Tafsir Surah al-An’am Ayat 125 – 127 (Yang disempitkan dadanya)

ِAn’am Ayat 125:

فَمَن يُرِدِ ٱللَّهُ أَن يَهدِيَهُ ۥ يَشرَح صَدرَهُ ۥ لِلإِسلَـٰمِ‌ۖ وَمَن يُرِد أَن يُضِلَّهُ ۥ يَجعَل صَدرَهُ ۥ ضَيِّقًا حَرَجًا ڪَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِى ٱلسَّمَآءِ‌ۚ ڪَذٰلِكَ يَجعَلُ ٱللَّهُ ٱلرِّجسَ عَلَى ٱلَّذِينَ لَا يُؤمِنُونَ

Sahih International

So whoever Allah wants to guide – He expands his breast to [contain] Islam; and whoever He wants to misguide – He makes his breast tight and constricted as though he were climbing into the sky. Thus does Allah place defilement upon those who do not believe.

Malay

Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah dia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.

 

فَمَن يُرِدِ اللَّهُ أَن يَهْدِيَهُ

Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk,

Hidayah adalah satu perkara yang tidak mungkin untuk kita dapat melainkan dengan keinginan Allah ‎ﷻ. Kita amat berharap semoga kita termasuk dalam golongan mereka yang diberikan hidayah oleh Allah ‎ﷻ. Kalau Allah ‎ﷻ tidak mahu beri hidayah kepada kita, tentulah kita antara mereka yang amat malang sekali.

Hidayah ini bukan boleh diberi dengan kehendak kita. Sebagai contoh, tentu kita sayangkan ahli keluarga kita, dan kita ingin sangat agar mereka mendapat hidayah. Namun, hidayah tidak boleh dipaksa dan diberikan kepada mereka. Kita hanya boleh menyampaikan sahaja ajakan dakwah tauhid ini kepada mereka. Namun begitu, sama ada mereka terima atau tolak, bukanlah kita yang dapat mengawalnya.

Oleh itu, bagaimana kita boleh mendapat hidayah? Iaitu dengan adanya sifat ‘inaabah’; sifat inginkan kebenaran, di mana dalam hati kecil kita, kita hendak tahu apakah yang benar dan berharap Allah ‎ﷻ bimbing kita. Bagi orang yang ada sifat inaabah inilah yang Allah ‎ﷻ akan tarik dia kepada kebenaran (hidayah).

 

يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ

nescaya Dia melapangkan dadanya untuk terima Islam.

Inilah tanda orang yang ada inaabah dalam dirinya. Kalimah يَشْرَحْ berasal daripada katadasar  ش ر ح yang asalnya bermaksud ‘membelah untuk membuka’. Seperti kita belah perut ayam dan membuka ayam itu. Oleh itu, kalau dalam bahasa Arab, شرح bermaksud lapah kulit binatang kerana apabila dilapah kulit binatang itu, akan nampak bahagian binatang itu bahagian yang boleh dimakan. Kalau dalam bahasa kita, kalau diberi ‘syarah’, ia bermaksud memberi pencerahan.

Orang yang Allah ‎ﷻ hendak beri agama, akan dibuka dadanya kepada Islam. Allah ‎ﷻ akan tarik dia kepada punca agama, iaitu Al-Qur’an dan Sunnah. Allah ‎ﷻ akan anugerahkan dirinya kemudahan untuk faham dua rujukan ini. Allah ‎ﷻlah yang membuka dan melapangkan dada manusia untuk menerima Islam sebagaimana Allah ‎ﷻ telah melapangkan dada Nabi Muhammad ﷺ seperti yang disebut dalam Sharh:1

أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ
Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?,

 

Ayat ini bermaksud Allah ‎ﷻ melapangkan dada mereka yang Allah ‎ﷻ kehendaki untuk faham Islam dan untuk menerima ajaran Islam. Apabila dia faham Islam, maka mudah untuk dia menerimanya. Apabila dia sudah terima, maka, dia senang untuk melakukan suruhan Allah ‎ﷻ. Senang sahaja untuk membuat amal ibadat. Ringan sahaja badannya untuk salat dan ringan juga mulutnya untuk berzikir. Sebab itu kita ada lihat ada orang yang kuat sahaja dia beramal, bukan?

Kalau tidak dilapangkan, memang payah sangat. Begitulah yang terjadi pada orang yang tidak faham agama. Kalau main sukan senang sahaja, tetapi untuk bangun salat, amatlah payah kepada mereka yang tidak dilapangkan dadanya kepada Islam.

Apabila digunakan perkataan لِلْإِسْلَامِ, ia bermaksud mereka mudah untuk menyerahkan diri mereka untuk agama Islam kerana perkataan Islam pun sudah bermaksud ‘serah diri’.

‘Serah diri’ itu bermaksud taat sepenuhnya. Apa sahaja yang Allah ‎ﷻ suruh buat, dia akan senang untuk buat. Tidaklah dia tertanya-tanya kenapa Allah ‎ﷻ suruh dia salat, kenapa perlu buat haji, kenapa tidak boleh makan babi dan minum arak dan sebagainya. Yang banyak bertanya itu adalah mereka yang belum serah diri lagi kepada Islam. Itulah sebabnya mereka banyak bertanya.

Islam juga bermaksud ‘selamat’. Apabila Allah ‎ﷻ telah membuka hati seseorang itu kepada Islam maka dia akan rasa selamat dan selesa dengan agama Islam sebagai agamanya. Dia tahu bahawa apa yang Islam suruh buat itu adalah untuk kebaikan dirinya dan agamanya. Maka dia juga akan selamat di dunia dan di akhirat kelak. Maka kita kena tanya diri kita: [Aku ini bagaimana? Adakah senang hendak terima agama?]

Apabila ada amalan yang dibuat tetapi tidak bertepatan dengan nas syarak, mereka akan senang untuk tolak – tidak berdalih-dalih dan memberi alasan lagi. Tidaklah mereka berat hati untuk terima ajaran dalam Al-Qur’an. Malangnya, kebanyakan masyarakat Islam kita tidak dapat terima. Apabila diberikan dengan dalil daripada Al-Qur’an dan hadith, mereka tidak dapat terima. Sebaliknya mereka lebih mahu terima apa yang telah diajar oleh guru dan ustaz mereka dan apa yang banyak diamalkan oleh masyarakat setempat.

Sebab itulah apabila dikatakan tidak boleh buat Salat Hajat berjemaah, Majlis Tahlil, Doa Selamat dan sebagainya, mereka tidak dapat terima. Mereka hendak juga buat walaupun ia berlawanan dengan apa yang disebut dalam Al-Qur’an dan Hadith. Mereka hendak juga buat perkara ibadah yang tidak ada contohnya daripada Rasulullah ﷺ dan para sahabat.

Apabila Nabi ﷺ membacakan ayat ini kepada para sahabat, mereka bertanya kepada baginda apakah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa hati mereka telah dibuka untuk Islam. Maka baginda menjawab bahawa tanda mereka adalah mereka sentiasa memikirkan bagaimana kehidupan mereka di akhirat nanti. Dan mereka lebih mementingkan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia. Mereka bersedia untuk mati sebelum mati itu datang. Itulah tanda-tandanya. Adakah kita begitu?

 

وَمَن يُرِدْ أَن يُضِلَّهُ

Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya,

Ini pula adalah zajrun dan ia adalah keterbalikan daripada kehendak Allah ‎ﷻ untuk memberikan hidayah kepada manusia. Kenapa pula Allah ‎ﷻ mengkehendaki manusia itu menjadi sesat? Takkan Allah ‎ﷻ suka makhluk menjadi sesat pula?

Allah ‎ﷻ bawa mereka kepada kesesatan kerana mereka  degil untuk menerima ajakan tauhid. Setelah berkali-kali mereka diajak untuk menerima tauhid, mereka menolak. Apabila telah banyak kali menolak ajakan tauhid, maka Allah ‎ﷻ akan kunci mati hati mereka daripada menerima iman dan Allah ‎ﷻ akan bawa mereka kepada kesesatan. Allah ‎ﷻ sudah tidak inginkan iman mereka lagi, Allah ‎ﷻ biarkan sahaja mereka sesat. Nanti bila mereka mati dan dalam kubur, Allah ‎ﷻ akan mula seksa mereka sampailah mereka masuk ke dalam neraka!

 

يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا

nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit,

Kalimah ضَيِّقًا bermaksud ‘sempit’. Bayangkan keadaan bilik yang banyak sangat barang, sampaikan hendak memasukkan barang lain pun tidak tahu hendak letak di mana.

Kalimah حَرَجًا pula bermaksud perasaan tidak selesa yang timbul apabila seseorang itu berada di tempat yang sempit. Bayangkan kalau kita masuk bilik tidur yang terlalu sempit, barang banyak bertimbun-timbun, kita pun sesak kepala juga tengok,  bukan?

Apabila dua perkataan ضَيِّقًا حَرَجًا digunakan bersama, bermakna ia sangat-sangat sempit. Lemas rasanya kalau duduk di tempat sebegitu. Untuk memahami ضَيِّقًا حَرَجًا cuba bayangkan seumpama meletakkan barang semua sekali dalam satu tempat. Seperti kalau kita letak perabot rumah kita dalam garaj. Semua perabot yang ada dalam rumah, kita longgokkan ke dalam garaj yang sempit. Tentulah penuh dan tidak muat untuk dimasukkan kereta lagi, bukan?

Orang yang telah disempitkan dadanya, susah untuk belajar agama. Mereka mungkin datang juga belajar tetapi mereka tidak faham. Berat untuk mereka menerima apa yang telah diajar. Mereka ada sahaja alasan untuk tidak datang belajar. Kalau mereka dalam kelas pembelajaran agama, mereka rasa tidak selesa. Mereka rasa hendak keluar sahaja dari kelas itu.

Mereka ini kalau kita lihat, tidak dapat meluangkan masa untuk beribadat kerana mereka telah penuhkan masa mereka dengan hal-hal keduniaan yang melekakan. Hatinya telah penuh dengan kecintaan kepada dunia. Itulah sebabnya hati mereka sempit. Kalau hati telah penuh dengan keduniaan, bagaimana lagi hendak masukkan hal dan peringatan tentang akhirat?

 

كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ

seolah-olah dia sedang mendaki langit.

Allah ‎ﷻ berikan perumpamaan kepada kita supaya kita lebih faham. Kepayahan yang mereka rasai itu amat susah bagaikan seseorang yang sedang mendaki tempat yang tinggi.

Kalimah يَصَّعَّدُ bermaksud satu pendakian yang sukar. Ada shaddah (sabdu) dalam perkataan itu untuk menunjukkan kesangatan dalam kepayahan itu. Lihatlah juga perkataan itu, hendak disebut perkataan itu pun susah, membayangkan bagaimana kesusahan mendaki tempat yang tinggi. Bukanlah seperti mendaki anak tangga di rumah sahaja. Bayangkan kalau seseorang yang sedang mendaki bukit yang tinggi tentunya mereka akan susah untuk bernafas kerana tercungap-cungap.

Dan dari segi sains juga kalau kita naik ke tempat yang tinggi, kita pun akan susah untuk bernafas kerana oksigen sudah berkurangan. Apabila oksigen kurang, dada kita merasa sempit, dan susah untuk bernafas.

Dalam keadaan dada mereka yang sempit dan rasa susah untuk bernafas, maka tentu mereka akan melarikan diri. Itulah sebabnya kadang-kadang kita boleh lihat bagaimana kalau kita menceritakan tentang agama kepada seseorang mereka akan rasa tidak sedap duduk dan mereka akan mencari alasan untuk melarikan diri.

Ini adalah kerana mereka rasa tidak selesa sangat dengan apa yang disampaikan. Kalau kita bersembang hal lain, mereka tidak kisah, asalkan jangan bercerita tentang agama. Ini kerana dalam penerangan itu mengandungi teguran kepada amalan mereka. Tentulah tidak sedap duduk, bukan?

 

ڪَذٰلِكَ يَجعَلُ ٱللَّهُ ٱلرِّجسَ عَلَى ٱلَّذِينَ لَا يُؤمِنُونَ

Begitulah Allah menimpakan kekotoran ke atas orang-orang yang tidak beriman.

‘Kekotoran’ yang dimaksudkan di dalam potongan ayat ini adalah kekotoran dalam hati. Apabila sudah ada kekotoran dalam hati, ia akan membawa kepada kekotoran di dalam minda dan juga kekotoran di dalam perbuatan mereka.

Maka, kalau kita jumpa orang-orang yang sebegini, kita boleh tahu bahawa mereka itu sebenarnya tidak beriman. Kita tidak tahu apa yang dalam hati manusia, tetapi tanda-tanda sudah ada yang kita boleh lihat di hadapan mata kita.


 

An’am Ayat 126: Ayat tabshir.

وَهَـٰذَا صِرَٰطُ رَبِّكَ مُستَقِيمًا‌ۗ قد فَصَّلنَا ٱلأَيَـٰتِ لِقَومٍ يَذَّكَّرُونَ

Sahih International

And this is the path of your Lord, [leading] straight. We have detailed the verses for a people who remember.

Malay

Dan inilah jalan Tuhanmu (ugama Islam) yang betul lurus. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan ayat-ayat keterangan (Kami) satu persatu, bagi kaum yang mahu beringat – insaf.

 

وَهَٰذَا صِرٰطُ رَبِّكَ

Dan inilah jalan Tuhanmu;

Inilah agama Islam yang diajar dalam wahyu Al-Qur’an. Abdullah ibn Mas’ud رضي الله عنه memberitahu kalimah هذا (ini) merujuk kepada Al-Qur’an sedangkan Abdullah ibn Abbas رضي الله عنهما mengatakan ia merujuk kepada Islam. Ia tidaklah berlawanan kerana Islam itu Al-Qur’an dan Al-Qur’an itu jugalah Islam.

Inilah sahaja jalan yang ada, iaitu jalan yang telah ditunjuk oleh Nabi ﷺ kita. Nabi ﷺ mendapat ajaran daripada Al-Qur’an dan baginda mempraktikkannya kepada kita supaya kita dapat faham untuk diamalkan. Oleh sebab itu, kita mestilah belajar bagaimana cara Nabi ﷺ mengamalkan Al-Qur’an dalam kehidupan baginda. Jangan kita menggunakan andaian kita sendiri sahaja. Kita mestilah belajar juga hadith-hadith baginda yang sahih.

Disebabkan keliru tentang hal inilah, berlakunya banyak kesesatan dalam masyarakat. Ada yang sampai telah sebut: “Kalau Nabi ikut kanan tapi guru ikut kiri… aku tetap akan ikut kiri…”. Inilah kekarutan yang amat sangat kerana tidak faham ambilan agama kita. Dia menggunapakai hujah daripada akal fikiran sendiri sahaja tanpa mengambil dalil daripada wahyu Ilahi.

 

مُسْتَقِيمًا

(jalan) yang tegak lurus.

Jalan agama Islamlah yang tegak lurus. Ia adalah jalan yang tidak ada syirik dan bid’ah. Malangnya, berapa ramai yang mengaku mereka beragama Islam, tetapi dalam masa yang sama, mereka mengamalkan amalan syirik dan bid’ah yang bukan daripada agama.

Jika mendengar ajaran mereka yang bukan daripada Sunnah, berbelit-belit fahaman mereka. Entah datang dari manalah fahaman itu, kita pun tidak tahu. Sampai menjadikan agama ini sukar hendak diamalkan dan sukar hendak difahami. Amat hairan kenapa hendak ambil jalan yang bengkok sedangkan sudah ada jalan yang lurus?

 

قد فَصَّلنَا ٱلأَيَـٰتِ

Sesungguhnya Kami telah menjelaskan ayat-ayat

Ayat-ayat daripada Allah ‎ﷻ telah jelas di hadapan mata kita. Maksud kalimah فصل dijelaskan dalam Fussilat: 3. Yang nampak jelas itu hanyalah mereka yang mahu mengenal agamanya. Dan untuk mengenal agama Islam, kenalah tahu apakah yang hendak disampaikan oleh Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ telah memberi kita Kitab panduan, iaitu Kitab Al-Qur’an ini. Maka untuk memahaminya, kenalah belajar tafsir Al-Qur’an kerana kita tidak akan dapat faham Al-Qur’an ini kalau kita tidak belajar tafsir. Carilah guru yang boleh mengajar tafsir ini. Zaman sekarang sudah mudah untuk mencari guru yang boleh mengajar tafsir Al-Qur’an ini. Sekiranya ada kekangan masa, kita masih boleh mempelajarinya secara online sahaja. Maka, sudah tidak alasan lagi.

 

لِقَوْمٍ يَذَّكَّرُونَ

kepada orang-orang yang mahu mengambil pelajaran.

Ayat-ayat itu diberikan kepada semua manusia tetapi yang mahu menerimanya adalah mereka yang mahu mengambil pelajaran sahaja, iaitu mereka yang mahu mencari jalan kebenaran. Kita telah sebutkan sebelum ini, mereka inilah yang mempunyai sifat inaabah; sifat yang condong kepada kebenaran. Hati mereka mahu tahu dan mahu ikut yang benar daripada Allah ‎ﷻ sahaja.

Kepada mereka yang tidak mahu, tidak memikirkan tentang kebenaran, mereka tidak akan terkesan dengan ayat-ayat Al-Qur’an yang mereka baca. Sebab itulah ramai yang baca Al-Qur’an setiap hari, tetapi mereka tidak faham. Mereka masih lagi mengamalkan amalan syirik dan bid’ah. Inilah golongan yang ramai dalam Malaysia ini.

Begitulah kalau tidak membuka minda. Begitulah kalau sudah taksub dengan guru. Begitulah kalau tidak rajin belajar dan berfikir. Begitulah kalau tidak bergaul dengan golongan yang bijak pandai. Amat pedih untuk disebut, namun itulah realitinya.


 

An’am Ayat 127: Apakah balasan kepada mereka yang mahu beriman?

لَهُم دَارُ ٱلسَّلَـٰمِ عِندَ رَبِّہِم وَهُوَ وَلِيُّهُم بِمَا كَانُواْ يَعمَلُونَ

Sahih International

For them will be the Home of Peace with their Lord. And He will be their protecting friend because of what they used to do.

Malay

Bagi mereka Syurga Darus-Salaam (tempat tinggal yang aman sejahtera) di sisi Tuhan mereka, dan Dia lah Penolong mereka, disebabkan amal-amal (yang baik) yang mereka telah kerjakan.

 

لَهُمْ دَارُ السَّلَامِ

Bagi mereka (disediakan) darussalam (syurga)

Darussalam adalah salah satu daripada nama-nama syurga. Maksudnya adalah ‘Negeri yang sejahtera’.

Dalam ayat sebelum ini telah di sebut tentang orang yang Allah ‎ﷻ telah bukakan hatinya untuk Islam dan apabila hatinya telah dibuka untuk Islam, maka dia akan mendapat tempat di Darussalam. (Ini bukan Brunei Darussalam pula ya).

Ia adalah tempat yang kita akan rasa selamat dan kita berasa aman. Ia dinamakan ‘Darussalam’ kerana penghuni syurga tidak akan ada perasaan takut. Tidak ada kerisauan tentang apa yang mereka akan hadapi. Tidak ada sesiapa yang akan mengganggu mereka. Tidak ada bunyi-bunyi yang tidak enak untuk didengar. Tidak ada kata-kata marah dan tidak ada kata-kata yang sia-sia. Tidak ada takut yang mereka akan dikeluarkan setelah dimasukkan ke dalam syurga. Tidak ada sakit dan lelah dalam syurga. Semuanya indah-indah belaka. Mati pun tidak ada lagi. Manakah tidak, tua pun tidak ada lagi.

Berbeza sangat dengan keadaan di dunia kerana tidak kira betapa tinggi kedudukan kita, kita tidak terlepas daripada merasa segala kerisauan itu semua. Akan ada sahaja rasa takut dan gundah gulana tentang keselamatan kita dan sebagainya. Akan tetapi bagi orang yang mendambakan janji Allah ‎ﷻ dengan Daarussalam ini, dan mereka yakin sungguh, maka mereka tidak terasa sangat dengan kesusahan di dunia ini. Mereka tahu yang ia hanya sementara sahaja.

Maknanya mereka memandang jauh ke hadapan. Bayangkan seperti kita bukannya suka sangat pergi kerja setiap hari, bukan? Akan tetapi kita tahu yang di penghujung bulan kita akan mendapat gaji. Maka kita sanggup hadapi kesukaran bekerja itu kerana kita tahu yang kita akan mendapat hasilnya.

 

عِندَ رَبِّهِمْ

pada sisi Tuhannya

Ini adalah satu nikmat yang amat besar sekali! Mereka akan duduk di tempat yang berdekatan dengan Allah ‎ﷻ. Bukan sahaja mereka dapat duduk di rumah yang indah dan aman tetapi mereka juga duduk di kawasan yang berdekatan dengan Tuhan.

Ini adalah satu perkara yang penting. Bayangkan kalau kita duduk di rumah yang cantik, tetapi rumah kita itu berdekatan dengan lalu lintas yang sibuk contohnya, atau tempat yang tidak baik, tentulah ia tidak menggembirakan, walaupun rumah kita sudah cantik sangat.

Apakah yang dimaksudkan kita tinggal berdekatan dengan Allah ‎ﷻ? Sebagaimana kita pun telah tahu, tingkatan Syurga Firdaus itu berada betul-betul di bawah Arasy Allah ‎ﷻ. Itulah yang dimaksudkan kita ‘berdekatan’ dengan Tuhan.

Dan penghuni Syurga akan mempunyai satu kelebihan – mereka akan dapat melihat Allah ‎ﷻ di akhirat kelak. Allah ‎ﷻ akan datang ke Syurga untuk bertemu dengan penghuni Syurga. Oleh itu, kalau hendak melihat Allah ‎ﷻ yang telah menjadikan kita, maka berusahalah untuk masuk ke dalam Syurga.

 

وَهُوَ وَلِيُّهُم

dan Dialah Pelindung mereka

Wali bermaksud ‘pelindung’. Juga bermaksud ‘teman rapat’. Juga bermaksud ‘penjamin’. Maknanya Allah ‎ﷻ rapat dengan kita dan memberi bantuan kepada kita.

Maka Allah ‎ﷻlah pelindung yang sebenar kepada orang mukmin. Oleh itu jikalau kita mahukan perlindungan, maka hendaklah kita minta kepada Allah ‎ﷻ dan berharap kepada Allah ‎ﷻ. Tidak perlu minta kepada selain Allah ‎ﷻ. Berhentilah meminta perlindungan daripada Jin, Malaikat dan sebagainya. Itu semua adalah ajaran-ajaran sesat sahaja. Hendaklah kita minta terus perlindungan dengan Allah ‎ﷻ.

Tidak perlu cari wali di dunia ini. Ramai daripada orang kita yang suka sangat lantik wali itu dan ini. Ada yang mengaku dia wali, ada pula yang kata orang itu dan orang ini wali! Sampaikan orang tidak berilmu pun dipanggil wali; malah orang gila pun dikatakan wali! Ini adalah kekarutan tahap tertinggi.

Kita bukan tidak percaya kewujudan wali. Akan tetapi siapa yang wali itu adalah rahsia Allah ‎ﷻ. Bukannya ada majlis pelantikan wali di dunia ini. Jadi kita memang tidak tahu. Kalau dilantik dalam mimpi, maka teruskan tinggalkan dalam mimpi sahaja (berangan mimpi jadi wali). Janganlah dibawa ke dunia nyata pula. Teruskan sahaja tidur tanpa menyesatkan orang lain.

 

بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

disebabkan amal-amal soleh yang selalu mereka kerjakan.

Ayat ini mengajar kita bahawa untuk masuk syurga, kita hendaklah melakukan amal ibadat yang soleh. Kita hendaklah berusaha untuk mendapatkannya dan bukan hanya dengan goyang kaki sahaja. Tidaklah dikatakan kita beriman tetapi tidak melakukan amal ibadat yang soleh.

Kalau kita duduk di dunia pun dan ingin mendapat rumah yang cantik, maka kita hendaklah juga membayar harganya. Kena belajar tinggi-tinggi dan bekerja keras untuk mendapat cukup wang untuk membeli rumah besar dan cantik itu. Begitulah juga untuk mendapat rumah di Syurga, hendaklah kita berusaha dengan melakukan amal-amal ibadat.

Dan amal ibadat itu adalah amal ibadat yang soleh, iaitu amal ibadat yang tidak bid’ah. Tinggalkan amal ibadat yang tidak jelas daripada nas syarak. Banyak lagi amal ibadat yang telah diajar oleh Nabi ﷺ kita. Kenapa kita perlu lagi hendak buat amal ibadat yang tidak tentu puncanya? Kenapa keliru sangat bab bid’ah ini? Kenapalah susah hendak faham? Kenapa hendak dipertahankan amalan-amalan yang tidak ada dalilnya dalam sunnah?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 18 Mac 2022


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah al-An’am Ayat 125 – 127 (Yang disempitkan dadanya)”

  1. Assalamualaikum.Semoga dikurniakan pahala yg berlipat ganda atas usaha ini .Saya selalu baca bila ada ketidakfahaman dan ada kesempatan.Alhamdulillah.Terima Kasih

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s