Ayat 6:
وَنُمَكِّنَ لَهُم فِي الأَرضِ وَنُرِيَ فِرعَونَ وَهٰمٰنَ وَجُنودَهُما مِنهُم مّا كانوا يَحذَرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And establish them in the land and show Pharaoh and [his minister] Hāmān and their soldiers through them¹ that which they had feared.
- By means of those whom they had oppressed and enslaved.
(MELAYU)
dan akan Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi dan akan Kami perlihatkan kepada Fir’aun dan Haman berserta tenteranya apa yang selalu mereka khuatirkan dari mereka itu.
وَنُمَكِّنَ لَهُم فِي الأَرضِ
dan akan Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi
Maksudnya meletakkan mereka di satu tempat dan memberi kekuasaan kepada mereka di tempat itu. Waktu Nabi Musa عليه السلام di Mesir, kedudukan Bani Israel amat lemah sampai dijadikan sebagai hamba, tetapi mereka kemudian telah diberikan dengan kedudukan tinggi dalam dunia.
وَنُرِيَ فِرعَونَ وَهٰمٰنَ وَجُنودَهُما مِنهُم مّا كانوا يَحذَرونَ
dan akan Kami perlihatkan kepada Fir’aun dan Haman berserta tenteranya apa yang selalu mereka khuatirkan dari mereka itu.
Dan Allah ﷻ hendak menunjukkan kepada Firaun, Haman dan tentera mereka perkara yang mereka takutkan dari dahulu lagi. Yang mereka takut dulu adalah kekuatan rakyat Bani Israel itu. Selama itu mereka telah memerintah golongan hamba Bani Israel itu secara ‘pecah dan perintah’ supaya mereka tidak dapat bersatu untuk mengalahkan golongan bangsa Qibti.
Walaupun mereka telah melemahkan dan mengancam Bani Israel itu tetapi sentiasa sahaja mereka takut kalau-kalau puak itu memberontak. Kerana itu Firaun telah mengarahkan untuk membunuh anak-anak lelaki kerana jikalau golongan itu ada ramai anak-anak muda maka mereka itulah yang nanti akan memberontak, dan mereka akan hilang kuasa.
Yang mereka takuti itu akhirnya terjadi. Yang mereka takuti itu benar-benar terjadi. Ini seperti yang disebutkan dalam firman-Nya dalam ayat yang lain, iaitu:
{وَأَوْرَثْنَا الْقَوْمَ الَّذِينَ كَانُوا يُسْتَضْعَفُونَ مَشَارِقَ الأرْضِ وَمَغَارِبَهَا الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ الْحُسْنَى عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ بِمَا صَبَرُوا وَدَمَّرْنَا مَا كَانَ يَصْنَعُ فِرْعَوْنُ وَقَوْمُهُ وَمَا كَانُوا يَعْرِشُونَ}
dan Kami pusakakan kepada kaum yang telah ditindas itu, negeri-negeri bahagian timur bumi dan bahagian baratnya yang telah Kami beri berkah padanya. Dan telah sempurnalah Perkataan Tuhanmu yang baik (sebagai janji) untuk Bani Israil disebabkan kesabaran mereka. dan Kami hancurkan apa yang telah dibuat Fir’aun dan kaumnya dan apa yang telah dibangunkan mereka. (Al-A’raf: 137)
Yang menarik dalam ayat ini kerana disebut nama seorang lelaki bernama Haman; dan menariknya adalah kerana nama itu tidak ada dalam sejarah kaum Yahudi. Oleh kerana itu, dalam salah satu kajian yang mereka lakukan untuk menolak Al-Qur’an, mereka kata ada kesalahan fakta di dalam Al-Qur’an kerana ada enam kali disebut nama Haman dalam Al-Qur’an sedangkan mereka kata nama itu tidak ada pun dalam sejarah mereka. Mereka kata, kalau ada tentu mereka tahu kerana itu memang kisah bangsa mereka dan mereka amat menjaga sejarah mereka.
Dan mereka kata yang ada nama Haman itu disebut berkenaan kisah Nabi Ibrahim عليه السلام dalam kisah ‘Tower of Babel’ dan itu di tempat yang lain dan zaman yang lain. Jadi pengkaji yang menentang Al-Qur’an mengatakan Nabi Muhammad ﷺ terkeliru dan tercampur faktanya kerana bukannya Firaun yang suruh Haman buat menara tinggi, tetapi kisah itu berkenaan Raja Namrud pada zaman Nabi Ibrahim عليه السلام.
Kalau anda biasa dengar nama Maurice Bucaille, dia adalah seorang yang berminat dengan sejarah-sejarah yang disebut di dalam Al-Qur’an. Dia telah bertanya kepada pihak yang telah melakukan kajian terhadap sejarah lama Mesir dan beliau bertanya kepada mereka: adakah nama Haman ini terdapat di dalam sejarah lama Mesir?
Yang ditanya itu kehairanan dan bertanya dari manakah beliau mendapat nama itu. Apabila diberitahu yang ia ada di dalam Al-Qur’an, maka orang itu lagi terperanjat kerana Al-Qur’an itu datangnya berzaman-zaman selepas sejarah itu dan tidak ada kemungkinan yang ia ada di dalam sejarah bangsa Arab, kerana mereka pun baru sahaja dapat menterjemahkan tulisan-tulisan Mesir kuno.
Jadi ia adalah maklumat baru, yang tidak mungkin ada dalam sejarah Arab. Maka, mereka mengkaji lagi tulisan-tulisan yang telah mereka kumpul. Dan memang apabila dilakukan kajian lebih mendalam, terdapat nama Haman itu sebagai menteri yang melakukan ‘binaan batuan’. Kalau dalam negara sekarang, macam Menteri Kerjaraya. Ma sha Allah! Kebenaran Al-Qur’an telah dibuktikan dengan maklumat moden!
Ayat 5 dan 6 surah ini adalah isyarat kepada Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat yang sedang ditindas di Mekah pada waktu surah ini diturunkan. Waktu itu mereka memang lemah tetapi Allah ﷻ hendak memberitahu yang Allah ﷻ boleh tukar orang yang lemah mendapat kedudukan di atas. Allah ﷻ hendak teguhkan kedudukan umat Islam nanti dan ini telah berlaku bermula semenjak Pembukaan Mekah.
Firaun dan tenteranya telah dihancurkan di luar negeri Mesir dan kemudian negeri itu diambil alih oleh Bani Israel akhirnya, tetapi kepada negeri Mekah hanya sebahagian sahaja penentang Rasulullah ﷺ yang dimatikan di luar Mekah (semasa Perang Badr dan Uhud) tetapi kebanyakan daripada penghuni Mekah tetap tinggal di Mekah. Dan apabila Pembukaan Mekah, hampir semua mereka akan beriman.
Ayat 7: Daripada ayat ini sehingga ke ayat 13 adalah Perenggan Makro Kedua. Sekarang kita akan belajar kisah Nabi Musa عليه السلام semasa baginda kanak-kanak.
Allah ﷻ patah balik penceritaan kisah ini kepada permulaan kisah semasa Nabi Musa عليه السلام dilahirkan. Kalau dalam filem ini dipanggil flash back. Sebelum filem sekarang buat begini, Allah sudah buat di dalam Al-Qur’an.
وَأَوحَينا إِلىٰ أُمِّ موسىٰ أَن أَرضِعيهِ ۖ فَإِذا خِفتِ عَلَيهِ فَأَلقيهِ فِي اليَمِّ وَلا تَخافي وَلا تَحزَني ۖ إِنّا رادُّوهُ إِلَيكِ وَجاعِلوهُ مِنَ المُرسَلينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And We inspired to the mother of Moses, “Suckle him; but when you fear for him, cast him into the river and do not fear and do not grieve. Indeed, We will return him to you and will make him [one] of the messengers.”
(MELAYU)
Dan kami ilhamkan kepada ibu Musa; “Susuilah dia, dan apabila kamu khuatir terhadapnya maka jatuhkanlah dia ke sungai (Nil). Dan janganlah kamu khawatir dan janganlah (pula) bersedih hati, kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah seorang) dari para rasul.
وَأَوحَينا إِلىٰ أُمِّ موسىٰ أَن أَرضِعيهِ
Dan kami ilhamkan kepada ibu Musa; “Susuilah dia,
Seperti yang kita telah sebut sebelum ini, Firaun telah mengeluarkan arahan untuk selang setahun bunuh anak lelaki Bani Israel. Harun عليه السلام (abang Nabi Musa عليه السلام) dilahirkan pada tahun mereka membiarkan hidup bayi laki-laki yang lahir di tahun itu, sedangkan Nabi Musa عليه السلام dilahirkan di tahun mereka membunuh semua bayi laki-laki yang lahir di tahun itu. Beza umur Nabi Harun عليه السلام dan Nabi Musa عليه السلام adalah 3 tahun.
Firaun menugaskan orang-orang tertentu (mungkin tentera) untuk mengawasi hal tersebut, juga menugaskan bidan-bidan yang memeriksa semua wanita Bani Israel. Barang siapa yang terlihat oleh mereka sedang hamil, maka mereka mencatat namanya. Apabila telah tiba masa kelahirannya, tidak boleh ada yang membidaninya kecuali wanita daripada bangsa Qibti.
Dan jika wanita itu melahirkan bayi perempuan, maka mereka membiarkannya, lalu mereka berlalu meninggalkannya. Tetapi jika yang dilahirkannya adalah bayi laki-laki, maka para algojo mereka masuk dengan membawa pisau yang sangat tajam, lalu menyembelihnya. Semoga Allah ﷻ melaknat mereka.
Ketika ibu Nabi Musa عليه السلام mengandungkan Nabi Musa عليه السلام, tidak tampak padanya tanda kehamilan yang biasa dialami oleh wanita lainnya. Kerana itu, mata-mata perempuan Firaun tidak mengetahuinya. Tetapi setelah beliau mengetahui bahawa bayi yang dilahirkannya adalah laki-laki, terasa sempitlah dadanya dan hatinya dicengkam rasa takut yang sangat akan keselamatan bayinya, sedangkan beliau sangat mencintainya.
Disebutkan bahawa Nabi Musa عليه السلام ketika masih bayi, tiada seorang pun yang melihatnya melainkan pastilah orang itu akan mencintainya; dan orang yang ditakdirkan bahagia adalah orang yang mencintainya, juga mencintai syariat yang dibawanya. Allah ﷻ telah berfirman:
{وَأَلْقَيْتُ عَلَيْكَ مَحَبَّةً مِنِّي}
Dan Aku telah melimpahkan kepadamu kasih sayang yang datang dari-Ku. (Taha: 39)
Cuba kita bayangkan kisah ini, iaitu ketika tentera-tentera Firaun sedang mencari anak-anak lelaki yang baru lahir untuk dibunuh, dan Nabi Musa عليه السلام waktu itu seorang bayi dan tentunya baginda sedang menangis dengan kuat. Maka Allah ﷻ berikan ilham kepada ibunya untuk menyusukan baginda supaya baginda senyap.
Dalam ayat ini digunakan kalimah ‘wahyu’, tetapi kerana ibu Nabi Musa عليه السلام bukanlah seorang Nabi, maka yang dimaksudkan adalah ‘ilham’.
فَإِذا خِفتِ عَلَيهِ فَأَلقيهِ فِي اليَمِّ
dan apabila kamu khuatir terhadapnya maka jatuhkanlah dia ke sungai (Nil).
Diilhamkan kepada ibu Nabi Musa ﷻ yang jikalau beliau sudah takut tentang keselamatan anaknya itu, maka hendaklah beliau membalingnya ke dalam sungai.
Kita katakan ‘baling’ kerana memang kalimah فَأَلقيهِ memang bermaksud ‘maka balinglah dia’. Maknanya bukan letak dengan baik-baik kerana waktu itu tentera Firaun sedang menggeledah semua rumah dan jikalau beliau tidak membuang Nabi Musa عليه السلام dengan segera ke dalam sungai, maka tentulah tentera akan sempat nampak dan akan bunuh anaknya itu. Tidak sempat ibu Nabi Musa عليه السلام hendak meletakkannya baik-baik.
Mengikut satu kisah lain, rumah ibu Musa عليه السلام berada di tepi Sungai Nil. Maka beliau membuat sebuah peti dan dipersiapkannya sebagai persediaan, kemudian beliau menyusukan bayinya dengan tenang (ketika tidak ada orang). Apabila masuk ke dalam rumahnya seseorang yang beliau tidak percaya, maka beliau pergi dan meletakkan bayinya di dalam peti itu. Selepas itu, dihanyutkannya ke Sungai Nil, tetapi peti itu diikatnya dengan tali yang berhubungan dengannya, tidaklah terus dilepaskan. Namun pada hari itu, oleh kerana terburu-buru, beliau tidak mengikatnya dengan tali. Allahu a’lam.
Bayangkan keadaan itu, sudahlah dibuang ke dalam sungai, entah apalah lagi yang ada di dalam sungai itu seperti buaya atau apa-apa sahaja. Tidak dapat dibayangkan bagaimana seorang ibu yang amat sayangkan anaknya terpaksa membuang anaknya ke dalam sungai itu.
Tidak mungkin seorang ibu yang normal akan sanggup melakukannya dan kerana itulah Allah ﷻ berikan ilham kepadanya untuk melakukan perkara itu kerana kalau beliau yang fikirkan sendiri tentulah beliau tidak sanggup untuk melakukannya. Kalau suaminya sendiri paksa beliau untuk baling anaknya ke dalam sungai itu pun beliau tentu tidak akan sanggup. Namun apabila Allah ﷻ memberikan ilham, maka beliau sanggup untuk melakukannya. Kerana Allah ﷻ yang kawal dia dan dia tidak boleh buat apa lagi.
Seperti kita katakan, ini juga adalah dalam bentuk wahyu tetapi ini bukanlah jenis wahyu yang diberikan kepada para Nabi, tetapi ia adalah dalam bentuk ilham di mana mereka yang diberi ilham itu akan terpanggil untuk melakukannya dan mereka akan taat kepadanya.
وَلا تَخافي وَلا تَحزَني
Dan janganlah kamu khuatir dan janganlah (pula) bersedih hati,
Namun walaupun beliau telah membaling anaknya ke dalam sungai itu, masih ada kemungkinan yang hatinya masih lagi gundah gulana sampaikan mungkin matanya akan memandang sahaja kepada anaknya yang telah dibuang ke dalam sungai itu.
Dan kalau tentera datang ke rumahnya dan tanya jika beliau mempunyai anak, dan dalam masa yang sama ekor matanya mengikut anaknya yang sudah di dalam sungai, maka tentulah tentera akan tahu apa yang berlaku dan mereka akan pergi menangkap Nabi Musa عليه السلام di sungai itu dan membunuhnya juga.
Maka Allah ﷻ memberikan ilham kepada ibu Nabi Musa عليه السلام supaya jangan takut dan tidak bersedih. Supaya hatinya dan matanya tetap tidak melihat kepada anaknya di dalam sungai itu. Biarkan sahaja anaknya itu pergi buat masa ini.
Jadi, ‘jangan takut’ itu bermakna jangan takut yang anaknya itu akan mati.
Dan ‘jangan sedih’ itu bermakna jangan sedih kerana kehilangan anaknya itu.
إِنّا رادُّوهُ إِلَيكِ
kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu,
Dan Allah ﷻ memberitahu satu lagi perkara iaitu Allah ﷻ ilhamkan kepada ibu Nabi Musa عليه السلام itu yang anaknya itu akan dikembalikan kepadanya. Jadi tidaklah sedih kalau begitu. Dalam hatinya beliau yakin yang anaknya itu akan kembali kepadanya. Maka barulah beliau dapat terima apa yang terjadi.
وَجاعِلوهُ مِنَ المُرسَلينَ
dan menjadikannya (salah seorang) daripada para rasul.
Dan Allah ﷻ mengatakan yang anaknya itu akan menjadi salah seorang daripada para rasul. Kena ingat yang Bani Israel ada banyak Rasul dan Nabi dalam kalangan mereka, jadi mereka tahu kedudukan para Rasul itu mulia. Maka tentulah beliau senang hati kalau anaknya itu nanti menjadi Rasul.
Juga ia boleh bermaksud yang anaknya itu akan dihantar kepadanya kerana maksud ر س ل asalnya bermaksud ‘diutus’, ‘dihantar’. Maka beliau yakin sangat yang anaknya itu akan diutuskan kembali kepadanya sebagaimana Nabi Ya’kub عليه السلام juga yakin yang Nabi Yusuf عليه السلام akan dikembalikan kepadanya (rujuk kisah di dalam Surah Yusuf).
Begitulah, memang ada persamaan kisah ibu Nabi Musa عليه السلام ini dan kisah Nabi Ya’kub عليه السلام di dalam Surah Yusuf. Kalau kita lihat kepada Surah Yusuf, ada disebut kisah bagaimana Nabi Ya’kub عليه السلام tidak percaya yang anaknya Yusuf عليه السلام telah dibunuh oleh serigala dan baginda selalu berharap akan dipertemukan kembali dengan anaknya.
Jadi ibu Nabi Musa عليه السلام yakin anaknya itu akan kembali. Mungkin apabila ada orang tanya apa jadi dengan anaknya, beliau jawab anaknya akan dikembalikan nanti. Mungkin kaumnya tidak percaya sebagaimana orang lain pun tidak percaya apabila Nabi Ya’kub عليه السلام kata anaknya itu masih hidup.
Kedua-dua anak itu (Nabi Musa dan Nabi Yusuf عليهما ألسلآم) dimasukkan ke dalam air; satu ke dalam air sungai dan satu lagi ke dalam air telaga, bukan? Satu anak diletakkan di istana (Firaun) dan anak yang satu lagi juga akhirnya berakhir di istana (apabila Nabi Yusuf menjadi menteri).
Jadi sejarah berulang kembali dalam kisah Nabi Yusuf dan Nabi Musa عليهما ألسلآم itu. Nabi Yusuf عليه السلام datang dulu sebelum Nabi Musa عليه السلام. Kerana itu dalam dakwah Nabi Musa عليه السلام kepada Firaun, salah satu dakwah adalah tentang Nabi Yusuf عليه السلام. Iaitu menceritakan tentang kisah-kisah Nabi Yusuf عليه السلام (rujuk syarahan Lelaki Mukmin di dalam Surah Ghafir).
Ayat 8: Sekarang kisah keadaan Nabi Musa عليه السلام selepas baginda dihanyutkan.
فَالتَقَطَهُ آلُ فِرعَونَ لِيَكونَ لَهُم عَدُوًّا وَحَزَنًا ۗ إِنَّ فِرعَونَ وَهٰمٰنَ وَجُنودَهُما كانوا خٰطِئينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And the family of Pharaoh picked him up [out of the river] so that he would become to them an enemy and a [cause of] grief. Indeed, Pharaoh and Hāmān and their soldiers were deliberate sinners.
(MELAYU)
Maka dipungutlah dia oleh keluarga Fir’aun yang akibatnya dia menjadi musuh dan kesedihan bagi mereka. Sesungguhnya Fir’aun dan Haman berserta tenteranya adalah orang-orang yang bersalah.
فَالتَقَطَهُ آلُ فِرعَونَ
Maka dipungutlah dia oleh keluarga Fir’aun
Kalimah لقطة bermaksud mengutip sesuatu dari jalanan yang kita tidak tahu apakah ia sebenarnya. Macam budak-budak kalau nampak sesuatu di jalanan, mereka akan berminat hendak ambil dan ingin tahu apakah yang diambil itu.
Dalam fiqh, ada hukum tentang ‘luqathah’ iaitu barang temuan di jalanan. Kadang kita jumpa barang, jumpa duit, jumpa barang kemas. Itu semua dipanggil barang luqathah. Ada hukum berkenaannya. Kena umumkan barang berharga yang dijumpai selama setahun.
Maka, setelah Nabi Musa عليه السلام dihanyutkan, Allah ﷻ takdirkan yang baginda dihanyutkan ke pergigian air yang berdekatan dengan istana Firaun. Begitulah Allah ﷻ telah susun supaya memang ahli keluarga Firaun sendiri yang ambil dan akan jaga baginda. Allah ﷻ nak Nabi Musa عليه السلام tinggal dan dibesarkan di istana Firaun.
لِيَكونَ لَهُم عَدُوًّا وَحَزَنًا
yang akibatnya dia menjadi musuh dan kesedihan bagi mereka.
Nabi Musa عليه السلام akan dibesarkan di istana Firaun dan di bawah jagaan Firaun sendiri supaya akhirnya Nabi Musa عليه السلام nanti akan menjadi musuh kepada Firaun dan pengikutnya dan menjadi sumber kesedihan bagi mereka.
Allah ﷻ sudah siap beritahu apa yang akan terjadi kelak. Allah ﷻ jadikan sumber kehancuran mereka betul-betul di depan hidung mereka. Mereka sahaja yang tidak nampak kerana ia adalah perancangan rahsia Allah ﷻ.
إِنَّ فِرعَونَ وَهٰمٰنَ وَجُنودَهُما كانوا خٰطِئينَ
Sesungguhnya Fir’aun dan Haman berserta tenteranya adalah orang-orang yang silap.
Allah ﷻ memberitahu yang Firaun, Haman dan juga tentera-tenteranya telah membuat kesilapan dengan membenarkan bayi ini hidup. Ini kerana apabila bayi itu diangkat dari sungai itu, mereka memang sudah nampak yang kulit bayi itu berlainan daripada kulit bangsa mereka. Maka tentunya ini adalah keturunan Bani Israel.
Sepatutnya mereka telah membuat keputusan untuk terus membunuh bayi itu kerana itulah yang mereka sedang lakukan kepada bayi-bayi lelaki Bani Israel. Tapi kerana mereka tidak bunuh Nabi Musa عليه السلام dari bayi lagi, mereka telah buat kesilapan yang besar. Dan itu adalah dalam perancangan Allah ﷻ juga.
Dan kalau kita melihat kepada maksud yang umum pula, memang Firaun dan para pengikutnya orang-orang yang bersalah. Dan kerana itulah mereka nanti akan dikenakan dengan azab dengan tangan Nabi Musa عليه السلام iaitu apabila mereka dimatikan semasa menyeberangi Laut Khulzhum.
Ayat 9: Kenapa Firaun dan tenteranya tidak membunuh terus Nabi Musa عليه السلام semasa kecil itu?
وَقالَتِ امرَأَتُ فِرعَونَ قُرَّتُ عَينٍ لّي وَلَكَ ۖ لا تَقتُلوهُ عَسىٰ أَن يَنفَعَنا أَو نَتَّخِذَهُ وَلَدًا وَهُم لا يَشعُرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And the wife of Pharaoh said, “[He will be] a comfort of the eye [i.e., pleasure] for me and for you. Do not kill him; perhaps he may benefit us, or we may adopt him as a son.” And they perceived not.¹
- What would be the result of that.
(MELAYU)
Dan berkatalah isteri Fir’aun: “(Dia) adalah penyejuk mata hati bagiku dan bagimu. Janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan dia bermanfaat kepada kita atau kita ambil dia menjadi anak”, sedang mereka tiada menyedari.
وَقالَتِ امرَأَتُ فِرعَونَ قُرَّتُ عَينٍ لّي وَلَكَ
Dan berkatalah isteri Fir’aun: “(Dia) adalah penyejuk mata hati bagiku dan bagimu.
Apabila peti yang mengandungi Nabi Musa عليه السلام sampai ke istana Firaun, peti itu telah diberikan kepada Asiah binti Muzahim, isteri Firaun. Setelah isteri Firaun membuka peti itu, ternyata di dalamnya terdapat seorang bayi laki-laki yang sangat comel, lucu serta bercahaya, dan Allah telah menjatuhkan rasa cinta ke dalam hati isteri Firaun terhadap Musa عليه السلام saat beliau memandangnya.
Demikian itu merupakan kehendak Allah ﷻ yang telah mentakdirkan isteri Firaun sebagai orang yang bahagia (kerana menyelamatkan Nabi Musa) dan menakdirkan suaminya sebagai orang yang celaka (kerana menentang Nabi Musa).
Apabila Firaun diberitahu yang ada anak daripada keturunan Bani Israel telah dijumpai, maka dia terus suruh untuk dibunuh. Tetapi apabila Asiah mengetahui tentang perkara ini maka beliau hendak menyimpan anak itu dan beliau telah berjumpa dengan Firaun untuk menjaganya.
Asiah telah berhujah dengan Firaun yang ganas itu untuk menyelamatkan bayi itu. Asiah kata beliau tidak dapat melarikan pandangan daripada bayi itu kerana comel sangat. Dan walaupun beliau mungkin takut juga dengan Firaun tetapi oleh kerana cinta yang teramat sangat kepada Nabi Musa عليه السلام, beliau telah sanggup untuk meminta kebenaran daripada Firaun untuk terus menjaga bayi itu.
Dan bukan sahaja Asiah terpesona dengan bayi itu tetapi sebenarnya Firaun juga apabila melihat bayi itu, hatinya telah tertambat. Seganas-ganas Firaun pun boleh terpesona dengan keindahan Nabi Musa عليه السلام. Ini kerana Allah ﷻ yang meletakkan kecintaan kepada Nabi Musa عليه السلام itu seperti yang disebut di dalam Surah Taha.
Memang semua yang melihat baginda akan tertambat hati – Allah ﷻ boleh buat jadi begitu kepada manusia. Jadi walaupun dia telah membunuh entah beribu banyak bayi tetapi bayi yang ini dia boleh jatuh cinta.
Kalau dibandingkan dengan Nabi Yusuf عليه السلام, baginda mempesonakan orang lain apabila umurnya sudah dewasa tetapi kepada Nabi Musa عليه السلام ini diberikan rahmat oleh Allah ﷻ sampaikan mana-mana manusia akan terpesona dengannya semasa baginda masih bayi lagi. Tetapi kedua-dua mereka memang mempesonakan manusia. Ini kelebihan yang Allah ﷻ berikan kepada mereka.
لا تَقتُلوهُ عَسىٰ أَن يَنفَعَنا
Janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan dia bermanfaat kepada kita
Maka Asiah minta jangan dibunuh bayi itu. Asiah merayu kepada Firaun dan juga tentera Firaun. Kita kena ingat yang Firaun sanggup membunuh semua bayi Bani Israel itu hanya disebabkan kerana mimpi (dia mimpi kerajaannya akan diambil oleh lelaki Bani Israel).
Tapi oleh kerana isterinya minta jangan bunuh, akhirnya dia ikut. Maknanya dia sayang juga isterinya itu. Begitulah Allah ﷻ jadikan suara wanita menghalang mereka dari membunuh seorang Nabi. Patutnya Musa عليه السلام inilah yang dia paling kena bunuh tetapi kerana isterinya minta jangan bunuh, dia tidak jadi bunuh.
Asiah kata jangan bunuh bayi itu kerana mungkin bayi itu bermanfaat buat mereka. Entah boleh dijadikan sebagai pembantu, sebagai penenang hati dan sebagainya. Kita tidak pasti kerana manfaat itu boleh jadi macam-macam. Mungkin dia boleh diberi pangkat dalam kerajaan dan boleh berkhidmat dengan kerajaan Mesir.
Dan memang Nabi Musa عليه السلام akhirnya bermanfaat kepada Asiah kerana beliau beriman dengan Nabi Musa عليه السلام nanti dan kerana itu beliau dimasukkan ke dalam syurga.
أَو نَتَّخِذَهُ وَلَدًا
atau kita ambil dia menjadi anak”,
Asiah kata lagi, mereka boleh sahaja ambil bayi itu sebagai anak angkat mereka. Kerana beliau tidak ada anak bersama Firaun.
Lihatlah bagaimana kalimah yang sama telah disebut oleh Menteri Kewangan kepada isterinya Zulaikha apabila dia membawa balik Nabi Yusuf عليه السلام ke rumahnya. Sila lihat Yusuf:21
وَقالَ الَّذِي اشتَراهُ مِن مِصرَ لِامرَأَتِهِ أَكرِمي مَثواهُ عَسىٰ أَن يَنفَعَنا أَو نَتَّخِذَهُ وَلَدًا
Dan orang Mesir yang membelinya berkata kepada isterinya: “Berikanlah kepadanya tempat (dan layanan) yang baik, boleh jadi dia bermanfaat kepada kita atau kita ambil dia sebagai anak”.
Jadi kita boleh lihat memang ada pertalian yang rapat antara kisah ini dan juga kisah Nabi Yusuf عليه السلام. Ayat-ayat yang digunakan dalam Surah Yusuf dan surah ini pun ada yang sama. Ini adalah isyarat kaitan yang rapat antara keduanya.
Jadi Asiah pujuk Firaun untuk ambil bayi itu sebagai anak angkat. Kerana kata Asiah: “kalau dia sudah jadi anak angkat kita, takkan dia nak gulingkan kerajaan Mesir pula?” Begitulah hujah Asiah untuk menyelamatkan bayi itu daripada dibunuh.
Maka dengan hujah-hujah itu, Firaun telah membuat keputusan untuk tidak membunuh bayi itu. Ini pun dalam perancangan Allah ﷻ juga. Memang Allah ﷻ nak selamatkan baginda.
وَهُم لا يَشعُرونَ
sedang mereka tiada menyedari.
Semua mereka tidak sedar yang diselamatkan daripada dibunuh itulah yang akan menggulingkan kerajaan Mesir dan Firaun nanti. Lihatlah bagaimana Allah ﷻ perangkap mereka dengan dengar suara seorang wanita sahaja.
Jadi beginilah kisah bagaimana Nabi Musa عليه السلام akhirnya tinggal di istana. Nanti Nabi Musa عليه السلام akan dikembalikan ke rumah ibunya sendiri dan rumah itu akan selamat kerana tentera-tentera tidak boleh membunuh Nabi Musa عليه السلام kerana telah mendapat perlindungan rasmi daripada Firaun sendiri.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 16 Julai 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan