Pengenalan:
Rasanya semua kita sudah kenal sedikit sebanyak Bani Israel. Kita kena faham bahawa Bani Israel itu sudah kenal Allah ﷻ dan kebanyakan daripada mereka sudah dikira sebagai Muslim sebelum Nabi Musa عليه السلام datang pun. Mereka sudah kenal Allah ﷻ, cuma ada kesilapan dalam fahaman mereka. Macam orang kitalah juga, ada yang sudah lama bergelar Muslim tetapi fahaman agama mereka tidak kemas. Ini kerana mereka jauh daripada ilmu wahyu.
Jadi Nabi Musa عليه السلام berhadapan dengan Bani Israel yang sebegitu. Dalam masa yang sama, baginda kena dakwah juga kepada Bangsa Qibti yang diketuai oleh Fir’aun. Sebagaimana Nabi Muhammad ﷺ juga mempunyai dua fasa di dalam kehidupan dakwah baginda (Mekah dan Madinah) maka begitu juga dengan Nabi Musa عليه السلام iaitu dibahagikan kepada dua fasa: sebelum menyeberangi Laut Merah dan selepas itu.
Jadi cara Nabi Musa عليه السلام berdakwah kepada kaum Bani Israel adalah seperti Al-Qur’an Madaniyyah dan cara baginda berdakwah bangsa Qibti dan Fir’aun itu seperti ayat-ayat Al-Qur’an Makkiyah. Dengan Bani Israel baginda bercakap kepada orang yang telah Muslim manakala kepada Fir’aun baginda bercakap kepada kaum yang belum masuk Islam lagi.
Nabi Musa عليه السلام menghadapi dua jenis manusia semasa baginda di Mesir iaitu kita boleh katakan satu puak Musyrikin dan satu lagi puak Munafik. Maka dengan kisah Nabi Musa عليه السلام ini banyak yang dapat dipelajari oleh Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat kerana mereka juga menghadapi perkara yang sama.
Jadi di dalam surah ini mengandungi kedua-dua fasa itu di mana di bahagian awal surah ini disebut bagaimana baginda berurusan dengan puak Muslim dan ada dalam kalangan mereka yang munafik. Jadi Allah ﷻ menceritakan ayat-ayat ini untuk memberi isyarat kepada Rasulullah ﷺ tentang apa yang baginda akan lalui nanti di Madinah.
Surah ini adalah di dalam kumpulan surah yang menceritakan tentang ‘syirik di dalam berkat’. Surah Syua’ara’, Naml dan Qasas sebenarnya adalah tiga surah serangkai kerana mengandungi mesej yang lebih kurang sama. Sebelum ini telah disebut tentang ‘Tauhid dalam Berkat’. Setelah kita tahu bahawa berkat itu hanya milik Allah ﷻ, maka hendaklah kita berani untuk menyampaikannya kepada manusia.
Surah ini banyak mengandungi kisah Nabi Musa عليه السلام dan ada dua perkara penting yang hendak disampaikan: iaitu pertama, keberanian untuk menyampaikan tentang tauhid kepada manusia.
Perkara kedua adalah kesanggupan untuk menanggung segala kesusahan di dalam menyampaikan tentang tauhid. Di dalam menyampaikan akidah yang benar ini memang Allah ﷻ telah sediakan ujian dan dugaan kepada para penyampainya. Maka penyebar tauhid kena:
1. Berani
2. Sabar
Jadi kita akan belajar bagaimana Nabi Musa عليه السلام berani untuk menyampaikan akidah tauhid kepada manusia termasuk kepada Fir’aun sendiri (yang zalim dan ganas) dan kita akan belajar bagaimana baginda menghadapi kesusahan sejak daripada kecil lagi dan telah bersabar dengan kesusahan itu.
Oleh itu, surah ini juga mengandungi ayat-ayat yang memberi semangat dan tasliah kepada penyebar tauhid.
Surah ini diturunkan di Mekah pada Peringkat Ketiga (antara tahun 6 – 10 Kenabian).
Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 9 perenggan makro. Dari ayat 1 sehingga ke ayat 6 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia adalah Mukaddimah kepada surah ini.
طسٓمٓ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Al-Qaṣaṣ: The Narrative (or Story).
Ṭā, Seen, Meem.
(MELAYU)
Thaa Siin Miim
Ini adalah salah satu daripada Huruf Muqattaah dan kita telah jelaskan dalam tafsir ayat-ayat Muqattaah yang lain. Secara ringkasnya, kita tidak tahu maksudnya kerana Allah ﷻ tidak memberitahu maksudnya kepada kita.
Nabi Muhammad ﷺ pun tidak pernah sampaikan apakah maksudnya kepada para sahabat maka kerana itu kita pilih untuk tidak tafsirkan maksudnya kerana memang kita tidak tahu. Memang banyak pendapat telah diberikan oleh ulama’, tetapi oleh kerana dalil sandarannya tidak kukuh, maka kita pilih untuk tidak menyampaikannya di sini.
Ayat 2:
تِلكَ ءآياتُ الكِتٰبِ المُبينِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
These are verses of the clear Book.
(MELAYU)
Ini adalah ayat-ayat Kitab (Al Qur’an) yang nyata (dari Allah).
Allah ﷻ memuji Al-Qur’an dengan mengatakan ia adalah kitab yang jelas nyata. Apa yang disampaikan di dalam Al-Qur’an ini adalah jelas kepada mereka yang belajar. Yang tidak jelas adalah kerana tidak belajar sahaja. Maka jangan kita lepaskan peluang belajar tafsir Al-Qur’an.
Apabila ayat awal surah ini bermula dengan kalimah المُبينِ (yang jelas nyata) maka ini memberi isyarat yang surah ini mengandungi Dalil Naqli. Maknanya akan ada banyak kisah-kisah yang akan menjadi pengajaran kepada kita semua.
Semua yang akan disampaikan itu menjadi tanda kepada kebenaran. Maka untuk mendapat kebenaran, kenalah belajar Al-Qur’an iaitu dengan belajar tafsir kerana tanpa belajar tafsir, kita tidak akan dapat mengetahui apakah yang hendak disampaikan.
Maka janganlah ‘baca’ sahaja Al-Qur’an itu tanpa memahami apakah yang hendak disampaikan di dalamnya. Cukup-cukuplah baca Al-Qur’an sahaja tanpa memahaminya. Bukan kita larang baca, tetapi bacalah dengan kefahaman. Kalau anda sudah belajar tafsir Al-Qur’an, maka pembacaan anda akan lebih mantap lagi. Anda akan lebih suka membaca Al-Qur’an kerana anda tahu apa yang anda baca.
Ayat 3:
نَتلو عَلَيكَ مِن نَّبَإِ موسىٰ وَفِرعَونَ بِالحَقِّ لِقَومٍ يُؤمِنونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
We recite to you from the news of Moses and Pharaoh in truth for a people who believe.
(MELAYU)
Kami membacakan kepadamu sebahagian dari kisah Musa dan Fir’aun dengan benar untuk orang-orang yang beriman.
نَتلو عَلَيكَ مِن نَّبَإِ موسىٰ وَفِرعَونَ بِالحَقِّ
Kami membacakan kepadamu sebahagian dari kisah Musa dan Fir’aun dengan benar
Allah ﷻ memberitahu yang Dia mengajar kisah Nabi Musa عليه السلام dan Fir’aun ini kerana ada sesuatu yang penting hendak disampaikan. Ia bukan sahaja kisah yang benar tetapi ada pengajaran yang hendaklah diambil oleh Rasulullah ﷺ dan orang Islam.
Kisah-kisah yang akan disampaikan di dalam surah ini mengandungi kebenaran (haq) dan ia adalah kisah yang benar-benar telah berlaku.
Surah ini mengandungi pengajaran kepada mereka yang mahu beriman termasuklah kepada Bani Israel. Kalau mereka dengar kisah-kisah di dalam surah ini sudah cukup untuk menggerakkan mereka untuk beriman.
لِقَومٍ يُؤمِنونَ
untuk orang-orang yang beriman.
Bukan sahaja Bani Israel yang akan beriman setelah membaca surah ini tetapi ramai dalam kalangan orang Mekah yang akan beriman juga tetapi kadang-kadang mereka tidak sanggup untuk menjadi Muslim. Ini adalah kerana ada masalah dalam diri mereka.
Ayat 4:
إِنَّ فِرعَونَ عَلا فِي الأَرضِ وَجَعَلَ أَهلَها شِيَعًا يَستَضعِفُ طائِفَةً مِّنهُم يُذَبِّحُ أَبناءَهُم وَيَستَحيي نِساءَهُم ۚ إِنَّهُ كانَ مِنَ المُفسِدينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, Pharaoh exalted himself in the land and made its people into factions, oppressing a sector among them, slaughtering their [newborn] sons and keeping their females alive. Indeed, he was of the corrupters.
(MELAYU)
Sesungguhnya Fir’aun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Fir’aun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan.
إِنَّ فِرعَونَ عَلا فِي الأَرضِ
Sesungguhnya Fir’aun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi
Dia mempunyai sifat meninggi diri dan sifat sombong di bumi Mesir itu kerana dia lama berkuasa dan kuasanya meluas di Mesir itu. Jadi dia ada perasaan yang dia boleh berbuat apa-apa sahaja sampaikan dia sendiri rasa yang dia itu ‘tuhan’.
وَجَعَلَ أَهلَها شِيَعًا
dan menjadikan penduduknya berpecah belah,
Dia telah memecahkan rakyatnya kepada kumpulan dan puak-puak. شِيَعًا adalah kumpulan yang bersama kerana ideologi yang sama dan mereka membezakan kumpulan mereka dengan kumpulan-kumpulan yang lain.
Begitulah yang dilakukan oleh Fir’aun. Hasilnya rakyatnya tidak melihat diri mereka sebagai satu masyarakat yang besar tetapi berpecah. Fir’aun memastikan yang rakyatnya berpecah-pecah mengikut kelas tertentu dan kelas yang di atas tidak akan bercampur gaul dengan kelas yang bawah.
Ini penting dalam pemerintahan Fir’aun kerana jikalau rakyatnya bersatu, maka susah untuk dia memerintah mereka. Jadi apabila dia menggunakan konsep ‘pecah dan perintah’, maka rakyat tidak dapat bersatu untuk menentangnya. Jikalau ada banyak kumpulan, maka setiap kumpulan itu lemah tetapi jikalau kumpulan itu semuanya bersatu maka mereka akan menjadi kuat.
Begitulah juga yang terjadi kepada Bani Israel kerana mereka berpecah kepada 12 kumpulan dan kerana itu mereka jadi lemah sampai mereka boleh dikalahkan dengan mudah. Jadi walaupun golongan Bani Israel itu semuanya adalah golongan hamba, satu agama dan satu bangsa, tetapi mereka berpecah kepada kumpulan-kumpulan hinggakan mereka tidak bersatu dan tidak menjadi kuat.
Begitu juga yang terjadi kepada kaum muslimin yang dijajah dan dipecahkan kepada negara-negara tertentu sampailah sekarang umat Islam tidak dapat bersatu padu. Ada sahaja perbezaan yang ditekankan antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain. Sampai bila hendak bersatu?
Padahal semua menyembah kepada Tuhan yang satu, berpegang kepada satu Nabi, tetapi yang dipandang hanya perbezaan sahaja. Malangnya, inilah sifat manusia yang susah untuk diubah. Sentiasa sahaja mencari perbezaan, bukannya melihat kepada persamaan.
Begitulah yang terjadi sekarang ini apabila umat Islam membeza-bezakan diri mereka antara satu sama lain daripada segi bangsa, fahaman, asal usul, fikrah, amalan turun temurun, mazhab dan sebagainya. Jadi apabila kita umat Islam sekarang berpecah, ia bukan hanya kerana percaturan musuh-musuh Islam tetapi kita sendiri yang bodoh dan tidak nampak perkara ini dan tidak belajar tafsir Al-Qur’an.
Kita semua disibukkan dengan mencari salah orang lain, mencari kelemahan orang lain, menjatuhkan orang lain, meninggikan puak sendiri, melebihkan diri sendiri. Hasilnya kita sendiri boleh lihat betapa lemahnya kita. Senang sahaja hendak bagi orang Melayu Muslim melompat kebodohan. Antaranya dengan menaikkan isu politik (yang memang sudah memecah belahkan manusia).
Orang selalu sibuk menceritakan betapa berpecah belahnya kita; namun tidak ramai yang memberikan solusinya, bukan? Solusinya kalau kita hendak bersatu, kita semua kena pegang Al-Qur’an yang satu. Biar semua faham Al-Qur’an ini maka senanglah untuk bersatu, bukan? Begitulah yang terjadi antara Aus dan Khazraj dahulu – asalnya berpecah (malah berperang beratus tahun) tetapi kerana beriman dan berpegang kepada Al-Qur’an, maka mereka dapat bersatu.
Malangnya, kita suka sangat hendak menyesatkan orang lain dan apabila bertemu dengan orang lain maka yang dicari adalah apakah perbezaan antara kita dan dia, dan bukannya mencari apakah persamaan antara kita dan dia. Maka senang sahaja musuh Islam mengalahkan kita.
Begitulah yang terjadi kepada Bani Israel, tidak perlu menunggu Firaun pecahkan mereka kerana mereka sendiri boleh tolong pecahkan umat mereka sendiri. Kalau kita tidak belajar daripada kisah Fir’aun dan Bani Israel ini, maka sampai bila-bilalah kita akan lemah sahaja dan diperkotak katikkan oleh musuh.
يَستَضعِفُ طائِفَةً مِّنهُم
dengan menindas segolongan dari mereka,
Fir’aun telah menjadikan sesetengah daripada puak-puak itu jadi lemah dan tidak dapat berdiri sendiri. Maka senanglah dia hendak buat apa-apa sahaja kepada mereka. Senanglah Fir’aun menindas sesiapa sahaja daripada Bani Israil itu.
يُذَبِّحُ أَبناءَهُم وَيَستَحيي نِساءَهُم
menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka.
Fir:aun menjadikan Bani Israel itu sangat lemah sampaikan apabila dibunuh anak-anak mereka pun, mereka tidak berbuat apa-apa. Bayangkan mereka tidak berani untuk berbuat apa-apa. Bayangkan anak-anak lelaki mereka dibunuh di depan mata mereka tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa melainkan mereka menangis sahaja. Maknanya lemah sangat mereka ini.
Dari bahasa yang digunakan bermaksud berkali-kali Fir’aun melakukan perkara itu (bukan sekali pada tahun Nabi Musa عليه السلام sahaja) dan dalam riwayat ada yang disebut Fir’aun membunuh anak lelaki ini selang setahun. Kenapa pula selang setahun, kenapa tidak dibunuh setiap tahun sahaja?
Para ulama’ tafsir menyebutkan bahawa setelah Fir’aun banyak membunuh bayi laki-laki kaum Bani Israel, maka pemimpin orang-orang Qibti (Mesir) merasa khuatir akan kebinasaan bangsa Bani Israel, yang akibatnya mereka sendirilah yang kena buat pekerjaan-pekerjaan berat yang selama itu ditangani oleh kaum Bani Israel.
Kerana itu, mereka berkata kepada Fir’aun, “Sesungguhnya jika keadaan ini terus berlangsung, pastilah orang dewasa laki-laki mereka mati, sedangkan yang tinggal hanyalah kaum wanita mereka sahaja, dan kaum wanita mereka tidak mungkin dapat menggantikan pekerjaan-pekerjaan berat yang ditangani oleh kaum lelaki mereka, dan akibatnya pekerjaan-pekerjaan berat itu sudah pasti akan ditangani seluruhnya oleh kami.”
Maka Fir’aun mengubah akta negara, dan telah memutuskan untuk membunuh anak-anak lelaki kaum Bani Israel selama satu tahun dan membiarkan mereka satu tahun (agar kaum lelaki Bani Israel tidak habis pupus dan mereka tetap ada bekalan hamba daripada Bani Israel).
Fir’aun bunuh bayi lelaki kerana takut kerajaan mereka dimusnahkan. Orang-orang Qibti (Egypt) menerima berita tersebut daripada kaum Bani Israel melalui apa yang mereka baca dan pelajari daripada perkataan Nabi Ibrahim عليه السلام iaitu di saat Nabi Ibrahim عليه السلام datang ke negeri Mesir, lalu terjadilah permasalahan antara baginda dan rajanya yang murka, kerana Raja Mesir itu menangkap Siti Sarah (isteri Ibrahim) untuk dijadikan sebagai gundiknya. Akan tetapi, Allah ﷻ memelihara Sarah daripada gangguan si raja yang zalim itu berkat kekuasaan dan pengaruh-Nya.
Kemudian Nabi Ibrahim عليه السلام menyampaikan berita gembira, bahawa kelak akan dilahirkan daripada keturunannya seorang pemuda yang menjadi penyebab kehancuran negeri Mesir di tangannya. Lalu orang-orang Qibti menceritakan hal tersebut kepada raja mereka, Fir’aun. Maka Fir’aun ambil daripada kisah itu dengan memberikan arahan kepada semua tentera bawahannya agar membunuh setiap bayi lelaki yang lahir dalam kalangan kaum Bani Israel.
Anak-anak perempuan pula tidak dibunuh dan ini bukanlah kerana kasihankan mereka tetapi kerana anak-anak perempuan itu boleh dijadikan sebagai hamba seks mereka. Kalau anak perempuan, tidaklah ada bahaya ada pemberontakan daripada mereka kerana orang perempuan biasanya memang tidak memberontak pun.
إِنَّهُ كانَ مِنَ المُفسِدينَ
Sesungguhnya Fir’aun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan.
Dan telah jelas Fir’aun itu membuat kerosakan di bumi Mesir tetapi Bani Israel yang ramai-ramai itu tidak berani hendak berbuat apa-apa pun. Kenapa? Kerana mereka telah dilemahkan. Kenapa mereka lemah? Kerana mereka sendiri berpecah.
Ayat 5:
وَنُريدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى الَّذينَ استُضعِفوا فِي الأَرضِ وَنَجعَلَهُم أَئِمَّةً وَنَجعَلَهُمُ الوٰرِثينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And We wanted to confer favor upon those who were oppressed in the land and make them leaders and make them inheritors
(MELAYU)
Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi),
وَنُريدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى الَّذينَ استُضعِفوا فِي الأَرضِ
Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu
Kisah Fir’aun sebelum ini adalah dalam masa lampau tetapi kalimah نُريدُ (Kami mahu) ini di dalam format “present tense”. Jadi kisah ini bukan hanya berlaku pada masa Fir’aun sahaja tetapi ia berterusan berlaku zaman berzaman termasuklah zaman sekarang. Jadi ayat ini bermaksud Allah ﷻ hendak memberi balasan yang baik kepada mereka yang dilemahkan semasa mereka hidup di dunia.
Ada dua makna yang kita boleh ambil daripada ayat ini:
Yang pertama, Allah ﷻ hendak beritahu yang Dia boleh beri balasan itu di akhirat kelak di mana mereka itu lemah di dunia tetapi mereka akan mendapat balasan baik di syurga nanti.
Tetapi kedua, ia juga boleh memberi maksud yang Allah ﷻ boleh beri kekuatan kepada mereka semasa mereka di dunia lagi. Mungkin asalnya mereka kaum yang lemah tetapi Allah ﷻ boleh sahaja beri kekuatan kepada mereka semasa mereka di dunia lagi. Mungkin asalnya mereka adalah kaum yang lemah dan tertindas, tetapi Allah ﷻ boleh ubah keadaan mereka dengan jadikan mereka pula kaum yang memerintah.
Tetapi mereka kenalah beriman dahulu. Begitulah yang terjadi kepada Bani Israel – selepas mereka beriman, mereka mendapat kekuatan dan menjadi pemimpin di dunia. Namun apabila mereka meninggalkan agama, mereka kembali lemah dan dijatuhkan daripada kedudukan mereka.
وَنَجعَلَهُم أَئِمَّةً
dan hendak menjadikan mereka pemimpin
Allah ﷻ mahu menjadikan mereka sebagai pemimpin. Apabila Bani Israel kembali beriman dan mengamalkan agama Islam dengan benar, maka mereka telah dijadikan pemimpin di dunia.
وَنَجعَلَهُمُ الوٰرِثينَ
dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi),
Allah ﷻ mahu mereka mewarisi dan perwarisan itu berlaku apabila diambil sesuatu daripada yang telah mati. Maka ini memberi isyarat yang Fir’aun akan meninggalkan harta bendanya kepada Bani Israil yang dihambakannya itu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 8 Julai 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
One thought on “Tafsir Surah Qasas Ayat 1 – 5 (Pecah dan perintah)”