Kaitan Surah Yusuf dengan Sirah Nabi Muhammad

Surah ini diturunkan di hujung-hujung waktu Nabi Muhammad di Mekah. Dan dikatakan ketika itu adalah Tahun Kesedihan kerana Rasulullah kehilangan isterinya yang tercinta, Khadijah, dan bapa saudara yang sentiasa membantu dan mempertahankan baginda selama ini, Abu Talib. Jadi kisah Nabi Yusuf ada persamaan dengan apa yang dihadapi oleh Rasulullah ketika surah ini diturunkan kepada baginda. Jadi ada persamaan tajuk yang Allah sampaikan di dalam surah ini untuk baginda dan untuk umat Islam.


 

Pertamanya perhatikan ayat yang rasanya semua umat Islam hafal, iaitu Nasr:1

إِذا جاءَ نَصرُ اللَّهِ وَالفَتحُ
Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan,

Di dalam surah ini, Allah menyebut tentang نَصرُ (pertolonganNya) dan الفَتحُ (kejayaan, kemenangan). Ini adalah ketika Islam diterima secara menyeluruh di Semenanjung Tanah Arab dan manusia masuk Islam secara berbondong-bondong. Allah telah memberi نَصرُ maka hasilnya adalah الفَتحُ.

Dan perhatikan dua terma ini juga terdapat di dalam Surah Fath (Kemenangan) di dalam Ayat 1 – 3.

إِنَّا فَتَحۡنَا لَكَ فَتۡحًا مُّبِينًا (١) لِّيَغۡفِرَ لَكَ ٱللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنۢبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعۡمَتَهُ ۥ عَلَيۡكَ وَيَہۡدِيَكَ صِرَٲطًا مُّسۡتَقِيمًا (٢) وَيَنصُرَكَ ٱللَّهُ نَصۡرًا عَزِيزًا (٣)
Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata, (1) Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayat ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya). (2) Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepenuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya). (3) 

Akan tetapi perhatikan susunan di dalam Surah Fath ini. Allah sebut فَتۡحًا (kemenangan) sebelum disebut نَصۡرًا (pertolongan). Ia tidak sama dengan susunan di dalam Surah Nasr. Allah telah beri kejayaan dari semenjak awal lagi, Rasulullah dan sahabat sahaja yang belum nampak. Surah ini adalah ketika terjadinya Perjanjian Hudaybiyah dan ketika itu ada para sahabat yang marah kerana nampak perjanjian itu berat sebelah, bukan? Akan tetapi sebenarnya itu adalah kejayaan, cuma mereka sahaja tidak nampak.

Kenapa ia sudah dikira kejayaan? Kerana apabila pemuka Quraisy Mekah menandatangani perjanjian itu dengan Rasulullah, ia adalah tanda yang Islam bukan calang-calang. Mereka telah berperang tiga kali sebelum itu dan tidak ada kemenangan jelas di pihak Quraisy. Sedangkan merekalah kuasa besar ketika itu, bukan? Sekarang mereka membuat perjanjian dan melakukan gencatan senjata dengan umat Islam. Ini bermakna, Islam sudah kuat ketika itu. Kerana selama itu mereka dikira sebagai pemberontak sahaja, tapi apabila sudah ada perjanjian dengan Quraisy, ia bermakna pihak Quraisy sudah mengiktiraf kedudukan umat Islam. Dan kerana itulah, bermulanya wakil-wakil dari sekitar Tanah Arab yang datang dan duduk bersama dengan Kerajaan Madinah Islam ketika itu. Inilah kejayaan, iaitu permulaan kepada kemenangan. Allah sudah beri kemenangan siap-siap dan selepas itu umat Islam akan banyak menerima نَصۡرًا dari Allah.


 

Kalau kita melihat kembali sejarah di Surah Fath itu, kita akan tahu yang Rasulullah telah pergi bersama para sahabat yang lain kerana baginda telah bermimpi baginda mengerjakan Hajj di Mekah. Ini disebut di dalam Ayat 27,

لَقَد صَدَقَ اللهُ رَسولَهُ الرُّؤيا بِالحَقِّ ۖ لَتَدخُلُنَّ المَسجِدَ الحَرامَ إِن شاءَ اللهُ ءآمِنينَ مُحَلِّقينَ رُءوسَكُم وَمُقَصِّرينَ لا تَخافونَ ۖ فَعَلِمَ ما لَم تَعلَموا فَجَعَلَ مِن دونِ ذٰلِكَ فَتحًا قَريبًا
Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada Rasul-Nya, tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya (iaitu) bahawa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram), insya Allah dalam keadaan aman, dengan mencukur rambut kepala dan mengguntingnya, sedang kamu tidak merasa takut. Maka Allah mengetahui apa yang tiada kamu ketahui dan Dia memberikan sebelum itu kemenangan yang dekat.

Di mana lagi kita asyik berjumpa tentang mimpi? Di dalam Surah Yusuf, bukan? Pada awal surah, Nabi Yusuf telah melihat mimpi di mana tafsiran mimpi itu pada dasarnya bermakna bahawa baginda akan ada dominasi ke atas saudara-saudaranya. Abang-abang Nabi Yusuf tidak boleh tahan dengan kedudukan Nabi Yusuf itu. Mereka rasa mereka perlu hapuskan baginda. Bunuh baginda atau sekurang-kurangnya singkirkan. Itu disebut di dalam Ayat 9, ٱقتُلُواْ يُوسُفَ أَوِ ٱطرَحُوهُ أَرضًا (Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu daerah).

Bagaimana dengan Nabi Muhammad? Baginda mula-mula diboikot selama 3 tahun bersama dengan puak baginda. Dan selepas itu tidak berjaya mengalahkan baginda, bukankah Musyrikin Mekah cuba untuk bunuh baginda? Dan untuk menyelamatkan baginda, Allah telah menyuruh baginda berhijrah ke tempat yang asing, Madinah. Dan bukankah Nabi Yusuf juga berakhir di sebuah tempat asing, Mesir?

Dan kemudian Allah menunjukkan kepada Nabi Muhammad mimpi bahawa baginda akan menunaikan Haji. Dan untuk menunaikan Haji hanya boleh berlaku di Mekah. Dan untuk dapat membuat Haji dengan aman, baginda perlu mendominasi musuh-musuh baginda yang ketika itu sedang berkuasa  ke atas Mekah. Dan dalam Surah Fath, Allah berfirman لَتَدخُلُنَّ المَسجِدَ الحَرامَ إِن شاءَ اللهُ ءآمِنينَ (bahawa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram), insya Allah dalam keadaan aman). Allah akhirnya menjadikan mimpi baginda itu kenyataan. Begitulah juga Allah telah menjadikan mimpi Nabi Yusuf menjadi kenyataan seperti disebut di dalam Ayat 101 وَقَالَ يَـٰٓأَبَتِ هَـٰذَا تَأوِيلُ رُءيَـٰىَ مِن قَبلُ قَد جَعَلَهَا رَبِّى حَقًّا‌ (Dan berkata Yusuf: “Wahai ayahku inilah ta’bir mimpiku yang dahulu itu; sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya suatu kenyataan.) Dan sebagaimana Nabi Muhammad akan masuk Mekah dengan selamat, Nabi Yusuf mengajak keluarganya tinggal di Mesir dengan selamat, bukan? Lihat balik Ayat 99  وَقَالَ ٱدخُلُواْ مِصرَ إِن شَآءَ ٱللَّهُ ءَامِنِينَ (dan dia berkata: “Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah dalam keadaan aman”). Nampak tak kaitan antara dua kisah ini? Sebagaimana abang-abang Nabi Yusuf memberi ujian kepada Nabi Yusuf, begitulah juga ‘abang-abang’ Nabi Muhammad iaitu Musyrikin Mekah memberi masalah kepada baginda.


 

Satu lagi perkara yang mengaitkan Nabi Yusuf dengan Nabi Muhammad adalah Nabi Ibrahim, bukan? Nabi Yusuf ada menyebut nama Nabi Ibrahim, iaitu baginda mengikut ajaran Nabi Ibrahim. Dan Nabi Muhammad Allah sebut bagindalah yang paling rapat dengan Nabi Ibrahim seperti disebut di dalam Ali Imran:68

إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِإِبْرٰهِيمَ لَلَّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهَٰذَا النَّبِيُّ
Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi ugamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini

Apa yang Nabi Muhammad lakukan adalah mengembalikan ajaran sebenarnya Nabi Ibrahim. Dan begitulah juga yang dilakukan oleh Nabi Yusuf.


 

Kisah Nabi Yusuf berlaku di Mesir. Mesir adalah satu tempat yang menarik dan hebat. Ia terkenal dalam sejarah sampailah sekarang. Pembinaan dan tamadun yang mereka ada menjadi dambaan bagi ramai orang yang cuba menirunya. Bayangkan sampai sekarang pun ada gambar piramid di dalam wang kertas negara Amerika, bukan? Kerana mereka tertarik dengan pencapaian Mesir di zaman lampau. Dan ketika Nabi Yusuf menjadi raja Mesir, baginda ada kekuasaan ini, segala kekayaan, segala kuasa ketenteraan.

Tapi apa yang Nabi dapat? Kalau di Mesir ada piramid, di Mekah ada Ka’bah yang dibina oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Ianya terletak di padang pasir yang tidak ada apa-apa sangat. Kekayaan tidak banyak, tentera pun tidak ada ketika itu. Akan tetapi baginda ada para sahabat yang memberi kesan kepada dunia. Kalau Mesir, kesannya di masa lampau, tapi peninggalan Nabi Muhammad sampai sekarang kita terasa dan mendapat labanya.


 

Kalau kita baca kisah Nabi Yusuf sebelum baginda dikeluarkan dari penjara, baginda adalah seorang hamba abdi. Sebagai hamba abdi, baginda tidak ada nilai di sisi masyarakat. Orang yang berkuasa boleh buat apa-apa sahaja kepada baginda, bukan? Dan kita telah lihat bagaimana baginda telah ditayang oleh isteri Al-Aziz, baginda kemudian dengan mudah-mudah dimasukkan ke dalam penjara walaupun tidak bersalah. Maknanya mereka boleh buat apa sahaja kepada baginda.

Dan ketika kisah ini dibaca oleh Rasulullah dan para sahabat, mereka juga mengalami keadaan yang sama. Apabila mereka masuk Islam dan bersama Nabi Muhammad, mereka telah dipandang hina oleh masyarakat, mereka telah diuji dengan herdikan, cacian dan malah dengan kesakitan. Ramai antara para sahabat ketika itu adalah betul-betul berstatus hamba. Akan tetapi bagi yang merdeka pun, seolah-olah mereka telah hilang kerakyatan dan orang kafir boleh buat apa sahaja kepada mereka, bukan? Jadi ketika para sahabat membaca kisah Nabi Yusuf, mereka sedang dipujuk kerana bukan mereka sahaja yang diperlakukan sedemikian.

Nabi Yusuf dari keturunan yang mulia iaitu dari keturunan Nabi Ibrahim. Tapi itu tidak menyelamatkan baginda dari dihina dan disakiti. Maka begitulah juga dengan Rasulullah, keturunan Nabi Ismail dan juga keturunan Nabi Ibrahim. Baginda juga dari suku yang mulia di Mekah iaitu Bani Hashim. Akan tetapi baginda tetap juga dihina dan dicerca. Jadi ia mengajar Rasulullah yang keturunan itu tidak dapat menyelamatkan mereka sehinggalah Allah yang selamatkan mereka. Begitulah apabila kita melihat orang lain pun menderita, penderitaan yang kita sedang alami pun akan sedikit sebanyak terasa kurang, bukan? Maka begitulah cara Allah memujuk Rasulullah dan para sahabat.


 

Di dalam kisah Nabi Yusuf kita telah baca tentang godaan yang baginda terima dari isteri Al-Aziz. Dalam kes Nabi Muhammad, tidaklah ada kisah godaan dari wanita. Tapi ada godaan dari segi harta dan kedudukan, bukan? Kita pun tahu yang Nabi Muhammad dipandang tinggi dan mulia sebelum baginda menjadi Nabi. Baginda siap dapat gelaran Al-Amin lagi. Baginda dipercayai oleh semua orang dan baginda mungkin boleh menjadi pemimpin di Mekah satu masa nanti pada pandangan mereka.

Dan begitulah juga kedudukan Nabi Yusuf semasa menjadi hamba pun lagi. Ketika pertama kali Al-Aziz jumpa baginda, Al-Aziz itu pun sudah terpesona siap terfikir hendak menjadikan baginda sebagai anak angkat lagi. Dan walaupun Nabi Yusuf pangkatnya sebagai hamba sahaja di rumah Al-Aziz, tapi bukan hamba biasa. Baginda menjadi orang kepercayaan Al-Aziz sampai diberikan dengan kunci rumah! Jadi Nabi Muhammad dipercayai dan Nabi Yusuf juga dipercayai. Maknanya mereka ini orang yang dipandang mulia oleh orang ramai.

Tapi kemudian Nabi Yusuf menjadi liabiliti bagi Al-Aziz. Apabila timbul isu baginda digoda oleh isterinya dan kemudian oleh para wanita di Mesir, ia menjadi isu politik yang besar. Kalau orang ramai tahu, kedudukan mereka sebagai pemimpin di Mesir akan terganggu dan ini akan menjadi isu besar. Kerana ia melibatkan isu moral, bukan? Dan sampai sekarang pun isu moral memang dielak oleh ahli politik kerana kalau mereka dipandang tidak bersih secara moral, susah orang hendak ikut. Jadi Nabi Yusuf perlu dipenjarakan, kerana hendak menyelamatkan kedudukan politik mereka. Tidak kisahlah Nabi Yusuf itu tidak bersalah, tidak kisahlah kalau dia orang baik, orang yang dipercayai… kalau sampai mengganggu kedudukan politik, apa sahaja perlu dilakukan. Sama ada dipenjarakan, atau dibunuh terus. Ini bukan kali pertama orang awam dibunuh oleh orang politik.

Maka begitu jugalah dengan Nabi Muhammad di Mekah. Pemuka di Mekah mungkin tidak kisah sangat dengan ajaran baru yang Nabi Muhammad bawa itu. Banyak sahaja fahaman pelik orang ramai yang mereka tidak kisah pun. Tapi apabila ia menjadi isu politik dan ekonomi, maka ini perlu ditangani. Penyembahan berhala sudah lama menjadi sumber pendapatan bagi orang Mekah. Orang ramai dari seluruh Tanah Arab ketika itu datang ke Mekah untuk melakukan ibadah Haji dan untuk beribadah dengan berhala mereka. Berhala mereka banyak diletakkan di Ka’bah jadi mereka kena datang ke Mekah. Jadi ia menjadi sumber ekonomi bagi penduduk Mekah apabila menerima orang ramai itu datang.

Dan kerana itulah juga kedudukan penduduk Mekah terkenal di Semenanjung Tanah Arab. Mereka dihormati di semua tempat. Ketika itu zaman koboi dan selalu terjadi rompakan dan tangkapan kepada orang yang bermusafir. Akan tetapi penduduk Mekah selamat kerana orang ramai dari tempat lain tidak berani kacau orang Mekah sebab takut berhala-berhala mereka akan dirosakkan pula. Jadi kedudukan orang Mekah itu tinggi kerana pegangan agama yang menyembah berhala.

Jadi apabila Nabi Muhammad memperkenalkan agama baru yang menidakkan penyembahan kepada berhala, ini sudah mengganggu ekonomi dan kedudukan mereka. Walaupun Nabi Muhammad itu orang baik dan dipercayai, kalau sampai mengganggu ekonomi dan kedudukan mereka, ia tidak boleh dibenarkan. Begitu jugalah yang berlaku dengan Nabi Yusuf.


 

Nabi Yusuf dimasukkan ke dalam penjara kerana baginda tidak mahu berkompromi dengan isteri Al-Aziz. Wanita itu sudah biasa diturut sahaja kata-kata dan arahannya kerana kedudukannya. Kalau Nabi Yusuf hendak selamat, ikut sahaja. Akan tetapi Nabi Yusuf ada kesedaran moral yang amat tinggi dan tidak akan baginda tunduk kepada kehendak isteri itu yang salah. Dan kerana menolak berkompromi dengan wanita itulah menyebabkan wanita itu menjatuhkan kedudukan Nabi Yusuf. Dia menuduh Nabi Yusuf hendak berbuat onar dengannya, bukan?

Nabi Muhammad juga diajak untuk berkompromi. Ini kita boleh faham apabila kita membaca tafsir Surah Al-Kaafirun. Surah ini turun sebagai jawapan tegas kepada pemimpin Quraisy (seperti Al-Walid bin al-Mughirah dan Abu Jahl) yang menawarkan kompromi: “Wahai Muhammad, mari kita bertukar sembahan. Kami sembah Tuhanmu setahun, dan kamu sembah tuhan kami setahun.” Maka jawapan yang diberikan oleh Rasulullah setelah menerima tawaran itu ada disebut di dalam Kaafirun:2-3

لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ . وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ
“Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.” 

Apabila orang yang mabuk dengan kedudukan yang tinggi yang mereka sedang ada, menawarkan kompromi dan ditolak, itu adalah benda besar bagi mereka. Ia seolah-olah menghina kedudukan mereka yang telah turun menawarkan kompromi tapi ditolak mentah-mentah, memang mencari nahas! Begitulah yang berlaku apabila Nabi Yusuf menolak ajakan isteri Al-Aziz, begitulah yang terjadi apabila Nabi Muhammad menolak tawaran kompromi pemuka Quraisy. Mereka telah datang tawarkan wanita, tawarkan kedudukan, tawarkan harta yang banyak kepada Nabi Muhammad. Kemudian mereka tawarkan lagi apa kata pakai dua-dua agama sekali. Tapi apabila Nabi Muhammad menolak, mereka sangat marah. Kalau sebelum itu, mereka nampak Nabi Muhammad ini setakat menyusahkan sahaja, tapi ketika itu mereka nampak baginda perlu dijatuhkan dengan hina!


 

Dan apakah hujah yang digunakan oleh mereka yang hendak menjatuhkan Rasul? Dengan menggunakan modal keluarga. Perhatikan apabila Al-Aziz pulang, apa isteri Al-Aziz itu kata? قَالَت مَا جَزَآءُ مَن أَرَادَ بِأَهلِكَ سُوٓءًا إِلَّآ أَن يُسجَنَ أَو عَذَابٌ أَلِيمٌ (Wanita itu berkata: “Apakah pembalasan terhadap orang yang bermaksud berbuat serong dengan isterimu, selain dipenjarakan atau (dihukum) dengan azab yang pedih?). Ini kerana mempertahankan keluarga adalah satu perkara yang pasti akan dilakukan oleh manusia. Ia digunakan sebagai alasan yang kuat untuk menggerakkan orang.

Kaum Musyrikin Quraisy tidak hanya menolak dakwah secara lisan, malah mereka membina naratif bahawa Nabi Muhammad SAW adalah seorang “pencetus huru-hara” yang memecah-belahkan keharmonian masyarakat. Terdapat beberapa ayat Al-Quran yang merakamkan tuduhan mereka dan bagaimana mereka melihat dakwah Baginda sebagai satu “gangguan” terhadap kestabilan sosial Contohnya seperti disebut di dalam Anbiya’:36

وَإِذا رَءآكَ الَّذينَ كَفَروا إِن يَتَّخِذونَكَ إِلّا هُزُوًا أَهٰذَا الَّذي يَذكُرُ آلِهَتَكُم
Dan apabila orang-orang kafir itu melihat kamu, mereka membuat kamu menjadi olok-olok. (Mereka mengatakan): “Apakah ini orang yang mencela tuhan-tuhan-mu?”

Bagi kaum Quraisy, “keamanan” bermaksud mengekalkan status quo (adat nenek moyang). Apabila Nabi Muhammad SAW membawa kebenaran yang mencabar sistem kasta, penindasan, dan syirik, mereka melabelnya sebagai “fitnah” atau gangguan keamanan. Begitu jugalah golongan Sunnah di negara ini dituduh memecahbelahkan masyarakat, bukan?

Dan Rasulullah dan para sahabat melihat ini berlaku di hadapan mata mereka. Mereka melihat bagaimana Nabi Yusuf dituduh, dan mereka perhatikan begitulah juga mereka dituduh. Dan kita sekarang melihat bagaimana ia juga dituduh terhadap kita golongan Sunnah di negara ini. Maknanya ia berulang-ulang sepanjang zaman.


 

Siapakah antagonis di dalam kisah Nabi Yusuf? Mereka itu adalah abang-abang baginda, bukan? Mereka anak siapa? Bukankah mereka itu anak seorang Nabi juga? Akan tetapi mereka sanggup melakukan perkara terkutuk terhadap adik mereka sendiri, yang patutnya mereka sayang, tapi mereka sanggup buat apa yang mereka telah lakukan. Kerana apa? Ada Nabi Yusuf buat salah terhadap mereka, kacau mereka dan sebagainya? Tidak, bukan? Hanya kerana baginda mendapat perhatian dari ayah mereka sahaja. Jadi mereka jadi dengki.

Siapa yang kita tahu dalam sejarah paling awal dengki? Itulah iblis? Iblis marah betul apabila Nabi Adam dipilih untuk menjadi khalifah. Dia rasa kedudukannya telah diambil. Padahal, Allah tidak turunkan pangkat iblis, cuma pilih Nabi Adam sebagai khalifah sahaja. Dan Nabi Adam tidak pernah buat salah apa-apa pun, baginda tidak hidup lagi pun! Tapi dari Allah sebut akan ada yang dilantik menjadi khalifah, iblis sudah simpan dendam dan berazam untuk menjatuhkan Nabi Adam. Dan bukan baginda sahaja, anak cucu baginda sekali! Begitulah dendamnya kepada Nabi Adam.

Dan iblis bersama tentera syaitannya menggunakan senjata dengki ini untuk memporak perandakan manusia. Kita telah sebut Nabi Muhammad dipandang mulia, bukan? Sekarang apabila baginda dilantik menjadi Nabi, berdakwah kepada manusia dengan baik, mengajak kepada melakukan kebaikan, apa perasaan pemuka-pemuka Quraisy itu? Mereka dengki kerana kedudukan itu diberikan kepada Nabi Muhammad. Abu Jahal (Amru bin Hisyam) sebenarnya mengakui dalam hatinya bahawa Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang benar (Siddiq), namun dia terhalang oleh asabiyyah (semangat perkauman) dan persaingan kuasa antara kabilah. Padahal dia tahu yang Nabi Muhammad itu benar. Suatu ketika, Abu Jahal bertemu dengan Nabi SAW dan Al-Mughirah. Abu Jahal berkata kepada Nabi dengan sombong:

Demi Allah, wahai Muhammad, aku tahu apa yang kamu katakan itu adalah benar, tetapi ada sesuatu yang menghalangku.

Semasa malam perang Badr, Al-Akhnas bertanya secara rahsia kepada Abu Jahal: “Beritahu aku, adakah Muhammad itu benar atau pendusta?” Abu Jahal menjawab: “Celaka kamu! Demi Allah, sesungguhnya Muhammad itu benar dan dia tidak pernah berbohong sedikit pun. Akan tetapi kami (Bani Makhzum) dan mereka (Bani Abdu Manaf) sentiasa bersaing dalam kemuliaan. Mereka memberi makan (kepada jemaah haji), kami juga memberi makan. Mereka memberi minum, kami juga memberi minum. Mereka menanggung beban orang susah, kami juga melakukannya. Sehinggalah apabila kami sudah setaraf (seperti dua ekor kuda lumba yang berlari seiringan), tiba-tiba mereka berkata: ‘Kami mempunyai seorang Nabi yang menerima wahyu dari langit! Bilakah pula kami akan dapat tandingan bagi perkara itu? Demi Allah, kami tidak akan sesekali beriman kepadanya dan tidak akan membenarkannya!


 

Tapi manusia tidaklah menjadi iblis. Memang ada yang iblis telah berjaya hasut sampai buat dosa, dengki dan sebagainya. Tapi tidaklah semua kekal begitu. Ada yang kekal dalam kedengkian seperti Abu Jahal dan Abu Lahab. Tapi ada sahaja yang boleh berubah. Kita lihat di dalam kisah Nabi Yusuf itu abang-abangnya telah berubah dan menjadi baik. Walaupun dulunya mereka telah melakukan perkara yang amat terkutuk, tapi mereka boleh berubah.

Maka begitu jugalah dengan para penentang Rasulullah. Kita baca kisah Khalid al-Walid yang berjaya mengalahkan umat Islam di Uhud dan hampir berjaya membunuh Nabi. Kita baca kisah Abu Sufyan yang mengetuai rancangan untuk menyerang umat Islam di Madinah. Akan tetapi mereka berubah dan menjadi muslim yang baik dan berkhidmat untuk agama. Jadi kisah abang-abang Nabi Yusuf itu memberi semangat kepada Rasulullah dan para sahabat. Iaitu manusia boleh berubah.


 

Mari kita kembali kepada suasana di dalam penjara ketika Nabi Yusuf di dalamnya dan berjumpa dengan dua orang banduan lain. Di dalamnya kita baca dakwah baginda dan apa yang baginda ajar dan ia agak panjang kalau dibandingkan dengan ayat-ayat yang lain. Allah menukilkan ayat-ayat dakwah baginda kepada dua banduan, bukannya kepada rakyat Mesir, kepada raja atau orang penting. Tapi kemudian kita baca seterusnya bagaimana perbincangan baginda dengan salah seorang banduan itulah yang sampai kepada raja kerana raja bermimpi, dan dia telah pergi ke penjara dan kemudian raja hendak berjumpa dan seterusnya kita baca baginda menjadi raja pula di Mesir. Dan ia berasal dari dakwah baginda di dalam penjara itu, bukan?

Dalam sejarah hidup Rasulullah, baginda pernah diboikot seisi keluarga dan kaum kerabat baginda. Baginda tidak dilayan dan tidak dibenarkan berdakwah secara terbuka. Ketika itu baginda telah berdakwah kepada orang-orang Arab yang datang ke Mekah kerana mengerjakan Haji. Baginda dihalang juga akan tetapi dapatlah baginda bercakap dengan sebahagian dari mereka yang datang itu. Mula ada yang menerima baginda dan tahun seterusnya mereka datang untuk berbaiah dengan Nabi seramai 12 orang. Kemudian tahun depannya datang lebih 70 orang pula yang berbaiah dengan baginda. Dan ini adalah permulaan kepada ramainya yang beriman dari penduduk Yathrib (Madinah) dan mereka telah menerima Rasulullah dan para sahabat dari Mekah untuk tinggal bersama mereka. Dan mereka telah membina penempatan dan kerajaan baru di Madinah itu dan ada pertempuran beberapa kali dengan Musyrikin Mekah dan akhirnya Mekah dapat ditawan dan akhirnya kerajaan Islam dapat menakluki 1/3 dari dunia ketika itu.

Sejarah dunia mungkin menulis tentang Perang Badr, Uhud dan Ahzab, bukan? Akan tetapi kita yang belajar sirah Rasulullah tahu permulaan kenabian Nabi Muhammad yang mengandungi kisah baginda bercakap dan berdakwah kecil-kecilan kepada beberapa orang sahaja. Ia mungkin nampak kecil tapi itulah permulaan kepada kemenangan Islam dan penyebaran agama ini ke seluruh dunia. Sebagaimana dakwah Nabi Yusuf kepada dua banduan itu akhirnya membaca kepada peristiwa baginda dinaikkan menjadi raja. Ketika surah ini diturunkan, Rasulullah masih lagi di Mekah dan mereka di dalam keadaan yang lemah. Ia seolah-olah Allah sedang memberitahu baginda supaya jangan memandang rendah dakwah kecil-kecilan yang baginda lakukan kerana ia boleh menjadi besar nanti.


 

Di dalam kisah Nabi Yusuf, baginda telah dibantu oleh raja. Raja telah mendapat mimpi dan mencari-cari siapa yang boleh mentafsir mimpi itu. Beliau telah dapat berjumpa dengan Nabi Yusuf melalui perantaraan bekas banduan yang mengenali Nabi Yusuf. Raja kemudian telah membebaskan Nabi Yusuf dan menjadi baginda sebagai orang penting di Mesir. Begitulah Allah menjadikan orang kafir yang membantu baginda. Dan ini tidak pelik kerana semua di dalam perancangan Allah dan Allah boleh jadikan orang kafir yang membantu agama Islam. Rasulullah pernah bersabda,

إِنَّ اللَّهَ لَيُؤَيِّدُ هَذَا الدِّينَ بِالرَّجُلِ الْفَاجِرِ
“Sesungguhnya Allah benar-benar akan menguatkan (membantu) agama ini dengan perantaraan lelaki yang fajir (pelaku dosa/jahat).”

Sahih Bukhari (No. 3062) dan Sahih Muslim (No. 111)

Kerana itu kita boleh katakan, Firaun lah yang telah membantu Nabi Musa berdakwah kepada rakyat Mesir. Ini kerana Firaun yang mengumpulkan ramai tukang sihir untuk menentang Nabi Musa. Firaun juga yang menetapkan tarikh pertarungan itu dan mewajibkan seluruh rakyat Mesir datang pada ketika itu. Akan tetapi semua ahli sihir itu beriman dan membenarkan dakwah Nabi Musa.

Dalam sejarah Nabi Muhammad juga, ada musyrik yang membantu baginda. Di dalam Tahun Kesedihan, Nabi Muhammad telah berdakwah ke Taif dan baginda tidak dapat masuk ke Mekah semula kerana telah ditahan oleh Musyrikin Mekah. Individu yang membantu dan memberikan perlindungan (jiwar) kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk masuk semula ke kota Mekah sekembalinya baginda dari Taif ialah Al-Mut’im bin ‘Adi. Beliau seorang musyrik. Sebelum itu Rasulullah dilindungi oleh Abu Talib tapi dengan pemergian Abu Talib tahun itu, keselamatan Nabi ﷺ di Mekah terancam. Setelah dakwah di Taif ditolak dengan kasar, baginda tidak boleh masuk ke Mekah secara sembunyi kerana bimbang akan dibunuh oleh pihak Quraisy.

Ketika itu Nabi ﷺ menghantar pesanan kepada beberapa tokoh Arab untuk meminta perlindungan, namun hanya Al-Mut’im bin ‘Adi (seorang pembesar Mekah yang belum memeluk Islam pada waktu itu) yang menerima permintaan baginda. Al-Mut’im memerintahkan anak-anaknya memakai pakaian perang dan menghunus pedang. Mereka mengawal Nabi ﷺ masuk ke Masjidil Haram. Al-Mut’im berdiri di atas tunggangannya dan mengisytiharkan: “Wahai kaum Quraisy, sesungguhnya aku telah memberikan perlindungan (jiwar) kepada Muhammad, maka janganlah ada seorang pun di antara kamu yang mengganggunya!”

Walaupun Al-Mut’im bin ‘Adi meninggal dunia dalam keadaan belum Islam, Nabi ﷺ sangat mengenang jasa baiknya. Hal ini terbukti selepas Perang Badar, apabila baginda bersabda mengenai tawanan perang Quraisy:

لَوْ كَانَ الْمُطْعِمُ بْنُ عَدِيٍّ حَيًّا، ثُمَّكَلَّمَنِي فِي هَؤُلَاءِ النَّتْنَى، لَتَرَكْتُهُمْ لَهُ
“Sekiranya Al-Mut’im bin ‘Adi masih hidup, kemudian dia bercakap denganku (meminta tolong) mengenai orang-orang yang ‘busuk’ ini (merujuk kepada tawanan musyrikin Badar), nescaya aku akan biarkan (bebaskan) mereka demi dia.”

Sahih Bukhari. Nombor Hadis: 3139

Kisah Al-Mut’im ini adalah contoh nyata bagaimana Allah SWT menggerakkan hati seorang yang bukan Muslim untuk menjadi pelindung fizikal kepada Rasulullah ﷺ dan kelangsungan dakwah Islam di saat genting.

Selain itu kita pun semua sudah tahu kisah Raja Najasyi (gelaran bagi pemerintah Habsyah atau Ethiopia) yang telah membantu umat Islam dan memberi perlindungan kepada mereka. Apabila penindasan kaum Quraisy di Mekah semakin memuncak, Rasulullah ﷺ memerintahkan sekumpulan kecil sahabat untuk berhijrah ke Habsyah. Raja Najasyi ketika itu adalah seorang Nasrani (Kristian) yang akhirnya memeluk Islam secara rahsia. Kisah ini membuktikan yang Allah boleh membantu agama ini melalui sesiapa yang dikehendaki-Nya. Walaupun Najasyi berada di benua lain dan pada awalnya bukan seorang Muslim, keadilannya menjadi pelindung kepada kelangsungan nyawa para sahabat dan dakwah Islam. Maka ini mengajar kita jangan menolak bantuan walaupun dari orang kafir.


 

Selepas Nabi Yusuf dibuang oleh abang-abangnya dan diperdagangkan sebagai hamba, yang membeli baginda adalah Al-Aziz. Al-Aziz ketika itu telah tertarik dengan perawakan Nabi Yusuf dan ketika membawanya ke rumah, siap dicadangkan untuk dijadikan anak angkat, bukan? Dia suruh isterinya melayan Nabi Yusuf dengan baik. Dan selepas itu diberikan kepercayaan untuk menguruskan rumah itu kepada Nabi Yusuf. Maknanya dia sangat sayang dan percaya kepada Nabi Yusuf, bukan?

Akan tetapi akhirnya dia juga yang telah terlibat memenjarakan Nabi Yusuf walaupun dia sendiri tahu yang baginda tidak bersalah. Ini kerana dia melihat kes Nabi Yusuf dan isterinya itu boleh menjadi skandal negara dan ini akan melemahkan kedudukan politiknya. Maka dia ambil jalan mudah dan selamat untuk dirinya dengan melakukan kezaliman terhadap Nabi Yusuf.

Di dalam sejarah hidup Nabi Muhammad pun baginda ada seorang yang sangat sayang kepada dirinya tapi akhirnya menjadi musuh yang teruk kepada baginda. Kisah Abu Lahab (nama asalnya Abdul Uzza bin Abdul Muttalib) adalah contoh paling tragis tentang bagaimana perasaan sayang yang mendalam boleh bertukar menjadi kebencian yang melampau disebabkan oleh keangkuhan dan penolakan terhadap kebenaran (tauhid). Dan kerana apa yang Nabi Muhammad bawa akan mengganggu sistem  ekonomi dan kedudukan di Mekah ketika itu yang dia sedang nikmati. Kita telah sebutkan tentang ekonomi dan politik ketika itu di Mekah.

Ketika Nabi Muhammad ﷺ dilahirkan, Abu Lahab sangat gembira kerana mendapat anak saudara lelaki daripada adik kesayangannya, Abdullah. Kerana terlalu gembira, Abu Lahab memerdekakan hambanya yang bernama Suwaibah sebaik sahaja Suwaibah menyampaikan berita kelahiran bayi tersebut. Segalanya berubah apabila Nabi ﷺ mula berdakwah secara terang-terangan di Bukit Shafa. Abu Lahab adalah orang pertama yang menjerit: “Celakalah engkau wahai Muhammad! Adakah kerana ini sahaja engkau mengumpulkan kami?” Selepas peristiwa itu, Allah menurunkan Surah Al-Lahab yang mengekalkan nama dan kecelakaannya sehingga hari kiamat.

Kemuncak sifat tidak berperikemanusiaan Abu Lahab adalah apabila putera Nabi ﷺ yang bernama Al-Qasim meninggal dunia. Abu Lahab tidak menunjukkan simpati sebagai bapa saudara, sebaliknya dia berlari-lari memberitahu kaum Quraisy dengan nada mengejek: “Muhammad telah terputus (zuriatnya)!” (Muhammadun Abtar). Istilah ini digunakan untuk menghina seseorang yang tidak mempunyai anak lelaki untuk menyambung zuriat dan nama bapanya. Abu Lahab gembira kerana menyangka pengaruh Nabi akan mati bersama kewafatan anak-anak baginda. Bayangkan kalau dengan musuh kita sendiri pun kita tak tergamak gembira apabila dia kehilangan ahli keluarga, inikan pula bapa saudara sendiri! Sebagai jawapan kepada ejekan Abu Lahab (dan sekutu-sekutunya), Allah menurunkan Surah Al-Kautsar.

Ia mengajar kita di dalam dunia ini ada manusia yang berkawan dan sayang dengan kita apabila mereka mendapat laba dari kita. Atau ketika kita tidak menggugat fahaman mereka. Tapi sebaik sahaja kita menyebut tentang kebenaran yang mengganggu kedudukan ekonomi, politik atau faham mereka, mereka boleh menjadi penentang kita. Mungkin kita ahli sesuatu parti dan disayangi pemimpin itu. Tapi kalau kita menegur kesalahan pemimpin itu, dia akan menyerang dan menjatuhkan kita. Mungkin kita ada kawan dari kecil yang rapat sangat dengan kita. Tapi kalau kita sudah belajar agama dan sudah tahu beza tauhid dan syirik dan menegur kesalahan kawan kita itu, dia menjadi musuh kita pula kerana dia tidak dapat menerima teguran walaupun teguran itu benar!


 

Sekarang kita masuk kepada individu yang terkenal di dalam sejarah Islam. Namanya Abu Sufyan. Beliau adalah pemimpin de facto Mekah dan penentang kuat bagi Islam ketika beliau berkuasa. Akan tetapi beliau juga ada hubungan kekeluargaan dengan Nabi Muhammad kerana anaknya iaitu Ummu Habibah.

Beliau tidak menyertai Perang Badar secara fizikal kerana tugas utamanya adalah menyelamatkan kafilah dagang Quraisy, namun selepas kematian Abu Jahl dalam perang tersebut, Abu Sufyan dilantik menjadi ketua tertinggi Mekah. Peperangan pertama yang dipimpin oleh Abu Sufyan sebagai panglima tertinggi kaum Quraisy adalah Perang Uhud pada Tahun 3 Hijrah. Sejurus selepas Perang Uhud, Abu Sufyan dan tenteranya merancang untuk kembali menyerang Madinah bagi menghapuskan sisa-sisa tentera Islam. Namun, keberanian Nabi SAW yang mengejar mereka sehingga ke Hamra al-Asad menyebabkan Abu Sufyan memutuskan untuk terus pulang ke Mekah tanpa bertempur. Akhir sekali Abu Sufyan mengetuai gabungan (Ahzab) besar yang terdiri daripada kaum Quraisy, kabilah-kabilah Arab (seperti Ghatafan), dan kaum Yahudi dengan kekuatan 10,000 tentera untuk menyerang umat Islam. Mereka mengepung Madinah, namun gagal menembusi pertahanan parit (khandaq) yang dibina oleh umat Islam dan akhirnya terpaksa berundur akibat ribut kencang serta perpecahan dalaman.

Walaupun beliau merupakan musuh ketat pada awalnya, Abu Sufyan akhirnya memeluk Islam semasa peristiwa Pembukaan Kota Mekah (Fathu Makkah) pada tahun 8 Hijrah. Selepas menjadi Muslim, beliau berubah menjadi pejuang Islam yang kental dan menyertai peperangan besar seperti, Perang Hunayn, Pengepungan Ta’if, Perang Yarmuk (di mana beliau kehilangan sebelah matanya demi membela Islam). Perang Yarmuk adalah sumbangan terbesar beliau. Dalam peperangan menentang empayar Rom Timur (Byzantine) ini, Abu Sufyan bukan sahaja berperang, malah bertindak sebagai pemberi semangat (pemberi motivasi). Beliau berkeliaran di barisan tentera sambil melaungkan kata-kata semangat agar tentera Islam tidak berundur.

Tapi sebelum itu, seperti yang kita tahu, Abu Sufyan adalah musuh kepada umat Islam. Mari kita telusuri detik-detik sebelum beliau memeluk Islam. Kisah ini berlaku dalam suasana yang sangat mendebarkan, iaitu sejurus selepas kaum Musyrikin Quraisy melanggar Perjanjian Hudaibiyah. Pihak Quraisy telah membantu sekutu mereka, Bani Bakar, untuk menyerang Bani Khuza’ah (sekutu Rasulullah SAW). Perbuatan ini adalah perkara yang boleh membatalkan Perjanjian Hudaibiyah itu. Menyedari bahawa ini adalah kesilapan besar yang boleh membawa kepada peperangan, Abu Sufyan (yang ketika itu belum memeluk Islam) telah bergegas ke Madinah untuk memujuk Rasulullah SAW agar memperbaharui dan memanjangkan tempoh perjanjian tersebut. Abu Sufyan terus menuju ke Masjid atau ke rumah Baginda untuk bertemu Rasulullah SAW. Dia merayu agar perjanjian dipanjangkan. Namun, apa yang berlaku? Rasulullah SAW tidak menjawab sepatah kata pun. Baginda langsung tidak memandang dan tidak memberi sebarang reaksi. Kerana ini bukanlah masa untuk berlembut. Dan di dalam kisah Nabi Yusuf kita ada perhatikan bagaimana ada ketika Nabi Yusuf bertegas dengan abang-abang baginda seperti disebut di dalam Yusuf:60

فَإِن لَّم تَأتُونِى بِهِۦ فَلَا كَيلَ لَكُم عِندِى وَلَا تَقرَبُونِ
Jika kamu tidak membawanya kepadaku, maka kamu tidak akan mendapat sukatan lagi dari padaku dan jangan kamu mendekatiku”.

Tapi kemudian menjelang Pembukaan Makkah, Abu Sufyan datang ke kem Rasulullah ﷺ di Marr al-Zahran, dengan senyap-senyap dibawa oleh Abbas, bapa saudara Nabi. Atas cadangan Abbas bin Abdul Muttalib, Abu Sufyan diislamkan oleh Rasulullah ﷺ. Rasulullah ﷺ kemudiannya mengisytiharkan: “Sesiapa yang masuk ke rumah Abu Sufyan, dia selamat” — satu penghormatan besar. Ini menunjukkan sifat pemaaf dan strategi bijak Rasulullah ﷺ.

Ketika melihat kekuatan tentera umat Islam yang diketuai oleh Nabi Muhammad, Abu Sufyan yang dahulunya merasa merekalah pasukan dan golongan yang kuat, sedangkan umat Islam adalah golongan serpihan seperti ulat sahaja, barulah dia mengaku kebenaran yang berada pada Nabi Muhammad. Itulah juga perasaan abang-abang Nabi Yusuf ketika mereka sedar yang di hadapan mereka adalah Al-Aziz yang sebenarnya ada adik mereka yang buang banyak tahun yang dahulu. Mereka mengaku Allah telah menaikkan kedudukan baginda seperti disebut di dalam Yusuf:91

قَالُواْ تَٱللَّهِ لَقَد ءَاثَرَكَ ٱللَّهُ عَلَينَا وَإِن ڪُنَّا لَخَـٰطِـِٔينَ
Mereka berkata: “Demi Allah, sesungguhnya Allah telah melebihkan kamu atas kami, dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah (berdosa)”.


 

Kemudian ketika Fathul Makkah (Pembukaan Kota Mekah), Rasulullah ﷺ berdiri di hadapan penduduk Mekah yang dahulunya menyeksa, mengusir, dan memerangi Baginda selama 20 tahun. Rasulullah ﷺ bertanya kepada mereka: “Wahai orang-orang Quraisy, apa yang kamu rasa akan aku lakukan kepada kamu?” Mereka menjawab: “Kebaikan. Engkau adalah saudara yang mulia dan anak kepada saudara yang mulia.”

Maka, Rasulullah ﷺ membalas dengan memetik kata-kata Nabi Yusuf AS kepada saudara-saudaranya yang pernah mencampakkannya ke dalam perigi (seperti yang dirakamkan dalam Yusuf:92

لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ ۖ يَغْفِرُ اللَّهُ لَكُمْ ۖ وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ
“Pada hari ini tidak ada cercaan (balas dendam) ke atas kamu. Mudah-mudahan Allah mengampunkan kamu, dan Dia adalah Maha Penyayang di antara para penyayang.”

Pemaafan Mutlak (Al-Afwu): Walaupun Baginda berada di puncak kuasa dengan 10,000 tentera dan mampu melakukan pembersihan etnik atau hukuman mati, Baginda memilih untuk memaafkan.

Menghapuskan Dendam: Perkataan “La Tathrib” bermaksud bukan sahaja Baginda tidak menghukum, malah Baginda tidak akan membangkit-bangkitkan atau mencela kesalahan masa lalu mereka.

Nabi Yusuf AS dizalimi oleh saudara kandungnya sendiri, dan Rasulullah ﷺ dizalimi oleh kabilahnya sendiri (Quraisy). Dengan menggunakan ayat ini, Baginda menunjukkan bahawa hubungan persaudaraan (kemanusiaan dan kabilah) adalah lebih tinggi daripada dendam peribadi. Tindakan luar biasa ini menyebabkan penduduk Mekah yang dahulunya sangat membenci Islam, masuk ke dalam agama Allah secara beramai-ramai kerana terkesan dengan akhlak mulia Baginda yang menyerupai kemuliaan hati Nabi Yusuf AS.

 

Allahu a’lam. Sekian tafsir Surah Yusuf yang amat menarik ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah ar-Ra’d.


 

Rujukan: Nouman Ali Khan

Topik-topik Berkaitan di dalam Surah Yusuf

Terdapat keindahan dalam kisah tentang Nabi Yusuf dalam surah ini. Ada beberapa kaitan di antara topik-topik yang berulang-ulang. Mari kita lihat satu persatu. Seperti kita baca, di awal surah ini disebut tentang mimpi Nabi Yusuf tentang bulan, matahari dan bintang-bintang sujud kepada baginda. Dan kemudian kita diberikan dengan banyak lagi kisah-kisah lain. Semua kisah-kisah itu satu persatu mengarah kepada penyelesaian kepada mimpi baginda yang pertama itu.

Yang menarik tentang Surah Yusuf ini dan kebanyakan surah-surah lain, kadangkala kita nampak ada kaitan antara satu kisah dengan kisah yang lain. Ia memberi satu kenikmatan apabila kita membacanya dan memberikan pemahaman yang lebih kepada kisah itu.


 

Perhatikan Ayat 21 dan Ayat 56. Kedua-duanya ada mengandungi kalimah yang sama, وَڪَذٰلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِى ٱلۡأَرضِ (Dan demikian pulalah Kami memberikan kedudukan yang baik kepada Yusuf di muka bumi). Ini adalah cara Allah mengaitkan antara dua ayat ini. Di dalam Ayat 21, Allah telah memberi tempat tinggal bagi Nabi Yusuf setelah baginda dibuang oleh abang-abangnya ke dalam telaga. Dan di dalam Ayat 56, baginda baru keluar dari penjara dan diberikan kedudukan tinggi oleh Raja Mesir pada ketika itu. Situasi sangat berbeza, akan tetapi perhatikan Allah menggunakan kalimat yang sama bagi kedua-dua keadaan ini, وَڪَذٰلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِى ٱلۡأَرضِ. Ia mengajar beberapa perkara yang kita boleh ambil sebagai pemahaman.

1. Kali pertama baginda ditempatkan di rumah Menteri itu adalah untuk baginda belajar tentang kehidupan dan pemerintahan. Ini penting untuk baginda apabila baginda menjadi Menteri pula nanti. Macam-macam baginda dapat belajar kerana Allah tempatkan baginda di rumah seorang ahli politik, seorang pemimpin negara yang baginda tidak akan dapat kalau duduk di rumah orang biasa. Walaupun baginda sebagai seorang hamba sahaja, tapi baginda menimba ilmu ketika itu.

2. Allah mengajar kita yang tempat tinggal tidak penting. Kadangkala kita tinggal dan membesar di tempat yang miskin, serba kekurangan, tapi itulah tempat yang banyak mengajar kita. Selalu sangat kita dengar kisah orang yang berjaya itu mereka berasal dari tempat yang serba kekurangan. Tapi mereka kata di situlah mereka belajar tentang hidup. Dan kadangkala ada orang yang hidup dari kecil di tempat yang mewah, tapi tidak jadi apa-apa kerana mereka tidak dapat belajar apa-apa.

3. Kadangkala kita memang perlu berada di bawah sebagai persediaan apabila kita berada di atas. Kerana orang yang pernah susah, mereka akan lebih mengerti tentang kesusahan rakyat. Jadi bila dia berjaya dan jadi pemimpin atau ketua, dia boleh faham apa perasaan orang yang di bawah, bukan?


 

Perhatikan pula Ayat 22 dan Ayat 56 di mana kedua-duanya mengandungi kalimat yang hampir sama, وَكَذٰلِكَ نَجزِى ٱلمُحسِنِينَ (Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik) dan وَلَا نُضِيعُ أَجرَ ٱلمُحسِنِينَ (dan Kami tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik). Perhatikan kedua-dua ayat itu mengandungi kalimah ٱلمُحسِنِينَ. Allah memberitahu pembalasan yang diberikan kepada Nabi Yusuf kerana baginda telah melakukan yang terbaik di dalam kedudukan baginda. Semasa di rumah Menteri Al-Aziz, baginda telah melakukan yang terbaik, dan Allah telah beri kepada baginda حُكمًا وَعِلمًا‌ (hikmah dan ilmu). Dan setelah baginda melakukan kebaikan sebagai Menteri, Allah balas dengan memberikan balasan terbaik di akhirat seperti disebut di dalam Ayat 57, وَلَأَجرُ ٱلأَخِرَةِ خَيرٌ (Dan sesungguhnya balasan di akhirat itu lebih baik).


 

Sekarang perhatikan Ayat 31 dan 51. Ada kalimat yang sama digunakan iaitu قُلنَ حَـٰشَ لِلَّهِ (Mereka berkata: “Maha Sempurna Allah). Ayat 31 adalah tentang para wanita di Mesir buat hal. Isteri Al-Aziz telah memperagakan Nabi Yusuf di hadapan wanita-wanita elit dan mereka pun telah terliur melihat Nabi Yusuf sampai terkeluarlah perkataan yang menandakan takjub. Akan tetapi yang mereka gunakan adalah nama Allah. Jadi bukannya mereka tidak kenal nama Allah. Mereka kenal tapi kalau kita perhatikan, mereka gunakan nama Allah di dalam keadaan yang hina, ketika mereka bernafsu terhadap Nabi Yusuf dan teringin kepada baginda. Jadi ia mengajar kita yang nama Allah boleh sahaja disebut manusia dalam situasi yang tidak sesuai. Ada orang menggunakan nama Allah dengan cara yang salah, bukan?

Akan tetapi ia berbeza di dalam Ayat 51. Iaitu ketika mereka disoal-siasat oleh raja Mesir. Ketika itu mereka telah bersaksi yang Nabi Yusuf tidak bersalah, ketika itu mereka berkata benar. Mereka ketika itu telah menjelaskan yang Nabi Yusuf tidak bersalah dan akhirnya Nabi Yusuf telah dikeluarkan dari penjara kerana persaksian mereka, bukan? Maknanya mereka telah berubah. Kalau dahulu mereka mengikut nafsu mereka, tapi kali ini mereka berkata benar. Mereka bersumpah dengan nama Allah sekali lagi, tapi kali ini untuk kebaikan.

Ia juga mengajar kita bahawa orang yang dahulunya buruk perangai, boleh sahaja berubah dan boleh sahaja berkata benar. Nampak seperti mereka telah insaf kali ini dan menyatakan kebenaran kali ini. Dalam hati mereka kita tidak tahu, jadi kita hanya menilai dari kata-kata mereka sahaja. Ini mengajar kita supaya jangan putus harapan kepada orang yang dahulunya berperangai buruk, kerana manusia boleh sahaja berubah.


 

Perhatikan Ayat 23 & 79. Di dalam kedua-dua ayat itu, Nabi Yusuf ada berkata: مَعَاذَ ٱللهِ (aku mohon perlindungan kepada Allah). Di dalam Ayat 23 itu kisahnya apabila isteri Al-Aziz menggoda baginda dan baginda hanya dapat berlindung dengan Allah sahaja. Kemudian di dalam Ayat 79 itu ketika baginda buat rancangan untuk mendapatkan adiknya Bunyamin tinggal dengan baginda. Abang-abangnya ketika itu memujuk baginda untuk lepaskan adik mereka itu dan ambil mereka sebaliknya. Nabi Yusuf tidak bersetuju. Ketika ini baginda berada di puncak kuasa. Amat berbeza dengan kedudukan baginda ketika menjadi hamba di rumah Al-Aziz. Akan tetapi baginda menggunakan kalimah yang sama مَعَاذَ ٱللهِ di dalam dua-dua keadaan itu.

Baginda tetap tidak berubah walaupun keadaan baginda berubah. Sama sahaja baginda bergantung kepada Allah sama ada ketika lemah dan ketika ada kuasa. Manusia ini kadangkala bila susah, memang berharap kepada Allah; tapi bila sudah ada kuasa, mereka bergantung kepada kuasa mereka, bukan? Tapi tidak bagi Nabi Yusuf. Baginda kekal bergantung kepada Allah.

Dan perhatikan di dalam kedua-dua ayat itu, ada disebut tentang orang zalim, sekali ٱلظَّـٰلِمُونَ dan sekali lagi لَّظَـٰلِمُونَ. Jadi ia mesti ada kaitan dengan kalimat مَعَاذَ ٱللهِ kerana ia diletakkan bersama di dalam dua-dua insiden itu. Pengajarannya adalah, kalau tidak bergantung kepada Allah, kita akan menjadi orang yang zalim. Di dalam kedua-dua insiden itu, senang sahaja bagi Nabi Yusuf untuk ikut sahaja mana yang senang, sama ada teruskan berzina dengan isteri Al-Aziz atau mengambil abangnya yang lain. Tapi tidak dilakukan oleh baginda.

Selalunya kita berlindung dengan Allah menggunakan kalimat مَعَاذَ ٱللهِ supaya kita tidak dizalimi oleh orang lain. Tapi di dalam dua ayat ini, ia tentang menzalimi diri sendiri. Kita berlindung dengan Allah supaya tidak menzalimi diri kita sendiri. Ini yang ramai orang tidak perasan. Mereka zalim itu kepada orang lain sahaja tapi lupa bahawa kepada diri kita pun kita boleh berlaku zalim. Iaitu apabila kita melakukan dosa.


 

Sekarang kita lihat pula kaitan antara Ayat 15 dan Ayat 58. Di dalam Ayat 15 Allah berfirman وَأَوحَينَآ إِلَيهِ لَتُنَبِّئَنَّهُم بِأَمرِهِم هَـٰذَا وَهُم لَا يَشعُرُونَ (Kami wahyukan kepada Yusuf: “Sesungguhnya kamu akan menceritakan kepada mereka perbuatan mereka ini, sedang mereka tiada menyedari). Dan sekarang perhatikan bagaimana Allah menzahirkan perkara ini di dalam Ayat 58, وَجَآءَ إِخوَةُ يُوسُفَ فَدَخَلُواْ عَلَيهِ فَعَرَفَهُم وَهُم لَهُ ۥ مُنكِرُونَ (Dan saudara-saudara Yusuf datang lalu mereka masuk ke (tempat)nya. Yusuf mengenal mereka, sedang mereka tidak mengenalinya).

Perhatikan Allah sebut di dalam Ayat 15, وَهُم لَا يَشعُرُونَ (sedang mereka tiada menyedari) dan memang apabila abang-abang itu datang, mereka tidak kenal Nabi Yusuf. Nabi Yusuf yang terus kenal mereka. Akan tetapi wahyu Allah di dalam Ayat 15 itu tidak terpenuhi lagi sepenuhnya kerana لَتُنَبِّئَنَّهُم (engkau pasti akan menceritakan kepada mereka) belum lagi berlaku. Nabi Yusuf tidak terus sembur mereka dengan perbuatan mereka ketika baginda kecil itu. Amat mudah kalau baginda hendak lakukan, di situ sahaja mereka boleh terus kena tangkap dan kena seksa. Akan tetapi Nabi Yusuf mengambil masa yang lama untuk memberitahu mereka. Itu nanti di dalam Ayat 89 baru ia berlaku, قَالَ هَل عَلِمتُم مَّا فَعَلتُم بِيُوسُفَ وَأَخِيهِ إِذ أَنتُم جَـٰهِلُونَ (Yusuf berkata: “Apakah kamu mengetahui (kejelekan) apa yang telah kamu lakukan terhadap Yusuf dan saudaranya ketika kamu tidak mengetahui (akibat) perbuatanmu itu?”)

Tapi sebelum sampai ke Ayat itu, kita belajar banyak perkara yang berlaku. Ini kerana Nabi Yusuf bukan sahaja akan memberitahu mereka, akan tetapi akan memberitahu mereka di dalam keadaan yang mereka akan dapat mengambil pengajaran dan berubah ke arah kebaikan.


 

Dan jangan lupa perhatikan ada persamaan di antara Ayat 18 dan Ayat 83. Di dalam kedua-dua ayat ini ada kalimah yang sama iaitu فَصَبرٌ جَمِيلٌ‌ (maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku)). Kali pertama Nabi Ya’qub mengeluarkan kalimat ini adalah ketika abang-abang Nabi Yusuf membawa berita tipu bagaimana Nabi Yusuf telah dimakan serigala. Tentunya Nabi Ya’qub tidak mempercayai mereka dan baginda mengeluarkan kalimah فَصَبرٌ جَمِيلٌ‌. Sekali lagi di dalam Ayat 83 kita membawa seorang lagi anak kesayangannya telah ‘hilang’ dan abang-abang itu sekali lagi memberikan alasan mereka dan sekali lagi Nabi Ya’qub tidak percaya dan mengeluarkan kalimah فَصَبرٌ جَمِيلٌ‌. Begitulah ia mengajar kita yang kalau dengan orang yang kita tidak boleh beri nasihat lagi, maka dengan mereka itu bersabar sahajalah.

Akan tetapi dua-dua situasi ini tidak sama. Di dalam Ayat 18 memang anak-anaknya itu menipu. Akan tetapi di dalam Ayat 83, mereka berkata benar, bukan? Akan tetapi tetap juga Nabi Ya’qub menggunakan kalimah yang sama, فَصَبرٌ جَمِيلٌ‌. Ia mengajar kita apabila sekali menipu, memang selepas itu orang akan anggap penipu lah sampai ke sudah.

Keduanya, situasi kali kedua ini tidak sama. Kerana itulah selepas Nabi Ya’qub kata فَصَبرٌ جَمِيلٌ‌ itu, baginda kata kalimat berlainan di dalam dua ayat itu. Perhatikan di dalam Ayat 18, baginda sambung dengan berkata: وَاللَّهُ الْمُسْتَعَانُ عَلَىٰ مَا تَصِفُونَ (Dan Allah sajalah yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu ceritakan). Ini kerana mereka memang menipu. Tapi perhatikan di dalam Ayat 83, baginda ada bersikap optimis kerana baginda sebut: عَسَى ٱللَّهُ أَن يَأتِيَنِى بِهِم جَمِيعًا‌ۚ (Mudah-mudahan Allah mendatangkan mereka semuanya kepadaku). Tapi kenapa dalam kedua-dua insiden ini baginda sebut juga kalimat فَصَبرٌ جَمِيلٌ‌? Kerana kali pertama mereka menipu, tapi kali kedua mereka tidak buat apa yang sepatutnya mereka lakukan sebagai ahli keluarga kepada adik mereka itu. Tapi kali kedua ini baginda tidaklah keras sangat dengan mereka kerana baginda mungkin dapat rasa yang mereka jujur kali ini.


 

Sekarang perhatikan Ayat 23 وَرٰوَدَتهُ ٱلَّتِى هُوَ فِى بَيتِهَا عَن نَّفسِهِ (Dan wanita yang Yusuf tinggal di rumahnya menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya) dan Ayat 61 قَالُواْ سَنُرٰوِدُ عَنهُ أَبَاهُ (Mereka berkata: “Kami akan memujuk bapanya untuk membawanya). Di dalam kedua-dua ayat ini ada kalimah yang sama iaitu رٰوَدَ. Di dalam Ayat 23 ia bermaksud ‘menggoda’ dan di dalam Ayat 61 ia bermaksud ‘memujuk’. Ia kalimah yang sama akan tetapi digunakan di dalam konteks yang berbeza. Tapi kenapa digunakan kalimah yang sama? Jadi kalau kita hendak jelaskan, kedua-duanya bermaksud manipulasi. Iaitu cuba untuk mengubah pendirian orang lain supaya mengubah fikiran mereka.

Jadi ini adalah contoh bagaimana manusia lain menggunakan manipulasi untuk mengubah pendirian orang lain. Dan ia digunakan di dalam banyak cara dan keadaan. Mereka yang melakukannya pun berbangga dengan kebolehan mereka melakukannya; perhatikan Ayat 32 apabila isteri Al-Aziz berbangga وَلَقَد رٰوَدتُّهُ ۥ عَن نَّفسِهِۦ (dan sesungguhnya aku telah menggoda dia untuk menundukkan dirinya) dan Ayat 61 apabila abang-abang Nabi Yusuf yakin yang mereka akan berjaya melakukannya وَإِنَّا لَفَـٰعِلُونَ (dan sesungguhnya kami benar-benar akan melaksanakannya).

Jadi ayat-ayat ini mengajar kita untuk berhati-hati dengan cubaan manusia untuk memanipulasi kita.


 

Kita telah membaca tentang ‘telaga’ dan ‘penjara’. Itulah adalah dua tempat yang Nabi Yusuf telah dimasukkan. Maknanya, baginda telah dimasukkan ke dalam kegelapan sebanyak dua kali.

  1. Kegelapan yang pertama adalah kerana benci dan satu kerana cinta. Abang-abangnya memasukkannya ke dalam telaga kerana mereka benci kepadanya; dan baginda dimasukkan ke dalam penjara kerana cinta isteri menteri kepadanya.
  2. Kegelapan yang pertama itu, baginda keluar sebagai hamba dan dari kegelapan yang kedua, baginda keluar sebagai menteri.

Indah sekali dua percanggahan ini dari apa yang terjadi. Tahulah kita bahawa semua yang terjadi adalah dalam iradah Allah.


 

Ada dua kali disebut tentang abang-abang Nabi Yusuf keluar dari tempat tinggal mereka. Sekali untuk bawa Nabi Yusuf keluar dan sekali lagi untuk bawa Bunyamin keluar.

  1. Pada pertama kali abang-abangnya itu keluar, seorang adik mereka berkurang (Nabi Yusuf a.s.). Dan pada kali kedua, seorang lagi adik mereka berkurang iaitu semasa mereka ke Mesir.
  2. Pada kali pertama, mereka memang berniat hendak meninggalkan adik mereka, tapi kali kedua, niat mereka tidak begitu. Walaupun mereka memang tidak berniat meninggalkan adiknya kali kedua tapi Allah tetap juga jadikan begitu. Allah buat apa yang Dia nak buat.

 

Ada dua kali abang-abang itu berbincang semasa mereka:

  1. Kali pertama mereka berbincang macam mana nak membuang seorang adik mereka (Nabi Yusuf)
  2. Dan kemudian mereka mengadakan satu lagi perbincangan untuk menyelamatkan seorang lagi adik (Bunyamin).

Pada kali pertama itu, mereka berbincang kerana mereka rasa ayah mereka lebih sayang kepada satu adik; kali kedua adalah untuk menyelamatkan diri mereka dari dibenci oleh ayah mereka.


 

Ada dua jenis cinta yang memusnahkan dalam surah ini. Kerana cinta yang salah itu dan tidak terkawal, telah menyebabkan kemusnahan: satu, kasih anak kepada ayah dan kedua, kasih wanita cinta kepada lelaki.

  1. Kerana cinta yang salah, terlalu mengharapkan cinta dari ayah, adik beradik itu telah sanggup membuang seorang adik mereka yang mereka rasa menghilangkan kasih ayah mereka kepada mereka. Mencari cinta ayah tidaklah salah, tapi tidaklah sampai menyakiti orang lain.
  2. Kerana terlalu cintakan Nabi Yusuf, isteri menteri itu telah sanggup memberi tekanan kepada baginda; kemudian telah sanggup memasukkan baginda ke dalam penjara.

Begitulah kalau cinta yang tidak terkawal. Ada orang yang ada masalah emosi dan psikologi yang sanggup melakukan perkara-perkara yang di luar tabii manusia yang normal. Hanya kerana hendak mendapatkan kasih orang yang mereka cinta.


 

Dalam kedua-dua kejadian itu ada rancangan yang terlibat untuk mendapatkannya. Dan kedua-dua rancangan itu melibatkan rancangan yang jahat. Abang-abang Nabi Yusuf merancang dengan teliti untuk meninggalkan baginda dalam telaga – mereka menipu ayah mereka, mereka tinggalkan adik mereka dan buat alasan yang menipu; isteri menteri itu telah menunggu masa suaminya tidak ada, kunci semua pintu dan telah menerkam Nabi Yusuf.

Dan kedua-dua kisah itu ada melibatkan ‘baju‘ baginda. Dan dalam kedua-dua kisah itu, baju itu telah menceritakan perkara yang sebenar:

  1. Abang-abang itu telah bawa pulang baju Nabi Yusuf kepada ayah mereka, Nabi Ya’kub. Baju itu berlumuran darah dan mereka kata Nabi Yusuf telah dimakan serigala. Tapi walaupun baju itu berlumuran darah, tapi ianya tidak koyak pun (kalau serigala yang serang dan makan, tentu baju itu juga koyak).
  2. Dalam kes isteri menteri dan Nabi Yusuf, baju juga memainkan peranan yang penting. Baju baginda telah koyak dan seorang saksi dari rumah itu suruh mereka periksa baju itu: koyak di hadapan atau koyak di belakang. Ternyata baju itu koyak di belakang, menunjukkan wanita itulah yang menarik baju itu dari belakang – menunjukkan Nabi Yusuf sebenarnya lari dari wanita itu, bukannya menerkam wanita itu.

 

Surah ini terus bermula dengan kisah berkenaan Nabi Yusuf. Allah tak kenalkan pun siapa Nabi Yusuf itu. Begitulah kadang filem sekarang pun dimulakan dengan kejadian akhir dulu, macam surah ini juga. Ataupun sepanjang kisah disampaikan, kita mula berkenalan sikit demi sedikit dengan siapakah Nabi Yusuf a.s. itu.

Begitu juga Allah tak kenalkan pun siapakah abang-abang baginda juga, tapi kita boleh agak dari awal-awal lagi yang abang-abang  mereka tidak baik akhlak mereka kerana Nabi Ya’qub tidak benarkan Nabi Yusuf menceritakan tentang mimpi baginda itu. Dan kemudian memang kita belajar apa yang mereka lakukan terhadap baginda.

Watak utama dalam surah ini tentunya  Nabi Yusuf. Sepanjang surah ini ianya berkenaan baginda walaupun menceritakan orang  lain. Ada banyak kisah dan semuanya berkait dengan baginda. Satu persatu kita dihidangkan dengan kisah yang menarik. Apabila Nabi Yusuf sudah di Mesir, kisah di kampung tentang Nabi Ya’qub dan anak-anak yang lain tidak disebut lagi. Dan kemudian timbul balik apabila ada interaksi dengan Nabi Yusuf.

Tema yang disentuh dalam surah ini tentunya sesuatu yang paling penting untuk diberi perhatian. Allah menekankan berulang ulang kali yang Allahlah yang dominan dalam setiap perkara, kecil atau besar. Ini kita boleh lihat dalam ayat 21 dan disentuh dalam semua kisah dalam surah ini, وَاللَّهُ غالِبٌ عَلىٰ أَمرِهِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ (Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.)

Allah memberi di sini bahawa Dia berkuasa penuh dalam mengawal. Dan Allah memberitahu dengan jelas apabila menggunakan kalimah غالِبٌ (menguasai). Kalau pihak yang menang di dalam peperangan pun, mereka digelar sebagai غالِبٌ kerana jelas mereka yang menang.

Sekarang perhatikan pula Ayat 100. Di dalam ayat itu Nabi Yusuf bercakap dengan bapanya bagaimana Allah telah merancang semua yang terjadi kepada baginda. Kemudian Nabi Yusuf berkata: إِنَّ رَبّي لَطيفٌ لِما يَشاءُ (Sesungguhnya Tuhanku amat halus tadbirNya bagi apa yang dikehendakiNya;). Di dalam ayat ini juga menyebut tentang perancangan Allah yang merancang akan tetapi kalimah yang digunakan bukanlah غالِبٌ tapi di sini ia adalah لَطيفٌ. Ini kerana kalau manusia yang mengawal, selalu orang yang mengawal itu sentiasa ada di sisi yang dikawal. Allah pula memang sentiasa mengawal, tapi kita tidak nampak Allah ada. Kita tidak perasan yang ada ‘tangan Allah’ dalam mengawal kerana Allah لَطيفٌ dalam perbuatanNya seperti yang disebut dalam ayat 100. Perhatikan penggunaan kalimah غالِبٌ Allah gunakan ketika tidak jelas perancangan Allah. Tapi ketika jelas perancangan Allah itu, digunakan kalimah لَطيفٌ.

Allah memang mengawal dan menguasai tapi dalam masa yang sama Allah amat halus perbuatanNya sampaikan kita tidak perasan. Walaupun kita tak perasan, tapi semua yang berlaku adalah dalam urusan Allah. Lihatlah bagaimana kawan penjaranya lupa untuk beritahu kepada Raja, menteri lupa keluarkan Yusuf dan semua sekali perkara-perkara kecil. Semuanya itu adalah dalam perancangan Allah semata-mata.

Allah buat semua perkara dan Dia mengurus semua kejadian dalam alam ini. Mungkin kadang-kadang ada yang kata: “kenapa Allah tak urus macam yang aku hendak? Kenapa Allah tidak buat yang baik-baik sahaja? Kenapa ada kesengsaraan dalam dunia ini?” Dan sebagainya lagi kata-kata hati manusia. Jadi ini ada masalah dalam kalangan manusia yang tidak faham. Jadi untuk menjawab persoalan ini, ada dua sifat lagi yang disebut dalam surah ini yang mengimbangkan dua sifat tadi (غالِبٌ dan لَطيفٌ). Ini disebut dalam ayat 6:

إِنَّ رَبَّكَ عَليمٌ حَكيمٌ
Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah beritahu yang Dia عَليمٌ dan حَكيمٌ. Allah maha tahu apa yang berlaku dan Dia maha tahu apa yang kita sedang lalui. Tidak ada apa yang berlaku yang Dia tidak tahu. Dan apa yang Dia benarkan terjadi adalah dalam rancanganNya yang maha bijaksana. Kita sahaja tidak tahu kenapa sesuatu perkara itu terjadi. Dan tiga kali disebut tentang sifat عَليمٌ حَكيمٌ dalam surah ini – di awal, tengah dan akhir – di tempat yang kisah yang penting dan kritikal. Ini menunjukkan kepentingan perkara ini.

  1. Di masa awal dalam 6 di atas – Allah hendak memberi harapan kepada Nabi Yusuf.
  2. Di dalam ayat 83  diulang sekali lagi. Ini adalah selepas Nabi Ya’kub menerima berita yang Bunyamin telah ditangkap di Mesir. Baginda menyerahkan kepada Allah kerana Allah itu العَليمُ الحَكيمُ. Baginda sedar yang segala ujian adalah atas kebijaksanaan Allah.
  3. Sekali lagi dua sifat ini diulang dalam 100. Ini adalah selepas baginda dapat berjumpa dengan keluarganya, selepas segala masalah dan dugaan baginda selesai. Baginda mengaku bahawa segala apa yang terjadi, segala dugaan yang baginda dan keluarganya hadapi itu adalah atas perancangan Allah yang العَليمُ الحَكيمُ. Baginda menyebut sebagai pernyataan syukur baginda kepada Allah.

Oleh itu ada 4 sifat Allah (غالِبٌ, لَطيفٌ, عَليمٌ dan حَكيمٌ) yang penting yang kita telah sentuh dalam surah ini. Inilah yang kita patut ingat tentang Allah dalam masa-masa susah. Boleh dikatakan itulah 4 sifat yang kita perlu fahami dan ingat sentiasa. Dan dalam ayat 100 itu disebut semua sekali sifat-sifat ini, tapi satu sifat itu (غالِبٌ) disebut dalam bentuk isyarat sahaja. Kerana bila Allah sebut sifat لَطيفٌ, itu sudah termasuk sifat غالِبٌ itu.


 

Satu lagi tema surah ini adalah tentang kualiti yang setiap Muslim kena ada untuk menangani masa-masa susah. Di dalam ayat 68, Allah memuji Nabi Ya’kub:

وَإِنَّهُ لَذو عِلمٍ لِما عَلَّمناهُ 
Dan sesungguhnya dia mempunyai pengetahuan, kerana Kami telah mengajarkan kepadanya.

Dalam ayat ini, ilmu dan pengetahuan disebut. Apakah yang Nabi Ya’kub tahu? Itulah 4 sifat yang telah disebut di atas (غالِبٌ, لَطيفٌ, عَليمٌ dan حَكيمٌ). Kalau manusia dapat terima dan hayati empat sifat Allah itu, maka akan senanglah untuk menghadapi hidup. Memang tidaklah kehidupan kita senang sentiasa, tapi kita akan lebih tabah untuk menghadapinya dan tidaklah kita teruk sangat.

Nabi Ya’kub tidak mengeluh kerana baginda sudah tahu tentang mimpi Nabi Yusuf itu dan baginda tahu yang mimpi itu akan menjadi kenyataan. Oleh itu baginda telah bersabar dan baginda menunggu sahaja bilakah ia akan terjadi. Baginda yakin kerana baginda tahu yang itu adalah wahyu dan ianya pasti akan terjadi – tunggu masa sahaja.

Dan sifat yang kedua, ilmu sahaja tidak cukup. Selain dari ilmu, kita kena ada tawakal. Dan sifat ini disebut dalam ayat 67

عَلَيهِ تَوَكَّلتُ ۖ وَعَلَيهِ فَليَتَوَكَّلِ المُتَوَكِّلونَ
kepada-Nya-lah aku bertawakkal dan hendaklah kepada-Nya saja orang-orang yang bertawakkal berserah diri

Oleh itu, ini adalah dua perkara (عِلمٍ dan تَوَكِّل) yang perlu ada dalam diri manusia untuk capai kehebatan.


 

Apakah kehebatan yang dimaksudkan? Itulah maqam ‘ihsan’. Dalam kisah Nabi Yusuf ini selalu diulang-ulang dan selalu disebut tentang ‘muhsin’ (orang yang ada ihsan). Ihsan bermaksud orang yang berhati baik. Inilah kehebatan yang kita kena capai dan lawan kepada ihsan adalah buat salah, iaitu ‘zalim’.

Tapi tidaklah boleh terus dapat maqam ihsan itu. Kena lalui proses dahulu. Pertama, kena ada ilmu dan tawakal. Dari ‘ilmu’ dan’ tawakal’ akan keluar ‘taqwa’ dan ‘sabar’. Ini disebut dalam ayat 90:

إِنَّهُ مَن يَتَّقِ وَيَصبِر فَإِنَّ اللَّهَ لا يُضيعُ أَجرَ المُحسِنينَ
Sesungguhnya barang siapa yang bertakwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik

Maka, dari sini kita dapat tahu, yang bahan untuk dapat ihsan adalah dengan taqwa dan sabar. Maksud ‘taqwa’ itu adalah menjaga diri dari melakukan dosa dan taat kepada syariat. Nabi Yusuf kena uji dengan berbagai-bagai dugaan kerana baginda nak jaga diri baginda dari buat dosa. Kerana hendak menjaga diri baginda dari buat dosa, maka baginda telah dikenakan dengan ujian dan setiap kali itu juga baginda bersabar.

Dan sabar itu bukan dalam masa susah sahaja, tapi dalam setiap keadaan, termasuk dalam keadaan ada kelebihan – ingat lagi bila abang-abang dia kutuk dia (semasa mereka tidak tahu yang mereka sedang berhadapan dengan baginda)? Waktu itu baginda boleh sahaja nak kenakan abang-abang baginda, mungkin marah mereka, tapi baginda bersabar sahaja.


 

Surah ini mengajar kita bahawa ada ‘rancangan manusia‘ dan ada ‘rancangan Allah‘. Allah suka kita merancang. Lihatlah bagaimana Allah puji apa yang Nabi Ya’kub lakukan (menasihati anak-anaknya untuk masuk Mesir dari pintu berlainan). Baginda tetap berusaha dalam setiap perkara walaupun baginda tahu yang Allah taqdirkan setiap perkara; baginda tidaklah serahkan kepada Allah sahaja.

Kita tetap berusaha, tapi apabila rancangan kita gagal kerana Allah tidak taqdirkan begitu, waktu itu serahkan sahaja kepada Allah. Dan ada masanya, kadang-kadangan rancangan kita dan rancangan Allah sama dan kita kena bersyukur kerana terjadi seperti yang kita hendak. Dan kalau tak sama, kita tahulah yang Allah itu غالِبٌ (mengalahkan) terhadap apa sahaja yang kita lakukan. Dan kita kena redha dan terima yang rancangan Allah tentu lebih baik.


 

Ada tiga pengajaran tentang kehidupan yang kita boleh ambil dari surah ini:

  1. dugaan – kita tidak dapat nak elak dari menerima ujian dan dugaan hidup. Lihatlah bagaimana seorang Nabi pun kena uji, seorang budak pun kena uji, seorang ayah yang tua pun kena uji. Maka ujian adalah perkara biasa dalam hidup. Kalau kita dapat terima perkara ini, maka tidaklah kita mengeluh sangat bila kita dikenakan dengan ujian. Kerana kita tahu semua orang kena uji, termasuklah kita juga.
  2. pembalasan – pembalasan yang utama adalah di akhirat nanti. Akan tetapi, pembalasan di dunia pun ada juga. Lihatlah bagaimana balasan baik yang Nabi Yusuf a.s. terima. Itu adalah kalau Allah benarkan.
  3. taubat – selagi hidup, pintu taubat masih terbuka. Abang-abang Nabi Yusuf telah buat kesalahan kepada dua orang Nabi (Nabi Yusuf dan Nabi Ya’kub), sedangkan mereka itu sendiri anak seorang Nabi. Jadi tentu mereka tahu yang apa yang mereka lakukan itu salah, tapi mereka tetap lakukan juga. Mereka telah melakukan kesalahan besar, tapi pintu taubat masih terbuka walaupun telah lama. Oleh itu kita tahulah yang sebagai manusia selagi tidak mati, masih ada lagi peluang untuk bertaubat. Maka jangan lepaskan peluang, jangan rasa Allah tak terima taubat sebab sudah banyak sangat dosa.

 

Para Nabi itu menjadi ikutan bagi kita. Dan kita ada banyak sifat Nabi yang kita boleh belajar dari surah ini. Kita telah belajar banyak sifat-sifat manusia dalam surah ini – ada sifat orang jahat dan ada sifat orang yang baik. Ada banyak karektor dalam surah ini tapi yang paling penting adalah Nabi Yusuf dan Nabi Ya’kub. apa yang kita boleh belajar dari mereka? Apakah sifat Nabi Ya’kub?

  • Baginda pandai menilai. Lihatlah bagaimana Nabi Yusuf pendek sahaja sebut tentang mimpi baginda (matahari, bulan dan bintang sujud kepada baginda) dan Nabi Ya’kub sudah tahu apa yang akan terjadi dan apa makna mimpi itu dan apa kesannya kalau abangnya yang lain dapat tahu tentang mimpi itu.
  • Sedar tentang realiti semasa. Baginda kenal siapa anaknya yang baik dan mana yang tidak. Ini menunjukkan yang baginda adalah seorang yang bijak. Tidaklah baginda perasan semua anaknya baik-baik belaka walaupun anak-anak baginda sendiri.
  • Seorang yang sensitif – walaupun baginda redha dengan apa yang terjadi, tapi ujian yang melibatkan anaknya telah menyebabkan baginda menangis sampai buta, tapi dalam masa yang sama baginda sabar. Maknanya, kalau menangis itu, tidaklah bermaksud tidak redha dan sabar. Ini adalah kerana kalau hati kita lembut, kita mudah tersentuh. Ini juga bermaksud, sabar itu tidaklah kena bunuh perasaan kita. Kita masih boleh jadi sedih sebagaimana Nabi Muhammad juga menangis apabila anaknya meninggal. Cuma kita kena pandai jaga emosi kita supaya jangan terlebih.
  • Baginda bijak dan tidak senang ditipu. Apabila anak-anak bawa balik baju Nabi Yusuf yang berlumuran darah, apabila baginda nampak baju itu tidak koyak, dia sudah tahu bahawa anaknya menipu.
  • Ada deria rasa hati yang kuat. Apabila keluar sahaja anak-anaknya dari Mesir dengan baju Nabi Yusuf, baginda sudah dapat rasa kehadiran Nabi Yusuf.
  • Baginda pandai buat rancangan tapi dalam masa yang sama, baginda sedar taqdir Allah. Kita tidaklah menyerah kepada taqdir sahaja, tapi kena berusaha untuk membuat rancangan.

 

Maka itulah sifat Nabi Ya’qub yang kita boleh cuba untuk ikut. Dan apakah pula sifat Nabi Yusuf yang kita boleh belajar dari surah ini?

  • Kerendahan hati – baginda tidak sombong dari kecil lagi. Baginda seorang yang merendah diri. Baginda bercakap baik dengan ayahnya dan berbaik-baik dengan abang-abangnya.
  • Kuat moral – baginda berusaha untuk menjaga diri baginda dari melakukan dosa. Tapi dalam masa yang sama, baginda sedar yang baginda boleh terjatuh dalam dosa bila-bila masa. Tidaklah baginda rasa angkuh yang baginda tidak mungkin buat dosa. Baginda sedar yang baginda juga ada nafsu. Baginda sedar yang baginda adalah manusia. Kita pun kena tahulah kelemahan dan kekuatan kita. Kita kena tahu yang kita semua ada nafsu dan sedar yang ia boleh menjerumuskan kita ke lembah kehinaan. Apabila kita sedar perkara ini, maka kita bolehlah berhati-hati. Tidaklah kita bermain-main dengan perkara yang boleh menyebabkan kita gagal. Kalau nafsu kita kepada perempuan itu tinggi, maka kita janganlah berkumpul dan bermesra dengan mereka.
  • Kuat menjalankan dakwah – lihatlah bagaimana apabila ada peluang sahaja, baginda akan terus sampaikan dakwah – lihatlah dakwah baginda dalam penjara.
  • Keyakinan diri – baginda tidak malu untuk sampaikan agama. Dan yakin dengan kemampuan dan kelebihan baginda sampai baginda meminta dilantik sebagai menteri kewangan. Oleh itu, kita kena sedar yang ada masa kita kena rendahkan diri kita dan ada masa kita kena yakin dan kena letak diri kita di hadapan kerana memang kita layak.
  • Sedar kepentingan maruah – dalam baginda mempertahankan dan membersihkan nama baik baginda, baginda tidak malukan maruah tuannya kerana tuannya itu yang telah jaga baginda dari kecil; baginda juga sedar tentang kepentingan maruah sampaikan baginda tidak ambil peluang untuk dapat keluar dari penjara, dengan maruahnya masih tercalar. Baginda hanya mahu keluar setelah kesnya didengari dan dibuat keputusan oleh Raja. Baginda juga menjaga maruah abang-abangnya dan tidak memburukkan mereka.

 

Apakah kaitan kisah Nabi Yusuf ini dengan perjuangan dakwah Nabi Muhammad?

  • Nabi Yusuf cuba mengikut jejak langkah ayahnya Nabi Ya’kub – Nabi Muhammad pula melakukan perkara yang sama dengan datuknya Nabi Ibrahim a.s.
  • Nabi Yusuf telah ditolak oleh abang-abangnya – Nabi menerima nasib yang sama dengan kaum baginda.
  • Nabi Yusuf dihalau dari tempat tinggalnya – begitu juga dengan Nabi Muhammad yang dihalau dari Mekah, juga tempat tinggal baginda.
  • Nabi Yusuf akhirnya menguasai abang-abangnya – begitu juga Nabi Muhammad apabila dapat menguasai Mekah.
  • dan banyak lagi persamaan antara mereka.

Sekarang kita lihat kaitan Surah Yusuf dengan Sirah Nabi Muhammad

Kemaskini: 8 April 2026


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Keindahan Susunan Ayat-ayat Surah Yusuf

Pengenalan

Kenapa kita perlu meneliti kaitan antara ayat-ayat di dalam Al-Qur’an?

Allah adalah sebaik-baik daripada semua penutur. Dan semua ucapan tertakluk kepada organisasi. Semua ucapan, walaupun satu perkataan, adalah sebuah organisasi daripada beberapa huruf. Dari beberapa huruf itu membentuk satu perkataan. Dan setiap ayat ialah susunan kata-kata yang memberi makna apabila diletak bersama-sama. Setiap perenggan ialah organisasi beberapa ayat. Dan setiap bab adalah sebuah organisasi daripada perenggan. Setiap buku merupakan sebuah organisasi daripada beberapa bab yang disusun satu persatu. Dan setiap buku adalah sebahagian dari subjek yang merupakan sebuah organisasi dari pelbagai buku-buku yang membincangkan satu topik yang sama. Buku satu, buku dua, buku tiga, buku empat dan seterunya. Dan dari banyak subjek ia boleh menjadi perpustakaan supaya semua pengetahuan manusia dapat dikongsikan bersama. Perhatikan semua ini bermula dengan susunan secara harfiah satu huruf selepas huruf yang lain, bukan? Dan ini merupakan sesuatu yang diilhamkan oleh Ilahi.

Kita tidak mampu mereka sendiri bahasa. Allah telah beritahu kita yang Dia lah yang telah mengajarkan manusia dengan bahasa. Allah berfirman di dalam Rahman:4

عَلَّمَهُ الْبَيَانَ
Dia lah yang telah mengajar manusia berkata-kata.

Dan sudah tentu anda pernah lalui di dalam mana-mana pendidikan, guru yang paling berkesan yang pernah anda belajar darinya adalah yang paling teratur dalam ucapan mereka. Kalau dapat guru yang merapu, anda pun tidak boleh faham apa yang dia sampaikan. Apabila seseorang bercakap dengan anda dan anda boleh kesan kata-kata mereka yang terdapat permulaan, pertengahan, dan akhir. Apabila anda mendengar seseorang bercakap, mereka mempunyai cara yang jelas untuk menyampaikan semua idea mereka, tentu anda senang faham. Jadi sesuatu penceritaan melibatkan organisasi kata dan ayat-ayat yang baik, tersusun cantik. Ini kerana struktur dan organisasi perkataan dalam ucapan merupakan komponen yang diperlukan berkomunikasi dengan baik. Tetapi jika ucapan tidak mempunyai organisasi, sekejap cakap A kemudian melompat ke D, tentu kita lelah untuk memahaminya, bukan?

Sebaik mana pun kata-kata manusia yang puitis, sehebat mana pun buku yang ditulis, tidaklah dapat menandingi kehebatan Kalam Allah. Imam al-Baihaqi pernah berkata:

“Kelebihan kalamullah (ucapan Allah) berbanding kalam makhluk adalah seperti kelebihan (perbezaan) Allah di atas makhluk-Nya.”

Hamiduddin Farahi (seorang ulama besar dari India, m. 1930) membawa revolusi dalam cara kita melihat struktur teks Al-Qur’an. Beliau terkenal dengan teori Nazm al-Qur’an (Keserasian/Susunan al-Qur’an). Sebelum Farahi, ramai sarjana beranggapan bahawa ayat-ayat al-Quran kadangkala melompat-lompat topiknya tanpa kaitan yang jelas. Farahi menolak pandangan ini sekeras-kerasnya. Kata Farahi:

“Bagaimana mungkin Allah yang telah menyusun tulang-temulang di dalam tubuh manusia dengan begitu teliti, dan menyusun bintang-bintang di langit dengan perkiraan yang tepat, akan membiarkan firman-Nya (al-Qur’an) turun tanpa susunan dan kaitan antara satu ayat dengan ayat yang lain?”

Kalau kita membaca terjemahan Al-Qur’an, memang kita tidak akan nampak susunan yang indah di dalam Al-Qur’an. Ini adalah kerana Al-Qur’an mempunyai susunannya yang tersendiri, bukan seperti susunan manusia yang kita boleh nampak dengan mudah. Kalau kita ada satu pandangan yang susunan ayat kena begini dan begitu, ia tidak boleh dipakai pada Al-Qur’an, kerana susunan ayat-ayat di dalam Al-Qur’an adalah susunan tuan punya perkataan, iaitu Allah sendiri.

Jadi ayat-ayat di dalam Al-Qur’an berkait antara satu sama lain. Kadang-kadang ia tidak jelas kelihatan kerana ia bukan duduk di dalam satu ayat yang sama. Sebagai contoh, Allah sebut Nabi Musa di dalam satu surah, kemudian memberi penjelasan lain tentang baginda di dalam surah yang lain. Maka kita kena baca kesemua ayat tentang Nabi Musa untuk memahami apa yang terjadi. Contoh lain Allah sebut syirik di satu tempat dan kemudian menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan syirik di tempat yang lain. Jadi kita tidak boleh faham ayat Al-Qur’an dengan hanya melihat satu tempat sahaja.

 

Kaitan Antara Permulaan dan Penutup Surah

Sekarang mari kita lihat kaitan antara pembukaan Surah Yusuf (prolog) dan penutupnya (epilog). Prolog Surah Yusuf adalah Ayat 1 – 3 dan Epilog Surah Yusuf adalah Ayat 102 – 111. Selain darinya (Ayat 4 – 110) adalah kisah baginda.


 

Dan kita boleh pecahkan lagi kepada beberapa bahagian lagi supaya kita nampak keindahan kaitan antara dua bahagian ini. Pertamanya kita kaitkan antara Ayat 1 – 2 dengan Ayat 111.

Di dalam Ayat 1, Allah menyebut tentang Al-Qur’an dengan menekankan bahawa ia adalah wahyu Ilahi. Digunakan kalimah تِلكَ (itu) sebagai isyarat ketinggian Al-Qur’an itu. Ia ada di Lauh Mahfuz dan kerana itu digunakan istilah ٱلكِتَـٰبِ yang merujuk kepada kitab yang di langit itu. Ia menekankan kemuliaan Al-Qur’an. Dan kemudian disebut sifat Al-Qur’an iaitu ia adalah ٱلمُبِينِ. Kalimah ٱلۡمُبِينِ ini di dalam bentuk Lazim (Intransitif) dan Muta’addi (Transitif). Ini bermaksud bahawa ia adalah kitab yang jelas. Mesejnya jelas, arahannya jelas, panduannya jelas. Tetapi ia bukan sahaja jelas, ia juga menjelaskan. Menjelaskan. Apakah perbezaan antara jelas dan menjelaskan?

Jikalau kita baca sesuatu dan apa yang kita baca itu jelas, kita akan senang faham. Maksudnya ia jelas. Kemudian apa yang kita baca itu pula menjelaskan sesuatu perkara. Ini bermaksud ia menjelaskan. Jika ia menjelaskan, ia memberi cahaya pada perkara-perkara lain. Ia beza antara terang dan menerangi. Apabila sesuatu bilik terang, maknanya saya boleh nampak apa yang berlaku di dalam bilik itu. Maksud bilik itu menerangi bermakna ruang tamu pun dinyalakan oleh bilik ini. Oleh itu, Al-Quran itu jelas pada dirinya sendiri dan ia juga menjelaskan. Al-Qur’an menjelaskan apa yang perlu hamba lakukan dalam pelbagai situasi. Ia menjelaskan bagaimana emosi anda perlu dikawal. Ia juga menjelaskan bahawa ia adalah Kalam Allah. Ia terus menjelaskan bahawa ia bukan tulisan manusia tapi datang dari Ilahi.

Di dalam Ayat 2, Allah menyebut Al-Qur’an itu adalah قُرءٰنًا (bacaan). Kalau di dalam Ayat 1 tadi disebut ia adalah ٱلكِتَـٰبِ (tulisan). Bacaan tidak sama kesannya dengan tulisan, bukan? Jadi dalam tulisan pun ada, dalam bacaan pun ada. Dan Allah tambah dengan kata ia adalah bacaan عَرَبِيًّا (di dalam Bahasa Arab). Dan kemudian Allah sebut tujuannya adalah لَّعَلَّكُم تَعقِلونَ (agar kamu memahaminya). Digunakan bahasa yang mudah difahami, bahasa yang indah. Tujuannya supaya kita boleh faham menggunakan apa? Menggunakan akal.

Sekarang kita lihat pula Ayat 111. Tapi bukanlah keseluruhan ayat tapi bahagian kedua dari ayat itu. Allah kata Al-Qur’an itu مَا كَانَ حَدِيثً۬ا يُفۡتَرَىٰ (bukanlah cerita yang direka) dan ini menguatkan firmanNya di dalam Ayat 1 تِلكَ yang memberi isyarat bahawa Al-Qur’an adalah kalam Ilahi dan sekarang di dalam Ayat 111 Allah memberitahu lagi yang ia bukan rekaan.

Di dalam Ayat 111, Allah memberitahu تَصدِيقَ ٱلَّذِى بَينَ يَدَيهِ (membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya) dan bukankah di dalam Ayat 1 Allah telah memberitahu yang Al-Qur’an adalah kitab yang المُبينِ (yang menjelaskan)? Ia dilakukan dengan memperbetulkan kisah-kisah yang telah diubahsuai di dalam kitab-kitab yang ada pada Ahli Kitab. Yang mana benar, disabitkan dan yang mana tidak benar, telah diperbetulkan oleh Al-Qur’an yang bersifat المُبينِ.

Ayat 1 menggunakan kalimah المُبينِ dan Ayat 111 menggunakan kalimah تَفصِيلَ. Kedua-dua kalimah ini mengandungi makna ‘menjelaskan’. Dan kedua-duanya memberi makna pemisahan dan penyambungan. Iaitu untuk menjelaskan sesuatu, kena dibezakan dan diletakkan kaitan antara perkara yang berbeza untuk memberi penjelasan.

Di dalam Ayat 111 Allah menyebut tentang هُدًى (petunjuk). Bagaimana untuk mendapat هُدًى ini? Allah telah berikan syaratnya di dalam Ayat 2 iaitu تَعقِلونَ (kalian berfikir). Kerana hanya dengan berfikirlah baru seseorang dapat mengambil petunjuk yang Allah telah sediakan di dalam Al-Qur’an. Dan apabila mendapat petunjuk itu, apa yang pemikir Al-Qur’an akan dapat? Itulah telah diberitahu رَحمَةً yang akan diberikan kepada mereka yang mahu. Syarat utamanya adalah kena menggunakan akal.

Tapi bagi siapa? Di dalam Ayat 111 disebut لِقَومٍ يُؤمِنُونَ (bagi kaum yang mahu beriman). Dan mereka ini adalah golongan yang sama juga disebut di dalam Ayat 2 iaitu mereka yang mahu berfikir تَعقِلونَ. Mereka yang mahu mengukuhkan iman mereka hendaklah berfikir kerana iman itu turun dan naik. Dan cara untuk menaikkan iman adalah dengan ilmu. Semakin banyak ilmu seseorang, semakin tinggi imannya.


 

Sekarang kita perhatikan bahagian awal dari Ayat 3. Allah berfirman نَحنُ نَقُصُّ عَلَيكَ أَحسَنَ القَصَصِ (Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik). Frasa ini memberikan pelbagai makna. Ini bermakna yang terbaik daripada semua cerita. Ini bermaksud kaedah terbaik untuk menceritakan kisah. Ia bermaksud bahagian-bahagian yang paling indah dalam cerita dan versi cerita yang paling indah, kerana terdapat juga versi yang hodoh, yang ada di luar sana, yang beredar di dunia.

Kemudian perhatikan bahagian pertama dari Ayat 111 لَقَد كَانَ فِى قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِّأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ‌ (Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal). Perhatikan kaitan di antara dua bahagian ini kerana kedua-duanya ada kalimah قَصَصِ, bukan? Di dalam Ayat 3, Allah mengatakan kisah itu kisah yang paling indah, dan di hujungnya, Allah beritahu kenapa ia paling indah, kerana ia ada عِبرَةٌ. Di permulaan surah, Allah sudah beritahu bahawa kisah inilah kisah yang paling indah dan akhirnya setelah kisah itu siap disampaikan, barulah sekarang Allah jelaskan kenapa ia indah.


 

Sekarang perhatikan bahagian terakhir Ayat 3 بِمَآ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ هَـٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ وَإِن ڪُنتَ مِن قَبۡلِهِۦ لَمِنَ ٱلۡغَـٰفِلِينَ (dengan mewahyukan Al Qur’an ini kepadamu, dan sesungguhnya kamu sebelum (Kami mewahyukan)nya adalah termasuk orang-orang yang belum mengetahui).

Dan perhatikan permulaan Ayat 102 ذٰلِكَ مِن أَنۢبَآءِ ٱلغَيبِ نُوحِيهِ إِلَيكَ‌ۖ وَمَا كُنتَ لَدَيهِم (Demikian itu (adalah) di antara berita-berita yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad); padahal kamu tidak berada pada sisi mereka). Di dalam kedua-dua bahagian ini kalimah wahyu iaitu أَوۡحَيۡنَآ dan نُوحِيهِ. Di dalam kedua-dua bahagian ini juga Allah menyebut ketidaktahuan Nabi Muhammad iaitu وَإِن ڪُنتَ مِن قَبۡلِهِۦ لَمِنَ ٱلۡغَـٰفِلِينَ dan وَمَا كُنتَ لَدَيهِم.

Di permulaan surah Allah gunakan ismul isyarah هَـٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ yang bermaksud dekat, dan di hujung Allah gunakan ismul isyarah yang bermaksud jauh ذٰلِكَ. Ini adalah kerana walaupun Nabi Muhammad sudah diwahyukan dengan Al-Qur’an itu, tapi jangan lupa yang ia datangnya dari jauh, dari Allah yang di langit tinggi.

Dan perhatikan di setiap bahagian itu ada ditambah dengan kalimah إِذ (ketika). Pertamanya, Nabi Muhammad pasti tidak tahu ketika Nabi Yusuf bercakap dengan bapanya Nabi Ya’qub. Dan di hujung Allah sebut Nabi Muhammad tidak ada ketika abang-abang Nabi Yusuf bersepakat di dalam rancangan mereka.

Yang hebatnya adalah di dalam dua-dua bahagian ini ada kalimah yang sama. Yang menambahkan keindahan penceritaan ini. Kalau kita bercakap, kita tidak boleh susun pun kata-kata kita kalau tidak ada skrip. Tapi Allah bukanlah macam kita. Dan para sahabat sendiri mungkin tidak perasan perkara ini. Kerana mereka menerima Al-Qur’an secara auditori (قُرۡءَٲنًا) tetapi kita sekarang menerima Al-Qur’an lebih kepada bentuk pembacaan (ٱلۡكِتَـٰبِ). Mendengar dan membaca memberi kesan berbeza kepada pelajar. Jadi kerana itu bagus kalau kita sekali sekala membaca, tapi jangan lupa juga untuk mendengar bacaan Al-Qur’an.


 

Ayat 103 – 110

Kita telah bincangkan tentang kaitan antara permulaan dan pengakhiran surah ini. Di tengah-tengahnya Allah selitkan Ayat 103 – 110 sebagai pengajaran. Seolah-olah Ayat 102 terus bersambung dengan Ayat 111.

ذٰلِكَ مِنۡ أَنۢبَآءِ ٱلۡغَيۡبِ نُوحِيهِ إِلَيۡكَ‌ۖ وَمَا كُنتَ لَدَيۡہِمۡ إِذۡ أَجۡمَعُوٓاْ أَمۡرَهُمۡ وَهُمۡ يَمۡكُرُونَ (١٠٢) لَقَدۡ كَانَ فِى قَصَصِہِمۡ عِبۡرَةٌ لِّأُوْلِى ٱلۡأَلۡبَـٰبِ‌ۗ مَا كَانَ حَدِيثً۬ا يُفۡتَرَىٰ وَلَـٰڪِن تَصۡدِيقَ ٱلَّذِى بَيۡنَ يَدَيۡهِ وَتَفۡصِيلَ ڪُلِّ شَىۡءٍ۬ وَهُدًى وَرَحۡمَةً لِّقَوۡمٍ يُؤۡمِنُونَ (١١١)

Dan di tengah-tengahnya ada Ayat 103 – 110. Kenapa Allah selit ayat-ayat itu di sini? Ia datang selepas sahaja Allah sebut perancangan abang-abang Nabi Yusuf وَمَا كُنتَ لَدَيۡہِمۡ إِذۡ أَجۡمَعُوٓاْ أَمۡرَهُمۡ وَهُمۡ يَمۡكُرُونَ (padahal kamu tidak berada pada sisi mereka, ketika mereka memutuskan rencananya (untuk memasukkan Yusuf ke dalam sumur) dan mereka sedang mengatur tipu daya.) Dan kemudian Allah terus bercakap tentang golongan Quraisy Mekah. Seolah-olah Allah hendak memberitahu Nabi Muhammad, bukan sahaja abang-abang Nabi Yusuf sahaja yang membuat rancangan, tapi ‘abang-abang’ Rasulullah dari kalangan Quraisy juga sedang membuat membuat rancangan terhadap baginda termasuk rancangan untuk membunuh baginda. Bukan sahaja keluarga baginda dari kalangan Bani Ismail (orang Arab) tapi keluarga baginda dari jalur Nabi Ibrahim iaitu Bani Israil juga sedang membuat rancangan terhadap baginda. Allah memberitahu yang golongan Quraisy dan juga Bani Israil itu tidak akan beriman, walaupun baginda hendak sangat mereka beriman.

Kalau kita perhatikan ayat-ayat ini, ia di dalam bentuk khitab kepada seorang. Ini adalah kerana Allah sebenarnya mula-mula bercakap kepada Nabi Muhammad. Akan tetapi ia juga dipanjangkan kepada kita juga, sebagai pembaca Al-Qur’an. Ayat-ayat itu kita telah tafsirkan sebelum ini jadi kita beri ringkasan sahaja di sini. Kalau perasan, ayat-ayat di dalam gugusan ini adalah teguran dari Allah kepada Musyrikin Mekah ketika itu, tentang betapa degilnya mereka.

Ayat 103: Segala banyak tanda-tanda yang Allah telah berikan di dalam alam ini, mereka tetap juga tidak mahu beriman.

Ayat 104: Teruknya mereka itu menolak dakwah Nabi Muhammad, sedangkan bukan baginda minta duit mereka pun.

Ayat 105: Penolakan kepada Nabi Muhammad, bukanlah perkara baru, kerana Allah sendiri mereka telah pernah tolak.

Ayat 106: Dan kalau pun ada yang beriman, iman mereka tidak sempurna, kerana tetap mereka mensyirikkan Allah. Mereka kenal Allah, tahu Allah itu Tuhan, akan tetapi mereka sembah dan berdoa kepada berhala, kepada para Malaikat, kepada orang mati yang mereka anggap sebagai wali.

Ayat 107: Walaupun mereka telah melakukan syirik, akan tetapi mereka rasa selamat sahaja. Ini kerana mereka berharap bantuan dari entiti-entiti yang mereka sembah dan minta tolong seperti para malaikat yang mereka anggap sebagai anak Tuhan, para wali yang telah mati yang mereka anggap boleh membantu mereka. Mereka rasa mereka selamat kerana mereka sangka para malaikat, berhala dan wali itu semua akan ‘payung’ mereka. Kesannya, mereka tidak takut melakukan dosa kerana mereka sangkap mereka akan selamat.

Ayat 108: Oleh kerana mereka itu sangka yang mereka juga melakukan kebaikan atas amalan-amalan mereka, maka Nabi Muhammad disuruh memberitahu manakah jalan yang benar, iaitu jalan yang baginda ikuti. Dan Nabi Muhammad disuruh untuk menekankan yang baginda tidak akan melakukan syirik.

Ayat 109: Apa yang Nabi Muhammad sampaikan itu bukanlah perkara baru tapi itulah juga yang telah disampaikan oleh para Rasul zaman berzaman sebelum baginda. Jadi boleh rujuk sejarah dan perhatikan kesan akibat bagi kaum yang menolak Rasul mereka, apabila mereka dimusnahkan. Umat-umat terdahulu lagi hebat rumah-rumah mereka dari penduduk Mekah itu, tapi mudah sahaja Allah hancurkan. Lihatlah piramid yang sampai sekarang teguh berdiri, tapi penduduknya telah dimusnahkan lama dahulu. Jadi kalau mahu rumah yang kekal abadi, kejarlah rumah di syurga.

Ayat 110: Yang manusia perlukan adalah keselamatan. Sebab itu kita ada rumah, bukan? Akan tetapi keselamatan yang sebenarnya adalah dari Allah. Dan keselamatan itu adalah di akhirat. Allah yang menentukan siapa yang akan diselamatkan. Yang pasti, yang penjenayah tidak akan selamat.


 

Komposisi Cincin

Di dalam Ayat 3, kita telah jelaskan apakah Komposisi Cincin itu. Dan sepanjang tafsir surah ini, kita telah senaraikan Komposisi tersebut. Sebenarnya ada cincin di dalam cincin. Iaitu kita akan buatkan pula cincin untuk Ayat 103 – 110 ini. Tak tahulah pembaca boleh faham ke tidak dengan cincin-cincin ini semua. Kalau tidak faham, boleh skip sahaja. Ia lebih kepada menjadi nota buat saya kerana setiap posting saya akan baca semula sekurang-kurangnya 7 kali (spaced repitition) dalam masa 6 bulan. Dan saya akan rujuk semula setiap kali saya mengajar.

Kaitan antara Ayat 103 & 110. Kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun kita bersungguh-sungguh dakwah kepada mereka. Begitulah yang telah dihadapi oleh para Rasul. Apakah kesan emosi kepada para Rasul? Sehingga para Rasul itu rasa mereka didustakan, nampak seperti tidak ada harapan. Akan tetapi Allah akan beri kemenangan kepada para Rasul itu. Yang selamat akan diselamatkan, dan yang tetap degil akan diberikan dengan azab, dan mereka tidak dapat menolak azab itu.

Kaitan antara Ayat 104 & 109. Para Rasul dan pendakwah tidak meminta upah atau bayaran pun di dalam dakwah mereka mengajak orang beriman kepada Tauhid. Yang mereka mahukan adalah balasan pahala dan ‘upah’ di akhirat kelak dan itulah yang lebih baik. Jadi di sini ia mengajar kita tentang apakah yang lebih penting dan berharga, balasan di dunia atau di akhirat? Tentulah di akhirat lebih baik dan lebih kekal.

Kaitan antara Ayat 105 & 109. Allah menyebut tentang kebanyakan manusia yang tidak mengendahkan tanda-tanda pada langit dan bumi. Oleh kerana itu mereka telah mensyirikkan Allah. Dan bukan sahaja mereka tidak mengendahkan tanda-tanda pada alam, mereka juga mengendahkan para Rasul yang diutuskan kepada mereka. Dan kesan dari penolakan mereka itu apa? Ramai yang telah dikenakan azab pada tempat tinggal mereka, yang orang kemudian boleh perhatikan. Ia sebagai peringatan kepada orang yang datang kemudian.

Kaitan antara Ayat 106 & 108. Allah memberitahu bahawa kebanyakan manusia yang beriman itu, mereka beriman dalam melakukan syirik. Maknanya bukanlah mereka tidak kenal Allah, tidak sembah Allah. Mereka kenal dan mereka beriman dengan Allah. Tapi iman mereka tidak sempurna. Mereka tidak beriman dalam Tauhid kerana mereka masih juga melakukan syirik. Ini sama sahaja dengan Musyrikin Mekah yang kenal Allah tapi di dalam masa yang sama, menyembah berhala. Jadi Iman dan Tauhid tidak semestinya seiring. Ramai yang keliru tentang hal ini sampaikan ada yang melakukan syirik tanpa sedar. Maka Nabi Muhammad disuruh menegaskan tentang jalan baginda iaitu jalan Tauhid yang tidak melakukan syirik.

Ayat 107 pula boleh dibahagikan kepada dua jenis kejadian: azab dan Hari Kiamat. Ada dua Takhwif yang Allah sebut, sama ada Takhwif Dunawi atau Takhwif Ukhrawi. Inilah dua perkara yang Allah selalu ancam kepada pembaca Al-Qur’an supaya beringat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ringkasan kisah Nabi Yusuf ini.

Kemaskini: 31 Mac 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 111 (4) Al-Qur’an adalah Rahmat

وَرَحمَةً لِقَومٍ يُؤمِنونَ

dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.

Sekarang kita sampai kepada frasa yang terakhir dalam surah ini. Al-Qur’an mengandungi banyak rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Jadi kalau kita mahukan rahmat daripada Allah ‎ﷻ, rujuklah Al-Qur’an. Untuk mengambil manfaat daripadanya, kenalah belajar tafsir Al-Qur’an. Jadi apa rahmat sebenarnya? Kita selalu sebut-sebut seperti juga kita sebut Al-Qur’an itu petunjuk tetapi kita telah jelaskan yang ia bukanlah sesuatu yang mudah disebut sahaja tanpa difahami.

Kita amat mengharapkan rahmat daripad Allah ﷻ. Ingatlah bahawa kita tidak akan dapat masuk syurga dengan amalan kita. Akan tetapi kita hanya dapat memasuki syurga dengan rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Jadi, kita memang mengharapkan sangat rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Ini jelas daripada hadith Rasulullah ﷺ,

عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلَا يُجِيرُهُ مِنْ النَّارِ وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ
Daripada Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا dia berkata: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Tidak seorang pun daripada kalian yang dimasukkan syurga oleh amalnya dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat daripada Allah.”

(Riwayat Muslim No. 5042)

Ada banyak cara disebut untuk mendapatkan rahmat, antaranya dengan mendengar dan belajar maksud Al-Qur’an seperti disebut di dalam A’raf:204

وَإِذا قُرِئَ القُرءآنُ فَاستَمِعوا لَهُ وَأَنصِتوا لَعَلَّكُم تُرحَمونَ
Dan apabila Al-Qur’an itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.

Begitulah pentingnya pelajaran tafsir Al-Qur’an ini kerana ia mengandungi banyak sekali rahmat yang tidak terkira. Allah ‎ﷻ sendiri telah beritahu di dalam Isra’:82

وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلقُرءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌ وَرَحمَةٌ لِّلمُؤمِنِينَ‌ۙ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّـٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارًا
Dan Kami turunkan daripada Al Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.

Sekali lagi disebut di dalam Yunus:57

يٰأَيُّهَا النّاسُ قَد جاءَتكُم مَّوعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُم وَشِفاءٌ لِّما فِي الصُّدورِ وَهُدًى وَرَحمَةٌ لِّلمُؤمِنينَ
Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.

Bagaimana kita boleh cuba memahami rahmah ini? Mari kita bincangkan tentang rahim seorang ibu. Ada kaitan antara Rahmah (kasih sayang) dan Rahim (organ kandungan ibu). Ia adalah salah satu keajaiban bahasa Arab yang paling menyentuh jiwa. Hubungan ini bukan sekadar kebetulan linguistik, tetapi ia adalah satu Tafṣīl (perincian) tentang bagaimana Tuhan memperkenalkan sifat-Nya kepada manusia.

Dari sudut bahasa, perkataan Rahmah (رحمة) dan Rahim (رحم – kandungan) berasal daripada akar kata yang sama, iaitu ر ح م. Dalam sebuah Hadith Qudsi yang sangat masyhur, Allah ﷻ berfirman:

قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: أَنَا اللَّهُ، وَأَنَا الرَّحْمَنُ، خَلَقْتُ الرَّحِمَ، وَشَقَقْتُ لَهَا اسْمًا مِنِ اسْمِي، فَمَنْ وَصَلَهَا وَصَلْتُهُ، وَمَنْ قَطَعَهَا بَتَتُّهُ
“Allah عَزَّ وَجَلَّ berfirman: ‘Akulah Allah, dan Akulah Ar-Rahman. Aku telah menciptakan Ar-Rahm (rahim/hubungan kekeluargaan), dan Aku telah memecahkan (mengambil) untuknya satu nama yang terbit daripada nama-Ku. Maka sesiapa yang menyambungnya (silaturrahim), Aku akan menyambung (rahmat-Ku) dengannya; dan sesiapa yang memutuskannya, Aku akan memutuskan (rahmat-Ku) daripadanya.'”

Sunan Abu Daud No. 1694 dan Sunan al-Tirmidzi No. 1907. Imam al-Tirmidzi menilai hadith ini sebagai Hadith Hasan Sahih; Al-Adab al-Mufrad (Imam al-Bukhari No. 53)

Apakah persamaan sifat Rahim dan rahim seorang ibu?

1. Perlindungan Total. Sebagaimana bayi dalam rahim dilindungi daripada gegaran dan bahaya, Rahmah Allah meliputi hamba-Nya daripada kehancuran. Sebagaimana bayi dalam rahim itu tidak sedar, begitu juga manusia tidak sedar segala rahmah dan kasih sayang Allah ﷻ menjaga kita. Allah ﷻ menjaga kita tanpa kita sedari pun. Sekarang ada kemalangan kenderaan yang sedang berlaku tetapi anda selamat sahaja. Ada gempa bumi di merata tempat, tetapi anda sekarang tenang-tenang sahaja. Ada orang yang dijangkiti penyakit, tetapi anda sihat-sihat sahaja. Inilah rahmah Allah kepadamu.

2. Pemberian Tanpa Syarat. Bayi dalam rahim menerima oksigen dan zat di dalam rahim ibunya tanpa perlu meminta atau bekerja. Begitulah Rahmah Allah; Dia memberi nafas dan rezeki kepada semua, termasuk yang belum beriman. Kebanyakan manusia tidak minta pun, tetapi Allah ﷻ tetap beri.

3. Kesempitan yang Menghidupkan. Rahim itu sempit, tetapi di situlah kehidupan bermula. Begitu juga ujian hidup; ia mungkin terasa sempit, tetapi di sebaliknya ada Rahmah yang sedang membentuk jiwa kita. Kita mungkin hanya nampak rahmah Allah apabila kita diberi dengan nikmat, kita diberi dengan perlindungan. Akan tetapi rahmah Allah datang kepada kita dalam berbagai bentuk. Ada kalanya ia datang dalam bentuk ujian dan kesusahan.

4. Hubungan yang Tidak Terputus. Tali pusat menghubungkan ibu dan anak. Begitu juga “tali” Rahmah yang menghubungkan hamba dengan Penciptanya.

Semua makhluk mendapat rahmah sebenarnya, manusia atau haiwan, beriman atau kufur, baik atau jahat, berjanggut atau tidak, menutup aurat atau tidak, semuanya dapat rahmah Allah. Kerana kalau tidak dapat rahmah, sudah lama mereka mati. Akan tetapi, bagi orang beriman, ada rahmah tambahan yang tidak ada tolok bandingnya. Apakah ia? Allah ﷻ berfirman di dalam Rahman:1-3

ٱلرَّحۡمَـٰنُ (١) عَلَّمَ ٱلۡقُرۡءَانَ (٢) خَلَقَ ٱلۡإِنسَـٰنَ (٣)
(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmat-Nya. (1) Dialah yang telah mengajarkan Al-Quran. (2) Dialah yang telah menciptakan manusia. (3)

Lihat susunan ayat ini. Allah ﷻ sebut Dia beri Al-Qur’an dulu, kemudian baru sebut nikmat kita dijadikan. Kalau ikut susunan kita, tentulah kita dijadikan – kemudian baru diberikan dengan Al-Qur’an, bukan? Namun, ayat ini tidak mengikuti susunan kronologi, tetapi susunan keutamaan. Apabila Allah ﷻ sebut Dia jadikan kita, segala nikmat kehidupan seperti makan, minum, pasangan, keselamatan termasuk di dalam kategori ini. Akan tetapi, segala nikmat itu tidak dapat mengatasi nikmat mendapat Al-Qur’an dan diberi kefahaman Al-Qur’an. Kita sedar tentang nikmat kehidupan pun setelah kita mengenal Al-Qur’an, bukan? Kerana di dalam Al-Qur’an barulah kita sedar yang segala pemberian Allah ﷻ adalah kerana Allah ﷻ sayang kepada kita. Bagi kita, kita rasa nikmat itu biasa sahaja, kita entitled kepada segala nikmat itu. Seolah-olah kita memang layak mendapat segala nikmat ini, tanpa sedar diri ini adalah sekadar hamba yang hina tiada apa-apa jika tiada rahmat daripada Allah ﷻ.

Jadi Al-Qur’an ini mengandungi rahmat. Namun, kalau kita baca Al-Qur’an, adakah jelas rahmat Allah? Sekali baca, tidak nampak sangat. Kerana di dalamnya Allah ﷻ menceritakan tentang neraka, tentang kaum yang dimusnahkan zaman berzaman. Allah ﷻ bercerita tentang ujian itu dan ini. Mana rahmatnya? Ada yang tidak faham hal ini. Sampaikan, ada yang murtad kerana apabila mereka baca Al-Qur’an, mereka rasa ini Tuhan yang garang, ganas dan tidak sayang makhluk, sebab asyik cerita neraka sahaja, azab sahaja.

Itulah sebabnya tidak cukup untuk belajar memahami Al-Qur’an melalui baca terjemahan sahaja. Kalau kita belajar tafsir, kita akan tahu bahawa Allah ﷻ menceritakan tentang segala azab itu semua adalah sebagai peringatan kepada kita. Dan memberi peringatan itu sendiri adalah Rahmat! Kalau kita tidak tahu, tentulah kita akan langgar sahaja, bukan? Maka dengan Rahmat-Nya, Allah ﷻ beritahu siap-siap kalau tidak buat itu dan ini, maka balasannya adalah neraka yang orang berdosa akan dimasukkan ke dalamnya. Bayangkan kalau ada ribut yang akan datang, adakah kita akan senyapkan sahaja daripada orang yang kita sayang? Tentu tidak, bukan? Kita akan beritahu akan ada ribut yang akan datang supaya dia membuat persiapan untuk menyelamatkan diri.

Kalau kita jahil dan otak sempit, kita mungkin nampak rahmah itu dalam bentuk yang sedap dan senang sahaja. Cuba bayangkan seorang ibu yang menegur kesalahan anak yang degil, yang tidak mahu belajar. Mungkin ibu itu merotan anak itu, marah pada anak itu, tidak membenarkannya bermain lagi di luar rumah. Adakah itu ibu yang tidak sayang anak? Orang otak sempit mungkin fikir begitu. Kerana mereka itu marah kepada Allah ﷻ yang menghukum hamba yang berdosa. Kerana itu, mereka marah kepada Allah ﷻ yang selalu bercerita tentang azab dan tentang neraka. Otak mereka ini otak budak-budak sahaja, kerana budak-budak juga marah ibu mereka yang cuba mendisiplinkan mereka, bukan?

Dunia ini adalah ujian. Dunia ini juga ada undang-undang. Ada hukum alam seperti graviti dan ada hukum tindak balas. Sebagai contoh, kalau tidak jaga alam, maka alam akan rosak, hidup akan susah. Begitu juga kalau buat dosa, ada kesannya kepada diri kita. Allah ﷻ tidak menghalang kita daripada membuat kerosakan, membuat dosa; akan tetapi Allah ﷻ telah beritahu awal-awal yang kalau buat dosa, ada kesannya. Bukannya Allah ﷻ tidak beritahu dan tiba-tiba ngap Dia belasah kita.

Sayang dan kasih kepada seseorang bukannya dengan memberikan sahaja segala apa yang orang yang dikasihi itu minta. Kerana ada benda yang tidak sesuai diberikan kepada semua. Kalau kita anggap orang sayang kepada kita itu akan memberi apa sahaja yang kita minta, maka itu adalah pemahaman kasih sayang yang salah, yang bengkok. Dan kita telah belajar tentang kasih yang bengkok dalam Surah Yusuf ini, bukan? Tentang abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang hendak mencuri kasih sayang bapa mereka daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ; tentang isteri Al-Aziz yang hendak merosakkan hidup Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana terlalu sayang kepadanya dan mahukan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk dirinya walaupun dengan cara yang salah. Ini semua adalah pemahaman kasih sayang dan cinta yang bengkok. Yang malangnya dipegang oleh ramai manusia. Kerana apa? Kerana mereka tidak menjadikan wahyu sebagai panduan hidup. Mereka menurut apa yang nafsu mereka cakap sahaja. Mereka sangka apa yang nafsu minta itu tentu bagus, mereka tidak tahu tentang nafsu kerana, kerana apa? Sekali lagi, kerana jauh daripada wahyu Allah. Jauh daripada wahyu Allah akan menjadikan manusia bodoh sangat.

Kerana itu, ramai yang mengeluh hidup mereka susah, ujian mereka tidak berhenti, mereka dizalimi dan berbagai lagi kepayahan hidup. Mereka mula rasa Allah ‎ﷻ tidak sayang mereka, atau lebih teruk, Tuhan tidak ada! Dek kerana itu, ramai yang menjadi ateis. Mereka lihat kesusahan dalam hidup ini dan mereka kata: “Takkan ada Tuhan yang sanggup buat begitu, Tuhan mesti tidak ada!” Ini kerana mereka lihat pada mata luaran sahaja. Maka bagi kita orang Muslim, kita ada kisah-kisah seperti kisah Nabi Yusuf ‎عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini yang mengajar kita bahawa hidup ini tidak semestinya indah sepanjang masa. Lihatlah ujian yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hadapi; adakah dengan segala ujian yang baginda hadapi itu bermakna Allah ‎ﷻ tidak sayang kepada baginda? Takkan Allah ‎ﷻ tidak sayang baginda, namun semua ujian itu adalah untuk mempersediakan baginda.

Sedia untuk apa? Mungkin anda akan jawab, sediakan baginda untuk menjadi Raja Mesir dan menyelamatkan rakyat Mesir daripada mati kebuluran, bukan? Ya, itu setakat di dunia sahaja. Namun, ada yang lebih penting lagi. Perhatikan apa kata Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam Ayat 101,

أَنتَ وَلِىِّۦ فِى ٱلدُّنيَا وَٱلأَخِرَةِ‌ۖ تَوَفَّنِى مُسلِمًا وَأَلحِقنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ
Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh.

Perhatikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebut: وَلِىِّۦ فِى ٱلدُّنيَا وَٱلأَخِرَةِ‌. Bukannya ٱلدُّنيَا sahaja tetapi yang lebih penting adalah ٱلأَخِرَةِ‌. Kerana itu, sambungan doa baginda adalah تَوَفَّنِى مُسلِمًا وَأَلحِقنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ. Ini kerana Allah ‎ﷻ mempersediakan baginda untuk menghadapi kebaikan di akhirat. Dunia ini sementara sahaja, namun akhiratlah tempat yang lebih penting bagi kita. Yang kita selalu sibuk adalah kesenangan di dunia sahaja, sedangkan sepatutnya kita lebih patut prihatin tentang keadaan dan nasib kita di akhirat kelak.

Kita jarang nampak perkara ini, tetapi yang memberi pencerahan kepada kita adalah Al-Qur’an. Ini seperti kita yang melihat dari tempat yang rendah; tentu kita tidak nampak banyak. Namun, kalau kita naik ke bukit yang tinggi, maka kita akan nampak lebih jauh dan lebih banyak. Maka begitulah Al-Qur’an meninggikan kita dan memberikan pandangan yang berbeza bagi kita. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Mujadilah:11

يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَٰتٍۢ
“Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”

Ilmu apa yang diperlukan dan dimaksudkan di dalam ayat ini? Itulah ilmu wahyu daripada Allah ‎ﷻ. Apabila kita selalu meneliti ayat-ayat Al-Qur’an ini, maka ia akan memberi pemahaman tentang bagaimana Allah ‎ﷻ mendidik dan menjaga kita. Kerana itulah, jangan kita lihat Al-Qur’an ini sebagai kitab hukum hakam sahaja, buat itu dan jangan buat ini sahaja, sebaliknya lihatlah Al-Qur’an ini sebagai pemberi pencerahan kepada kita. Yang membimbing kehidupan kita setiap saat.

Namun begitu, siapakah yang akan dapat pemahaman ini? Allah ‎ﷻ kata لِقَومٍ يُؤمِنُونَ. Adakah orang tertentu sahaja? Tidak, kerana Allah ‎ﷻ gunakan kalimah قَومٍ di dalam bentuk nakirah (umum) jadi ia boleh jadi sesiapa sahaja. Bukannya Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah القوم yang bermaksud golongan tertentu sahaja. Jadi anda, saya, sesiapa sahaja boleh mendapat pemahaman ini.

Dan yang lebih cantik lagi, Allah ‎ﷻ menggunakan kalimat لِقَومٍ يُؤمِنونَ dan bukannya لِقَومٍ مؤمِنونَ. Kalimah يُؤمِنونَ adalah di dalam bentuk fi’il mudhari‘. Kalimah قَومٍ nakirah dan kalimah يُؤمِنونَ pula mudhari‘, jadi ia menjadi satu kalimah yang agak kompleks. Ini kerana fi’il mudhari‘ adalah sesuatu yang tidak lengkap. Contohnya, fi’il mudhari‘ digunakan jikalau saya sedang makan, dan ini bermakna saya belum habis makan lagi. Saya masih lagi makan dan sedang menghabiskan makanan saya, bukan? Jadi kalimat قَومٍ يُؤمِنونَ bermaksud bukanlah orang yang telah lengkap beriman, telah pasti imannya, telah tetap imannya, tetapi ia merujuk kepada orang yang mahu beriman, masih lagi bertatih-tatih memperbaiki imannya. Kadang-kadang imannya naik, tetapi kadang-kadang ia turun. Kemudian naikkan kembali dengan melakukan amal kebaikan. Ini adalah kita yang masih lagi tergoda dengan keindahan keduniaan, namun masih berharap supaya Allah ‎ﷻ membaiki iman kita, tetapkan iman kita. Maknanya kita yang sedang berusaha, orang yang ‘mahu’ beriman, bukannya telah pasti beriman.

Oleh itu, Al-Qur’an ini bukanlah untuk golongan wali sahaja, golongan yang sudah kuat imannya, tetapi Al-Qur’an ini untuk kita. Kita yang masih lagi berusaha untuk memperbaiki iman kita. Maka janganlah ada yang berkata tidak boleh belajar tafsir Al-Qur’an ini bagi golongan awam. Memang golongan awamlah yang kena belajar tafsir Al-Qur’an ini bagi pandai sikit agama ini. Kepada kita inilah Al-Qur’an menjadi  هُدًى dan رَحمَةً. Dan memang kita perlukan dua perkara ini.

Jadi kalimah لِقَومٍ يُؤمِنونَ (bagi orang yang mahu beriman) menjadi satu jemputan, ajakan kepada orang-orang yang mahu beriman. Allah ‎ﷻ sedang menjemput, marilah baca dan cuba fahami apa yang Dia sampaikan kepada kita. Mungkin asalnya tidak faham, namun lama-kelamaan, Allah ‎ﷻ akan beri kefahaman itu. Yang penting kita kena ada usaha.

Allah ‎ﷻ menjemput kepada apa? Kepada keamanan. Kerana kalimah يُؤمِنونَ daripada ا م ن yang daripadanya lahir beberapa pecahan kata:

    • Amn (أمن): Ketenteraman, hilangnya rasa takut, rasa selamat.
    • Amanah (أمانة): Kepercayaan, integriti, sesuatu yang dititipkan untuk dijaga.
    • Iman (إيمان): Membenarkan dengan hati, mengakui kebenaran, memberi keamanan.
    • Mu’min (مؤمن): Orang yang beriman, DAN juga salah satu Nama Allah (Al-Mu’min) yang bermaksud Maha Pemberi Keamanan.

Jadi sebenarnya perbuatan “beriman” membawa maksud “memberi keamanan kepada diri sendiri”. Aman daripada Kegelisahan (Mental): Orang yang beriman meletakkan pergantungan kepada Allah ‎ﷻ (Tawakal). Apabila dia percaya ada kuasa yang Maha Besar menjaga urusannya, secara automatik rasa takut dan bimbang (khauf) akan terhapus. Dia juga akan rasa aman daripada Azab (Spiritual): Iman menjadi perisai yang menyelamatkan hamba daripada huru-hara hari akhirat. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam An’am:82 tentang hubungan iman dan aman ini

ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَلَمْ يَلْبِسُوٓا۟ إِيمَٰنَهُم بِظُلْمٍ أُو۟لَٰٓئِكَ لَهُمُ ٱلْأَمْنُ وَهُم مُّهْتَدُونَ
“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman, mereka itulah orang-orang yang mendapat Keamanan dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Ini membawa kita kepada psikologi kegembiraan. Bolehkah kita berasa gembira tanpa rasa aman? Ada orang yang cuba menutup ketidakamanan itu dengan bermain game, berjalan ke sana sini, menonton Netflix dan sebagainya. Dan mereka kata mereka gembira. Namun, adakah mereka benar-benar gembira? Mereka hanya menutup sahaja kesedihan dalaman yang mereka ada. Apa yang mereka tidak ada? Mereka tidak memiliki iman yang memberi keamanan. Dan dari mana datang iman itu? Allah ﷻ berfirman di dalam Yunus:57

يٰأَيُّهَا النّاسُ قَد جاءَتكُم مَّوعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُم وَشِفاءٌ لِّما فِي الصُّدورِ وَهُدًى وَرَحمَةٌ لِّلمُؤمِنينَ
Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.

Perhatikan apa yang disebut Allah ﷻ tentang Al-Qur’an di dalam ayat ini. Perhatikan, Allah ﷻ mengatakan Al-Qur’an adalah مَّوعِظَةٌ (nasihat). مَّوعِظَةٌ adalah jenis nasihat yang masuk ke dalam hati. Dan kemudian Allah ﷻ menambahkan dengan mengatakan Al-Qur’an itu شِفاءٌ لِّما فِي الصُّدورِ (penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada). Jadi, Al-Qur’an bukanlah kitab yang mengajar sejarah sahaja, hukum hakam sahaja; tetapi Al-Qur’an adalah penyembuh penyakit dalam hati kita. Siapa yang tahu tentang hati kita? Allah ﷻlah yang menjadikan kita dan hati kita, dan Allah ﷻ  tahu apa masalah yang ada di dalam hati kita. Maka Allah ﷻ juga ada penyembuhnya.

Dan selepas itu Allah ﷻ menyebut dua perkara yang sama seperti disebut di dalam Ayat 111 ini, iaitu sifat Al-Qur’an sebagai هُدًى وَرَحمَةٌ. Dan yang lebih menarik lagi adalah ayat selepasnya (Ayat 58) iaitu Allah ﷻ berfirman,

قُل بِفَضلِ اللَّهِ وَبِرَحمَتِهِ فَبِذٰلِكَ فَليَفرَحوا هُوَ خَيرٌ مِّمّا يَجمَعونَ
Katakanlah (wahai Muhammad) “kedatangan Al-Qur’an itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayang-Nya, maka dengan isi kandungan Al-Qur’an itulah hendaknya mereka bersukacita, kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan)”.

Perhatikan kalimah فَليَفرَحوا (hendaknya mereka bersukacita). Kita sedang sebut tentang kegembiraan, bukan? Maka inilah sahaja satu-satunya ayat di dalam Al-Qur’an yang Allah ﷻ menyebut tentang bergembira. Hanya dengan menggunakan Al-Qur’an yang dapat menyembuhkan hati kita, barulah kita boleh benar-benar mendapat kegembiraan sejati. Dan ini sangat berharga, sangat berharga kerana Allah ﷻ sambung, هُوَ خَيرٌ مِّمّا يَجمَعونَ (ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan). Manusia menghimpun bermacam-macam hal seperti kekayaan, pengikut, pingat dan segalanya, akan tetapi itu tidak layak dibandingkan dengan kegembiraan yang Allah ﷻ beri dengan Al-Qur’an ini.

Manusia menggunakan berbagai-bagai cara untuk menghilangkan kegelisahan di dalam hati mereka. Antaranya yang selalu manusia lakukan adalah dengan menonton filem, bukan? Kerana selama sejam dua itu kita menghilangkan diri di dalam kisah-kisah rekaan itu. Akan tetapi, apa bezanya dengan kisah di dalam Al-Qur’an? Antaranya kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang kita baru habiskan ini. Kisah-kisah di dalam Al-Qur’an ini bukan sahaja kisah tentang umat terdahulu, akan tetapi ia tentang kita, bukan? Kerana apabila kita baca kisah mereka, kita bandingkan dengan diri kita, kerana ada kaitan antara mereka dan kita. Kita kena ambil pengajaran daripada pengalaman mereka. Jadi ini bukan rekaan, kisah main-main yang kita tonton di dalam filem.

Kerana itulah Allah ‎ﷻ kata لَقَد كَانَ فِى قَصَصِهِم عِبرَةٌ (Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran). Ini bukan kisah kosong. Pertamanya untuk siapa? لِأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ‌ (bagi orang-orang yang mempunyai akal yang suci) dan kemudian Allah ‎ﷻ bagi ia untuk siapa lagi? لِقَومٍ يُؤمِنُونَ (bagi kaum yang mahu beriman). Dua golongan ini adalah golongan yang sama sahaja. Ini kerana orang yang Ulul-Albab bukanlah bermakna orang yang sudah hebat imannya; mereka masih orang yang sedang memperbaiki iman mereka. Mereka orang yang di dalam perjalanan; masih jauh lagi perjalanan mereka. Namun, mereka sudah memulakan perjalanan itu.

Maka hendaklah kita memberi perhatian kepada Al-Qur’an ini. Ia adalah pemberian rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Bayangkan, bagi umat yang terdahulu yang menentang Nabi mereka, Allah ‎ﷻ musnahkan mereka. Sebaliknya bagi Quraisy Mekah yang menentang Nabi Muhammad ﷺ dan umat manusia sekarang, Allah ﷻ tidaklah  musnahkan lagi. Sebaliknya Allah ﷻ memberi Al-Qur’an kepada kita untuk mendidik kita. Allah ﷻ boleh sahaja musnahkan kita, bukan? Sebagaimana guru sekolah menggunakan kekerasan seperti merotan apabila pelajar nakal, Allah ﷻ juga boleh buat begitu. Namun ada guru yang tidak merotan anak murid mereka sebaliknya hanya memberi nasihat yang lembut. Maka begitulah juga Allah ﷻ menasihat kita dengan menggunakan Al-Qur’an ini. Tidakkah itu rahmat?


 

Maka sekarang lengkaplah segala topik Surah Yusuf ini. Ayat 111 ini adalah sebagai penutup kepada apa yang telah disebut di awal surah. Allah ﷻ berfirman di dalam Ayat 1-3:

الٓر‌ۚ تِلۡكَ ءَايَـٰتُ ٱلۡكِتَـٰبِ ٱلۡمُبِينِ (١) إِنَّآ أَنزَلۡنَـٰهُ قُرۡءَٲنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُمۡ تَعۡقِلُونَ (٢) نَحۡنُ نَقُصُّ عَلَيۡكَ أَحۡسَنَ ٱلۡقَصَصِ بِمَآ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ هَـٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ وَإِن ڪُنتَ مِن قَبۡلِهِۦ لَمِنَ ٱلۡغَـٰفِلِينَ (٣)
Alif, Laam, Raa`. Ini ialah ayat-ayat Kitab Al-Qur’an yang menyatakan kebenaran. (1) Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Qur’an yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kalian memahaminya. (2) Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Qur’an ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah daripada orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya. (3) 

Pada permulaan, Allah ﷻ sebut نَحۡنُ نَقُصُّ عَلَيۡكَ أَحۡسَنَ ٱلۡقَصَصِ (Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah) dan di penghujungnya Allah ﷻ sebut ia bukan setakat kisah sahaja akan tetapi فِى قَصَصِهِم عِبرَةٌ (di dalam kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran). Ini penting kerana di dalam kisah-kisah itu kita belajar ujian demi ujian yang diterima oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Semua itu membawa kepada pengakhiran yang baik dan indah. Orang yang أُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ‌ akan dapat menilai bahawa ujian di dalam kehidupan juga adalah cara Allah ﷻ menguji kita dan di penghujungnya ada pengajaran. Jadi mereka akan tenang sahaja dengan ujian dan musibah yang mereka terima.

Di permulaan, Allah ﷻ menyebut لَّعَلَّكُمۡ تَعۡقِلُونَ (supaya kalian memahaminya). Di hujung surah, Allah ﷻ sebut siapa yang akan memikirkannya iaitu أُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ‌ (orang-orang yang mempunyai akal yang suci).

Di permulaan surah, Allah ﷻ menekankan hal-hal yang menekankan kejelasan iaitu ٱلۡمُبِينِ (menjelaskan kebenaran), قُرۡءَٲنًا عَرَبِيًّا (Qur’an yang dibaca dengan bahasa Arab) dan sekarang Allah ﷻ sebut di penghujungnya yang akan memahaminya adalah أُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ‌.

Kita telah sebut tentang Komposisi Cincin di dalam Ayat 3. Dan sekarang telah lengkap cincin bagi surah ini seperti di bawah.

 

Kuiz Kefahaman (Jawapan Pendek)

Sila jawab soalan-soalan berikut berdasarkan maklumat yang terdapat dalam teks sumber. Setiap jawapan hendaklah terdiri daripada 2 hingga 3 ayat sahaja.

  1. Apakah maksud linguistik bagi kalimah Ibrah (عِبرَةٌ) dan bagaimanakah ia berkaitan dengan air mata?
  2. Mengapakah kalimah Qasas (قَصَصِ) digunakan dalam bentuk mufrad (tunggal) walaupun merujuk kepada banyak kisah nabi?
  3. Siapakah yang dimaksudkan dengan golongan Ulul Albab menurut huraian teks?
  4. Jelaskan mengapa Al-Qur’an disebut sebagai Hadith (حَديثًا) walaupun ia merupakan kalam Allah yang sedia kala (Qadim).
  5. Bagaimanakah teks membuktikan bahawa Nabi Muhammad ﷺ tidak meniru atau “ciplak” kisah Nabi Yusuf daripada kitab Bani Israil?
  6. Apakah maksud konsep “bercerai tetapi bersambung” dalam konteks kalimah Tafsil (تَفصيلَ)?
  7. Sebutkan dua daripada empat syarat utama untuk menjadikan Al-Qur’an sebagai petunjuk (Hudan) dalam kehidupan.
  8. Apakah perkaitan antara sifat Rahmah (kasih sayang) Allah dengan organ kandungan ibu (Rahim)?
  9. Mengapakah peringatan tentang azab dan neraka dalam Al-Qur’an juga dianggap sebagai satu bentuk rahmat?
  10. Bagaimanakah kalimah Yu’minun (يُؤمِنونَ) memberi harapan kepada orang awam yang imannya masih belum sempurna?

 

Glosari Istilah Utama

Istilah
Definisi
Ibrah (عِبرَةٌ)
Pengajaran yang mendalam; secara literal bermaksud menyeberangi atau berpindah dari penglihatan zahir kepada kefahaman batin.
Ulul Albab (أُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ)
Golongan yang memiliki akal yang suci dan matang; “Albab” bermaksud isi atau teras buah yang melambangkan hakikat kebenaran.
Hadith (حَديثًا)
Berita, percakapan, atau sesuatu yang baharu; digunakan untuk merujuk kepada Al-Quran dan juga kata-kata serta perbuatan Nabi ﷺ.
Tafsil (تَفصيلَ)
Penjelasan yang terperinci; proses memisahkan bahagian-bahagian ilmu supaya jelas perbezaannya namun tetap saling berhubungan.
Hudan (هُدًى)
Petunjuk; dalam bentuk isim masdar yang menunjukkan Al-Quran itu adalah zat petunjuk itu sendiri secara mutlak.
Rahmah (رَحمَةً)
Kasih sayang dan belas kasihan; sifat Allah yang memberi perlindungan, rezeki, dan pengampunan kepada makhluk-Nya.
Tadabbur (تَدَبُّر)
Perenungan yang mendalam terhadap ayat-ayat Al-Quran untuk memahami maksud dan mengambil pengajaran bagi tujuan amalan.
Fitrah (فِطْرَة)
Sifat asal manusia yang suci sejak lahir, yang cenderung kepada kebenaran dan ketauhidan sebelum dipengaruhi faktor luar.
If-tara (افترى)
Mengada-adakan dusta atau melakukan rekaan; merujuk kepada perbuatan mengubah kisah benar menjadi palsu.
Amn (أمن)
Ketenteraman atau rasa selamat; akar kata bagi “Iman” yang membawa maksud bahawa beriman itu memberi keamanan kepada jiwa.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ringkasan kisah Nabi Yusuf ini.

Kemaskini: 26 Mac 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 111 (3) (Apa maksud Al-Qur’an sebagai petunjuk?)

وَهُدًى

dan petunjuk 

Al-Qur’an ini mengandungi petunjuk untuk kita hadapi kehidupan kita di dunia ini. Dan kita selalu sebut tentang Al-Qur’an menjadi petunjuk bagi kita; namun adakah kita memahaminya? Atau adakah kita hanya sebut sahaja tanpa memahaminya dengan lebih mendalam?

Pertamanya, kita lihat penggunaan kalimah هُدًى di sini. Kalimah هُدًى adalah dalam bentuk isim masdar (kata terbitan). Allah ‎ﷻ tidak menggunakan kalimah dalam bentuk fi’il يَهْدِي (memberi petunjuk) sebaliknya Allah ‎ﷻ terus kata هُدًى (petunjuk). Untuk susunan biasa, kita katakan: ‘Al-Qur’an memberi petunjuk’ tetapi bukan itu yang Allah ‎ﷻ gunakan, sebaliknya Allah ‎ﷻ menggunakan: Al-Qur’an petunjuk. Ini ada menyentuh balaghah sedikit. Sekiranya يَهْدِي yang digunakan, ia menunjukkan perbuatan yang terikat dengan masa. Ia bermaksud “sedang atau akan memberi petunjuk”. Sedangkan apabila digunakan هُدًى yang di dalam bentuk  Isim Masdar, ia menunjukkan sifat jati diri atau hakikat sesuatu.

Dalam kaedah bahasa Arab, menggunakan Masdar untuk menyifatkan sesuatu dipanggil sebagai bentuk Mubalaghah (hyperbole). Sebagai contoh: Jika anda kata “Zaid itu adil (Aadil)”, itu sifat biasa. Tetapi jika anda kata “Zaid itu adalah Keadilan (Adlun)”, ia bermaksud seluruh diri Zaid itu melambangkan keadilan. Begitu juga dengan Al-Qur’an. Allah ‎ﷻ tidak hanya kata Al-Qur’an itu “memberi petunjuk” (Haadin), tetapi Al-Qur’an itu adalah “Hudan” (Ibu bagi segala petunjuk). Segala hidayah terpancar daripadanya. Oleh itu, apabila Allah ‎ﷻ menyifatkan Al-Qur’an sebagai هُدًى, ia bermaksud Al-Qur’an itu adalah “Petunjuk” itu sendiri. Ia bukan sekadar “alat” yang memberi petunjuk kadang-kala, tetapi zatnya, hurufnya, dan maknanya adalah sumber hidayah yang mutlak dan tidak berubah oleh masa.

Bagaimana kita boleh memahami perkara ini? Bagaimana cara Al-Qur’an memberi petunjuk itu?

Baik, kita pun tahu di dalam dunia ini terdapat banyak bidang seperti perubatan, perundangan, psikologi, ekonomi, politik, sosial, dan banyak lagi. Setiap bidang ini ada pakarnya, bukan? Ada sumber rujukannya seperti buku, laporan kajian, contohnya. Ada bahagian Sejarah, Bahasa, Sains dan sebagainya. Selain daripada bidang-bidang ini, kalau kita pergi ke kedai buku, ada bahagian agama atau spiritual, bukan? Di antara rujukannya adalah kitab Al-Qur’an. Al-Qur’an diletakkan di situ kerana kalau masuk bahagian perubatan tidak boleh, bahagian perundangan pun tidak boleh, bukan? Akan tetapi siapakah Penulis Al-Qur’an sebenarnya? Allah ‎ﷻ adalah Penulisnya. Ada manusia dan buku tentang perubatan, tetapi Allah ‎ﷻ lah penyembuh. Ada yang pakar dalam psikologi tetapi Allah ‎ﷻ yang mencipta otak dan minda dan emosi kita ini, bukan? Jadi, segala ilmu yang ada dalam dunia ini, Allah ‎ﷻ lebih pakar daripada yang paling pakar, bukan?

Allah ‎ﷻ memberikan jenis petunjuk yang menerangi. Ia menerangi semua bidang yang lain. Sebagai contoh, ia menerangi pemikiran kita mengenai politik. Ia menerangi pemikiran kita mengenai penjagaan diri mahupun kesihatan mental. Al-Qur’an memberi bimbingan rohani yang benar-benar membantu kita mendapatkan arah yang betul dalam mana-mana bidang. Ia memberikan pandangan yang memastikan bahawa bidang tersebut mempunyai tujuan dan arah yang baik. Ini kerana semua bidang penyelidikan dan kajian manusia seumpama pedang bermata dua. Contohnya anda boleh belajar fizik dan mencipta perkara yang luar biasa seperti kereta, tetapi di dalam masa yang sama, anda boleh boleh juga mencipta bom nuklear, bukan? Jadi sains itu buta. Ia tidak mempunyai arah sejak dari mula lagi. Oleh itu, supaya ia mempunyai arah yang selamat, maka kena ada panduan daripada Al-Qur’an.

Kitalah yang kena memandu sains itu. Wahyu akan mengajar bagaimana menggunakan sains dalam cara yang benar-benar memberi manfaat kepada manusia. Tanpa panduan wahyu, sains boleh pergi ke mana-mana arah yang berbeza. Psikologi juga boleh pergi ke mana-mana arah yang berbeza, terapi boleh pergi ke mana-mana arah yang berbeza. Ini kerana ia tidak mempunyai cahaya yang perlu dipatuhi. Ini bahaya kerana apabila ia tidak ada panduan, ia boleh menjadi sesuatu yang buruk, gelap. Jadi semua bidang memerlukan cahaya, dan cahaya itu ialah cahaya wahyu Allah, iaitu petunjuk. Jadi agama bukanlah kena cerita lengkap tentang sains, psikologi, perubatan dan sebagainya, tetapi cukup sebagai pemandu dan pemberi cahaya sahaja.

Ramai yang sudah mula hendak menggunakan Al-Qur’an sebagai sumber panduan hidup, ramai yang sudah mula menyertai kelas tafsir Al-Qur’an dan memulakan halaqah pengajian dan tadabbur. Alhamdulillah, manusia semakin kenal Al-Qur’an dan sudah ada usaha untuk membumikan Al-Qur’an kepada masyarakat Islam di Malaysia ini. Sebelum kita mula menjadikan Al-Qur’an sebagai panduan hidup, ada beberapa syarat yang kita boleh perhatikan. Ini adalah petikan daripada tulisan Amin Ahsan Islahi. Ini bukanlah proses cara belajar tetapi persediaan hati sebenarnya. Persediaan sebelum kita mula belajar tafsir dan tadabbur Al-Qur’an.

 

1. Kemurnian Niat

Keikhlasan niat adalah yang paling utama daripada semua syarat yang lain. Ini bermakna seseorang harus membaca dan mempelajari tafsir Al-Qur’an hanya untuk mendapatkan bimbingan daripadanya dan bukan untuk apa-apa maksud yang lain. Maknanya kita hendaklah memurnikan niat kita, jaga niat kita jangan terpesong. Mungkin menjaga niat ini perkara biasa sahaja bagi kebanyakan orang, akan tetapi kalau kita tidak berhati-hati, niat kita mungkin boleh tertukar. Jika seseorang mempunyai tujuan lain dalam fikiran, dia bukan sahaja akan dilucutkan daripada keberkatan Al-Qur’an, tetapi dia juga boleh dijauhkan daripada Al-Qur’an, malah lebih jauh dari sebelum ini.

Sebagai contoh, jika niat seseorang itu mengkaji Al-Qur’an untuk menjadi seorang ahli tafsir supaya dia boleh mendapat kemasyhuran dan kepentingan keduniaan, dia mungkin mencapai sasaran ini, maka dia tidak akan sampai kepada kefahaman sebenar Al-Qur’an. Begitu juga, jika seseorang mengkaji Al-Qur’an untuk mempertahankan hujah yang dia telah pegang sebelum itu lagi, dia mungkin berjaya menang menggunakan hujah itu setelah diputarbelitkan, dan dia mungkin menang berdebat, tetapi harga yang dia kena bayar adalah dia tidak akan dapat memahami Al-Qur’an sepenuhnya. Dan dia tidak akan dibimbing dengan Al-Qur’an. Nampak bagaimana niat boleh berubah?

Sekarang kita ada banyak kumpulan, bukan? Setiap kumpulan, sekolah, madrasah, mazhab, mempertahankan fahaman mereka menggunakan Al-Qur’an. Setiap kumpulan rasa merekalah yang paling benar, paling mempertahankan agama Islam ini, paling tersyurga sekali. Mereka sudah hafal mana ayat yang menyokong kumpulan mereka, yang mereka akan bacakan di setiap perdebatan. Namun, bayangkan kalau pihak lawan tiba-tiba memberikan ayat Al-Qur’an yang menjatuhkan pegangan mereka? Bagaimanakah sikap mereka ketika itu? Adakah mereka tetap berpegang dengan kumpulan dan ustaz yang menjadi pegangan, atau ketika itu Al-Qur’an menjadi pembimbing? Ketika itulah kita semua diuji sama ada untuk mempertahankan kumpulan atau mempertahankan iman.

Sebenarnya kita kena pegang apa yang Al-Qur’an kata. Pegangan kumpulan kita, mazhab kita, ustaz dan guru kita, boleh sahaja berubah-ubah. Kita tidak disuruh fanatik kepada mana-mana kumpulan. Kefanatikan itu akan menjerumuskan ke lembah kehinaan. Guru kita mungkin sahaja tersilap kerana mereka juga manusia. Maka jangan pertahankan sangat manusia yang mungkin mereka pun tidak mempertahankan anda. Yang terlebih penting adalah iman yang perlu dijaga, Al-Qur’an perlu ditinggikan melebihi mana-mana kumpulan. Kumpulan anda tidak ada apa-apa nilai sebenarnya berbanding Al-Qur’an. Kita kena ada kefahaman ini dahulu sebelum berhujah dan berdebat. Kerana perdebatan bukanlah mempertahankan kumpulan sendiri, tetapi hendak mencari kebenaran!

Allah ‎ﷻ telah menghadiahkan Al-Qur’an sebagai kitab bimbingan dan telah memupuk keinginan untuk mendapatkan bimbingan dalam setiap jiwa. Oleh itu jika seseorang mengkaji Al-Qur’an daripada keinginan untuk mendapatkan bimbingan, dia akan meraih hasil mengikut usaha yang dikeluarkan dan tentunya dengan bantuan Allah ‎ﷻ. Akan tetapi jika dia berhasrat kerana motif lain, pada dasarnya, dia juga akan mendapat apa yang dia cari. Ini kerana Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Baqarah:26

يُضِلُّ بِهِۦ ڪَثِيرًا وَيَهدِى بِهِۦ كَثِيرًا‌
Dia menyesatkan ramai orang, dan Dia memberi hidayah kepada ramai orang

Bayangkan, ada orang boleh menjadi sesat dek kerana Al-Qur’an! Bila? Apabila tidak menjadikan Al-Qur’an sebagai pembimbing tetapi hanya digunakan sebagai alat untuk mempertahankan kedudukan dan pemahaman sendiri. Kemudian, selepas menerangkan prinsip ini, Allah ‎ﷻ sambung di dalam ayat yang sama:

وَمَا يُضِلُّ بِهِۦۤ إِلَّا ٱلفَـٰسِقِينَ
Tetapi Dia tidak menyesatkan, kecuali orang-orang yang ingkar. 

Ini bermakna Allah ‎ﷻ hanya menyesatkan mereka yang menyimpang daripada jalan yang betul. Jika seseorang menyembah berhala sedangkan dia berada di dalam Ka’bah, maka dia tidak layak untuk mengenali rahsia Tauhid. Jika seseorang berminat untuk mengumpul duri walaupun ada bunga, maka dia tidak layak diberkati dengan wangian bunga. Jika seseorang kerana sifat buruknya menganggap ubat sebagai penyakit, maka dia tidak layak mendapat nikmat kesihatan; sebaliknya dia berhak untuk menjadi lebih sakit lagi. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Baqarah:16

أُولٰئِكَ الَّذينَ اشتَرَوُا الضَّلٰلَةَ بِالهُدىٰ فَما رَبِحَت تِّجٰرَتُهُم وَما كانوا مُهتَدينَ
Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.

Bagi yang sedang membaca tulisan ini dan saya yang sedang menulis tafsir ini, memang kita sudah memulakan perjalanan untuk memahami Al-Qur’an. Kita telah meluangkan masa untuk menulis, belajar, berbincang, dan sebagainya. Mungkin telah banyak ayat-ayat yang kita telah pelajari dan kita menambah pemahaman kita dari semasa ke semasa. Akan tetapi, kalau kita tidak jaga hati kita, ada kemungkinan niat kita bukan lagi untuk mendapatkan petunjuk, tetapi setakat belajar sahaja. Boleh faham? Memang belajar itu penting, tetapi belajar ini adalah jalan untuk mendapat bimbingan dan hidayah. Belajar bukanlah matlamat utama. Bukan untuk kita beritahu kepada orang: “Aku sudah habis belajar tafsir 30 juzuk sekian dan sekian…” Bukan! Kena ingat yang tujuan kita adalah untuk menjadikan Al-Qur’an ini sebagai pembimbing kita. Jadi kena ada niat di dalam hati: “Ya Allah, Engkau bimbinglah aku dengan Al-Qur’an ini….”

Ada yang belajar Al-Qur’an supaya mereka boleh mengajar Al-Qur’an nanti. Jadi niatnya pada Al-Qur’an, apa? Untuk mengajar! Bukannya untuk mendapatkan hidayah. Jadi boleh nampak bagaimana niat kita boleh terpesong? Kita bukanlah kata jangan mengajar pula, namun kena ingat yang niat asal kita bukan untuk mengajar, tetapi untuk mendapat hidayah. Macam saya asalnya bukan untuk mengajar, bukan juga menulis untuk orang lain. Asalnya saya hendak buat nota untuk diri saya sahaja. Kemudian saya diminta pula untuk menulis dan kemudian diminta pula untuk mengajar. Saya kena jaga hati saya supaya niat asal untuk mendapat hidayah itu terpelihara. Mengajar itu adalah sekunder sahaja kerana memang ada kebaikan dalam kita mengajar. Ini kerana apabila kita mengajar, maka kita memaksa diri kita untuk belajar terlebih dahulu, bukan? Ia memaksa kita untuk memahami dengan lebih mendalam kerana tidak tahu pelajar akan tanya apa nanti kepada kita, maka kita bersiap sedia sudah belajar dengan mendalam.

Kadang-kadang manusia memang melakukan perkara yang nampak mulia, akan tetapi sebenarnya niat boleh lari. Sebagai contoh, ramai orang menghafal Al-Qur’an, sama ada di Sekolah Tahfiz atau buat secara persendirian. Ini memang amalan mulia, namun kena periksa balik, apakah niat kita menghafal Al-Qur’an? Adakah kerana hendak mendapat hidayah atau kerana semata-mata menghafal? Sebenarnya apa tujuan kita menghafal Al-Qur’an? Kita sepatutnya menghafal Al-Qur’an supaya kita siap ada Al-Qur’an di dalam dada kita. Yang apabila kita hendak baca (untuk dapatkan hidayah), tidaklah kita perlu buka mushaf, baru boleh baca. Kita mahukan setiap saat mudah untuk kita rujuk Al-Qur’an supaya ia boleh membimbing kita. Bukannya menghafal itu niat asal, boleh faham? Bukannya hendak menjadi hafiz supaya nanti boleh jadi Imam Tarawih (dan buat content transition), bukan supaya dipandang tinggi oleh masyarakat, bukan supaya boleh beri syafaat kepada 10 orang, bukan supaya dapat kerja mengajar hafazan pula. Tujuan kita menghafal adalah supaya Al-Qur’an dekat dengan hati kita. Malangnya, dek kerana tidak faham perkara inilah, Sekolah Tahfiz dan pelajar tahfiz setakat hafal sahaja, namun apa yang mereka hafal pun mereka tidak tahu. Setakat menjadi burung tiong yang ulang sahaja apa yang mereka dengar.

Adakah kita tidak boleh mengharap pahala baca Al-Qur’an? Adakah kita tidak boleh beri syafaat dengan Al-Qur’an? Adakah kita tidak boleh mengajar Al-Qur’an? Tak bolehkah kita ambil berkat dengan Al-Qur’an? Semua itu boleh, tetapi itu adalah niat sekunder. Niat utama kita telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ di dalam Surah Fatihah lagi apabila kita minta setiap hari: اهدِنَا الصِّرٰطَ المُستَقيمَ ( Tunjukilah kami jalan yang lurus) dan Allah ‎ﷻ telah menjawab permintaan itu dengan memberikan keseluruhan Al-Qur’an kepada kita dan permintaan kita telah dijawab di dalam Surah Baqarah Ayat 2 ذٰلِكَ الكِتٰبُ لا رَيبَ ۛ فيهِ ۛ هُدًى لِّلمُتَّقينَ (Kitab Al-Qur’an ini, tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa). Kemudian Allah ‎ﷻ sambung seterusnya dengan ayat demi ayat untuk memenuhi permintaan kita kepada hidayah tadi.

Begitulah orang yang terpesong niatnya seumpama pergi ke taman bunga, tetapi mengambil duri bunga sahaja. Adalah benda yang dia dapat, namun adakah itu yang utama? Selain menghafal, satu lagi adalah belajar tajwid. Ya, silakan belajar, tetapi bukan itu tujuan asal kita dengan Al-Qur’an. Tujuan asal kita adalah untuk mendapat hidayah daripadanya dan kerana ia mulia, maka tentulah kita hendak membacanya dengan cara yang terbaik. Namun, tidak perlulah sampai 20 tahun belajar tajwid sahaja. Kalau sudah pencen, tidak perlulah belajar tajwid sangat sebab belajar tajwid itu adalah ketika muda. Apabila sudah pencen, kenalah lebih luangkan masa untuk memahami Al-Qur’an kerana semua tahu selepas pencen, jangka hayat tidak lama.

Amat senang sekali niat ini tersasar. Mungkin ia bermula dengan tujuan untuk mendapatkan hidayah, namun semakin kita tumpukan kepada ilmu, akhirnya mungkin ilmu sahaja yang kita dapat, tetapi bukan hidayahnya. Maka, kita kena ingatkan diri kita sekali-sekala. Di dalam kita mendalami ilmu tafsir Al-Qur’an ini, kita kena tanya diri kita: “Apakah pengajaran bagi kita di dalam ayat ini?” Kerana kita boleh bincangkan pendapat ulama’ itu dan ini, kita boleh bincangkan secara mendalam dari segi bahasa, namun akhirnya yang kita mahu dan perlukan adalah hidayah. Kadang-kadang kita terlalu mengejar ilmunya, kita terlupa hidayahnya.

Apabila kita menerima Al-Qur’an sebagai hidayah, ini bermakna kita kena biarkan Al-Qur’an membimbing kita dan membetulkan perjalanan kehidupan kita. Al-Qur’an tunjuk ke kanan, kita ke kanan; Ia tunjuk ke kiri, kita ke kiri, bukan? Maknanya kita ikut apa yang Al-Qur’an arahkan. Akan tetapi kalau kita sudah ada pandangan sendiri, dan kita ‘memaksa’ Al-Qur’an ikut kehendak kita, pandangan kita, ini bermakna tidaklah menjadikan Al-Qur’an sebagai pemandu, bukan? Allah ‎ﷻ perli mereka yang buat hal ini di dalam Hujurat:16

قُل أَتُعَلِّمونَ اللهَ بِدينِكُم وَاللهُ يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۚ وَاللهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليم
Katakanlah: “Apakah kamu akan mengajar kepada Allah tentang agamamu, padahal Allah mengetahui apa yang di langit dan apa yang di bumi dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu?”

Bayangkan, Allah ‎ﷻ pula kena ikut fahaman kita! Bagaimana ini terjadi? Contohnya, ada golongan yang menari bila berzikir. Apabila kita minta dalil, kelam kabutlah mereka cari dalil, petik selagi boleh. Antaranya mereka kata ada dalil dalam ayat Ali Imran:191

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring

Sedangkan ini bukanlah dalil zikir menari! Beribu tahun, orang yang membaca ayat ini tidak terfikir pun yang ini adalah dalil surah kita menari ketika zikir! Tiba-tiba kamu ‘memaksa’ ayat ini untuk membenarkan perbuatan bid’ah kamu itu! Mereka ini memang golongan yang telah terbalik; sepatutnya Al-Qur’an  yang membimbing mereka, tetapi mereka pula yang membimbing Al-Qur’an!

 

2. Keunggulan Al-Qur’an

Syarat kedua untuk mengkaji Al-Qur’an dan menjadikan ia sebagai panduan hidup, ialah ia harus diakui sebagai perkataan yang paling tinggi sebelum seseorang memulakan perjalanan untuk memahaminya. Maknanya, belum belajar lagi pun sudah menerima Al-Qur’an itu yang paling tinggi. Jika seseorang tidak menerima hakikat tentang nilai Al-Qur’an yang tinggi dan kepentingan Al-Qur’an, seseorang itu tidak akan bekerja keras seperti yang diperlukan untuk memahami khazanah Al-Qur’an.

Mungkin ada yang rasa ini tidak masuk akal kerana belum mula pun mengkaji Al-Qur’an. Kalau sudah kaji, barulah dapat tahu ia hebat, bukan? Tetapi pendapat ini bukanlah salah sama sekali, malah ia merupakan sikap yang sangat waras dan logik. Lagipun, Al-Qur’an mempunyai sejarah yang luar biasa dan sudah dikenali sebagai sesuatu yang hebat pun, jadi tidak salah kalau kita sudah ada pandangan sebegini terhadap Al-Qur’an.

Kesan daripada Al-Qur’an telah terbukti sejak sekian lama, ia telah berjaya mengubah minda dan ideologi manusia zaman berzaman. Selain itu, berjuta-juta manusia di dunia tidak menganggapnya hanya sebuah buku, sebaliknya mereka menganggapnya sebagai Kalam Allah, perkataan yang diwahyukan daripada Allah ‎ﷻ sendiri, Tuhan yang mencipta kita semua. Mereka mengakui ia sebagai perkataan yang tidak boleh ditiru oleh makhluk, sama ada manusia atau jin, dan mereka tidak akan dapat berbuat demikian selama-lamanya walaupun manusia dan jin itu bersatu tenaga untuk menghasilkannya.

Ia adalah kitab yang diagungkan pada masa lalu dan masa kini dan yang dipandang tinggi sejak sekian lama. Oleh itu, tidak syak lagi ia mempunyai kepentingan yang khas dan seseorang boleh memahaminya dengan tepat hanya jika seseorang itu mempunyai penghormatan yang layak terhadapnya dan bersetuju dengan kepentingannya di dalam kehidupan. Jika seseorang tidak mempunyai idea tentang kepentingan kitab ini, mustahil bagi seseorang itu untuk merenungkannya dengan mendalam seperti yang diperlukan.

Perumpamaan: Sekiranya telah diketahui bahawa sebidang tanah itu mengandungi emas dan sejumlah besar emas telah digali daripadanya, maka tidak salah kalau kita membuat anggapan bahawa lebih banyak emas akan diperoleh pada penggalian selanjutnya. Adakah kita akan berhenti menggali tanah itu? Tentu tidak, bukan? Malah apa sahaja sumber yang dibelanjakan untuk mendapat manfaat daripada sekeping tanah yang sedemikian adalah berbaloi, bukan? Memang untuk mendapatkan hasil emas dari tanah, juga ilmu bermanfaat dari Al-Qur’an, memerlukan usaha, tenaga dan masa. Ia tentunya tidak akan datang dengan mudah, hanya dengan bergoyang kaki sahaja. Kenapa kita meluangkan masa, tenaga dan usaha kita? Kerana kita telah yakin yang ia khazanah yang amat-amat berharga! Khazanah itu bukan buat orang tertentu sahaja, seperti tuan guru, pak sheikh, ustaz, orang Arab, orang itu dan ini… bukan! Ia boleh sahaja digali oleh sesiapa sahaja yang berkehendak. Allah ‎ﷻ tidak pernah menghadkan pemahaman Al-Qur’an ini kepada orang tertentu sahaja. Sesiapa sahaja boleh mengambil manfaat daripadanya.

Namun begitu, jika lombong itu dianggap sebagai kosong sahaja, iaitu jika ia digali, hanya arang batu atau batu kapur sahaja yang akan dijumpai, maka hanya boleh ada dua kemungkinan sahaja: sama ada tiada sesiapa pun yang akan membuang masa menggalinya; atau jika seseorang menggalinya, mungkin ada hasil lain yang dia harapkan (bukan keuntungan).

Perkara ini disebut kerana terdapat beberapa salah faham mengenai Al-Qur’an yang berleluasa dalam kalangan manusia yang tidak memberikan hak yang sepatutnya kepada Al-Qur’an. Salah faham ini terdapat dalam kalangan orang yang beriman dan juga yang mendustakan Al-Qur’an. Yang menafikan kepentingan Al-Qur’an mungkin mengakui ada beberapa pembaharuan yang telah dibawa oleh kitab ini di zaman dahulu. Namun, pada pandangan mereka, masa itu telah berlalu. Bagi mereka, kitab ini mungkin telah berguna untuk Arab Badwi yang hidup di zaman mudah, tetapi ia tidak cukup berguna untuk menangani isu-isu kompleks hari ini.

Bagi orang-orang yang beriman pula, ada yang menganggap Al-Qur’an sebagai kod doktrin yang menjelaskan hukum hakam agama, dan selepas itu, jika masih ada apa-apa kepentingan Kitab ini, ia adalah dari sudut memberi berkat sahaja. Sebahagian daripada mereka hanya menganggap Al-Qur’an sebagai koleksi nasihat sahaja. Ramai pula menganggap ia sebagai instrumen untuk memindahkan ganjaran pahala bacaan kepada orang-orang yang telah mati, dan ada juga yang menganggap ia untuk mengurangkan penderitaan kematian (ketika nazak).

Selain itu, ramai orang menggunakannya sebagai penghalau hantu dan untuk menyingkirkan bencana dan kemalangan. Ini sama seperti orang Kristian yang menyimpan Injil dalam poket mereka, malang sekali, ramai juga umat Islam yang telah mengamalkan sikap yang sama. Umat Islam yang sebegini mempunyai salah faham mengenai Al-Qur’an dan mereka tidak akan mampu mengambil faedah sebenar daripada Al-Qur’an. Mereka seperti orang yang diberikan dengan meriam untuk merobohkan kubu musuh tetapi mereka menganggapnya hanya boleh membunuh nyamuk sahaja dan mula membunuh nyamuk dengannya.

Al-Qur’an itu sangat bermakna. Apakah maksudnya? Apa-apa dalam Al-Qur’an tidak ada yang remeh. Tiada apa-apa di dalam Al-Qur’an hanya sebagai tambahan. Tiada apa-apa di dalam Al-Qur’an yang tidak relevan. Setiap bahagiannya, setiap perkataan, setiap frasa, setiap ceritanya, setiap hukum hakam, semuanya bermakna bagi kita. Allah Pencipta langit dan bumi,  mahu kita tahu tentang Al-Qur’an ini. Ada orang yang kata bagus Al-Qur’an ini dan baguslah kalau ada yang belajar, tetapi bagi saya tidaklah. Ini adalah satu keputusan yang silap kerana mengandaikan Al-Qur’an hanya untuk sesetengah orang sahaja. Setiap hari, badan kita memerlukan air dan kita tidak boleh kata “Alhamdulillah saya sudah minum tahun lepas”. Takkan begitu? Allah ‎ﷻ menciptakan setiap tubuh manusia memerlukan air berulang kali. Menarik sekali, Allah ‎ﷻ membandingkan Al-Qur’an dengan air seperti disebut di dalam Ra’d:17

أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءًۭ فَسَالَتْ أَوْدِيَةٌۢ بِقَدَرِهَا فَٱحْتَمَلَ ٱلسَّيْلُ زَبَدًۭا رَّابِيًۭا…
“Allah menurunkan air (hujan) dari langit, lalu mengalir air itu di lembah-lembah mengikut ukurannya (kadarnya) masing-masing, maka arus itu membawa buih yang terapung-apung…”

Takkan kita hendak kata kita tidak perlukan air? Takkan kita hendak kata sesekali sahaja kita minum air? Setiap hati kita memerlukan Al-Qur’an sepertimana setiap hari kita memerlukan air. Oleh sebab itu, setiap hari kita mesti memikirkan Al-Qur’an.

 

3. Tekad untuk hidup mengikut Al-Qur’an

Untuk benar-benar mendapat manfaat daripada Al-Qur’an, syarat ketiga yang paling penting adalah untuk mempunyai tekad yang kukuh untuk mengubah diri mengikut arahan Al-Qur’an. Kita sudah tahu yang Al-Qur’an itu memberi petunjuk, bukan? Jadi kita mula menyedari bahawa Al-Qur’an membersihkan idea-idea, cara kita melihat dunia, cara kita melihat betul dan salah, cara kita melihat apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan. Fikiran anda mengenai sejarah, mengenai budaya, tentang bangsa-bangsa, fikiran kita tentang kebaikan dan kejahatan, dan fikiran mengenai diri kita sendiri sepatutnya dipandu oleh Al-Qur’an.

Kita akan dapati Al-Qur’an bukan sahaja mengajar sesuatu, malah juga menuntut. Menuntut apa? Menuntut perubahan daripada kita! Kerana Al-Qur’an bukanlah sebuah buku feel-good yang bila baca buat suka-suka sahaja, tetapi ia memberi pengajaran yang menegur kita untuk berubah. Lainlah kalau kita ini malaikat yang tidak perlu berubah apa-apa. Kita yang dilahirkan sebagai manusia, mesti adalah sesuatu yang Al-Qur’an tegur untuk berubah.

Maka hendaklah kita mengubah kehidupannya mengikut acuan Al-Qur’an ini dan ini bukanlah mudah bagi semua orang. Apabila seseorang belajar secara mendalam Kalamullah ini, dia akan merasakan bahawa apa yang dituntut daripada hamba adalah sama sekali berbeza daripada kehendak dan keinginannya sendiri. Dia akan sedar bahawa bukan sahaja cita-cita dan pemikirannya sendiri berbeza daripada Al-Qur’an, tetapi juga urusan dan hal ehwal sosialnya telah melepasi had yang dibenarkan oleh Al-Qur’an. Dia akan sedar bahawa dalaman dan luaran dirinya bercanggah dengan Al-Qur’an. Cara bercakap dia pun mungkin kena diubah apabila dia bercakap dengan orang lain, berinteraksi dengan keluarga dan kawan.

Selepas menyedari perbezaan ini, seorang pencari kebenaran akan bersungguh-sungguh membuat keputusan dan berazam bahawa apa sahaja keadaan, dia akan cuba menyesuaikan dirinya mengikut acuan yang Al-Qur’an tetapkan. Ini hendaklah dilakukan dengan mengorbankan segala-galanya dan mungkin menanggung pelbagai kesusahan serta mengatasi setiap halangan yang menghalang jalan ke arahnya, berusaha sedaya upaya untuk membentuk dirinya mengikut kehidupan yang dibayangkan oleh Al-Qur’an.

Namun begitu, seseorang yang tidak mempunyai kehendak dan kekuatan tidak akan boleh mengisi jurang yang besar antara Al-Qur’an dan dirinya. Ini kerana apabila belajar dan mendalami Al-Qur’an, Al-Qur’an akan menunjukkan di mana dirinya sekarang dan apakah kedudukan dirinya yang sepatutnya. Semoga dia sedar bahawa perubahan itu tidak boleh dilakukan dalam sehari, sebaliknya dia kena cuba. Dia juga yang meminta hidayah, bukan? Nah, sekarang Allah ‎ﷻ sudah berikan.

Malangnya, ramai yang gagal kerana kebanyakkannya merasakan bahawa jika mereka cuba mengubah kepercayaan dan cita-cita mereka mengikut kehendak Al-Qur’an, mereka perlu menjalani perubahan mental yang luar biasa. Merea  fikir seandainya mereka membentuk kelakuan dan adab mengikut acuan Al-Qur’an, mereka terpaksa mengasingkan diri daripada masyarakat. Mereka takut akan terpaksa memberikan komitmen yang besar kepada objektif yang ditetapkan oleh Al-Qur’an. Bukan sahaja perlu meninggalkan semua kepentingan dan kesenangan, malah mungkin juga  perlu menanggung kesusahan yang teruk seolah-olah mereka menjalani hukuman penjara atau bahkan dihukum kerana kepercayaan. Ini kerana perubahan itu bukan sahaja memberi kesan kepada diri mereka sendiri, tetapi orang sekeliling juga akan merasainya. Jadi orang sekeliling akan memandang pelik, kerana sudah tidak boleh lagi bersama-sama berbuat dosa, tidak boleh lagi mengutuk orang, ghibah dan sebagainya. Pendek kata, perubahan besar yang berlaku membuatkan mereka terpinggir, sudah tidak geng lagi dengan masyarakat sekeliling.

Mereka juga takut jika mereka meneliti cara kewangan seperti dalam cahaya kriteria Al-Qur’an yang menunjukkan mana yang halal dan haram, mereka bukan sahaja perlu melepaskan semua kemewahan dan keselesaan hidup yang dimilikinya, tetapi mereka juga mungkin tidak dapat memenuhi keperluan minimum kehidupan.

Tidak semua orang mampu menghadapi kehidupan yang bergelora; hanya mereka yang mempunyai moral yang sangat tinggi dan tekad yang tegas sahaja yang boleh menghadapi dugaan kehidupan ini. Terdapat mereka yang lemah akal yang sentiasa mematuhi keinginan nafsu mereka, walaupun mereka mungkin mengakui bahawa jalan Al-Qur’an adalah satu-satunya jalan yang betul, tetapi pada masa yang sama, sangat sukar untuk diikuti. Ada juga golongan munafik yang mengikut sifat pengecut mereka sebagai cita-cita dan kepura-puraan sebagai iman. Mereka lebih rela mengikuti nafsu mereka daripada hidup dengan cara Al-Qur’an telah tetapkan.

Sesetengah orang ada yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal atas alasan tidak berdaya dan terpaksa berbuat demikian kerana dugaan kehidupan. Sesetengah daripada mereka menutup kebenaran dengan kepalsuan dengan bantuan tafsiran yang mengelirukan dan diputarbelitkan. Sesetengah orang mencari perlindungan dengan mengatakan mereka mengikut keadaan semasa untuk mensahihkan semua perbuatan mereka yang salah. Ada yang cuba memutarbelitkan makna Kitab Ilahi seperti yang telah dilakukan oleh orang-orang Yahudi di dalam Taurat. Ada yang cuba mencari jalan tengah antara iman dan kufur, iaitu mereka hanya mengikuti sebahagian sahaja Al-Qur’an yang mereka dapati sesuai dengan keinginan mereka sendiri dan mereka mengabaikan apa yang bertentangan dengan kehendak mereka.

Semua cara ini adalah helah daripada syaitan dan siapa yang ikut akan dibawa terus kepada kebinasaan. Satu-satunya jalan keselamatan ialah apabila seseorang cuba menyesuaikan diri mengikut dekri Al-Qur’an dengan mengorbankan semua yang diperlukan dalam hal ini. Kesungguhan ini telah diuji oleh Tuhan dalam masa yang lama zaman berzaman kepada umat sebelum kita. Jika seseorang berjaya melepasi ribut ujian ini, dia akan mendapat nikmat. Jika sebuah pintu telah ditutup untuknya, Allah ‎ﷻ boleh membuka pintu-pintu yang banyak lagi. Jika seluruh masyarakat membuang beliau, masyarakat lain mengalu-alukan beliau. Jika suatu tempat enggan memberi perlindungan kepada beliau, yang lain akan menerima beliau dengan tangan terbuka. Begitulah firman Allah ‎ﷻ di dalam Ankabut:69

وَالَّذينَ جٰهَدوا فينا لَنَهدِيَنَّهُم سُبُلَنا ۚ وَإِنَّ اللهَ لَمَعَ المُحسِنينَ
Dan orang-orang yang berusaha untuk Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.

Apabila arahan untuk berubah datang daripada Al-Qur’an, kita akan dapati tiga jenis orang. Sekarang kena tentukan mana satu yang kita akan masuk antara tiga golongan ini:

1. Mereka ini adalah yang tidak kira berapa banyak dugaan yang akan dihadapi untuk berubah, dan berapa banyak ia menyakitkan dirinya, dia akan buang perasaan susah, emosinya yang bergelora, keinginan nafsu yang tidak sihat, ketagihan apa-apa sahaja, tarikan apa sahaja, ketakutan, kebimbangan, tekanan di luar, tekanan di bahagian dalam, dia tidak hiraukan dan dia akan anggap itu semua kecil sahaja. Dia akan jadikan komitmen kepada Allah ‎ﷻ dan Al-Qur’an yang lebih besar. Firman Allah ‎ﷻ lebih tinggi daripada semua perasaan itu semua. Dia akan cuba sedaya upaya untuk membuat perubahan. Mereka ini adalah orang-orang yang merasakan kemanisan iman yang bermakna dengan mempunyai petunjuk daripada Allah ‎ﷻ. Mereka merasakan kemanisan bimbingan. Mereka adalah beberapa orang yang bertuah. Semoga Allah ‎ﷻ menjadikan kita semua daripada mereka.

2. Kumpulan kedua ialah orang yang melihat Allah ‎ﷻ mahukan perubahan yang begitu banyak dan dia tidak sanggup. Dia tahu perkara itu baik dan memandang tinggi orang yang berjaya melakukannya, tetapi untuk dia sendiri, dia rasa tidak mampu. Dia takut dengan penerimaan keluarganya, dia takut menghadapi cemuhan daripada kawan-kawannya. Dia hendak semuanya sama seperti dahulu sahaja. Dia takut dibuang kerja, dia takut ekonominya merudum. Dia takut kehilangan kasih sayang. Dia teringin berubah, dia tahu perubahan itu bagus, tetapi dia rasa dia tidak mampu. Dia bukannya menolak Al-Qur’an kerana dia tahu memang apa yang ada di dalam Al-Qur’an itu benar-benar belaka.

Ini ialah dusta yang dia buat terhadap dirinya sendiri dan ini adalah satu pembohongan terhadap Allah ‎ﷻ. Kita tidak sedar bahawa Allah ‎ﷻ mengatakan Allah ‎ﷻ tidak meletakkan beban kepada sesiapa kecuali bahawa mereka boleh membawanya. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Baqarah:286

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا وُسعَها
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

Jika Allah ‎ﷻ memberi petunjuk kepada anda dengan petunjuk yang indah ini, jika Allah ‎ﷻ membebankan anda dengan permintaan ke arah perubahan, Allah ‎ﷻ tidak akan meletakkan beban itu kepada anda jika Dia tahu anda tidak mampu. Jika anda tidak mampu, permintaan ini tidak akan diletakkan pada anda. Oleh itu, apabila anda berpaling kepada Allah ‎ﷻ dan berkata, “Allah, apa yang Engkau minta terlalu banyak. Ia terlalu keras, ia terlalu sukar”, ini ialah dusta terhadap diri sendiri dan ini adalah satu pembohongan terhadap Allah ‎ﷻ. Jangan tergolong di dalam golongan ini.

Kena sedar bahawa apa-apa sahaja tujuan yang elok memerlukan usaha dan melibatkan kesukaran dan kadangkala kesakitan. Hendak sihat? Kena beriadah. Hendak jadi ahli sukan berjaya? Lagilah kena berlatih kuat. Hendak jadi doktor? Kena susah belajar. Mungkin anda akan hilang kawan. Tidak mengapa, kerana anda akan dapat kawan yang lebih baik daripada mereka. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Maryam:96

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ سَيَجعَلُ لَهُمُ الرَّحمٰنُ وُدًّا
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka perasaan kasih sayang.

3. Ini mungkin golongan paling teruk. Dia sudah tahu apa yang Al-Qur’an mahu dia lakukan dan dia tidak mampu seperti golongan ke 2 di atas. Akan tetapi di dalam masa yang sama, dia tidak mahu kelihatan seperti tidak ikut Al-Qur’an. Jadi dia buat apa? Dia mengubah interpretasi Al-Qur’an itu ikut seperti apa yang dia kehendaki! Mereka kena jadi kreatif sedikitlah sebab Al-Qur’an ini memang sudah jelas. Jadi kalau hendak ubah Al-Qur’an ikut kehendak sendiri, kena bersilat sikit. Mereka akan ambil ayat-ayat yang mereka suka dan itulah yang mereka ulang-ulang dan abaikan ayat-ayat yang lain. Allah ‎ﷻ berfirman tentang mereka ini di dalam Saff:7

وَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللَّهِ الكَذِبَ وَهُوَ يُدعىٰ إِلَى الإِسلٰمِ ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah sedang dia diajak kepada Islam? Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim.

Allah ‎ﷻ kata وَمَن أَظلَمُ kerana mereka inilah yang paling zalim, paling teruk kerana tidak ada yang lebih berdusta daripada mereka kerana mereka berdusta atas nama Allah! Mereka kata ini dan itu Allah ‎ﷻ suka, kerana mereka yang tafsir ikut nafsu mereka sendiri.

 

4. Tadabbur

Memikirkan Kitab Ilahi adalah syarat keempat yang paling penting untuk mendapat manfaat daripada Al-Qur’an, yang Al-Qur’an sendiri menyebut berulang kali antaranya di dalam Muhammad:24,

أَفَلا يَتَدَبَّرونَ القُرءآنَ أَم عَلىٰ قُلوبٍ أَقفالُها
Maka apakah mereka tidak tadabbur Al-Qur’an ataukah hati mereka terkunci?

Untuk mendapat manfaat daripada Al-Qur’an dan menjadikannya sebagai panduan hidup kita, bukannya sekali baca terus boleh faham. Tidak cukup dengan hanya membaca terjemahan sahaja kerana tidak faham pun kalau setakat membaca terjemahan. Jangan perasanlah anda telah faham Al-Qur’an kalau setakat baca terjemahan sahaja. Sebaliknya, ia adalah usaha permulaan. Kena ada usaha tadabbur, fikir, refleksi terhadap ayat-ayatnya.

Bukanlah kita kata kena jadi ulama’ pula, bukan. Ulama’ buat tafsir, kita sebagai bukan ulama’, kena tadabbur. Tadabbur ini datang selepas kita belajar tafsir, dan tafsir itu telah dikupas oleh para alim ulama’. Sekarang ramai yang baca Al-Qur’an, belajar tafsir, hafal Al-Qur’an, tetapi tidak faham apa yang mereka baca dan hafal. Apa Allah ‎ﷻ kata tentang mereka di dalam Jumu’ah:5

مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا ۚ بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
“Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya (tidak mengamalkan isinya) adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu; dan Allah tidak memberi hidayah kepada kaum yang zalim.”

Para sahabat Nabi merupakan orang-orang yang paling pertama dinasihati dalam Al-Qur’an. Kita kena ikut contoh mereka. Mereka berfikir dan membincangkan Al-Qur’an dan yang paling hebat di antara mereka dalam memahami Al-Qur’an ialah orang-orang yang paling banyak merenungkan ayat-ayat Al-Qur’an. Mereka membentuk kumpulan halaqah untuk mengkaji Al-Qur’an di mana mereka akan membincangkan ayat-ayat Al-Quran secara kolektif. Rasulullah ﷺ suka dengan apa yang mereka lakukan ini. Selepas baginda, semua Khulafa’ ur Rashidin, terutamanya Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menunjukkan minat yang berterusan dengan kumpulan-kumpulan sebegitu dan dengan orang-orang yang telah menjadi mahir dalam Al-Qur’an.

Membaca tanpa memahami Al-Qur’an semata-mata demi mendapatkan berkat bukanlah jalan sahabat Nabi. Mereka tidak melakukan perkara ini. Membaca tanpa faham ini wujudnya kemudian, iaitu apabila orang mula menganggap Al-Qur’an hanyalah kitab yang bertuah tanpa mereka melihat ia sebagai panduan yang benar. Al-Qur’an kemudiannya hanya digunakan untuk melembutkan penderitaan kematian dan untuk memindahkan ganjaran pahala kepada orang mati; daripada digunakan untuk mendapatkan bimbingan sebagai sumber perubahan dalam kehidupan. Ia akan hanya dibaca apabila ada melakukan salah laku supaya ia boleh memberkati salah laku itu. Orang ramai juga mula menggunakannya sebagai alat pengusiran hantu untuk melindungi mereka.

Ada orang yang tidak pandang pun kepentingan mempelajari makna ayat-ayat Al-Qur’an. Ada yang beranggapan segala apa yang ada di dalam Al-Qur’an ini telah ada dalam ilmu aqeedah dan mereka telah belajar Sifat 20. Al-Qur’an mengandungi hukum hakam dan ulama’ telah bincangkan di dalam ilmu fiqh. Jadi pada mereka, tidak perlu mempelajari tafsir Al-Qur’an. Sebab itu banyak yang apabila berdakwah, ajak orang belajar ilmu Fardhu Ain. Fardhu Ain sahaja? Mereka sangka itu sudah cukup agaknya. Malang sekali cetek pengetahuan mereka. Mereka telah merendahkan ilmu dan khazanah yang ada di dalam Al-Qur’an. Mereka hanya baca di dalam solat sahaja, ambil berkat sahaja, kalau ada majlis perkahwinan atau pembukaan madrasah, barulah baca ayat-ayat suci Al-Qur’an.

Situasi sebegini amat menyedihkan sekali kerana masyarakat kita telah merendahkan kepentingan Al-Qur’an. Ada yang menyimpan mushaf di dalam kereta dan di bawah bantal sebagai perlindungan daripada syaitan; ada yang menggantungkan ayat-ayat Al-Qur’an di kereta; ada yang menggantung khat di rumah dan pejabat. Itu sahaja fungsi Al-Qur’an bagi mereka? Alangkah sedihnya. Ada yang memasang audio Al-Qur’an sebagai muzik latar sahaja. Kemudian buat kerja yang tidak kena-mengena, bukan mereka dengar pun! Begitu kurang ajarnya mereka terhadap Al-Qur’an, Kalam Allah!

Al-Qur’an mungkin satu-satunya buku di dunia yang mengatakan di dalam banyak tempat bahawa ia boleh menjadi benar-benar bermanfaat hanya apabila ia diperhatikan maknanya dan dibincangkan. Namun malangnya ia juga adalah buku yang sentiasa dibaca dengan mata tertutup. Orang ramai membaca Al-Qur’an sambil menutup fikiran mereka sehingga tidak memberi kesan dengan apa yang di dalamnya.

 

5. Penyerahan kepada Allah ‎ﷻ

Untuk benar-benar mendapat manfaat daripada Al-Qur’an, syarat kelima ialah apabila tidak memahami mana-mana ayat, hendaklah menyerahkan kesukaran untuk memahami ayat-ayatnya kepada Yang Maha Kuasa dan meminta bimbingan-Nya.

Memang kadangkala apabila kita baca Al-Qur’an, baca terjemahan dan mungkin baca tafsirannya, kita tidak faham. Mungkin ada yang kata kenapa ayat ini tidak jelas? Kenapa berpusing-pusing? Pada mereka susah sangat ayat ini. Mengkritik Al-Qur’an apabila tidak memahaminya adalah sikap yang tidak patut sama sekali. Kalau kita tidak faham, bukanlah salah Allah dan Al-Qur’an, tetapi kita yang lemah akal! Kita yang ada kekurangan!

Kadang-kadang, seseorang menemui kalimah-kalimah yang berat dan gagal untuk memahaminya. Mungkin syaitan pun masuk jarum dan kata buang masa sahaja belajar maksudnya, ‘Engkau takkan faham’. Mungkin ada yang rendah diri dan kata agaknya tahap pemikiran aku tidak boleh hendak mencapainya, ulama’ sahaja boleh faham, jadi aku baca sahajalah tanpa faham. Ini adalah pemahaman salah! Kalau dengan mana-mana buku lain, kalau tidak faham apa maksud penulis, kita boleh tinggalkan buku itu; tetapi tidak dengan Al-Qur’an ini. Kita tidak boleh meninggalkannya.

Pendekatan yang betul dalam keadaan ini ialah seseorang harus terus berdoa kepada Yang Maha Kuasa untuk bantuan-Nya dan teguh dalam berpegang kepada Al-Qur’an. Jika seseorang menghafal mana-mana ayat Al-Qur’an, dia perlulah membacanya perlahan-lahan semasa solat malam. Minta dengan Allah ‎ﷻ supaya beri kita kefahaman ayat-Nya itu. Al-Qur’an ialah Allah ‎ﷻ yang berbicara kepada kita. Sekarang kitalah yang kena berbicara pula kepada Allah ‎ﷻ dan berkata: “Ya Allah. Ayat ini aku tak boleh faham. Bukalah pintu kefahaman kepadaku. Biar aku faham maksud-Mu di sini. Aku akan cuba untuk merenungkan yang terbaik daripada keupayaan aku, aku akan mencari ilmu daripada mereka yang memilikinya, aku akan siasat dan siasat. Tetapi Allah, aku tahu satu-satunya yang boleh membuka pintu ilmu dan membuka pintu panduan dan membuka pintu kebijaksanaan ialah Engkau. Allah, bukakan pintu ini untukku, aku merayu kepada-Mu.”

Kalau anda beli buku dan anda tidak faham apa yang penulis itu tulis, adakah anda berpeluang telefon penulis buku itu dan tanya apa maksud dia? Penulis tidak mempunyai masa untuk anda tetapi Penulis semua penulis, iaitu Allah ‎ﷻ sendiri, telah menjemput anda untuk pergi dan bertanya kepada-Nya. Pergilah bertanya kepada Allah ‎ﷻ sendiri. Kalau tidak faham sesuatu, pergilah minta kepada Allah ‎ﷻ. Dengan kehendak Allah ‎ﷻ, kesukaran memahami akan reda dan seseorang itu akan diberkati dengan cahaya Al-Qur’an. Doa berikut juga amat berguna dalam keadaan sedemikian:

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ عَبْدُكَ، ابْنُ عَبْدِكَ، ابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِيْ بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِيْ كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِيْ عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيْعَ قَلْبِيْ، وَنُوْرَ صَدْرِيْ، وَجَلاَءَ حُزْنِيْ، وَذَهَابَ هَمِّيْ
“Ya Allah! Sesungguhnya aku adalah hamba-Mu, anak hamba-Mu (Nabi Adam) dan anak hamba perempuan-Mu (Hawwa’). Ubun-ubunku di tangan-Mu, keputusan-Mu berlaku padaku, Qadha-Mu (takdir dan ketetapan-Mu) kepadaku adalah adil. Aku mohon kepada-Mu dengan setiap nama (terbaik) yang telah Engkau gunakan untuk diri-Mu, yang Engkau turunkan dalam kitab-Mu, yang Engkau ajarkan kepada seseorang dari makhluk-Mu atau yang Engkau khususkan untuk diri-Mu dalam ilmu ghaib di sisi-Mu, semoga Engkau jadikan Al-Qur’an sebagai penenteram hatiku, cahaya di dadaku, pelenyap duka dan kesedihanku.”

(Hadis riwayat Imam Ahmad dan selainnya. Disahihkan oleh Syaikh Al-Albani rahimahullah)

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 26 Mac 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)