Tafsir Surah Ash-Sharh Ayat 4 – 8 (Doa selepas ibadah)

Ayat 4:

وَرَفَعنا لَكَ ذِكرَكَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And raised high for you your repute.

(MALAY)

Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu,

 

Kalimah رَفَع bermaksud ‘meninggikan’ sesuatu. Ini berlawanan dengan kalimah وَضَع yang disebut dalam ayat ke dua surah ini. Selalu Allah berikan kalimah-kalimah yang berlawanan dan ini menambahkan kecantikan dalam Al-Qur’an.

Apakah kaitan ayat ini dengan ayat sebelum ini? Apakah kelebihan kalau nama Nabi diangkat? Kalau nama Nabi diangkat, tentu itu bermakna yang dakwah baginda telah sampai kepada manusia, dan inilah yang baginda mahukan. Sebelum ini telah disebut bagaimana baginda rasa terbeban dengan berbagai-bagai keadaan masyarakat baginda dan baginda mahu sangat untuk menyelamatkan mereka. Maka Allah berikan berita gembira dalam ayat ini yang nama Nabi akan diangkat yang bermakna dakwah baginda berjaya.

Kalimah ذِكرَ bermaksud diingati dan sesuatu itu diingati dengan dua cara – sama ada dalam hati atau disebut pada lisan. Allah memuliakan nama Nabi Muhammad menunjukkan yang Allah amat sayang kepada baginda. Kelebihan ini hanya diberikan kepada Nabi Muhammad sahaja.

Bagaimanakah cara Allah meninggikan sebutan nama Nabi? Lihatlah bagaimana dalam banyak keadaan, apabila nama Allah disebut, akan disebut bersamanya nama Nabi Muhammad. Sebagai contoh dalam sebutan Syahadah, azan, tasyahud dan sebagainya. Ini selalu sangat terjadi dan bukankah azan itu tidak berhenti setiap masa, kerana akan ada sahaja waktu solat di mana-mana sahaja?

Itu ditambah lagi dengan umat Islam memberikan selawat kepada baginda setiap masa. Allah telah mengarahkan malaikat dan manusia untuk berselawat kepada baginda. Maknanya, nama Nabi Muhammad sentiasa disebut hampir setiap ketika, tidak pernah sunyi dari bibir manusia.

Begitulah kita juga kena memuliakan nama baginda, tapi janganlah sampai nama Nabi setanding dengan nama Allah pula. Jangan pula puja nama Nabi Muhammad seperti memuja nama Allah.

قَالَ ابْنُ جَرِيرٍ: حَدَّثَنِي يُونُسُ، أَخْبَرَنَا ابْنُ وَهْبٍ، أَخْبَرَنَا عَمْرُو بْنُ الْحَارِثِ، عَنْ دَراج، عَنْ أَبِي الْهَيْثَمِ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: “أَتَانِي جِبْرِيلُ فَقَالَ: إِنَّ رَبِّي وَرَبَّكَ يَقُولُ: كَيْفَ رَفَعْتُ ذِكْرَكَ؟ قَالَ: اللَّهُ أَعْلَمُ. قَالَ: إِذَا ذُكِرتُ ذُكِرتَ مَعِي”

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepadaku Yunus, telah menceritakan kepada kami Ibnu Wahb, telah menceritakan kepada kami Amr ibnul Haris, dari Darij, dari Abul Haisam, dari Abu Sa’id, dari Rasulullah Saw., bahawa beliau Saw. pernah bersabda: Jibril datang kepadaku dan berkata, “Sesungguhnya Tuhanku dan Tuhanmu pernah berfirman, ‘Tahukah kamu bagaimana Aku meninggikan sebutan (nama)mu?’ Jibril menjawab, ‘Allah lebih mengetahui.’ Allah berfirman, Apabila nama-Ku disebut, maka disebut pula namamu bersama-Ku’.”

Dalam Al-Qur’an, Allah sentiasa panggil Nabi dengan gelaran (laqab) yang manja. Allah tidak memanggil baginda setakat panggil nama sahaja. Sebagai contoh Allah panggil baginda dengan gelaran: يا أَيُّهَا المُزَّمِّلُ [Hai orang yang berselimut], يا أَيُّهَا المُدَّثِّرُ [Hai orang yang menutupi dirinya], يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ [Hai Nabi], يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ [Hai Rasul].

Ini adalah satu penghormatan yang tinggi kerana kepada Nabi-Nabi yang lain, Allah panggil mereka dengan nama mereka, يَا مُوسَى, يَا زَكَرِيَّا, dan sebagainya. Sedangkan kalimah يا محمد tidak ada dalam Al-Qur’an. Semuanya Allah gunakan laqab apabila bercakap kepada baginda.

Ini sebagai penghormatan kepada baginda. Bayangkan, kalau dalam tentera, yang ada pangkat tidak dipanggil dengan nama mereka, tapi dengan pangkat mereka. Jadi Allah tinggikan kuantiti dan juga kualiti panggilan kepada Nabi.

Allah juga telah mengingatkan Nabi-Nabi lain sebelum ini bahawa jika Nabi Muhammad datang, mereka kena tolong baginda. Ini semua telah disebut dalam kitab-kitab yang dahulu dan telah disebut dalam Ali Imran:81. Jadi banyak betul nikmat dan peringatan yang telah diberikan kepada Nabi.


 

Ayat 5: Ayat 5 – 6 adalah Perenggan Makro Kedua. Allah memberi janji yang penentangan hanya di peringkat awal. Akhirnya agama Islam akan diterima ramai.

فَإِنَّ مَعَ العُسرِ يُسرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For indeed, with hardship [will be] ease [i.e., relief].

(MALAY)

Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan,

 

Kalimah إِنَّ bermaksud ‘sesungguhnya, tidak syak lagi’. Ini adalah satu penekanan.

Kalimah مَعَ bermaksud ‘bersama’. Iaitu menyebut tentang dekatnya satu perkara dengan perkara yang lain.

Kalimah العُسرِ bermaksud kesusahan atau waktu yang susah.

Kalimah يُسرًا bermaksud sesuatu yang mudah, senang, suatu kerja yang boleh dibuat tanpa banyak usaha.

Ayat ini bermaksud, sesungguhnya pasti dengan kesusahan yang dialami, ada kesenangan yang datang bersamanya, duduk dekat dengannya. Dan kesenangan itu pula lebih banyak dari kesusahan.

Ini kita dapat tahu dari bahasa yang digunakan. Sebab العُسرِ bermaksud ‘satu’ kesukaran kerana ada ال pada kalimah itu, tapi kalimah يُسرًا dalam format nakirah kerana tidak ada ‘ال’ maka maksudnya ada banyak kemudahan. Oleh itu, dari bahasa, kita dapat tahu yang susah itu ada satu sahaja, tapi kemudahan diberikan banyak. Setiap satu kesusahan ada banyak kemudahan padanya.

Dari segi bahasa juga, kita tahu yang ayat ini hendak menyebut tentang ‘kesenangan’, bukan kesusahan. Kerana apabila ada kalimah إِنَّ, ia merujuk kepada kalimah yang berbentuk nasb, iaitu kalimah يُسرًا. Ini adalah dari pelajaran bahasa Arab kepada mereka yang memahami.


 

Ayat 6: Allah ulang sekali lagi.

إِنَّ مَعَ العُسرِ يُسرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, with hardship [will be] ease.

(MALAY)

sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.

 

Kenapa ada pengulangan? Pengulangan ayat keenam yang sama dengan ayat kelima ini adalah kerana Allah hendak menunjukkan Allah sayangkan kita. Bukankah kalau kita pujuk orang lain, kita akan cakap dua kali? Oleh itu, kita boleh lihat ayat ini bagaimana Allah memujuk dua kali kepada Rasulullah.

Dari segi bahasa, apabila diulang sekali lagi ia membawa maksud: sekali susah, dua kesenangan. Ini kerana ال merujuk kepada kesusahan yang sama, tapi يُسرًا dalam bentuk nakirah itu, adalah kesenangan yang berlainan – oleh itu, العُسرِ dalam ayat 5 dan 6 adalah kesusahan yang sama, tapi kalimah يُسرًا dalam ayat 5 dan 6 itu bukan kesenangan yang sama.

