Ayat 38: Allah jelaskan apakah pemberian yang telah diberikan olehNya kepada Nabi Musa sebelum ini.
إِذ أَوحَينا إِلىٰ أُمِّكَ ما يوحىٰ
When We inspired to your mother what We inspired,
“Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya:
إِذْ أَوْحَيْنَا إِلَىٰ أُمِّكَ
“Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu,
Ibunya mendapat ‘ilham’, bukan ‘wahyu’ kerana dia bukan seorang Nabi. Mungkin dalam bentuk mimpi ataupun inspirasi. Allah boleh membuatkan seseorang itu faham dengan memasukkan ke dalam hati seseorang itu.
Seperti juga dalam ayat lain, Allah telah memberi ilham kepada lebah untuk membuat sarang. Tidaklah bermakna lebah itu mendapat wahyu seperti wahyu yang diberikan kepada para Nabi.
مَا يُوحَىٰ
dengan apa yang diwahyu kepadanya:
Perkataan ini adalah satu kata-kata dalam bahasa Arab untuk memberi penekanan. Ianya adalah seperti satu pengulangan tapi pengulangan itu adalah untuk memberitahu kepada kita bahawa ianya bukanlah perkara yang biasa. Ianya adalah sesuatu yang besar dari Allah.
Ayat ini juga dalam bentuk rahsia. Kadang-kadang kita beritahu kepada orang lain satu nasihat. Kemudian kita kisahkan balik kepada orang lain, tapi kita tak mahu cakap apakah yang kita nasihatkan itu. Kita pun kata: “Aku sudah cakap apa yang aku patut cakap”.
Selalunya dalam Qur’an, Allah jarang menjelaskan apakah yang diwahyukan itu. Banyak kisah-kisah dalam Qur’an tidak diterangkan dengan terperinci. Kita akan mendapat maklumat terperinci selalunya dari hadis-hadis Nabi atau pendapat para ulama. Tapi dalam ayat seterusnya, Allah menjelaskan apakah ‘ilham’ yang telah diberikan kepada ibu Musa.
Ayat 39: Ini adalah kisah bagaimana Allah telah memberi ilham kepada ibu Nabi Musa untuk menyelamatkan baginda yang masih bayi waktu itu.
أَنِ اقذِفيهِ فِي التّابوتِ فَاقذِفيهِ فِي اليَمِّ فَليُلقِهِ اليَمُّ بِالسّاحِلِ يَأخُذهُ عَدُوٌّ لي وَعَدُوٌّ لَهُ ۚ وَأَلقَيتُ عَلَيكَ مَحَبَّةً مِنّي وَلِتُصنَعَ عَلىٰ عَيني
[Saying], ‘Cast him into the chest and cast it into the river, and the river will throw it onto the bank; there will take him an enemy to Me and an enemy to him.’ And I bestowed upon you love from Me that you would be brought up under My eye.
“Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya; dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.
أَنِ اقْذِفِيهِ فِي التَّابُوتِ
Letakkanlah anakmu di dalam peti,
Kalimah اقْذِفِ bukan hanya bermaksud ‘meletakkan’ sahaja atau ‘membuang’. Tapi ‘membuang dengan jauh’. Perkataan itu digunakan untuk menunjukkan betapa emosinya ibu Nabi Musa. Hatinya pada waktu itu tentunya di dalam ketakutan. Kerana waktu itu tentera Firaun telah datang untuk menggeledah rumah-rumah untuk membunuh anak-anak lelaki yang baru lahir.
Bukan senang perbuatan yang hendak dilakukannya. Tapi ianya perlu dilakukan kerana untuk memastikan kelangsungan hidup anaknya yang tercinta itu. Tentulah cinta ibu kepada anaknya sangat tinggi. Sampaikan Allah pernah membandingkan kasihNya dengan kasih seorang ibu. Allah kata bahawa kasihNya lebih lagi dari kasih seorang ibu.
فَاقْذِفِيهِ فِي الْيَمِّ
kemudian lepaskanlah peti itu ke laut,
Kalimah الْيَمِّ bermaksud kawasan air yang besar. Ianya juga boleh dipakai untuk merujuk kepada sungai yang lebar. Dalam ayat yang lain, kita tahu bahawa ibunya melepaskan Nabi Musa dalam Sungai Nil.
Perkataan الْيَمِّ hanya digunakan dalam Qur’an untuk menceritakan kisah Nabi Musa sahaja. Dalam surah-surah lain, apabila Allah menyebut tentang laut, Allah menggunakan perkataan ‘bahr’. Selalunya ‘bahr’ digunakan untuk perkara yang menggembirakan. Tetapi Allah menggunakan perkataan الْيَمِّ apabila hendak menceritakan perkara yang negatif dan menyedihkan. Seperti dalam kes ini, ianya tentang kesedihan ibunya yang terpaksa melepaskan Musa ke dalam Sungai Nil.
فَلْيُلْقِهِ الْيَمُّ بِالسَّاحِلِ
maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke tebing,
Kalimah فَلْيُلْقِهِ bermaksud Allah memerintahkan sungai itu untuk membawa Musa ke tempat yang sepatutnya. Iaitu ke tebing yang berdekatan dengan istana Firaun. Semua yang terjadi ini adalah dalam perancangan Allah yang teratur.
يَأْخُذْهُ عَدُوٌّ لِّي
supaya dipungut oleh musuhKu;
Firaun adalah musuh Allah kerana dia telah mengaku menjadi tuhan. Tapi Allah rancang supaya Nabi Musa dipungut oleh Firaun. Mungkin bukan terus dipungut oleh Firaun sendiri tapi orang suruhannya. Tentulah tentera-tenteranya atau pesuruhnya dulu yang jumpa. Tapi akhirnya telah dibawa kepada Firaun dan Asiah, isteri Firaun.
وَعَدُوٌّ لَّهُ
dan musuhnya;
Firaun bukan sahaja musuh Allah tetapi dia juga musuh kepada Nabi Musa. Kita faham bagaimana Firaun itu adalah musuh Allah. Tapi bagaimana kita faham Firaun juga sebagai musuh kepada Nabi Musa yang masih bayi?
Kita jangan lupa bahawa waktu itu Firaun telah mengarahkan semua bayi lelaki dari Bani Israil dibunuh. Bermakna sewaktu bayi lagi Firaun telah menjadi musuh kepada Nabi Musa.
Atau, ia juga merujuk kepada masa hadapan dimana Firaun akan menjadi musuh kepada Nabi Musa apabila dia menentang Nabi Musa dan mahu membunuhnya.
وَأَلْقَيْتُ عَلَيْكَ مَحَبَّةً مِّنِّي
dan Aku telah tanamkan ke atas engkau perasaan kasih sayang orang terhadapmu;
Kalimat وَأَلْقَيْتُ عَلَيْكَ مَحَبَّةً – Aku telah melimpahkan kasih sayang kepadamu. Ia bermaksud sesiapa sahaja yang melihat bayi Nabi Musa semasa bayi itu akan jatuh cinta kepadanya.
Allah menggunakan perkataan أَلْقَيْتُ – AKU yang melimpahkan – jarang Allah menggunakan perkataan ‘Aku’ kecuali dalam keadaan tertentu. Selalunya Allah akan gunakan perkataan ‘Kami’. Kalau dalam keadaan bersangatan baru Allah akan gunakan kataganti ‘Aku’. Ini bermakna Allah melimpahkan kasih sayang itu dengan banyak sekali.
Sesiapa yang nampak Nabi Musa sahaja akan jatuh cinta. Sampaikan Firaun yang ganas itu pun timbul rasa kasih dan sayang kepada Nabi Musa yang masih bayi itu. Walaupun Firaun telah membunuh beribu-ribu bayi sebelum itu, tapi apabila dia melihat Nabi Musa, dia sendiri telah jatuh cinta.
Bukan sahaja Firaun dan Asiah yang jatuh cinta kepada Nabi Musa tapi semua orang. Bayangkan, tentera-tentera Firaun yang mula-mula jumpa Firaun pun jatuh cinta kepada Nabi Musa itu, sampaikan mereka tidak terus bunuh. Begitu juga apabila Nabi Musa datang kembali ke istana Firaun untuk berdakwah kepadanya, tentera-tentera itu tidak terus bunuh baginda.
Dan walaupun Nabi Musa memberi nasihat kepada Firaun, Firaun tidak pun bunuh baginda. Padahal, kalau orang lain, tentu sudah lama kena bunuh. Tak sempat cakap pun mungkin sudah kena bunuh.
Isteri Firaun bernama Asiah. Dia adalah seorang yang akhirnya telah beriman kepada Nabi Musa. Dialah yang telah berjaya memujuk Firaun untuk mengambil bayi itu sebagai anak angkat. Kerana walaupun Firaun sudah jatuh sayang kepada bayi itu, tapi dia sudah dapat agak bahawa ini tentunya anak dari Bani Israil. Dia tahu ada orang yang telah menghanyutkan anak ini untuk menyelamatkannya dari dibunuh.
Ini menunjukkan kepentingan perhubungan. Kerana Firaun sayang kepada isterinya itu, maka dia telah mengikut saranan isterinya itu. Firaun pula memang tidak ada anak. Diberitakan yang Asiah sebenarnya adalah sepupu Nabi Musa. Firaun telah berkahwin dengan Asiah tapi Firaun tidak boleh tidur dengan Asiah, sebab itu tidak ada anak. Tapi Firaun sangat sayang kepada Asiah.
Asiah telah memujuk Firaun untuk mengambil Nabi Musa sebagai anak. Asiah adalah antara beberapa orang yang telah disebut oleh Nabi Muhammad sebagai orang yang akan dimuliakan di akhirat nanti.
وَلِتُصْنَعَ عَلَىٰ عَيْنِي
dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.
Dengan takdir Allah, Nabi Musa telah hidup di istana Firaun. Makan makanan Firaun. Tapi baginda di bawah pengawasan dan pemerhatian Allah sebenarnya.
Kenapakah Allah buat perancangan yang teratur begini? Supaya Nabi Musa boleh diasuh dan dilatih di bawah pengawalan Allah taala. Nabi Musa akan diasuh dengan baik sebagai persediaan menjadi Nabi dan Rasul apabila bagnda dewasa kelak. Kalimah صْنَعَ bermaksud dari segi bahasa: membina sesuatu satu persatu.
Musa telah diberi satu latihan yang mantap. Dia dapat tinggal di istana Firaun supaya dia dapat kenal bagaimana keadaan dalam istana dan siapakah pemuka-pemuka di istana. Baginda juga dilatih di istana kerana di istana terdapat pembelajaran lengkap yang diberikan kepada anak-anak orang besar. Sampaikan ada raja-raja dari negara lain pun telah menghantar anak-anak mereka belajar di istana Mesir.
Nabi Musa dalam masa yang sama mendapat latihan dari ibu tirinya, Asiah, dan dari ibu kandungnya sendiri kerana dia juga dapat pulang ke rumah ibunya nanti. Dia juga ada kakak dan abang yang baik dan berilmu yang juga dapat memberi pengajaran kepadanya. Semua ini adalah dalam perancangan Allah.
Nota: ada pula ajaran sesat yang mengajar ayat ini adalah ‘ayat pengasih’. Kononnya apabila bersama dengan pasangan, maka baca ayat ini. Dan untuk disayangi masyarakat, baca 3 kali selepas solat.
Ayat ini bukanlah ayat pengasih. Tidak ada apa-apa makna dalam ayat ini yang mengandungi doa supaya orang kasih kepada kita. Kita telah baca maknanya, dan telah baca tafsirnya, tidak ada kena mengena dengan pengasih, bukan? Ia berkenaan orang kasih kepada Nabi Musa, bukannya kasih kepada kita.
Maka, ayat ini tidak menanggung kehendak pengamalnya. Ini macam nak tolak kereta, pakai pen. Apa kena mengena pen dengan tolak kereta? Katakanlah ada orang kereta dia tersadai, dia minta tolong kita tolak. Kita pun berlari ke rumah sebab nak ambil pen sebab nak tolak kereta. Tidakkah bodoh tindakan itu?
Ayat 40:
إِذ تَمشي أُختُكَ فَتَقولُ هَل أَدُلُّكُم عَلىٰ مَن يَكفُلُهُ ۖ فَرَجَعناكَ إِلىٰ أُمِّكَ كَي تَقَرَّ عَينُها وَلا تَحزَنَ ۚ وَقَتَلتَ نَفسًا فَنَجَّيناكَ مِنَ الغَمِّ وَفَتَنّاكَ فُتونًا ۚ فَلَبِثتَ سِنينَ في أَهلِ مَديَنَ ثُمَّ جِئتَ عَلىٰ قَدَرٍ يا موسىٰ
[And We favored you] when your sister went and said, ‘Shall I direct you to someone who will be responsible for him?’ So We restored you to your mother that she might be content and not grieve. And you killed someone, but We saved you from retaliation and tried you with a [severe] trial. And you remained [some] years among the people of Madyan. Then you came [here] at the decreed time, O Moses.
“Ketika saudara perempuanmu pergi mencarimu lalu berkata kepada orang-orang yang memungutmu:” Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada orang yang boleh memeliharanya?” Maka dengan jalan itu Kami mengembalikanmu kepada ibumu supaya tenang hatinya dan supaya dia tidak berdukacita kerana bercerai denganmu; dan semasa engkau membunuh seorang lelaki, lalu Kami selamatkan engkau dari kesusahan pembunuhan itu; dan Kami telah mendugamu dengan beberapa dugaan; kemudian engkau tinggal dengan selamat beberapa tahun dalam kalangan penduduk negeri Madyan; setelah itu engkau sekarang datang dari sana pada masa yang telah ditentukan, wahai Musa!
إِذْ تَمْشِي أُخْتُكَ
Ketika kakakmu terus berjalan;
Ibu Nabi Musa suruh kakak kepada Nabi Musa yang bernama Mariam untuk ikut tengok ke mana arah peti itu pergi. Dia sendiri tidak boleh ikut sebab takut nanti orang akan tahu yang itu adalah anaknya.
Kakaknya seorang yang alimah (berilmu). Kerana kakaknya mengikut peti itulah yang membolehkan dia tahu bahawa peti yang membawa Nabi Musa itu telah sampai ke tempat mandi isteri Firaun. Kisah ini tidak disebut dalam ayat ini tapi ada disebut dalam Surah Qasas. Kadang-kadang Allah tidak kisahkan sepenuhnya sebab ada dalam ayat-ayat yang lain. Seperti kalau dalam filem zaman sekarang, untuk tahu kisah penuh, kena tengok season-season yang lain.
فَتَقُولُ هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ مَنْ يَكْفُلُهُ
Maka dia berkata: “Mahukah, aku tunjukkan kepada kamu kepada orang yang boleh memeliharanya?”
Dengan taqdir Allah, Nabi Musa yang masih bayi tidak mahu minum air susuan orang lain. Waktu itu tidak ada susu lain lagi, kena cari susu manusia juga. Tapi mana-mana wanita yang datang untuk cuba menyusukan beliau, dia tidak mahu menyusu dengan mereka.
Mereka terpaksa mencari alternatif lain. Mariam telah pergi kepada mereka dan cadangkan ada ahli keluarganya yang boleh menolong. كْفُلُ bermaksud seseorang yang bertindak sebagai pengasuh. Apabila ibu Musa datang, dia terus mahu menyusu.
فَرَجَعْنَاكَ إِلَىٰ أُمِّكَ كَيْ تَقَرَّ عَيْنُهَا وَلَا تَحْزَنَ
Maka dengan jalan itu Kami mengembalikanmu kepada ibumu supaya tenang hatinya dan supaya ia tidak berdukacita
Ibu Musa mengambil peluang itu untuk membawa balik Nabi Musa kembali ke rumah. Sebab dia kata dia tinggal jauh, jadi dia kena bawa balik bayi itu untuk susukan di rumah dia sahaja. Untuk dapat cerita penuh kena rujuk surah Qassas.
Ibunya dibayar dengan banyak. Sudahlah dia dapat bawa balik anaknya, dia mendapat pulangan yang lumayan. Kerana tentunya Firaun memberikan bayaran yang lumayan kepadanya.
Allah menggunakan perkataan فَرَجَعْنَاكَ (Kami mengembalikanmu) dalam ayat ini. Apabila perkataan رَجَعْ digunakan, ianya untuk perjalanan yang telah pasti akan kembali. Seperti contoh, seseorang yang keluar rumah tapi dia telah pasti berapa hari dia akan bermusafir.
Dalam ayat ini kita boleh melihat cinta seorang ibu. Bagaimana sedih hatinya apabila terpaksa berpisah dengan anak kesayangannya. Allah menyenangkan kesusahan hati seorang ibu dalam ayat ini.
Sebenarnya, daripada ayat ini, ianya adalah nikmat kepada ibu Nabi Musa. Dengan dapat kembali anaknya, ibunya kembali bergembira. Padahal, sepatutnya sekarang Allah sedang menceritakan tentang nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada Nabi Musa, bukan ibunya. Ketika itu, Nabi Musa masih lagi di atas bukit Thur sedang berbicara dengan Allah. Ini bermaksud, kalau ibunya gembira, itu pun sebenarnya adalah nikmat yang diberikan kepada Nabi Musa juga. Allah sambung menceritakan nikmat yang telah diberikan kepadanya dalam ayat seterusnya.
Ayat ini juga mengajar kita bagaimana berhubungan dengan ibu bapa. Kita tahu bahawa seorang ibu itu akan suka kalau anaknya gembira. Tapi dalam masa yang sama, kebalikannya pun kena ada juga. Kita juga patut gembira kalau ibu kita gembira. Bukan hanya sebelah pihak sahaja. Kita pun kena sayang ibu bapa kita.
وَقَتَلْتَ نَفْسًا
dan semasa engkau membunuh satu jiwa,
Memang Nabi Musa ada membunuh seorang lelaki tapi kita kena hormat kepada Nabi Musa apabila mengisahkan bagaimana baginda telah membunuh itu. Sama macam kita suruh orang muda dan orang tua dalam melakukan sesuatu. Kena tambah bunuh ‘tanpa sengaja’ apabila menceritakan tentang kejadian bunuh itu. Kerana memang Nabi Musa tidak berniat membunuh lelaki Qibti itu.
Kisah kejadian itu tersebut dalam ayat Qasas:15. Musa sebenarnya berniat untuk menolong seorang lelaki dari Bani Israil kerana lelaki itu dari bangsanya. Lelaki dari Bani Israil itu sedang berkelahi dengan seorang lelaki Bangsa Qibti – bangsa Firaun. Nabi Musa sangka orang Qibti itu yang salah. Maka, terjadilah tolak menolak antara Nabi Musa dan lelaki itu. Nabi Musa terpukul lelaki itu sampai orang itu mati.
Dia tumbuk itu pun sekali sahaja kerana dia adalah lelaki yang kuat. Umurnya waktu itu dalam 18 tahun. Dia tahu itu adalah dari perbuatan syaitan dan dia rasa bersalah sangat. Allah telah beri pengalaman ini kepada Nabi Musa.
فَنَجَّيْنَاكَ مِنَ الْغَمِّ
lalu Kami selamatkan engkau dari kesusahan (pembunuhan itu);
Dalam ayat Qassas:18, lelaki yang sama dari Bani Israil telah mengadu lagi kepada Musa. Maknanya, dia yang buat hal sebenarnya. Dia sudah mula bergerak hendak pukul lelaki itu tapi lelaki itu kata adakah Musa hendak bunuh dia macam Musa bunuh lelaki semalam?
Kali ini ramai orang dengar. Tak macam semalam – kerana semalam kejadian itu berlaku semasa orang tidak ada, jadi tidak ada orang lain yang tahu bahawa Musa lah yang telah membunuh lelaki Qibti itu. Jadi, sekarang, sudah ada orang lain yang dengar perkataan lelaki dari Bani Israil itu dan berita itu telah merebak. Sampaikan berita itu telah sampai kepada Firaun.
Firaun hendak menangkap dan menghukum Nabi Musa walaupun dia anak tiri dia. Sebab semua orang tahu dia adalah dari Bani Israil. Firaun pun memang mencari peluang sahaja untuk membunuh Nabi Musa. Kepadanya, kalau tidak dilakukan begitu, nanti Bani Israil tak dapat dikawal lagi. Dia takut nanti Bani Israil akan naik muka dan sangka mereka boleh bunuh orang Qibti tanpa hukuman.
Maka baginda terpaksa melarikan diri seperti yang disebut dalam ayat ke 20 Surah Qasas itu. Allah telah melepaskan Nabi Musa dari ditangkap oleh Bangsa Qibti dan baginda telah selamat melarikan diri. Ini kerana ada lelaki dari bangsa Qibti yang tahu tentang perancangan Firaun, maka dia telah nasihat Nabi Musa untuk segera melarikan diri.
وَفَتَنَّاكَ فُتُونًا
dan Kami telah mencubamu dengan beberapa cubaan;
Makna فُتُونً adalah jamak kepada perkataan ‘fitnah’ yang bermaksud ‘ujian’ dalam Arab klasik. Bukanlah maksudnya seperti maksud fitnah mengata orang yang kita selalu faham itu (itu sepatutnya digunakan kalimah tohmah).
Kalimah فُتُونًا bermaksud ‘fitnah yang banyak’ – ujian yang banyak. Murid Ibn Abbas pernah bertanya Ibn Abbas apakah fitnah yang dimaksudkan? Ibn Abbas jawab:
– Nabi Musa lahir pada masa Firaun sedang membunuh semua anak-anak lelaki. Itu adalah ujian.
– Ibunya terpaksa memasukkannya ke dalam peti dan dihanyutkan ke laut. Itu adalah ujian.
– Apabila Firaun mula-mula mengambilnya sebagai anak angkat, Firaun berniat untuk membunuhnya. Itu adalah ujian.
– Apabila bagina membunuh orang lain tanpa sengaja, itu pun ujian juga. Kerana disebabkan kejadian itu, baginda telah mengalami trauma. Kita kena ingat bahawa Nabi Musa adalah seorang yang baik. Jadi, dia telah rasa bersalah sangat apabila ianya berlaku.
– Apabila dia kena berkhidmat selama 10 tahun dengan Nabi Syuaib. Itu adalah ujian.
– Dalam perjalanannya untuk pulang ke Mesir dengan keluarganya, mereka telah sesat jalan. Itu adalah ujian.
– Dan banyak lagi ujian-ujian lain yang tidak disebut dalam ayat-ayat Qur’an.
