Kaitan Surah Yusuf dengan Sirah Nabi Muhammad

Surah ini diturunkan di hujung-hujung waktu Nabi Muhammad di Mekah. Dan dikatakan ketika itu adalah Tahun Kesedihan kerana Rasulullah kehilangan isterinya yang tercinta, Khadijah, dan bapa saudara yang sentiasa membantu dan mempertahankan baginda selama ini, Abu Talib. Jadi kisah Nabi Yusuf ada persamaan dengan apa yang dihadapi oleh Rasulullah ketika surah ini diturunkan kepada baginda. Jadi ada persamaan tajuk yang Allah sampaikan di dalam surah ini untuk baginda dan untuk umat Islam.


 

Pertamanya perhatikan ayat yang rasanya semua umat Islam hafal, iaitu Nasr:1

إِذا جاءَ نَصرُ اللَّهِ وَالفَتحُ
Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan,

Di dalam surah ini, Allah menyebut tentang نَصرُ (pertolonganNya) dan الفَتحُ (kejayaan, kemenangan). Ini adalah ketika Islam diterima secara menyeluruh di Semenanjung Tanah Arab dan manusia masuk Islam secara berbondong-bondong. Allah telah memberi نَصرُ maka hasilnya adalah الفَتحُ.

Dan perhatikan dua terma ini juga terdapat di dalam Surah Fath (Kemenangan) di dalam Ayat 1 – 3.

إِنَّا فَتَحۡنَا لَكَ فَتۡحًا مُّبِينًا (١) لِّيَغۡفِرَ لَكَ ٱللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنۢبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعۡمَتَهُ ۥ عَلَيۡكَ وَيَہۡدِيَكَ صِرَٲطًا مُّسۡتَقِيمًا (٢) وَيَنصُرَكَ ٱللَّهُ نَصۡرًا عَزِيزًا (٣)
Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata, (1) Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayat ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya). (2) Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepenuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya). (3) 

Akan tetapi perhatikan susunan di dalam Surah Fath ini. Allah sebut فَتۡحًا (kemenangan) sebelum disebut نَصۡرًا (pertolongan). Ia tidak sama dengan susunan di dalam Surah Nasr. Allah telah beri kejayaan dari semenjak awal lagi, Rasulullah dan sahabat sahaja yang belum nampak. Surah ini adalah ketika terjadinya Perjanjian Hudaybiyah dan ketika itu ada para sahabat yang marah kerana nampak perjanjian itu berat sebelah, bukan? Akan tetapi sebenarnya itu adalah kejayaan, cuma mereka sahaja tidak nampak.

Kenapa ia sudah dikira kejayaan? Kerana apabila pemuka Quraisy Mekah menandatangani perjanjian itu dengan Rasulullah, ia adalah tanda yang Islam bukan calang-calang. Mereka telah berperang tiga kali sebelum itu dan tidak ada kemenangan jelas di pihak Quraisy. Sedangkan merekalah kuasa besar ketika itu, bukan? Sekarang mereka membuat perjanjian dan melakukan gencatan senjata dengan umat Islam. Ini bermakna, Islam sudah kuat ketika itu. Kerana selama itu mereka dikira sebagai pemberontak sahaja, tapi apabila sudah ada perjanjian dengan Quraisy, ia bermakna pihak Quraisy sudah mengiktiraf kedudukan umat Islam. Dan kerana itulah, bermulanya wakil-wakil dari sekitar Tanah Arab yang datang dan duduk bersama dengan Kerajaan Madinah Islam ketika itu. Inilah kejayaan, iaitu permulaan kepada kemenangan. Allah sudah beri kemenangan siap-siap dan selepas itu umat Islam akan banyak menerima نَصۡرًا dari Allah.


 

Kalau kita melihat kembali sejarah di Surah Fath itu, kita akan tahu yang Rasulullah telah pergi bersama para sahabat yang lain kerana baginda telah bermimpi baginda mengerjakan Hajj di Mekah. Ini disebut di dalam Ayat 27,

لَقَد صَدَقَ اللهُ رَسولَهُ الرُّؤيا بِالحَقِّ ۖ لَتَدخُلُنَّ المَسجِدَ الحَرامَ إِن شاءَ اللهُ ءآمِنينَ مُحَلِّقينَ رُءوسَكُم وَمُقَصِّرينَ لا تَخافونَ ۖ فَعَلِمَ ما لَم تَعلَموا فَجَعَلَ مِن دونِ ذٰلِكَ فَتحًا قَريبًا
Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada Rasul-Nya, tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya (iaitu) bahawa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram), insya Allah dalam keadaan aman, dengan mencukur rambut kepala dan mengguntingnya, sedang kamu tidak merasa takut. Maka Allah mengetahui apa yang tiada kamu ketahui dan Dia memberikan sebelum itu kemenangan yang dekat.

Di mana lagi kita asyik berjumpa tentang mimpi? Di dalam Surah Yusuf, bukan? Pada awal surah, Nabi Yusuf telah melihat mimpi di mana tafsiran mimpi itu pada dasarnya bermakna bahawa baginda akan ada dominasi ke atas saudara-saudaranya. Abang-abang Nabi Yusuf tidak boleh tahan dengan kedudukan Nabi Yusuf itu. Mereka rasa mereka perlu hapuskan baginda. Bunuh baginda atau sekurang-kurangnya singkirkan. Itu disebut di dalam Ayat 9, ٱقتُلُواْ يُوسُفَ أَوِ ٱطرَحُوهُ أَرضًا (Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu daerah).

Bagaimana dengan Nabi Muhammad? Baginda mula-mula diboikot selama 3 tahun bersama dengan puak baginda. Dan selepas itu tidak berjaya mengalahkan baginda, bukankah Musyrikin Mekah cuba untuk bunuh baginda? Dan untuk menyelamatkan baginda, Allah telah menyuruh baginda berhijrah ke tempat yang asing, Madinah. Dan bukankah Nabi Yusuf juga berakhir di sebuah tempat asing, Mesir?

Dan kemudian Allah menunjukkan kepada Nabi Muhammad mimpi bahawa baginda akan menunaikan Haji. Dan untuk menunaikan Haji hanya boleh berlaku di Mekah. Dan untuk dapat membuat Haji dengan aman, baginda perlu mendominasi musuh-musuh baginda yang ketika itu sedang berkuasa  ke atas Mekah. Dan dalam Surah Fath, Allah berfirman لَتَدخُلُنَّ المَسجِدَ الحَرامَ إِن شاءَ اللهُ ءآمِنينَ (bahawa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram), insya Allah dalam keadaan aman). Allah akhirnya menjadikan mimpi baginda itu kenyataan. Begitulah juga Allah telah menjadikan mimpi Nabi Yusuf menjadi kenyataan seperti disebut di dalam Ayat 101 وَقَالَ يَـٰٓأَبَتِ هَـٰذَا تَأوِيلُ رُءيَـٰىَ مِن قَبلُ قَد جَعَلَهَا رَبِّى حَقًّا‌ (Dan berkata Yusuf: “Wahai ayahku inilah ta’bir mimpiku yang dahulu itu; sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya suatu kenyataan.) Dan sebagaimana Nabi Muhammad akan masuk Mekah dengan selamat, Nabi Yusuf mengajak keluarganya tinggal di Mesir dengan selamat, bukan? Lihat balik Ayat 99  وَقَالَ ٱدخُلُواْ مِصرَ إِن شَآءَ ٱللَّهُ ءَامِنِينَ (dan dia berkata: “Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah dalam keadaan aman”). Nampak tak kaitan antara dua kisah ini? Sebagaimana abang-abang Nabi Yusuf memberi ujian kepada Nabi Yusuf, begitulah juga ‘abang-abang’ Nabi Muhammad iaitu Musyrikin Mekah memberi masalah kepada baginda.


 

Satu lagi perkara yang mengaitkan Nabi Yusuf dengan Nabi Muhammad adalah Nabi Ibrahim, bukan? Nabi Yusuf ada menyebut nama Nabi Ibrahim, iaitu baginda mengikut ajaran Nabi Ibrahim. Dan Nabi Muhammad Allah sebut bagindalah yang paling rapat dengan Nabi Ibrahim seperti disebut di dalam Ali Imran:68

إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِإِبْرٰهِيمَ لَلَّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهَٰذَا النَّبِيُّ
Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi ugamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini

Apa yang Nabi Muhammad lakukan adalah mengembalikan ajaran sebenarnya Nabi Ibrahim. Dan begitulah juga yang dilakukan oleh Nabi Yusuf.


 

Kisah Nabi Yusuf berlaku di Mesir. Mesir adalah satu tempat yang menarik dan hebat. Ia terkenal dalam sejarah sampailah sekarang. Pembinaan dan tamadun yang mereka ada menjadi dambaan bagi ramai orang yang cuba menirunya. Bayangkan sampai sekarang pun ada gambar piramid di dalam wang kertas negara Amerika, bukan? Kerana mereka tertarik dengan pencapaian Mesir di zaman lampau. Dan ketika Nabi Yusuf menjadi raja Mesir, baginda ada kekuasaan ini, segala kekayaan, segala kuasa ketenteraan.

Tapi apa yang Nabi dapat? Kalau di Mesir ada piramid, di Mekah ada Ka’bah yang dibina oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Ianya terletak di padang pasir yang tidak ada apa-apa sangat. Kekayaan tidak banyak, tentera pun tidak ada ketika itu. Akan tetapi baginda ada para sahabat yang memberi kesan kepada dunia. Kalau Mesir, kesannya di masa lampau, tapi peninggalan Nabi Muhammad sampai sekarang kita terasa dan mendapat labanya.


 

Kalau kita baca kisah Nabi Yusuf sebelum baginda dikeluarkan dari penjara, baginda adalah seorang hamba abdi. Sebagai hamba abdi, baginda tidak ada nilai di sisi masyarakat. Orang yang berkuasa boleh buat apa-apa sahaja kepada baginda, bukan? Dan kita telah lihat bagaimana baginda telah ditayang oleh isteri Al-Aziz, baginda kemudian dengan mudah-mudah dimasukkan ke dalam penjara walaupun tidak bersalah. Maknanya mereka boleh buat apa sahaja kepada baginda.

Dan ketika kisah ini dibaca oleh Rasulullah dan para sahabat, mereka juga mengalami keadaan yang sama. Apabila mereka masuk Islam dan bersama Nabi Muhammad, mereka telah dipandang hina oleh masyarakat, mereka telah diuji dengan herdikan, cacian dan malah dengan kesakitan. Ramai antara para sahabat ketika itu adalah betul-betul berstatus hamba. Akan tetapi bagi yang merdeka pun, seolah-olah mereka telah hilang kerakyatan dan orang kafir boleh buat apa sahaja kepada mereka, bukan? Jadi ketika para sahabat membaca kisah Nabi Yusuf, mereka sedang dipujuk kerana bukan mereka sahaja yang diperlakukan sedemikian.

Nabi Yusuf dari keturunan yang mulia iaitu dari keturunan Nabi Ibrahim. Tapi itu tidak menyelamatkan baginda dari dihina dan disakiti. Maka begitulah juga dengan Rasulullah, keturunan Nabi Ismail dan juga keturunan Nabi Ibrahim. Baginda juga dari suku yang mulia di Mekah iaitu Bani Hashim. Akan tetapi baginda tetap juga dihina dan dicerca. Jadi ia mengajar Rasulullah yang keturunan itu tidak dapat menyelamatkan mereka sehinggalah Allah yang selamatkan mereka. Begitulah apabila kita melihat orang lain pun menderita, penderitaan yang kita sedang alami pun akan sedikit sebanyak terasa kurang, bukan? Maka begitulah cara Allah memujuk Rasulullah dan para sahabat.


 

Di dalam kisah Nabi Yusuf kita telah baca tentang godaan yang baginda terima dari isteri Al-Aziz. Dalam kes Nabi Muhammad, tidaklah ada kisah godaan dari wanita. Tapi ada godaan dari segi harta dan kedudukan, bukan? Kita pun tahu yang Nabi Muhammad dipandang tinggi dan mulia sebelum baginda menjadi Nabi. Baginda siap dapat gelaran Al-Amin lagi. Baginda dipercayai oleh semua orang dan baginda mungkin boleh menjadi pemimpin di Mekah satu masa nanti pada pandangan mereka.

Dan begitulah juga kedudukan Nabi Yusuf semasa menjadi hamba pun lagi. Ketika pertama kali Al-Aziz jumpa baginda, Al-Aziz itu pun sudah terpesona siap terfikir hendak menjadikan baginda sebagai anak angkat lagi. Dan walaupun Nabi Yusuf pangkatnya sebagai hamba sahaja di rumah Al-Aziz, tapi bukan hamba biasa. Baginda menjadi orang kepercayaan Al-Aziz sampai diberikan dengan kunci rumah! Jadi Nabi Muhammad dipercayai dan Nabi Yusuf juga dipercayai. Maknanya mereka ini orang yang dipandang mulia oleh orang ramai.

Tapi kemudian Nabi Yusuf menjadi liabiliti bagi Al-Aziz. Apabila timbul isu baginda digoda oleh isterinya dan kemudian oleh para wanita di Mesir, ia menjadi isu politik yang besar. Kalau orang ramai tahu, kedudukan mereka sebagai pemimpin di Mesir akan terganggu dan ini akan menjadi isu besar. Kerana ia melibatkan isu moral, bukan? Dan sampai sekarang pun isu moral memang dielak oleh ahli politik kerana kalau mereka dipandang tidak bersih secara moral, susah orang hendak ikut. Jadi Nabi Yusuf perlu dipenjarakan, kerana hendak menyelamatkan kedudukan politik mereka. Tidak kisahlah Nabi Yusuf itu tidak bersalah, tidak kisahlah kalau dia orang baik, orang yang dipercayai… kalau sampai mengganggu kedudukan politik, apa sahaja perlu dilakukan. Sama ada dipenjarakan, atau dibunuh terus. Ini bukan kali pertama orang awam dibunuh oleh orang politik.

Maka begitu jugalah dengan Nabi Muhammad di Mekah. Pemuka di Mekah mungkin tidak kisah sangat dengan ajaran baru yang Nabi Muhammad bawa itu. Banyak sahaja fahaman pelik orang ramai yang mereka tidak kisah pun. Tapi apabila ia menjadi isu politik dan ekonomi, maka ini perlu ditangani. Penyembahan berhala sudah lama menjadi sumber pendapatan bagi orang Mekah. Orang ramai dari seluruh Tanah Arab ketika itu datang ke Mekah untuk melakukan ibadah Haji dan untuk beribadah dengan berhala mereka. Berhala mereka banyak diletakkan di Ka’bah jadi mereka kena datang ke Mekah. Jadi ia menjadi sumber ekonomi bagi penduduk Mekah apabila menerima orang ramai itu datang.

Dan kerana itulah juga kedudukan penduduk Mekah terkenal di Semenanjung Tanah Arab. Mereka dihormati di semua tempat. Ketika itu zaman koboi dan selalu terjadi rompakan dan tangkapan kepada orang yang bermusafir. Akan tetapi penduduk Mekah selamat kerana orang ramai dari tempat lain tidak berani kacau orang Mekah sebab takut berhala-berhala mereka akan dirosakkan pula. Jadi kedudukan orang Mekah itu tinggi kerana pegangan agama yang menyembah berhala.

Jadi apabila Nabi Muhammad memperkenalkan agama baru yang menidakkan penyembahan kepada berhala, ini sudah mengganggu ekonomi dan kedudukan mereka. Walaupun Nabi Muhammad itu orang baik dan dipercayai, kalau sampai mengganggu ekonomi dan kedudukan mereka, ia tidak boleh dibenarkan. Begitu jugalah yang berlaku dengan Nabi Yusuf.


 

Nabi Yusuf dimasukkan ke dalam penjara kerana baginda tidak mahu berkompromi dengan isteri Al-Aziz. Wanita itu sudah biasa diturut sahaja kata-kata dan arahannya kerana kedudukannya. Kalau Nabi Yusuf hendak selamat, ikut sahaja. Akan tetapi Nabi Yusuf ada kesedaran moral yang amat tinggi dan tidak akan baginda tunduk kepada kehendak isteri itu yang salah. Dan kerana menolak berkompromi dengan wanita itulah menyebabkan wanita itu menjatuhkan kedudukan Nabi Yusuf. Dia menuduh Nabi Yusuf hendak berbuat onar dengannya, bukan?

Nabi Muhammad juga diajak untuk berkompromi. Ini kita boleh faham apabila kita membaca tafsir Surah Al-Kaafirun. Surah ini turun sebagai jawapan tegas kepada pemimpin Quraisy (seperti Al-Walid bin al-Mughirah dan Abu Jahl) yang menawarkan kompromi: “Wahai Muhammad, mari kita bertukar sembahan. Kami sembah Tuhanmu setahun, dan kamu sembah tuhan kami setahun.” Maka jawapan yang diberikan oleh Rasulullah setelah menerima tawaran itu ada disebut di dalam Kaafirun:2-3

لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ . وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ
“Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.” 

Apabila orang yang mabuk dengan kedudukan yang tinggi yang mereka sedang ada, menawarkan kompromi dan ditolak, itu adalah benda besar bagi mereka. Ia seolah-olah menghina kedudukan mereka yang telah turun menawarkan kompromi tapi ditolak mentah-mentah, memang mencari nahas! Begitulah yang berlaku apabila Nabi Yusuf menolak ajakan isteri Al-Aziz, begitulah yang terjadi apabila Nabi Muhammad menolak tawaran kompromi pemuka Quraisy. Mereka telah datang tawarkan wanita, tawarkan kedudukan, tawarkan harta yang banyak kepada Nabi Muhammad. Kemudian mereka tawarkan lagi apa kata pakai dua-dua agama sekali. Tapi apabila Nabi Muhammad menolak, mereka sangat marah. Kalau sebelum itu, mereka nampak Nabi Muhammad ini setakat menyusahkan sahaja, tapi ketika itu mereka nampak baginda perlu dijatuhkan dengan hina!


 

Dan apakah hujah yang digunakan oleh mereka yang hendak menjatuhkan Rasul? Dengan menggunakan modal keluarga. Perhatikan apabila Al-Aziz pulang, apa isteri Al-Aziz itu kata? قَالَت مَا جَزَآءُ مَن أَرَادَ بِأَهلِكَ سُوٓءًا إِلَّآ أَن يُسجَنَ أَو عَذَابٌ أَلِيمٌ (Wanita itu berkata: “Apakah pembalasan terhadap orang yang bermaksud berbuat serong dengan isterimu, selain dipenjarakan atau (dihukum) dengan azab yang pedih?). Ini kerana mempertahankan keluarga adalah satu perkara yang pasti akan dilakukan oleh manusia. Ia digunakan sebagai alasan yang kuat untuk menggerakkan orang.

Kaum Musyrikin Quraisy tidak hanya menolak dakwah secara lisan, malah mereka membina naratif bahawa Nabi Muhammad SAW adalah seorang “pencetus huru-hara” yang memecah-belahkan keharmonian masyarakat. Terdapat beberapa ayat Al-Quran yang merakamkan tuduhan mereka dan bagaimana mereka melihat dakwah Baginda sebagai satu “gangguan” terhadap kestabilan sosial Contohnya seperti disebut di dalam Anbiya’:36

وَإِذا رَءآكَ الَّذينَ كَفَروا إِن يَتَّخِذونَكَ إِلّا هُزُوًا أَهٰذَا الَّذي يَذكُرُ آلِهَتَكُم
Dan apabila orang-orang kafir itu melihat kamu, mereka membuat kamu menjadi olok-olok. (Mereka mengatakan): “Apakah ini orang yang mencela tuhan-tuhan-mu?”

Bagi kaum Quraisy, “keamanan” bermaksud mengekalkan status quo (adat nenek moyang). Apabila Nabi Muhammad SAW membawa kebenaran yang mencabar sistem kasta, penindasan, dan syirik, mereka melabelnya sebagai “fitnah” atau gangguan keamanan. Begitu jugalah golongan Sunnah di negara ini dituduh memecahbelahkan masyarakat, bukan?

Dan Rasulullah dan para sahabat melihat ini berlaku di hadapan mata mereka. Mereka melihat bagaimana Nabi Yusuf dituduh, dan mereka perhatikan begitulah juga mereka dituduh. Dan kita sekarang melihat bagaimana ia juga dituduh terhadap kita golongan Sunnah di negara ini. Maknanya ia berulang-ulang sepanjang zaman.


 

Siapakah antagonis di dalam kisah Nabi Yusuf? Mereka itu adalah abang-abang baginda, bukan? Mereka anak siapa? Bukankah mereka itu anak seorang Nabi juga? Akan tetapi mereka sanggup melakukan perkara terkutuk terhadap adik mereka sendiri, yang patutnya mereka sayang, tapi mereka sanggup buat apa yang mereka telah lakukan. Kerana apa? Ada Nabi Yusuf buat salah terhadap mereka, kacau mereka dan sebagainya? Tidak, bukan? Hanya kerana baginda mendapat perhatian dari ayah mereka sahaja. Jadi mereka jadi dengki.

Siapa yang kita tahu dalam sejarah paling awal dengki? Itulah iblis? Iblis marah betul apabila Nabi Adam dipilih untuk menjadi khalifah. Dia rasa kedudukannya telah diambil. Padahal, Allah tidak turunkan pangkat iblis, cuma pilih Nabi Adam sebagai khalifah sahaja. Dan Nabi Adam tidak pernah buat salah apa-apa pun, baginda tidak hidup lagi pun! Tapi dari Allah sebut akan ada yang dilantik menjadi khalifah, iblis sudah simpan dendam dan berazam untuk menjatuhkan Nabi Adam. Dan bukan baginda sahaja, anak cucu baginda sekali! Begitulah dendamnya kepada Nabi Adam.

Dan iblis bersama tentera syaitannya menggunakan senjata dengki ini untuk memporak perandakan manusia. Kita telah sebut Nabi Muhammad dipandang mulia, bukan? Sekarang apabila baginda dilantik menjadi Nabi, berdakwah kepada manusia dengan baik, mengajak kepada melakukan kebaikan, apa perasaan pemuka-pemuka Quraisy itu? Mereka dengki kerana kedudukan itu diberikan kepada Nabi Muhammad. Abu Jahal (Amru bin Hisyam) sebenarnya mengakui dalam hatinya bahawa Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang benar (Siddiq), namun dia terhalang oleh asabiyyah (semangat perkauman) dan persaingan kuasa antara kabilah. Padahal dia tahu yang Nabi Muhammad itu benar. Suatu ketika, Abu Jahal bertemu dengan Nabi SAW dan Al-Mughirah. Abu Jahal berkata kepada Nabi dengan sombong:

Demi Allah, wahai Muhammad, aku tahu apa yang kamu katakan itu adalah benar, tetapi ada sesuatu yang menghalangku.

Semasa malam perang Badr, Al-Akhnas bertanya secara rahsia kepada Abu Jahal: “Beritahu aku, adakah Muhammad itu benar atau pendusta?” Abu Jahal menjawab: “Celaka kamu! Demi Allah, sesungguhnya Muhammad itu benar dan dia tidak pernah berbohong sedikit pun. Akan tetapi kami (Bani Makhzum) dan mereka (Bani Abdu Manaf) sentiasa bersaing dalam kemuliaan. Mereka memberi makan (kepada jemaah haji), kami juga memberi makan. Mereka memberi minum, kami juga memberi minum. Mereka menanggung beban orang susah, kami juga melakukannya. Sehinggalah apabila kami sudah setaraf (seperti dua ekor kuda lumba yang berlari seiringan), tiba-tiba mereka berkata: ‘Kami mempunyai seorang Nabi yang menerima wahyu dari langit! Bilakah pula kami akan dapat tandingan bagi perkara itu? Demi Allah, kami tidak akan sesekali beriman kepadanya dan tidak akan membenarkannya!


 

Tapi manusia tidaklah menjadi iblis. Memang ada yang iblis telah berjaya hasut sampai buat dosa, dengki dan sebagainya. Tapi tidaklah semua kekal begitu. Ada yang kekal dalam kedengkian seperti Abu Jahal dan Abu Lahab. Tapi ada sahaja yang boleh berubah. Kita lihat di dalam kisah Nabi Yusuf itu abang-abangnya telah berubah dan menjadi baik. Walaupun dulunya mereka telah melakukan perkara yang amat terkutuk, tapi mereka boleh berubah.

Maka begitu jugalah dengan para penentang Rasulullah. Kita baca kisah Khalid al-Walid yang berjaya mengalahkan umat Islam di Uhud dan hampir berjaya membunuh Nabi. Kita baca kisah Abu Sufyan yang mengetuai rancangan untuk menyerang umat Islam di Madinah. Akan tetapi mereka berubah dan menjadi muslim yang baik dan berkhidmat untuk agama. Jadi kisah abang-abang Nabi Yusuf itu memberi semangat kepada Rasulullah dan para sahabat. Iaitu manusia boleh berubah.


 

Mari kita kembali kepada suasana di dalam penjara ketika Nabi Yusuf di dalamnya dan berjumpa dengan dua orang banduan lain. Di dalamnya kita baca dakwah baginda dan apa yang baginda ajar dan ia agak panjang kalau dibandingkan dengan ayat-ayat yang lain. Allah menukilkan ayat-ayat dakwah baginda kepada dua banduan, bukannya kepada rakyat Mesir, kepada raja atau orang penting. Tapi kemudian kita baca seterusnya bagaimana perbincangan baginda dengan salah seorang banduan itulah yang sampai kepada raja kerana raja bermimpi, dan dia telah pergi ke penjara dan kemudian raja hendak berjumpa dan seterusnya kita baca baginda menjadi raja pula di Mesir. Dan ia berasal dari dakwah baginda di dalam penjara itu, bukan?

Dalam sejarah hidup Rasulullah, baginda pernah diboikot seisi keluarga dan kaum kerabat baginda. Baginda tidak dilayan dan tidak dibenarkan berdakwah secara terbuka. Ketika itu baginda telah berdakwah kepada orang-orang Arab yang datang ke Mekah kerana mengerjakan Haji. Baginda dihalang juga akan tetapi dapatlah baginda bercakap dengan sebahagian dari mereka yang datang itu. Mula ada yang menerima baginda dan tahun seterusnya mereka datang untuk berbaiah dengan Nabi seramai 12 orang. Kemudian tahun depannya datang lebih 70 orang pula yang berbaiah dengan baginda. Dan ini adalah permulaan kepada ramainya yang beriman dari penduduk Yathrib (Madinah) dan mereka telah menerima Rasulullah dan para sahabat dari Mekah untuk tinggal bersama mereka. Dan mereka telah membina penempatan dan kerajaan baru di Madinah itu dan ada pertempuran beberapa kali dengan Musyrikin Mekah dan akhirnya Mekah dapat ditawan dan akhirnya kerajaan Islam dapat menakluki 1/3 dari dunia ketika itu.

Sejarah dunia mungkin menulis tentang Perang Badr, Uhud dan Ahzab, bukan? Akan tetapi kita yang belajar sirah Rasulullah tahu permulaan kenabian Nabi Muhammad yang mengandungi kisah baginda bercakap dan berdakwah kecil-kecilan kepada beberapa orang sahaja. Ia mungkin nampak kecil tapi itulah permulaan kepada kemenangan Islam dan penyebaran agama ini ke seluruh dunia. Sebagaimana dakwah Nabi Yusuf kepada dua banduan itu akhirnya membaca kepada peristiwa baginda dinaikkan menjadi raja. Ketika surah ini diturunkan, Rasulullah masih lagi di Mekah dan mereka di dalam keadaan yang lemah. Ia seolah-olah Allah sedang memberitahu baginda supaya jangan memandang rendah dakwah kecil-kecilan yang baginda lakukan kerana ia boleh menjadi besar nanti.


 

Di dalam kisah Nabi Yusuf, baginda telah dibantu oleh raja. Raja telah mendapat mimpi dan mencari-cari siapa yang boleh mentafsir mimpi itu. Beliau telah dapat berjumpa dengan Nabi Yusuf melalui perantaraan bekas banduan yang mengenali Nabi Yusuf. Raja kemudian telah membebaskan Nabi Yusuf dan menjadi baginda sebagai orang penting di Mesir. Begitulah Allah menjadikan orang kafir yang membantu baginda. Dan ini tidak pelik kerana semua di dalam perancangan Allah dan Allah boleh jadikan orang kafir yang membantu agama Islam. Rasulullah pernah bersabda,

إِنَّ اللَّهَ لَيُؤَيِّدُ هَذَا الدِّينَ بِالرَّجُلِ الْفَاجِرِ
“Sesungguhnya Allah benar-benar akan menguatkan (membantu) agama ini dengan perantaraan lelaki yang fajir (pelaku dosa/jahat).”

Sahih Bukhari (No. 3062) dan Sahih Muslim (No. 111)

Kerana itu kita boleh katakan, Firaun lah yang telah membantu Nabi Musa berdakwah kepada rakyat Mesir. Ini kerana Firaun yang mengumpulkan ramai tukang sihir untuk menentang Nabi Musa. Firaun juga yang menetapkan tarikh pertarungan itu dan mewajibkan seluruh rakyat Mesir datang pada ketika itu. Akan tetapi semua ahli sihir itu beriman dan membenarkan dakwah Nabi Musa.

Dalam sejarah Nabi Muhammad juga, ada musyrik yang membantu baginda. Di dalam Tahun Kesedihan, Nabi Muhammad telah berdakwah ke Taif dan baginda tidak dapat masuk ke Mekah semula kerana telah ditahan oleh Musyrikin Mekah. Individu yang membantu dan memberikan perlindungan (jiwar) kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk masuk semula ke kota Mekah sekembalinya baginda dari Taif ialah Al-Mut’im bin ‘Adi. Beliau seorang musyrik. Sebelum itu Rasulullah dilindungi oleh Abu Talib tapi dengan pemergian Abu Talib tahun itu, keselamatan Nabi ﷺ di Mekah terancam. Setelah dakwah di Taif ditolak dengan kasar, baginda tidak boleh masuk ke Mekah secara sembunyi kerana bimbang akan dibunuh oleh pihak Quraisy.

Ketika itu Nabi ﷺ menghantar pesanan kepada beberapa tokoh Arab untuk meminta perlindungan, namun hanya Al-Mut’im bin ‘Adi (seorang pembesar Mekah yang belum memeluk Islam pada waktu itu) yang menerima permintaan baginda. Al-Mut’im memerintahkan anak-anaknya memakai pakaian perang dan menghunus pedang. Mereka mengawal Nabi ﷺ masuk ke Masjidil Haram. Al-Mut’im berdiri di atas tunggangannya dan mengisytiharkan: “Wahai kaum Quraisy, sesungguhnya aku telah memberikan perlindungan (jiwar) kepada Muhammad, maka janganlah ada seorang pun di antara kamu yang mengganggunya!”

Walaupun Al-Mut’im bin ‘Adi meninggal dunia dalam keadaan belum Islam, Nabi ﷺ sangat mengenang jasa baiknya. Hal ini terbukti selepas Perang Badar, apabila baginda bersabda mengenai tawanan perang Quraisy:

لَوْ كَانَ الْمُطْعِمُ بْنُ عَدِيٍّ حَيًّا، ثُمَّكَلَّمَنِي فِي هَؤُلَاءِ النَّتْنَى، لَتَرَكْتُهُمْ لَهُ
“Sekiranya Al-Mut’im bin ‘Adi masih hidup, kemudian dia bercakap denganku (meminta tolong) mengenai orang-orang yang ‘busuk’ ini (merujuk kepada tawanan musyrikin Badar), nescaya aku akan biarkan (bebaskan) mereka demi dia.”

Sahih Bukhari. Nombor Hadis: 3139

Kisah Al-Mut’im ini adalah contoh nyata bagaimana Allah SWT menggerakkan hati seorang yang bukan Muslim untuk menjadi pelindung fizikal kepada Rasulullah ﷺ dan kelangsungan dakwah Islam di saat genting.

Selain itu kita pun semua sudah tahu kisah Raja Najasyi (gelaran bagi pemerintah Habsyah atau Ethiopia) yang telah membantu umat Islam dan memberi perlindungan kepada mereka. Apabila penindasan kaum Quraisy di Mekah semakin memuncak, Rasulullah ﷺ memerintahkan sekumpulan kecil sahabat untuk berhijrah ke Habsyah. Raja Najasyi ketika itu adalah seorang Nasrani (Kristian) yang akhirnya memeluk Islam secara rahsia. Kisah ini membuktikan yang Allah boleh membantu agama ini melalui sesiapa yang dikehendaki-Nya. Walaupun Najasyi berada di benua lain dan pada awalnya bukan seorang Muslim, keadilannya menjadi pelindung kepada kelangsungan nyawa para sahabat dan dakwah Islam. Maka ini mengajar kita jangan menolak bantuan walaupun dari orang kafir.


 

Selepas Nabi Yusuf dibuang oleh abang-abangnya dan diperdagangkan sebagai hamba, yang membeli baginda adalah Al-Aziz. Al-Aziz ketika itu telah tertarik dengan perawakan Nabi Yusuf dan ketika membawanya ke rumah, siap dicadangkan untuk dijadikan anak angkat, bukan? Dia suruh isterinya melayan Nabi Yusuf dengan baik. Dan selepas itu diberikan kepercayaan untuk menguruskan rumah itu kepada Nabi Yusuf. Maknanya dia sangat sayang dan percaya kepada Nabi Yusuf, bukan?

Akan tetapi akhirnya dia juga yang telah terlibat memenjarakan Nabi Yusuf walaupun dia sendiri tahu yang baginda tidak bersalah. Ini kerana dia melihat kes Nabi Yusuf dan isterinya itu boleh menjadi skandal negara dan ini akan melemahkan kedudukan politiknya. Maka dia ambil jalan mudah dan selamat untuk dirinya dengan melakukan kezaliman terhadap Nabi Yusuf.

Di dalam sejarah hidup Nabi Muhammad pun baginda ada seorang yang sangat sayang kepada dirinya tapi akhirnya menjadi musuh yang teruk kepada baginda. Kisah Abu Lahab (nama asalnya Abdul Uzza bin Abdul Muttalib) adalah contoh paling tragis tentang bagaimana perasaan sayang yang mendalam boleh bertukar menjadi kebencian yang melampau disebabkan oleh keangkuhan dan penolakan terhadap kebenaran (tauhid). Dan kerana apa yang Nabi Muhammad bawa akan mengganggu sistem  ekonomi dan kedudukan di Mekah ketika itu yang dia sedang nikmati. Kita telah sebutkan tentang ekonomi dan politik ketika itu di Mekah.

Ketika Nabi Muhammad ﷺ dilahirkan, Abu Lahab sangat gembira kerana mendapat anak saudara lelaki daripada adik kesayangannya, Abdullah. Kerana terlalu gembira, Abu Lahab memerdekakan hambanya yang bernama Suwaibah sebaik sahaja Suwaibah menyampaikan berita kelahiran bayi tersebut. Segalanya berubah apabila Nabi ﷺ mula berdakwah secara terang-terangan di Bukit Shafa. Abu Lahab adalah orang pertama yang menjerit: “Celakalah engkau wahai Muhammad! Adakah kerana ini sahaja engkau mengumpulkan kami?” Selepas peristiwa itu, Allah menurunkan Surah Al-Lahab yang mengekalkan nama dan kecelakaannya sehingga hari kiamat.

Kemuncak sifat tidak berperikemanusiaan Abu Lahab adalah apabila putera Nabi ﷺ yang bernama Al-Qasim meninggal dunia. Abu Lahab tidak menunjukkan simpati sebagai bapa saudara, sebaliknya dia berlari-lari memberitahu kaum Quraisy dengan nada mengejek: “Muhammad telah terputus (zuriatnya)!” (Muhammadun Abtar). Istilah ini digunakan untuk menghina seseorang yang tidak mempunyai anak lelaki untuk menyambung zuriat dan nama bapanya. Abu Lahab gembira kerana menyangka pengaruh Nabi akan mati bersama kewafatan anak-anak baginda. Bayangkan kalau dengan musuh kita sendiri pun kita tak tergamak gembira apabila dia kehilangan ahli keluarga, inikan pula bapa saudara sendiri! Sebagai jawapan kepada ejekan Abu Lahab (dan sekutu-sekutunya), Allah menurunkan Surah Al-Kautsar.

Ia mengajar kita di dalam dunia ini ada manusia yang berkawan dan sayang dengan kita apabila mereka mendapat laba dari kita. Atau ketika kita tidak menggugat fahaman mereka. Tapi sebaik sahaja kita menyebut tentang kebenaran yang mengganggu kedudukan ekonomi, politik atau faham mereka, mereka boleh menjadi penentang kita. Mungkin kita ahli sesuatu parti dan disayangi pemimpin itu. Tapi kalau kita menegur kesalahan pemimpin itu, dia akan menyerang dan menjatuhkan kita. Mungkin kita ada kawan dari kecil yang rapat sangat dengan kita. Tapi kalau kita sudah belajar agama dan sudah tahu beza tauhid dan syirik dan menegur kesalahan kawan kita itu, dia menjadi musuh kita pula kerana dia tidak dapat menerima teguran walaupun teguran itu benar!


 

Sekarang kita masuk kepada individu yang terkenal di dalam sejarah Islam. Namanya Abu Sufyan. Beliau adalah pemimpin de facto Mekah dan penentang kuat bagi Islam ketika beliau berkuasa. Akan tetapi beliau juga ada hubungan kekeluargaan dengan Nabi Muhammad kerana anaknya iaitu Ummu Habibah.

Beliau tidak menyertai Perang Badar secara fizikal kerana tugas utamanya adalah menyelamatkan kafilah dagang Quraisy, namun selepas kematian Abu Jahl dalam perang tersebut, Abu Sufyan dilantik menjadi ketua tertinggi Mekah. Peperangan pertama yang dipimpin oleh Abu Sufyan sebagai panglima tertinggi kaum Quraisy adalah Perang Uhud pada Tahun 3 Hijrah. Sejurus selepas Perang Uhud, Abu Sufyan dan tenteranya merancang untuk kembali menyerang Madinah bagi menghapuskan sisa-sisa tentera Islam. Namun, keberanian Nabi SAW yang mengejar mereka sehingga ke Hamra al-Asad menyebabkan Abu Sufyan memutuskan untuk terus pulang ke Mekah tanpa bertempur. Akhir sekali Abu Sufyan mengetuai gabungan (Ahzab) besar yang terdiri daripada kaum Quraisy, kabilah-kabilah Arab (seperti Ghatafan), dan kaum Yahudi dengan kekuatan 10,000 tentera untuk menyerang umat Islam. Mereka mengepung Madinah, namun gagal menembusi pertahanan parit (khandaq) yang dibina oleh umat Islam dan akhirnya terpaksa berundur akibat ribut kencang serta perpecahan dalaman.

Walaupun beliau merupakan musuh ketat pada awalnya, Abu Sufyan akhirnya memeluk Islam semasa peristiwa Pembukaan Kota Mekah (Fathu Makkah) pada tahun 8 Hijrah. Selepas menjadi Muslim, beliau berubah menjadi pejuang Islam yang kental dan menyertai peperangan besar seperti, Perang Hunayn, Pengepungan Ta’if, Perang Yarmuk (di mana beliau kehilangan sebelah matanya demi membela Islam). Perang Yarmuk adalah sumbangan terbesar beliau. Dalam peperangan menentang empayar Rom Timur (Byzantine) ini, Abu Sufyan bukan sahaja berperang, malah bertindak sebagai pemberi semangat (pemberi motivasi). Beliau berkeliaran di barisan tentera sambil melaungkan kata-kata semangat agar tentera Islam tidak berundur.

Tapi sebelum itu, seperti yang kita tahu, Abu Sufyan adalah musuh kepada umat Islam. Mari kita telusuri detik-detik sebelum beliau memeluk Islam. Kisah ini berlaku dalam suasana yang sangat mendebarkan, iaitu sejurus selepas kaum Musyrikin Quraisy melanggar Perjanjian Hudaibiyah. Pihak Quraisy telah membantu sekutu mereka, Bani Bakar, untuk menyerang Bani Khuza’ah (sekutu Rasulullah SAW). Perbuatan ini adalah perkara yang boleh membatalkan Perjanjian Hudaibiyah itu. Menyedari bahawa ini adalah kesilapan besar yang boleh membawa kepada peperangan, Abu Sufyan (yang ketika itu belum memeluk Islam) telah bergegas ke Madinah untuk memujuk Rasulullah SAW agar memperbaharui dan memanjangkan tempoh perjanjian tersebut. Abu Sufyan terus menuju ke Masjid atau ke rumah Baginda untuk bertemu Rasulullah SAW. Dia merayu agar perjanjian dipanjangkan. Namun, apa yang berlaku? Rasulullah SAW tidak menjawab sepatah kata pun. Baginda langsung tidak memandang dan tidak memberi sebarang reaksi. Kerana ini bukanlah masa untuk berlembut. Dan di dalam kisah Nabi Yusuf kita ada perhatikan bagaimana ada ketika Nabi Yusuf bertegas dengan abang-abang baginda seperti disebut di dalam Yusuf:60

فَإِن لَّم تَأتُونِى بِهِۦ فَلَا كَيلَ لَكُم عِندِى وَلَا تَقرَبُونِ
Jika kamu tidak membawanya kepadaku, maka kamu tidak akan mendapat sukatan lagi dari padaku dan jangan kamu mendekatiku”.

Tapi kemudian menjelang Pembukaan Makkah, Abu Sufyan datang ke kem Rasulullah ﷺ di Marr al-Zahran, dengan senyap-senyap dibawa oleh Abbas, bapa saudara Nabi. Atas cadangan Abbas bin Abdul Muttalib, Abu Sufyan diislamkan oleh Rasulullah ﷺ. Rasulullah ﷺ kemudiannya mengisytiharkan: “Sesiapa yang masuk ke rumah Abu Sufyan, dia selamat” — satu penghormatan besar. Ini menunjukkan sifat pemaaf dan strategi bijak Rasulullah ﷺ.

Ketika melihat kekuatan tentera umat Islam yang diketuai oleh Nabi Muhammad, Abu Sufyan yang dahulunya merasa merekalah pasukan dan golongan yang kuat, sedangkan umat Islam adalah golongan serpihan seperti ulat sahaja, barulah dia mengaku kebenaran yang berada pada Nabi Muhammad. Itulah juga perasaan abang-abang Nabi Yusuf ketika mereka sedar yang di hadapan mereka adalah Al-Aziz yang sebenarnya ada adik mereka yang buang banyak tahun yang dahulu. Mereka mengaku Allah telah menaikkan kedudukan baginda seperti disebut di dalam Yusuf:91

قَالُواْ تَٱللَّهِ لَقَد ءَاثَرَكَ ٱللَّهُ عَلَينَا وَإِن ڪُنَّا لَخَـٰطِـِٔينَ
Mereka berkata: “Demi Allah, sesungguhnya Allah telah melebihkan kamu atas kami, dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah (berdosa)”.


 

Kemudian ketika Fathul Makkah (Pembukaan Kota Mekah), Rasulullah ﷺ berdiri di hadapan penduduk Mekah yang dahulunya menyeksa, mengusir, dan memerangi Baginda selama 20 tahun. Rasulullah ﷺ bertanya kepada mereka: “Wahai orang-orang Quraisy, apa yang kamu rasa akan aku lakukan kepada kamu?” Mereka menjawab: “Kebaikan. Engkau adalah saudara yang mulia dan anak kepada saudara yang mulia.”

Maka, Rasulullah ﷺ membalas dengan memetik kata-kata Nabi Yusuf AS kepada saudara-saudaranya yang pernah mencampakkannya ke dalam perigi (seperti yang dirakamkan dalam Yusuf:92

لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ ۖ يَغْفِرُ اللَّهُ لَكُمْ ۖ وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ
“Pada hari ini tidak ada cercaan (balas dendam) ke atas kamu. Mudah-mudahan Allah mengampunkan kamu, dan Dia adalah Maha Penyayang di antara para penyayang.”

Pemaafan Mutlak (Al-Afwu): Walaupun Baginda berada di puncak kuasa dengan 10,000 tentera dan mampu melakukan pembersihan etnik atau hukuman mati, Baginda memilih untuk memaafkan.

Menghapuskan Dendam: Perkataan “La Tathrib” bermaksud bukan sahaja Baginda tidak menghukum, malah Baginda tidak akan membangkit-bangkitkan atau mencela kesalahan masa lalu mereka.

Nabi Yusuf AS dizalimi oleh saudara kandungnya sendiri, dan Rasulullah ﷺ dizalimi oleh kabilahnya sendiri (Quraisy). Dengan menggunakan ayat ini, Baginda menunjukkan bahawa hubungan persaudaraan (kemanusiaan dan kabilah) adalah lebih tinggi daripada dendam peribadi. Tindakan luar biasa ini menyebabkan penduduk Mekah yang dahulunya sangat membenci Islam, masuk ke dalam agama Allah secara beramai-ramai kerana terkesan dengan akhlak mulia Baginda yang menyerupai kemuliaan hati Nabi Yusuf AS.

 

Allahu a’lam. Sekian tafsir Surah Yusuf yang amat menarik ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah ar-Ra’d.


 

Rujukan: Nouman Ali Khan

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment