Pengenalan:
Surah ini ada kaitan yang amat rapat dengan Surah Ad-Dhuha. Ianya adalah penyambungan dari Surah Ad-Dhuha. Iaitu penyambungan dari ayat-ayat yang dimulai dengan أَلَم يَجِدكَ يَتيمًا فَآوىٰ di mana Allah menyebut nikmat-nikmat yang telah pernah diberikan kepada baginda. Dan akan disambung dalam surah ini nanti. Kita boleh tengok bagaimana surah ini juga dimulai dengan kalimah أَلَم juga, bukan?
Kedua-dua surah ini khitab kepada Nabi Muhammad. Sebab itu kita lihat selalu digunakan ك yang merujuk kepada Nabi Muhammad.
Ianya adalah surah yang pendek tapi amat penting sekali dan banyak pengajaran di dalamnya.
Di hujung Surah Ad-Dhuha ada nasihat untuk kita yang perlu diambil kira. Arahan-arahan itu dalam bentuk ayat yang dimulai dengan ف (maka). Allah suruh Nabi sampaikan dakwah dan ajar agama kepada manusia. Dalam surah ini tentang kelebihan agama itu sendiri kepada baginda.
Soalan yang digunakan dalam Surah Ad-Dhuha dan juga dalam ayat ini adalah dalam negative question iaitu dimulai dengan أَلَم (tidakkah?). Tujuannya Allah bertanya dalam bentuk itu adalah kerana hendak menekankan yang memang perkara itu telah dilakukan. Kalau kita kata kepada seseorang: “bukan aku dah cakap kat kau untuk buat kah?” Soalan itu maksudnya nak beritahu yang memang sudah beritahu dulu.
Dan telah disebut dalam Surah Ad-Dhuha, pasti yang kemudian akan lebih mudah. Dalam surah ini juga disebut tentang kesenangan yang akan diberikan kepada baginda. Allah berjanji dengan Nabi Muhammad dalam surah ini.
Dalam Surah Ad-Dhuha disebut bagaimana Nabi pernah mencari-cari kebenaran dan Allah beri petunjuk kepada baginda. Orang yang mencari-cari sesuatu sebenarnya tidak tenang dalam hati mereka. Dan bila mereka dapat, barulah hati mereka akan jadi tenang. Dan ini disebut dalam ayat pertama lagi dalam Surah Ash-Sharh ini. Akan disebut bagaimana baginda tenang kerana Allah telah beri petunjuk kepada baginda.
Dalam Surah Ad-Dhuha, Allah sebut bagaimana baginda akan diberi dengan nikmat sampaikan baginda akan redha dan puas hati dengan pemberian itu. Dalam surah ini, disebut bagaimana Allah menaikkan nama baginda. Itu adalah pemberian yang amat besar sekali.
Dalam surah ini juga akan disebut tentang dua amalan seorang mukmin: satu bersama dengan manusia lain iaitu dalam memberi dakwah, mengajar dan sebagainya (وَأَمّا بِنِعمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّث). Dan satu lagi bahagian, di mana manusia hanya bersama dengan Allah dalam ibadat. Ini akan disebut di hujung surah ini nanti. Ia mengajar kita untuk kena ada keseimbangan antara dua perkara ini.
Surah ini diturunkan pada Peringkat Ke-1 Kenabian. Iaitu sekitar Tahun 1-3 di Makkah. Ini bermaksud yang ianya diturunkan semasa Nabi baru mendapat wahyu dan dakwah dijalankan secara senyap pada waktu ini.
Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 3 perenggan makro. Ayat 1 – 4 adalah Perenggan Makro Pertama. Allah menjanjikan masa depan yang lebih gemilang kepada Nabi Muhammad.
أَلَم نَشرَح لَكَ صَدرَكَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Ash-Sharḥ or al-Inshirāh: Expansion.
Did We not expand for you, [O Muḥammad], your breast?¹
- i.e., enlighten, assure and gladden your heart with guidance.
(MALAY)
Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?,
Allah mengingatkan Nabi Muhammad bagaimana Dia telah lapangkan dada Nabi dengan cahaya Islam. Apabila Allah lapangkan dada baginda, baginda boleh faham agama dan menerima wahyu.
Satu lagi, ia juga bermakna Allah melapangkan dada Nabi, sampai baginda boleh sabar dalam menghadapi segala dugaan, tidak mudah merajuk, tidak putus asa.
Ramai juga mufassir yang memberikan pendapat, ayat ini merujuk kepada kisah bagaimana dada Nabi telah pernah dibelah dan dibersihkan dua kali sepanjang hidupnya. Sekali semasa kecil dan sekali lagi sebelum isra mi’raj. Tapi ada mufassir lain yang kata, ini bukan makna yang hendak disampaikan dalam ayat ini. Kerana pendapat itu adalah lemah kerana bukanlah ayat ini hendak menyatakan tentang pembedahan dada Nabi. Ayat ini sebenarnya tidak ada kena mengena dengan kejadian itu. Kita katakan begitu kerana kalimah شرَح tidak kena mengena dengan ‘memotong’ seperti memotong dada Nabi.
Kalimah شرَح bermaksud membuka sesuatu yang sebelum itu terangkum, terbelit. Sebelum dibuka, ianya adalah terikat ketat. Dalam bahasa kita pun kita guna kalimah ‘syarah’ apabila menyampaikan pelajaran agama. Iaitu dijelaskan sesuatu perkara yang sukar difahami kalau tidak diberitahu. Kerana itu ada syarahan agama, syarahan ilmu hadis dan macam-macam lagi.
Ada empat kali perkataan sharh ini disebut dalam Al-Qur’an.
Maksud dalam ayat ini, Allah mengembangkan dada Nabi dan menenangkan fikiran baginda. Mereka yang mendapat pengembangan ini akan merasa puas hati kerana sebelumnya fikiran dan hati mereka kusut. Selepas itu, baginda amat redha dengan apa yang baginda telah diberi oleh Allah dan tidak ada rasa kekurangan dan kekusutan lagi.
Ia juga bermaksud, apa-apa halangan yang menghalang Nabi mendapatkan ilmu wahyu diangkat dari baginda. Oleh itu baginda mendapat pemahaman penuh tentang wahyu. Ini adalah kerana kalau kita telah faham sesuatu perkara, kita akan rasa lega. Kadang-kadang satu-satu ilmu disampaikan kepada kita, tapi kalau kita tidak dapat memahaminya, kita akan rasa kusut, bukan? Kalau belajar agama pun begitu juga, bukan? Bila dapat faham, alangkah leganya.
Ini bermakna, Allah memberi kefahaman Al-Qur’an kepada Nabi. Begitulah kadang-kadang pelajar disuruh tulis apa yang ada di papan hitam, tapi mereka hanya tulis sahaja maklumat yang diberikan kerana mereka tidak faham. Tapi apabila mereka faham apa yang mereka tulis, itu adalah satu perasaan lain. Mereka akan jadi lega dan senang hati dengan apa yang mereka fahami itu.
Dalam dunia ini, ada orang yang tahu hukum Allah, tapi mereka tidak faham kenapa mereka kena lakukan perkara itu. Oleh kerana itu, walaupun mereka taat dan ikut juga hukum syariat yang disampaikan, tapi kerana mereka tidak faham, dada mereka rasa ketat. Selalu manusia tertanya-tanya kenapa Allah suruh buat begini dan begitu?
Oleh itu, mereka melakukan tindakan yang berkenaan dengan hukum itu bukan dengan sepenuh hati. Tapi kalau ada orang yang faham dan nampak hikmah hukum itu, mereka rasa amat senang hati dan ringan sahaja untuk mereka melakukannya.
Sebab itu berbeza orang yang tahu hikmat solat dengan mereka yang tidak tahu. Mereka yang tahu akan ringan dan mudah sahaja untuk mengerjakan solat, malah mereka tertunggu-tunggu bilakah waktu solat yang seterusnya.
Dan kalau dia tidak tahu pun hikmahnya (kerana hikmah itu kadang-kadang memang tidak dapat diketahui), tapi hatinya dapat menerima dengan senang dan yakin yang kalau Allah suruh buat sesuatu perkara itu, tentu ada kelebihan dan hikmat di sebaliknya. Maknanya dia tidak persoalkan langsung segala hukum yang telah ditetapkan.
Macam kita makan ubat yang pahit, kita makan juga walaupun kita rasa pahit sangat kerana kita tahu yang ianya baik untuk kita. Dan kita suka dengan adanya ubat itu kerana kalau tidak ada ubat, tentu kita lagi susah.
Begitu juga dengan hukum dari Allah – kita taat kerana kita tahu yang ianya baik untuk kita dan kita gembira kerana Allah telah berikan kita syariat itu kerana kalau Allah tidak beri, tentu kita dalam kesesatan dan kesusahan menghadapi kehidupan dalam dunia. Kerana segala hukum yang diberikan oleh Allah adalah untuk mengurus kehidupan dunia kita dengan cara yang terbaik.
Jadi ini adalah sifat yang baik yang disebut dalam ayat ini dan juga dalam An’am:125. Dalam ayat dari Surah al-An’am, Allah sebut Allah bukakan hatinya kepada ‘Islam’, tidak kata ‘iman’, kerana Islam itu adalah ‘penyerahan diri dengan sepenuhnya’.
Sesiapa yang Allah mahu berikan petunjuk, Allah mudahkan dia untuk senang menerima syariat Islam. Satu lagi disebut dalam Zumar:22. Mereka yang bersifat seperti itu senang sahaja untuk mengamalkan arahan dari Allah. Mereka yakin yang ianya baik untuk mereka. Mereka selesa dengan agama Islam dan tidak mempersoalkan hukum-hukum Allah. ni pun bermaksud hati yang lapang. Semoga kita diberikan perasaan lapang ini.
Ada seorang lagi Nabi yang dibuka dadanya iaitu Nabi Musa dan ini disebut dalam Taha:25. Nabi Musa ada gagap dan seorang yang pemarah. Dan baginda telah diarahkan untuk pergi dakwah Firaun dan baginda tahu yang baginda akan berhadapan dengan seorang individu yang tentu akan beri macam-macam alasan dan ancaman.
Baginda tahu yang nanti baginda akan jadi marah dan tidak dapat kawal apa yang baginda buat pula nanti. Dan kalau baginda marah, baginda akan jadi gagap pula dan tidak dapat menyampaikan apa yang hendak disampaikan. Maka Nabi Musa berdoa dalam ayat itu meminta supaya Allah kembangkan dan lapangkan hati baginda. Jadi ini adalah permintaan baginda untuk memudahkan kerja dakwah baginda supaya senang sedikit urusan baginda dalam menyampaikan dakwah.
Nabi Muhammad pun akan mengalami dugaan dalam menyampaikan dakwah kepada umat baginda. Memang akan ada sahaja kata-kata macam-macam terhadap baginda – kutuk keji dan sebagainya. Dan tentu itu akan menyebabkan ketat dada Nabi.
Oleh itu, sebagaimana Nabi Musa minta supaya dadanya dilapangkan, maka Allah melapangkan dada Nabi sebelum baginda minta lagi. Ini salah satu tanda cinta Allah kepada Nabi Muhammad: sebelum Nabi Muhammad minta lagi, Allah sudah beri. Bayangkan semasa Nabi menyampaikan dakwah baginda, baginda telah ditolak, dicemuh, dicaci, sampaikan hendak dibunuh oleh orang kafir, maka Allah telah melegakan hati Nabi.
Makna kedua adalah Al-Qur’an yang diturunkan kepada Nabi adalah amat berat sekali. Sampaikan kalau diturunkan kepada gunung, gunung itu akan pecah (boleh baca Hashr:21). Maka perlu dilapangkan dada Nabi untuk menerima Al-Qur’an itu. Ini penting kerana baginda akan menerima sesuatu yang berat. Dalam Muzzammil:5 pun Allah telah memberitahu tentang perkara ini. إِنّا سَنُلقي عَلَيكَ قَولًا ثَقيلًا (Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat).
Kembali kepada perbincangan Surah Ash-Sharh ini. Dalam ayat ini, Allah bercakap dalam bentuk membahasakan DiriNya sendiri (Allah gunakan kalimah ‘Kami’). Ini berbeza dengan soalan yang digunakan dalam Surah Ad-Dhuha sebelum ini. Dalam Surah Ad-Dhuha digunakan dalam bentuk kalimah ghaibah (pihak ketiga): أَلَم يَجِدكَ يَتيمًا فَآوىٰ (Bukankah ‘Dia’ mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu ‘Dia’ melindungimu?). Penggunaan takallum (membahasakan diri sendiri) dalam ayat Ash-Sharh ini menunjukkan dekatnya Allah kepada Nabi Muhammad.
Dalam Surah Ad-Dhuha, disebutkan tentang kelebihan yang telah diberikan kepada Nabi, ‘sebelum’ baginda menjadi Nabi. Kali ini, Surah Ash-Sharh ini adalah sebagai persediaan Nabi untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Iaitu diberikan apakah yang baginda perlukan untuk menjalankan tugas baginda. Iaitu dikembangkan dada baginda untuk faham dan dilegakan hati baginda untuk memulakan dakwah baginda. Nabi Musa kena minta dada baginda dibuka, tapi Nabi Muhammad tidak minta pun terus dibuka.
Ayat ini meletakkan perkataan ‘لَكَ’ (untuk kamu) di awal (takdim) ayat kerana kelebihan ini hanya diberikan kepada Nabi sahaja. Oleh itu, ada makna ‘ikhtisas’ (pengkhususan) dalam ayat ini. Ini kita dapat tahu dari segi nahu dan balaghah bahasa Arab.
Kelebihan ini tidak pernah diberi kepada orang lain sebelum ini dan tidak akan diberi kepada orang lain. Orang lain dapat juga dibuka hati mereka, tapi tidak seperti yang diberikan kepada baginda. Apa yang Nabi dapat itu adalah tingkat pembukaan yang amat tinggi.
Lihatlah cara pertanyaan Allah kepada Nabi, ianya dalam bentuk soalan retorik: (Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?) Soalan jenis ini bukanlah nak tanya sangat sebenarnya, tapi sebagai penekanan, kerana hendak ingatkan sahaja. Kerana memang Allah telah beri pun perkara itu.
Dan dalam masa yang sama, ia akan menyebabkan orang yang telah menerimanya rasa beruntung sungguh. Oleh itu, ayat ini sebagai tasliah kepada baginda.
Ayat 2:
وَوَضَعنا عَنكَ وِزرَكَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And We removed from you your burden¹
- By forgiving any errors which you may have committed previously or might commit consequently. “Burden” can also refer to the anxiety experienced by the Prophet (ṣ) at the beginning of his mission.
(MALAY)
dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu,
Nabi Muhammad sebelum jadi Nabi, baginda rasa serabut melihat keadaan perangai buruk penduduk Mekah, sampaikan baginda kena naik ke Gua Hira’ untuk bertapa, menyendiri dari mereka. Baginda sampai tidak tahan melihat keburukan syirik dan kerosakan moral masyarakatnya. Baginda rasa terbeban sangat.
Maka Allah angkatkan ‘beban’ yang Nabi rasa itu. Iaitu Allah berikan baginda wahyu untuk mengubah keadaan orang Arab sampai mereka boleh jadi baik.
Kalimah وَضَع maknanya mengangkat sesuatu dan meletakkannya ke bawah. Sebagai contoh: angkat beg dari atas meja dan letak ke bawah. Juga digunakan kalau ibu mengandung anaknya dalam kandungan, dan kemudian melahirkannya. Sebagai yang disebut dalam Ali Imran:36.
Kalimah وِزرَ maknanya beban yang sangat berat sampai tak boleh bawa. Ianya berat sangat sampai boleh mematahkan belakang seseorang yang menanggungnya. Kalau guna perkataan lain seperti حمل, ia bermakna beban yang berat, tapi masih mampu dibawa lagi. Jadi وِزرَ itu lebih berat lagi. Dan beban ke atas baginda Nabi memang berat sangat.
Allah beritahu yang beban itu diangkat dari baginda. Dan kita telah beritahu apakah pendapat mufassir tentang ‘beban’ itu. Iaitu rasa ketat pada dada baginda.
Ada juga pendapat yang mengatakan Allah mengampunkan segala dosa-dosa Nabi dulu dan akan datang. Semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya:
{لِيَغْفِرَ لَكَ اللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ}
supaya Allah memberi ampunan kepadamu terhadap dosamu yang telah lalu dan yang akan datang. (Al-Fath: 2)
Ayat 3:
الَّذي أَنقَضَ ظَهرَكَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Which had weighed upon your back
(MALAY)
yang memberatkan belakangmu?
