Tafsir Surah Taha Ayat 42 – 51 (Apa jadi dengan tok nenek kita?)

Ayat 42:

اذهَب أَنتَ وَأَخوكَ بِآياتي وَلا تَنِيا في ذِكرِي

Sahih International

Go, you and your brother, with My signs and do not slacken in My remembrance.

Malay

“Pergilah, engkau dan saudaramu, membawa mukjizat-mukjizat pengurniaanKu dan janganlah kamu berdua lemah dan cuai dalam menyebut serta mengingati Daku.

اذْهَبْ أَنتَ وَأَخُوكَ

Pergilah, engkau dan saudaramu,

Kalau sebelum ini arahan dalam ayat 24 hanya kepada Nabi Musa sahaja, sekarang arahan itu diberikan kepada Nabi Musa dan Nabi Harun. Arahan ini selepas pelantikan Nabi Harun menjadi Nabi.

بِآيَاتِي

membawa mukjizat-mukjizat pengurniaanKu

Jangan mereka berdua pergi sendiri-sendiri tapi pergilah dengan membawa ajaran Allah. Dengan membawa segala apa yang telah disampaikan oleh Allah termasuk mukjizat yang diberikan oleh Allah. Iaitu dengan hujah-hujah termasuk bukti-bukti dari Allah.

وَلَا تَنِيَا

dan janganlah kamu berdua lemah dan cuai;

Kalimah تَنِيَا bermaksud ‘kamu berdua lalai dan malas’. Ia dari katadasar و ن ي yang bermaksud cuai dari melakukan tanggungjawab, lalai, penat.

فِي ذِكْرِي

dalam menyebut serta mengingati Daku.

Zikr adalah amalan yang amat penting bagi para pendakwah. Ianya adalah seperti minyak kepada kepada pekerja-pekerja dakwah. Kerana tugas dakwah amat memenatkan, dan kalau kita tidak berzikir kita akan jadi kepenatan dan lemah.

Sebelum ini, Nabi Musa telah berkata yang baginda dan Nabi Harun akan banyak berzikir kepada Allah. Maka dalam ayat ini, Allah mengingatkan baginda supaya jangan lupa janji itu.


Ayat 43:

اذهَبا إِلىٰ فِرعَونَ إِنَّهُ طَغىٰ

Sahih International

Go, both of you, to Pharaoh. Indeed, he has transgressed.

Malay

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya.

اذْهَبَا إِلَىٰ فِرْعَوْنَ

Pergilah kamu berdua kepada Firaun,

Kali ini kalimah اذْهَبَا yang digunakan – Kali ini Allah suruh mereka berdua pergi sendiri (bandingkan dengan ayat 24). Sebelum ini Allah hanya suruh Nabi Musa sahaja. Tapi selepas Nabi Musa memohon supaya dilantik juga Harun sebagai Nabi, maka Allah sekarang mengulangi perintah yang sama, tapi kali ini dimasukkan sekali Nabi Harun.

Dalam surah-surah lain, ada juga disebutkan kisah Nabi Musa ini bertemu dengan Firaun. Tapi, dalam surah-surah itu, tidak disebutkan sangat tentang Nabi Harun. Tapi dalam surah Taha ini, banyak sekali disebutkan kewujudan Nabi Harun. Jadi, surah ini juga adalah sebagai satu surah berkenaan Nabi Harun juga.

Ada peningkatan dalam arahan Allah.
– pertamanya hanya kepada Musa sahaja. Ini kita boleh lihat dalam ayat 24
– kedua, disuruh Musa secara langsung dan ditambah Harun dalam ayat ke 42. Tapi tentunya Harun memerlukan masa untuk bersedia selepas baginda dilantik. Baginda juga perlu melalui latihan untuk membolehkan baginda membantu adiknya Nabi Musa.
– ayat ke 43 ini barulah mereka berdua disuruh serentak pergi menemui Firaun.

إِنَّهُ طَغَىٰ

sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufurannya.

Firaun telah melampaui batas kerana dia telah melakukan syirik kepada Allah. Dia sampai mengaku dialah tuhan yang tinggi bagi penduduk Mesir.

Tapi mesej yang diberikan kali ini masih sama. Iaitu mereka diarahkan untuk pergi berjumpa dan dakwah kepada Firaun. Ini menunjukkan pentingnya untuk mengulang tujuan misi. Ini dinamakan proses Istikhlas – fokus. Mengingatkan diri kita kenapa kita buat sesuatu. Kita perlu buat proses ini sebelum buat dan selepas buat.

Contohnya, sebelum kita pergi berdakwah, kita perlu ingatkan diri kita kenapa kita pergi berdakwah. Dan kemudian, kita kena ingatkan lagi kepada diri kita dari masa ke semasa supaya kita tidak hilang fokus. Kerana kadangkala apabila kita sudah mula dakwah dan mendapat tentangan, kita jadi kucar kacir dan mula datang marah dalam diri kita. Maka pada waktu itu kena ingatkan balik diri kita yang kita ada tanggungjawab dari Allah.


Ayat 44:

فَقولا لَهُ قَولًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَو يَخشىٰ

Sahih International

And speak to him with gentle speech that perhaps he may be reminded or fear [ Allah ].”

Malay

“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”.

فَقُولَا لَهُ

“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya,

Kalimah فَقُولَا bermaksud Allah bercakap dengan mereka berdua – Nabi Musa dan Nabi Harun. Ini adalah penghormatan kepada Nabi Harun juga. Tapi tidaklah baginda bercakap secara terus dengan Allah.

قَوْلًا لَّيِّنًا

dengan kata-kata yang lemah-lembut,

Perkataan لَّيِّنًا bermaksud: berterusan dalam kelembutan itu. Bukan hanya dari mula sahaja. Kita ada juga dalam menasihati orang lain, mula-mula memang cakap dengan lembut, tapi lama-lama sudah naik suara. Tidak begitu apabila perkataan لَّيِّنًا digunakan. Ianya bermaksud, dari mula cakap dengan lembut, sampai ke akhir pun cakap dengan lembut juga.

Selepas Allah suruh berdakwah, Allah ajar macam mana cara berdakwah. Dakwah itu hendaklah dilakukan dengan kata-kata yang lemah lembut. Itulah cara yang kita kena pakai. Perkataan لَّيِّنًا selalu digunakan dalam bahasa Arab untuk menceritakan sifat sutera yang bersifat lembut. Dari segi bahasa, ianya bermaksud ‘berterusan berlembut’.

Dalam kita berdakwah, jangan kita bercakap dengan kasar dan merendahkan orang lain. Surah Fussilat mengandungi tata-cara berdakwah lebih-lebih lagi apabila kita orang Islam yang minoriti di dalam sesuatu tempat. Kerana surah itu diturunkan di Mekah semasa Islam adalah umat yang minoriti.

Allah mengajar kita bersifat rahmah kepada orang-orang lain. Banyak sekali ditunjukkan dalam Qur’an dan ajaran Nabi Muhammad bagaimana cara dakwah. Lihatlah dalam sunnah bagaimana Nabi Muhammad melayan orang lain yang tidak tahu. Amat lembut sekali baginda dengan para sahabat. Malah kepada orang kafir pun.

Ada satu kisah bagaimana seorang Badwi telah masuk ke dalam masjid dan telah kencing dalam Masjid Nabi sebab dia tidak tahu adab kerana dia baru masuk Islam. Para sahabat ada yang sudah mahu menangkap dan memukulnya, tapi Nabi larang. Nabi suruh basuh bekas kencing itu dan kemudiannya Nabi telah mengajar lelaki dengan cara lembut tentang adab-adab dalam masjid.

Bagaimanakah cara yang sepatutnya kita bercakap dengan manusia? Jangan kita kasar dengan orang lain. Islam tidak mengajar begitu. Nabi tidak pernah menunjuk dengan jarinya. Kalau dia perlu menunjuk, dia akan tunjuk dengan tangannya. Sebab itulah penting untuk kita mengetahui bagaimana cara hidup Nabi Muhammad. Orang dulu akan memulakan mengajar cara hidup Nabi.

Islam juga mengajar kita untuk berkata yang benar walaupun menentang kita sendiri. Itulah iman.

Pernah ada kisah bagaimana seorang ulama memarahi seorang raja. Dia nampak raja itu hidup bermewah dan dia telah menegur raja itu dengan cara yang kasar. Raja itu kata walau bagaimana teruknya pun dia, dia tidak lebih teruk dari Firaun. Dan sebaik mana pun ulama itu, dia tidak lebih baik dari Musa. Kerana Musa disuruh untuk pergi kepada Firaun dan Allah suruh bercakap dengan lemah lembut. Bayangkan, kepada Firaun yang zalim itu pun Allah suruh Nabi Musa dan Nabi Harun berlembut lagi, apatah lagi dengan orang lain yang tentunya tidak seteruk Firaun.

Mereka yang merendahkan diri kerana Allah, Allah akan meningkat darjat mereka. Kalau sombong, Allah akan merendahkan mereka.

Apakah yang ada dalam hati kita apabila kita berdakwah kepada manusia? Sudah semestinya niat yang mulia. Kerana kalau dalam hati kita akan perasaan tidak elok, tidak kira apakah yang kita sampaikan itu, ia akan memburukkan lagi keadaan.

Tapi kalau ada rahmah dalam hati kita, cinta kepada manusia, maka kalau hujah kita pun tidak kuat, kebaikan itu akan merebak. Kadangkala silap kita, kita melebihkan kepandaian berkata dan hujah yang kuat, tapi yang paling kuat adalah perasaan sayang kepada manusia. Manusia akan dapat merasai perasaan kita. Walaupun kita tidak cakap. Ini dinamakan ‘bahasa badan’.

Syaitan sentiasa sahaja menggalakkan permusuhan di kalangan manusia. Dan salah satu cara adalah dengan menghasut manusia untuk menggunakan kata-kata yang tidak baik, buruk dan menyakitkan hati.

Maka Qur’an banyak mengajar kita cara-cara berkomunikasi. Antaranya di dalam ayat ini. Dan ada dalam ayat-ayat yang lain juga:

a. Qawlan Ma’roofan: seperti yang disebut dalam Nisa:5. Ia bermaksud apabila bercakap, gunakan kata-kata yang senang difahami. Jangan cakap berbelit-belit sampai orang pun tidak faham.

b. Qawlan Sadeedan: seperti yang disebut dalam dalam ayat Nisa:9. bermaksud ucapan baik yang menepati syariat. Sila gunakan percakapan yang jelas, jangan samar-samar. Cakaplah dengan jelas dan tepat dan jangan sorok perkara yang kita tahu.

c. Qawlan Baleeghan: seperti yang disebut dalam ayat Nisa:63. Ia bermaksud kata-kata nasihat yang memberi kesan. Nasihatilah manusia biar sampai nasihat itu sampai ke dalam hati mereka. Bercakaplah dengan baik supaya nasihat itu memberi bekas pada jiwa.

d. Qawlan Kareeman: seperti yang disebut dalam Isra’:23. Memang boleh menegur hendaklah dengan menggunakan kalimah yang sesuai. Isra’:23 adalah tentang berkomunikasi kepada ibubapa. Kalau mereka salah, memang boleh tegur tapi kena pakai kalimah yang sesuai. Terutama apabila hendak menegur orang tua memang kena dengan caranya. Bercakaplah dengan mereka dan dengan orang lain pun dengan adab.

e. Qawlan Maisooran: seperti yang disebut dalam Isra’:28. Menggunakan ucapan yang lembut. Ayat Isra’:28 ini memberi contoh apabila tidak dapat memberi infak kepada orang yang meminta. Kita mahu membantu tapi waktu itu tak mampu nak membantu. Maka kita jelaskan kepada mereka kenapa kita tidak dapat membantu pada waktu itu. Gunakan penjelasan yang mudah difahami dan jangan berbelit-belit. Waktu itu yang meminta itu memang sedang mengharap dan kalau kita berbelit kata, mereka akan tambah seksa.

f. Qawlan Layyinan: seperti yang disebut dalam Taha:44 ini. Maksudnya bercakap dengan lemah lembut. Memang ini bukan mudah untuk dilakukan terutama kepada mereka yang telah melakukan kesalahan. Akan tetapi kita kena cuba kerana ayat Taha:44 ini adalah arahan Allah kepada Nabi Musa untuk bercakap dengan lembut kepada Firaun dalam berdakwah. Kalau dengan Firaun pun kena bercakap lembut, apatah lagi dengan orang lain.

لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ

semoga dia beringat

Allah suruh dakwah supaya ingatkan Firaun. Kenapa pula ‘ingatkan’? Kerana kita semua telah mengenal Allah semasa kita di alam roh. Semua manusia ada fitrah kepada Islam cuma apabila kita lahir, maka kebanyakan dari kita lupa siapa diri kita.

Mungkin dia akan ingat kalau kita beri peringatan kepadanya. Atau dia ingat segala nikmat yang dia telah dapat dan siapakah yang telah memberikan nikmat itu.

أَوْ يَخْشَىٰ

atau takut.

Mungkin dengan peringatan yang diberikan kepada Firaun, dia akan takut kepada seksaan yang dia akan terima.

Kalau bercakap dengan lemah lembut, ada kemungkinan Firaun akan terima. Kerana itulah misi mereka dihantar. Yang penting adalah memenuhi arahan yang telah diberikan kepada mereka. Kalau mereka bercakap dengan lembut, ada lagi harapan untuk Firaun menerima dakwah mereka. Tapi kalau mereka bercakap dengan kasar, memang sudah tidak ada harapan langsung.

Ayat ini mengajar kita untuk melihat kepada ‘kemungkinan’. Ada kemungkinan yang Firaun itu boleh menerima dakwah itu. Sebenarnya, Allah sudah tahu bahawa Firaun tidak akan beriman sampai bila-bila. Tapi Nabi Musa dan Nabi Harun tidak tahu (mereka tidak tahu ilmu ghaib).

Oleh kerana mereka tidak tahu, maka mereka kena berusaha berdakwah juga. Macam kita juga, kita tidak tahu sama ada orang yang kita hendak dakwah itu mahu terima atau tidak. Kita tidak boleh membuat keputusan yang dia tidak akan terima. Itu tidak adil kalau kita dari awal sudah menghukum. Maka kita kena cuba dulu.

Syaitan suka kalau kita rasa kita lebih baik dari orang lain. Contohnya, kita memang suka berdakwah, tapi tak ramai yang suka mendengar nasihat orang lain. Kita asyik nak komen kata-kata orang lain sahaja. Kita sekarang sebenarnya kekurangan tarbiah untuk diri kita. Kita senang untuk menasihati orang lain tapi susah kita hendak menerima nasihat dari orang lain.


Ayat 45: Mereka berdua menceritakan kerisauan mereka untuk bertemu dengan Firaun. Kerana mereka memang kenal sangat siapakah Firaun itu. Dia adalah seorang yang amat kejam.

Adalah normal untuk manusia rasa risau. Kita kena ingat bahawa mereka berdua adalah manusia juga. Apabila ada perasaan seperti itu, kita kena mengadu kepada Allah. Seperti apa yang dibuat oleh Nabi Musa dan Harun ini.

قالا رَبَّنا إِنَّنا نَخافُ أَن يَفرُطَ عَلَينا أَو أَن يَطغىٰ

Sahih International

They said, “Our Lord, indeed we are afraid that he will hasten [punishment] against us or that he will transgress.”

Malay

Mereka berdua berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami takut bahawa dia akan segera menyeksa kami, atau dia akan melampau batas”.

قالا رَبَّنا

Mereka berdua berkata: Wahai Tuhan kami!

Kali ini mereka berdua (Musa dan Harun) yang berkata dan mengadu kepada Allah.

إِنَّنَا نَخَافُ

Sesungguhnya kami takut;

Mereka mengaku dan mengadu yang mereka takut hendak mengadap Firaun kerana mereka manusia biasa juga. Mereka juga sudah kenal dengan Firaun yang memang melampau dalam perbuatannya. Jadi tidak salah perasaan takut mereka ini.

أَن يَفْرُطَ عَلَيْنَا

Firaun akan menyeksa kami;

Mereka takut mereka terus kena tangkap dan terus diseksa. Kalimah يَفْرُطَ bermaksud menyerang seseorang. Ia dari kalimah ف ر ط yang bermaksud berlebihan, bertindak dengan kelam kabut dan tidak adil.

Maksudnya mereka takut Firaun belum apa-apa lagi sudah serang mereka berdua. Mereka takut mereka tidak sempat nak cakap apa pun sudah kena serang, kena tangkap dan diseksa. Berkemungkinan besar mereka tidak diberi peluang berkata-kata pun. Itu yang mereka takut.

أَوْ أَن يَطْغَىٰ

atau dia akan melampau batas;

Mereka takut Firaun akan buat macam-macam perkara yang amat melampau batas-batas kemanusiaan.

Kalimah يَطْغَىٰ bermaksud melampau batas. Sebab mereka tahu yang Firaun akan jadi marah sebab mereka berani menasihati dia, jadi dia akan buat lebih teruk lagi. Kadang-kadang kalau kita tegur orang, mereka akan buat lagi teruk lagi sebab mereka nak melawan.

Sebagai contoh, mereka akan nasihat Firaun supaya jangan seksa Bani Israil. Mereka takut kerana marah, Firaun akan seksa lagi teruk dari yang sebelumnya dia lakukan.


Ayat 46:

قالَ لا تَخافا ۖ إِنَّني مَعَكُما أَسمَعُ وَأَرىٰ

Sahih International

[ Allah ] said, “Fear not. Indeed, I am with you both; I hear and I see.

Malay

Allah berfirman: “Janganlah kamu takut, sesungguhnya Aku ada bersama-sama kamu; Aku mendengar dan melihat segala-galanya.

قَالَ لَا تَخَافَا

Allah berfirman: “Janganlah kamu berdua takut,

Allah memujuk dan menenangkan mereka berdua supaya jangan rasa takut apa-apa pun. Jangan takut apa? Allah tak sebut ketakutan apakah yang dimaksudkan. Allah cuma cakap ‘jangan takut’.

Maknanya, tidak apa yang perlu ditakuti. Mungkin ada bermacam-macam perkara yang mereka takuti. Allah nak kata, jangan takut langsung.

إِنَّنِي مَعَكُمَا

sesungguhnya Aku ada bersama-sama kamu berdua;

Sebab apa mereka tidak perlu takut? Allah beritahu kenapa mereka tidak perlu takut. “Sebab ‘Aku’ إِنَّنِي – ada penekanan di situ – bersama kamu berdua”.

Allah mengajar tentang dakwah dalam ayat ini. Jangan rasa berseorangan semasa berdakwah. Ingatlah bahawa ayat ini diturunkan semasa Nabi sedang berdakwah di pertengahan masa baginda di Mekah. Dalam keadaan yang meruncingkan kerana mereka waktu itu dalam keadaan yang amat lemah.

Allah nak beri isyarat bahawa apabila pendakwah bekerja di jalan Allah, mereka tidak berseorangan. Allah ada bersama kita dalam kita sedang berdakwah. Kalau kita mengamalkan Islam sendiri-sendiri, ingatlah juga bahawa Allah ada bersama kita dan menjaga kita. Tidak perlu ada rasa takut.

Begitu juga, kalau ada orang yang berdakwah kepada kita, kenalah ingat bahawa orang itu bersama dengan Allah. Jangan kita lihat kepada apa yang dia kata itu. Mungkin cara dia kata tidak kuat, tapi dia itu datang bersama Allah.

Apabila kita berdakwah, ingatlah bahawa kita sebenarnya sedang mewakili Allah. Maka, kita kenalah berhati-hati dengan apa yang kita cakapkan. Jangan kita menipu atas nama Allah. Kalau Allah tak pernah ajar sesuatu perkara itu, jangan kita kata itu adalah sesuatu dari ajaran Islam.

Allah memberitahu kepada mereka berdua bahawa ubun-ubun Firaun berada dalam genggamanNya, sehingga dia tidak berbicara, bernafas dan menyentuh kecuali dengan izinNya. Allah akan memberi perlindungan dan pertolongan kepada mereka.

أَسْمَعُ

Aku mendengar;

Allah kata Dia Mendengar, dan terus mendengar sama ada apa yang Firaun dan kuncu-kuncunya cakap atau apa yang ada dalam hati mereka. Kerana Allah Maha Mendengar. Allah juga hendak memberitahu bahawa Dia juga mendengar apa yang Nabi Musa dan Nabi Harun katakan kepada mereka.

وَأَرَىٰ

dan Aku melihat segala-galanya;

Aku melihat mereka berdua dan Allah juga melihat mereka. Dan Dia melihat dan terus melihat.

Allah tidak sebut mendengar ‘apa’. Bermakna, Allah meluaskan maknanya dan tidak terhad kepada percakapan mereka sahaja. Allah mendengar dan melihat apa yang mereka kata. Mereka sedang diperhatikan. Maka, jangan mereka kurangkan apa yang patut mereka buat. Mereka kena berhati-hati kerana Allah sedang melihat. Allah juga nak kata bahawa Dia mendengar dan melihat juga perbuatan mereka. Allah memerhatikan segala-segalanya.

Allah sebut ‘dengar’ dulu sebelum ‘lihat’. Kerana kalau mendengar, bermakna, dekat benar. Kerana kalau lihat sahaja, itu mungkin dari jauh sahaja. Tapi Allah nak kata bahawa Dia dekat dengan mereka. Itulah sebabnya dimulakan kata bahawa Dia mendengar dulu.

Potongan ayat ini menjelaskan apa maksud Allah ‘bersama’ mereka. Tidaklah Allah bersama duduk di sebelah mereka pula. Tidaklah Allah turun dari langit dan menemani mereka. Maka ini mengajar kita bab akidah. Apabila Allah kata Dia bersama, Dia bersama dari segi ilmu. Allah tetap berada di Arash tapi apa yang terjadi di bumi ini, Allah tahu.


Ayat 47:

فَأتِياهُ فَقولا إِنّا رَسولا رَبِّكَ فَأَرسِل مَعَنا بَني إِسرائيلَ وَلا تُعَذِّبهُم ۖ قَد جِئناكَ بِآيَةٍ مِن رَبِّكَ ۖ وَالسَّلامُ عَلىٰ مَنِ اتَّبَعَ الهُدىٰ

Sahih International

So go to him and say, ‘Indeed, we are messengers of your Lord, so send with us the Children of Israel and do not torment them. We have come to you with a sign from your Lord. And peace will be upon he who follows the guidance.

Malay

“Oleh itu, pergilah kamu berdua kepadanya, kemudian katakanlah: “Bahawa sesungguhnya kami ini Rasul-rasul dari Tuhanmu, maka bebaskanlah kaum Bani lsrail mengikut kami, dan janganlah engkau menyeksa mereka. Sesungguhnya kami telah datang kepadamu membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhanmu! Dan selamat sejahtera itu adalah untuk orang-orang yang menurut petunjuk ugama Allah.

فَأْتِيَاهُ

Oleh itu, pergilah kamu berdua kepadanya; 

Iaitu kepada Firaun. Ini adalah arahan lagi dari Allah selepas menenangkan mereka dari rasa takut mereka.

فَقُولَا إِنَّا رَسُولَا رَبِّكَ

Maka katakanlah: “Bahawa sesungguhnya kami ini Rasul-rasul dari Tuhanmu;

Allah mengajar bagaimana cara mereka berdua kena berdakwah. Mereka kena memperkenalkan diri mereka sebagai Rasul kepada Firaun. Ini adalah sebagai pengakuan Allah terhadap mereka. Supaya Firaun jangan lihat mereka berdua itu datang dari bangsa yang diperhambakan sahaja. Tapi hendaklah Firaun tahu bahawa mereka itu adalah Rasul yang membawa risalah dari Tuhan.

Rasul adalah yang membawa risalah baru, bawa syariat baru. Seorang yang berpangkat Nabi tidak membawa syariat baru. Banyak ulama mufassir mengatakan bahawa Nabi Musa adalah Rasul dan Harun adalah Nabi sahaja kerana Nabi Harun tidak membawa syariat baru.

Tapi dalam ayat ini, disebutkan bahawa mereka berdua adalah ‘Rasul’. Ini adalah dari segi bahasa. Seperti juga, dalam bahasa Arab, apabila disebut ‘Umarain‘, ia merujuk kepada Abu Bakar dan Umar. Dan apabila disebut ‘Hasanain‘, ia merujuk kepada Hasan dan Husain. Ini adalah dalam penggunaan bahasa Arab. Jadi bukanlah ayat ini menjadi dalil yang Harun juga seorang ‘Rasul’.

Itu adalah arahan kepada Nabi Musa dan Harun. Tapi kita bukan Nabi. Maka, apabila kita berdakwah, kita tidak boleh kata kita penerima wahyu kerana kita bukan Nabi. Tapi kita boleh kata kita adalah mereka yang telah belajar wahyu Allah. Oleh itu, kalau orang yang tak belajar, kenalah belajar dengan kita. Kerana mereka belum belajar dan kita telah belajar.

Mereka tak kata ‘Tuhan kami’, tapi mereka gunakan perkataan ‘Tuhan kamu’. “Sama ada kau terima atau tidak wahai Firaun, Allah adalah Tuhan kamu juga. Segala apa yang kamu ada sekarang ini adalah dari Allah. Tuhan kamu kenal kamu. Dan sekarang Dia telah hantar dua orang Rasul untuk bertemu dengan kamu.”

Dalam ayat ini, Allah menggunakan perkataan رَسُولَا, dua orang Rasul. Tapi dalam ayat lain, digunakan perkataan lain: ada kata membayangkan seorang sahaja: رَسُولَ. Ini adalah kerana Qur’an mengikut jalan cerita yang hendak dibawa. Ini menunjukkan ketepatan perkataan yang digunakan dalam Qur’an. Dalam surah Taha ini, ada disebut tentang Nabi Harun, tapi dalam ayat-ayat lain tidak disebut kerana itu hanya merujuk kepada maklumat ringkas tentang kejadian berjumpa dengan Firaun.

فَأَرْسِلْ مَعَنَا بَنِي إِسْرَائِيلَ

maka bebaskanlah kaum Bani lsrail mengikut kami,

Salah satu tugas mereka adalah menyelamatkan Bani Israil. Sebahagian dari Bani Israil masih percaya kepada Allah walaupun mereka sudah lama tiada Nabi. Walaupun tidak semua Bani Israil beriman, tapi tugas mereka adalah membawa keseluruhan Bani Israil bersama mereka.

وَلَا تُعَذِّبْهُمْ

dan janganlah engkau menyeksa mereka;

Firaun disuruh jangan jadikan Bani Israil sebagai hamba abdi lagi. Bebaskan mereka dan jangan terus seksa mereka lagi.

Dalam surah lain, ada disebut bahawa Nabi Musa telah mengatakan tentang Tuhan kepada Firaun. Jadi, semua Nabi-Nabi akan memberitahu tentang tuhan dulu kepada kaum-kaum mereka. Jangan beritahu tentang perkara lain. Yang penting adalah percaya kepada Allah dahulu.

قَدْ جِئْنَاكَ بِآيَةٍ مِّن رَّبِّكَ

Sesungguhnya kami telah datang kepadamu membawa tanda (mukjizat) dari Tuhanmu!

Mukjizat yang telah ditunjukkan kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya adalah tangan Nabi Musa yang bercahaya dan tongkatnya yang boleh bertukar menjadi ular. Tujuan mukjizat diberikan kepada para Nabi adalah untuk menguatkan hujah mereka.

Mereka kena buktikan mereka Nabi dan bukti itu adalah dengan menunjukkan mukjizat. Ini adalah kerana mereka berhadapan dengan orang yang amat degil dan kerana itu mereka diberikan dengan mukjizat.

وَالسَّلَامُ عَلَىٰ مَنِ اتَّبَعَ الْهُدَىٰ

Dan selamat sejahtera untuk orang-orang yang menurut petunjuk.

Selamat sejahtera itu hanya kepada yang mengikut hidayah. Firaun diingatkan yang dia boleh jadi begitu juga kalau dia mahu mengikut dakwah Nabi Musa itu.

Ayat itu terbuka: kepada mereka yang mengikut hidayah – sesiapa sahaja. Kalau tak ikut, tak dapat janji yang diberikan Allah ini. Lihatlah bagaimana mereka tidaklah membodek Firaun dengan mengatakan Firaun akan selamat. Mereka kata kalau ikut hidayah sahaja yang akan selamat. Yang salah, mereka tetap akan kata salah.

Beginilah juga dakwah Nabi Muhammad seperti terkandung dalam surat yang diberikan kepada Heraclius, pembesar Rom:

Bismillahi rahmani rahiim. Dari Muhammad, Rasul Allah, kepada Heraclius, pembesar Rom. Keselamatan bagi orang yang mengikut petunjuk. Amma ba’du. Sesungguhnya aku mengajak kamu untuk mendukung Islam. Oleh kerana itu, masuklah Islam, nescaya kamu akan selamat. Dan Allah akan memberimu pahala dua kali lipat.


Ayat 48: Inilah dakwah pertama kepada Firaun apabila mereka pertama kali berjumpa dengan Firaun. Ayat 48 – 79 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia menceritakan tentang dakwah Nabi Musa kepada Firaun. Kita akan lihat dalam perenggan ini walaupun Firaun membantah tetapi pasukan ahli sihir Firaun bertaubat dan beriman dengan Allah. Akhirnya Bani Israil terselamat daripada kezaliman Firaun. Firaun dan pasukannya tenggelam di dalam laut.

إِنّا قَد أوحِيَ إِلَينا أَنَّ العَذابَ عَلىٰ مَن كَذَّبَ وَتَوَلّىٰ

Sahih International

Indeed, it has been revealed to us that the punishment will be upon whoever denies and turns away.’ ”

Malay

“Sesungguhnya telah diwahyukan kepada kami bahawa azab seksa (di dunia dan di akhirat) ditimpakan kepada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan berpaling daripadanya”.

إِنَّا قَدْ أُوحِيَ إِلَيْنَا

Sesungguhnya telah diwahyukan kepada kami

Lihatlah cara menyampaikan dakwah. Mereka tak kata mesej itu dari mereka tapi dari Allah. Itu adalah tanda merendah diri. Oleh itu, apabila kita berdakwah, hendaklah kita membawakan ayat-ayat Qur’an dan Hadis Nabi. Jangan kata maklumat itu dari kita, tapi ia dari Allah.

أَنَّ الْعَذَابَ عَلَىٰ مَن كَذَّبَ

bahawa sesungguhnya azab seksa ditimpakan kepada orang yang mendustakan”.

Kalau menipu dalam agama, maka akan mendapat seksa yang keras. Ini adalah balasan kepada mereka yang tidak menerima ajaran wahyu yang disampaikan.

Maka amat bahaya kalau kita mendustakan wahyu. Jangan kita reka perkara baru dalam agama kerana itu pun termasuk dusta juga. Contohnya ada yang kata kalau sedekah kepada orang yang solat jenazah boleh dapat pahala. Tapi mereka tidak bawa dalil untuk membenarkan kata-kata mereka. Mereka cuma kata ianya adalah perkara baik dalam agama.

Dan banyak lagi perkara yang direka oleh manusia padahal Allah dan Nabi tidak pernah cakap begitu. Maka, mereka telah berdusta atas nama Allah. Itulah yang dimaksudkan berdusta.

وَتَوَلَّىٰ

dan berpaling daripada wahyuNya;

Firaun diingatkan supaya tidak berpaling dari ajaran wahyu. Kerana kalau berpaling, maka akan dapat azab dari Allah. Peringatan terus diberikan kepada Firaun kerana dia memang sudah melampau batas.

Ia juga adalah peringatan kepada semua orang termasuk kepada orang Islam pun. Iaitu mereka yang apabila kita ajak mereka kepada tauhid dan belajar tafsir wahyu Allah, mereka berpaling tidak mahu belajar.

Mereka kata azab akan dikenakan kepada orang yang berpaling. Mereka tak kata ke atas Firaun. Sebab bukan hanya ditujukan kepada Firaun sahaja. Bukan Firaun sahaja yang berpaling. Kalau kita juga berpaling, kita juga akan mendapat azab itu.

Memang banyak ayat dalam Taha berbentuk umum. Tidak sebut siapa yang ditujukan dengan khusus kerana ianya ditujukan kepada semua. Peringatan itu merangkumi untuk semua orang. Selain dari itu, ayat ini tidak sebut berpaling dari apa. Tapi secara tidak langsung ianya mengatakan, kalau tidak mengikut petunjuk agama, seseorang itu akan diazab.

Kita kena faham bahawa ada banyak perkara yang menyebabkan Firaun terkejut dan marah apabila Nabi Musa dan Harun berjumpa dengannya. Pertama, apabila dikatakan bahawa ada lagi Tuhan selain selain dia. Dia sangka selama ini, dia sahaja tuhan yang paling besar.

Kedua, dia kena lepaskan Bani Israil yang selama ini diperhambakan olehnya dan bangsa Qibti. Ketiga, dia tidak boleh siksa mereka lagi.

Dan keempat, kalau tak ikut petunjuk dari Allah, maka akan diazab nanti. Dan akhir sekali, Nabi Musa dan Nabi Harun datang dengan membawa tanda mukjizat dari Allah. Ini semua tidak dapat diterima oleh Firaun. Tentunya dia sedang marah.


Ayat 49: Sekarang disebut apakah tindakbalas dari Firaun selepas disampaikan dakwah oleh Nabi Musa dan Harun. Dalam Qur’an, ada banyak lagi kisah pemimpin-pemimpin yang jahat. Tapi tidak sebanyak kisah Firaun. Ini adalah kerana Firaun adalah seorang yang pandai berhujah.

Jadi kita kena belajar dan faham apakah hujah-hujah Firaun itu. Kerana kita mungkin akan berjumpa dengan mereka yang menggunakan hujah-hujah sebegitu. Maka, sesiapa yang menggunakan hujah sebegitu, mereka itu seperti Firaun juga.

قالَ فَمَن رَبُّكُما يا موسىٰ

Sahih International

[Pharaoh] said, “So who is the Lord of you two, O Moses?”

Malay

(Setelah mereka menyampaikan perintah Allah itu), Firaun berkata: “Jika demikian, siapakah Tuhan kamu berdua, hai Musa?”

Maksud Firaun adalah kononnya dia tidak kenal siapakah Allah itu. Dan dia nak kata bahawa dia tidak tahu ada lagi tuhan selain dirinya.

Firaun tanya kepada mereka: Kamu bercakap atas nama siapa? Tadi awal-awal lagi mereka berdua sudah cakap bahawa Tuhan itu adalah tuhan kepada Firaun juga. Tapi dalam soalan ini menunjukkan dia tidak terima dakwaan mereka itu.

Kita boleh lihat dalam ayat yang digunakan bahawa Firaun cuma bercakap dengan Musa sahaja. Dia tidak bercakap langsung dengan Nabi Harun pun, walaupun Nabi Harun ada bersama Nabi Musa. Ini adalah kerana dia tak kenal Harun. Begitulah sombongnya Firaun. Nabi Musa pernah tinggal di istananya, jadi dia kenal, tapi Nabi Harun adalah dari bani Israil, iaitu kaum hambanya, maka dia langsung tidak sebut Nabi Harun pun.

Firaun pun sebenarnya tahu bahawa Bani Israil ada tuhan yang lain. Kerana masih ada lagi masyarakat Bani Israil yang masih Islam dan mengamalkan agama yang turun dari langit. Jadi soalan dia ini hanya sebagai mengejek sahaja.

Kenapakah Firaun tidak dapat terima dakwah itu? Kerana dia sudah mabuk dengan kuasa. Apabila dia kata dia adalah tuhan, bukanlah dia mengatakan dialah agama. Tapi bermaksud bahawa dialah yang paling berkuasa ke atas Mesir dan rakyat semua kena ikut cakap dia. Kuasa lah perkara yang dia paling sayangi.

Inilah bahayanya apabila seseorang itu telah mabuk dengan kuasa. Apabila kuasa mereka dicabar, mereka akan sanggup berbuat apa sahaja. Dan kadang-kadang perbuatan mereka itu melampaui batas. Mereka sanggup melakukan dosa-dosa besar kerana hendak mendapatkan kuasa atau mengekalkan kuasa yang mereka sudah ada.


Ayat 50: Ini adalah jawapan dari Nabi Musa. Jawapannya lembut sahaja dan tidak kurang ajar.

قالَ رَبُّنَا الَّذي أَعطىٰ كُلَّ شَيءٍ خَلقَهُ ثُمَّ هَدىٰ

Sahih International

He said, “Our Lord is He who gave each thing its form and then guided [it].”

Malay

Nabi Musa menjawab: “Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya, kemudian Dia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya”.

قَالَ رَبُّنَا الَّذِي أَعْطَىٰ كُلَّ شَيْءٍ خَلْقَهُ

Nabi Musa menjawab: “Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya;

Allah lah yang telah memberikan kepada makhluk yang diciptakan itu, segala sesuatu yang diperlukan untuk melangsungkan kehidupan. Dengan segala makanan, oksigen, pakaian dan tempat tinggal dan berbagai-bagai lagi.

Ibn Abbas berkata maksud ayat ini adalah: Allah telah menjadikan manusia sebagai manusia, keldai sebagai keldai dan kambing sebagai kambing.

ثُمَّ هَدَىٰ

kemudian Dia memberi petunjuk kepada makhluk itu;

Petunjuk yang dimaksudkan adalah petunjuk untuk menjalani kehidupan dalam dunia; contohnya ikan tidak belajar dari emaknya bagaimana cari makan. Tapi dia tahu untuk makan dan mencari makan. Lebah tidak belajar buat sarang dari ibu bapanya, tapi mereka tahu bagaimana buat sarang.

Manusia dan binatang lain pun begitu juga. Untuk menjalani hidup, tidak ada masalah kepada manusia untuk mengikut petunjuk yang diberikan oleh Allah dalam hal kehidupan. Yang jadi masalah adalah petunjuk agama. Itu yang manusia susah nak terima dan ikut.

Semua yang terjadi adalah diberikan kewujudannya oleh Allah. Ia jadi kerana Allah yang menjadikannya.

Atau ayat ini boleh bermakna, apa sahaja yang makhluk ada, diberikan oleh Allah. Ini menentang pendapat ajaran sesat yang mengatakan memang Allah yang menciptakan makhluk, tapi lepas itu mereka menentukan hidup sendiri. Ketahuilah yang Allah tak biarkan kita hidup sendiri-sendiri. Apa yang terjadi adalah atas kudrat Allah. Setiap apa yang berlaku, berlaku atas kehendakNya. Musa tahu dan faham maksud itu, kerana dia telah lihat bagaimana Allah boleh mengubah tongkat menjadi ular.

Ada banyak krisis tentang perkara ini dengan mereka yang terpelajar dalam sains. Mereka keliru tentang perjalanan alam ini. Mereka sangka semua perkara boleh dijelaskan dengan sains. Mereka lupa tentang pengurusan Allah dalam setiap perkara. Contohnya, mereka kata kalau sesuatu barang yang jatuh, itu adalah disebabkan oleh graviti. Mereka tidak mengatakan Allah yang menjatuhkan.

Kesilapan mereka adalah kerana semua perkara mereka hendak jelaskan dalam bentuk sains. Kalau sesuatu itu tidak dapat dijelaskan, mereka akan kata itu adalah kerana sains belum jumpa jawapannya. Tapi mereka kata sains akan jumpa juga jawapan itu.

Itu adalah kerana mereka tidak belajar agama. Mereka belajar sains dengan mendalam tapi dalam agama kurang sangat belajar. Jadi mereka tak faham tentang dunia. Mereka juga tidak percaya dengan akhirat kerana akhirat tidak dapat dijelaskan dengan sains.

Hidayah itu ada dua jenis. Pertama tentang iman. Ini dinamakan Tasyiriyah. Ianya adalah hidayah tentang agama. Atau ada juga dipanggil perkara Spiritual.

Satu lagi dinamakan hidayah taqwiniah. Ini adalah hidayah berkenaan kehidupan. Allah mengajar makhluk tentang hidup. Itu pun ilmu dari Allah juga. Sebagai contoh, macam mana bayi tahu nak makan, sedangkan tidak ada sesiapa yang sempat mengajar dia semasa dalam perut ibu dia dahulu? Tapi, lahir-lahir sahaja sudah tahu menyusu susu ibu. Serangga dan segala kehidupan pun begitu juga. Semuanya tahu cara menjalani kehidupan kerana mereka mendapat ilham dari Allah.

Dalam sains pun, sampai kepada satu tahap, sains tidak dapat jawap bagaimanakah sesuatu perkara itu terjadi. Mereka akan letakkan perkara yang mereka tidak dapat jelaskan sebagai ‘intelligent design‘. Sampaikan ada yang kata ianya datang daripada makhluk asing. Mereka sanggup kata macam itu kerana tak mahu nak terima kewujudan Tuhan. Padahal semuanya diurus oleh Allah.


Ayat 51: Firaun tak dapat nak balas jawapan Musa ini. Jadi dia mula nak mengarut. Dia mula menggunakan helah lain untuk menjatuhkan Nabi Musa dan Nabi Harun.

Maka sekarang Firaun menggunakan helah. Ramai yang tengah dengar percakapan antara mereka. Walaupun waktu itu mereka dalam istana Firaun, tapi ada pembesar-pembesar dia dan pegawai-pegawai dia yang sedang hadir. Maka Firaun tidak mahu jatuh air muka dia.

Jadi soalan dari Firaun ini adalah soalan perangkap. Kalau kita perhatikan, tidak ada kena mengena dengan soalan sebelum ini pun. Dia terus tukar kepada soalan yang baru. Sebab dia sudah tiada hujah lagi. Tapi Firaun memang seorang yang licik dan dia akan mengambil peluang untuk menjatuhkan Musa.

قالَ فَما بالُ القُرونِ الأولىٰ

Sahih International

[Pharaoh] said, “Then what is the case of the former generations?”

Malay

Firaun bertanya lagi: “Jika demikian, bagaimana pula keadaan kaum-kaum yang telah lalu?”

Soalan Firaun: “Apa jadi kepada umat-umat yang dahulu? Bagaimana keadaan mereka sekarang? Adakah mereka dalam neraka?”

Kita akan ada banyak pengalaman dengan soalan ini. Apabila kita katakan amalan yang tok nenek amalkan dan disampaikan kepada kita itu salah, ramai yang akan gunakan hujah ini. Ramai  yang akan tanya bagaimana dengan guru-guru yang kita kata telah ajar ajaran yang kita kata salah itu, adakah mereka masuk neraka kerana mereka bawa ajaran yang salah? Bagaimana pula dengan tok nenek kita dulu? Mereka dalam neraka jugakah?

Mereka yang bertanya seperti itu, mereka tidak sedar yang mereka juga seperti Firaun.

Kalimah بَالُ bermakna ‘keadaan sekarang’. Firaun bertanya, bagaimana keadaan sekarang orang-orang yang dahulu. Tok-tok nenek mereka? Adakah mereka dalam neraka? Kerana kononnya mereka tak dapat hidayah, buat benda syirik dan bidaah, jadi tentulah mereka dalam neraka. Sebab Musa baru datang, lalu bagaimana dengan mereka yang tidak dapat mendengar ajakan dakwah Nabi Musa sekarang?

Ini sudah masuk hal peribadi. Firaun tanya begitu kerana dia hendak bangkitkan rasa marah orang ramai yang sedang mendengar. Kerana kalau Nabi Musa jawap mereka itu semua dalam neraka, tentulah mereka yang ramai mendengar itu akan marah sebab Nabi Musa kata tok nenek mereka dalam neraka. Manusia memang sensitif dengan keturunan. Maka Firaun licik dan dia hendak membangkitkan kemarahan orang ramai kepada Musa dan Harun. Kerana ini adalah kaum yang membanggakan keturunan mereka.

Jadi, kita kena pandai jawap. Kita tidak boleh kata semua tok nenek itu masuk neraka. Kita juga tidak boleh kata mereka dalam syurga. Kerana dua-dua jawapan itu tidak benar. Mari kita lihat apakah jawapan Nabi Musa dalam ayat seterusnya.

Allahu a’lam.

Kemaskini: 10 Mei 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s