Tafsir Surah Fussilat Ayat 1 – 5 (Al-Qur’an yang jelas)

Pengenalan:

Tauhid dalam berdoa dijelaskan dalam tujuh surah dan kesemua tujuh surah itu dimulakan dengan ayat Muqatta’ah ‘haa mim‘. Surah-surah itu menunjukkan apakah kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat Islam kita. Apa yang masyarakat kita buat sekarang sebenarnya dalam hal berdoa banyak yang bertentangan dengan Al-Qur’an.

Diharap anda yang membaca tafsir ini membuka hati, minda dan iman anda untuk menilai semula apakah yang dilakukan dalam masyarakat kita. Jangan kerana kita sudah biasa buat sesuatu perkara itu, kita rasa ianya adalah benar belaka. Kita kena nilai perbuatan amalan kita itu dengan Al-Qur’an dan juga hadis yang sahih.

Surah Hamim 7 tauhid dalam berdoa

Dalam surah Ghafir, kita telah belajar Dakwa dalam surah itu untuk seru hanya Allah ﷻ sahaja dalam berdoa. Terutama dalam perkara yang luar asbab. Perbuatan kufur dan syirik kalau kita minta dan seru kepada selain Allah ﷻ.

Contoh perkara luar asbab adalah seperti permintaan dijauhkan dari bala. Iaitu perkara-perkara yang tidak boleh diselesaikan oleh selain dari Allah ﷻ. Kerana hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh menyelamatkan kita dari bala. Maka kena minta kepada Allah ﷻ sahaja.

Kalau kita minta tolong kepada makhluk dalam perkara dalam asbab, masih boleh lagi, tapi tidak boleh bergantung harap sangat. Contohnya, kita minta tolong seorang doktor berikan rawatan kepada kita. Tapi kita memang tidak boleh berharap sangat kepada doktor itu kerana dia boleh usaha sahaja, tapi yang menyembuhkan adalah Allah ﷻ. Kena ingat sungguh perkara ini. Kalau kita bergantung kepada doktor, itu akan melemahkan keimanan kita kepada Allah ﷻ. Begitu juga dalam perkara-perkara yang lain. Walaupun kita minta tolong kepada orang lain, kita masih kena letak pengharapan kepada Allah ﷻ.

Sebab itu dalam perbuatan kita, Nabi ﷺ ajar doa dan zikir kepada Allah ﷻ. Supaya kita sentiasa ingat untuk bergantung kepada Allah ﷻ. Sebab kita tidak tolak asbab adalah kerana kita hanyalah manusia. Maka memang kita ada memerlukan pertolongan manusia.

Tapi dalam melakukan perkara-perkara yang biasa pun dalam kehidupan, kita diajar doa dan zikir kepada Allah ﷻ. Sebagai contoh, masa nak makan kita diajar baca Basmalah. Sebab nak ingatkan bahawa Allah ﷻ yang beri rezeki itu kepada kita. Lepas makan pun Nabi ﷺ ajar doa makan supaya tidak rosak akidah kita.

Surah Fussilat ini juga dinamakan ‘Hamim Fussilat’ atau ‘Hamim Sajdah’. Kerana ada ayat sajdah di dalam surah ini. Nama-nama surah diberikan kerana terdapat perkara-perkara utama di dalamnya. Sebab itu kadang-kadang satu-satu surah itu ada lebih dari satu nama.

Fussilat diambil dari kata dasar ف ص ل yang bermaksud menjelaskan sesuatu perkara itu dengan detail dengan mengkategorikannya satu persatu. Apabila kita baca surah ini, kita akan lihat bagaimana Allah ﷻ akan ketegorikan mana yang iman dan mana yang kufur dan dijelaskan dengan sejelas-jelasnya.

Surah ini turun di Mekah dan memang semua Surah Hamim Tujuh ini turun di Mekah. Seperti yang kita tahu, surah-surah yang diturunkan di Mekah mengandungi kandungan dakwah tauhid yang banyak.

Dan turunnya surah ini berturut-turut sampai lengkap. Surah-surah yang lain kebanyakannya turun tidak berturutan. Kebanyakan surah turun sikit-sikit dan bercampur surah antara satu sama lain. Nabi ﷺ yang kemudian beritahu di mana ayat-ayat Al-Qur’an itu patut disusun.

Kesemua surah yang dimulakan dengan Ha-Mim ini menceritakan tentang kepentingan Al-Qur’an. Selepas sahaja disebut huruf Ha-Mim itu, terus disebut tentang Al-Qur’an. Ini adalah kerana Al-Qur’an menekankan bahawa dakwah perlu dilakukan dengan menggunakan Al-Qur’an.

Kesemua surah ha-mim ini juga menyebut tentang Nabi Musa عليه السلام dan usaha dakwahnya. Kalau kita ikut logik kita, sepatutnya kisah Nabi Musa عليه السلام sepatutnya diletakkan dalam surah-surah Madinah kerana di Madinahlah baru orang Islam banyak berjumpa dengan orang Yahudi. Tapi kenapa ada kisah Nabi Musa عليه السلام dalam surah-surah Makkiyah?

Ini adalah kerana surah-surah ini hendak memberikan kekuatan kepada Nabi ﷺ dan kepada sahabat yang waktu itu amat sikit. Mereka sedang ditindas orang kafir dan kehidupan mereka amat susah sekali. Mereka sudah mula rasa putus asa dan mereka rasa amat susah sangat memegang ajaran tauhid.

Oleh itu, Allah ﷻ hendak memberitahu mereka bahawa bukan mereka sahaja yang mengalami masalah itu. Umat Nabi Musa عليه السلام pun melalui perkara yang sama juga. Zaman dulu pun ada Nabi dan ada pengikut-pengikut mereka dan juga penentang-penentang mereka.

Semasa surah ini diturunkan, gangguan kepada orang Islam telah meninggi sekali. Musyrikin Mekah juga sampai sudah mula hendak beri rasuah kepada Nabi ﷺ. Yang dihantar kepada Nabi ﷺ untuk menyampaikannya adalah Utbah ibn Rabiah. Dia adalah seorang pemimpin yang dihormati di Mekah. Dia pun telah berjumpa dengan Nabi ﷺ dan mula marah-marah kepada Nabi ﷺ.

Dia tuduh Nabi ﷺ telah memecah-belahkan umat Arab. Antara suami isteri, ayah dan anak dan sebagainya. Dia kata, kalau Nabi ﷺ hendak perempuan, dia boleh berikan siapa sahaja Nabi ﷺ hendak; kalau Nabi ﷺ hendak harta, mereka boleh kumpul dan beri sampai tidak ada yang lebih kaya dari baginda; kalau Nabi ﷺ hendak kedudukan, mereka boleh angkat baginda jadi Raja Tanah Arab; apa sahaja yang Nabi ﷺ hendak, mereka boleh berikan. Asalkan baginda berhenti dari berdakwah agamanya.

Nabi Muhammad ﷺ biarkan sahaja Utbah mengomel. Kemudian, Nabi ﷺ terus membaca Surah Fussilat ini sampai ke ayat ke 26. Apabila sampai kepada ayat itu, Utbah tutup mulut Nabi ﷺ dengan tangannya kerana dia tidak sanggup lagi dengar ayat-ayat Al-Qur’an itu kerana dia sudah rasa takut.

Surah ini juga menekankan kepentingan para sahabat bersatu padu. Ini amat penting kerana mereka waktu itu amat sedikit. Ia mengajar kita yang dalam aliran Sunnah ini kenalah bersatu. Kerana kita sedikit sekarang. Maka amat memalukan kalau sesama sunnah pun tidak tahu hendak berbeza pendapat sampaikan berkelahi sesama sendiri.

Surah ini juga banyak menekankan tentang dakwah. Dan surah ini menekankan bahawa dakwah itu perlu dilakukan dengan menggunakan Al-Qur’an. Kita kena belajar tafsir Al-Qur’an dan selepas itu, hendaklah kita sampaikan tafsir Al-Qur’an kepada manusia yang lain.

Malangnya, dalam banyak usaha dakwah kepada masyarakat, penggunaan Al-Qur’an tidak ditekankan. Mereka ramai yang guna muzik, guna kisah-kisah, guna perkara-perkara lain, tapi Al-Qur’an tidak digunakan secara utama.

Itu adalah salah kerana kita kena ingat bahawa Nabi ﷺ berdakwah menggunakan Al-Qur’an. Kalau kita tidak mampu hendak menyampaikan tafsir itu, hendaklah kita mengajak mereka untuk belajar tafsir Al-Qur’an di kelas-kelas yang ada. Dengan itu, saya menjemput saudara-saudari sekalian yang membaca penulisan ini untuk datang ke kelas pengajian tafsir Al-Qur’an yang sudah banyak ada sekarang.

Kekeliruan yang hendak diceritakan dalam surah ini adalah tentang ‘seru selain daripada Allah‘, dan mereka yang melakukan perbuatan itu kata, mereka dapat amalan itu daripada tok nenek atau guru-guru mereka yang ajar. Mereka kata bukannya mereka reka sendiri tapi telah lama ada, maka apa salahnya?

Mereka juga akan kata bahawa dengan perbuatan seru itu, mereka dapat juga apa yang mereka minta, Allah ﷻ makbulkan juga. Walaupun mereka minta tolong kepada penunggu pun dapat juga. Maka Allah ﷻ hendak memberitahu dalam surah ini yang dapat atau ‘menjadi’nya sesuatu perkara itu bukan dalil kepada benarnya perbuatan itu.

Contohnya, kita biasa lihat perayaan Thaipusam. Mereka boleh jalan kaki 23 batu di tengah jalan tanpa pakai kasut. Sambil itu mereka menari-nari. walaupun tubuh mereka dicucuk-cucuk Macam-macam mereka buat di badan mereka. Sangkut limaulah, cucuk lidahlah dan sebagainya. Mereka tak rasa sakit pun.

Mereka telah berpuasa tiga bulan sebelum melakukan perkara-perkara karut itu. Mereka boleh buat perkara yang menakjubkan itu sebenarnya kerana mereka telah dimasuki jin. Mereka tikam tubuh mereka sana dan sini dengan bawa Kavadi sambil berkaki ayam. Bukan itu sahaja, mereka akan naik 260 tangga Batu Caves itu.

Sambil jalan tu mereka jamah kepala orang-orang yang berdekatan untuk beri berkat kepada mereka. Mereka kata mereka buat semua itu semoga tuhan ampun dosa mereka. Dan mereka buat semua itu supaya periuk makanan mereka sentiasa penuh dengan makanan pada tahun itu.

Maknanya, mereka memohon rezeki sepanjang tahun untuk mereka dan keluarga. Mereka juga hendakkan berkat dari tuhan. Mereka tak rasa sakit atas apa yang mereka buat. Tak luka dan tiada kesan langsung selepas tiga hari. Telah ‘menjadi’ apa yang mereka buat itu. Adakah ‘menjadi’ itu tanda betul perbuatan mereka itu?

Tentu tidak, kerana mereka agama Hindu dan kita pun tahu yang agama Hindu adalah agama yang syirik. Jadi, kalau hal berdoa dengan cara yang syirik dalam masyarakat kita, kenapa kita terima dan kata ianya benar kerana apa yang dilakukan oleh mereka itu ‘menjadi’? Ia bukan dalil dan bukti ia benar.

Allah ﷻ izinkan perbuatan mereka itu berjaya, walaupun ianya dari akidah yang salah. Kerana semua kejadian adalah atas keizinan Allah ﷻ juga. Allah ﷻ izinkan mereka kufur kalau mereka nak kufur. Tapi Allah ﷻ tidak redha dan Allah ﷻ akan hukum mereka nanti. Ini ada diceritakan dalam Ayat ke 25 surah ini nanti.

Allah ﷻ berikan syaitan sebagai teman rapat dan Allah ﷻ bagi mereka rasa ‘betul’ perbuatan mereka. Mereka nampak bahawa benarlah apa yang mereka buat itu kerana semuanya menjadi. Oleh kerana perbuatan mereka itu, telah ditetapkan atas mereka keputusan azab berserta umat-umat yang telah berlalu sebelum mereka.

Syaitan yang bersama mereka itu dinamakan Quranaa’. Quranaa’ itu adalah teman rapat yang terdiri dari jin dan guru-guru yang mengajar ajaran salah. Untuk faham ayat ini, kena rujuk juga dalam ayat Zukhruf:36: sesiapa yang tidak peduli peringatan tuhan ar-Rahman, iaitu sesiapa yang tak peduli nak belajar tafsir Al-Qur’an, Allah ﷻ akan ‘hadiahkan’ dia dengan seekor syaitan sebagai Personal Adviser- kawan rapat iaitu qarin mereka.

Mereka itu akan memesongkan orang itu dari jalan Allah ﷻ. Mula-mula seekor sahaja, tapi apabila mereka semakin bertambah melakukan kesalahan syirik, maka syaitan itu akan bertambah dan berlapis-lapis.

Tapi mereka menyangka mereka sekarang sedang terpimpin. Mereka rasa begitu kerana mereka sembahyang tak tinggal dan amalan agama yang lain mereka sudah buat seperti puasa dan berzikir dan sebagainya. Tapi mereka tak nak belajar maksud Al-Qur’an sebab tak rasa penting belajar tafsir. Mereka rasa mereka sudah betul dalam hal agama. Jadi, walaupun seseorang yang rajin baca Al-Qur’an, hafal Al-Qur’an, tapi jika dia tak belajar tafsir Al-Qur’an, belum tentu lagi dia benar.

Sebab dia tak tahu apakah perbuatan salah yang dia buat. Dia cuma membaca Al-Qur’an tanpa memahami apakah yang mahu disampaikan oleh Al-Qur’an itu.

Oleh itu dalam surah ini, selain dari menyentuh tentang tauhid dalam berdoa, ia juga mengandungi jawapan kepada kesamaran tentang tauhid dalam berdoa. Surah Ghafir sudah menekankan kepentingan seru hanya Allah ﷻ dalam berdoa. Tetapi, ada kesamaran manusia dalam berdoa.

Ada 6 keraguan penting yang dijawab dalam 6 surah Ha Mim. Kesamaran pertama dijawab dalam Surah Fussilat ini. Apakah kesamaran itu? Apabila ada yang seru selain Allah ﷻ, tapi ‘menjadi’ apa yang mereka minta walaupun mereka berdoa kepada selain dari Allah ﷻ.

Sebagai contoh, mereka dapat sembuhkan penyakit, dapat jalan atas air dan macam-macam lagi perkara ‘luar adat’ yang mereka boleh buat. Kenapa boleh ‘menjadi’ sedangkan agama kata tak boleh doa dan seru selain Allah ﷻ? Kalau tak boleh, takkan Allah ﷻ beri jadi, bukan?

Kemudian mereka kata, dengan mereka mengamalkan amalan dan doa-doa tertentu, ada wali datang malam-malam dalam mimpi mereka dan mengajar mereka tentang agama dan ilmu rahsia. Itulah antara kesamaran mereka yang mengamalkan syirik dalam doa. Dan kerana itu, mereka meneruskan amalan syirik mereka itu.

Dan mereka yang seru selain Allah ﷻ, dapat mimpi pula yang kononnya dikatakan ‘wali’ datang dan macam-macam lagi mimpi yang mereka tafsir sebagai berita gembira kepada mereka. Kononnya ada ‘wali’ yang ajar ilmu kepada mereka. Kita kena ingat bahawa yang datang dalam mimpi itu adalah jin dan jin hanya datang kepada mereka yang akidah bermasalah.

Mimpi itu karut dan tidak boleh untuk dijadikan sebagai hujah dan dalil. Mana mungkin boleh dijadikan sebagai dalil kerana Syaitan yang datang sebenarnya. Syaitan itu datang kerana memang mereka sudah ada hubungan dengan syaitan. Kerana mereka selalu menyeru selain dari Allah ﷻ, dan sebenarnya mereka tidak sedar mereka menyeru jin belaka.

Itu adalah jin syaitan jenis qurana’ atau qarin. Allah ﷻ memang beri kepada mereka kerana mereka sudah ada akidah yang salah. Jadi ingatlah yang mimpi bukan tanda syariat.

Syaitan pandai menipu manusia. Ini adalah salah satu cara yang mereka lakukan: jin akan menimpakan kesusahan kepada seseorang dan mereka juga yang menghilangkannya apabila orang itu melakukan amalan yang syirik.

Syaitan kemudian akan datang ke dalam mimpi orang itu dan mengajarkan bagaimana hendak menyelesaikan masalah itu. Dan apa yang perlu dilakukan itu adalah amalan syirik. Allah ﷻ boleh lakukan perkara ini sebagai ujian kepada manusia.

Tidaklah ‘menjadi’ amalan seruan mereka itu sebagai tanda yang amalan yang mereka buat itu benar. Bukanlah itu menjadi tanda yang Allah ﷻ suka dengan apa yang mereka telah lakukan. Ini adalah silap faham manusia yang amat besar. Mereka dapat apa yang mereka kehendaki tanpa ada masalah. Tapi tidaklah bermakna Allah ﷻ redha.

Macam duit rompak, elok sahaja pakai duit itu. Ada yang tolong orang susah dengan duit rompak itu pun. Tapi kena ingat, yang haram tetap haram. Segala yang nampak menjadi itu, adalah ujian dari Allah ﷻ sahaja, untuk melihat sama ada manusia nak pegang dengan sebab amalan mereka ‘menjadi’, atau mereka nak pakai wahyu yang jelas melarang perbuatan mereka itu.

Gula yang dibeli dengan duit haram tetap juga manis rasanya. Tidaklah pula gula yang dibeli dengan duit haram bertukar rasa jadi masam.

Fussilat ayat 25 tafsir sunnah
Tema atau Dakwa Surah Fussilat.

Ayat 25 adalah Maksud Surah ini dan ianya menjawab kesamaran ini. Dalam ayat itu, Allah ﷻ memberitahu yang Dia akan memberi qarin (syaitan yang berdamping) kepada mereka yang mengamalkan amalan syirik.

Qarin itu menjadi penguat kepada mereka untuk terus mengamalkan akidah syirik mereka. Qarin itu berkawan dengan mereka kerana mereka sendiri yang jauh dari Al-Qur’an dan anti kepada ajaran Al-Qur’an.  Sedangkan Al-Qur’anlah pegangan kita yang sebenar dan yang sepatutnya. Kerana kesalahan mereka itu, Allah ﷻ sengaja butakan mata hati mereka.

Qarin itu akan memperlihatkan amalan syirik mereka yang di depan dan di belakang nampak betul pada pandangan mereka. Dalam semua keadaan, mereka akan tipu kita. Sama ada dalam bermuamalat dalam masyarakat, dalam ibadat dan dalam kehidupan kita. Setiap ruang akan digunakan oleh Qurana’ itu.

Qarin itu menampakkan melalui cara mimpi atau secara yaqazah (muncul nyata dengan mata). Itu semua boleh sahaja, dalam qudrat Allah ﷻ, sebagai ujian buat manusia. Selalunya, dalam bentuk bisikan pada telinga. Kalau dah teruk sangat buat amalan syirik, seseorang itu boleh dengar seperti ada orang berbisik pada telinga mereka.

Itu terjadi kepada mereka yang memang sudah teruk sangat, sudah lama mereka beramal dengan amalan syirik dah. Mereka jenis begitu, amat susah nak terima tauhid. Mereka sangka mereka sudah sampai ‘maqam’ yang tinggi dalam ilmu mereka dan kerana itu mereka sukar untuk buang fahaman dan amalan salah mereka itu.

Qarin itu akan bagi orang yang mengamalkan syirik itu nampak syirik yang mereka amalkan itu adalah tauhid, dan bid’ah yang mereka amalkan itu mereka sangka sunnah. Oleh itu, qarin itu telah menutup racun dengan menampakkan ianya sebagai penawar. Kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an, maka akan senang tertipu. Kerana syaitan amat licik sekali dalam memperdayakan manusia.

Kerana itu, maka memang patutlah mereka masuk neraka selama-lamanya. Maka terjadilah janji Allah ﷻ untuk memenuhkan neraka dengan jin dan manusia. Nanti apabila sampai pada ayat itu, kita akan menafsirkan dengan lebih jelas lagi.


Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan 7 perenggan makro. Ayat 1 – 8 adalah Perenggan Makro Pertama dan Allah ﷻ menceritakan tentang Al-Qur’an. Ia membawa berita gembira dan yang membawa peringatan, tetapi kebanyakan mereka berpaling, tidak mahu mendengarkan.

حم

Hamim.

Ini adalah salah satu dari ayat-ayat Muqatta’ah. Kita tak tahu maknanya.

Oleh itu kita mulakan belajar tafsir surah ini dengan tidak tahu apakah maksudnya. Maknanya, kita tidak akan tahu selagi Tuhan tak bagi tahu maksud ayat ini. Kalau Tuhan tak ajar kepada kita, kita tak akan tahu apa-apa pun.

Kita telah sentuh tentang perkara ini dalam surah-surah lain yang ada juga huruf-huruf muqattaah ini.


Ayat 2: Allah ﷻ hendak menceritakan kedudukan dan kelebihan Al-Qur’an. Apabila kita tahu nilai tinggi sesuatu perkara itu, barulah kita nak cari. Kita sanggup bergadai untuk mendapatkan sesuatu kalau kita tahu sesuatu perkara itu tinggi nilainya. Oleh itu, Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa Al-Qur’an itu bukan sebarangan.

تَنزيلٌ مِّنَ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

Sahih International

[This is] a revelation from the Entirely Merciful, the Especially Merciful –

Malay

Turunnya Kitab ini dari Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

تَنْزِيلٌ

Penurunan; 

Tidak disebut ‘apa’ yang diturunkan, tapi kita tahu bahawa ianya adalah kitab Al-Qur’an yang kita sedang baca ini. Penurunan Al-Qur’an itu selama 23 tahun secara beransur-ansur. Penurunan Al-Qur’an itu diturunkan sedikit demi sedikit supaya umat yang menerimanya dan dapat memahaminya dengan jelas. Kalau turun terus banyak, tentulah mereka akan rasa berat untuk memahaminya.

Begitu juga dengan kita. Walaupun pada kita telah ada Al-Qur’an yang lengkap, tapi untuk kita memahaminya, kita hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an ini sedikit demi sedikit, ayat demi ayat. Bukan terus belajar terus dengan banyak, tapi pemahaman kurang. Biarlah ayat yang kita belajar itu sedikit, tapi pemahaman kita mendalam. Kita belajar mana yang boleh dahulu, amalkan mana yang kita dah faham, kemudian tambah lagi ayat yang baru.

Jangan kelam kabut nak habiskan sebanyak mungkin ayat Al-Qur’an, tapi pemahaman kita sedikit sahaja. Akhirnya, kita tidak mengamalkan mana yang kita sudah tahu, kerana kita sibuk nak habiskan belajar. Kerana kita nak berbangga dengan orang: ‘Aku dah habis belajar tafsir 30 juzuk, dah habis satu Al-Qur’an aku belajar” – tapi tak faham makna yang hendak Allah ﷻ sampaikan.

مِّنَ الرَّحْمَٰنِ

daripada (Tuhan yang bersifat) ar-Rahman.

Juga tidak disebut siapakah yang bersifat ar-Rahman dalam ayat ini. Tetapi kita tahu dan Arab Mekah pun tahu bahawa yang dimaksudkan adalah Allah Taala.

Sifat Penyayang Ar-Rahman adalah seperti sifat penyayang seorang bapa. Seorang bapa sanggup melihat anaknya menderita agar anak itu belajar erti hidup. Begitulah Allah ﷻ sanggup melihat hamba-Nya terseksa di dunia dalam nak buat ibadat. Seperti seorang bapa yang sanggup tengok anak dia susah sebab nak ajar dia sesuatu. Dan memang dunia ini adalah tempat ujian pun.

Oleh itu, Allah ﷻ sanggup lihat hamba-Nya yang beriman susah duduk dalam dunia kerana hendak tegakkan Al-Qur’an ini. Kerana bukan senang nak tegakkan semua yang tertulis dalam Al-Qur’an itu. Orang benci, orang lawan dan orang kata macam-macam.

Dan sifat Penyayang Allah boleh memberi apa sahaja kepada hamba-Nya tidak kira sama ada mereka itu seorang Muslim atau kafir. Kerana sifat penyayang ini menyeluruh kepada semua makhluk. Kita sudah bincangkan perkara ini dalam tafsir Surah Fatihah.

الرَّحِيمِ

ar-Rahim

Ini adalah sifat Allah ﷻ yang amat sayang kepada makhluk-Nya. Lagi sayang dari seorang emak yang sayangkan anak dia. Seorang emak itu terlalu sayang kepada anaknya, sampai tidak sanggup melihat anaknya menderita.

Oleh itu tidak sama sayang seorang emak dengan seorang bapa. Allah ﷻ pula berpuluh-puluh kali ganda lagi sayang-Nya dari sayang emak itu kepada anaknya.

Ar-Raheem ini pula sifat penyayang yang khusus kepada hamba-Nya yang mukmin. Mereka akan dimasukkan ke dalam syurga dan dosa mereka akan diampunkan. Apabila Dia telah mengampun dosa seseorang makhluk, Dia tidak akan ungkit lagi. Dan Dia akan memberikan segala macam nikmat kepada hamba-Nya itu dengan nikmat yang tidak terkira.

Sifat raheem Allah ini tidak sanggup lihat hamba-Nya menderita dalam neraka kalau semasa di dunia mereka telah menegakkan Al-Qur’an. Maka, Allah ﷻ akan masukkan ke dalam syurga.

Penerangan tentang ar-rahman dan ar-raheem ini dibincangkan dengan panjang lebar lagi dalam Surah Fatihah.

Allah ﷻ nak beritahu kepada kita, bahawa Allah ﷻ turunkan Al-Qur’an ini kepada kita atas sifat penyayang-Nya itu. Kerana Allah ﷻ sayang kepada kitalah, Allah ﷻ berikan petunjuk berupa Al-Qur’an ini kepada kita. Supaya kita jadikan sebagai pedoman. Supaya kita tidak buat salah selama hidup di dunia. Supaya kita hidup harmoni di dunia ini dengan panduan yang diberikan dalam Al-Qur’an. Dan supaya kita selamat di akhirat kelak.

Apabila kita faham begini, maka kita akan memandang Al-Qur’an ini sebagai satu pemberian yang tinggi dan hebat dari Allah ﷻ. Macam kalau kita terima hadiah dari ibubapa kita, tentulah kita sayang pemberian itu kerana kita tahu mereka beri hadiah itu kerana mereka sayang kepada kita. Kalau pemberian hadiah yang tidak seberapa itu pun kita dah hargai, apatah lagi Al-Qur’an yang amat hebat ini?


Ayat 3: Ini adalah targhib (ajakan) kepada mempelajari makna-makna dalam Al-Qur’an. Allah ﷻ ajak kita belajar tafsir Al-Qur’an.

كِتٰبٌ فُصِّلَت ءآيٰتُهُ قُرءآنًا عَرَبِيًّا لِّقَومٍ يَعلَمونَ

Sahih International

A Book whose verses have been detailed, an Arabic Qur’an for a people who know,

Malay

Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Qur’an yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya.

كِتٰبٌ فُصِّلَتْ ءآيٰتُهُ

Sebuah kitab yang dijelaskan ayatnya.

Kalimah فُصِّلَتْ bermaksud ayat-ayat Al-Qur’an itu dipecahkan dan diperjelaskan satu persatu. Ini dilakukan supaya Al-Qur’an dan agama ini mudah difahami. Itulah cara Al-Qur’an. Seperti juga kalau sesuatu perkara itu besar, maka untuk memudahkannya, kita pecahkan perkara itu satu persatu supaya kita mudah faham.

Contohnya, untuk kita faham biologi, kita akan pecahkan perbincangan tentang tubuh badan manusia itu ikut bahagian tubuh (kepala, kaki, tangan dan sebagainya), kemudian kita akan belajar satu persatu bahagian tubuh itu. Dan kemudian kita kaitkan kepada keseluruhan badan.

Allah ﷻ hendak menegaskan yang Al-Qur’an ini adalah kitab yang jelas. Semua yang disampaikan dalam Al-Qur’an ini sudah jelas nyata terutama sekali bab akidah. Sampaikan tidak perlu lagi nak rujuk kitab-kitab lain kerana Al-Qur’an telah menjelaskan tentang akidah dan tauhid dengan sejelas-jelasnya dan diulang berkali-kali dalam banyak surah.

Segala kekeliruan tentang Allah ﷻ yang dalam hati manusia itu telah ada dijelaskan dalam Al-Qur’an ini. Allah ﷻ menyebut perkara yang dulu, sekarang dan akan datang. Memang kita pasti akan tersentuh dengan ayat-ayat Al-Qur’an; kalau tidak kena pada ayat ini, tentu akan kena pada ayat lain. Kadang-kadang, apabila kita baca sesuatu ayat itu, rasa macam ianya memperkatakan tentang diri kita sahaja. Begitulah hebatnya Al-Qur’an menyentuh hati kita.

Maka hendaklah kita yakin yang ayat-ayat Al-Qur’an yang jelas nyata itu. Yang tak jelas adalah kerana tak belajar sahaja, bukan sebab ayat itu tidak jelas. Kalau tidak belajar, memang tidak akan tahu apa-apa pun. Jadi, untuk tahu apa yang hendak disampaikan oleh Allah ﷻ dalam Al-Qur’an, kenalah belajar tafsir Al-Qur’an ini.

Malangnya, masyarakat kita, ramai yang tak tahu pun tentang kepentingan belajar tafsir Al-Qur’an ini. Macam-macam ilmu mereka belajar, macam-macam kitab mereka baca, tapi Al-Qur’an itu mereka tak faham lagi pun. Pembelajaran Al-Qur’an masih terpencil tapi nampaknya sekarang orang semakin mempelajarinya, Alhamdulillah.

قُرْءآنًا عَرَبِيًّا

Al-Qur’an itu berbahasa Arab.

Allah ﷻ mengingatkan penerima pertama Al-Qur’an iaitu Arab Quraish yang Al-Qur’an itu dalam bahasa mereka sendiri, jadi tidak ada masalah untuk mereka faham. Bukannya dalam bahasa lain, maka mereka tidak ada alasan untuk kata mereka tidak faham.

Bahasa Arab adalah satu bahasa yang amat mantap. Tepat bahasanya dan memberi penjelasan yang hebat. Ianya bahasa yang amat kaya kalau dibandingkan dengan bahasa-bahasa lain.

Ianya juga adalah bahasa Nabi kita, ﷺ. Cuma, kalau ada orang yang kata ianya ‘bahasa Syurga’, itu belum tentu lagi kerana tidak ada dalil yang sah mengatakan sedemikian. Jadi jangan sebut ianya ‘bahasa Syurga’ kalau tidak ada dalil.

Bahasa Arab juga adalah bahasa yang indah. Tambahan pula apabila digunakan dalam pembacaan Al-Qur’an. Sebab itu orang kafir pun boleh tersentuh kalau dengar Al-Qur’an dibacakan kepada mereka. Dan telah sampai kepada kita, bukan sahaja matan Al-Qur’an, tapi cara membacanya juga – itulah yang dinamakan tajwid.

Nak baca Al-Qur’an pun sudah diajar dengan cara yang indah, yang menyebabkan hati kita tersentuh apabila membacanya. Dan memang Al-Qur’an ini perlu dibaca setiap hari sebagai halwa telinga kita kerana ianya memang sedap. Berhentilah dari dengar lagu-lagu lain. Ini kerana kita sudah ada hiburan dalam bentuk Al-Qur’an, apa lagi yang diperlukan?

Allah ﷻ memberitahu kepada kita bahawa Al-Qur’an itu adalah satu ‘kitab’ dan ianya adalah satu kitab yang jelas. Salah satu sebab ianya jelas adalah kerana ianya diturunkan dalam bahasa Arab. Kalau Al-Qur’an itu dalam bahasa Melayu, nak kena pakai satu treller lori baru boleh sampai maksud yang hendak disampaikan. Tapi Al-Qur’an pakai 30 juzuk sahaja kerana bahasa Al-Qur’an itu cukup mantap untuk sampaikan ilmu kepada kita.

Oleh itu, ini memberi motivasi kepada kita untuk belajar bahasa Arab, terutama sekali bahasa Arab yang digunakan dalam Al-Qur’an.

Maksud perkataan ‘Qur’an’ itu adalah ‘kitab yang sentiasa dibaca’. Tidak ada kitab lain melebihi Al-Qur’an dari segi bacaannya. Tidak ada kitab lain yang dibaca macam kitab Al-Qur’an. Tidak ada mana-mana kitab dalam dunia ini yang dihafal seperti Al-Qur’an. Kitab lain pun memang manusia ada baca juga, tapi sekali sekala sahaja, dan lepas baca tu simpan tak tengok lagi selalunya.

Al-Qur’an itu untuk semua orang, tapi yang terima adalah:

لِّقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

bagi kaum yang (mahu) mengetahui.

Al-Qur’an ini ditujukan kepada semua manusia, tapi yang menerimanya adalah mereka yang mahu mengetahui kebenaran. Kita kena tambah perkataan ‘mahu’ dalam terjemahan ini supaya sampai maksud. Mereka akan mengetahuinya agama setelah mereka belajar makna-makna ayat-ayat Al-Qur’an itu. Iaitu setelah mereka belajar tafsir.

Tetapi mestilah dimulai dengan kehendak inginkan kepada kebenaran. Ingin tahu kebenaran adalah sifat ‘inabah’ yang akan membawa kepada kefahaman. Untuk faham pula, kena belajar tafsir. Bukan hanya membaca dan menghafal sahaja. Dan kena belajar tafsir itu dengan guru-guru yang tahu, iaitu guru yang sudah belajar tafsir.

Mereka yang hendak mengetahui itu adalah mereka yang hendak kenal Allah ﷻ dan hendak kembali kepada Allah ﷻ. Dalam hatinya ada perasaan: ihdinas siraat mustaqim. Iaitu mereka berdoa kepada Allah ﷻ: “Pimpinlah aku ke jalan yang lurus”.

Tapi malangnya, kebanyakan dalam masyarakat kita, sudah tidak mengetahui ayat-ayat Al-Qur’an itu, dan mereka pun tidak ingin hendak mengetahui. Sama ada mereka rasa mereka sudah pandai sampai tak payah belajar lagi, atau mereka rasa mereka tak perlu tahu.

Mereka tidak kisah sama ada apa yang mereka buat itu benar atau tidak. Salah atau betul mereka tak kisah. Macam mereka pun tak kisah sama ada mereka masuk syurga atau neraka. Adakah begitu?

Kita kata begini berdasarkan dari pengalaman kita yang mengajak ramai orang datang ikut belajar tafsir tapi mereka tak mahu datang. Mereka tidak nampak kepentingan belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka lebih selesa belajar perkara-perkara lain. Sama ada perkara bukan agama ataupun tidak.

Ada yang memang mahu belajar agama, tapi mereka lebih selesa belajar kitab-kitab karangan manusia. Bukan kita kata salah, tapi kenapa mereka tidak belajar dahulu kitab yang paling agung, iaitu Kitab Qur’an ini? Ianya bukanlah karangan manusia tapi ianya adalah kalam Allah yang Maha Mulia. Kenapakah manusia masih lagi tidak ambil endah tentang ayat-ayat Allah ﷻ ini?

Secara ringkasnya, keseluruhan ayat ini memberitahu kepada kita bahawa salah satu sifat Al-Qur’an itu adalah ianya jelas. Dalam ayat seterusnya, akan disebutkan sifat-sifat lain Al-Qur’an itu. Yang mengetahui kejelasan ayat Al-Qur’an itu adalah mereka yang belajar. Lalu bagaimana mereka yang tidak belajar? Mereka itulah yang tidak faham Al-Qur’an.

Mereka rasa Al-Qur’an itu macam sesuatu yang amat asing bagi mereka. Sebelum mereka belajar lagi, mereka sudah cakap yang Al-Qur’an itu susah untuk dipelajari. Jadi, mereka hanya akan belajar kitab-kitab karangan manusia, sedangkan kitab-kitab itu tidak terselamat dari kesilapan. Apabila ada dalam kitab itu kesilapan, maka mereka pun akan tersilap juga. Padahal, apa yang ada dalam Al-Qur’an adalah amat jelas sekali dan selamat dari kesilapan.

Mereka yang tidak mahu kebenaran, akan melarang dan menghalang manusia dari belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka kata nak belajar Al-Qur’an itu bukan senang – macam-macam kena belajar dulu. Kena belajar bahasa Arab, nahu dan sorof dan macam-macam lagi. Akhirnya, manusia rasa susah nak belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka hanya suruh anak murid belajar baca sahaja Al-Qur’an, tapi nak faham Al-Qur’an itu tak perlu.

Mereka hanya belajar agama dengan guru-guru yang guru-guru itu sendiri pun tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Jadi, dari dulu sampai sekarang, manusia duduk dalam kejahilan. Hasilnya, mereka akan buat perkara-perkara yang dilarang dalam Al-Qur’an. Dan antara perkara yang dilarang dalam Al-Qur’an adalah syirik. Oleh itu, apabila manusia tidak belajar tafsir Al-Qur’an, mereka akan buat perkara syirik kerana mereka sendiri tidak faham apakah syirik itu sebenarnya.

Maka, hendaklah kita menjadi orang yang ‘tahu’. Belajarlah tafsir Al-Qur’an itu supaya kita tahu apakah agama ini sebenarnya. Tidaklah susah untuk belajar tafsir Al-Qur’an. Ianya menggunakan bahasa yang mudah difahami. Tidak perlu belajar bahasa Arab sampai mahir pun, sudah boleh faham. Kalau tahu bahasa Arab, lagi bagus. Tapi, jangan jadikan bahasa Arab sebagai halangan untuk belajar tafsir Al-Qur’an.


Ayat 4: Ini adalah dua lagi sifat Al-Qur’an. Dan ayat ini juga mengandungi zajrun bagi mereka yang tidak mahu belajar tafsir.

بَشيرًا وَنَذيرًا فَأَعرَضَ أَكثَرُهُم فَهُم لا يَسمَعونَ

Sahih International

As a giver of good tidings and a warner; but most of them turn away, so they do not hear.

Malay

Ia membawa berita yang mengembirakan (bagi orang-orang yang beriman) dan membawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya), maka dengan sebab itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya.

بَشِيرًا

Membawa berita gembira.

Dalam Al-Qur’an itu ada berita gembira. Iaitu kisah-kisah yang menggembirakan, seperti berita bahawa orang yang soleh boleh masuk syurga, boleh jumpa Tuhan dan sebagainya lagi. Ini memberi motivasi kepada manusia untuk menjadi insan yang beriman.

Di dunia lagi kita sudah boleh periksa diri kita sama ada amalan dan tindak tanduk kita sama dengan Al-Qur’an atau tidak. Sebab itulah Nabi Muhammad ﷺ boleh kata Abu Bakr رضي الله عنه akan masuk syurga kerana perbuatan beliau itu sama sahaja seperti yang disuruh dalam Al-Qur’an.

وَنَذِيرًا

dan ada ancaman 

Ancaman itu bagi manusia yang ingkar pula. Iaitu kehinaan semasa hidup di muka bumi, dan akhirnya bila mati nanti akan diazab di akhirat dengan lebih teruk lagi.

Jadi, dalam Al-Qur’an itu ada berita baik dan ada ancaman. Banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang tergolong dalam dua kategori ini. Berulang-ulang kali diingatkan kepada manusia. Kerana manusia itu perlu selalu diberi ingat. Selalu kita terlupa dalam kesibukan kita dalam dunia ini. Sebab itulah kita disuruh selalu membaca Al-Qur’an – supaya kita mendapat peringatan dalam dua perkara ini.

Oleh itu, Al-Qur’an ini mempunyai dua sifat – memberi berita gembira dan juga memberi ancaman. Dua kualiti ini juga disebut tentang Nabi Muhammad ﷺ. Kerana Nabi ﷺ juga memberi berita gembira dan memberi ancaman kepada manusia.

Allah ﷻ sebut beri berita gembira dulu sebelum beri ancaman. Begitulah kita sepatutnya mulakan dakwah dengan menyebut berita baik dahulu, ajak dia beriman kerana kalau beriman boleh masuk syurga. Kalau yang didakwah itu degil, barulah berikan ancaman kepadanya.

فَأَعْرَضَ أَكْثَرُهُمْ

tapi, kebanyakan mereka masih juga berpaling.

Orang kafir Quraish tidak juga mahu menerima berita gembira dan ancaman yang diberikan dalam Al-Qur’an. Mereka tolak mentah-mentah walaupun sebenarnya mereka tahu itu adalah kebenaran. Mereka sendiri terpesona dengan kehebatan dan keindahan Al-Qur’an. Tapi, kerana sombong, mereka berpaling juga.

Ayat ini jangan kita sangka untuk orang-orang kafir Mekah sahaja. Dalam masyarakat kita sekarang pun amat ramai yang berpaling dari Al-Qur’an. Mereka tak nak belajar tafsir Al-Qur’an dan tak nak ikut Al-Qur’an. Yang tak nak belajar Al-Qur’an itu adalah orang yang sombong seperti yang dijelaskan dalam ayat Zumar:32. Ayat itu bermaksud: Tidakkah neraka jahanam itu tempat yang paling sesuai bagi orang yang sombong tidak mahu belajar Al-Qur’an?

Bayangkan kebodohan masyarakat kita yang tidak mahu belajar maksud ayat-ayat Al-Qur’an yang mulia ini. Jibrail sudah ajar ayat-ayat Al-Qur’an kepada Nabi ﷺ, dan Nabi pula ajar kepada sahabat dan dari sahabat sampai kepada kita. Tapi kita simpan sahaja Al-Qur’an itu. Kita cuai untuk belajar.

Tuhan panggil mereka yang seperti ini ‘sombong’. Sudah ada dengan kita, tapi kita simpan sahaja tak nak belajar. Amatlah rugi sekali mereka itu. Semoga kita tidaklah tergolong dalam kalangan mereka.

فَهُمْ لَا يَسْمَعُونَ

Maka mereka tidak mahu mendengar.

Mereka tidak suka mendengar ajaran dari Al-Qur’an. Oleh kerana itu, mereka jadi kufur. Asalnya kerana tidak mahu dengar sahaja dan nanti mereka akan menyesal di akhirat seperti yang disebut dalam ayat Mulk:10. Mereka menyesal kerana tidak mahu mendengar ajaran dalam wahyu.

Oleh itu, ini mengajar kita yang mendengar ajaran dari ayat-ayat Al-Qur’an adalah amat penting sekali. Kerana kalau tidak dengar, kita akan menyesal nanti. Kerana awal permulaan kepada mendapat kebenaran adalah kesanggupan untuk mendengar dulu tafsir Al-Qur’an. Tapi malangnya, ramai yang dengar pun tidak mahu.

Selepas mendengar, kenalah pula ikut. Kerana belum tentu lagi yang mendengar itu akan ikut, kerana ada juga yang setelah mendengar, mereka degil untuk ikut. Ini kena minta taufik dari Allah ﷻ supaya beri kekuatan kepada kita untuk menerapkan apa yang kita telah belajar dalam kehidupan seharian kita. Kerana kalau Allah ﷻ tidak beri taufik, kita memang tidak boleh nak amalkan. Atau, kita boleh amal, tapi tidak istiqamah.

Kisah berkenaan surah ini: 

Pernah seorang lelaki bernama Utbah bin Rabiah dihantar oleh orang Quraish untuk berjumpa dengan Nabi ﷺ dan berhujah dengan baginda. Maka, Utbah telah berjumpa dan macam-macam dia kata kepada Nabi. Nabi ﷺ hanya biarkan dia habis bercakap. Kemudian Nabi ﷺ mula membacakan sebahagian Surah Fussilat ini kepada dia.

Imam Muhammad bin Ishaq bin Yasar dalam kitab Siirah menyebutkan bahawa Muhammad bin Ka’ab al-Qurazhi berkata, telah diceritakan bahawa suatu hari, Utbah bin Rabi’ah yang merupakan seorang pembesar ketika duduk-duduk di tempat perkumpulan kaum Quraisy berkata, dan ketika itu Rasulullah ﷺ sedang duduk sendiri di dalam masjid:  “Hai kaum Quraisy, bolehkah aku menemui Muhammad untuk membicarakan dan memperbincangkan beberapa hal, mudah-mudahan dia dapat menerima sebahagiannya, lalu kita dapat memberikan apa sahaja yang dia inginkan dan dia pun menghentikan aksinya terhadap kita.”

Ketika itu Saidina Hamzah رضي الله عنه telah masuk Islam dan mereka pun melihat bahawa para Sahabat Rasulullah ﷺ semakin bertambah banyak. Saidina Umar رضي الله عنه waktu itu pun sudah masuk Islam. Jadi mereka lihat orang-orang hebat sudah masuk Islam, jadi mereka tak boleh nak berkeras sangat. Mereka rasa mereka kena ubah taktik mereka nak menghalang Islam dari terus tersebar.

Maka apabila ditawar oleh Utbah, mereka pun menjawab:  “Tentu, wahai Abul Walid. Temui dan berbicaralah kepadanya.” Lalu ‘Utbah pun berdiri menemui Rasulullah ﷺ, sampai duduk di hadapannya dan berkata: “Hai anak saudaraku, sesungguhnya engkau berasal dari golongan kami, di mana aku tahu keluarga dan kedudukan keturunanmu.

Sesungguhnya engkau telah membawa suatu perkara besar kepada kaummu, yang dengannya engkau memecah-belah kesatuan mereka, engkau bodohkan akal fikiran mereka, engkau cela sembahan dan agama mereka serta engkau kafirkan nenek moyang mereka yang telah pergi. Dengarkanlah aku, aku hendak mengajukan kepadamu beberapa hal yang perlu engkau tinjau kembali. Mudah-mudahan engkau menerima sebahagiannya.”

Lalu Rasulullah ﷺ menjawab: “Katakanlah hai Abul Walid, aku mendengarkan.” ‘Utbah melanjutkan perkataannya: “Hai anak saudaraku, jika dengan hal yang engkau bawa ini engkau menginginkan harta, kami akan menghimpun harta-harta kami hingga engkau menjadi orang yang paling banyak hartanya.

Jika engkau menghendaki kemuliaan, kami akan mengangkatmu sebagai pemimpin kami, hingga kami tidak memutuskan perkara tanpamu. Jika engkau menginginkan kekuasaan, maka kami akan mengangkatmu sebagai raja kami.

Jika yang engkau alami ini adalah kerana penyakit yang tidak mampu engkau tolak dari dirimu, maka kami akan carikan untukmu beberapa orang tabib dan kami sumbangkan harta-harta kami, hingga engkau sembuh darinya.”

Hingga ketika Utbah telah selesai dan didengarkan oleh Rasulullah ﷺ, baginda pun bertanya: “Apakah engkau telah selesai, hai Abul Walid?” Dia menjawab: “Ya.” Nabi berkata: “Dengarkanlah dariku.” Dia menjawab: “Lakukanlah.”

Baginda pun membaca ayat pertama dari Surah Fussilat. Ketika ‘Utbah mendengarnya, dia diam dan meletakkan kedua tangannya ke belakang punggungnya sambil bersandar mendengarkannya, dan baginda ﷺ meneruskan membaca Surah Fussilat hingga Rasulullah ﷺ sampai pada ayat Sajdah, maka baginda pun sujud. Kemudian baginda berkata: “Engkau telah mendengar apa yang telah engkau dengar tadi, hai Abul Walid.”

Utbah lalu berdiri menemui para sahabatnya, maka sebahagian mereka saling berkata dengan sebahagian yang lain: “Kami bersumpah demi Allah, Abul Walid datang dengan wajah yang berbeza dari (tadi) sewaktu dia pergi.” Ketika dia duduk, mereka berkata: “Apa yang terjadi padamu hai Abul Walid?”

Dia menjawab: “Aku telah mendengar suatu perkataan yang demi Allah belum pernah aku mendengar perkataan seperti itu sedikit pun. Demi Allah, itu bukanlah sihir, bukan pula sya’ir dan bukan pula ramalan.

Hai bangsa Quraish, taatlah kepadaku dan jadikan ketaatan kalian itu untukku. Biarkanlah laki-laki itu dengan apa yang disampaikannya. Jauhkanlah diri kalian darinya. Demi Allah, perkataannya yang baru sahaja aku dengar akan mempunyai berita besar. Jika bangsa Arab lain dapat mematahkannya, biarlah dia dipatahkan oleh orang lain.

Dan jika dia menguasai bangsa Arab, maka kerajaannya bererti kerajaan kalian, kehormatannya bererti kehormatan kalian dan kalian akan menjadi manusia yang paling berbahagia.”

Mereka berkata: “Demi Allah, hai Abul Walid, engkau telah disihir oleh lisannya.” Dia menjawab: “Ini pendapatku. Silalah kalian lakukan apa sahaja yang kalian pandang (ingin) untuk kalian.”


Ayat 5: Ini adalah Ayat Syikayah – rungutan Allah ﷻ. Allah ﷻ menceritakan apakah alasan orang yang tidak beriman apabila kita berdakwah kepada mereka.

وَقالوا قُلوبُنا في أَكِنَّةٍ مِّمّا تَدعونا إِلَيهِ وَفي ءآذانِنا وَقرٌ وَمِن بَينِنا وَبَينِكَ حِجابٌ فَاعمَل إِنَّنا عٰمِلونَ

Sahih International

And they say, “Our hearts are within coverings from that to which you invite us, and in our ears is deafness, and between us and you is a partition, so work; indeed, we are working.”

Malay

Dan mereka berkata: “Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami) daripada memahami apa yang engkau serukan kami kepadanya, dan pada telinga kami penyumbat (menjadikan kami tidak dapat mendengarnya), serta di antara kami denganmu ada sekatan (yang memisahkan fahaman kita); oleh itu, bekerjalah engkau (untuk ugamamu), sesungguhnya kami juga tetap bekerja (untuk mempertahankan kepercayaan kami)! “

وَقَالُوا

Mereka berkata,

Yang dimaksudkan adalah orang-orang Musyrikin Mekah masa itu dan orang-orang musyrik sekarang.

Ini adalah kalangan mereka yang sanggup menjawab, kurang ajar dengan Nabi ﷺ. Mereka tergamak berkata begini depan Nabi ﷺ. Sedangkan, ramai juga yang menolak tapi mereka tidak berkata apa-apa.

قُلُوبُنَا فِي أَكِنَّةٍ

Hati kami dalam tutupan

Setelah berkali-kali Nabi ﷺ mengajak mereka kepada Islam, hati mereka masih lagi tertutup. Oleh itu, mereka kata mereka tidak faham apa yang baginda sampaikan.

Begitu juga ramai dari kalangan kita macam itu juga. Ada yang tolak berdepan dengan kita, dan ada yang depan kita senyap, tapi belakang kita menolak apa yang kita beritahu kepada mereka tentang maksud-maksud Al-Qur’an. Begitulah sifat manusia.

Kenapa mereka kata begitu? Kerana mereka rasa diri mereka sudah cukup. Begitulah ramai dari kalangan masyarakat kita yang rasa sudah mengamalkan Islam, mereka solat, puasa dan infak. Oleh kerana itu, mereka tidak ada usaha nak periksa diri mereka dengan Al-Qur’an.

مِّمَّا تَدْعُونَا إِلَيْهِ

daripada apa yang kamu kami kepadanya; 

Ajakan Nabi ﷺ kepada mereka adalah ajakan tauhid. Maka mereka menolak ajakan kepada tauhid kepada mengesakan Allah ﷻ. Lafaz مِمَّا dalam ayat ini adalah ‘ajakan tauhid’. Mereka sendiri mengaku mereka tak mampu nak dengar. Mereka tak boleh nak terima apa yang baginda ﷺ sampaikan.

Mereka tidak mahu dengar itu adalah kerana mereka degil. Begitu jugalah masyarakat Muslim kita yang degil dan tertutup hati dari menerima ajaran wahyu.

وَفِي ءآذَانِنَا وَقْرٌ

Dan pada telinga kami ada sumbatan.

Ada dua makna dari ayat ini:

  1. Mereka pilih untuk tidak dengar apa yang disampaikan oleh pendakwah
  2. Hati mereka sudah penuh dengan ilmu lain, sampai tidak boleh nak masuk lagi ajaran baru ini. Mereka rasa diri mereka sudah cukup ilmu sampai tidak perlu dengar. Oleh itu, ayat ini bukan maksudnya mereka tidak mampu dengar, tapi mereka rasa mereka tidak perlu dengar. Ini ramai dari kalangan masyarakat kita yang rasa begitu. Kerana mereka telah banyak belajar dan mereka sangka ilmu mereka itu sudah hebat.

وَمِنْ بَيْنِنَا وَبَيْنِكَ حِجَابٌ

Dan diantara kami dan kamu ada hijab. 

Iaitu hijab maknawi (hijab dari segi makna sahaja). Memang tidak nampak hijab itu, tapi ada. Mereka telah dihijab terus, sampai tak boleh nampak kebenaran yang benar-benar ada di hadapan mereka.

Oleh kerana itu kita ada berjumpa orang yang sebegini yang tidak faham dengan apa yang kita sampaikan. Tidak kisahlah bagaimana kita cakap macam mana pun, mereka tidak dapat terima. Sudah berbuih mulut kita cerita kepada mereka, kita nampak mata mereka masih tidak faham.

فَاعْمَلْ

Maka kau buatlah amalan kamu,

Mereka yang tolak tauhid itu berkata: “kamu amallah ikut ajaran yang kamu kata Tuhan ajar itu. Iaitu amalan-amalan kamu yang kamu kata ikut sunnah itu.”

Mereka tidak ada hujah nak menolak amalan-amalan yang benar itu, tapi mereka tetap tidak mahu ikut. Maka akhirnya mereka cakap begini sahaja.

إِنَّنَا عٰمِلُونَ

Kami pula akan beramal

Iaitu mereka nak terus beramal dengan cara tok nenek mereka ajar. Iaitu ajaran turun temurun yang sudah ada dalam masyarakat tapi tidak ada dalil pun tentang amalan itu.

Musyrikin Mekah kata begitu kerana mereka sudah malas nak dengar hujah dari Nabi Muhammad ﷺ, maka mereka minta mereka dibiarkan sahaja. Macam orang kita jugalah yang kadang-kadang berkata begitu. Bila mereka sudah bosan dengar tentang tauhid, tauhid dan bid’ah, bid’ah tak habis-habis dari pendakwah, mereka kata biarkanlah mereka nak buat apa yang mereka nak buat.

Oleh itu, ayat ini adalah ayat ingkar. Apa yang diajar kepada mereka, mereka tidak mahu terima. Mereka kata: “Takkan tok nenek kami semua nak masuk neraka?” Ini adalah alasan ikut akal. Iaitu dalil mengikut hawa nafsu.

Sepatutnya kalau nak berhujah, kenalah bagi dalil dari Al-Qur’an dan Hadis kalau nak mengamalkan mana-mana amal ibadat. Tapi mereka yang mengamalkan amalan syirik dan bid’ah itu tidak ada dalil pun dalam amalan mereka. Tapi mereka nak juga amalkan.

Maka sesiapa yang cakap macam ini adalah sama macam percakapan kaum Musyrikin Mekah. Kerana kita telah baca bahawa jawapan itu adalah jawapan Musyrikin Mekah. Mereka pula tidak perasan hujah mereka sama dengan hujah Musyrikin Mekah kerana mereka tidak belajar.

Memang ramai yang tolak hujah Al-Qur’an dan Hadis yang kita bawa. Kalau tolak, bermakna mereka degil dan telah kufur. Mereka hanya mahu mengikut jejak langkah tok nenek mereka sahaja. Mereka ikut sahaja amalan yang telah diajar oleh orang dulu-dulu, ustaz-ustaz mereka, guru-guru mereka, tanpa usul periksa. Mereka tidak berani minta dalil dari guru mereka kerana mereka telah diajar, kalau minta dalil, itu tanda lemah iman.

Ini memang kata-kata yang mengarut dari guru yang mengarut! Dengan kata-kata itu sahaja, telah menutup mulut mereka dari bertanya. Maka, masyarakat kita terus jadi bodoh dan tidak berfikir. Hanya terima bulat-bulat cerita-cerita dan ajaran-ajaran salah dari guru dan ustaz mereka.

Selalu kita dengar hujah sebegini. Selepas diberikan hujah-hujah kita dari Al-Qur’an dan hadis yang sahih, mereka masih lagi tolak. Akhirnya mereka akan kata, “engkau beramallah cara engkau dan guru engkau, kami nak amal seperti cara guru kami ajar, sebab kami yakin dengan apa yang guru kami sampaikan”.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 20 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Abdul Nasir Jangda

Tafsir Ibnu Kathir

Tafsir Al-Azhar Dr. Hamka

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s