risalah mereka.
Bagaimana kita tahu? Kerana ianya ada disebut dalam Al-Qur’an. Bagaimana kita tahu? Kerana kita belajar Tafsir Al-Qur’an dan kita boleh sampaikan dan kita boleh menjadi saksi. Tapi kalau kita tidak belajar, bagaimana kita nak jadi saksi?
Baik, setelah dikumpulkan semua ajaran Kitab-kitab Samawi itu dalam Al-Qur’an, Al-Qur’an itu boleh dibahagikan pula kepada 4 bahagian dari sudut Tauhid atau dari sudut ketuhanan. Pembahagian ini hanya berkenaan tauhid atau tentang Allah sahaja kerana tujuan utama kita belajar wahyu adalah untuk kenal Allah. Ini penting kerana untuk taat kepada Allah, kita kenalah kenal Dia dulu.
Keempat-empat bahagian itu boleh dikatakan telah dibahagikan sama rata dalam Al-Qur’an. Dan kita boleh kenal pembahagian itu kerana semua bahagian itu dimulai dengan lafaz ‘alhamdulillah’.
Ada empat surah yang dimulai dengan lafaz ‘alhamdulillah’.
– al-Fatihah
– al-An’am
– al-Kahf
– Saba’
Kalau kita lihat secara kasar, kita akan nampak bagaimana pembahagian itu adalah sama rata. Setiap bahagian itu mewakili sifat-sifat khas Allah yang perlu diketahui oleh hamba. Tiga bahagian tentang kehidupan di dunia, dan satu bahagian tentang kehidupan di akhirat.
Kita akan lihat bagaimana Al-Qur’an 30 juzuk itu dibahagikan kepada empat bahagian dan bagaimana dalam Surah Al-Fatihah juga akan ada pembahagian sebegitu. Ini adalah kerana Surah Al-Fatihah adalah Ummul Qur’an yang mewakili keseluruhan Al-Qur’an.
Mari kita lihat Pembahagian tersebut di dalam Al-Qur’an 30 juzuk dahulu:
A. Bahagian Pertama adalah dari Surah Al-Fatihah sampai kepada Surah Maidah.
Dalam bahagian ini, Allah banyak menceritakan tentang sifat KhaliqiahNya (PenciptaanNya). Allah hendak memberitahu kita bahawa Dia sahaja yang berkuasa dan Maha mencipta. Tiada lagi Dzat lain yang boleh mencipta. Oleh itu, hanya Allah sahaja yang layak kita minta pertolongan di dunia dan di akhirat. Sebab yang lain dari Allah tidak ada kuasa mencipta.
Itulah penekanan dalam bahagian pertama ini. Selain dari itu, memang ada perkara-perkara yang lain tetapi penekanan keseluruhan adalah Sifat Khaaliq Allah.
‘Mencipta’ itu bermaksud menjadikan sesuatu dari ‘tidak ada’ kepada ada. Ini berbeza dengan menjadikan sesuatu dari benda yang sudah ada. Sebagai contoh, kita mencipta kereta dari besi yang dijadikan oleh Allah. Itu dalam bahasa Arab digunakan perkataan ‘menyusun’ sahaja.
B. Bahagian Kedua adalah dari Surah al-An’am sampai Surah al-Isra’ – kita boleh lihat bagaimana Surah al-An’am juga dimulakan dengan lafaz ‘alhamdulillah’ – Bahagian kedua ini menekankan sifat Rububiyyah Allah. Iaitu Sifat Allah yang Maha Memelihara ciptaanNya.
Allahlah sahaja yang menjaga makhlukNya dari permulaan sehingga sampai ke tahap kesempurnaan. Dan kemudian Dia terus menjaga makhlukNya tanpa membiarkan mereka begitu sahaja. Tujuan bahagian ini adalah supaya kita tahu dan ingat yang Allahlah sahaja yang memelihara alam ini.
Selepas Dia cipta, Dia tidak biarkan begitu sahaja. Oleh itu, hanya kepadaNya sahaja yang kita patut sembah dan tidak ada pujaan yang lain.
C. Bahagian Ketiga bermula dari Surah al-Kahf sampai Surah al-Ahzab. Bahagian ini menekankan sifat Allah al-malikul wa tasarruf (memiliki dan mengurus sekalian hamba). Allah tak kongsi urusan pengurusan alam ini dengan sesiapa pun.
Hanya Allah sahaja yang mengurus alam ini dan Allah tidak memberikan tugas pengurusan ini kepada entiti yang lain. Maka, hanya Allah sahaja yang layak disembah kerana tidak ada yang mempunyai sifat yang sama.
Itulah tiga sifat tauhid yang pertama. Ketiga-tiga sifat ini ada hubungan dengan kehidupan di dunia.
D. Bahagian Keempat bermula dari Surah Saba’ sampai ke hujung Al-Qur’an. Bahagian ini hendak menekankan yang Dialah sahaja Dzat yang memiliki kuasa syafaat pada Hari Pembalasan. Tidak ada kuasa lain yang boleh beri syafaat melainkan dengan izinNya sahaja. Maka, kenalah minta syafaat kepadaNya sahaja, jangan minta kepada yang lain.
Inilah satu Sifat yang berkaitan dengan kehidupan di akhirat. Ia mengingatkan kita yang kalau hubungan kita baik dengan Allah semasa di dunia, kita akan mendapat kehidupan yang baik di akhirat kelak.
Dan oleh kerana Surah Al-Fatihah adalah Ummul Qur’an, ringkasan kepada seluruh Al-Qur’an, maka keempat-empat elemen ini ada dalam Surah Al-Fatihah. Mari kita lihat bagaimana:
A. Dalam Al-Fatihah, ayat pertama الْحَمْدُ لِلَّهِ mewakili bahagian pertama. Maksudnya Allahlah sahaja yang berhak dipuji. Perkataan الله dalam ayat ini membawa maksud ‘Pencipta’. Bagaimana pula?
Ini kerana ia dinisbahkan kepada pemahaman orang Arab Mekah. Apabila disebut nama الله, orang Mekah terus ingat kepada sifat Pencipta Allah. Ini adalah makruf kepada mereka (mereka memang sudah tahu). Mereka sudah tahu yang Allah sahaja yang boleh mencipta. Tidak dipertikaikan fakta ini pada mereka.
Maksud ‘mencipta’ adalah bermaksud mengadakan sesuatu yang tidak ada langsung kepada menjadi ada. Ini khas kepada Allah sahaja. Hanya Allah sahaja yang boleh buat.
B. Bahagian kedua diwakili oleh ayat رَبِّ الْعَالَمِين. Rabb bermaksud ‘Tuhan yang mencipta dan memelihara’. Allahlah yang memelihara selepas Dia mencipta. Allah tidak biarkan ciptaanNya itu begitu sahaja.
C. Bahagian ketiga diwakili oleh ayat الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ. Ia mewakili sifat Allah yang memiliki, mengurus dan mentadbir. Allahlah sahaja yang menguruskan segala hajat dan keperluan hamba. Allah mengurus alam ini dengan sifat rahmahNya. Segala urusan apa pun, diurus oleh Allah, sama ada kecil atau besar.
D. Bahagian keempat diwakili oleh ayat مَٰلِكِ يَوْمِ الدِّينِ. Ayat ini tentang akhirat dan Allah dalam bahagian ini yang hanya Dia yang berkuasa penuh di Hari Kiamat nanti. Tidak ada boleh berkuasa atau memberi syafaat tanpa keizinan Allah. Waktu itu semua berharap syafaat dan syafaat itu hanya boleh diberikan oleh Allah.
Tiga ayat Al-Fatihah ini adalah induk kepada keseluruhan Al-Qur’an. Ianya merangkumi empat bahagian dari Al-Qur’an seperti yang telah kita sebutkan. Apabila kita sudah faham, maka setiap kali kita baca ayat-ayat dari Surah Al-Fatihah ini, kita akan teringat kepada Allah dan sifat TauhidNya itu.
Akan teringat kepada bahagian-bahagian tauhid dalam Al-Qur’an yang diwakili itu. Itulah kepuasan seorang hamba. Seorang hamba sepatutnya selalu hendak belajar tentang Allah. Itulah ilmu yang sentiasa dirindui dan dia akan mahu belajar lagi dan lagi.
Mana pula Basmalah? Basmallah tidak terkecuali. Dalam Basmalah, ada rumusan tiga ayat selepasnya, yang mewakili empat bahagian Tauhid Allah. Tapi, disebut dua sifat dan dihazafkan dua lagi sifat kerana sudah diketahui. Ini adalah salah satu dari kaedah bahasa Arab. Menggunakan konsep ringkasan. Bagaimana?