Semuanya yang terjadi itu adalah untuk menyediakan Nabi Musa untuk menjadi Nabi. Ini kerana apabila kita telah banyak kena ujian dan melepasi segala ujian itu, semangat kita lain dari orang lain yang hidup tanpa ujian. Bayangkan sekarang Nabi Musa sedang diberi kursus motivasi untuk menaikkan semangat baginda.
Begitu juga perjalanan Nabi Muhammad sebelum baginda menjadi Nabi. Contohnya, keluarga Nabi Muhammad banyak yang meninggal. Maka, baginda telah melalui masa-masa yang susah juga. Itu pun sebagai ujian untuk menyediakan Nabi Muhammad menjadi Rasul.
فَلَبِثْتَ سِنِينَ فِي أَهْلِ مَدْيَنَ
kemudian engkau tinggal dengan selamat beberapa tahun dalam kalangan penduduk negeri Madyan;
Kisah bagaimana kejadian baginda telah bermusafir hingga sampai ke negeri Madyan dan bagaimana baginda tinggal di sana ada disebut dalam ayat Qasas 23-27. Waktu itu, baginda tinggal dengan keluarga Nabi Syuaib (atau pendapat lain mengatakan bukan Nabi Syuaib).
Oleh itu, dari situ kita dapat tahu bahawa baginda telah mendapat pendidikan agama dari seorang Nabi yang juga bapa mertuanya (jika benar itu adalah Nabi Syuaib).
ثُمَّ جِئْتَ عَلَىٰ قَدَرٍ يَا مُوسَىٰ
setelah itu engkau sekarang engkau pada masa yang telah ditentukan, wahai Musa!
Perkataan ثُمَّ yang digunakan dalam ayat ini, bermaksud Nabi Musa telah tinggal di Madyan untuk masa yang lama – selama 8 tahun atau 10 tahun. Selama itu dia dilatih oleh Nabi Syuaib. Sekarang baginda sudah berumur 40 tahun dan sudah bersedia menerima tugas dari Allah sebagai Nabi.
Perkataan قَدَرٍ yang digunakan dalam ayat ini bermaksud ‘tepat pada waktu dan tempatnya’. Maknanya, Nabi Musa datang ke Thuwa itu adalah tepat pada masanya. Ianya adalah tepat kerana semua ini adalah dalam perancangan Allah. Setiap perincian perjalanan hidup Nabi Musa telah disusun oleh Allah supaya akan sampai ke tempat itu supaya baginda menjalankan tugas baginda untuk menyampaikan dakwah kepada Firaun.
Ayat 41:
وَاصطَنَعتُكَ لِنَفسِي
And I produced you for Myself.
“Dan Aku telah memilihmu untuk menjadi RasulKu.
وَاصْطَنَعْتُكَ
Dan Aku telah memilihmu
Allah telah memilih Nabi Musa kerana ada kelebihan pada baginda. Ini adalah keputusan Allah dan keputusan Allah pasti tepat.
لِنَفْسِي
untuk DiriKu;
Maksud untuk Allah bermakna: untuk menjadi Rasul Allah. Kalimah لِنَفْسِي (Untuk DiriKu) bermaksud Allah berfirman yang Nabi Musa telah dilatih untuk Dirinya. Itu adalah satu penghargaan yang amat besar.
Ini adalah satu ayat yang hebat. Inilah satu perakuan dari Allah bahawa Nabi Musa adalah salah seorang dari RasulNya. Maknanya Nabi Musa telah dilatih sampai baginda sudah siap untuk berkhidmat kepada Allah.
Sekarang tugas Nabi Musa adalah berkhidmat untuk Allah. Satu nikmat yang paling besar dalam hidup kita adalah apabila kita tahu apakah tujuan hidup kita. Adakah kita tahu apakah tugas kita di dunia ini?
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 24 Jun 2019
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
One thought on “Tafsir Surah Taha Ayat 38 – 41 (Ujian-ujian kepada Nabi Musa)”