Ayat 19: Ini adalah keadaan ke 4. Ia adalah berkenaan perpindahan Nabi Yusuf عليه السلام ke Mesir. Nabi Yusuf عليه السلام telah dijumpai oleh kafilah dagang yang lalu di kawasan itu. Dalam riwayat ada disebut yang adik beradik baginda masih ada berdekatan telaga itu. Mereka tetap tunggu untuk memerhatikan apa yang akan berlaku. Maknanya mereka bimbang juga – ada perasaan sayang kepada adik mereka juga.
وَجاءَت سَيّارَةٌ فَأَرسَلوا وارِدَهُم فَأَدلىٰ دَلوَهُ ۖ قالَ يٰبُشرىٰ هٰذا غُلٰمٌ ۚ وَأَسَرّوهُ بِضٰعَةً ۚ وَاللهُ عَليمٌ بِما يَعمَلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And there came a company of travelers; then they sent their water drawer, and he let down his bucket. He said, “Good news! Here is a boy.” And they concealed him, [taking him] as merchandise;¹ and Allāh was Knowing of what they did.
- To be sold as a slave.
(MALAY)
Kemudian datanglah kelompok orang-orang musafir, lalu mereka menyuruh seorang pengambil air, maka dia menurunkan timbanya, dia berkata: “Oh; khabar gembira, ini seorang anak muda!” Kemudian mereka menyembunyikan dia sebagai barang dagangan. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.
وَجاءَت سَيّارَةٌ
Kemudian datanglah kelompok orang-orang musafir,
Sekarang kamera kisah ini (kalau kita bayangkan kisah ini seolah filem dalam fikiran kita) berubah ke dalam telaga pula. Nabi Yusuf عليه السلام sedang berada di dalam telaga itu dalam kegelapan dan tentu dalam kesejukan. Baginda tidak tahu apa yang terjadi selepas itu.
Maka datanglah kelompok musafir. Kalimah سَيّارَةٌ bukan kereta, tetapi kafilah. Ia adalah rombongan perniagaan yang bermusafir dalam perdagangan. Mereka mencari kawasan yang ada telaga yang dapat mereka ambil air darinya.
فَأَرسَلوا وارِدَهُم فَأَدلىٰ دَلوَهُ
lalu mereka mengutus seorang pengambil air, maka dia menurunkan timbanya,
Mereka telah hantar seseorang yang tugasnya mencari air untuk mencari air atau melihat-lihat kawasan itu. Apabila dia jumpa perigi itu, maka dia menurunkan timbanya. Dikatakan ‘timbanya’ kerana tidak ada timba di tempat itu kerana seperti kita telah sebut, telaga itu adalah telaga di perjalanan yang tidak ramai orang datang. Maka kena bawa timba sendiri.
Apabila timba itu turun, Nabi Yusuf عليه السلام bergantung pada timba itu, dan ini mungkin atas arahan abang-abang baginda juga. Mereka sudah ajar baginda awal-awal lagi apa nak buat kalau orang datang ke situ. Sekarang Nabi Yusuf عليه السلام redha sahaja dengan apa yang terjadi dengannya kerana Allah ﷻ sudah ilhamkan kepada baginda yang akhirnya nanti baginda akan mendapat kesenangan.
Lagipun kalau baginda hendak lari pun, bagaimana dan ke mana? Kalau dia jumpa dengan orang yang kenal dengan baginda, tentu ini akan memalukan keluarga baginda juga. Oleh itu baginda sudah terima hakikat yang baginda memang tidak boleh pulang ke rumah. Bagaimana hendak pulang ke rumah lagi, sedangkan adik beradik sendiri tidak suka?
قالَ يٰبُشرىٰ هٰذا غُلٰمٌ
dia berkata: “Oh; khabar gembira, ini seorang anak muda!”
Orang yang menaikkan timba itu berkata: يا بُشرىٰ bermaksud dia terkejut dalam kegembiraan kerana bukan air yang naik tetapi seorang budak. Dia gembira kerana dia nampak peluang untuk menjual budak yang comel itu sebagai hamba. Itu adalah kebiasaan pada zaman itu.
وَأَسَرّوهُ بِضٰعَةً
Kemudian mereka menyembunyikan dia sebagai barang dagangan.
Kalimah أَسَرّوهُ bermaksud mereka cepat-cepat menyembunyikan Nabi Yusuf عليه السلام kerana takut orang lain ambil. Ini seperti orang yang sorok barang curi, atau terjumpa barang orang lain. Mereka akan cepat-cepat sorok supaya orang lain tidak nampak mereka ambil barang itu.
Mereka menganggap baginda sebagai بِضاعَةً (barang dagangan). Maknanya zaman dahulu lagi sudah ada ‘perdagangan manusia’. Kalau zaman sekarang ia berleluasa, sekarang kita tahu dari dahulu lagi sudah ada.
وَاللهُ عَليمٌ بِما يَعمَلونَ
Dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.
Allah ﷻ tahu apa yang mereka lakukan, dan Allah ﷻ akan tanya mereka tentang penculikan mereka itu. Begitulah kita semua akan ditanya nanti dengan apa yang kita lakukan. Mereka itu semua bersalah kerana mereka sama-sama bersubahat. Walaupun yang angkat itu seorang sahaja, tetapi yang lain bersetuju hendak buat apa yang mereka telah buat.
Allah ﷻ juga Maha Tahu perbuatan abang-abang Nabi Yusuf عليه السلام itu. Mereka telah melakukan satu perbuatan yang amat buruk sekali. Mereka sanggup meninggalkan adik mereka sendiri untuk diambil oleh orang lain. Mereka buat itu hanya kerana hendak mendapatkan kasih ayah mereka.
Ayat 20:
وَشَرَوهُ بِثَمَنٍ بَخسٍ دَرٰهِمَ مَعدودَةٍ وَكانوا فيهِ مِنَ الزّٰهِدينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And they sold him for a reduced price – a few dirhams – and they were, concerning him, of those content with little.
(MALAY)
Dan mereka menjual Yusuf dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham saja, dan mereka merasa cukup dalam hal ini.
وَشَرَوهُ بِثَمَنٍ بَخسٍ دَرٰهِمَ مَعدودَةٍ
Dan mereka menjual Yusuf dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham saja,
Kalimah بَخسٍ bermaksud ‘sangat-sangat murah’. Murah sampaikan boleh dikatakan beri percuma sahaja. Macam barang bernilai RM10,000 tetapi dijual dengan harga RM10 sahaja. Contohnya kalau barang curi, orang yang curi itu tidak jual dengan mahal pun kerana dia hendakkan duit cepat dan dia tidak mahu orang tanya banyak.
Maksud دَراهِمَ مَعدودَةٍ adalah Nabi Yusuf عليه السلام telah dijual dengan harga beberapa dirham sahaja. Ada yang mengatakan bahawa Nabi Yusuf عليه السلام dijual dengan harga 20 dirham sahaja. Ini adalah kerana mereka tidak tahu kedudukan baginda dan kenabian baginda dan mereka hendak cepat-cepat menjualnya.
وَكانوا فيهِ مِنَ الزّٰهِدينَ
dan mereka merasa cukup dalam hal ini.
Kalimah الزّاهِدينَ bermaksud ambil sesuatu setakat ada sahaja. Daripada katadasar yang sama juga datang kalimah ‘zuhud’. Maknanya, mereka tidak kisah berapa harga mereka dapat. Nampak macam mereka tidak kisah dengan harta pula (dan ini adalah sifat yang baik, bukan?). Tetapi sebenarnya, Allah ﷻ perli mereka dalam ayat ini. Mereka jual dengan murah itu kerana mereka hendak menjual baginda dengan cepat kerana mereka takut ditangkap sebenarnya, bukan kerana mereka pemurah.
Ada juga yang kata, abang-abang baginda yang jual dengan harga murah. Kisahnya, apabila mereka nampak ada orang angkat Nabi Yusuf عليه السلام dari telaga itu, mereka cepat-cepat datang dan kata itu adalah hamba mereka yang selalu sahaja lari dari mereka. Mereka sudah tidak mahu hendak simpan dia lagi dan mereka hendak jual sahaja dia dan kerana sudah tidak suka, mereka hendak menjualnya dengan harga yang murah sahaja. Malas hendak jaga lagi kerana selalu sahaja lari.
Maka mereka jual murah kerana waktu itu mereka bukan berminat pada duit tetapi mereka berhajat hendak menghilangkan sahaja Nabi Yusuf عليه السلام daripada mereka. Mereka kata Nabi Yusuf عليه السلام itu adalah hamba mereka kerana mereka tahu yang orang tidak akan beli orang merdeka. Dengan menjual harga murah begitu, maka hajat mereka untuk menghilangkan Nabi Yusuf عليه السلام daripada pandangan ayah mereka tercapai.
Tujuan mereka menghilangkan Nabi Yusuf عليه السلام itu adalah kerana mereka hendakkan ayah mereka sayang kepada mereka, namun itu tidak berjaya. Nanti ayah mereka lebih benci kepada mereka dan masih tetap sayang dan teringat-ingat kepada Yusuf عليه السلام.
Habis Ruku’ 2 dari 12 ruku’ surah ini.
Ayat 21: Waktu itu, Nabi Yusuf عليه السلام sudah bersedia untuk menjadi barang dagangan. Maka baginda telah dijual dan dibawa ke tempat lain. Orang yang mengambil Nabi Yusuf عليه السلام dari telaga itu telah menjual baginda di pasar hamba. Akan tetapi, dia telah meletakkan dengan harga yang mahal.
Dia telah beli Nabi Yusuf عليه السلام dengan harga yang murah daripada abang-abang Yusuf عليه السلام (atau penjual yang menjumpai Nabi Yusuf عليه السلام di telaga itu), tetapi dia jualkan dengan harga yang mahal pula. Oleh kerana dia telah meletakkan harga yang mahal, maka yang mampu membeli baginda adalah menteri kewangan sahaja.
وَقالَ الَّذِي اشتَرٰهُ مِن مِّصرَ لِامرَأَتِهِ أَكرِمي مَثوىٰهُ عَسىٰ أَن يَنفَعَنا أَو نَتَّخِذَهُ وَلَدًا ۚ وَكَذٰلِكَ مَكَّنّا لِيوسُفَ فِي الأَرضِ وَلِنُعَلِّمَهُ مِن تَأويلِ الأَحاديثِ ۚ وَاللهُ غالِبٌ عَلىٰ أَمرِهِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And the one from Egypt¹ who bought him said to his wife, “Make his residence comfortable. Perhaps he will benefit us, or we will adopt him as a son.” And thus, We established Joseph in the land that We might teach him the interpretation of events [i.e., dreams]. And Allāh is predominant over His affair, but most of the people do not know.
- The minister in charge of supplies, whose title was al-‘Azeez.
(MALAY)
Dan orang Mesir yang membelinya berkata kepada isterinya: “Berikanlah kepadanya tempat (dan layanan) yang baik, boleh jadi dia bermanfaat kepada kita atau kita ambil dia sebagai anak”. Dan demikian pulalah Kami memberikan kedudukan yang baik kepada Yusuf di muka bumi (Mesir), dan agar Kami ajarkan kepadanya ta’bir mimpi. Dan Allah berkuasa terhadap urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahuinya.
وَقالَ الَّذِي اشتَرٰهُ مِن مِّصرَ لِامرَأَتِهِ
Dan orang yang membelinya berkata kepada isterinya:
Seorang lelaki dari Mesir telah membeli Yusuf عليه السلام dan beliau belikan untuk isterinya. Dari kisah selepas ini kita tahu yang beliau adalah seorang ahli politik (pemimpin) dan itu bermakna beliau selalu tidak ada banyak masa di rumah. Maka dengan adanya Nabi Yusuf عليه السلام ini, dapatlah menemani isterinya.
Dalam Tafsir ibn Kathir, dikatakan yang orang yang membelinya dari negeri Mesir itu adalah Aziz negeri Mesir, yakni perdana menterinya. Oleh itu, kita boleh agak yang beliau hendak berikan isterinya sibuk sedikit dengan menjaga seseorang dan ada teman di rumah.
Al-Aufi telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa nama si pembeli itu adalah Qitfir. Muhammad ibnu Ishaq mengatakan, nama si pembeli itu adalah Itfir ibnu Ruhaib, menteri negeri Mesir yang memegang jawatan sebagai menteri perbendaharaan Mesir pada waktu itu. Yang menjadi raja di zaman itu adalah Ar-Rayyan ibnul Walid, seorang lelaki dari keturunan bangsa ‘Amaliq (raksasa). Muhammad ibnu Ishaq mengatakan bahawa nama isteri menteri itu adalah Ra’il binti Ra’abil.
Menurut selain Muhammad ibnu Ishaq, nama isterinya adalah Zulaikha. Inilah nama Zulaikha yang selalu digunakan oleh orang kita. Oleh kerana kesahihan kisah ini tidak kuat, maka kita tidak menggunakan nama Zulaikha di dalam tafsir ini.
أَكرِمي مَثوىٰهُ
“Berikanlah kepadanya tempat yang baik,
Walaupun beliau membeli Yusuf عليه السلام tetapi lihat bagaimana beliau cakap tentang Nabi Yusuf عليه السلام dengan isterinya. أَكرِمي مَثواهُ bermakna berilah tempat yang baik untuk budak itu tinggal. Ia juga bermakna berilah layanan yang baik kepada budak itu.
Beliau juga berniat untuk memberikan Yusuf عليه السلام tinggal lama dengannya kerana kalimah مَثوا adalah tempat tinggal yang lama. Selalunya digunakan sebagai tempat tinggal dan tempat mati juga – tinggal sampai mati di situ – tempat tetap untuk tinggal.
Oleh itu kita boleh lihat bagaimana Allah ﷻ menempatkan baginda di tempat tinggal yang baik. Tidaklah baginda ditinggalkan di luar rumah sahaja seperti hamba yang lain, tetapi ditempatkan di tempat yang baik di dalam rumah. Allah ﷻ muliakan Nabi Yusuf عليه السلام.
عَسىٰ أَن يَنفَعَنا
boleh jadi dia bermanfaat kepada kita
Lelaki itu kata mungkin budak yang beliau baru beli itu bermanfaat bagi mereka; mungkin dia seorang yang cerdik, dapat menolong apa sahaja di rumah.
أَو نَتَّخِذَهُ وَلَدًا
atau kita ambil dia sebagai anak”.
Kalau dia baik, boleh sahaja ambil dia untuk dijadikan anak angkat. Ini kerana mereka tidak mempunyai anak. Beginilah perasaan sayang yang telah Allah ﷻ masukkan ke dalam hati menteri itu kepada Nabi Yusuf عليه السلام.
وَكَذٰلِكَ مَكَّنّا لِيوسُفَ فِي الأَرضِ
Dan demikianlah Kami memberikan kedudukan yang baik kepada Yusuf di muka bumi (Mesir),
Allah ﷻlah yang merancang semua ini untuk Nabi-Nya. Inilah juga jawapan kepada soalan daripada Bani Israil kepada Nabi Muhammad ﷺ: Kenapa Bani Israil boleh sampai duduk di negeri Mesir pula sedangkan mereka asalnya dari Palestin – jawapannya adalah sejarah mereka bermula di Mesir itu dengan datangnya Nabi Yusuf عليه السلام ke Mesir.
Ada jumlah muqaddar dalam ayat ini: Allah ﷻ memuliakan kedudukan baginda setelah baginda dihina oleh saudara-saudaranya.
وَلِنُعَلِّمَهُ مِن تَأويلِ الأَحاديثِ
dan agar Kami ajarkan kepadanya ta’wil percakapan.
Baginda diberikan kelebihan untuk menilai dan memahami perkara yang kompleks dan susah difahami oleh manusia lain. Bukan sahaja dalam tadbir mimpi tetapi dalam percakapan biasa juga. Kelebihan ini diberikan melalui kebijaksanaan baginda. Akhirnya nanti, Allah ﷻ hendak jadikan baginda sebagai menteri kewangan Mesir juga.
Oleh itu baginda ditakdirkan supaya tinggal di rumah orang politik supaya baginda dapat belajar banyak perkara. Baginda didedahkan dengan banyak perkara tentang negara kerana baginda akan dengar percakapan tuan rumahnya itu terutama kalau tuannya itu berbincang dengan pembesar-pembesar yang lain. Begitulah kalau seseorang itu duduk di rumah seorang nelayan, tentu dia dapat belajar menjadi nelayan juga, bukan?
Maka Nabi Yusuf عليه السلام akan bergaul dengan pemimpin yang lain yang bercakap tentang perkara-perkara pemerintahan dan negara. Tentu baginda akan terbuka dengan perkara-perkara itu dan nanti baginda akan menjadi orang yang pandai dan faham tentang dunia dan hal politik.
Baginda sendiri memang seorang yang bijak. Semua ini baginda dapat dari ilham yang diberikan oleh Allah ﷻ dan ilmu dunia dari pergaulannya. Maka baginda mendapat ilmu ramalan tepat dalam sesuatu perkara. Kedua-duanya baginda dapat.
وَاللهُ غالِبٌ عَلىٰ أَمرِهِ
Dan Allah berkuasa terhadap urusan-Nya,
Kalimah غالِبٌ bermaksud mengalahkan seseorang/sesuatu. Apa sahaja yang terjadi kepada baginda adalah dalam urusan Allah ﷻ. Allah ﷻ yang menyusun semua sekali walaupun kalau baginda tidak mahukannya. Allah ﷻ tidak pernah tinggalkan baginda.
Bukan sahaja baginda, tetapi kita semua adalah dalam urusan Allah ﷻ. Kita selalu merancang tetapi perancangan kita tidak semestinya menjadi kerana Allah ﷻ dapat mengalahkan perancangan kita.
وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ
tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahuinya.
Namun ramai manusia yang tidak faham tentang perkara ini. Mereka mengeluh apabila ada masalah, mereka rasa Allah ﷻ tinggalkan mereka, mereka rasa mereka tidak disayangi oleh Allah ﷻ kalau mereka mendapat nasib yang malang. Mereka berusaha berbagai-berbagai perkara tetapi mereka tidak meletakkan tawakal mereka kepada Allah ﷻ.
Mereka tidak dapat terima kalau apa yang mereka rancangkan tidak menjadi. Mereka salahkan diri mereka, orang lain, keadaan, malah ada yang menyalahkan Allah ﷻ.
Ayat 22: Ini adalah keadaan ke 5. Setelah menerima ujian yang besar dan diletakkan di dalam rumah menteri, sekarang baginda diuji dalam rumah pula. Walaupun duduk senang tetapi kena diuji juga dengan hal keagamaan. Walaupun baginda dilayan dengan baik oleh keluarga barunya, tetapi baginda tetap dikenakan dengan ujian.
وَلَمّا بَلَغَ أَشُدَّهُ آتَينٰهُ حُكمًا وَعِلمًا ۚ وَكَذٰلِكَ نَجزِي المُحسِنينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And when he [i.e., Joseph] reached maturity, We gave him judgement and knowledge. And thus We reward the doers of good.
(MALAY)
Dan tatkala dia cukup dewasa Kami berikan kepadanya hikmah dan ilmu. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.
وَلَمّا بَلَغَ أَشُدَّهُ
Dan tatkala dia cukup dewasa
Iaitu apabila Nabi Yusuf عليه السلام telah mencapai usia baligh. Tidak pasti berapa umur baginda pada waktu itu. Memang ada banyak pendapat tentang perkara ini. Yang pasti, baginda telah dewasa. Bolehlah kita katakan mungkin umurnya 33 tahun ataupun kurang lagi.
آتَينٰهُ حُكمًا وَعِلمًا
Kami berikan kepadanya hikmah dan ilmu.
Waktu itu, Allah ﷻ berikan hikmah iaitu kepandaian untuk membuat keputusan dan juga ilmu kenabian. Maksudnya, waktu itu baginda diberi dengan pangkat kenabian sekali kerana ilmu yang dimaksudkan adalah ilmu kenabian.
Kalau kita lihat susunan ini: حُكمًا وَعِلمًا di dalam ayat-ayat lain, selalunya terbalik, bukan? Tetapi Allah ﷻ susun secara berlainan di dalam ayat ini dan ini adalah kerana Allah ﷻ beri ‘hikmah’ dahulu kepada baginda. Walaupun baginda tidak banyak ilmu lagi, tetapi baginda sudah pandai membuat keputusan yang baik hanya daripada pemerhatian baginda.
Begitulah kadang-kadang kita lihat, ada orang yang pandai dari segi ilmu pengetahuannya dan juga bijak dalam membuat keputusan bukan? Manakala, ada yang pandai, tetapi tidak bijak – sebagai contoh ada orang pandai ekonomi tetapi diri sendiri tidak pandai untuk berniaga. Jadi pandai ataupun tidak, tidak semestinya pandai membuat keputusan.
Maka kita kena belajar dari ayat ini dan amalkan. Iaitu kita kena pandai membuat keputusan. Jangan kelam kabut dalam membuat keputusan. Kena perhatikan apa yang terjadi dan cuba buat penilaian berdasarkan akal yang waras, bukan dari emosi.
وَكَذٰلِكَ نَجزِي المُحسِنينَ
Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.
Begitulah kurniaan Allah ﷻ kepada Nabi Yusuf عليه السلام. Tetapi kalimah yang digunakan adalah المُحسِنينَ (orang-orang yang baik). Jadi apa yang Nabi Yusuf عليه السلام dapat itu bukan untuk baginda sahaja. Kita pun boleh dapat kelebihan itu kalau kita berusaha. Mungkinlah tidak sampai ke tahap Nabi Yusuf عليه السلام tetapi mungkin akan menjadi lebih baik lagi daripada diri kita sebelum ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 21 Mac 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an