– sebut الله tapi hazafkan رَبِّ الْعَالَمِينَ.
– sebut الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ tapi hazafkan مَٰلِكِ يَوْمِ الدِّينِ.
Selain dari itu, ulama’ tafsir ada juga taqdirkan (menjelaskan maksud) sebelum huruf ب dengan lafaz ‘aku mulai’ atau ‘aku baca’ kerana tidak boleh dalam bahasa Arab mula perkataan dengan huruf jar. Maknanya, tidaklah basmalah itu hanya ‘Dengan nama Allah’ sahaja, tetapi ia berbunyi: “Aku mulai dengan Nama Allah”. Ini adalah mengikut munasabah mereka (Yang mereka fikirkan sesuai). Maksudnya, ia adalah pendapat dan ijtihad mereka.
Tapi ada satu lagi cara dimana taqdir itu dinisbahkan kepada ayat Al-Qur’an. Ini lebih baik kerana kita ambil sendiri dari pemahaman dalam ayat Al-Qur’an sendiri. Seperti yang kita telah belajar, dalam Al-Fatihah, ayat إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ merupakan kesimpulan Surah Al-Fatihah. Maksudnya kita meminta taufik dan hidayah dari Allah.
Maka taqdir yang digunakan: “Dengan nama Allah, aku minta bantuan supaya memberi taufik dan hidayah kepadaku.”
Surah-surah Hamim Tujuh dan Intipati Al-Qur’an
Setiap sesuatu ada intipatinya dan intipati bagi Al-Qur’an itu adalah ‘Ha mim Tujuh”. Ini merujuk kepada tujuh surah yang berturutan dalam Al-Qur’an yang semuanya dimulai dengan lafaz haa mim.
Dakwa dalam Surah-surah Hamim Tujuh adalah: ‘mengesakan Allah dalam doa’. Ianya mengajar kita untuk memohon dan merayu hanya pada Allah dan tidak berdoa kepada selainNya.
Sebelum Surah-surah Hamim Tujuh itu, ada Surah az-Zumar (Surah ke 39). Surah az-Zumar ini seolah-olah sembah pembuka kepada Surah-surah Hamim Tujuh. Dakwa dalam Surah az-Zumar pula adalah ‘tauhid dalam ibadah’. Ia mengingatkan kita bahawa ibadah hanya boleh dilakukan kepada Allah.
Dan setelah kita melakukan ibadat, barulah kita berhak untuk merayu dan berdoa kepada Allah. Oleh itu, susunan dalam Al-Qur’an adalah Zumar (ibadat) dan kemudian SAl-urah-surah Hamim Tujuh (doa).
Cantuman dari dua perkara inilah khulasah (kesimpulan) kepada keseluruhan Qur’an. Apakah khulasah itu? – Ibadah dan doa *hanya* kepada Allah. Kita akan belajar dengan panjang lebar nanti apabila kita masuk kepada pentafsiran surah-surah tersebut.
Dan wakil kepada khulasah Al-Qur’an ini adalah ayat إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ yang juga adalah Dakwa bagi Surah Al-Fatihah. Apabila perkataan إِيَّاكَ diletakkan di permulaan ayat, ia menunjukkan elemen ‘khusus’ atau ‘eksklusif’. Maksudnya *hanya* Allah sahaja.
Kalau letak di belakang (na’budu iyyaka), ianya tidak eksklusif lagi kerana dari segi bahasa, ia boleh bermakna yang kita mungkin boleh sembah yang lain juga. Tapi bila letak di depan, ada makna eksklusif di situ. Maksud eksklusif itu adalah menafikan yang lain. Ia membawa maksud tauhid dari sudut balaghah.
Hanya Allah sahaja yang layak kerana hanya Allah ada sifat-sifat yang disebut dalam ayat-ayat sebelum ini. Oleh itu, hanya lakukan ibadat kepada Allah sahaja. Itu adalah dalam hal agama, dan dalam hal dunia (muamalat), kita akan taat (ubudiah) kepada peraturan yang Allah tetapkan. Begitulah cara untuk hidup sebagai hamba yang taat.
Yang berkait rapat dengan ibadah adalah *doa*. Doa adalah ‘otak ibadah’. Ianya amat penting dalam ibadah jadi jangan lupa untuk berdoa. Dan daripada mafhum ayat Al-Qur’an, doa selepas melakukan ibadat tidak ditolak. Allah telah berfirman dalam Al-Qur’an Sharh:7:
فَإِذَا فَرَغْتَ فَانصَبْ
Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),
Amal soleh yang lain yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘berdoa’. Begitu juga, kita dalam lihat bagaimana Nabi Musa telah berdoa selepas baginda membantu anak-anak Nabi Syuaib. Ini mengajar kita untuk berdoa selepas melakukan kebaikan sama ada dalam bentuk ibadat ataupun kebaikan dalam bentuk yang lain.
Kalimat إِيَّاكَ نَعۡبُدُ – dihuraikan dalam Surah az-Zumar. Ia menerangkan maksud ‘Tauhid fil ibaadah’ – Tauhid dalam Ibadah. Dakwa Surah Zumar terdapat pada ayat ke 3 surah itu.
أَلا لِلَّهِ الدّينُ الخالِصُ ۚ وَالَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ما نَعبُدُهُم إِلّا لِيُقَرِّبونا إِلَى اللَّهِ زُلفىٰ إِنَّ اللهَ يَحكُمُ بَينَهُم في ما هُم فيهِ يَختَلِفونَ ۗ إِنَّ اللهَ لا يَهدي مَن هُوَ كاذِبٌ كَفّارٌIngatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”, – sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).
Lafaz الدّينُ dalam ayat di atas bermaksud ‘ibadah’. Dalam Qur’an الدّينُ ada 4 makna:
A. Ibadat
B. Doa
C. Pembalasan. Pembalasan hari kiamat. Macam مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ.
D. Agama. Pegangan dan cara hidup. Kena ada dua-dua elemen baru dipanggil deen.
Kalimat إِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ – dihuraikan dalam Surah Hamim Tujuh. Tauhid fi dua. Dakwa ketujuh tujuh surah ini terletak dalam ayat 14 Surah Ghafir.
Jadi ayat إِيَّاكَ نَعۡبُدُ dan إِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ itu adalah mewakili tugas manusia untuk sembah dan doa hanya kepada Allah sahaja. Sebelum ini kita sudah belajar bagaimana tiga ayat sebelumnya mewakili empat bahagian tauhid. Setelah kenal Allah, maka hendaklah ibadat dan doa kepada Allah sahaja.
Saidina Abu Bakr pernah menyatakan yang rahsia Al-Qur’an terletak dalam Surah Al-Fatihah. Dan rahsia Surah Al-Fatihah itu terletak dalam ayat إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ini.
Demikianlah huraian kenapa Surah Al-Fatihah dikenali sebagai Ummul Qur’an.
2. Nama kedua bagi Surah Al-Fatihah yang akan kita bentangkan adalah Taklimul mas’alah (mengajarkan cara meminta). Dalam Surah Al-Fatihah ini Allah mengajar kita cara meminta/berdoa kepadaNya.
Allah ajar cara berdoa kepadaNya supaya hamba tidak berdoa dengan cara lain. Kerana akal kita yang lemah tidak akan dapat capai untuk mengetahuinya sendiri. Macam kita orang kampung, tentu tidak tahu bahasa istana, bukan? Jadi, daripada kita berdoa kepadanya tidak tentu hala, Allah ajar bagaimanakah cara untuk berdoa kepadaNya.
Maknanya ayat-ayat dalam Al-Qur’an ini adalah suruhan Allah kepada kita membaca sebagaimana yang diajarNya. Jadi kita kena ‘taqdir’ (tambah) lafaz sebelum ayat-ayat dalam dalam Fatihah.
Quulu sebelum baca Basmalah
Quulu sebelum baca tiga ayat pertama
Quulu sebelum ayat إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Quulu sebelum ayat اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ hingga akhir surah.
Quulu bermaksud: “katakanlah”. Maknanya Allah suruh kita melafazkan ayat-ayat dalam Surah Al-Fatihah itu.
Allah mengajar kita untuk memujiNya sebelum berdoa kepadaNya. Inilah maksud ayat الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ dan ayat-ayat seterusnya. Allah suruh kita puji Dia dahulu sebelum terus meminta apa yang kita hendak dari Allah.
Dan pujian yang pertama adalah ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ. Selalunya diterjemahkan ‘segala puji kepada Allah’. Bagaimana timbul tambahan ‘segala puji’ itu? Ini adalah kerana ada penerangan dari segi bahasa.
