Tafsir Surah al-An’am Ayat 125 – 127

Ayat 125:

6:125
Sahih International

So whoever Allah wants to guide – He expands his breast to [contain] Islam; and whoever He wants to misguide – He makes his breast tight and constricted as though he were climbing into the sky. Thus does Allah place defilement upon those who do not believe.

Malay

Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.

فَمَن يُرِدِ اللَّهُ أَن يَهْدِيَهُ

Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk,

Hidayah adalah satu perkara yang tidak mungkin untuk kita dapat melainkan dengan keinginan Allah. Kita amat berharap semoga kita termasuk dalam golongan mereka yang diberikan hidayah oleh Allah. Kalau Allah tidak mahu beri hidayah kepada kita, tentulah kita antara mereka yang amat malang sekali.

Hidayah ini bukan boleh diberi dengan kehendak kita. Sebagai contoh, tentu kita sayangkan ahli keluarga kita, dan kita hendak mereka mendapat hidayah. Tapi hidayah tidak boleh dipaksa dan diberikan kepada mereka. Kita hanya boleh menyampaikan sahaja ajakan dakwah tauhid ini kepada mereka. Tapi, sama ada mereka terima atau tolak, bukan kita yang boleh kawal.

يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ

nescaya Dia melapangkan dadanya untuk terima Islam.

Allah lah yang membuka dan melapangkan dada manusia untuk menerima Islam sebagaimana Allah telah melapangkan dada Nabi Muhammad seperti yang disebut dalam Sharh:1

أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ
Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?,

Kalimah يَشْرَحْ dari katadasar  ش ر ح yang asalnya bermaksud ‘membelah untuk membuka’. Seperti kita belah perut ayam dan membuka ayam itu.

Ayat ini bermaksud Allah lapangkan dada mereka yang Allah kehendaki untuk faham Islam dan untuk terima ajaran Islam. Maka apabila dia faham Islam, maka dia mudah untuk terima. Apabila dia terima, dia senang untuk melakukan suruhan Allah. Senang sahaja untuk buat amal ibadat. Ringan sahaja badannya untuk solat dan ringan juga mulutnya untuk berzikir.

Kalau tidak dilapangkan, memang payah sangat. Begitulah yang terjadi pada orang yang tidak faham agama. Kalau main sukan senang sahaja, tapi untuk bangun solat, amatlah payah kepada mereka yang tidak dilapangkan dadanya kepada Islam.

Apabila digunakan perkataan لِلْإِسْلَامِ, ia bermaksud mereka mudah untuk menyerahkan diri mereka untuk agama Islam kerana perkataan Islam pun sudah bermaksud ‘serah diri’.

‘Serah diri’ itu bermaksud taat sepenuhnya. Apa sahaja yang Allah suruh buat, dia akan senang untuk buat. Tidaklah dia tertanya-tanya kenapa Allah suruh dia solat, kenapa nak kena buat haji, kenapa tak boleh makan babi dan minum arak dan sebagainya. Yang banyak bertanya itu adalah mereka yang belum serah diri lagi kepada Islam. Itulah sebabnya mereka banyak bertanya.

Islam juga bermaksud ‘selamat’. Apabila Allah telah buka hati seseorang itu kepada Islam maka dia akan rasa selamat dan selesa dengan agama Islam sebagai agamanya. Dia tahu bahawa apa yang Islam suruh buat itu adalah untuk kebaikan dirinya dan agamanya.

Apabila ada amalan yang dibuat tapi tidak bertepatan dengan nas syarak, mereka akan senang untuk tolak – tidak berdalih-dalih dan memberi alasan lagi. Tidaklah mereka berat hati nak terima ajaran dalam Qur’an. Malangnya, kebanyakan masyarakat Islam kita tidak dapat terima. Apabila diberikan dengan dalil dari Qur’an dan hadis, mereka tidak dapat terima. Kerana mereka lebih nak terima apa yang telah diajar oleh guru dan ustaz mereka dan apa yang banyak diamalkan oleh masyarakat setempat.

Sebab itulah apabila dikatakan tidak boleh buat Solat Hajat berjemaah, Majlis Tahlil, Doa Selamat dan sebagainya, mereka tidak dapat terima. Mereka hendak juga buat walaupun ianya berlawanan dengan apa yang disebut dalam Qur’an dan Hadis.

Apabila Nabi membacakan ayat ini kepada para sahabat, mereka bertanya kepada baginda apakah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa hati mereka telah dibuka untuk Islam. Maka baginda menjawab bahawa tanda mereka adalah mereka sentiasa memikirkan bagaimana kehidupan mereka di akhirat nanti. Dan mereka lebih mementingkan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia. Mereka bersedia untuk mati sebelum mati itu datang. Itulah tanda-tandanya.

وَمَن يُرِدْ أَن يُضِلَّهُ

Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya,

Ini adalah keterbalikan dari kehendak Allah untuk memberikan hidayah kepada manusia. Kenapa pula Allah mengkehendaki manusia itu jadi sesat? Takkan Allah suka makhluk jadi sesat pula?

Allah bawa mereka kepada kesesatan kerana mereka degil untuk menerima ajakan tauhid. Setelah berkali-kali mereka diajak untuk menerima tauhid, mereka menolak. Apabila telah banyak kali menolak ajakan tauhid, maka Allah akan kunci mati hati mereka dari menerima iman dan Allah akan bawa mereka kepada kesesatan.

يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا

nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit,

Kalimah ضَيِّقًا bermaksud ‘sempit’. Bayangkan keadaan bilik yang banyak sangat barang, sampaikan nak masuk barang lain pun tak tahu nak letak di mana.

Kalimah حَرَجًا pula bermaksud perasaan tidak selesa yang timbul apabila seseorang itu berada di tempat yang sempit. Bayangkan kalau kita masuk bilik tidur yang terlalu sempit, barang banyak bertimbun-timbun, kita pun sesak kepala juga tengok,  bukan?

Apabila dua perkataan ضَيِّقًا حَرَجًا digunakan, bermakna ianya sangat-sangat sempit. Lemas rasanya kalau duduk di tempat sebegitu. Untuk memahami ضَيِّقًا حَرَجًا cuba bayangkan seumpama meletakkan barang semua sekali dalam satu tempat. Macam kalau kita letak perabot rumah kita dalam garaj. Semua perabot yang ada dalam rumah, kita longgokkan ke dalam garaj yang sempit. Tentulah penuh dan tak muat nak letak kereta lagi, bukan?

Orang yang telah disempitkan dadanya, susah untuk belajar agama. Mereka mungkin datang belajar tetapi mereka tidak faham. Berat untuk mereka menerima apa yang telah diajar. Mereka ada sahaja alasan untuk tidak datang belajar. Kalau mereka dalam kelas pembelajaran agama, mereka rasa tak selesa. Mereka rasa nak keluar sahaja dari kelas itu.

Mereka ini kalau kita lihat, tidak dapat meluangkan masa untuk beribadat kerana mereka telah penuhkan masa mereka dengan hal-hal keduniaan yang melekakan. Hatinya telah penuh dengan kecintaan kepada dunia. Itulah sebabnya hati mereka sempit. Kalau hati telah penuh dengan keduniaan, bagaimana lagi hendak masuk hal akhirat?

كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ

seolah-olah dia sedang mendaki langit.

Allah berikan perumpamaan kepada kita supaya kita lebih faham. Kepayahan yang mereka rasai itu amat susah bagaikan seseorang yang sedang mendaki tempat yang tinggi.

Kalimah يَصَّعَّدُ bermaksud satu pendakian yang sukar. Ada shaddah dalam perkataan itu untuk menunjukkan kesangatan dalam kepayahan itu. Lihatlah juga perkataan itu, nak sebut perkataan itu pun susah, membayangkan bagaimana kesusahan mendaki tempat yang tinggi. Bukanlah macam mendaki anak tangga di rumah sahaja. Bayangkan kalau seseorang yang sedang mendaki bukit yang tinggi tentunya mereka akan susah untuk bernafas kerana tercungap-cungap.

Dan daripada segi sains juga kalau kita naik ke tempat yang tinggi, kita pun akan susah untuk bernafas kerana Oksigen sudah berkurangan. Apabila oksigen kurang, dada kita rasa sempit, dan nak bernafas pun susah.

Dalam keadaan dada mereka yang sempit dan rasa susah untuk bernafas, maka tentu mereka akan melarikan diri. Itulah sebabnya kadang-kadang kita boleh lihat bagaimana kalau kita menceritakan tentang agama kepada seseorang mereka akan rasa tidak sedap duduk dan mereka akan mencari alasan untuk melarikan diri. Ini adalah kerana mereka rasa tak selesa sangat dengan apa yang disampaikan. Kalau kita bersembang hal lain, mereka tak kisah, asalkan jangan bercerita tentang agama.

كَذَٰلِكَ يَجْعَلُ اللَّهُ الرِّجْسَ

Begitulah Allah menimpakan kekotoran

‘Kekotoran’ yang dimaksudkan di dalam potongan ayat ini adalah kekotoran dalam hati. Apabila sudah ada kekotoran dalam hati, ia akan membawa kepada kekotoran di dalam minda dan juga kekotoran di dalam perbuatan mereka.

عَلَى الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

ke atas orang-orang yang tidak beriman.

Jadi, kalau kita jumpa orang-orang yang sebegini, kita boleh tahu bahawa mereka itu sebenarnya tidak beriman. Kita tidak tahu apa yang dalam hati manusia, tapi tanda-tanda sudah ada yang kita boleh lihat di hadapan mata kita.


Ayat 126:

6:126
Sahih International

And this is the path of your Lord, [leading] straight. We have detailed the verses for a people who remember.

Malay

Dan inilah jalan Tuhanmu (ugama Islam) yang betul lurus. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan ayat-ayat keterangan (Kami) satu persatu, bagi kaum yang mahu beringat – insaf.

وَهَٰذَا صِرَاطُ رَبِّكَ

Dan inilah jalan Tuhanmu;

Inilah agama Islam yang diajar dalam wahyu Qur’an. Iaitu jalan yang telah ditunjuk oleh Nabi kita. Nabi mendapat ajaran dari Qur’an dan baginda mempraktikkannya kepada kita supaya kita dapat faham untuk diamalkan.

مُسْتَقِيمًا

(jalan) yang lurus.

Jalan agama Islam lah yang tegak lurus. Iaitu jalan yang tidak ada syirik dan bidaah. Malangnya, berapa ramai yang mengaku mereka beragama Islam, tapi dalam masa yang sama, mereka mengamalkan amalan syirik dan bidaah yang bukan dari agama.

قَدْ فَصَّلْنَا الْآيَاتِ

Sesungguhnya Kami telah menjelaskan ayat-ayat

Ayat-ayat dari Allah telah jelas di hadapan mata kita. Yang nampak jelas itu hanyalah mereka yang mahu mengenal agamanya. Dan untuk mengenal agama Islam, kenalah tahu apakah yang hendak disampaikan oleh Allah.

Allah telah memberi kita Kitab panduan, iaitu Kitab al-Qur’an ini. Maka untuk memahaminya, kenalah belajar tafsir Qur’an kerana kita tidak akan dapat faham Qur’an ini kalau kita tidak belajar tafsir. Carilah guru yang boleh mengajar tafsir ini.

لِقَوْمٍ يَذَّكَّرُونَ

kepada orang-orang yang mahu mengambil pelajaran.

Ayat-ayat itu diberikan kepada semua manusia tetapi yang mahu menerimanya adalah mereka yang mahu mengambil pelajaran sahaja. Iaitu mereka yang mahu mencari jalan kebenaran.

Kepada mereka yang tidak mahu, tidak memikirkan tentang kebenaran, mereka tidak akan terkesan dengan ayat-ayat Qur’an yang mereka baca. Sebab itulah ramai yang baca Qur’an hari-hari, tapi mereka tidak faham. Mereka masih lagi mengamalkan amalan syirik dan bidaah. Inilah golongan yang ramai dalam Malaysia ini. Amat pedih untuk disebut, tapi itulah realitinya.


Ayat 127: Apakah balasan kepada mereka yang mahu beriman?

6:127
Sahih International

For them will be the Home of Peace with their Lord. And He will be their protecting friend because of what they used to do.

Malay

Bagi mereka Syurga Darus-Salaam (tempat tinggal yang aman sejahtera) di sisi Tuhan mereka, dan Dia lah Penolong mereka, disebabkan amal-amal (yang baik) yang mereka telah kerjakan.

لَهُمْ دَارُ السَّلَامِ

Bagi mereka (disediakan) darussalam (syurga)

Darussalam adalah salah satu daripada nama-nama syurga.

Dalam ayat sebelum ini telah di sebut tentang orang yang Allah telah bukakan hatinya untuk Islam dan apabila hatinya telah dibuka untuk Islam, maka dia akan mendapat tempat di Darussalam.

Ianya adalah tempat yang kita akan rasa selamat dan kita berasa aman. Ianya dinamakan ‘Darussalam’ kerana penghuni syurga tidak akan ada perasaan takut. Tidak ada kerisauan tentang apa yang mereka akan hadapi. Tidak ada sesiapa yang akan mengganggu mereka. Tidak ada bunyi-bunyi yang tidak enak untuk didengar. Tidak ada kata-kata marah dan tidak ada kata-kata yang sia-sia.

Berbeza sangat dengan keadaan di dunia. Kerana tidak kira betapa tinggi kedudukan kita, kita tidak terlepas dari merasa segala kerisauan itu semua. Akan ada sahaja rasa takut dan gundah gulana tentang keselamatan kita dan sebagainya.

عِندَ رَبِّهِمْ

pada sisi Tuhannya

Ini adalah satu nikmat yang amat besar sekali! Mereka akan duduk di tempat yang berdekatan dengan Allah. Bukan sahaja mereka dapat duduk di rumah yang indah dan aman tetapi mereka juga duduk di kawasan yang berdekatan dengan Tuhan.

Ini adalah satu perkara yang penting. Bayangkan kalau kita duduk di rumah yang cantik, tetapi rumah kita itu berdekatan dengan lalu lintas yang sibuk contohnya, atau tempat yang tidak baik, tentulah ianya tidak menggembirakan, walaupun rumah kita sudah cantik sangat.

Apakah yang dimaksudkan kita tinggal berdekatan dengan Allah? Sebagaimana kita pun telah tahu, tingkatan Syurga Firdaus itu berada betul-betul di bawah Arasy Allah. Itulah yang dimaksudkan kita ‘berdekatan’ dengan Tuhan.

Dan penghuni Syurga akan mempunyai satu kelebihan – mereka akan dapat melihat Allah di akhirat kelak. Allah akan datang ke Syurga untuk bertemu dengan penghuni Syurga. Oleh itu, kalau hendak melihat Allah yang telah menjadikan kita, maka berusahalah untuk masuk ke dalam Syurga.

وَهُوَ وَلِيُّهُم

dan Dialah Pelindung mereka

Wali bermaksud ‘pelindung’. Juga bermaksud ‘teman rapat’. Juga bermaksud ‘penjamin’.

Allah lah pelindung yang sebenar kepada orang mukmin. Oleh itu jikalau kita mahukan perlindungan, maka hendaklah kita minta kepada Allah dan berharap kepada Allah. Tak perlu minta kepada selain dari Allah. Berhentilah meminta perlindungan dari Jin, dari Malaikat dan sebagainya. Itu semua adalah ajaran-ajaran sesat sahaja. Hendaklah kita minta terus perlindungan dengan Allah.

بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

disebabkan amal-amal saleh yang selalu mereka kerjakan.

Ayat ini mengajar kita bahawa untuk masuk syurga, kita hendaklah melakukan amal ibadat yang soleh. Kita kena berusaha untuk mendapatkannya dan bukan hanya dengan goyang kaki sahaja. Tidaklah dikatakan kita beriman tapi tidak melakukan amal ibadat yang soleh.

Kalau kita duduk di dunia pun dan ingin mendapat rumah yang cantik, maka kita hendaklah juga membayar harganya. Kena belajar tinggi-tinggi dan bekerja keras untuk dapat cukup wang untuk membeli rumah besar dan cantik itu. Begitulah juga untuk mendapat rumah di Syurga, hendaklah kita berusaha dengan melakukan amal-amal ibadat.

Dan amal ibadat itu adalah amal ibadat yang soleh. Iaitu amal ibadat yang tidak bidaah. Tinggalkan amal ibadat yang tidak jelas dari nas syarak. Banyak lagi amal ibadat yang telah diajar oleh Nabi kita. Kenapa kita perlu lagi hendak buat amal ibadat yang tidak tentu puncanya?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 25 Januari 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s