Ayat 75:
وَنَزَعنا مِن كُلِّ أُمَّةٍ شَهيدًا فَقُلنا هاتوا بُرهٰنَكُم فَعَلِموا أَنَّ الحَقَّ ِلِلهِ وَضَلَّ عَنهُم مّا كانوا يَفتَرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And We will extract from every nation a witness and say, “Produce your proof,” and they will know that the truth belongs to Allāh, and lost from them is that which they used to invent.
(MELAYU)
Dan Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi, lalu Kami berkata “Tunjukkanlah bukti kebenaranmu”, maka tahulah mereka bahawasanya yang hak itu kepunyaan Allah dan lenyaplah dari mereka apa yang dahulunya mereka ada-adakan.
وَنَزَعنا مِن كُلِّ أُمَّةٍ شَهيدًا
Dan Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi,
Kalimah نزع bermaksud ‘tarik’. Makanya pada hari akhirat nanti Allah ﷻ akan tarik daripada setiap umat itu, saksi-saksi mereka. Saksi-saksi akan dibawakan ke hadapan mereka.
فَقُلنا هاتوا بُرهٰنَكُم
lalu Kami berkata “Tunjukkanlah bukti kebenaranmu”,
Dan akan diminta kepada mereka bukti-bukti daripada amalan-amalan mereka. Yang amalan yang mereka amalkan dulu semasa di dunia, atas dalil mana mereka pakai? Ayat wahyu mana yang membenarkan amalan itu? Kerana orang yang mengamalkan syirik itu kadangkala kata itu amalan itu adalah sebahagian dari agama.
Maknanya, agama ini memerlukan bukti dari setiap amalan kita. Jangan kita memandai-mandai buat amalan tanpa dalil.
Juga boleh bermaksud para rasul yang akan ditarik keluar dan kemudian mereka diminta beri bukti apa yang mereka ajar. Begitulah menurut Mujahid (ulama’ tafsir), yang dimaksudkan dengan saksi dalam ayat ini adalah rasul.
Maksudnya mereka akan memberikan bukti yang mereka telah menyampaikan ajaran yang benar semasa mereka bersama hidup dengan kaum mereka. Mereka sudah sampaikan tapi umat mereka yang degil tidak mahu terima.
Dan selepas para Rasul mereka telah mengaku yang mereka telah sampaikan ajaran tauhid, maka akan ditanya kembali kepada umat mereka untuk mengeluarkan bukti-bukti dari mereka pula. Akan ditanya kepada mereka yang melakukan syirik itu kenapa mereka tidak ikut ajaran para rasul mereka. Adakah mereka ada bukti lain yang menyebabkan mereka menolak ajakan dakwah Rasul mereka?
Kalau ada, keluarkan sekarang! Buktikan yang ada ilah-ilah lain selain Allah ﷻ; buktikan Allah ﷻ suruh adakan wasilah (perantara) untuk menyampaikan doa; buktikan boleh sembah selain Allah ﷻ; dan macam-macam lagi soalan-soalan akan ditanya.
فَعَلِموا أَنَّ الحَقَّ ِلِلهِ
maka tahulah mereka bahawasanya yang hak itu kepunyaan Allah
Waktu itu sedarlah mereka bahawa kebenaran itu ada pada Allah ﷻ. Kebenaran yang tauhid itu adalah hak Allah ﷻ. Iaitu ilah itu hanya Allah sahaja, tidak ada berkongsi dengan selainNya. Allah ﷻ sudah berikan hujah semasa di dunia lagi. Kerana waktu itu mereka memang tidak ada alasan lagi kenapa mereka buat amalan syirik mereka.
Semasa di dunia, bolehlah mereka beri bermacam-macam hujah bathil untuk membenarkan amalan mereka. Tetapi nanti di akhirat mereka tahu yang alasan mereka itu tidak laku lagi.
وَضَلَّ عَنهُم مّا كانوا يَفتَرونَ
dan lenyaplah dari mereka apa yang dahulunya mereka ada-adakan.
Apa-apa sahaja amalan rekaan yang mereka lakukan dan roh-roh sembahan mereka itu tidak dapat menyelamatkan mereka. Amat malang dan bahaya bagi mereka.
Mereka sangka dengan seru dan sedekah Al-Fatihah kepada Nabi ﷺ, wali dan malaikat itu, mereka akan dibantu di akhirat. Tapi itu adalah harapan sia-sia sahaja. Yang mereka harapkan beri bantuan dan syafaat kepada mereka tidak akan membantu.
Ayat 76: Ini adalah Ayat Takhwif duniawi. Kisah azab di dunia yang diberikan kepada umat terdahulu untuk menakutkan kita. Kita masuk kisah yang baru. Sekarang Allah ﷻ buka kisah baru iaitu Qarun dan bagaimana nanti dia dimusnahkan.
Dari ayat ini sehingga ke ayat 82 adalah Perenggan Makro Kelapan. Semua orang rasanya pernah dengar serba sedikit kisah Qarun, bukan? Kisah Qarun dibawa sebagai peringatan bahawa buruk akibatnya kalau mengejar keduniaan dan melupakan akhirat. Allah boleh beri azab semasa di dunia lagi.
۞ إِنَّ قٰرونَ كانَ مِن قَومِ موسىٰ فَبَغىٰ عَلَيهِم ۖ وَءآتَينٰهُ مِنَ الكُنوزِ ما إِنَّ مَفاتِحَهُ لَتَنوءُ بِالعُصبَةِ أُولِي القُوَّةِ إِذ قالَ لَهُ قَومُهُ لا تَفرَح ۖ إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ الفَرِحينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, Qārūn was from the people of Moses, but he tyrannized them. And We gave him of treasures whose keys would burden a band of strong men; thereupon his people said to him, “Do not exult. Indeed, Allāh does not like the exultant.
(MELAYU)
Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa, maka dia berlaku aniaya terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri”.
إِنَّ قٰرونَ كانَ مِن قَومِ موسىٰ
Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa,
Sekarang kita menghampiri kepada penutup surah ini dan Allah ﷻ kembali kepada kisah Bani Israil yang berkenaan dengan Nabi Musa عليه السلام. Awal surah ini bermula dengan kisah Nabi Musa عليه السلام dan apabila menghampiri hujung surah ini, kembali kepada kisah berkenaan baginda.
Sekarang Allah ﷻ membuka kisah Qarun dan memberitahu kepada kita bahawa dia adalah salah seorang daripada Bani Israil. Mungkin ini maklumat baru bagi kebanyakan dari kita. Kerana kita semua tahu sedikit kisah Qarun tapi rupa-rupanya dia dari Bani Israil.
Walaupun dia dari Bani Israil tapi dia dikira sebagai musuh dalaman kepada Bani Israil. Musuh ada dua jenis: luaran dan juga musuh dalaman. Musuh dalaman lebih bahaya lagi daripada musuh luaran kerana mereka itu di sekeliling kita dan tahu kelemahan kita.
Dan kita kadangkala tidak tahu yang mereka itu sebenarnya musuh kerana mereka menyembunyikan sifat benci mereka itu. Jadi kita tidak berhati-hati sangat dengan mereka.
Qarun bukan sahaja dari Bani Israil malah dia sebenarnya dikatakan sebagai sepupu kepada Nabi Musa عليه السلام. Maknanya dia ada sangkut paut juga dengan baginda. Ibnu Juraij mengatakan bahawa dia adalah Qarun ibnu Yas-hub ibnu Qahis, sedangkan Musa adalah Ibnu Imran ibnu Qahis. Tetapi kerana dia cinta dunia, maka dia menjadi orang munafik.
Qarun dijuluki Al-Munawwir kerana suaranya yang bagus ketika membaca kitab Taurat, tetapi dia adalah musuh Allah ﷻ lagi munafik, sebagaimana sikap munafiknya Samiri. Keserakahan dirinyalah yang menjerumuskannya ke dalam kebinasaan kerana hartanya yang terlalu banyak.
Dia tidak mahu keluarkan zakat maka dia terus berada di pihak Fir’aun. Kerana Fir’aun tidak minta keluarkan zakat. Maka dia telah menzalimi kaumnya itu kerana tidak mengeluarkan zakat. Sepatutnya dia keluarkan zakat itu diberikan kepada kaumnya yang miskin itu, tapi dia biarkan sahaja mereka duduk dalam kemiskinan. Maka, kalau kita tidak keluarkan zakat kepada masyarakat, maka kita sudah menzalimi orang yang berhak mendapatnya.
Ada lagi satu perkara yang mengejutkan. Maklumat ini mengejutkan kerana dia daripada Bani Israil tetapi dia seorang yang kaya-raya (bukan kaya sahaja) sedangkan kita tahu yang kaumnya itu adalah kaum hamba sahaja, jadi kenapa dia boleh jadi begitu? Kenapa dia boleh kaya-raya?
Ini kerana apabila Fir’aun melemahkan kaum Bani Israil dan memecahkan mereka ikut kumpulan-kumpulan dan kelas-kelas tertentu, maka Fir’aun memerlukan orang daripada bangsa itu yang menjadi mata-matanya dan balacinya. Dan orang yang dijadikan sebagai “balaci” (kuli) itu akan diberikan dengan segala bentuk kekayaan supaya tetap taat kepadanya.
Dan kita jangan lupa yang Bani Israil itu adalah golongan Muslim waktu itu dan walaupun mereka itu Muslim, tetapi macam zaman sekarang juga ada orang-orang Muslim yang rosak dan korup.
Dan masalahnya orang-orang yang korup moral ini menjadi sangat kaya dan orang-orang yang lemah akalnya akan melihat orang-orang kaya ini dan mereka bercita-cita untuk menjadi seperti mereka juga. Inilah bahayanya.
Maka Allah ﷻ bukan hendak menceritakan tentang seorang individu bernama Qarun sahaja, tetapi dia ini adalah satu jenis individu yang sentiasa ada di dalam setiap masyarakat. Maka kita kena tahu bahayanya orang-orang jenis ini supaya kita tidak terpengaruh dengan mereka.
Maka kena faham kisah Qarun ini dan kena sampaikan kepada orang lain. Supaya kita dapat menyelamatkan ahli keluarga kita dan kawan-kawan kita dari terpengaruh dengan-orang orang seperti ini. Jangan sangka kisah ini tentang seorang lelaki bernama Qarun sahaja tetapi ada pengajaran penting di dalamnya yang relevan dengan kita. Kita pun boleh jadi Qarun zaman ini kalau kita tidak berhati-hati.
فَبَغىٰ عَلَيهِم
maka dia berlaku aniaya terhadap mereka,
Walaupun Qarun itu daripada Bani Israil tetapi dia telah menjadi pembelot kepada mereka. Dia yang menjadi tali barut Fir’aun dan melaporkan tentang pergerakan dan aktiviti mereka. Ini macam kalau zaman Jepun dulu, dilantik tali barut-tali barut dari kalangan orang Melayu sendiri. Mereka itulah yang senang hidup mereka, bukan?
Dan seperti yang telah disebut, dia berlaku aniaya dengan kaumnya itu dengan tidak mengeluarkan zakat kepada mereka. Zakat itu gunanya membantu orang lain yang memerlukan, tapi bila dia tidak beri, maka dia telah berlaku zalim kepada kaumnya. Kerana ada yang perlu, tapi tak dapat dari dia. Kerana pada dia, zakat yang dikenakan itu cuma cukai yang tidak adil. Kerana dia kata, orang lain untuk dapat harta, kena cari sendiri lah.
Dan kerana menolak syariat zakat, maka ia telah merosak dirinya. Hatinya jadi kotor kerana tidak mencuci hartanya.
وَءآتَينٰهُ مِنَ الكُنوزِ
dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta
Allah ﷻ beritahu yang Dia-lah yang telah memberikan kekayaan yang besar kepada Qarun. Qarun sangka dia dapat harta daripada Fir’aun tetapi Allah ﷻ menekankan yang sebenarnya Dia-lah yang membenarkan perkara itu terjadi. Semua ini dalam perancangan Allah ﷻ. Allah ﷻ memang telah taqdirkan yang Qarun menjadi kaya-raya.
Zaman itu harta memang dalam bentuk benda seperti ketulan emas dan dia kenalah simpan hartanya itu di tempat yang selamat seperti gudang. Dan dia bukan hanya ada satu tempat simpan emas sahaja tetapi dia ada banyak (sebab itu digunakan kalimah الكُنوزِ – jamak bagi ٌكَنز – harta) yang menunjukkan dia ini sangat-sangat kaya. Jadi Qarun ini memang seorang yang sangat kaya kerana kunci gudang -gudang itu pun sudah berat. Kalau hendak beri zakat, memang tidak berkurang harta dia.
ما إِنَّ مَفاتِحَهُ لَتَنوءُ بِالعُصبَةِ أُولِي القُوَّةِ
yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat.
Kalimah تَنوءُ bermaksud mengangkat sesuatu yang berat sampaikan hampir tidak boleh angkat kerana berat sangat. Siapa yang hampir tak boleh angkat? بِالعُصبَةِ أُولِي القُوَّةِ (sekumpulan lelaki yang gagah). Orang gagah pun susah nak angkat kunci gudang Qarun itu.
Ini adalah kerana tempat simpan duit atau harta itu mestilah menggunakan pintu yang besar dan tebal dan kunci itu adalah penghalang seperti kayu yang besar yang susah untuk diangkat. Boleh dipanggil ‘palang’.
Jadi bukannya kunci macam zaman sekarang. Ramai yang sangka gudang dia banyak sangat sampaikan bila dikumpulkan segala kuncinya pun sudah berat. Maknanya ramai sangka yang kunci itu kecil-kecil macam zaman sekarang. Bukan begitu. Zaman itu mana ada kunci macam Solex sekarang.
Tapi zaman dulu kunci itu dalam bentuk palang pintu. Dan kalau barangnya mahal, tentu palangnya lagi berat. Maknanya Qarun perlu mengupah segolongan lelaki yang gagah-gagah hanya untuk mengangkat palang-palang dari gudangnya itu. Maknanya kalau bersungguh-sungguh dia buat gudang dan jaga keselamatan gudang itu bermakna harta yang disimpan di dalamnya adalah harta harta yang sangat berharga.
إِذ قالَ لَهُ قَومُهُ لا تَفرَح
ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah kamu terlalu bangga;
Ada yang dari kaumnya menasihatinya supaya jangan gembira sangat atau dalam erti kata lain, jangan menunjuk-nunjuk kekayaannya itu. Mereka ini tidak terpengaruh dengan kekayaan Qarun (sebab nanti akan disebut ada yang terpengaruh). Ini kerana Qarun menunjuk-nunjuk kekayaan yang dia ada itu kepada semua orang dan berbangga dengan kekayaannya.
Menurut Syahr ibnu Hausyab, Qarun menjulurkan kainnya sepanjang satu jengkal kerana kesombongan dan keangkuhan terhadap kaumnya sendiri.
Dan sudah tentu dia tidak boleh menunjuk kekayaannya kepada bangsa Qibti kerana mereka melihatnya sebagai hamba, jadi dia menunjuk-nunjuk hartanya kepada Bani Israil sahaja. Maka ada yang sudah beri nasihat kepada dia.
إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ الفَرِحينَ
sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri”.
Allah tidak suka kepada orang yang terlalu suka dengan harta yang dia ada dan menunjuk-nunjuk harta itu kepada manusia. Kalau zaman sekarang, sampai ada rancangan televisyen di mana orang-orang kaya seperti artis dan ahli sukan menunjukkan ‘istana’ atau villa yang mereka ada dengan segala kelengkapan dalam rumah mereka.
Ini tidak patut sama sekali. Kerana kebanyakan dari manusia tidak ada kekayaan begitu.
Ayat 77: Sambungan nasihat dari ahli kaum Qarun itu. Ini adalah antara ayat yang selalu disebut-sebut orang kita. Mari kita lihat apakah maksudnya.
وَابتَغِ فيما ءآتٰكَ اللهُ الدّارَ الآخِرَةَ ۖ وَلا تَنسَ نَصيبَكَ مِنَ الدُّنيا ۖ وَأَحسِن كَما أَحسَنَ اللهُ إِلَيكَ ۖ وَلا تَبغِ الفَسادَ فِي الأَرضِ ۖ إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ المُفسِدينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
But seek, through that which Allāh has given you, the home of the Hereafter; and [yet], do not forget your share of the world. And do good as Allāh has done good to you. And desire not corruption in the land. Indeed, Allāh does not like corrupters.”
(MELAYU)
Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.
وَابتَغِ فيما ءآتٰكَ اللهُ الدّارَ الآخِرَةَ
Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat,
Dan penasihat itu menasihati Qarun untuk mencari balasan akhirat. Dan tentunya waktu itu ia perlu dilakukan dengan membantu Nabi Musa عليه السلام menjalankan dakwah baginda kerana tentu Nabi Musa memerlukan bantuan kewangan. Kena infak dan kena keluarkan zakat. Dengan harta memang boleh menghasilkan pahala.
Ini mengingatkan kepada kita yang orang-orang kaya ada kelebihan pada mereka di mana mereka dapat melakukan kebaikan yang banyak dengan infak harta mereka. Dan itulah yang sepatutnya dilakukan oleh Qarun. Harta yang dia ada terlalu banyak sampaikan dia tidak boleh menghabiskannya semasa hidupnya, tetapi dia hanya simpan sahaja dan ditunjuk-tunjuk kepada orang sahaja.
Maka orang-orang kaya di atas dunia ini kena memikirkan lebih lagi tentang akhirat kerana mereka tidak perlu nak fikir tentang hal dunia sangat kerana mereka sudah kaya. Makan pakai mereka sudah cukup tak macam orang yang kais pagi makan pagi.
Oleh itu, apabila Allah ﷻ telah mudahkan kita dengan beri kekayaan sampai kita tidak perlu nak memikirkan tentang makanan dan tempat tinggal, maka tumpukanlah perhatian kepada akhirat pula. Kerana mereka sudah tidak payah nak sibuk-sibuk bekerja. Atau, mereka bekerja juga tapi ada masa yang banyak yang boleh diluangkan untuk agama.
Tapi malangnya kebanyakan daripada manusia apabila sudah kaya, maka mereka sibuk memikirkan bagaimana untuk menjadi lebih kaya lagi. Yang mereka sibukkan akal mereka adalah bagaimana hendak menambah kekayaan mereka lagi? Kalau sudah ada sejuta, bagaimana nak dapatkan dua juta, dan seterusnya.
Atau, mereka sibuk pula memikirkan bagaimana nak habiskan duit mereka. Sentiasa berfikir nak main di mana, nak melancong ke mana, nak beli apa. Ibadat dikesampingkan, sedekah jarang dilakukan. Ilmu tidak dicari tapi kenikmatan hidup yang mereka selalu pandang dan luangkan masa.
وَلا تَنسَ نَصيبَكَ مِنَ الدُّنيا
dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi
Potongan ayat ini yang selalu disebut-sebut oleh mereka yang kata: “jangan tinggalkan dunia…. dunia pun penting juga…..” Adakah ayat ini menganjurkan kita mengaut keuntungan dunia?
Dan bukanlah bila kita kata kena lebihkan akhirat, kita katakan kena tinggalkan dunia terus sampai jadi rahib pula. Bukan tidak boleh ada kereta dan ada rumah yang besar, itu tidak ada masalah tetapi janganlah dunia ini yang difikir-fikirkan sentiasa. Maka janganlah langsung tidak endahkan tentang nikmat dunia, keperluan diri sendiri dan anak beranak.
Kepada Qarun, nasihat ini supaya jangan lupa gunakan harta untuk dapatkan akhirat. Kerana Qarun memang tak lupa dunia. Yang dia lupa adalah untuk dapatkan akhirat. Jadi ini kalau dikaitkan dengan ayat sebelum ini.
Dan ayat ini juga bermaksud jangan lupa tanggungjawab di dunia kepada ahli keluarga yang lain. Ini nasihat kepada orang lain yang bukan seperti Qarun. Apabila kita kaya, maka orang sudah mula memandang kita. Maka kita kena menjadi contoh yang baik kepada manusia. Jangan kita jadi contoh buruk pula.
Sebagai contoh, kalau kita kaya, maka orang teringin nak jadi kaya seperti kita. Tapi kalau kita dapatkan kekayaan kita dengan cara yang salah, ada kemungkinan orang tidak kisah baik atau buruk lagi, asalkan dapat jadi seperti kita. Jadi itu bermakna kita sudah jadi contoh buruk bagi manusia yang lain. Maka kita kena tunjukkan yang kita boleh hidup senang, tapi agama tidak dilupakan, tanggungjawab tidak dikesampingkan.
وَأَحسِن كَما أَحسَنَ اللهُ إِلَيكَ
dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu,
Penasihat itu kata Qarun kena beri contoh yang baik. Orang memang akan ikut kita kalau kita kaya atau terkenal, tapi biarlah mereka nak ikut kita jadi baik, bukan nak ikut kita sebab kita buat benda buruk.
Buat baiklah kerana Allah ﷻ telah berlaku baik kepada kita. Sebagaimana Allah ﷻ telah tolong kita dan beri banyak nikmat kepada kita, maka kenalah kita tolong orang lain pula. Allah ﷻ telah berikan kekayaan kepada kita, ingatlah yang bukan semua kekayaan itu milik kita, ianya ada hak bagi orang lain juga.
Maka buat baiklah di dunia, di akhirat nanti Allah ﷻ akan balas dengan kebaikan.
وَلا تَبغِ الفَسادَ فِي الأَرضِ
dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi.
Dan nasihat akhir sekali: Jangan buat kerosakan di muka bumi. Antara cara berbuat kerosakan itu adalah dengan tidak mengeluarkan zakat. Kerana ada bahagian orang lain dalam harta kita itu. Kalau kita tidak keluarkan, maka mereka tidak dapat bahagian mereka dan itu adalah kerosakan dan juga kezaliman.
Juga jangan gunakan harta itu untuk keburukan. Memang apabila sudah ada banyak harta dan duit, boleh buat banyak perkara seperti berjudi dan sebagainya tapi jangan lakukan. Kerosakan di dunia ini terjadi kerana orang-orang kayalah yang buat pusat-pusat maksiat, pusat-pusat judi, pusat pusat hiburan dan sebagainya kerana orang miskin tak buat benda ini.
Atau, kalau bukan orang kaya yang buat, tempat maksiat itu wujud kerana mereka. Segala benda yang merosakkan akhlak itu diadakan untuk memuaskan kehendak nafsu orang-orang yang kaya lah sebenarnya. Kerana orang miskin tidak ada duit nak belanja di tempat maksiat.
إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ المُفسِدينَ
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.
Allah ﷻ tidak suka dan Allah ﷻ akan balas keburukan itu. Allah ﷻ boleh balas sama ada semasa di akhirat atau Allah ﷻ boleh balas semasa di dunia lagi. Kita akan belajar bagaimana nanti Qarun dapat azab itu semasa di dunia lagi.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 22 Oktober 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan