Tafsir Surah Taha Ayat 21 – 37 (Nabi Harun dinaikkan pangkat)

Ayat 21: Selepas tongkat itu menjadi ular, tentulah Nabi Musa takut. Dalam ayat lain, ada disebut bagaimana Nabi Musa telah lari apabila tongkat itu menjadi ular. Allah telah memanggil Nabi Musa supaya kembali.

قَالَ خُذْهَا وَلَا تَخَفْ ۖ سَنُعِيدُهَا سِيرَتَهَا الْأُولَىٰ

Allah berfirman: “Peganglah ia dan jangan takut, Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya semula,

قَالَ خُذْهَا

Tuhan berkata: peganglah ia;

Mengikut riwayat, Nabi Musa memegang kepala ular itu. Baginda beranikan diri dan memegang kepalanya. Sudahlah melihat tongkat menjadi ular sudah menakutkan, kali ini Allah suruh baginda pegang pula ular itu – memegang ular tentunya lebih menakutkan lagi, kerana takut ular itu akan patuk pula.

Pengajaran kepada kita: Allah yang kawal bahaya. Kadang-kadang kita takut kesan yang bahaya yang boleh terjadi dari perbuatan kita. Tapi ingatlah bahawa kesan dari sesuatu perbuatan itu juga dalam kawalan Allah. Berapa banyak perkara yang kita sangka akan jadi sesuatu, tapi akhirnya jadi lain.

Maka kita kena percaya kepada Allah. Apabila Allah suruh buat sesuatu, tentulah ianya yang terbaik. Jangan kita fikirkan sebaliknya. Jangan kita ragu-ragu.

وَلَا تَخَفْ ۖ

dan kamu jangan takut.

Lihatlah susunan ayat ini. Allah beri arahan dulu, baru kata jangan takut. Kalau kita beri arahan, berkemungkinan kita akan kata kepada orang itu supaya jangan takut dulu sebelum kita suruh dia buat sesuatu. Tapi tidak dalam kisah Nabi Musa ini.

Ada pengajaran yang Allah hendak sampaikan kepada Nabi Musa dan kita. Dengan Allah, yang penting adalah untuk menurut arahanNya tanpa soal. Sama ada kita mahu ataupun tidak, kena ikut dulu. Selepas Allah beri arahan, barulah Allah beritahu sebab apa Dia suruh pegang ular itu. Kerana:

سَنُعِيدُهَا سِيرَتَهَا الْأُولَىٰ

Kami akan kembalikan ia seperti keadaannya yang asal;

Iaitu ular itu akan jadi tongkat balik. Apabila Musa pegang ular itu, Allah menukarkan kembali ular itu menjadi tongkat. Pada mulanya, Nabi Musa membalut tangannya dengan bajunya untuk menangkap ular itu tapi ditegur oleh Malaikat. Malaikat kata, kalau apa yang Nabi Musa takut itu Allah takdirkan terjadi, adakah baju yang dia gunakan untuk balut tangannya itu berguna? Tentulah tidak. Maka, Nabi Musa menangkap dengan tangan kosong sahaja. Dan apabila baginda tangkap sahaja, ular itu telah menjadi tongkat semula.

Allah boleh ubahkan apa-apa sahaja. Dari benda yang biasa, jadi benda yang luar biasa. Dari benda yang luar biasa, jadi benda biasa. Begitu juga, Allah boleh tukar perkara yang tak elok jadi baik, dan perkara yang kita tak suka jadi perkara yang kita suka. Semuanya dalam kekuasaan Allah.

Ada yang kita rasa tak elok tapi sebenarnya baik. Ingatkan kembali bagaimana Nabi Muhammad telah berdakwah di Taif dan baginda telah dihalau dan dibaling dengan batu. Itu adalah keadaan yang tidak baik. Tapi akhirnya, keluar dari tempat itu orang-orang Islam yang baik.

Begitu juga, apabila Nabi terpaksa menandatangani perjanjian Hudaybiyah yang nampaknya berat sebelah, tapi akhirnya dengan perjanjian itu, telah memberi peluang kepada Nabi untuk berdakwah dengan lebih luas lagi. Kerana kalau tidak, Nabi akan sibuk untuk berperang dengan Musyrikin Mekah sahaja.

Yang penting adalah kita kena menurut arahan Allah. Kerana kalau nak kira, Allah boleh sahaja ubahkan ular itu menjadi tongkat dahulu, baru suruh pegang. Tapi Allah hendak melatih Musa untuk menerima arahan. Kerana baginda akan menghadapi Firaun, dan adalah amat penting untuk Musa mengikut arahan Allah tanpa bantahan dan ragu-ragu. Ada tiga pengajaran penting dalam ayat ini:

  1. Ikut arahan Allah
  2. Jangan takut.
  3. Percaya kepada Allah.

Itu semua adalah penting kerana tugas yang akan dihadapi Musa adalah amat berat sekali.


 

Ayat 22:

وَاضْمُمْ يَدَكَ إِلَىٰ جَنَاحِكَ تَخْرُجْ بَيْضَاءَ مِنْ غَيْرِ سُوءٍ آيَةً أُخْرَىٰ

“Dan kepitlah tanganmu di celah lambungmu; nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tidak ada cacat; sebagai satu mukjizat yang lain.

وَاضْمُمْ يَدَكَ

Dan kepitkan tanganmu

Mufassir membincangkan tangan manakah yang dimaksudkan dalam ayat ini: kiri atau kanan. Mungkin tangan kiri sebab kalau kita lihat dalam ayat sebelumnya, Nabi Musa memegang tongkat dengan tangan kanan.

Ini adalah pendapat sahaja. Tidak penting untuk kita tahu sama ada tangan kiri atau kanan yang digunakan.

إِلَىٰ جَنَاحِكَ

di bawah ketiak kamu

Perkataan جَنَاحِ sebenarnya bermaksud ‘kepak’. Maksud dalam ayat ini adalah ‘ketiak’. Tapi bahasa Qur’an adalah bahasa yang lembut. Jadi, Allah tidak gunakan perkataan ‘ketiak’ dalam ayat ini.

تَخْرُجْ بَيْضَاءَ

kemudian keluarkan, nescaya ia akan jadi putih memancar;

Tangan baginda menjadi putih yang menyilau. Seakan-akan potongan dari cahaya bulan. Apabila baginda hendak mengembalikan kepada keadaan semula, baginda hanya perlu masukkan balik tangannya ke dalam ketiak kembali.

غَيْرِ سُوءٍ

bukan kerana cacat-cela;

Putih tangan itu tanpa belang dan tanpa penyakit serta tanpa cela.

آيَةً أُخْرَىٰ

ini adalah mukjizat yang lain. 

Allah boleh jadikan benda yang kita sudah biasa sebagai mukjizat. Dengan Nabi Musa, kita lihat bagaimana Allah menjadikan tongkat yang baginda memang sudah biasa pegang dan lihat menjadi ular; dan begitu juga Allah menjadikan tangannya sebagai satu mukjizat. Allah telah memberikan mukjizat awal-awal lagi di awal kenabian baginda. Tidak disebut Nabi-nabi lain pun dapat macam ini juga.


 

Ayat 23:

لِنُرِيَكَ مِنْ آيَاتِنَا الْكُبْرَى

“(Berlakunya yang demikian itu) kerana Kami hendak memperlihatkan kepadamu sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Kami yang besar.

 

Ada dua perkara pelik sebagai mukjizat yang telah ditunjukkan kepada Musa setakat ini. Ini adalah sebagai mukjizat pengenalan sahaja. Supaya baginda dapat membiasakan diri melihat mukjizat. Kerana Allah nak tunjuk yang lebih besar lagi masa hadapan.

Antaranya akan ditunjukkan kepadanya katak puru, belalang, darah, hama, ribut dan macam-macam lagi. Itu semua nanti akan ditunjukkan apabila baginda telah mula berdakwah dengan Firaun nanti.

Kenapakah ditunjukkan semua itu? Itu semua adalah sebagai persediaan kepada baginda. Kerana Nabi Musa ada tugas yang besar. Apakah tugas itu?


 

Ayat 24:

اذْهَبْ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَىٰ

“Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas”.

اذْهَبْ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ

Pergilah kepada Firaun; 

Salah satu tugas dan cabaran utama Nabi Musa berdakwah kepada Firaun. Ini adalah tugas yang amat mencabar. Baginda keluar dari Mesir kerana melarikan diri dari Firaun. Dan sekarang baginda kena jumpa balik Firaun, dan kali ini untuk berdakwah kepada dia pula.

إِنَّهُ طَغَىٰ

Kerana dia sangat melampau batas; 

Kenapa Nabi Musa kena juga pergi berdakwah kepada Firaun? Kerana dialah yang menjadi ketua syirik penduduk Mesir. Dia telah sangat melampau had. Dia telah diluar kawalan. Sampaikan dia mengaku tuhan. Dia sungguh keterlaluan.

Inilah tugas Musa yang amat berat sekali. Tapi kenapa Allah suruh Nabi Musa pergi dakwah kepada Firaun? Tidakkah Firaun sampai mati, dia tidak akan beriman? Tidakkah Allah tahu akhir hidup Firaun itu?

Jawapannya adalah, untuk menguatkan iman, kena pergi tabligh kepada orang yang kita paling gerun. Seperti Nabi Ibrahim, baginda kena dakwah kepada ayahnya sendiri. Kadang-kadang usaha dakwah itu adalah sebagai satu manfaat kepada kita, bukan kepada orang yang kita dakwah itu.

Dan supaya apabila dia berdepan Firaun, manusia lain boleh menyaksikan perdebatan mereka dan orang akan tahu yang mana benar dan yang mana salah.


 

Ayat 25:

قالَ رَبِّ اشرَح لي صَدري

Sahih International

[Moses] said, “My Lord, expand for me my breast [with assurance]

Malay

Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku;

قَالَ رَبِّ

Nabi Musa berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku,

Apa yang Allah tugaskan kepada Nabi Musa adalah satu tanggungjawab yang amat berat kepada baginda. Baginda sudah terasa beratnya tugas itu sebab dia memang amat kenal dengan Firaun. Sebab dia pernah tinggal di bawah naungan Firaun dulu.

Dan dia juga tahu yang Firaun mahu membunuhnya – kerana dia telah membunuh seorang lelaki bangsa Qibti tanpa sengaja. Maka Nabi Musa telah meminta Allah untuk membantu baginda untuk baginda menghadapi tugas itu.

اشرَح لي صَدري

lapangkanlah bagiku, dadaku;

Nabi Musa sudah rasa gerun sebab nak kena berhadapan dengan raja yang zalim. Firaun lah raja yang paling berpengaruh di muka bumi waktu itu, paling bengis, paling kufur, paling banyak memiliki bala tentera, paling boleh buat sesuka hatinya dan yang paling ingkar. Maka Nabi Musa minta doa kepada Allah untuk menghadapi Firaun. Maka kalau kita pun ada rasa gerun apabila hendak bercakap dengan seseorang, maka bacalah doa ini.

Ini adalah satu kata-kata dalam bentuk pepatah. Kerana kalau dari segi bahasa, ia bermaksud ‘lapangkan dadaku’. Bukan nak lapangkan dadanya jadi besar dari segi fizikal. Tapi Nabi Musa berdoa supaya Allah menenangkan dirinya. Kerana tentu dia ada rasa gerun nak bertemu dengan Firaun.

Nabi Musa menggunakan perkataan صَدْرِ, iaitu ‘dada’. Dia tidak gunakan kata ‘hati’, kerana dada lagi besar dari hati. Maka, dia berdoa supaya Allah memperkukuhkan apa-apa sahaja yang perlu dikukuhkan, bukan sahaja hatinya.

Maksud doa ini juga supaya Allah menetapkan hatinya supaya dapat terima tugas yang Allah telah berikan kepada dirinya itu. Kadang-kadang kita diberi sesuatu tugasan, tapi kita rasa tak selesa dengan tugas itu. Jadi Nabi Musa berdoa supaya Allah tetapkan hatinya untuk menerima tugas itu tanpa berbelah bahagi. Kerana tentu baginda sudah rasa ralat apabila diberitahu kena dakwah kepada Firaun.

Bandingkan permintaan Nabi Musa ini dengan Nabi Muhammad. Nabi Musa meminta kepada Allah supaya dilapangkan dadanya. Tapi kepada Nabi Muhammad, baginda tak minta pun Allah sudah lapangkan, seperti telah disebut dalam Surah al-Inshirah – أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ {Bukankah Kami telah melapangkan bagimu, dadamu?}

Satu lagi kemungkinan, Nabi Musa ada sikap panas baran. Sampaikan pernah baginda tumbuk seorang lelaki bangsa Qibti dalam perbalahan dan lelaki itu telah mati. Jadi dia takut kalau dalam berdakwah kepada Firaun, Firaun akan cakap sesuatu yang akan menyebabkan dia naik marah. Jadi dia siap-siap minta Allah melapangkan dadanya supaya dia dapat tenang walau bagaimana Firaun cakap kepadanya nanti.

Ini penting dalam dakwah kerana kalau kita marah, maka orang yang didakwah itu tentu tidak suka dengan kita dan dakwah kita akan rosak. Maka orang yang tidak dapat mengawal perasaannya tidak patut melakukan dakwah. Kerana kadangkala orang yang didakwah itu akan melawan dan melampau dan kalau kita tidak dapat tahan sabar, akan ada masalah.


 

Ayat 26:

وَيَسِّر لي أَمري

Sahih International

And ease for me my task

Malay

“Dan mudahkanlah bagiku, tugasku;

 

Nabi Musa memohon bantuan Allah supaya dia akan mudah menjalankan tugasnya, kerana dia tahu tugas itu susah sebab dia kenal Firaun. Ini adalah satu doa yang bagus. Hanya Allah sahaja yang dapat memudahkan urusan kita. Kita kena berharap kepada Allah dalam semua keadaan.

Dalam doanya ini, Nabi Musa mengatakan ‘tugasku’ – bermakna dia sudah dapat terima tugas yang telah diamanahkan oleh Allah kepadanya. Baginda bukanlah menolak tugas itu. Baginda telah menerimanya tapi baginda cuma minta Allah mudahkan sahaja.


 

Ayat 27:

وَاحلُل عُقدَةً مِن لِساني

Sahih International

And untie the knot from my tongue

Malay

“Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku,

وَاحْلُلْ عُقْدَةً

Dan lepaskanlah simpulan

Kalimah عُقْدَةً bermaksud ikatan atau simpulan. Seperti kita biasa dengar ‘aqidah’ iaitu simpulan perkara yang perlu diimani.

مِنْ لِسَانِي

dari lidahku

Nabi Musa berdoa kepada Allah untuk merungkaikan simpulan lidahnya. Kalau kita pun, kalau dalam keadaan takut, gementar, dada gemuruh kerana ramai orang yang melihat contohnya, lidah kita akan jadi kelu dan tidak dapat berkata-kata dengan baik.

Nabi Musa berdoa kepada Allah supaya Allah mudahkan dia untuk menyampaikan dakwah kepada Firaun dan orang-orang lain. Kerana dia akan berhadapan bukan sahaja dengan Firaun, tapi ramai manusia yang tentunya akan bersama. Kerana dia tahu, dia tidak akan dapat bercakap berseorangan dengan Firaun, tentu akan ada pengikut-pengikutnya yang akan ada bersama.

Maka, dia tahu akan ramai orang yang akan memerhati. Selalunya, kalau ada ramai orang, kita akan ada rasa gementar. Jadi, kalau dia gementar, dia tidak dapat menyampaikan apa yang dia hendak sampaikan.

Ini adalah tentang komunikasi. Dari sini, kita tahu yang kita kena sampaikan maklumat kepada siapa yang kita kena sampaikan dengan sebaik mungkin. Ini pun termasuk dalam dakwah dalam bentuk penulisan pun. Usaha dakwah memerlukan usaha yang lebih kerana kita kena cuba sedaya upaya berusaha supaya orang lain dapat faham apa yang kita hendak sampaikan.

Mengikut riwayat, Nabi Musa adalah seorang yang mempunyai penyakit gagap. Jadi doa ini juga sesuai digunakan oleh mereka yang gagap. Dari riwayat, apabila Nabi Musa mula-mula tinggal di istana Firaun, Firaun tidak selesa dengan kehadiran bayi itu. Dia tahu bahawa itu adalah anak Bani Israil yang dia telah arahkan supaya dibunuh. Dia tahu bayi yang mereka jumpa itu adalah helah dari ibubapa Bani Israil yang tidak mahu anaknya dibunuh.

Firaun percaya kata-kata ahli nujumnya yang mengatakan anak Bani Israil lah nanti yang akan menjatuhkannya. Maka Firaun tidak percaya kepada bayi itu. Oleh itu, dia mahu uji bayi itu. Dia telah memegang bara api dan satu benda yang berkilauan dan dia telah mengacah Nabi Musa yang masih bayi untuk memilih – sama ada bara api atau barang yang berkilau itu.

Nabi Musa, sebagai seorang bayi yang tidak tahu apa, telah tertarik kepada barang yang berkilau itu dan dia mula bergerak ke arahnya, tapi Jibrail tolak baginda kepada bara itu kerana tidak sesuai seorang Nabi suka kepada barang yang berkilau-kilau (keduniaan). Nabi Musa telah meletakkan bara api itu ke mulutnya dan lidahnya sempat terbakar disebabkan bara api itu. Kerana lidahnya terbakarlah yang menyebabkan baginda telah menjadi gagap.

Benarkah kisah Nabi Musa seorang yang gagap? Ada kemungkinan yang besar. Dari sejarah Islam, kita dapat tahu bahawa cucu Nabi, Saidina Hussain pun seorang yang gagap juga. Apabila beliau bercakap dengan gagap, Nabi akan senyum dan terus mendengar sampai dia habis cakap. Dengan itu, ianya memberi semangat kepada beliau untuk terus bercakap.

Nabi tidak suruh dia berhenti bercakap, atau terus mengajuknya untuk bercakap, tapi baginda akan terus mendengar dengan sabar. Sampaikan kepada satu tahap, para sahabat tidak sabar dan nampak pada raut wajah mereka. Apabila Nabi perasan, Nabi telah berkata bahawa mereka tidak sepatutnya buat begitu, kerana dia telah mewarisi gagap itu dari ‘pakciknya’ Nabi Musa (kerana para Nabi dikira sebagai bersaudara). Oleh itu, dari sini kita tahu bahawa memang Nabi Musa seorang yang gagap

Dalam Surah Zukhruf juga, ada satu ayat dimana Firaun telah mengejek Nabi Musa. Dia berkata, adakah manusia hendak mengikuti manusia ini yang cakap pun tidak lancar? Ini kita boleh lihat dalam Zukhruf:52

Dalam Tafsir Ibn Kathir, dikatakan bahawa tidaklah Nabi Musa minta disembuhkan penyakit gagapnya itu. Nabi Musa hanya minta dihilangkan sekejap supaya dia boleh berbicara di hadapan Firaun dan kaumnya. Kerana seorang Nabi itu tidaklah meminta melainkan keperluan mereka sahaja. Allahu a’lam.

Dari perbuatan Nabi Musa ini, kita belajar bahawa kita juga perlu sedar kelemahan kita dan cuba menyelesaikannya. Kita kena periksa diri kita dan kena tahu apakah kelemahan diri kita supaya kita boleh baiki dan atasi. Tidaklah kita perasan kita semuanya baik-baik belaka. Langkah pertama membaiki kelemahan diri adalah menerima kelemahan diri kita.


 

Ayat 28:

يَفقَهوا قَولي

Sahih International

That they may understand my speech.

Malay

“Supaya mereka faham perkataanku;

“Supaya mereka faham, tablighku” – dakwah baginda. Maknanya, ayat doa ini kena baca apabila hendak tabligh kepada orang. Kerana itu para asatizah selalu menyebut doa ini apabila memulakan kelas. Kerana penting orang yang dengar dakwah kita faham dengan apa yang kita sampaikan. Dan siapakah yang boleh memberi faham kalau bukan Allah?

Satu lagi, apabila mula nak tabligh kepada orang, hendaklah kita ajak dia berdoa supaya mencari jalan yang benar. Kita dengan dia sekali minta Allah tunjukkan kebenaran kepada kita. Kerana dalam dunia sekarang, sudah tidak pasti mana satukah jalan yang benar. Satu puak kata begini, puak yang lain kata begitu.

Jadi, kita serahkan kepada Allah supaya memberi kita petunjuk manakah yang benar antara kedua pendapat itu. Kadang-kadang kita pun tidak pasti sama ada kita benar ataupun tidak. Kita berhadap semoga Allah akan membuka kebenaran kepada kita. Kita bukan hendak menang hujah sampai menolak kebenaran. Yang penting adalah kebenaran. Kalau kita menang hujah, tapi kita di pihak yang salah, kemenangan itu langsung tidak bernilai.

Perkataan يَفْقَهُوا itu diambil dari perkataan فْقَهُ yang lebih tinggi lagi dari makna ‘faham’. Ianya bermaksud benar-benar faham dengan apa yang telah disampaikan.

Dalam doa ini, Nabi Musa berdoa semoga Allah mengizinkan mereka yang dengar dakwah baginda itu faham. Kerana yang beri faham adalah Allah. Kita hanya boleh sampaikan sahaja. Kadang-kadang manusia boleh dengar apa yang kita sampaikan, tapi mereka tak faham. Allah sahaja yang boleh beri kefahaman yang mendalam kepada manusia. Kadang-kadang kita cakap banyak tapi mereka sikit pun tak faham. Tapi kadangkala, kita cakap sedikit sahaja, tapi mereka boleh faham. Itu semua adalah dalam kuasa Allah.

Mungkin Nabi Musa risau umatnya tak faham dakwahnya nanti, jadi dia siap-siap doa supaya Allah beri pemahaman kepada mereka. Kadang-kadang cara penyampaian kita yang salah. Begitulah Nabi kita selepas baginda dihalau dari Taif, baginda memohon maaf kepada Allah kerana tak pandai menyampaikan. Baginda takut cara penyampaian baginda yang salah. Begitulah merendah diri betul Nabi Muhammad.

Ini juga mengajar kita cara berdakwah. Yang penting adalah manusia faham apakah yang kita katakan. Ada kalanya, bahasa yang kita gunakan terlalu tinggi sampai orang lain tidak faham kerana mereka tidak berilmu macam kita.

Maka, seeloknya kita menggunakan bahasa yang sama pada tahap mereka supaya mereka faham. Kerana yang penting adalah manusia lain faham apakah yang kita hendak sampaikan. Oleh itu, kalau kita bercakap dengan kanak-kanak, kita guna bahasa yang kanak-kanak boleh faham. Kalau dengan orang kampung, kita guna bahasa orang kampung.


 

Ayat 29: Nabi Musa tambah lagi permintaannya.

وَاجعَل لي وَزيرًا مِن أَهلي

Sahih International

And appoint for me a minister from my family –

Malay

“Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku.

وَاجعَل لي وَزيرًا

Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong

Kalimah وَزِيرًا bermaksud ‘pembantu’. Atau orang yang membawa beban, yang menanggung beban. Kerana kata dasar ini adalah sama dengan kata ‘beban’.

Ayat ini mengajar kita untuk mendapatkan pertolongan dari orang lain untuk menanggung bersama tugas yang berat. Kalau kita rasa kita tidak boleh buat sendiri, kita kena minta pertolongan. Selalunya kita lihat permintaan sebegini diminta oleh seorang yang tidak mampu buat sendiri. Kenapa Nabi Musa sebagai seorang Nabi sampai memerlukan pertolongan orang lain pula?

Kita kena lihat permintaan ini sebagai tanda bagaimana Nabi Musa merendah diri. Walaupun Allah telah pilih dia, dia tidak rasa dia tidak perlukan pertolongan lagi. Kalau kita, mungkin kita sangka sudah cukup kuat, sebab Allah dah pilih kita. Tapi tidak kepada Nabi Musa. Dia tidak ego. Yang penting adalah menjalankan tanggungjawab yang telah diberikan. Kejayaan misi itu yang lebih penting.

Ini juga menunjukkan kebijakan Nabi Musa. Nabi Musa dapat menilai tugas yang baginda perlu lakukan dan dari pembacaan baginda, baginda tidak boleh buat sendiri.

Ada pengajaran dalam perbuatan Nabi Musa ini. Nabi Muhammad pernah kata bahawa kalau Allah hendakkan seseorang itu berjaya dalam apa-apa tugas, Allah akan berikan pembantu untuknya. Jadi, pemberian pertolongan adalah cara Allah hendak menjayakan perancanganNya.

Nabi Muhammad pun memerlukan pembantu juga. Walaupun seorang Nabi, baginda masih memerlukan penolong juga. Nabi Muhammad pernah bersabda bahawa pembantunya di dunia adalah Abu Bakr dan Umar. Maka ini mengajar kita yang tidak ada kurangnya kalau kita memerlukan pembantu.

Ingatlah bahawa kita semua adalah manusia dan kita perlukan pembantu. Kadang-kadang kita lemah dan kadang-kadang kita terlupa. Maka, kalau ada sesiapa yang bersama kita, boleh membantu kita dan mengingatkan perkara yang kita terlupa.

مِنْ أَهْلِي

dari keluargaku

Kenapa Nabi Musa minta pertolongan yang spesifik dari keluarganya? Tidakkah ini nepotisme (pilih kasih)? Tidak. Nabi Musa adalah manusia biasa. Sebagai seorang manusia, kita akan lebih selesa dengan ahli keluarga sendiri. Kerana kita sudah kenal dan sudah biasa dengan ahli keluarga kita, maka senang untuk kita berurusan.

Permintaan pertolongan dari ahli keluarga juga menunjukkan betapa penting untuk kita masukkan sekali ahli keluarga kita dalam usaha dakwah dan kerja kita. Lebih-lebih lagi dalam perkara ibadah. Kadang-kadang kita tak kisah tentang mereka. Padahal, mereka lah yang rapat dengan kita. Sepatutnya mereka dahulu yang kita kena dakwah dan ajak buat ibadat sekali dengan kita. Tapi kadang-kadang, kita tidak hiraukan mereka tapi kita terus ajak orang lain yang bukan ahli keluarga kita.

Dari cara pemintaan Nabi Musa ini pun kita boleh lihat bagaimana baginda beradab dalam meminta. Baginda minta sikit-sikit. Mula-mula minta Allah lapangkan dadanya, lancarkan lidahnya dan berbagai lagi permintaan lain. Tidaklah terus minta pembantu dengan menyebut siapa yang dia hendak. Mula Nabi Musa kata dia perlukan pembantu dahulu. Dalam ayat seterusnya baru dia sebut nama.


 

Ayat 30:

هارونَ أَخِي

Sahih International

Aaron, my brother.

Malay

“Iaitu Harun saudaraku;

Dalam ayat ini baru dia cakap siapa yang dia hendak dijadikan sebagai pembantunya. Harun adalah abang kepada Nabi Musa. Mengikut riwayat, Harun tiga tahun lebih tua dari Nabi Musa.

Kenapa Musa kena cakap siapakah nama abangnya? Takkan Allah tak tahu siapa Harun? Ini adalah isyarat untuk dia mengatakan bahawa dia akan bertanggungjawab kepada abangnya itu. Bukankah kalau kita rekomen seseorang untuk satu-satu jawatan, kita akan bertanggungjawab tentangnya?

Satu lagi sebab kenapa Nabi Musa menyebut perkataan أَخِي (saudaraku) itu adalah untuk menunjukkan kecintaannya kepada abangnya itu. Dan betapa hormatnya dia kepada abangnya itu. Dalam agama, boleh kalau kita mencadangkan ahli keluarga kita untuk satu-satu jawatan jikalau dia layak.

Maka, apakah kelebihan Nabi Harun? Dia dikenali sebagai seorang yang pandai dalam agama (seorang rabbi) dan pandai pula berkata-kata. Kedudukan Nabi Harun yang tinggi ini ada tersebut sejarah Bani Israil. Kadang-kadang kita perlu merujuk kepada sejarah Bani Israil untuk memahami satu-satu perkara.

Ayat ini pendek sahaja, tapi dijadikan sebagai satu ayat. Boleh sahaja kalau ianya diletakkan dalam ayat yang lain, tapi Allah tak buat begitu. Bermakna, ada kelebihan sesuatu yang Allah hendak kita fikirkan tentang ayat ini.


 

Ayat 31: Nabi Musa memberikan hujahnya, kenapa dia memerlukan Nabi Harun untuk membantunya.

اشدُد بِهِ أَزري

Sahih International

Increase through him my strength

Malay

“Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku,

Dari segi bahasa, أَزْرِ bermaksud: ‘tulang belakang’. Ianya seperti memakai ‘Back Brace‘. Kalau pekerja yang kena selalu mengangkat barang, mereka memerlukan ‘back brace’ ini untuk memudahkan kerja mereka.

Salah satu kelebihan Nabi Harun adalah dia pandai bercakap dan Nabi Musa seorang yang ada masalah gagap seperti yang kita telah sebutkan sebelum ini. Maka, dengan adanya Nabi Harun membantunya, akan menguatkan lagi dakwah Nabi Musa.


 

Ayat 32:

وَأَشرِكهُ في أَمري

Sahih International

And let him share my task

Malay

“Dan jadikanlah dia turut bertanggungjawab dalam urusanku,

Makna ayat ini adalah Nabi Musa memohon kepada Allah supaya Nabi Harun juga diangkat menjadi Nabi juga. Bukan setakat pembantunya sahaja. Supaya mereka boleh berkongsi tanggungjawab dalam menjalankan tugas dakwah yang berat itu.

Permintaan ini menunjukkan betapa murahnya hati Nabi Musa. Dia mahu berkongsi tanggungjawab yang Allah telah berikan itu dengan Harun juga. Tanggungjawab itu adalah satu tugas yang mulia tapi Nabi Musa tidak kisah berkongsi kedudukan itu dengan orang lain. Ini menunjukkan Nabi Musa tidak ada ego.


 

Ayat 33:

كَي نُسَبِّحَكَ كَثيرًا

Sahih International

That we may exalt You much

Malay

“Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu,

Nabi Musa memang akan bertasbih dengan banyak kepada Allah. Tapi kalau mereka berdua, bermakna akan lebih banyak bertasbih lagi. Bertasbih itu bermaksud menyucikan sifat-sifat Allah. Menidakkan tanggapan salah manusia yang tidak beriman.

Kita boleh lihat bagaimana Nabi Musa merayu kepada Allah dengan memberikan sebab-sebab kenapa baginda mencadangkan Harun diangkat menjadi Nabi.


 

Ayat 34:

وَنَذكُرَكَ كَثيرًا

Sahih International

And remember You much.

Malay

“Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu;

Nabi Musa berjanji yang mereka berdua akan mengingati Allah dengan banyak.

Ulama ada membincangkan tentang Ilmu Hal. Iaitu kita kena tahu apakah amalan yang perlu dilakukan kena pada waktunya. Itupun adalah satu bentuk zikir juga. Contohnya, berzikir memang baik untuk dilakukan. Tapi apabila Iqamah sudah dilaungkan, maka waktu itu, yang penting adalah menjalankan solat.

Zikir adalah seperti satu bentuk tenaga yang dapat menguatkan tugas-tugas dakwah kita. Maka, dalam kita menjalankan tugas dakwah, hendaklah kita selalu mengingati Allah.

Tasbih adalah satu bentuk zikir juga. Tapi kenapa disebut tasbih dulu dalam ayat sebelum? Sebab tasbih adalah satu bentuk zikir nafi (penafian) dan zikir adalah dalam bentuk ithbat (penetapan). Contoh nafi dan ithbat yang kita biasa tahu adalah kalimah tahlil la ilaaha illallah.

Tasbih adalah menyucikan Allah dari sifat kekurangan apa-apa. Seperti la ilaha adalah nafi dan illa Allah adalah ithbat. Selain daripada itu, zikir Tasbih hendaklah dilakukan pada masa-masa tertentu dan zikir adalah dalam setiap masa.


 

Ayat 35:

إِنَّكَ كُنتَ بِنا بَصيرًا

Sahih International

Indeed, You are of us ever Seeing.”

Malay

“Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami”.

Ini adalah justikasi terakhir yang diberikan oleh Nabi Musa supaya Allah memilih Nabi Harun sebagai Nabi. Nabi Musa mengatakan bahawa Allah sentiasa melihat mereka berdua dan selama ini Allah lah yang telah menjaga mereka setiap masa. Dan Musa mengaku kepada Allah bahawa mereka berdua tertakluk kepadaNya.

Lihatlah bagaimana Allah telah menyelamatkan juga Nabi Harun dari dibunuh oleh tentera Firaun. Kerana seluruh anak lelaki Bani Israil telah dibunuh tapi kita lihat bagaimana Nabi Harun telah terselamat juga. Itu semua adalah dalam perancangan Allah.

Inilah wasilah yang digunakan dalam doa baginda. Sunnah para Nabi menggunakan wasilah dalam berdoa dengan tawasul yang dibenarkan. Menggunakan nama-nama Allah dan memuji-muji Allah dengan menyebut kekuasaanNya.

Kenapa berkenaan Harun, Musa banyak beri justifikasi? Kerana dia rasa segan dengan permintaan menaikkan Harun sebagai Nabi kerana ianya adalah satu pemberian yang amat besar.

Nabi Muhammad pun tahu bahawa pemberian Pangkat Kenabian kepada baginda adalah satu pemberian yang besar, maka segala kesusahan yang baginda lalui itu adalah berbaloi. Kita yang menjadi umatnya juga patut rasa berbangga kerana kita telah diberikan kelebihan menjadi umat baginda. Oleh itu kita kena menilai balik apakah yang kita lakukan layak dengan pemberian itu. Adakah kita memenuhi tugas sebagai umat Nabi Muhammad atau tidak?


 

Ayat 36: Allah memberitahu bahawa doa Nabi Musa diperkenankan. Inilah jasa paling besar pernah diberikan oleh seorang manusia kepada seorang manusia lain. Ini adalah kerana dia telah menaikkan saudaranya menjadi Nabi.

قالَ قَد أوتيتَ سُؤلَكَ يا موسىٰ

Sahih International

[ Allah ] said, “You have been granted your request, O Moses.

Malay

Allah berfirman: “Sesungguhnya telah diberikan kepadamu apa yang engkau pohonkan itu, wahai Musa!

Apabila dilihat dari bahasa yang digunakan, menunjukkan bahawa Allah terus memakbulkan permintaan Nabi Musa itu tanpa lengah. Kerana tidak ada kata-kata antara permintaan Nabi Musa dan kata-kata Allah yang memakbulkan. Ada pendapat yang mengatakan sebelum Nabi Musa pohon lagi Allah sudah berikan apa yang baginda pohon itu.

Segala permintaan manusia yang pernah dikabulkan adalah dikabulkan oleh Allah. Samada orang itu orang Islam ataupun tidak. Kerana bukanlah ada tuhan lain yang memakbulkan doa orang bukan Islam. Cuma bezanya, orang Islam berdoa kepada Allah, tapi orang bukan Islam tidak berdoa kepada Allah. Itu sahaja.

Kata قَدْ itu adalah satu penekanan. Ianya seperti bercakap sambil memukul meja. Allah hendak menekankan bahawa segala apa yang diminta oleh Nabi Musa itu Allah perkenankan. Dan perkenan itu tanpa apa-apa syarat dan kondisi. Diberi penuh seperti yang diminta.

Ayat ini memberi isyarat kepada Nabi Muhammad bahawa doa baginda juga akan diperkenankan oleh Allah sama seperti Allah memperkenankan doa Musa. Nabi Muhammad juga menghadapi satu tugas yang berat sepertimana Musa juga. Maka ini adalah sebagai memberi harapan kepada baginda.

Begitu juga kepada kita. Allah memberitahu kepada kita bahawa doa kita juga didengari oleh Allah. Cuma mungkin ada yang bertanya samada doa mereka dimakbulkan atau tidak. Ada tiga jenis cara bagaimana Allah menjawap doa kita itu:

1. Allah akan berikan kepada kita apa kita mohon. Sama seperti apa yang kita hendak.

2. Kerana apa yang kita minta itu tidak sesuai kalau Allah berikan apa yang kita minta, Allah akan ganti dengan perkara lain yang lebih baik. Mungkin Allah selamatkan kita dari bahaya dan sebagainya. Itu lebih baik, bukan?

3. Allah tidak beri semasa di dunia. Doa yang tidak dimakbulkan di dunia itu akan diganti dengan kelebihan di akhirat. Manusia akan diberikan dengan kelebihan itu di akhirat. Mereka akan ditunjukkan ganti kepada doa mereka yang tidak dimakbulkan semasa di dunia. Sampaikan mereka akan berkata, alangkah baiknya kalau tidak ada satu pun doa mereka di dunia dulu dimakbulkan supaya diganti dengan kelebihan di akhirat.


 

Ayat 37: Allah kata bahawa sebelum itu pun Dia sudah memberi banyak pemberian kepada Nabi Musa.

وَلَقَد مَنَنّا عَلَيكَ مَرَّةً أُخرىٰ

Sahih International

And We had already conferred favor upon you another time,

Malay

“Dan demi sesungguhnya! Kami telahpun mengurniakan kepadamu berbagai nikmat pada satu masa yang lain sebelum ini.

وَلَقَدْ مَنَنَّا عَلَيْكَ

Dan demi sesungguhnya! Kami telahpun mengurniakan kepadamu berbagai nikmat

Perkataan مَنَ dalam مَنَنَّا bererti ‘pemberian yang besar’. Bukan pemberian yang biasa.

مَرَّةً أُخْرَىٰ

pada satu masa yang lain sebelum ini.

Ini adalah sebagai tanda kasih sayang Allah. Jangan ragu yang apa yang kamu minta ini kerana ia akan dimakbulkan. Kerana bukan waktu ini sahaja, kerana Allah telah beri keberkatan sebelum ini pun. Kalau dulu Allah telah beri pertolongan, tentulah kali ini pun boleh lagi. Allah terus memberi pertolongan kepada Nabi-nabiNya.

Allah telah memberi segala permintaan Nabi Musa itu sebelum Nabi Musa minta lagi. Kerana Allah akan memberikan apakah keperluan yang diperlukan oleh Musa untuk memastikan misinya berjaya. Semua yang berlaku adalah dalam perancangan Allah.

Memang segala pemberian itu dari Allah. Hatta orang kafir pun perlu juga kepada Allah. Kalaulah Allah tak beri keperluan mereka, mereka pun tidak akan dapat apa-apa dan tidak dapat hidup. Contohnya, kalau Allah tak beri mereka makan, tentu mereka akan mati. Cuma bezanya, orang Islam meminta kepada Allah dan orang kafir tidak meminta langsung kepada Allah.

Kalau kita rasa kita doa tak dapat, ingatlah balik berapa banyak Allah telah beri rahmatNya kepada kita. Kita selamat selama ini pun adalah atas rahmat Allah juga. Tidak pernah kita terlepas dari rahmat Allah.

Dalam ayat-ayat seterusnya, Allah mengingatkan Nabi Musa apakah ‘pemberian besar’ yang dimaksudkan itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 9 Mei 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s