Apabila ada ال di hadapan حمد itu, dalam kaedah bahasa Arab, ia menjadikan satu bentuk “isim makrifah” atau dalam Bahasa Inggeris disebut sebagai “definite article”. Jadi di dalam Bahasa Inggeris, kalimah الْحَمْدُ itu menjadi = the praise. Satu bentuk kata nama yang spesifik.
Maka, kalau nak terjemah secara direct transliteration ke BM – ia jadi “pujian itu kepada Allah”. Tapi terjemahan begini tidak berapa kemas dan tidak tepat, kerana ia tidak merangkumi maksud “definite article” yakni maksudnya itu tidak spesifik atau tertentu lagi. Kena tambah perkataan lain untuk merangkumkan maknanya mengikut lafaz asalnya dalam bahasa Arab.
Maka, terjemahan yg lebih tepat ada dua:
1. Segala puji itu bagi Allah, atau,
2. Pujian itu hanya tertentu bagi Allah sahaja.
Tapi mungkin ada persoalan, takkan ‘segala’ puji bagi Allah sahaja, sedangkan kita pun ada puji yang lain. Kita pun ada puji orang lain yang baik-baik juga, bukan?
Oleh itu, ulama’ akan tafsir begini: walaupun kita puji selain Allah, segala puji itu pergi juga kepada Allah. Kerana kalau orang itu baik pun, Allah juga yang jadikan dia baik, bukan? Kalau cantik orang itu, kerana Allah yang menjadikannya cantik, bukan? Maknanya, panjang juga kita nak jelaskan.
Satu cara lagi adalah kita nisbahkan pujian dalam الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ itu kepada sebab Al-Qur’an diturunkan. Al-Qur’an mula sekali diturunkan kepada Arab Mekah. Kita kena tahu yang orang Arab Mekah memang sudah pakai lafaz الْحَمْدُ sebelum Islam lagi. Mereka tujukan pujian itu kepada ilah-ilah mereka.
Allah nak beritahu yang apa mereka lakukan itu amat salah. Kalimah الْحَمْدُ hanya layak ditujukan kepada Allah sahaja. Yang mereka beri pujian الْحَمْدُ kepada ilah-ilah mereka itu, sepatutnya hanya untuk Allah sahaja. Iaitu pujian yang ‘khusus’. Bukan ‘semua’ pujian, tetapi ‘pujian khusus’ yang layak diberikan kepada ilah sahaja.
Kita juga kena faham maksud lafaz رَبِّ. Ia bukan hanya bermaksud ‘Tuhan yang mencipta’ sahaja. Sebab Arab Mekah sudah terima yang Allah sahaja yang boleh mencipta. Ia juga ada membawa maksud ‘memelihara’. Allah nak beritahu yang Dia sahaja yang memelihara. Macam Allah pelihara kita dari bayi lagi. Bayi itu dapat apa yang dia perlukan padahal kita tak tahu pun apa bayi itu cakap. Walaupun nampak dari zahir emak ayah yang pelihara, tapi sebenarnya semuanya Allah yang pelihara.
Lafaz رَبِّ juga bermaksud yang membawa kepada tahap kesempurnaan sedikit demi sedikit. Inilah yang dinamakan ‘tarbiah’. Macam kita ditarbiyah dari kecil sampai dewasa, membesar sedikit demi sedikit. Tidaklah lahir sahaja terus dewasa.
Ada dua syarat untuk tarbiah jadi sempurna dan layak dipanggil sebagai ‘tarbiah’:
1. Yang melakukan tarbiah itu dapat menyelamatkan dari bahaya dan gangguan. Macam kita bercucuk tanam, kita letak pagar untuk memelihara tanaman itu. Iaitu menjaga dari perkara-perkara yang boleh membahayakan pokok itu.
2. Memasukkan benda yang perlu untuk kebaikan perkara yang ditarbiah itu. Macam pokok, kita kena letak baja untuk bagi ia hidup lebih subur. Inilah yang dinamakan pengisian.
Oleh itu, tarbiah rohani manusia pun kena ada dua-dua. Kena bebaskan dari perkara yang boleh rosakkan rohani manusia itu. Dan kena beri isian rohani. Iaitu diisi dengan ilmu dan didikan.
Kita selalunya menjaga jasmani dengan makan makanan yang baik, jaga kebersihan dan sebagainya. Tetapi yang lebih penting dari jasmani adalah roh kita. Kerana rohlah yang menyebabkan jasmani kita bernilai. Kalau roh sudah tidak ada pada jasad, orang itu dikira mati dan manusia lain akan tanam jasad itu dalam tanah.
Tapi kita kena ingat yang roh kita ini pun ada rohnya juga. ‘Roh kepada roh’ kita adalah Al-Qur’an. Allah telah mengatakan bahawa Al-Qur’an itu adalah ‘roh’ dalam ayat-ayat Al-Qur’an juga. Sebagaimana roh manusia yang menyebabkan jasmaninya bernilai, begitu juga roh Al-Qur’an inilah yang menyebabkan roh manusia bernilai. Kalau tidak ada Al-Qur’an dalam roh manusia itu, maka roh manusia itu tidak bernilai, layak masuk neraka sahaja.
Oleh itulah pentingnya Al-Qur’an itu dan kerana itulah Allah turunkan Al-Qur’an ini kepada kita.
Lafaz seterusnya adalah lafaz الْعَالَمِينَ. Banyak pendapat telah diberikan oleh ulama’ tentang maksud lafaz ini. Kita bentangkan tiga daripadanya yang masyhur:
1. Ianya diambil dari perkataan علم yang bermaksud ‘alamat’ dari segi bahasa. Kerana semua makhluk adalah ‘alamat’ kepada Qudrat Allah. Dengan kita melihat kepada alamat itu, kita boleh melihat hebatnya Qudrat Allah dalam mencipta. Setiap kejadian alam ini mengingatkan kita kepada Allah.
2. Alam dalam bentuk yang jamak. علم adalah mufrad/singular dan الْعَالَمِينَ adalah dalam bentuk jamak/plural. Iaitu ia merujuk kepada semua yang dicipta dalam alam ini. Dan alam yang paling penting adalah manusia dan jin. Kerana dua makhluk inilah yang dipertanggungjawabkan dengan syariat.
Dan kerana semua yang lain yang dicipta adalah untuk manusia dan jin. Bumi langit dan lain-lainnya adalah dicipta kerana manusia dan jin. Dunia ini adalah bekas untuk menguji manusia dan jin. Apabila ujian di dunia telah selesai dan Kiamat sudah berlaku, alam ini semuanya akan hancur berkecai dan tidak berguna lagi.
3. Akhir sekali, ada yang mentafsir maksud الْعَالَمِينَ sebagai ‘segala kaum’ di dunia ini. Allah telah memilih Nabi yang diutuskan untuk setiap kaum – setiap kaum ada nabinya masing-masing. Tetapi Nabi Muhammad diutuskan untuk segala kaum. Dan Al-Qur’an itu diturunkan bersama dengan Nabi Muhammad.
Maka Qur’an ini untuk segala kaum. Al-Qur’an ini sesuai untuk semua kaum. Dan sesuai untuk digunakan untuk semua zaman.
Itulah antara tiga tafsir bagi lafaz الْعَالَمِينَ. Telah selesai tafsir ayat الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya.
Kemaskini: 13 Oktober 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Assalammualaikum Tuan…saya memohon penjelesan tuan tentang “Macam golongan sufi dan tarekat yang kononnya nak dapat agama cara pintas”.Boleh Tuan jelaskan apakah maksud jalan pintas tersebut dan contoh contoh.
Terima kasih atas penjelasan Tuan.
Wassalam
LikeLike
Antara contoh:
Konon nak dapatkan ilmu laduni, berzikir banyak-banyak supaya tiba-tiba jadi pandai.
Buat amal yang dikatakan pahala banyak setinggi langit dan bumi, padahal tidak ada pun dalil amalan itu.
Nak cerita tentang kesesatan mereka ini banyak sangat. Banyak juga buku yang ditulis tentang mereka. Sebagai contoh, tengok bab 13 Kitab Talbis Iblis karangan Ibnul Jauzi.
LikeLike
Terima kasih atas penerangan…
LikeLike
dari mana awak dapat rujukannya untuk pemahaman surah fatihah kena ada 6 tu?
LikeLike
Dari kelas daurah tafsir Maulana Hadi.
LikeLike
maulana hadi yang ajarkan?
LikeLike
ya
LikeLike
Bagus tafsiran awak…terima kasih dapat menambah ilmu
LikeLike
Moga saya mempelajari di Jalan yg lurus kerana Allah Dan mendapat keredhaaanNya. Aamiin
LikeLike