Jadi apabila ada satu susah, ada bersamanya dua kesenangan. Begitulah dalam hal agama, kalau ada satu perbuatan atau hukum yang susah, ada dua kebaikan dan kesenangan. Maknanya, dalam hal agama ini, lebih banyak yang mudah dari yang susah. Maka janganlah kita pula yang susahkan agama. Ramai dalam kalangan masyarakat kita yang senang-senang sahaja susahkan ajaran agama ini kepada manusia.

Mereka ada yang reka hukum-hukum yang susah dalam agama, sedangkan amalan agama ini senang sahaja. Sebagai contoh, ada guru yang ajar, kalau istinjak selepas buang air besar, sampai kena jolok lubang dubur – ini adalah tambahan dalam agama dan tidak patut dilakukan. Agama tidaklah menyusahkan sampai begitu sekali.

Ayat ini juga hendak mengatakan bahawa apabila kita mengalami kesukaran dalam hidup, maka bersabarlah. Kerana akan datang bersamanya dua kali senang. Ingatlah kisah Nabi Ayyub yang berada bersama kesusahan. Tapi baginda bersabar dan baginda mendapat kesenangan selepas itu.

Ada satu pendapat yang mengatakan apabila ada pengulangan, itu bermaksud satu untuk masa lalu dan yang satu lagi untuk masa hadapan. Jadi masa yang lalu pun ada mudah yang banyak dan di masa hadapan pun nanti akan ada masa hadapan yang mudah. Tapi mungkin kita sahaja tidak perasan.

Ia juga boleh bermaksud, satu kesenangan untuk dunia dan satu lagi untuk akhirat. Jadi di dunia senang dan di akhirat nanti pun ada kesenangan.


 

Ayat 7: Ayat 7 – 8 adalah Perenggan Makro Ketiga dan terakhir. Allah suruh kita lakukan amal soleh dan tuluskan pergantungan dengan Allah.

فَإِذا فَرَغتَ فَانصَب

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when you have finished [your duties], then stand up [for worship].

(MALAY)

Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain,

 

‘Urusan lain’ yang dimaksudkan adalah Solat Qiyamullaiil (solat di malam hari). Nabi Muhammad memang menunggu-nunggu waktu untuk mendirikan ibadat qiyamullail kepada Allah. Inilah yang sepatutnya terjadi. Bayangkan, kalau kita dapat peluang untuk bermunajat kepada Allah, tentu kita akan ambil peluang untuk terus bercakap dengan Allah.

Belajar juga bagaimana Nabi Musa apabila dapat bercakap dengan Allah, baginda memanjangkan komunikasi itu. Lihatlah bagaimana apabila Allah tanya baginda pasal tongkat yang di tangan baginda dalam Taha:17, Nabi Musa jawab panjang berjela (sedangkan kalau nak jawab pendek pun boleh juga), kerana baginda nak panjangkan masa bercakap itu. Baginda hendak mengambil peluang bercakap lama dengan Allah.

Begitulah juga dengan Nabi Muhammad. Baginda teringin sangat untuk menghabiskan masa bermunajat kepada Allah. Akan tetapi seorang Nabi itu kena berkomunikasi dengan Allah, dan dalam masa yang sama, kena juga berdakwah dan berkomunikasi dengan manusia. Tidak boleh untuk terus buat ibadat sahaja.

Begitulah selepas Nabi Musa bercakap dengan Allah seperti yang disebut dalam Surah Taha, Allah terus suruh baginda pergi berdakwah kepada Firaun. Agak-agaknya Nabi Musa sukakah nak jumpa Firaun? Tentu tidak, tapi baginda kena lakukan kerana itulah tugas seorang Nabi.

Para Nabi itu kalau boleh, nak bercakap terus sahaja dengan Allah, tapi mereka ada tugas untuk sampaikan agama kepada manusia. Jadi mereka kena jalankan tugas dakwah. Dalam Al-Qur’an, bermunajat dengan Allah disentuh dalam Surah Muzzammil dan bercakap dengan manusia disentuh dalam Surah Muddaththir.

Bagaimana dengan Nabi Muhammad? Sepanjang hari baginda kena berdakwah kepada umatnya. Tapi hati baginda tertunggu-tunggu untuk dapat bermunajat dengan Allah. Allah beritahu baginda dalam ayat ini, apabila baginda sudah selesai menjalankan kerja dakwah baginda, bolehlah baginda bermunajat denganNya. Maknanya, baginda menunggu-nunggu untuk solat kepada Allah. Ini seolah-olah dakwah itu sebagai kerja dan qiyamulail itu adalah ‘percutian’ untuk baginda.

Begitulah Nabi rasa, tapi bagaimana pula dengan kita? Maka, ini mengingatkan kita bahawa apabila habis urusan dunia, bangunlah untuk beribadat kepada Allah. Kita kena faham bahawa bermunajat dan ibadat kepada Allah itu adalah perkara yang indah dan kita kena lakukan. Tambahan pula kalau seorang pendakwah – jangan sibuk berdakwah sahaja tapi kenalah kuatkan hubungan dengan Allah. Seolah-olah ibadat dengan Allah itu adalah minyak kereta untuk kita terus berjalan berdakwah kepada manusia.

Apakah pengajaran kepada kita dalam ayat ini? Ayat ini mengajar kita untuk seimbangkan kehidupan kita dalam menghayati agama Islam. Jangan ada yang dakwah sahaja, tapi tidak zikir bermunajat kepada Allah. Itu tidak seimbang. Dan ada pula banyak zikir sahaja, tapi tidak dakwah. Maka kita kena imbangkan keduanya. Sebagai seorang yang menjalankan kerja dakwah, jangan lupa untuk meluangkan masa dengan Allah.

Kalimah نصَب bermaksud mempasak diri, memenatkan diri. Dan beginilah yang dilakukan oleh baginda dalam solat malam baginda, sampaikan telah sampai kepada kita hadis bagaimana kaki baginda bengkak kerana melakukannya.

Kalimah فَرَغ bermaksud lega dari sesuatu tugas, apabila telah selesai menjalankan tugas. Maksud dalam ayat ini kita boleh faham, apabila telah selesai menjalankan kerja dakwah, maka beribadatlah kepada Allah. Oleh itu, dalam hal kita, apabila kita telah buat kerja-kerja keduniaan kita, maka bersiaplah untuk beribadat kepada Allah.

Tapi janganlah sibuk sangat dengan kerja-kerja dunia sampai tidak ada masa langsung untuk ibadat. Ramai yang tidak kisah habiskan masa dengan kerja dan ahli keluarga, tapi tidak luangkan masa untuk bermunajat kepada Allah. Mereka tunggu waktu senang pula untuk beribadat kepada Allah. Kadangkala waktu senang yang ditunggu tidak ada kerana sibuk memanjang. Ini tidak boleh. Kita kena luangkan masa ibadat setiap hari. Jangan tunggu waktu senang sahaja untuk beribadat.

Jadilah seperti Nabi Muhammad (Nabi Muhammad itu memang sebagai contoh kita, bukan?) Selepas Nabi selesai menjalankan kerja dakwah di siang hari, malamnya Nabi akan mengadap Allah di malam hari. Itu sudah termasuk dalam tugas baginda seharian. Maknanya, ini mengajar kita kepada Allah kena beribadah.

Itu adalah dalam kehidupan seharian baginda. Begitu juga dalam kehidupan baginda secara keseluruhan, di hujung-hujung hayat baginda selepas baginda selesai kerja sebagai Nabi, Nabi memilih untuk bersama dengan Allah. Dalam satu hadis, disebutkan bahawa Nabi memilih untuk memilih bersama Allah. Dalam Sahih al-Bukhari:

إِنَّهُ لَمْ يُقْبَضْ نَبِىٌّ قَطُّ حَتَّى يَرَى مَقْعَدَهُ مِنَ الْجَنَّةِ ثُمَّ يُحَيَّا أَوْ يُخَيَّرَ » . فَلَمَّا اشْتَكَى وَحَضَرَهُ الْقَبْضُ وَرَأْسُهُ عَلَى فَخِذِ عَائِشَةَ غُشِىَ عَلَيْهِ ، فَلَمَّا أَفَاقَ شَخَصَ بَصَرُهُ نَحْوَ سَقْفِ الْبَيْتِ ثُمَّ قَالَ « اللَّهُمَّ فِى الرَّفِيقِ الأَعْلَى »

(Bahawa tidak seorang Nabi pun yang dicabut nyawanya melainkan diperlihatkan tempatnya dalam syurga. Apabila Rasulullah s.a.w dalam kesakitan dan menghampiri maut, kepala baginda atas paha ‘Aishah dalam keadaan pitam. Apabila baginda sedar, matanya memandang ke arah bumbung rumah lalu menyebut: “ALLAHUMMA FI AL-RAFIQ AL-A’LA (YA ALLAH! PADA TEMAN YANG MAHA TINGGI)

Oleh kerana tugas baginda sudah habis untuk menyampaikan ajaran agama kepada umat, maka keinginan baginda adalah hendak bersama dengan Allah. Maka itulah pilihan baginda apabila diberikan oleh Allah.

Satu lagi tafsir ayat ini, selepas selesai tabligh wahyu, atau selepas mengajar wahyu kepada manusia, maka ambil peluang untuk doa. Kerana doa selepas amal ibadah dan selepas melakukan kebaikan, amat makbul.


 

Ayat 8:

وَإِلىٰ رَبِّكَ فَارغَب

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to your Lord direct [your] longing.

(MALAY)

dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.

 

Kalimah رغَب bermaksud mengadap dan memberikan perhatian. Berharap kepada seseorang dengan perasaan kasih. Dalam ayat ini kita disuruh untuk berharap kepada Allah. Dan apabila kalimah إِلىٰ, itu bermaksud ada ikhtisas (pengkhususan).  Maka hendaklah hanya kepada Allah sahaja kita berharap, bukan kepada orang lain.

Oleh itu, ayat ini menyuruh kita sentiasa mengadap Allah. Begitulah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad – walaupun baginda sedang bercakap dengan manusia, hati baginda tetap terkait dengan Allah. Dan dari hadis, kita dapat tahu yang walaupun baginda tidur, baginda tidak meninggalkan zikir kepada Allah. Maka kita kenalah cuba untuk sentiasa tawajjuh kepada Allah sentiasa.

Ayat ini menyambung ayat sebelum ini – selepas selesai tugas dakwah, maka hadapkan diri kepada Allah.

 

Penutup:

Surah ini meninggikan kedudukan Nabi Muhammad. Dan ini adalah maklumat yang penting. Malangnya, pada zaman sekarang, ramai yang menghina Nabi secara terbuka. Sampaikan ada yang buat kartun menghina Nabi Muhammad, ada yang buat filem dan macam-macam lagi. Tapi dalam ayat ini, kita dapat tahu bahawa Allah menaikkan nama Nabi.

Ini mengajar kita, walaupun manusia hina baginda macam mana pun, penghormatan kepada Nabi lagi tinggi kerana baginda ditinggikan dan dimuliakan oleh Allah. Oleh itu, perbuatan mereka menghina Nabi Muhammad itu adalah macam meludah ke matahari sahaja, ludah itu akan kena balik kepada siapa yang meludah.

Allah nak beritahu yang Allah tahu yang baginda rasa ketat kerana apa yang dikatakan tentang baginda, maka baginda beri tasliah (pujukan) kepada baginda.

Dalam Surah al-Kautsar nanti, kita akan belajar bagaimana orang kafir mengutuk Nabi. Mereka kata keturunan Nabi terputus kerana anak lelaki baginda mati. Tapi yang sebenarnya, merekalah yang akan terputus. Sampai sekarang, nama Nabi diingati dan disanjung, tapi nama mereka dihina sampai hari Kiamat.

Allahu a’lam. Sambung ke surah seterusnya, Surah at-Teen.

Kemaskini: 5 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s