Kalimah نقَضَ bermaksud mematahkan, meleraikan, memutuskan perjanjian. Oleh itu, apabila digunakan kalimah أَنقَضَ, ia bermaksud meletakkan beban yang sangat berat sampaikan tempat letak itu sudah nak patah atau pecah – sudah mula dengar bunyi ‘krak krak’ nak patah. Ini macam kita letak barang atas meja dan semakin banyak kita letak, sudah dengar bunyi ia nak pecah.
Kalimah ظَهرَ bermaksud belakang badan. Beban itu berat sangat sampai nak patah tulang belakang. Ini adalah ayat yang bersifat majaaz, iaitu sebagai imbalan sahaja – bukannya ada beg besar diletakkan belakang Nabi.
Apakah ‘beban’ yang Nabi berat sangat nak tanggung tu? Ada beberapa pendapat seperti di bawah ini:
A. Perasaan berat baginda dalam mencari kebenaran. Nabi mencari-cari kebenaran sebelum baginda menjadi Nabi dan diberikan dengan wahyu. Nabi tidak macam kita yang asyik fikir tentang makan dan pakai sahaja.
Manusia ini ada berjenis-jenis dari segi pemikiran mereka. Memang ada orang yang memikirkan lebih lagi dari makan dan pakai sahaja. Sebagai contoh, ada orang yang tidak hanya fikirkan diri dan keluarga mereka sahaja, tapi mereka fikirkan juga tentang kawasan kejiranan mereka dan mereka mula buat kebaikan – tolong orang susah, buat kutipan derma dan sebagainya.
Ada pula yang lebih lagi prihatin dan mereka buat sumbangan kepada tahap negara – ada yang masuk politik dan macam-macam lagi. Tidak semestinya mereka orang Islam yang beriman pun. Kerana ada orang yang bukan Muslim pun, tapi kesedaran mereka tentang manusia lain pun tinggi juga.
Tapi itu semua adalah setakat hal dunia juga. Tidak dengan Nabi Muhammad kerana baginda fikir lebih jauh lagi. Sebelum baginda menjadi Nabi lagi, baginda sudah memikirkan tentang kehidupan dunia dan apakah maksud kehidupan. Baginda mencari-cari erti kehidupan. Sampai baginda pergi ke Gua Hira’ untuk beribadat dan menyendiri dari kaum baginda.
Baginda sampai kena pergi ke gua kerana keadaan masyarakat Mekah yang tidak menenangkan dan menyebabkan susah pada hati baginda. Oleh itu, pencarian ini adalah sangat berat kepada Nabi, kerana baginda hendak sangat mencari kebenaran. Selagi baginda tidak mendapat jawapan itu, baginda tidak tenang hati, tidak sedap hati dan resah gelisah, sampaikan menyebabkan baginda tidak tenang.
Kita mungkin tidak dapat bayangkan kerana kita tidak ada perasaan begitu. Tapi Nabi memang seorang yang begitu dan kita pun tahu yang baginda bukanlah manusia biasa. Kalau kita baca sirah baginda sebelum Islam pun, kita akan dapat tahu bagaimana keadaan baginda yang lain dari orang lain. Maka Allah berikan wahyu kepada baginda untuk mengangkat segala keresahan itu.
B. Pendapat kedua yang dikatakan sebagai beban itu adalah keadaan masyarakat baginda waktu itu. Baginda ingin sangat menolong masyarakat semua tapi baginda rasa tertekan kerana banyak sangat kemungkaran yang mereka sedang lakukan. Ini sebelum baginda diangkat menjadi Nabi lagi.
Banyak sudah baginda buat untuk membantu, tapi nampak macam tidak ada kejayaan sebab manusia jahiliah teruk sangat. Sampaikan Nabi rasa nak putus asa. Macam usahanya tidak akan membuahkan hasil dan ini menyebabkan Nabi rasa tertekan.
Maka Allah berikan jalan wahyu untuk mengubah masyarakat di sekeliling baginda. Kerana hanya dengan wahyu sahaja masyarakat baginda boleh diubah ke arah kebaikan.
C. Beban ketiga yang dikatakan oleh ulama adalah beratnya hati Nabi apabila berhentinya wahyu buat seketika. Ini adalah satu jangkamasa yang dinamakan fatratil wahyi. Sampaikan isteri Abu Jahal kata Allah sudah tinggalkan baginda. Ini kita boleh rujuk dalam Surah Ad-Dhuha.
Waktu itu Nabi sudah dapat pangkat kenabian dan sudah mula menerima wahyu, tapi apabila selepas beberapa ayat yang awal, tiba-tiba penurunan wahyu berhenti, menyebabkan Nabi rasa tertekan. Sambil dalam masa yang sama, baginda kena cemuh kerana wahyu itu berhenti.
Maka itu adalah keadaan yang berat untuk baginda kerana baginda pun rasa sangsi pada diri baginda sendiri. Maka Allah angkat perasaan berat baginda itu dengan menyambung beri wahyu kepada baginda.
D. Beban mendapat tohmahan dari penentang. Seperti yang kita tahu, baginda kena kutuk, kena tuduh bermacam-macam, kena hina dan macam-macam lagi. Keadaan ini adalah amat berat untuk Nabi. Tambahan pula kerana Nabi adalah seorang yang sensitif jiwanya.
Segala tohmahan itu telah menyendatkan jantungnya. Tapi baginda tidak berhenti berdakwah walaupun masyarakat semakin teruk menentang baginda. Dan apabila baginda terus berdakwah, mereka terus meningkatkan sikap buruk kepada baginda.
Oleh itu dalam keadaan berat ini, Allah berikan baginda dengan Solat Tahajjud. Dengan menjalankan qiyamullail, bermunajat kepada Allah, maka hati Nabi menjadi lega.
E. Beban tekanan kerana menjadi Rasul dan Nabi terakhir. Jadi Nabi rasa tugasnya amat berat. Kerana baginda sedar, kalau baginda tak jalankan tugas dengan baik, maka seluruh umat selepas itu akan sesat. Kerana selepas baginda, tidak ada lagi Nabi yang lain yang akan memperbetulkan agama atau meneruskan tugas baginda.
Baginda hanya ada satu peluang sahaja semasa hayat baginda untuk mengubah dunia. Oleh kerana memikirkan perkara ini dan kesan jangka panjang, Nabi jadi risau memikirkan sampai menjadi beban kepada baginda.
Maka Allah ingatkan baginda yang baginda hanya sebagai pemberi peringatan sahaja. Bukanlah tugas Nabi hendak memberikan hidayah kepada setiap orang. Baginda hanya boleh sampaikan sahaja tapi hidayah itu milik Allah dan Allah pilih siapa yang Allah hendak beri.
Baginda cuma perlu teruskan usaha untuk menyampaikan dakwah sahaja dan jangan risau sangat kepada mereka yang tidak dapat menerima. Kerana akan ada sahaja yang tidak akan menerima ajaran tauhid dan itu bukanlah salah baginda.
Dan pasti akan ada yang menerima ajakan baginda itu. Ini disebut dalam banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an. Ayat-ayat itu dinamakan jenis ayat tasliah iaitu ayat-ayat yang memujuk hati baginda.
F. Baginda rasa terbeban kerana Allah ada menegur baginda. Contohnya, dalam Surah Abasa, ada kejadian di mana Nabi tidak memberi perhatian kepada seorang lelaki buta. Sebenarnya tidaklah perkara itu menjadi kesalahan yang besar, tapi Allah masih tetap tegur baginda kerana kedudukan baginda sebagai seorang Nabi.
Apabila sudah kena tegur tu, Nabi rasa berat sangat kerana ditegur oleh Allah sendiri. Allah ingatkan yang Dia tegur itu adalah untuk meningkatkan lagi ketinggian baginda. Bukan nak marah sangat. Selepas itu Allah turunkan ayat-ayat sebagai tasliah dan menghiburkan hati Nabi. Allah beritahu yang segala kesilapan Nabi dimaafkan. Maka tenanglah hati baginda selepas itu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 27 Mac 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
assalamualaikum admin. saya rasa ayat ni macam ada salah je.
.
Ada juga pendapat yang mengatakan Nabi mengampunkan segala dosa-dosa Nabi dulu dan akan datang. Semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya:
LikeLike
ma sha Allah… terima kasih tuan. saya sudah betulkan.
LikeLike