Ayat 78: Ini adalah Dalil Naqli Ijmali (umum) – disebut tentang para Nabi tapi tidak disebutkan nama mereka.
وَلَقَد أَرسَلنا رُسُلًا مِّن قَبلِكَ مِنهُم مَّن قَصَصنا عَلَيكَ وَمِنهُم مَّن لَّم نَقصُص عَلَيكَ ۗ وَما كانَ لِرَسولٍ أَن يَأتِيَ بِئآيَةٍ إِلّا بِإِذنِ اللهِ ۚ فَإِذا جاءَ أَمرُ اللهِ قُضِيَ بِالحَقِّ وَخَسِرَ هُنالِكَ المُبطِلونَ
And We have already sent messengers before you. Among them are those [whose stories] We have related to you, and among them are those [whose stories] We have not related to you. And it was not for any messenger to bring a sign [or verse] except by permission of Allah . So when the command of Allah comes, it will be concluded in truth, and the falsifiers will thereupon lose [all].
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus beberapa Rasul sebelummu; di antara mereka ada yang Kami ceritakan perihalnya kepadamu, dan ada pula di antaranya yang tidak Kami ceritakan kepada kamu. Dan tidaklah harus bagi seseorang Rasul membawa sesuatu keterangan atau menunjukkan sesuatu mukjizat melainkan dengan izin Allah; (maka janganlah diingkari apa yang dibawa oleh Rasul) kerana apabila datang perintah Allah (menimpakan azab) diputuskan hukum dengan adil; pada saat itu rugilah orang-orang yang berpegang kepada perkara yang salah.
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِّنْ قَبْلِكَ
Sesungguhnya Kami utuskan beberapa rasul sebelum kamu (wahai Muhammad)
Sebelum Nabi Muhammad diutus, telah datang Nabi-nabi lain kepada kaum mereka. Mereka juga telah menyampaikan perkara yang sama seperti yang telah disampaikan oleh Nabi Muhammad dalam perkara akidah. Perkara syariat mungkin tidak sama, kerana syariat para Nabi tidak sama dari zaman ke zaman. Tapi kalau tentang akidah, ianya pasti sama sahaja. Tapi mereka juga ditolak oleh kaum mereka.
Ini juga adalah tasliah bagi Nabi – bukan baginda sahaja yang ditolak tapi para Nabi dulu pun kena tolak juga.
مِنْهُمْ مَّنْ قَصَصْنَا عَلَيْكَ
di antara mereka itu ada yang Kami ceritakan kepada kamu
Ada kisah para Nabi itu disampaikan kepada Nabi Muhammad sebagai pengajaran. Ada yang disampaikan dalam Al-Qur’an yang kita juga boleh tahu tentang mereka.
وَمِنْهُمْ مَّنْ لَّمْ نَقْصُصْ عَلَيْكَ
dan di antara mereka tidak Kami ceritakan.
Ada ramai lagi para Nabi dan rasul. Yang kita tahu hanya 25 orang sahaja. Tapi ada banyak lagi nama-nama yang tidak disebut. Al-Qur’an bukanlah buku sejarah yang menyebut semua kisah para Nabi. Yang penting adalah menyampaikan ajaran mereka yang perlu diikuti. Dan kerana ramainya mereka, tentulah tidak cukup kalau dikisahkan semua dalam Al-Qur’an pula.
وَما كانَ لِرَسولٍ أَن يَأتِيَ بِئآيَةٍ إِلّا بِإِذنِ اللهِ ۚ
Dan tidaklah harus bagi seseorang Rasul membawa sesuatu keterangan atau menunjukkan sesuatu mukjizat melainkan dengan izin Allah;
Musyrikin Mekah telah minta Nabi Muhammad menunjukkan mukjizat. Allah beritahu yang mana-mana Nabi dan rasul pun, tidak ada kuasa sendiri. Mukjizat itu hanya boleh berlaku dengan izin Allah, bukan dengan kebolehan dan qudrat para Nabi itu.
Dan mukjizat itu tidak berlaku selalu. Macam mukjizat Nabi Muhammad yang terjadi semasa baginda dan sahabat tidak ada air dalam perjalanan. Nabi minta bekas air dan baginda letak tangan dalam bekas air itu. Perawi hadis kata dia nampak keluar air dari celah jari Nabi.
Tapi tidaklah sahabat di kemudian hari minta Nabi buat lagi macam itu bila tiada air. Sahabat-sahabat tidak buat begitu kerana mereka faham bahawa kejadian itu bukan atas kehendak Nabi tapi atas kehendak Allah.
Maknanya mukjizat itu bukan atas kehendak Nabi. Kalau berlaku, ianya tidak berulang-ulang. Yang boleh buat acapkali itu adalah sihir. Iaitu sihir yang manusia belajar. Dan nak belajar tu kena kufur dulu baru boleh menjadi sihir itu.
Tapi kita tiba-tiba kata tok guru boleh buat keramat sendiri. Padahal, koramah pun macam mukjizat juga, terjadi kepada para wali, tapi bukan atas kehendak dan qudrat mereka. Ianya adalah atas pemberian Allah juga, dan berlaku pun sekali sekala sahaja.
Apabila ada salah faham tentang perkara ini, maka banyaklah yang sesat kerana sangka guru mereka, atau orang-orang tertentu itu ada karomah, padahal yang mereka buat itu adalah sihir semata-mata.
فَإِذا جاءَ أَمرُ اللهِ قُضِيَ بِالحَقِّ
Dan apabila datang keputusan Allah, maka maka diberi keputusan dengan adil
Apabila Allah buat keputusan di akhirat kelak atas akidah dan amalan makhluk semasa di dunia, Allah akan buat keputusan dengan adil. Allah tidak akan hukum atas perkara yang tidak pernah dilakukan oleh makhluk.
Keputusan yang dimaksudkan ada keputusan secara amali. Dalam Al-Qur’an sudah ada teori yang diberikan kepada kita untuk ambil kira. Sepatutnya dengan meneliti ajaran wahyu, seorang manusia sudah boleh tahu mana benar dan mana yang tidak. Cuma di akhirat kelak akan ditunjukkan secara praktikal.
Dalam ayat sebelum ini telah disebut yang mereka yang mengamalkan syirik itu akan kekal dalam neraka. Mungkin ada yang hairan, tak nampak pun salah kesalahan syirik itu, tapi kenapa kekal dalam neraka? Dia buat kesalahan itu entah berapa tahun sahaja, tapi mereka akan kekal dalam neraka? Macam zalim pula Allah – Allah jawap, Dia tidak zalim. Keputusan yang diberikan itu adalah adil.
وَخَسِرَ هُنَالِكَ الْمُبْطِلُونَ
Maka di situlah zahirnya kerugian orang-orang yang buat kebatilan
Maka akan zahirlah kerugian mereka yang mengamalkan akidah syirik itu. Mereka mungkin tidak nampak kerugian mereka di dunia, tapi di akhirat akan nampak jelas.
Ini bermakna, bukanlah mereka hanya rugi di akhirat sahaja. Mereka memang sudah rugi semasa di dunia, tapi semasa di dunia, mereka tidak nampak kerugian mereka, kerana mereka mungkin dapat pulangan dari amalan akidah syirik mereka itu. Ada yang amalkan amalan syirik boleh dapat kuasa, dapat kekayaan, senang hidup dan sebagainya.
Oleh kerana dapat kelebihan-kelebihan itu, mereka tidak bertaubat dan mereka sangka apa yang mereka lakukan itu adalah benar. Tapi mereka sebenarnya sedang rugi, cuma mereka sahaja yang tidak nampak. Tapi di akhirat kelak, semuanya akan jadi nyata.
Habis Ruku’ 8 dari 9 ruku’ dalam surah ini.
Ayat 79: Dalil Aqli
اللهُ الَّذي جَعَلَ لَكُمُ الأَنعٰمَ لِتَركَبوا مِنها وَمِنها تَأكُلونَ
It is Allah who made for you the grazing animals upon which you ride, and some of them you eat.
Allah yang menjadikan binatang ternak bagi kamu; sebahagian di antaranya untuk kamu menunggangnya, dan sebahagian lagi untuk kamu makan.
اللهُ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَنْعٰمَ
Allahlah yang menjadikan untuk kamu binatang ternak
Allah hendak memberitahu kita, Dialah yang menjadikan binatang ternak itu. Bukannya binatang-binatang itu terjadi sendiri, bukan? Ada banyak nikmat yang kita boleh manfaat dari binatang-binatang itu. Maka Allah suruh kita kenang jasaNya memberi keperluan hidup kepada manusia.
Kita sudah ambil manfaat, kenapa tidak kita seru Dia sahaja dalam doa kita, kenapa kita tidak sembah Dia sahaja dalam ibadat kita, bukan? Kenapa nak seru dan sembah selain dariNya?
لِتَرْكَبُوا مِنْهَا
supaya kamu boleh tunggang sebahagian dari mereka
Ada binatang yang kita gunakan sebagai kenderaan. Bukan semua binatang boleh ditunggangi maka kerana itu Allah kata dari sebahagian sahaja.
Zaman sekarang, kita pakai kereta jadi tidak perasan sangat. Tapi, zaman dahulu, binatanglah kenderaan utama yang digunakan oleh manusia. Allah cerita kenderaan zaman dahulu kerana takkan Allah nak cerita pasal kereta pula dalamAl- Qur’an sedangkan kereta tidak direka lagi pada zaman itu?
Tapi, kita yang sudah hidup dalam zaman moden ini, masih lagi dapat menghargai ayat ini, kerana kita masih nampak lagi penggunaan binatang sebagai kenderaan di tempat-tempat tertentu, terutama di kawasan pedalaman.
Dengan kenderaan itu manusia dapat bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan mudah kalau dibandingkan dengan berjalan kaki. Itu adalah rahmat dari Allah, kerana kalau tidak, tentu letih nak berjalan kaki sahaja ke sana dan ke mari.
وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ
dan diantara mereka dapat pula kamu makan.
Satu lagi manfaat adalah binatang ternak itu ada yang dimakan. Ada binatang ternak yang hanya dimakan, seperti lembu dan ada yang ditunggangi dan dimakan sekali, seperti unta dan kuda.
Itu juga adalah nikmat yang amat besar. Kerana, boleh makan kereta kalau tidak ada makanan?
Ayat 80:
وَلَكُم فيها مَنٰفِعُ وَلِتَبلُغوا عَلَيها حاجَةً في صُدورِكُم وَعَلَيها وَعَلَى الفُلكِ تُحمَلونَ
And for you therein are [other] benefits and that you may realize upon them a need which is in your breasts; and upon them and upon ships you are carried.
Dan kamu pula beroleh berbagai faedah pada binatang ternak itu, dan supaya kamu dapat memenuhi sesuatu hajat yang ada dalam hati kamu dengan menggunakan binatang itu; dan di atas binatang-binatang ternak itu, serta di atas kapal-kapal, kamu diangkut.
وَلَكُم فيها مَنٰفِعُ
Dan bagi kamu pada binatang-binatang ternak itu ada beberapa lagi perkara-perkara bermanfaat.
Seperti boleh diambil bulunya untuk dibuat baju, kulit untuk jadikan kasut, susu untuk diminum, sebagai penghilang dahaga, sebagai ubat dan macam-macam lagi kegunaan.
وَلِتَبلُغوا عَلَيها حاجَةً في صُدورِكُم
dan supaya kamu dapat capai macam-macam hajat dengan guna binatang-binatang itu yang ada dalam dada kamu
Dengan binatang ternak itu, boleh menyelesaikan hajat dan keperluan kita. Seperti pergi mengembara.
Bukan sahaja dalam keperluan hidup kita yang biasa, tapi jangan dilupa ianya juga digunakan untuk mencapai hajat kita dalam agama. Kerana dengan kenderaan itulah yang dapat memperjalankan kita ke tempat-tempat lain untuk berdakwah. Juga untuk berjihad dan membantu orang lain.
وَعَلَيها وَعَلَى الفُلكِ تُحمَلونَ
dan di atas belakang binatang-binatang itu dan di atas kapal-kapal, kamu dibawa ke mana-mana.
Manusia diangkut untuk dipermudahkan perjalanan di atas binatang ternak itu. Dan kemudian Allah menyebut pula tentang kenderaan laut.
Kenderaan laut adalah cara pengangkutan yang sampai sekarang pun masih digunakan dengan banyak sekali. Kerana walaupun kita sudah ada kapal terbang untuk perjalanan antara negara, tapi kapal laut masih lagi cara yang lebih murah dan selamat.
Ayat 81:
وَيُريكُم ءآيٰتِهِ فَأَيَّ ءآيٰتِ اللهِ تُنكِرونَ
And He shows you His signs. So which of the signs of Allah do you deny?
Dan Dia memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kebesaranNya dan kekuasaanNya (melalui Rasul-rasulNya dan pada makhluk-makhluk yang dijadikanNya); maka di antara tanda-tanda kesempurnaan Allah, yang mana satu, yang kamu ingkari?
وَيُرِيكُمْ ءآيٰتِهِ
Dan Dia perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya
Dan banyak lagi ayat-ayat lain yang menceritakan tentang Qudrat Allah taala. Boleh dilihat di dalam dunia, di ufuk, di dalam diri manusia sendiri dan sebagainya. Mereka yang buka mata hati akan nampak perkara ini.
فَأَيَّ ءآيٰتِ اللهِ تُنْكِرُونَ
mana lagi dalil-dalil kudrat Allah yang kamu engkarkan lagi?
Mana pula lagi ayat-ayat dalil yang kamu engkar? Mana lagi nikmat Allah yang kamu nak engkar? Kerana telah banyak sekali dalil yang telah diberikan, kamu tidak ada hujah sebenarnya. Kecuali kamu tolak kerana degil sahaja. Kerana kalau ada dalil, bawa ke mari tunjukkan.
Jadi ini adalah teguran Allah kepada manusia yang engkar. Sudah banyak dalil diberikan tapi masih nak engkar.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 19 Julai 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Ibn Kathir
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani