Ayat 71: Bagaimanakah azab itu? Ini adalah azab badani – azab yang dikenakan kepada tubuh mereka. Maka ini adalah ayat takhwif ukhrawi.
إِذِ الأَغلٰلُ في أَعنٰقِهِم وَالسَّلٰسِلُ يُسحَبونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
When the shackles are around their necks and the chains; they will be dragged
Malay
Ketika belenggu dan rantai dipasung di leher mereka, sambil mereka, diseret
إِذِ الْأَغْلٰلُ فِي أَعْنٰقِهِمْ
Ketika belenggu besi diikat pada leher-leher mereka
Tangan mereka akan diikat silang dan akan ditarik dan diikat ke leher mereka. Jadi tangan mereka tidak boleh bergerak. Leher pula tidak boleh tengok ke bawah dan hanya terngadah ke atas sahaja. Inilah cara tambat hamba abdi.
وَالسَّلٰسِلُ
dan besi-besi rantai.
Tangan dan tengkuk mereka akan diikat dengan rantai besi. Dalam hadis dikatakan rantai itu sepanjang 40 hasta. Mereka akan diikat kaki dan tangan mereka.
Jumlah muqaddar – tidak disebut kaki dalam ayat ini, tapi maksudnya adalah kaki mereka yang diikat. Mereka akan diikat bersama-sama dengan ahli neraka yang lain.
يُسْحَبُونَ
mereka diheret.
Setelah diikat, mereka akan diseret macam binatang yang hina untuk dibawa ke neraka. Mereka tidak dijemput dengan hormat untuk masuk ke dalam neraka. Mereka kena heret kerana mereka tidak akan pergi sendiri dengan rela. Mereka akan meronta-ronta untuk mengelak dari masuk neraka, oleh itu malaikat akan mengheret mereka. Ma sha Allah!
Ayat 72: Allah teruskan lagi menceritakan keadaan di dalam neraka itu, supaya kita jadi takut.
فِي الحَميمِ ثُمَّ فِي النّارِ يُسجَرونَ
In boiling water; then in the Fire they will be filled [with flame].
Ke dalam air panas yang menggelegak; kemudian mereka dibakar dalam api neraka;
فِي الْحَمِيمِ
Dalam air panas
Mereka akan dicelur di dalam air yang amat-amat panas. Air itu adalah air panas yang menggelegak. Tapi tidaklah sama air menggelegak dunia dan di neraka nanti. Yang suhunya, ribu juta darjah. Ianya lebih panas dari matahari. Dicelur mereka di dalam air itu untuk bagi tubuh mereka empuk dahulu.
ثُمَّ فِي النَّارِ يُسْجَرُونَ
kemudian mereka dipanggang dalam api.
Lepas dicelur sampai empuk dalam air panas, kemudian dikeluarkan dan kena panggang dengan api pula. Memang azab sungguh dan tidak boleh nak dibayangkan.
Jadi, dari ayat ini kita dapat faham yang akan bertukar-tukar ahli neraka itu antara air panas dan api neraka. Sekejap dalam air panas yang menggelegak dan sekejap dimasukkan ke dalam api. Ini dikuatkan lagi dengan penerangan dalam Rahman:44
يَطوفونَ بَينَها وَبَينَ حَميمٍ آنٍ
Mereka (terus diseksa) berulang-ulang di antara api neraka dengan air yang menggelegak yang cukup masak panasnya!
Ayat 73: Setelah disebut azab badani, sekarang disebut pula azab jiwa.
ثُمَّ قيلَ لَهُم أَينَ ما كُنتُم تُشرِكونَ
Then it will be said to them, “Where is that which you used to associate [with Him in worship]
Akhirnya dikatakan kepada mereka: “Mana dia berhala-berhala yang kamu dahulu sekutukan –
ثُمَّ قِيلَ لَهُمْ
Kemudian dikatakan kepada mereka
Semasa mereka yang pakai perantara dalam berdoa itu diseksa, dikatakan kepada mereka soalan yang menyeksa jiwa. Badan mereka memang sedang diazab, kemudian Allah tambah lagi dengan seksaan jiwa. Ini dipanggil ‘takzib rohani’ (azab jiwa).
Ini kadangkala lebih memedihkan lagi, macam seorang pelajar dirotan oleh gurunya. Kalau hanya dirotan sahaja, sakit itu lama-lama akan hilang. Tapi kalau guru itu sambil rotan pelajar itu, dia hina budak itu dengan panggilan ‘bodoh’, ‘celaka’ dan sebagainya, pelajar itu akan ingat sampai pencen kejadian itu.
Itulah sebabnya Islam mengajar pasangan suami isteri yang bercerai, janganlah mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati pasangan masing-masing. Kerana perceraian itu sekejap sahaja, lama-lama hilanglah kesedihan. Tapi kalau dikeluarkan kata-kata nista dan hina, boleh menyebabkan sakit hati dan menyebabkan perhubungan panas selepas itu. Sedangkan mereka mungkin akan berjumpa lagi selepas itu kerana berkongsi anak atau berkongsi harta dan sebagainya.
Maka, begitulah Allah seksa jiwa mereka dengan soalan-soalan yang menyakitkan hati. Allah tambah lagi seksaan kepada mereka. Kerana kata-kata itu memang kadangkala lebih menyakitkan dari sakit fizikal.
أَيْنَ مَا كُنْتُمْ تُشْرِكُونَ
di mana dia makhluk-makhluk yang kamu syirikkan (Aku dengannya dahulu)?
Apakah soalan kepada mereka? Ditanya kepada mereka: “Mana dia pujaan-pujaan selain Aku dahulu yang kamu seru dulu? Yang kamu jadikan sebagai perantara dalam doa kamu dulu?”
“Mana dia sembahan yang kamu seru dengan harapan mereka boleh bantu kemu? Mana mereka? Mereka ada di sini untuk tolong kamukah?”
Ayat 74: Sambungan ayat sebelum ini:
مِن دونِ اللهِ ۖ قالوا ضَلّوا عَنّا بَل لَّم نَكُن نَّدعو مِن قَبلُ شَيئًا ۚ كَذٰلِكَ يُضِلُّ اللهُ الكٰفِرينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Other than Allāh?” They will say, “They have departed from us; rather, we did not used to invoke previously anything.” Thus does Allāh put astray the disbelievers.
MALAY
“(Dengan menyembahnya atau memujanya) selain Allah?” Mereka menjawab: “Benda-benda itu telah hilang lenyap dari kami, bahkan yang sebenarnya kami dahulu tidak pernah sekutukan sesuatu pun (dengan Allah)”. (Sebagaimana Allah menjadikan mereka sesat), demikian pula Allah menyesatkan orang-orang yang kufur ingkar (menentang maksud ayat-ayatNya).
مِنْ دُونِ اللهِ
Selain daripada Allah?
Yang makhluk selalu disembah dan diseru selain Allah adalah Nabi, wali, malaikat dan jin.
Inilah empat jenis entiti yang selalu dipuja dan diseru oleh manusia jahil tauhid dan jahil wahyu. Ini sebenarnya termasuklah orang Islam yang tidak tahu wahyu. Syaitan memang akan bisikkan amalan-amalan yang menyeru kepada selain Allah. Oleh kerana mereka jahil wahyu maka senang sahaja mereka ditipu oleh syaitan.
قَالُوا ضَلُّوا عَنَّا
Mereka menjawab: Hilang lenyap daripada kami
Jumlah muqaddar – ahli neraka itu jawab: “hilang lenyap dari bantu kami. Mereka tidak ada dengan kami, maka tidak dapat membantu kami.”
Memang tak nampak mereka yang disembah itu, tapi kalau yang disembah itu adalah syaitan, mereka itu ada dalam neraka juga, tapi tak dapat nak tolong. Kerana mereka juga kena azab dalam neraka entah di ceruk mana.
بَلْ لَّمْ نَكُنْ نَّدْعُو مِنْ قَبْلُ شَيْئًا
Bahkan sebenarnya kami dulu tidak pernah menyeru apa-apa pun
Apabila dikatakan mereka bodoh kerana menyeru kepada sembahan selain Allah itu, mereka ubah tukar cerita. Mereka cuba membohongi. Mereka kata mereka tak seru pun kepada sembahan-sembahan mereka itu dulu semasa mereka di dunia.
كَذَٰلِكَ يُضِلُّ اللهُ الْكٰفِرِينَ
Kerana sifat demikianlah, disesatkan Allah orang-orang kafir itu.
Lafaz كَذَٰلِكَ dalam ayat ini membawa maksud ‘kerana’. Kerana sikap mereka yang suka berbohong dan tidak mengaku salahlah yang menyebabkan Allah menyesatkan mereka.
Begitulah apabila kita tegur golongan yang sembah selain Allah, ada sahaja alasan mereka. Mereka akan kata mereka tak sembah pun, mereka tak puja pun…. mereka kata guru mereka kata boleh, mereka kata ada ayat Al-Qur’an suruh cari wasilah, mereka kata ada hadith, mereka kata ada amalan sahabat buat begitu, ada amalan tabein pun begitu juga… berbagai alasan dan hujah bathil yang mereka akan keluarkan.
Ayat 75: Kenapa mereka dikenakan dengan segala azab itu?
ذٰلِكُم بِما كُنتُم تَفرَحونَ فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ وَبِما كُنتُم تَمرَحونَ
[The angels will say], “That was because you used to exult upon the earth without right and you used to behave insolently.
(Lalu dikatakan kepada mereka setelah ditimpakan dengan azab seksa): “Balasan buruk yang demikian ini disebabkan kamu dahulu bersukaria di muka bumi dengan cara yang salah (pada hukum Tuhan), dan disebabkan kamu bersenang lenang dan bermegah-megah dengan berleluasa (dalam maksiat).
ذَٰلِكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَفْرَحُونَ فِي الْأَرْضِ
Demikianlah, dengan sebab kamu dulu bersukaria di dunia
Mereka bersukaria dengan hidup dalam syirik. Mereka tidak belajar akidah tauhid kerana rasa senang hati dengan akidah syirik itu. Mereka tak teringin pun nak belajar tafsir Al-Qur’an. Bila diajak datang belajar mereka tak mahu. Yang mereka suka amalkan adalah amalan-amalan syirik sahaja.
Mereka hidup senang bergembira dengan kesenangan dunia sampai mereka lupa untuk beramal dan bersedia untuk akhirat. Ini disebut dalam Qasas:76 tentang Qarun yang bangga dan bergembira dengan hartanya:
۞ إِنَّ قٰرونَ كانَ مِن قَومِ موسىٰ فَبَغىٰ عَلَيهِم ۖ وَءآتَينٰهُ مِنَ الكُنوزِ ما إِنَّ مَفاتِحَهُ لَتَنوءُ بِالعُصبَةِ أُولِي القُوَّةِ إِذ قالَ لَهُ قَومُهُ لا تَفرَح ۖ إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ الفَرِحينَ
Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa, maka dia berlaku aniaya terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri”.
Bangga sebeginilah yang tidak dibenarkan. Sedangkan ada jenis bangga yang dibenarkan seperti disebut dalam Yunus:58 iaitu apabila bergembira dengan nikmat yang Allah telah berikan dan dia bersyukur dengan nikmat pemberian Allah itu:
قُل بِفَضلِ اللَّهِ وَبِرَحمَتِهِ فَبِذٰلِكَ فَليَفرَحوا هُوَ خَيرٌ مِمّا يَجمَعونَ
Katakanlah (wahai Muhammad) “kedatangan Al-Qur’an itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Qur’an itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)”.
بِغَيْرِ الْحَقِّ
tanpa alasan yang benar.
Kalau bergembira kerana ada alasan, maka bolehlah seperti yang disebut di atas kerana ada perkara yang kita boleh banggakan dan gunakan. Asalkan kita bersyukur kepada Allah dan menggunakan untuk kebaikan.
Yang salah adalah kalau amalkan amalan yang tidak ada dalil yang haq. Ramai yang buat amalan syirik itu dengan tidak ada dalil yang sah. Semua pakai ajaran tok nenek dan tok guru yang tidak tahu dari mana asalnya. Kemudian berbangga pula dengan amalan itu. Ini seperti golongan tarekat sufi yang dapat ajaran ‘rahsia’ dari guru mereka. Mereka kasihan kerana orang lain tak dapat, mereka rasa beruntung. Padahal ajaran itu bukannya ada dalam Islam tapi diajar oleh syaitan.
Maka ini mengajar kita supaya dalam beramal, hendaklah tanya apakah dalil dari amalan itu. Jangan pakai terima dan amal sahaja. Amatlah malang kalau amalan itu amalan yang salah. Tapi kalau jahil dengan agama dan tidak ada asas, memang senang ditipu.
وَبِمَا كُنْتُمْ تَمْرَحُونَ
dan dengan apa yang kamunya sombong.
Kalimah مرح maknanya sombong, tapi kali ini sombong yang ditunjuk dengan perbuatan sekali. Mereka menunjuk-nunjuk kesombongan mereka kerana mereka kaya dan ada kuasa. Yang ini memang tidak boleh dan kerana itu Allah tidak perlu sebut ‘tanpa haq’ kerana memang tidak boleh dilakukan.
Mereka adalah golongan yang tak mahu nak belajar dan dia nampakkan perasaan dia yang tak nak belajar tu. Mereka tunjuk sombong dengan orang yang beriman. Mereka tidak sorok-sorok lagi kesombongan mereka.
Ayat 76: Akan dikatakan kepada mereka di akhirat kelak:
ادخُلوا أَبوٰبَ جَهَنَّمَ خٰلِدينَ فيها ۖ فَبِئسَ مَثوَى المُتَكَبِّرينَ
Enter the gates of Hell to abide eternally therein, and wretched is the residence of the arrogant.”
“Masukilah pintu-pintu neraka Jahannam kekallah kamu di dalamnya; maka seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur ialah neraka Jahannam”.
ادْخُلُوا أَبْوٰبَ جَهَنَّمَ
Silalah masuk ke pintu-pintu neraka
Masuklah salah satu pintu Neraka yang ada tujuh pintu itu. Pintu tempat mereka masuk sudah ditetapkan. Ini seperti disebut dalam ayat yang lain:
وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمَوْعِدُهُمْ أَجْمَعِينَ . لَهَا سَبْعَةُ أَبْوَابٍ لِكُلِّ بَابٍ مِنْهُمْ جُزْءٌ مَقْسُوم
Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar tempat yang telah diancamkan kepada mereka (pengikut-pengikut syaitan) semuanya. Jahannam itu mempunyai tujuh pintu. Tiap-tiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan yang tertentu dari mereka. (Hijr: 43 – 44)
Masuk itu bukan dengan mudah-mudah tapi dengan ditolak dengan ganas. Selepas ditolak jatuh, 70 tahun lamanya baru sampai ke dasar neraka. Sepanjang masa itu, mereka terbakar dalam perjalanan. Dan kemudian apabila jatuh ke dasar neraka, jatuh atas muka dia.
خٰلِدِينَ فِيهَا
mereka kekal di dalamnya.
Mereka akan kekal di dalam neraka itu selama-lamanya kerana mereka telah melakukan syirik kepada Allah. Kalau buat dosa syirik, maka akan kekal dalam neraka selama-lamanya. Walaupun kalau orang itu seorang yang Muslim pun.
Kalau dosa itu setakat doa biasa sahaja, maka ada harapan lagi untuk masuk syurga kalau mereka ada tauhid yang benar. Kerana itu penting untuk tahu apakah tauhid dan apakah syirik.
فَبِئْسَ مَثْوَى الْمُتَكَبِّرِينَ
Seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang yang sombong
Kerana sombong untuk terima kebenaran, sombong untuk berdoa terus kepada Allah, maka tempat mereka adalah dalam neraka. Dalam hadis dikatakan, kalau neraka terbuka sebesar lubang jarum, hancur lebur bumi kita ini. Jadi neraka itu macam pressure cooker. Neraka itu adalah 70 kali ganda dari kepanasan matahari. Maka ia bukanlah tempat selesa tapi tempat azab yang amat.
Kerana dulu mereka sombong dalam berdoa hanya kepada Allah. Mereka mengamalkan tawasul dengan Nabi, wali dan malaikat. Mereka tidak pentingkan mana tauhid, mana syirik.
Ayat 77: Ayat 77 – 85 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia mengandungi dalil aqli afaqi dan tarikhi. Ayat 77 ini adalah Ayat Tasliah – ayat pujuk Allah kepada Nabi dan penyebar Tauhid.
فَاصبِر إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ ۚ فَإِمّا نُرِيَنَّكَ بَعضَ الَّذي نَعِدُهُم أَو نَتَوَفَّيَنَّكَ فَإِلَينا يُرجَعونَ
So be patient, [O Muhammad]; indeed, the promise of Allah is truth. And whether We show you some of what We have promised them or We take you in death, it is to Us they will be returned.
Maka bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah (menyeksa musuh-musuhmu itu) adalah benar; oleh itu kiranya Kami perlihatkan kepadamu sebahagian dari azab yang Kami janjikan kepada mereka, ataupun Kami wafatkanmu sebelum itu, (maka tetaplah mereka akan menerima balasan azab) kerana kepada Kamilah mereka akan dikembalikan.
فَاصْبِرْ
Maka bersabarlah
Sabarlah wahai Muhammad dan orang-orang yang sebar ugama. Kalau zaman Nabi, macam-macam dugaan baginda lalui dan kena hadapi. Sahabat pun teruk kena tekanan dan juga seksaan semasa di Mekah. Tapi Allah pujuk: “sabarlah.”
Kita pun tak kurang juga memerlukan pujukan Allah ini. Sabarlah dalam sebar tauhid ini kepada manusia. Memang ramai yang akan menentang dan kata macam-macam kepada kamu – mereka kata kamu wahabi, kamu sesat, kamu hendak memecah belahkan umat dan sebagainya. Memang pedih kata-kata mereka itu, tapi bersabarlah.
إِنَّ وَعْدَ اللهِ حَقٌّ
Sesungguhnya janji Tuhan kamu adalah benar
Bersabarlah kerana janji Allah untuk memberi bantuan itu memang benar. Allah pasti akan bantu penyebar tauhid.
Dan janji Allah untuk mengurniakan kepada kamu syurga yang penuh nikmat yang kamu akan kekal di dalamnya adalah benar.
فَإِمَّا نُرِيَنَّكَ بَعْضَ الَّذِي نَعِدُهُمْ
Sama ada kami perlihatkan kepada kamu setengah dari azab yang dijanjikan kepada mereka
Kerana mereka tolak ajakan tauhid itu, Allah akan beri bala kepada mereka. Mungkin Nabi Muhammad sempat tengok kesudahan mereka semasa di dunia lagi. Jadi ini adalah ayat takhwif duniawi – mereka boleh dikenakan azab semasa mereka di dunia lagi.
أَوْ نَتَوَفَّيَنَّكَ
atau kamu dimatikan
Atau mungkin baginda tidak sempat tengok balasan kepada mereka kerana baginda dimatikan sebelum mereka dikenakan dengan azab.
Tapi, sebenarnya Allah telah tunjuk kepada baginda kemenangan yang dijanjikan kepada baginda. Dalam Perang Badr, baginda dapat sendiri melihat bagaimana pemuka-pemuka Quraish yang menentang baginda telah dibunuh satu persatu.
Baginda juga dapat memasuki dan memenangi Kota Mekah dari tangan orang-orang musyrikin. Juga seluruh Jazirah Arab memeluk Islam semasa hayat baginda lagi. Jadi baginda sudah dapat lihat kejayaan agama Islam pada zaman baginda lagi. Maka senanglah dan puaslah hati baginda.
فَإِلَيْنَا يُرْجَعُونَ
Kepada Kami mereka semua akan dikembalikan.
Sama ada baginda sempat dan dapat tengok kesudahan yang buruk untuk penentang baginda, atau baginda tidak dapat tengok, yakinlah yang mereka semua akan dikembalikan kepada Allah dan mereka akan dikenakan dengan azab-azab yang telah dijanjikan kepada mereka.
Ini adalah takhwif ukharawi pula. Allah hendak memberitahu yang mereka takkan selamat kerana menentang baginda dan menolak ajaran tauhid.
Jadi dari ayat ini, kita boleh dapat isyarat yang memang Nabi Muhammad ﷺ berharap untuk melihat para penentang baginda dikenakan dengan balasan. Maka Allah beri kepastian yang mereka itu tetap akan dapat balasannya.
Mungkin ada yang kata tidaklah patut seorang manusia yang mulia seperti Nabi Muhammad ﷺ itu berharap kecelakaan kepada orang lain pula. Tapi kita kena faham konteks. Mereka yang baginda harap dikenakan dengan balasan azab itu telah mengenakan kezaliman kepada baginda dan para sahabat. Dan tidak salah kalau mengharap balasan azab kepada penjenayah sebegitu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 19 Julai 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Ibn Kathir