Ayat 98:
قالَ هٰذا رَحمَةٌ مِّن رَّبّي ۖ فَإِذا جاءَ وَعدُ رَبّي جَعَلَهُ دَكّاءَ ۖ وَكانَ وَعدُ رَبّي حَقًّا
[Dhul-Qarnayn] said, “This is a mercy from my Lord; but when the promise of my Lord comes, He will make it level, and ever is the promise of my Lord true.”
(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar”.
قَالَ هَٰذَا رَحْمَةٌ مِّنْ رَّبِّي
Dzulkarnain berkata: Dinding ini adalah suatu rahmat dari Tuhanku.
Rahmat dari dinding itu adalah dapat menghalang Ya’juj Ma’juj dari keluar membunuh manusia. Sudah sekian lama ia menghalang mereka dari kita.
Dzulkarnain terlibat secara langsung membina dinding itu. Tapi lihatlah bagaimana beradabnya Dzulkarnain. Dia telah membantu untuk membina tembok itu, tapi dia kata dengan rahmat Allah lah tembok itu boleh disiapkan. Dia tidak kata dia yang bina tapi dia pulangkan kembali kepada Allah.
Dia tidak berbangga dengan hasil usahanya, sebaliknya dia memulangkan usahanya itu kepada Allah. Kalau bukan Allah yang bantu, maka tidaklah boleh dia nak buat apa yang telah dilakukan itu. Maka kita boleh ambil pengajaran dari sikap beliau ini. Jangan hanya letak kejayaan sesuatu pekerjaan itu pada diri kita sahaja.
فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ رَبِّي جَعَلَهُ دَكَّاءَ
Dan apabila datang janji Tuhanku, nescaya Allah akan jadikan dinding ini hancur;
Memang tembok itu kukuh, tapi tidaklah sampai bila-bila. Kerana akan sampai masanya yang dinding itu akan hancur juga. Dan apabila itu terjadi, Ya’juj Ma’juj akan keluar. Ianya sudah ada dalam takdir Allah.
وَكَانَ وَعْدُ رَبِّي حَقًّا
Dan adalah janji Tuhanku benar;
Dan pasti Allah akan hancurkan tembok itu pada satu masa nanti. Sebagaimana pastinya hari Kiamat itu akan berlaku seperti yang dijanjikan Allah, begitu jugalah tembok itu akan pecah. Ini sebenarnya amat menakutkan.
Ayat 99: Apa yang akan berlaku apabila tempoh itu hancur?
۞ وَتَرَكنا بَعضَهُم يَومَئِذٍ يَموجُ في بَعضٍ ۖ وَنُفِخَ فِي الصّورِ فَجَمَعنٰهُم جَمعًا
And We will leave them that day surging over each other, and [then] the Horn will be blown, and We will assemble them in [one] assembly.
Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain; dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar.
وَتَرَكْنَا بَعْضَهُمْ يَوْمَئِذٍ يَمُوجُ فِي بَعْضٍ
Dan Kami biarkan sebahagian mereka bercampur baur pada hari itu;
Pada hari yang ditakdirkan itu, Ya’juj dan Ma’juj dapat keluar dari tempat itu dan akan bercampur antara manusia biasa dan Ya’juj dan Ma’juj. Mereka begitu ramai sampai dibayangkan mereka seperti ombak yang membelah pantai.
Mereka akan melakukan kerosakan kepada harta manusia dan segala sesuatu yang mereka miliki. Mana-mana manusia yang mereka jumpa, mereka akan bunuh. Tidak pernah terjadi kejadian macam itu dalam sejarah manusia. Itu akan terjadi sebelum kiamat dan setelah keluar Dajjal. Apabila Ya’juj Ma’juj telah keluar, itu adalah tanda tidak lama lagi akan kiamat.
Ada juga ulama yang mengatakan ini ayat ini menceritakan keadaan di akhirat kelak. Allah akan biarkan mereka yang derhaka itu bercampur aduk satu sama lain.
وَنُفِخَ فِي الصُّورِ
Maka Kami akan tiupkan sangkakala;
Tidak lama selepas keluarkan Ya’juj Ma’juj itu, maka Kiamat akan berlaku. Akan ditiupkan sangkakala untuk mematikan semua makhluk yang ada di dalam alam ini. Setelah semuanya hancur, mereka akan dikumpulkan.
فَجَمَعْنٰهُمْ جَمْعًا
Kami akan kumpulkan mereka bersama;
Semua makhluk akan dikumpulkan di Mahsyar. Ini adalah peringatan tentang Hari Kiamat. Ringkas sahaja diceritakan di sini, sebab di tempat lain sudah banyak diceritakan dengan panjang lebar.
Ayat 100:
وَعَرَضنا جَهَنَّمَ يَومَئِذٍ لِّلكٰفِرينَ عَرضًا
And We will present Hell that Day to the Disbelievers, on display –
Dan Kami perlihatkan neraka Jahannam, pada hari itu kepada orang-orang kafir, dengan pendedahan yang jelas nyata;
Neraka akan ditarik keluar oleh malaikat ke Mahsyar. Neraka akan dipanaskan sekali ganda dari kehangatan biasa. Dan manusia akan mendengar neraka itu menggelegak.
Di dalam Sahih Muslim, ada diriwayatkan dari Ibn Mas’ud, Nabi bersabda: “Jahannam akan didatangkan, pada hari Kiamat kelak ia punya tujuh ribu tali, yang setiap pegangan terdapat tujuh puluh ribu malaikat yang menariknya.”
Iaitu akan ditarik ke Mahsyar kelak untuk ditunjukkan kepada ahli neraka. Ini adalah beri mereka azab takut dahulu dengan melihat neraka sebelum benar-benar dimasukkan ke dalamnya.
Ayat 101: Penjelasan siapakah orang kafir itu.
الَّذينَ كانَت أَعيُنُهُم في غِطاءٍ عَن ذِكري وَكانوا لا يَستَطيعونَ سَمعًا
Those whose eyes had been within a cover [removed] from My remembrance, and they were not able to hear.
(Iaitu) orang-orang yang matanya telah tertutup daripada melihat tanda-tanda yang membawa kepada mengingatiKu, dan mereka pula tidak dapat mendengar sama sekali.
الَّذِينَ كَانَتْ أَعْيُنُهُمْ فِي غِطَاءٍ
Iaitu orang-orang yang mata mereka dulu dalam tutupan;
Maksudnya semasa mereka hidup di dunia, mereka lalai dan leka dari menerima pengajaran agama. Mata hati mereka tertutup dari wahyu Qur’an. Apabila ditunjukkan kebenaran kepada mereka, mereka tidak mampu melihatnya kerana ada tutupan maknawi pada mata mereka.
Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).
Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.
عَنْ ذِكْرِي
dari peringatan Kami;
Yang dimaksudkan ‘peringatan’ itu adalah sama ada pengajaran dari Qur’an atau dari mana-mana guru yang mengajar. Mata mereka macam tertutup dan kerana itu mereka tidak boleh melihat kebenaran walaupun ia ada di depan mata mereka.
وَكَانُوا لَا يَسْتَطِيعُونَ سَمْعًا
dan mereka tidak dapat mendengar;
Bukan sahaja mata mereka tertutup dari melihat kebenaran, telinga mereka tidak dapat mendengar wahyu dari Allah. Bila dibacakan ayat Qur’an kepada mereka, mereka tidak dapat terima. Kerana telinga mereka bagai ditutup. Macam masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
Habis Ruku’ ke 11 dari surah ini.
Ayat 102: Sekarang kita masuk ke Ruku’ 12 dan terakhir bagi surah ini.
أَفَحَسِبَ الَّذينَ كَفَروا أَن يَتَّخِذوا عِبادي مِن دوني أَولِياءَ ۚ إِنّا أَعتَدنا جَهَنَّمَ لِلكٰفِرينَ نُزُلًا
Then do those who disbelieve think that they can take My servants instead of Me as allies? Indeed, We have prepared Hell for the disbelievers as a lodging.
Maka adakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka mengambil hamba-hambaKu sebagai makhluk-makhluk yang disembah selain daripadaKu, dapat menolong mereka? Sesungguhnya Kami telah sediakan neraka Jahannam bagi orang-orang kafir itu sebagai tempat tetamu.
أَفَحَسِبَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنْ يَتَّخِذُوا عِبَادِي
Apakah orang-orang kafir menyangka mereka boleh mengambil hamba-hambaKu;
Mereka yang berfahaman syirik sangka mereka boleh meminta pertolongan kepada selain dari Allah. Mereka seru dan sembah kepada selain Allah. Ini termasuklah kalau seru dan puja Nabi, wali dan malaikat. Bukan orang bukan Islam sahaja yang buat, tapi ada orang Islam yang jauh dari wahyu juga buat perkara ini. Ini adalah kerana mereka jahil dengan wahyu.
مِنْ دُونِي
selain daripadaKu;
Adakah mereka sangka perbuatan mereka mengambil selain DiriNya sebagai wali itu tidak menyebabkan Allah murka?! Tentu sekali Allah murka! Adakah mereka sangka Allah akan berdiam diri sahaja?! Tentu tidak!
Ilah hanya Allah sahaja, tapi ada manusia yang menyeru dan menyembah selain Allah, iaitu para wali, para Nabi dan para malaikat. Macam agama Buddha, yang mereka sembah itu sebenarnya wali mereka; dalam agama Kristian pula mereka sembah Nabi (Nabi Isa) dan dalam agama Hindu, mereka sembah malaikat. Begitu juga Musyrikin Mekah sembah dan seru para malaikat.
Bagaimana pula dengan orang Islam kita? Ramai yang tidak faham dengan wahyu kerana tidak belajar, jadi mereka tidak tahu tentang syirik dan ciri-cirinya. Maka mereka pun ramai yang sembah dan seru semua sekali Nabi, wali dan malaikat! Ini dilakukan tanpa sedar. Ada yang sembah Nabi Muhammad, ada yang sembah Syaikh Abdul Qadir, ada yang minta tolong kepada para malaikat.
أَوْلِيَاءَ
sebagai pemimpin-pemimpin, pelindung-pelindung, pembantu-pembantu?;
Masyarakat kita yang jauh dari wahyu telah menjadikan Nabi, wali dan malaikat sebagai pelindung, perantara dan tempat pengharapan. Amalan inilah yang dinamakan tawassul, iaitu ‘perantaraan’.
Ini dilakukan selalunya dengan memberi salam kepada mereka. Macam orang kita sekarang, banyak mengambil Nabi Muhammad sebagai perantara. Selain dari itu mereka juga menggunakan Nabi-nabi lain sebagai perantara, wali-wali seperti Sheikh Abdul Qadir Jailani dan lain-lain. Mereka tidak sedar tentang kesalahan ini kerana tidak belajar tafsir.
Muqaddar dalam ayat ini: adakah mereka menyangka yang Allah tidak murka dengan perbuatan mereka itu? Tentu sekali Allah murka dan kerana itu Allah akan sediakan neraka jahannam untuk mereka.
إِنَّا أَعْتَدْنَا جَهَنَّمَ لِلْكٰفِرِينَ
Sesungguhnya Kami sediakan Neraka Jahannam kepada orang kafir
Ayat ini mengisyaratkan kepada kita bahawa kalau bertawasul kepada makhluk, akan menjadikan seseorang itu kafir. Kerana ini adalah perbuatan orang kafir. Dan kerana salah faham tentang tawasul inilah yang menjadikan agama selain dari Islam. Mereka itu asal menjadi kafir kerana salah faham tentang tawassul.
Seperti agama Kristian, Yahudi dan mungkin Buddhist dan Hindu itu pun, berasal dari agama Islam sebenarnya. Tapi kerana salah faham tentang tawasul, maka mereka telah menggunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai perantara dalam doa. Lama kelamaan, mereka telah menyembah Nabi Isa, Nabi Uzair, Buddha dan dewa-dewa Hindu itu.
Maka kepada mereka yang mengamalkan tawasul yang salah (ada tawasul yang dibenarkan), maka mereka akan masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya. Kepada mereka yang sangka boleh meminta tolong kepada selain dari Allah, maka Allah sediakan Neraka Jahannam kepada mereka.
نُزُلًا
sebagai tempat tinggal;
Neraka itu akan menjadi tempat tinggal bagi mereka. Kalimah نزل ini asalnya bermaksud tempat sambutan tetamu. Maknanya Allah siapkan neraka untuk sambut mereka di akhirat kelak. Inilah balasan bagi mereka. Dan keburukan neraka telah diceritakan dalam banyak ayat-ayat Qur’an yang lain.
Ayat 103: Dari ayat ini sehingga ke hujung surah adalah Perenggan Makro Keenam dan ia adalah Penutup kepada surah ini.
قُل هَل نُنَبِّئُكُم بِالأَخسَرينَ أَعمٰلًا
Say, [O Muhammad], “Shall we [believers] inform you of the greatest losers as to [their] deeds?
Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?
قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ
Katakanlah kepada mereka: Mahukah Kami khabarkan kepada kamu
Allah suruh Nabi Muhammad sampaikan ajaran yang amat penting. Kerana itu digunakan kalimah naba‘ dalam ayat ini yang membawa erti berita yang lebih besar dari khabar sahaja. Ianya sesuatu yang kena diberikan perhatian. Bukan sahaja kena beri perhatian, tapi kena ada tindakan. Maka Allah tarik perhatian pembaca Qur’an dengan kalimat ini, seolah-olah nak kata: “kamu nak tahu tak?”
بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمٰلًا
tentang mereka yang paling rugi dalam amalan-amalan mereka?
Allah suruh Nabi Muhammad beritahu tentang mereka yang beramal, tapi amalan mereka itu rugi sahaja, sia-sia sahaja. Yang mengamalkannya sangka mereka dapat pahala dan kebaikan dengan mengamalkannya, tapi sebenarnya tidak.
Ayat 104:
الَّذينَ ضَلَّ سَعيُهُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَهُم يَحسَبونَ أَنَّهُم يُحسِنونَ صُنعًا
[They are] those whose effort is lost in worldly life, while they think that they are doing well in work.”
(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”.
الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَوٰةِ الدُّنْيَا
Iaitu orang-orang yang sia-sia sahaja usaha gigih mereka dalam kehidupan dunia;
Iaitu sia-sia sahaja ibadat syirik dan ibadat-ibadat bidaah yang mereka buat selama mereka di dunia dulu. Mereka bersusah payah melakukan ibadat-ibadat itu dulu. Ibadat syirik adalah seruan-seruan yang diberikan kepada selain dari Allah taala. Contohnya, menyeru Nabi dan malaikat, seperti yang banyak diamalkan oleh masyarakat kita sekarang.
Ibadat bidaah pula adalah ibadat yang tidak diajar oleh Nabi. Perkara ini perlu sangat diberi perhatian oleh orang-orang kita. Ramai yang ambil ringan sahaja perkara ini. Mereka sibukkan diri mereka dengan amalan bidaah, tanpa melihat ia sebagai perkara yang salah. Dan untuk sedapkan hati mereka, mereka kata ianya adalah ‘Bidaah Hasanah’. Itu adalah nama nak bagi sedap hati sahaja. Tapi tidak kira nama apa yang mereka gunakan, yang salah tetap salah.
Dan yang lebih penting adalah pemahaman tentang syirik. Ini penting sangat kerana jikalau manusia masih berada dalam syirik, apa-apa sahaja amalan yang mereka lakukan, walaupun amalan yang sunnah, amalan itu tidak diterima. Kerana syarat untuk sesuatu amalan ibadah diterima adalah orang itu mesti Muslim. Maka kalau dia ada lagi fahaman syirik dalam hatinya dan perbuatannya, dia belum lagi beriman sempurna – belum lagi Muslim yang sempurna.
وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا
Dan mereka menyangka mereka sudah buat usaha yang terbaik;
Malangnya mereka yang jauh dari wahyu tidak sedar yang amalan mereka itu sia-sia sahaja. Sebagai contohnya mereka bersusah payah sambut Maulid Nabi (Birthday Nabi), buat Majlis Tahlil dan jemput orang datang makan, panggil orang zikir dan doa, baca puisi kepada Nabi dan macam-macam lagi. Semua itu memerlukan kos dan masa untuk dilakukan.
Mereka sangka itu adalah amalan yang baik dan mereka sangka ianya adalah amalan dalam agama. Ini kerana amalan ini sudah lama dilakukan oleh tok nenek dan kebanyakan masyarakat kita pun masih melakukannya. Mereka sangka mereka dapat pahala yang banyak dengan beramal dengannya.
Mereka sangka mereka sudah buat perkara yang memberi pahala kepada mereka, tapi sebenarnya mereka mengumpul dosa sahaja! Kerana amalan itu semua adalah usaha sia-sia kerana itu adalah amalan bidaah. Sahabat dan ulama salaf tidak pernah buat dan menganjurkan amalan-amalan sebegitu. Kalau ianya adalah amalan yang baik, sudah tentu mereka akan buat dulu kerana mereka amat kuat beribadah.
Dan kadangkala dalam amalan-amalan itu ada perbuatan syirik kerana mereka akan bertawasul kepada Nabi sebelum mereka memulakan buat Majlis Tahlil atau Doa Selamat. Mereka sangka dengan mereka sedekah Fatihah kepada Nabi, baginda akan ingat mereka dan akan memberikan syafaat kepada mereka dan akan memberkati majlis bidaah itu. Malah ada fahaman yang lebih karut lagi, mereka sangka Nabi Muhammad akan datang! Ini adalah salah faham yang besar.
Padahal, Nabi tidak berkuasa untuk memberi syafaat. Nabi Muhammad hanya menyampaikan syafaat kepada mereka yang layak menerima syafaat sahaja. Kalau Nabi Muhammad boleh menentukan siapa yang menerima syafaat, tentulah baginda akan memberikan syafaat kepada bapa saudaranya, Abu Talib, kerana baginda amat sayang kepada Abu Talib dan Abu Talib sendiri telah banyak membantu baginda dalam dakwah baginda.
Abu Talib juga telah banyak memberi perlindungan kepada Nabi semasa di Mekah. Tapi tidak begitu jadinya kerana kalau Abu Talib tidak sanggup menerima agama Islam, tetap Nabi Muhammad tidak dapat membantunya.
Oleh kerana itu, perkara ini perlu diperhatikan dengan saksama. Malang sekali kalau pelaku amalan syirik dan bidaah itu berbangga dengan amalan-amalan yang mereka lakukan tapi ianya mengundang dosa. Mereka luangkan banyak masa, tenaga dan wang tapi kesian, kerana sia-sia sahaja amalan-amalan mereka itu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 28 April 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Jalalain