Ayat 48: Allah ﷻ beritahu azab yang dikenakan kepada mereka itu adalah kerana amalan salah mereka sendiri.
وَبَدا لَهُم سَيِّئَاتُ ما كَسَبوا وَحاقَ بِهِم مّا كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ
Dan sudah tentu akan nyata kepada mereka keburukan perkara-perkara yang mereka telah usahakan, dan mereka akan diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.
وَبَدَا لَهُمْ سَيِّئَاتُ مَّا كَسَبُوا
Dan zahirlah kepada mereka kesalahan yang mereka telah buat,
Kesalahan yang mereka buat semasa di dunia dahulu telah bertukar menjadi azab kepada mereka. Dahulu semasa di dunia, memanglah mereka tidak merasa apa-apa kesan dari dosa yang mereka lakukan. Tetapi apabila di akhirat kelak, perbuatan mereka semasa di dunia itu akan ada kesannya. Dosa itu akan menjadi sesuatu yang boleh dilihat.
Ingatlah bahawa Allah ﷻ telah mengirim wahyu sebanyak 30 juzuk kepada manusia seluruhnya. Namun kebanyakan manusia tidak mengambil inisiatif untuk belajar, walaupun dia seorang Muslim. Maka mereka yang bersalah kerana tidak ambil peluang.
Oleh kerana dia tidak tahu tentang maksud ayat-ayat Al-Qur’an, jadi ada kemungkinan dia telah melakukan syirik. Kerana dia telah melakukan syirik, dia akan dimasukkan ke dalam neraka. Sama juga seperti penganut Buddha yang tidak boleh menggunakan alasan ‘tidak tahu’, orang Islam yang tidak belajar Al-Qur’an juga tidak boleh menggunakan hujah itu. ‘Tidak tahu’ bukanlah alasan yang boleh diterima. Hanya ada empat alasan sahaja yang ada harapan. Sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang ertinya:
Rasulullah ﷺ bersabda, “Empat (jenis manusia) akan berhujjah (membela diri) pada hari kiamat: orang pekak yang tidak mendengar apa-apa, orang yang dungu, orang yang nyanyuk, dan orang yang mati di zaman fatrah (tidak mendapati Rasul yang diutus).
Adapun orang yang pekak akan berkata, ’Wahai Rabb, sesungguhnya agama Islam telah datang, tetapi aku tidak mendengar apa-apa.’
Orang yang dungu akan berkata, ‘Wahai Rabb, sesungguhnya agama Islam telah datang, tetapi aku tidak faham sedikit pun, dan anak-anak kecil melempariku dengan kotoron haiwan.’
Orang yang nyanyuk akan berkata,’Wahai Rabb, sesungguhnya agama Islam telah datang, tetapi aku tidak faham sedikit pun.’
Dan orang yang mati di zaman fatrah akan berkata,’Wahai Rabb, tidak ada RasulMu yang mendatangiku.’
Maka mereka semua diambil perjanjian yang berisi, bahawa mereka semua benar-benar akan mentaatiNya. Kemudian mereka diperintahkan untuk memasuki neraka. Maka barangsiapa memasukinya, neraka itu menjadi dingin dan menyelamatkan. Dan barangsiapa yang tidak memasukinya, dia diseret ke dalamnya.”
HR Ahmad dan Ibnu Hibban. Dishahihkan Syeikh Al Albani. Lihat Shahih Al Jami’ush Shaghir no. 894
Jadi ‘tidak tahu’ bukanlah satu alasan untuk menyelamatkan diri seseorang daripada memasuki neraka. Inilah bahayanya kalau jahil dalam perkara agama. Kerana dia membuat perkara yang menyebabkan dia masuk neraka sebab dia tidak tahu. Ini kerana Allah ﷻ telah beri wahyu, beri rasul dan pendakwah dan segala pancaindera dan akal untuk berfikir. Jadi tidak ada alasan lagi.
Kalau tidak tahu dia ada salah, bagaimana hendak bertaubat? Dia tidak akan bertaubat sebab dia tidak rasa dia berbuat salah. Dia rasa dia sudah buat banyak ibadat. Malangnya, segala amalannya itu tidak berguna untuknya. Baca Ayat 102-104 Surah al-Kahf:
أَفَحَسِبَ الَّذينَ كَفَروا أَن يَتَّخِذوا عِبادي مِن دوني أَولِياءَ ۚ إِنّا أَعتَدنا جَهَنَّمَ لِلكافِرينَ نُزُلًا
Apakah orang-orang kafir itu menyangka (sudah dipanggil orang kafir terus) boleh mengambil hamba-hamba Kami selain dari Kami, sebagai tempat perlindungan, sesungguhnya Kami sediakan bagi mereka neraka jahanam bagi orang kafir itu sebagai tempat tinggal.
قُل هَل نُنَبِّئُكُم بِالأَخسَرينَ أَعمالًا
Katakan kepada mereka: siapakah orang yang paling rugi amal ibadat mereka di bumi?الَّذينَ ضَلَّ سَعيُهُم فِي الحَياةِ الدُّنيا وَهُم يَحسَبونَ أَنَّهُم يُحسِنونَ صُنعًا
Hilang lenyap segala amalan mereka. Orang-orang yang lenyap usaha gigih mereka yang mereka buat amal ibadat di bumi. Sedang mereka menyangka bahawa apa yang mereka buat adalah adalah betul.
Haji, umrah, zakat, sedekah dan sebagainya semua tidak diterima kerana mereka telah syirik kepada Tuhan. Kerana mereka mengambil makhluk lain sebagai aulia’, sebagai pelindung.
Paling ringan sekali tawassul ini adalah apabila bila mereka berkata: ila hadratin nabiy… Perkataan ini datang dari India, bukan dari bahasa Arab. Mereka itu adalah dari golongan yang sembah kubur iaitu, Brehlawi. Perkataan ‘Hadrat‘ itu maknanya ‘tuan’ atau ‘tok guru’ dalam bahasa mereka.
Dan tujuan mereka bertawassul itu adalah kerana mereka hendak meminta tolong kepada semua ahli keluarga Nabi ﷺ. Termasuklah isteri-isteri Nabi ﷺ, mertua-mertua Nabi ﷺ, ipar duai, anak cucu dan sebagainya. Dan termasuk juga kepada semua sahabat baginda. Ada sebanyak 124 ribu sahabat semasa haji akhir Nabi ﷺ. Daripada mereka, orang yang bertawasul itu hendakkan sesuatu kerana Allah ﷻ.
Sebenarnya, yang mereka hendakkan adalah ‘berkat’. Meminta berkat itu sebenarnya adalah syirik. Ini adalah kerana ‘keberkatan’ hanya ada pada Allah ﷻ. Lafaz ini adalah sama seperti orang Kristian berkata kepada Isa: “O Jesus, bless me”. Adakah Tuhan “double standard”, bila seorang Kristian berbuat salah, dia dihukum, tetapi apabila kita orang Islam yang buat, tidak menjadi kesalahan pula?
Dan mereka sendiri tahu yang mereka baca semasa majlis tahlil itu tidak berkat. Mereka sendiri tahu perbuatan itu tidak berkat sebab Nabi ﷺ dan para sahabat tidak pernah mengadakan majlis tahlil. Itulah sebabnya mereka meminta berkat dari Nabi ﷺ.
Oleh kerana majlis tahlil itu Nabi ﷺ tidak pernah buat, sahabat pun tidak buat, jadi mereka hendak meminta “endorsement” (pengendorsan/sokongan/kelulusan) dari mereka itu. Untuk mendapatkan “endorsement” itu, mereka menghadiahkan pula bacaan al-Fatihah kepada mereka. Sedarlah bahawa sedekah Fatihah itu adalah seumpama ‘sogokan’ yang diberikan kepada orang untuk menolong kita. Mereka fikir kerajaan Allah ﷻ adalah seperti kerajaan dunia, tetapi sebenarnya tidak.
Selain dari itu, macam-macam lagi kesalahan yang mereka akan lakukan kerana mereka jahil. Di antaranya, segala wirid-wirid yang lain seperti amalan wirid yang dilakukan supaya badan kebal dan sebagainya yang dimulakan dengan bacaan ‘ila hadratin’ itu.
Apabila guru-guru sesat mengajar amalan-amalan yang salah, yang selalunya bermula dengan perkataan ‘ila hadratin’ itu, mereka tidak berasa salah sebab sudah biasa dalam kehidupan mereka kerana memang sudah selalu mereka dengar dalam Majlis Tahil dan lain-lain. Mereka sangka, apabila dibacakan perkataan ‘ila hadratin’ itu, ianya adalah sebahagian dari agama. Tetapi ternyata sebenarnya, ia adalah jauh sama sekali.
Ada orang berselawat begini: “Assalamualaikum Ya Rasulullah“. Itu adalah perbuatan yang salah melainkan ada pendapat yang berkata boleh kalau berada di kubur Nabi Muhammad ﷺ. Kalau tidak, ia adalah amat salah sekali kerana ia mengibaratkan seperti Nabi ﷺ berada di hadapan kita, padahal tidak.
Mana boleh Nabi ﷺ berada di hadapan kita, kerana baginda sudah wafat. Tidak pernah ada dari mana-mana dalil, sama ada dalam Al-Qur’an ataupun dalam hadis yang mengatakan Nabi ﷺ masih hidup lagi. Dan ada yang memberi salam kepada Sheikh Qadir Jailani, Nabi Khidir, Nabi Tab, Nabi Ilyas dan lain-lain lagi. Ingatlah bahawa, setiap kali seru kepada selain dari Allah ﷻ, jinlah yang akan datang mendampingi kita.
Dalil: Surah Yunus: 28-29
وَيَوْمَ نَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا ثُمَّ نَقُولُ لِلَّذِينَ أَشْرَكُوا
Pada hari Kami kumpul mereka semua sekali. Kemudian Kami berkata kepada orang-orang yang buat syirik kepada Allah, (iaitu yang seru, puja dan beri salam kepada selain dari Allah).
مَكَانَكُمْ أَنْتُمْ وَشُرَكَاؤُكُمْ ۚ فَزَيَّلْنَا بَيْنَهُمْ ۖ وَقَالَ شُرَكَاؤُهُمْ مَا كُنْتُمْ إِيَّانَا تَعْبُدُونَ
Kamu duduk di sini, kamu dan orang-orang yang kamu seru, duduk di sini. Kemudian Kami pisahkan antara mereka berdua. Dan berkata orang-orang yang diseru dulu: “tidaklah kami dulu yang kamu puja”.
Sebenarnya kita sudah beri salam kepada Nabi ﷺ setiap hari dalam solat cuma mungkin ramai tidak perasan. Maka tidak perlu beri salam kepada Nabi ﷺ di luar solat lagi.
Maknanya, dari ayat ini kita dapat tahu bahawa orang-orang yang kita seru dulu, sama ada Nabi, wali ataupun malaikat, tidak tahu menahu pun pasal pemujaan kita terhadap mereka. Maka mereka akan sambung lagi:
فَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ
Maka cukuplah Allah sebagai saksi di antara kami dan kamu.
Mereka menjadikan Allah ﷻ sebagai saksi yang mereka memang tidak tahu kerana mereka sudah lama mati. Malaikat pula duduk di langit, tidak tahu menahu pun apa ibadat yang kamu buat kepadanya.
إِنْ كُنَّا عَنْ عِبَادَتِكُمْ لَغَافِلِينَ
Kami terhadap segala ibadat kamu kepada kami, kami tidak tahu.
Untuk kita mendapat ilmu atau apa-apa maklumat, salah satu caranya adalah dengan mendengar dan melihat. Jadi, mereka telah lama mati, maka mereka tidak dapat mendengar. Seperti yang disebut di dalam Fathir:22. Dari ayat ini, kita dapat tahu bahawa orang dalam kubur, tidak dapat mendengar. Jadi kalau kita talqin kepada mereka pun, mereka tidak akan dapat mendengar.
وَما يَستَوِي الأَحياءُ وَلَا الأَمواتُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُسمِعُ مَن يَشاءُ ۖ وَما أَنتَ بِمُسمِعٍ مَن فِي القُبورِ
Dan (Demikianlah pula) tidaklah sama orang-orang yang hidup dengan orang-orang yang mati. Sesungguhnya Allah, (menurut undang-undang peraturanNya), dapat menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya mendengar (ajaran-ajaran Kitab Allah serta menerimanya), dan (engkau wahai Muhammad) tidak dapat menjadikan orang-orang yang di dalam kubur mendengar (dan menerimanya).
Jadi, daripada ayat di atas, kita dapat tahu bahawa yang diseru itu tidak tahu menahu pun kita telah menyeru mereka. Maka, persoalan di sini adalah, siapakah yang diseru itu? Jawapannya ada dalam Saba’: 40-41.
وَيَومَ يَحشُرُهُم جَميعًا ثُمَّ يَقولُ لِلمَلائِكَةِ أَهٰؤُلاءِ إِيّاكُم كانوا يَعبُدونَ
Pada hari Kami kumpul mereka semua sekali. Kemudian dikata kepada malaikat: Adakah mereka-mereka ini yang kamu dahulu suruh mereka sembah kamu?
قَالُوا سُبْحَانَكَ
Malaikat jawab: Maha Suci kamu, Tuhan.
أَنْتَ وَلِيُّنَا مِنْ دُونِهِمْ ۖ بَلْ كَانُوا يَعْبُدُونَ الْجِنَّ ۖ أَكْثَرُهُمْ بِهِمْ مُؤْمِنُونَ
Kamulah pelindung dan pemelihara kami, bukan mereka-mereka itu, bahkan mereka bukan sembah kami tetapi jin. Kebanyakan mereka tentang jin ini beriman sungguh.
Maka mereka sebenarnya menyeru jin. Orang yang buat perbuatan seru ini, selalunya ada jin di rumahnya dan bersamanya kerana mereka sudah lama panggil jin-jin itu datang. Caranya untuk selamat adalah dengan bertaubat. Bukan susah untuk meminta ampun dengan Tuhan. Untuk selamat, kita istighfar, kemudian berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan itu lagi. Itu sahaja. Jangan degil kalau sudah tahu apa yang kita buat itu adalah salah. Jangan hendak beri alasan nak membenarkan juga amalan-amalan salah itu. Kerana tidak ada alasan. Segala alasan-alasan lain adalah bathil belaka.
Maknanya kalau kita seru selain dari Allah ﷻ, maka yang datang adalah jin. Jin-jin ini dipanggil juga dengan nama ‘syaitan’. Iblis pula adalah satu daripada bangsa jin. Dia dikatakan bapa segala jin adalah iblis. Dan dia itu masih hidup lagi. Jin dalam dunia ini ada yang kafir dan ada yang Islam. Yang masih kafir itu adalah syaitan. Mereka itu adalah jin-jin yang engkar untuk menerima Islam.
Dalam surah lain, ada diceritakan bagaimana syaitan ini akan dibakar dengan bebola api apabila mencuri dengar perbualan malaikat di langit. Kalau api itu terkena sipi-sipi badan mereka, mereka bertukar menjadi langsuir atau pelbagai jenis hantu-hantu yang lain. Jin-jin yang terkena bebola api itu sudah menjadi mereng (gila), tetapi masih lagi hendak mengganggu manusia dengan cara menakut-nakutkan manusia seperti hantu raya dan sebagainya.
Tujuan mereka menakutkan kita adalah supaya kita pergi berjumpa bomoh dan meminta tolong kepada mereka. Ingatlah kisah semasa iblis ditangkap oleh Abu Hurairah رضي الله عنه, Abu Hurairah رضي الله عنه bertanyakan Iblis sendiri, selama tiga hari. Iblis telah mengajar Abu Hurairah رضي الله عنه satu cara yang boleh menghalang dari gangguan syaitan. Iaitu, sesiapa yang baca ayat Kursi, jin syaitan tidak akan ganggu dia sampai siang. Nabi ﷺ berkata: “Betullah kata-kata pendusta itu”. Semua yang dia kata adalah dusta, melainkan yang dia kata mengenai Ayat Kursi ini.
Bila kita berjumpa bomoh, bomoh akan membaca jampi serapah dengan beras kunyit. Kemudian tabur merata-rata. Sebenarnya jin adalah makhluk yang dibuat daripada api. Adakah berkesan menghalau jin syaitan dengan menggunakan beras kunyit? Padahal dia itu makhluk yang ghaib.
Tidak ada kesan pun sebenarnya, tetapi telah dipakat puak-puak jin, supaya membuat olok-olok sakit dan tinggalkan manusia yang mereka telah kacau kalau ada manusia yang menggunakan cara yang salah itu. Supaya manusia sangka bahawa beras kunyit itu berjaya menghalau mereka. Maka, apabila kita percaya benda-benda itu yang mengeluarkan mereka, maka kita telah mempunyai satu kepercayaan yang salah dan mungkin kita menjadi syirik.
Dan selalunya semasa jin-jin itu hendak keluar, mereka akan minta disembelihkan ayam dan sebagainya sebagai syarat untuk keluar. Padahal dia bukan boleh makan pun ayam atau kambing golek itu tetapi hendak suruh manusia buat benda haram sahaja. Kerana sembelih binatang kerana jin adalah haram. Bila sudah berjaya menggoda manusia, dia akan pergi. Dia pergi sebab dia sudah berjaya menyesatkan manusia. Waktu itu orang jahil akan kata: “wah memang betullah jin lari kita macam ini….” Padahal jin pergi kerana telah berjaya menyesatkan manusia.
Macam-macam barang lagi digunakan seperti garam, jintan hitam dan sebagainya yang kadang-kadang tidak terfikir oleh kita. Syaitan akan menipu kita supaya menggunakan semua barang-barang itu kerana syaitan tidak mahu kita membaca ayat Kursi. Pada mereka, bacalah ayat lain asalkan bukan ayat Kursi.
Tetapi, ada juga kadang-kadang kita dengar apabila dibacakan ayat Kursi, jin syaitan masih lagi tidak keluar. Apabila dibaca ayat Kursi kepada mereka dan mereka tidak lari, itu menunjukkan kita sendiri ada membuat syirik. Kerana dia tidak takut sebab yang baca itu adalah ‘kawan’ dia juga. Sama-sama membuat syirik.
Jadi, kalau setakat baca sahaja, tetapi dalam masa yang sama ada membuat syirik, tidak akan memberi kesan kepada syaitan-syaitan itu. Syaitan akan lari kalau yang baca itu adalah seorang yang tidak berbuat syirik kepada Allah ﷻ. Jadi, kalau kita baca dan syaitan tidak lari, maka kita kena istighfar, solat dua rakaat dahulu, baru baca balik. Sebab kita tidak tahu sama ada kita ada berbuat syirik ataupun tidak.
Itulah serba-sedikit penerangan tambahan sebagai panduan kita. Mari kita sambung dengan tafsir Surah Zumar ini.
وَحَاقَ بِهِمْ مَا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ
dan mereka akan diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.
Dahulu mereka tidak percayakan azab yang telah diberitahu kepada mereka, sampai mereka ejek-ejek. Mereka kata: “Hah, mana dia azab itu? Berilah sekarang!” dan sebagainya lagi kata-kata ejeken mereka. Mereka berani berkata begitu kerana mereka tidak percaya. Tetapi sekarang azab yang mereka kata tidak benar itu, sedang meliputi mereka.
Waktu kita ajak mereka untuk belajar, mereka tidak mementingkan ilmu. Mereka sibuk dengan perkara dunia yang lain. Mereka rasa belajar agama itu benda tidak penting sahaja.
Kesannya mereka akan terima di akhirat kelak. Waktu itu, amalan baik dan jahat yang telah dilakukan semasa hidup akan dizahirkan dalam bentuk fizikal. Mereka akan nampak dengan jelas. Dosa yang telah menzahir itu akan meliputi mereka dan akan mengazab mereka.
Ayat 49: Zajrun
فَإِذا مَسَّ الإِنسٰنَ ضُرٌّ دَعانا ثُمَّ إِذا خَوَّلنٰهُ نِعمَةً مِّنّا قالَ إِنَّما أوتيتُهُ عَلىٰ عِلمٍ ۚ بَل هِيَ فِتنَةٌ وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ
Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, dia segera berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah dia (dengan sombongnya): “Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).
فَإِذَا مَسَّ الْإِنْسٰنَ ضُرٌّ دَعَانَا
Apabila ditimpa kepada manusia (yang kufur itu) musibah, mereka akan berdoa terus kepada Kami,
Apabila manusia dikenakan dengan musibah yang besar, mereka sudah tidak menggunakan perantaraan dalam doa lagi. Mereka akan terus berdoa kepada Allah ﷻ sahaja. Ini seperti Musyrikin Mekah yang selalunya akan berdoa terus kepada Allah ﷻ kalau mereka ada masalah besar.
Mereka kenal Allah ﷻ kerana mereka masih ada tinggalan ajaran dari Nabi Ibrahim عليه السلام lagi. Mereka akan terus mengangkat tangan dan berdoa kepada Allah ﷻ. Mereka akan berdoa bersungguh-sungguh dengan Allah ﷻ.
Begitulah kalau orang kita sekarang pun. Kalau sudah terkena musibah, ramai akan berdoa sungguh-sungguh kepada Allah ﷻ. Mereka akan menjadi orang baik, solat pun tidak tinggal, pakai kopiah, kalau doa pula panjang-panjang doa mereka.
ثُمَّ إِذَا خَوَّلْنٰهُ نِعْمَةً مِّنَّا
kemudian apabila diselubungi kepadanya nikmat dari Kami,
Setelah sekian lama, Allah ﷻ akan tukar bala itu kepada nikmat. Mereka yang dulunya dikenakan dengan musibah, sekarang ‘diselimuti’ dengan nikmat. Kalau dahulu perniagaan mereka jatuh, sekarang sudah semakin pulih. Kalau dahulu mereka jatuh sakit, kesihatan mereka sudah semakin baik.
Sebelum ini mereka berdoa dan minta Allah ﷻ menyelesaikan masalah mereka. Tetapi apa kata mereka apabila masalah mereka selesai?
قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَىٰ عِلْمٍ
dia berkata: ini semua diberi hasil dari ilmu yang aku ada.
Bukan mereka fikir bahawa Tuhan yang selesaikan masalah mereka itu. Tetapi mereka sangka kebaikan yang mereka dapat itu adalah dari hasil usaha dan kepandaian mereka menangani masalah yang pernah dihadapi itu.
Mereka berkata mereka dapat menyelesaikan masalah itu kerana mereka belajar, mereka mendapatkan nasihat dari orang lain, mereka berusaha bersungguh-sungguh. Dan apabila mereka berjaya, mereka sangka sebab itulah mereka berjaya.
Mereka lupa yang dahulu semasa mereka terkena bala itu, mereka telah berdoa terus kepada Allah ﷻ supaya mengangkat bala mereka itu. Dan Allahlah yang telah beri jalan keluar. Allahlah yang hantar orang untuk tolong mereka. Allah ﷻ yang beri idea bagaimana hendak selesaikan masalah. Tetapi mereka telah menafikan Allah ﷻ yang telah menolong mereka. Dahulu semasa berdoa ingat kepada Allah ﷻ, tetapi bila masalah sudah selesai, mereka lupa Allah ﷻ terus.
بَلْ هِيَ فِتْنَةٌ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Bahkan sebenarnya bala yang diberi itu adalah sebagai fitnah (suatu ujian besar), tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
1. ‘Fitnah’ dalam ayat ini bukanlah bermaksud fitnah seperti yang kita fahami itu. Fitnah dalam bahasa Arab sebenarnya bermaksud ‘ujian besar’. Sepatutnya perkataan yang digunakan adalah ‘tohmahan’.
Memang dunia ini adalah tempat ujian dan kerana itu Allah ﷻ akan memberikan ujian kepada kita untuk melihat bagaimanakah kita akan menghadapinya. Allah ﷻ hendak melihat adakah kita menangani masalah itu dengan melakukan dosa atau kita menyelesaikannya mengikut lunas-lunas yang telah diajar dalam Islam?
2. Penyelesaian masalah itu pun adalah ujian juga dari Allah ﷻ. Ia adalah ujian dari Allah ﷻ kerana Allah ﷻ tidak zahirkan yang Dialah yang telah menyelesaikan masalah mereka itu. Pada zahirnya, mereka nampak usaha mereka yang menyelesaikan masalah itu, tetapi mereka tidak sedar yang cara-cara yang mereka lakukan itu sebenarnya didatangkan oleh Allah ﷻ. Mereka tidak nampak ‘tangan ghaib’ Allah ﷻ yang telah menyelesaikan masalah mereka.
Apabila mereka tidak nampak taqdir Allah ﷻ yang menyebabkan masalah mereka selesai, maka tidaklah mereka bersyukur kepada Allah ﷻ. Maka mereka telah gagal dalam ujian itu.
Mereka juga tidak tahu bahawa ujian bala yang diberikan oleh Allah ﷻ itu adalah untuk mengembalikan mereka ke jalan Allah ﷻ. Kerana apabila kita telah jatuh, kita akan lebih mudah untuk mengingati Allah ﷻ. Semakin mudah untuk mengharap kepada Allah ﷻ.
Kerana kalau kita duduk bergelumang dalam kenikmatan, selalunya kita akan sombong dan lupakan Allah ﷻ. Kita memang tidak cakap dengan mulut kita, tetapi dalam hati kita, kita rasa kita sudah selamat. Sudah rasa tidak perlukan Allah ﷻ lagi. Maka sekali sekala Allah ﷻ akan bagi kita jatuh sedikit supaya kita mula balik untuk ingat kepada-Nya.
3. Apabila mereka diberikan nikmat setelah musibah itu adalah merupakan ujian juga. Kerana kesenangan hidup yang Allah ﷻ berikan kepada kita juga adalah ujian sebenarnya. Orang selalu berasa yang ujian itu adalah kesusahan seperti kemiskinan.
Tetapi sebenarnya ujian yang lebih berat adalah ujian kesenangan. Kerana orang yang sedang hidup mewah, senang hendak lupa Allah ﷻ. Bukanlah semua, tetapi kebarangkalian yang tinggi. Maka hidup senang lenang adalah ujian sebenarnya. Ini kerana Allah ﷻ hendak melihat sama ada orang itu bersyukur dengan kesenangan itu atau tidak, sama ada dia menggunakan kesenangannya itu untuk kebaikan atau tidak.
Ayat 50: Takhwif Duniawi.
قَد قالَهَا الَّذينَ مِن قَبلِهِم فَما أَغنىٰ عَنهُم مّا كانوا يَكسِبونَ
Sebenarnya orang-orang yang terdahulu daripada mereka telah juga mengatakan yang demikian, maka segala yang mereka usahakan itu tidak dapat menyelamatkan mereka (dari azab Allah).
قَدْ قَالَهَا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ
Telah berkata dulu orang-orang sebelum mereka
Manusia yang engkar sangka masalah mereka selesai kerana kepandaian mereka. Allah ﷻ beritahu yang orang-orang dahulu pun berkata seperti itu juga. Bukan orang Mekah sahaja yang mula-mula kata begitu. Orang-orang dahulu pun sudah banyak yang dikenakan bala juga dan mereka juga kata mereka dapat menyelesaikan masalah disebabkan oleh kepandaian mereka.
Jangan kata orang dahulu, sekarang zaman berzaman pun memang ramai yang berperasaan begitu. Mereka tidak berkata Allah ﷻ yang telah menyelamatkan mereka. Mereka tidak berterima kasih pun kepada Allah ﷻ apabila masalah mereka telah selesai.
فَمَا أَغْنَىٰ عَنْهُمْ مَّا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Maka tidak ada lagi yang boleh menyelamatkan mereka terhadap apa yang dulu mereka lakukan.
Tidak berguna lagi segala perbuatan yang mereka lakukan. Segala apa yang mereka telah lakukan tidak boleh menyelamatkan mereka langsung. Ini kerana kalau mereka melakukan amalan syirik, maka segala amal ibadat yang mereka lakukan dahulu semasa di dunia tidak akan dikira. Tidak akan menyelamatkan mereka dari hukuman Allah ﷻ.
Jadi ayat ini adalah tentang syirik yang amat halus. Mungkin tidak perasan bagaimana kita menduakan Allah ﷻ dalam hal ini. Kita menduakan Allah ﷻ apabila kita kata kita selesaikan masalah itu, sedangkan hakikatnya Allah ﷻ yang menyelesaikannya. Kita sudah jadi seperti Allah ﷻ pula, sama kedudukan dengan Allah ﷻ pula.
Ayat 51:
فَأَصابَهُم سَيِّئَاتُ ما كَسَبوا ۚ وَالَّذينَ ظَلَموا مِن هٰؤُلاءِ سَيُصيبُهُم سَيِّئَاتُ ما كَسَبوا وَما هُم بِمُعجِزينَ
Lalu mereka ditimpa keburukan padah perbuatan-perbuatan jahat yang mereka lakukan; dan orang-orang yang zalim di antara golongan (yang musyrik) ini akan ditimpa juga akibat buruk perbuatan-perbuatan buruk perbuatan jahat yang mereka lakukan, dan mereka tidak akan dapat melepaskan diri.
فَأَصَابَهُمْ سَيِّئَاتُ مَا كَسَبُوا
Maka menimpa ke atas mereka dosa-dosa yang mereka telah lakukan
Dosa-dosa yang mereka lakukan di dunia itu telah menjadi azab kepada mereka. Mereka sendiri yang berusaha untuk berbuat dosa itu, bukan orang lain. Sebagai contoh, dosa-dosa mereka tinggalkan solat dan sebagainya lagi. Itu semua mereka akan tanggung, kalau dosa itu tidak diampunkan.
Kita boleh menolong mereka yang telah mati dengan berdoa kepada Allah ﷻ supaya dosa mereka diampunkan. Itulah cara yang sebetulnya. Bukanlah dengan mengadakan Majlis Tahlil dan niat untuk sedekah pahala kepada si-mati.
Amalan itu tidak pernah dibuat oleh Nabi ﷺ dan juga para sahabat. Adakah kita rasa dengan kita sedekah pahala itu akan cukup untuk mengimbangi dosa yang telah dilakukan oleh si mati? Itu semua adalah angan-angan kosong sahaja. Apabila tiada dalil, maka angan-angan kosong yang ada.
وَالَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْ هَٰؤُلَاءِ سَيُصِيبُهُمْ سَيِّئَاتُ مَا كَسَبُوا
Dan orang-orang zalim mereka ini juga akan ditimpa akibat kejahatan dosa yang mereka telah lakukan.
Kalau dahulu ayat ini ditujukan kepada Musyrikin Mekah yang berbuat syirik. Tetapi kalau kita juga ada berbuat syirik kepada Allah ﷻ, maka kita juga termasuk dalam golongan mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini.
Jangan kita baca ayat ini dan fikir ia hanya ditujukan kepada orang-orang terdahulu sahaja. Ramai orang salah faham ayat-ayat Al-Qur’an tidak berkata tentang mereka dan mereka tidak terkena dengan apa yang ditegur oleh Allah ﷻ. Itu adalah kesalahan dan kesilapan yang amat besar sekali.
وَمَا هُمْ بِمُعْجِزِينَ
Dan mereka tidak mampu melepaskan diri daripada Allah waktu itu.
Sudah terlambat apabila sudah memasuki neraka. Tidak akan dapat keluar dan tidak dapat mengalahkan Allah ﷻ. Banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang menceritakan bagaimana ahli-ahli neraka akan cuba untuk memohon supaya mereka dikembalikan ke dunia balik supaya mereka boleh beramal baik, tetapi mereka tidak akan diberikan peluang itu.
Perkataan عجزِ bermaksud menyelamatkan diri dari serangan dengan mengalahkan. Bayangkan serangan bom “missile”, dan kita ada “anti-aircraft-missile” untuk menyelamatkan diri dari missile itu. Tetapi, dengan azab Allah ﷻ, kita tidak boleh melepaskan diri. Orang-orang yang ada kedudukan, mereka sangka mereka boleh gunakan kedudukan mereka untuk menghilangkan masalah mereka. Tetapi tidak boleh.
Ayat 52: Dalil Aqli. Allah ﷻ gunakan pembahagian rezeki kepada makhluk-Nya sebagai dalil untuk kita berfikir.
أَوَلَم يَعلَموا أَنَّ اللَّهَ يَبسُطُ الرِّزقَ لِمَن يَشاءُ وَيَقدِرُ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يُؤمِنونَ
Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia juga yang menyempitkannya? Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan yang jelas bagi orang-orang yang percayakan (ilmu dan kebijaksanaan Allah).
أَوَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَقْدِرُ
Apakah tidak mereka mengetahui bahawa Allahlah yang melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki, atau menyempitkan.
Ada orang yang Allah ﷻ beri banyak rezeki, ada yang dapat sedikit sahaja – ada yang kaya dan ada yang miskin. Ada orang yang berusaha susah payah, tetapi rezeki mereka kurang. Ada yang kerja tidak banyak, tetapi mereka dilimpahkan rezeki oleh Allah ﷻ.
Itu adalah kerana rezeki sesiapa sahaja diberikan oleh Allah ﷻ, kadarnya ditentukan oleh Allah ﷻ bukan dari hasil usaha manusia semata-mata. Semua rezeki ditentukan oleh Allah ﷻ. Bukan dalam kawalan kita, bukan? Itu semua sebagai ujian dari Allah ﷻ.
Rezeki banyak adalah ujian, sempit rezeki juga adalah ujian. Kerana mereka yang kaya dan miskin itu yang masih tetap di dunia dan selagi masih hidup dalam dunia, mereka tertakluk kepada ujian. Maka orang yang banyak harta, tidak boleh berlagak, kerana semua yang dia ada itu Allah ﷻ yang beri.
Dan orang yang mendapat harta kurang pun tidak boleh marah, kerana Allah ﷻ yang tetapkan dia begitu dan dia tidak boleh marah kepada Allah ﷻ. Sebagai seorang Muslim, kena redha dengan apa yang Allah ﷻ beri.
إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Sesungguhnya pada demikian itu berbagai-bagai bukti bagi kaum mukminin.
Kaya dan miskin adalah ujian dari Allah ﷻ belaka, untuk uji manusia dalam keadaan yang berbeza. Allah ﷻ berkuasa dan ada qudrat untuk berbuat begitu kepada sesiapa sahaja.
Pengetahuan ini diberi kepada semua orang, tetapi yang dapat faham dan terima adalah orang-orang mukmin sahaja. Iaitu orang-orang yang mahu beriman.
Habis Ruku’ ke 5 dari 8 ruku’ dalam surah ini.
Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 15 Julai 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Ibn Kathir
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani