Tafsir Surah Qasas Ayat 78 – 80 (Bahaya materialisma)

Ayat 78: Salah faham Qarun. Bukannya dia hendak mendengar dan mengikut nasihat yang telah disebutkan dalam ayat sebelum ini.

قالَ إِنَّما أوتيتُهُ عَلىٰ عِلمٍ عِندي ۚ أَوَلَم يَعلَم أَنَّ اللهَ قَد أَهلَكَ مِن قَبلِهِ مِنَ القُرونِ مَن هُوَ أَشَدُّ مِنهُ قُوَّةً وَأَكثَرُ جَمعًا ۚ وَلا يُسأَلُ عَن ذُنوبِهِمُ المُجرِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “I was only given it because of knowledge I have.” Did he not know that Allāh had destroyed before him of generations those who were greater than him in power and greater in accumulation [of wealth]? But the criminals, about their sins, will not be asked.¹

  • There will be no need to enumerate their sins separately, as their quantity is obvious and more than sufficient to warrant punishment in Hell.

(MELAYU)

Qarun berkata: “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku”. Dan apakah dia tidak mengetahui, bahawasanya Allah ‎ﷻ sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu, tentang dosa-dosa mereka.

قالَ إِنَّما أوتيتُهُ عَلىٰ عِلمٍ عِندي

Qarun berkata: “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku”.

Ini adalah jawapan Qarun kepada nasihat yang diberikan kepadanya: Pertama sekali dia telah berkata yang dia diberi dengan harta yang banyak; (yang memberi maksud ada seseorang yang memberikan kepadanya), tetapi siapa?

Maknanya, mungkin dia bermaksud yang memberikan itu memang Allah ‎ﷻ kerana dia pandai maka dia tahu yang Allah ‎ﷻ telah memberikan harta yang banyak. Dia rasa dia istimewa dan kerana itu dia rasa dia layak diberikan dengan segala kekayaan itu oleh Allah ‎ﷻ . Ini adalah fahaman yang salah, kerana kesenangan dan rezeki yang banyak bukanlah tanda Allah ‎ﷻ sayang.

Maksudnya, dia masih lagi beranggapan Allah ‎ﷻ yang berikan harta itu kepadanya. Tetapi fahamannya kenapa Allah ‎ﷻ berikan harta itu kepadanya yang salah. Dia rasa Allah ‎ﷻ sayangkan dia dan merasa dia adalah istimewa, kerana itu dia layak menerima harta dan kekayaan itu.

Atau, dia rasa kerana dia yang pandai mencari harta dan menjaga harta, maka kerana itu dia kaya raya. Pengertiannya sama dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{فَإِذَا مَسَّ الإنْسَانَ ضُرٌّ دَعَانَا ثُمَّ إِذَا خَوَّلْنَاهُ نِعْمَةً مِنَّا قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَى عِلْمٍ}

Maka apabila manusia ditimpa bahaya dia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat dari Kami dia berkata, “Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah kerana kepintaranku.” (Az-Zumar: 49)

Atau dia mungkin bermaksud harta kekayaannya itu diberikan oleh Firaun yang telah memilihnya kerana kepandaiannya. Jadi dia tidak faham kenapa dia kena keluarkan zakat. Ini amat salah sama sekali kerana sepatutnya dia kata yang Allahﷻ sahajalah yang berikan harta itu kepadanya.

Bukan Qarun sahaja yang ada masalah ini tetapi ramai orang-orang yang kaya yang walaupun mereka kata yang Allahﷻ beri kekayaan itu kepada mereka, tetapi mereka merasakan yang mereka berhak mendapat kekayaan itu kerana kepandaian dan juga usaha mereka dan mereka tidak kata yang memang Allahﷻ yang menentukan harta itu untuk mereka sebagai barakah. Mereka tetap mengatakan yang diri mereka juga yang istimewa. Ini adalah satu kebanggaan yang tidak patut ada di dalam hati seorang mukmin.

Oleh itu, perlulah kita kena ingat bahawa apa-apa sahaja kebaikan yang kita dapat di atas dunia ini adalah pemberian dari Allahﷻ dan memang ianya pemberian sepenuhnya dan bukan kerana kepandaian kita, kelebihan kita atau apa-apa sahaja yang ada pada diri kita.

Mungkin kita memang telah berusaha dan kemudian kita berjaya, tetapi kita kena ingat yang usaha kita itu bukanlah menentukan kejayaan ataupun pasti dan tentu mendapat balasan yang baik. Usaha kita itu tidak memberi bekas sebenarnya. Maka apa-apa sahaja yang kita dapat, kena pulangkan kembali yang Allahlah yang berikan kepada kita. Bukan kerana diri kita.

Ini adalah salah satu daripada Talbis Iblis (belitan Iblis). Dia membisikkan perasaan Ghurur dalam hati manusia. Ghurur adalah tipuan yang dikenakan kepada manusia. Manusia menyangka mereka hebat hingga lupa bahawa kehebatan dan apa sahaja yang mereka ada itu adalah daripada Allahﷻ.

Maka kita perlu menjaga hati kita dan menisbahkan apa sahaja yang kita ada daripada segi apa-apa sahaja kebaikan kepada Allahﷻ. Jangan sangka kita dapat segala yang kita ada itu kerana kelebihan kita.

أَوَلَم يَعلَم أَنَّ اللهَ قَد أَهلَكَ مِن قَبلِهِ مِنَ القُرونِ

Dan apakah dia tidak mengetahui, bahawasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya

Allahﷻ sangat marah kepada fahaman Qarun ini sehingga Allahﷻ mengingatkan bagaimana banyak kaum-kaum sebelumnya yang telah dimusnahkan. Tidakkah dia tahu? Sepatutnya dia tahu kerana dia seorang Muslim (tapi bukan Muslim yang baik).

مَن هُوَ أَشَدُّ مِنهُ قُوَّةً وَأَكثَرُ جَمعًا

yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? 

Allah‎ﷻ mengingatkan mereka yang telah dimusnahkan itu lebih kuat daripada Qarun dan lebih banyak harta dan kumpulan daripada Qarun tetapi mereka itu musnah juga kerana tidak ada apa-apa pun yang dapat menghalang kalau Allah ‎ﷻ sudah menetapkan yang seseorang itu akan dimusnahkan.

Mereka itu semua dimusnahkan kerana mereka engkar dengan Allah ‎ﷻ, kufur dan tidak mensyukuri nikmat yang Allah ‎ﷻ  berikan kepada mereka.

وَلا يُسأَلُ عَن ذُنوبِهِمُ المُجرِمونَ

Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu, tentang dosa-dosa mereka.

Allah ‎ﷻ berkata orang-orang yang berdosa itu tidak perlu selidik dan buat soal-siasat pun tentang apa yang mereka lakukan semasa di dunia, kerana Allahﷻ memang sudah mengetahui segala perbuatan mereka semasa di dunia.

Atau, tidak payah bertanya kerana banyak sangat dosa mereka dan tidak terkira banyaknya, jadi tidak perlu sibuk nak tahu apa dosa mereka.


Ayat 79: Kesalahan Qarun lagi.

فَخَرَجَ عَلىٰ قَومِهِ في زينَتِهِ ۖ قالَ الَّذينَ يُريدونَ الحَيَوٰةَ الدُّنيا يٰلَيتَ لَنا مِثلَ ما أوتِيَ قٰرونُ إِنَّهُ لَذو حَظٍّ عَظيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So he came out before his people in his adornment. Those who desired the worldly life said, “Oh, would that we had like what was given to Qārūn. Indeed, he is one of great fortune.”

(MELAYU)

Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dalam kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia: “Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun; sesungguhnya dia benar-benar mempunyai keberuntungan yang besar”.

فَخَرَجَ عَلىٰ قَومِهِ في زينَتِهِ

Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dalam kemegahannya. 

Qarun telah keluar menemui kaumnya dengan segala kemegahan dan memakai segala perhiasannya untuk menunjuk-nunjuk kepada mereka dengan kenderaan yang indah-indah dan juga pengikut-pengikut yang ramai serta dengan penuh kebanggaan dan kesombongan.

Ini tidak patut dilakukan kerana ia ada sifat sombong dan angkuh. Perbuatan tersebut telah menyebabkan orang lain tidak selesa atau menyebabkan orang lain mendapat fahaman yang salah. Kita lihat selepas ini bagaimana ada yang terpengaruh kerana melihat kekayaan Qarun itu.

قالَ الَّذينَ يُريدونَ الحَيَوٰةَ الدُّنيا

Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia: 

Maka berkatalah orang-orang yang lemah akalnya dan mereka yang mempunyai sifat materialistik. Mereka itu orang miskin tetapi mereka terpesona dengan kekayaan yang Qarun ada.

Jadi ini menunjukkan yang orang materialistik ini bukan semestinya orang kaya sahaja kerana orang-orang miskin juga ada sifat itu. Tetapi kerana mereka tidak mampu, mereka hanya mampu berangan-angan untuk menjadi kaya sahaja.  Namun, sifat materialistik mereka itu telah ada dalam diri mereka.

Apa kata mereka?

يٰلَيتَ لَنا مِثلَ ما أوتِيَ قٰرونُ

“Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun;

Mereka ini adalah orang-orang yang tidak ada harta dan miskin, dan mereka teringin kepada harta yang banyak. Oleh kerana itu, mereka terpesona dengan apa yang ada pada Qarun. Mereka berangan-angan kalaulah mereka dapat apa yang telah diberikan kepada Qarun itu.

Itu semua angan-angan sahaja dan banyak dilakukan oleh manusia kerana mereka hanya nampak dunia sahaja dan kayu ukur ‘kejayaan’ dalam fikiran mereka itu adalah ‘kaya’ dan ‘berpengaruh’.

Ini adalah salah faham kebanyakan manusia kerana itu bukanlah ukuran kejayaan yang sebenarnya. Oleh kerana salah faham ini, maka ramai manusia yang mahukan kebendaan (material) kerana mereka sangka itulah kejayaan dan itulah yang baik.

Perbuatan Qarun itu menyebabkan ada orang yang tidak mampu tetapi masih hendak bergaya dengan kereta mewah, telefon bimbit yang mewah dan lain-lain lagi, sehinggakan mereka terpaksa berhutang dan apabila berhutang, mereka akan lebih menyusahkan diri mereka.

إِنَّهُ لَذو حَظٍّ عَظيمٍ

sesungguhnya dia benar-benar mempunyai keberuntungan yang besar”.

Mereka teringin untuk jadi seperti Qarun kerana pada mereka Qarun itu bernasib baik sungguh. Maka mereka sudah mula berangan-angan dan mulalah memikirkan bagaimana hendak menjadi kaya seperti Qarun. Orang kita ada sejarah seperti ini iaitu Kisah Mat Jenin.


Ayat 80: Ini pula adalah golongan yang lain.

وَقالَ الَّذينَ أوتُوا العِلمَ وَيلَكُم ثَوابُ اللهِ خَيرٌ لِّمَن ءآمَنَ وَعَمِلَ صٰلِحًا وَلا يُلَقّٰها إِلَّا الصّٰبِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those who had been given knowledge said, “Woe to you! The reward of Allāh is better for he who believes and does righteousness. And none are granted it except the patient.”

(MELAYU)

Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu: “Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah ‎ﷻ adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperoleh pahala itu, kecuali oleh orang-orang yang sabar”.

وَقالَ الَّذينَ أوتُوا العِلمَ

Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu:

Ini pula adalah kata-kata balas daripada mereka yang beriman dan ada ilmu pengetahuan tentang agama dan tentang akhirat. Mereka tahu harta akhirat itu lebih banyak dan lebih kekal dan dunia bukanlah segala-galanya.

Mereka pun melihat dunia juga tetapi mereka tidak terkesan dengan dunia kerana mereka lebih terkesan dengan wahyu. Oleh kerana itu, hati mereka lebih tertaut dengan akhirat daripada terpaut dengan dunia.

Apakah kata mereka kepada orang-orang yang materialistik itu?

وَيلَكُم ثَوابُ اللهِ خَيرٌ لِّمَن ءآمَنَ وَعَمِلَ صٰلِحًا

“Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh,

Mereka menegur orang-orang miskin yang teringin untuk menjadi seperti Qarun dan mendapat seperti apa yang ada pada Qarun itu. Mereka hendak berkata bahawa fahaman golongan materialistik itu salah dan boleh menjerumuskan mereka ke dalam kecelakaan.

Orang berilmu itu mengingatkan kaum mereka yang balasan yang diberikan oleh Allahﷻ itu lebih baik daripada apa yang ada pada Qarun itu. Inilah juga pengajaran bagi kita. Allahﷻ mengingatkan kita tentang dunia dan kekurangan pada dunia. Dunia ini rendah, sesikit dan tidak kekal dan yang kita sepatutnya lebih berharap adalah kepada pembalasan di akhirat.

Ini sebagaimana yang disebutkan di dalam sebuah hadith sahih yang mengatakan:

يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: أَعْدَدْتُ لِعِبَادِي الصَّالِحِينَ مَا لَا عَيْنٌ رَأَتْ، وَلَا أُذُنٌ سَمِعَتْ، وَلَا خطر عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ، وَاقْرَؤُوا إِنْ شِئْتُمْ: {فَلا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِيَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ}

Allah Swt. berfirman, “Aku telah menyediakan bagi hamba-hamba-Ku yang soleh apa (pahala) yang belum pernah dilihat oleh mata, dan belum pernah didengar (kisahnya) oleh telinga serta belum pernah terdetik (keindahannya) di dalam hati seorang manusia pun.” Selanjutnya Nabi Saw. bersabda, “Bacalah oleh kalian firman Allah Swt. berikut jika kalian suka,” iaitu: Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka, iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan. (As-Sajdah: 17)

وَلا يُلَقّٰها إِلَّا الصّٰبِرونَ

dan tidak diperoleh pahala itu, kecuali oleh orang-orang yang sabar”.

Balasan Allahﷻ itu adalah kepada mereka yang sabar. Mereka yang bersabar, akan mendapat balasan di akhirat. Iaitu sabar dalam mengerjakan ketaatan. Semasa melakukan ketaatan kepada Allahﷻ, teruskan bersabar.

Oleh itu, jangan mengharap jadi kaya di dunia tapi mengharaplah kekayaan di syurga. Syurga itu lebih baik tetapi syurga itu ‘mahal’, maka perlu berusaha. Bukan boleh dapat dengan hanya goyang kaki sahaja, tetapi perlu berusaha setiap masa dan usaha itu memerlukan kesabaran.

Oleh itu, jangan harap apa yang orang lain ada. Jangan cemburu dan dengki dengan kekayaan dan kejayaan keduniaan yang ada pada orang lain. Ada orang dapat lebih dan ada yang dapat kurang. Itu semua adalah dalam ketentuan Allahﷻ. Allahﷻ yang menentukan berapa banyak yang kita dapat.

Maka kena ada rasa cukup dengan apa yang ada. Ini dinamakan sifat qana’ah. Jangan asyik mendambakan benda yang kamu tidak ada kerana itu adalah kerja yang sia-sia.

Maka sabar itu juga bermaksud mereka yang tidak menginginkan duniawi dan hanya berharap kepada pahala Allahﷻ di negeri akhirat. Oleh kerana itu, mereka sabar dalam kehidupan dunia mereka walaupun kehidupan dunia mereka itu susah. Mereka dapat bersabar kerana mereka tahu balasan di akhirat itu lebih baik.

Satu lagi tafsir tentang potongan ayat ini, ia bukanlah sambungan dari kata-kata orang berilmu itu, tetapi sambungan daripada kalam Allahﷻ – jadi ini adalah jumlah mu’taridah. Maknanya, Allahﷻ hendak memberitahu, pemahaman yang ada pada orang berilmu itu diberikan kepada mereka kerana kesabaran mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 14 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s