Ayat 2:
لا أَعبُدُ ما تَعبُدونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
I do not worship what you worship.
(MALAY)
Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.
Untuk memahami maksud تَعبُدونَ dalam ayat ini, kita hendaklah faham apakah maksud ‘ibadah’. Kadang-kadang ramai yang tidak faham. Mereka sangka yang ianya bermaksud amalan ibadat seperti solat dan puasa sahaja.
Tapi dari segi bahasa, تَعبُدونَ diambil dari kalimah عبد (hamba). Iaitu menghambakan diri kepada Allah SWT. Oleh kerana tidak faham, maka ramai manusia yang kuat melakukan ibadat, tapi tidak menghambakan diri kepada Allah. Mari kita lihat apakah yang dimaksudkan oleh ibadah seperti yang disebut oleh Imam Ibn Taymiyyah. Dia meletakkan ada 5 syarat untuk seseorang itu dikira sebagai ‘hamba Allah’:
1) Hendaklah ada taat kepada Allah. Ketaatan kita kepada Allah mesti lebih tinggi lagi dari taat kepada selain Allah. Kita boleh taat kepada pemimpin, ibu bapa, ketua kita tetapi ia tidak boleh melebihi taat kita kepada Allah. Kalau taat kepada selain Allah bermaksud kita meninggalkan taat kepada Allah, lawan hukum Allah, maka taat kepada mereka itu terlarang.
2) Hendaklah ada cinta kepada Allah. Kita mesti cinta (hubb) kepada Allah lebih lagi dari cinta kepada yang lain. Ini disebut dalam surah Al-Baqarah:165 وَالَّذينَ آمَنوا أَشَدُّ حُبًّا لِلَّهِ ۗ (Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah).
Memang kita ada cinta lain seperti cinta kepada pasangan kita, cinta kepada anak, cinta kepada negara dan sebagainya. Tapi semua cinta itu tidak boleh lebih lagi dari cinta kita kepada Allah.
3) Hendaklah ada tawakal kepada Allah. Maksudnya, percaya dan bergantung sepenuhnya kepada Tuhan. Kita mesti terima perkara ini kerana kita harus sedar yang kita adalah hamba sahaja dan kita telah menerimaNya sebagai Tuhan kita.
Oleh itu, apa sahaja arahan yang Dia berikan kepada kita, kita mesti percaya yang ianya adalah untuk kebaikan kita. Apa sahaja dugaan yang diberikanNya kepada kita, kita hendaklah terima dan serahkan segalanya kepada Allah.
Kita hendaklah yakin yang Allah hendak meringankan kita dengan berikan hukum dan undang-undang kepada kita untuk kita ikuti. Ini kita boleh lihat dalam surah An-Nisa:28 يُريدُ اللَّهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُم (Allah hendak memberikan keringanan kepadamu). Oleh itu, jangan kita sangka hukum yang Allah telah susun untuk kita itu adalah untuk menyusahkan kita. Jangan kita rasa terbeban dengan hukum-hukum itu.
4) Hendaklah ada keikhlasan. Apabila kita melakukan sesuatu, terutama dalam hal ibadah, kita mesti menjaga hati kita supaya kita lakukannya ikhlas kerana Allah. Kalau kita sedekah harta, jangan kita mahu orang lain tahu supaya kita disanjung.
Tentang ikhlas telah banyak disebut dalam surah-surah dan ayat-ayat yang lain termasuk dalam surah An’am:162 قُل إِنَّ صَلاتي وَنُسُكي وَمَحيايَ وَمَماتي لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ (Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam).
Kita juga hendaklah menjaga niat kita. Kadang-kadang kita mula untuk berkhidmat dalam memperkembangkan agama – dalam dakwah, dengan berceramah, dengan menulis, mengajar dan sebagainya. Mulanya kita memang ikhlas. Tapi lama kelamaan, kalau kita tidak jaga, nanti bimbang akan terlari sedikit niat kita – kita mula berharap orang kenal kita, sanjung dan puji kita.
Tandanya, kalau orang tidak hargai usaha kita, kita mula terasa hati dan mula meninggalkan usaha kita. Dalam keadaan seperti itu, kita hendaklah bertanya semula diri kita – Apakah aku buat usaha agama ini kerana hendak mendapatkan pujian orang? Tidak, bukan? Kita lakukan usaha agama ini adalah kerana Allah, mengharapkan balasan daripada Allah, bukannya daripada manusia. Kadang-kadang kita tidak perasan perkara ini, maka mesti jaga sungguh-sungguh dan jaga sentiasa.
5) Sedar status kita sebagai hamba. Apabila kita dapat kerja, kita ada kontrak pekerjaan, bukan? Dalam kontrak itu menyenaraikan apakah tugas kita dan apa tugas syarikat. Ianya adalah satu kefahaman dan persetujuan dari kedua-dua belah pihak.
Begitu juga dalam perkahwinan, antara anak dan ibubapa, antara kerajaan dan rakyatnya – semua ada perjanjian sama ada bertulis ataupun tidak. Selalunya perjanjian itu adalah hasil dari kompromi, hasil perbincangan antara kedua pihak yang menyenaraikan hak-hak masing-masing.
Tapi dengan Allah, terma perjanjian itu adalah satu hala sahaja – kita tidak ada kuasa untuk kompromi dengan Allah. Ianya datang daripada Allah dan kita hendaklah terima sahaja, tidak boleh hendak berbincang lagi. Kita tidak layak untuk perbincangan apakah kewajipan kita dan sama ada kita mahu lakukan ataupun tidak. Kita mesti sedar yang kita adalah hamba dan tidak ada hak untuk hal itu.
Kafir Mekah memang mereka ada tawaf Ka’bah, solat, sujud dan sebagainya; tapi amalan ibadah mereka tidak ikut ketetapan daripada Allah – mereka reka sendiri sahaja. Itu tidak diterima. Kalau ianya ikut apa yang Allah suruh, barulah boleh diterima. Maka, untuk diterima, ianya mestilah datang daripada Rasul kerana Rasul yang menyampaikan kehendak Allah kepada umat. Jangan suka-suka buat ibadah dan cara sendiri.
Oleh itu, apabila melihat syarat-syarat di atas, kita dapat tahu yang ubudiyyah (penghambaan) bukan sahaja mengerjakan ibadah, ada banyak perkara yang kita mesti jaga. Semua perkara ini termaktub dalam maksud عبد.
Oleh itu, apabila Rasulullah disuruh beritahu mereka لا أَعبُدُ ما تَعبُدونَ, ia bukan sahaja bermaksud: “aku tidak akan sembah apa yang kamu sembah”, tapi ia juga bermaksud: “aku tidak akan memperhambakan diri kepada apa yang kamu hambakan diri itu”. Tapi susahlah untuk diterjemahkan begitu, maka itulah sebabnya perlu belajar tafsir dan tahu bahasa Arab juga. Kalau bergantung kepada terjemahan sahaja, memang tidak akan dapat kefahaman.
Oleh itu, kita tahu yang ‘ibadah’ adalah perbuatan-perbuatan tertentu, dalam waktu-waktu tertentu; tapi dalam masa yang sama, kita sentiasa menjadi hamba kepada Allah, dalam setiap ketika. Ini adalah amat penting sekali untuk difahami – kita bukan sahaja mesti melakukan ibadah kepada Allah, tapi di antara waktu-waktu ibadah itu, kita hendaklah menghambakan diri kepada Allah.
Maksudnya di sini, kita mesti ikut dan taat apa yang Allah suruh kita lakukan. Ramai orang yang menyembah Allah, tapi mereka tidak bersikap seperti seorang hamba Allah. Menjadi hamba adalah pekerjaan sepenuh masa – sama ada dalam ibadah atau tidak. Kerana tidak faham perkara inilah yang menyebabkan ada yang solat, tapi menjual arak di kedai mereka. Itu adalah kerana mereka rasa sudah cukup dengan melakukan ibadat sahaja.
Kalimah أَعبُدُ ini dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak pernah melakukan amalan syirik, walaupun sebelum baginda menjadi Nabi. Cuma, hanya apabila baginda diberikan dengan wahyu barulah baginda benar-benar menghambakan diri kepada Allah kerana sebelum itu baginda tidak ada maklumat.
Sebelum itu, baginda mencari-cari kebenaran dan Allah telah memberi kebenaran itu seperti yang difirmankan dalam surah Dhuha:7 وَوَجَدَكَ ضالًّا فَهَدىٰ (Dan Dia mendapatimu mencari-cari, lalu Dia memberikan petunjuk.)
Jadi Musyrikin Mekah itu ada dua masalah: satu, dalam ibadah mereka – kerana mereka tidak lakukan ibadah kepada Allah sahaja; dan kedua, mereka menghambakan diri kepada hawa nafsu mereka dan kerana itu mereka telah melakukan kezaliman.
Kalimah لا dalam ayat ini bukan sahaja bermaksud masa sekarang, tapi juga masa hadapan. Jadi jangan harap yang kita akan ikut perangai orang kafir itu. Bukan sekarang sahaja kita tidak ikut mereka, tapi selama-lamanya. Jadi hendaklah istiqamah.
Ayat 3:
وَلا أَنتُم عابِدونَ ما أَعبُدُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Nor are you worshippers of what I worship.
(MALAY)
Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah.
Dan sekarang Rasulullah disuruh untuk memberitahu di depan muka Musyrikin Mekah itu yang mereka tidak pernah dan tidak akan menyembah Tuhan yang orang Islam sembah.
Kalimah عابِدونَ adalah dalam bentuk isim fa’il, maka ia membawa maksud dulu, sekarang dan akan datang. Maksudnya, Allah beritahu yang mereka itu telah termaktub apa yang mereka akan lakukan – mereka tidak akan berubah.
Kenapa Allah boleh berfirman begini? Kerana begitulah hati mereka. Allah telah sebut dalam surah Zukhruf:79
أَم أَبرَموا أَمرًا فَإِنّا مُبرِمونَ
Atau adakah mereka itu telah mengambil keputusan? Maka Kami juga merancang.
Kalimah yang digunakan adalah إبرم. Ia bermaksud mengikat untuk bina rumah. Zaman dahulu mereka tidak ada simen, maka untuk bina rumah mereka menggunakan tali yang diikat bersama. Tali itu mestilah jenis yang kuat dan diikat serta dililit dengan kemas supaya ianya tidak terungkai.
Allah menggunakan kalimah إبرم itu untuk membayangkan hati mereka yang telah terikat kuat dalam kekufuran. Seperti tali rumah yang tidak akan terungkai kerana diikat kuat, begitu jugalah hati mereka yang telah terikat dengan kekufuran. Kalimah إبرم dalam ayat Zukhruf itu ada dua, tapi berlainan formatnya. Kalimah yang dikaitkan dengan mereka adalah أَبرَموا iaitu dalam format kata kerja (fi’il). Ini bermaksud ianya tidak kekal. Kerana di akhirat nanti, bila mereka sudah nampak kesalahan mereka, barulah mereka hendak buka kembali tali fahaman yang mereka telah ikat kuat itu.
Tapi, kalimah مُبرِمونَ yang Allah nisbahkan kepada DiriNya itu adalah dalam format kata nama (isim) bermaksud kekal. Maksudnya, Allah tidak akan lepaskan keputusanNya untuk memasukkan mereka ke dalam neraka.
Jadi, Allah memerintahkan Nabi beritahu mereka bahawa mereka tidak pernah sembah Allah dengan cara yang benar, dan mereka juga tidak pernah menghambakan diri kepada Allah dengan sepenuhnya.
Tiga ayat pertama dari Surah Kaafiroon ini tentang masa itu dan masa hadapan, bukan masa yang telah lalu sahaja. Oleh kerana Allah beritahu yang mereka tidak akan berubah, maka tidak mungkin ada kompromi dengan mereka. Kerana sampai bila-bila juga mereka tidak akan berubah dari fahaman dan amalan syirik mereka itu.
Ayat 4: Kalau dua ayat sebelum ini tentang waktu semasa dan masa hadapan, sekarang tentang masa yang lepas pula. Jadi dua ayat untuk masa hadapan dan dua ayat untuk masa lepas.
Ayat 4 – 5 adalah Perenggan Makro Kedua. Allah memberitahu yang kedua-dua pihak tetap dengan pendirian masing-masing.
وَلا أَنا عابِدٌ ما عَبَدتُم
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Nor have I been a worshipper of what you worship.
(MALAY)
Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah,
Allah memerintahkan Nabi beritahu yang baginda tidak pernah sembah Tuhan yang mereka sembah itu. Jangan mereka sangka yang Tuhan mereka dan Tuhan Nabi Muhammad SAW itu Tuhan yang sama. Jangan berkata yang baginda tinggalkan Tuhan dan ilah-ilah mereka.
Baginda tidak pernah menyembah berhala dan apa-apa selain Allah. Nabi Muhammad SAW dan mereka tidak pernah seangkatan. Kalau mereka dulu tidak pernah seangkatan, tidak akan sekarang mereka sangka yang mereka boleh berkompromi bersama-sama pula? Itu tidak mungkin terjadi.
Ayat 5:
وَلا أَنتُم عابِدونَ ما أَعبُدُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Nor you never worshipped what I worship.
(MALAY)
dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah.
Ayat ini sama sahaja dengan ayat ke 3, bukan? Tapi, pengulangan dalam ayat ke 5 ini adalah tentang masa lepas sedangkan ayat ke 3 adalah tentang waktu itu dan masa hadapan.
Pengulangan ini juga boleh ditafsir sebagai penegasan. Adakala, apabila kita hendak menekankan sesuatu perkara itu, kita akan ulang ayat itu, bukan? Contohnya kalau sangat benci kepada seseorang, maka kita akan berkata: “aku benci engkau, aku benci engkau!”
Oleh itu, pengulangan kali kedua ini adalah hendak menekankan kemarahan Allah kepada mereka. Kalau kali pertama (dalam ayat ke 3) itu mereka tidak faham, maka sekali lagi ini disebut dalam ayat ke 5.
Kenapa Allah menggunakan kalimah ما (apa) dalam ayat ini dan tidak من (siapa)? Allah tidak berfirman: وَلا أَنتُم عابِدونَ من أَعبُدُ. Kalimah ما selalunya digunakan untuk benda yang tidak bernyawa, bukan? Salah satu cara untuk memahaminya adalah, ia merujuk kepada ‘perbuatan’ menyembah itu. Maksudnya, Allah hendak tekankan yang mereka tidak melakukan perbuatan sembahan yang sama dengan Nabi lakukan. Cara amalan mereka itu adalah amalan yang salah dan bukan cara yang benar dalam agama.
Tafsiran kedua: apabila ما digunakan, ianya untuk merendahkan Tuhan yang mereka sembah. Alangkah rendahnya Tuhan yang mereka sembah kalau dibandingkan dengan Tuhan (Allah) yang Nabi Muhammad SAW sembah.
Ini adalah kerana ما dan من tidak sama. Kalau من ia melibatkan identiti (siapa yang dimaksudkan) dan kalau ما ia melibatkan kualiti atau sifat (dia peguam, peniaga…). Oleh itu, sifat Allah yang hebat dibandingkan apabila digunakan kalimah ما dalam ayat 3 dan 5 ini. Sifat Tuhan yang Nabi Muhammad SAW sembah itu adalah amat hebat dan sifat Tuhan yang mereka sembah itu adalah lemah sekali.
Seolah-olah Nabi Muhammad SAWA mengejek mereka: “kamu sangka Tuhan yang kamu sembah itu sama hebat dengan Tuhan yang aku sembah? Tidak sama sekali. Adakah kau sangka ibadah aku kepada Tuhan aku sama dengan ibadah kamu terhadap Tuhan kamu itu? Tidak sama sekali!”
Ayat 6: Ayat 6 ini adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia menyuruh Nabi memberitahu mereka: “kamu bebas dengan agamamu dan aku juga bebas dengan agamaku”.
Ini adalah ayat terakhir surah ini. Tapi , ia mungkin ayat yang paling disalah tafsir oleh masyarakat kita. Mari kita lihat apakah sebenarnya tafsir ayat ini.
لَكُم دينُكُم وَلِيَ دينِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
For you is your religion, and for me is my religion.”
(MALAY)
Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku”.
Selalunya ayat ini diterjemahkan begini: “Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku”. Kita akan bincangkan kenapa terjemahan ini tidak berapa tepat dan perlu penjelasan lagi.
Kalimah لَكُم adalah taqdim (diawalkan). Kalau dalam bahasa Arab, penggunaan yang biasa adalah دينُكُم لَكُم. Apabila kalimah لَكُم ditaqdimkan (diawalkan), ia bermaksud takhassus – eksklusif – membawa maksud ‘hanya’. Oleh itu, yang dimaksudkan dalam ayat ini: cara hidup kamu itu (دينُكُم), HANYA untuk kamu sahaja. Ia tidak akan pernah jadi untuk aku (Nabi Muhammad SAW).
Jadi, sekali lagi kalimah لِيَ itu juga adalah dalam bentuk taqdim – membawa maksud takhassus juga – cara hidup (deen) aku ini adalah UNTUK aku sahaja – ianya tidak akan bertemu.
Dalam erti kata lain, Nabi Muhammad SAW sedang memberi isyarat bahawa baginda akan meninggalkan Mekah. Jadi, ayat ini adalah bibit-bibit awal kepada penghijrahan baginda ke Madinah. Ini kerana usaha dakwah kepada puak Musyrikin Mekah itu sudah habis dan sudah tiba masa untuk baginda meninggalkan mereka. Tujuan baginda di Mekah adalah untuk berdakwah kepada mereka dan kerana pintu dakwah telah ditutup, maka baginda tidak perlu lagi berada di situ.
Mari kita lihat kalimah دينِ sekali lagi. Perkara ini telah banyak disebut dalam penulisan tafsir ini dan kita cuma ulang sahaja. Ianya dari kata dasar د ي ن yang bermaksud ‘hutang’. Kalau kita berhutang RM100 dengan seseorang, maka kita mesti pulangkan RM100 semula kepadanya, bukan? Dalam syarak, ianya juga digunakan untuk membawa maksud يَومِ الدّينِ Hari Pembalasan kerana kita akan dapat apa yang sepatutnya kita dapat.
Oleh itu, dari maksud ini, salah satu maksud kalimat لَكُم دينُكُم adalah: “kamu akan dapat apa yang kamu patut dapat.” Apa yang akan dibalas di Hari Pembalasan nanti adalah khusus untuk kamu disebabkan oleh amalan kamu semasa di dunia dulu. Oleh kerana kamu kufur semasa di dunia, kamu akan mendapat balasan buruk di akhirat kelak. Dan maksud وَلِيَ دينِ adalah: “aku akan mendapat balasan yang khusus untuk aku dari amalan aku semasa di dunia.”
Jadi ini bukanlah bermaksud: “untuk kamu agama kamu dan untuk aku agama aku.” Itu seolah-olah membolehkan orang lain lakukan apa sahaja yang mereka suka, bukan? Seolah-olah kita berkata: aku tidak campur urusan kamu dan kamu jangan campur urusan aku.
Ini adalah kefahaman yang silap. Kerana ia tidak kena dengan konteks ayat. Kita mesti lihat semula siapakah Musyrikin Mekah itu – mereka telah mendengar dakwah Nabi sudah 10 tahun, tapi mereka masih juga hendak mengamalkan amalan kufur. Dan amalan mereka itu salah dan tidak patut kita membenarkan amalan mereka itu.
Jadi, ini juga bermaksud yang Nabi tidak akan membiarkan mereka berterusan begitu. Oleh kerana musyrikin itu tetap akan meletakkan berhala mereka di Ka’bah, dan tugas baginda adalah untuk membersihkan Ka’bah itu dari syirik seperti yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s., maka ini bermaksud akan ada konflik di antara Nabi Muhammad SAW dan Musyrikin Mekah itu nanti. Kerana untuk menegakkan agama Islam yang sebenar, agama amalan mereka tidak boleh ada lagi. Agama mereka mesti dimusnahkan.
Ini memberi isyarat akan peperangan antara mereka kerana kalau mereka tetap berdegil, maka tindakan keras akan diambil. Kerana tugas baginda disebut dalam surah Saff:9
هُوَ الَّذي أَرسَلَ رَسولَهُ بِالهُدىٰ وَدينِ الحَقِّ لِيُظهِرَهُ عَلَى الدّينِ كُلِّهِ وَلَو كَرِهَ المُشرِكونَ
Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang musyrik membenci.
Dalam ayat ini diberi isyarat peperangan antara mereka dan dalam ayat seterusnya nanti (surah an-Nasr) akan diberi isyarat kemenangan kepada pihak Islam.
Jadi, baginda akan tetap menjalankan tugas baginda walaupun baginda berseorangan. Lihatlah surah ini ditujukan kepada baginda. Allah menggunakan kalimah قل (katakanlah) yang dalam bentuk mufrad (satu) yang merujuk kepada baginda. Allah tidak berkata: قولوا (katakanlah kamu semua). Allah beri arahan kepada Nabi seorang sahaja.
Manusia menyangka yang Nabi memerlukan para sahabat untuk membantu baginda, namun tidak begitu sebenarnya. Allah telah beritahu kepada para sahabat, kalau mereka tidak membantu baginda, Allah tetap akan membantu baginda. Mereka diberi peluang sahaja untuk membantu, dan kalau tidak membantu sekalipun, mereka yang rugi. Lihatlah bagaimana pada Perang Hunayn, kerana tentera Islam diserang dengan tiba-tiba, mereka telah meninggalkan Rasulullah SAW. Tapi baginda tidak lari, tetap di tempat baginda. Ini kerana baginda yakin dengan bantuan Allah.
Balaghah: Kalimah دينِ (agamaku) sepatutnya dieja begini ديني (agamaku) kerana untuk menunjukkan kepunyaan (aku) mestilah ada huruf ي yang dinamakan ‘ya mutakallim’ (kepunyaan orang yang berkata). Ini bermaksud, ada hazaf (dihilangkan) pada kalimah دينِ itu.
Dalam ilmu balaghah apabila ada hazaf, ia membawa maksud berkekalan. Juga, kalau ada diletakkan huruf ي itu, maksudnya ia boleh berubah. Oleh itu, apabila digunakan دينِ dengan dihazafkan huruf ي itu, ia bermaksud agama Islam itu kekal, tidak berubah-ubah. Tidaklah agama Islam ini berubah-ubah – kejap begitu dan kejap begini seperti agama orang kafir itu.
Bayangkan Musyrikin Mekah itu berubah-ubah cara penyembahan mereka, ikut suka mereka. Ilah mereka juga boleh berubah, hinggakan kadang-kadang makanan juga menjadi berhala. Ada kisah bagaimana mereka bermusafir dan kerana hendak buat berhala, mereka jadikan kurma disusun-susun sebagai berhala. Tapi apabila lapar, mereka makan pula ‘berhala’ mereka dari kurma itu!
Tapi, agama Islam ada ketetapan. Allah yang disembah dari dulu hingga kini dan sampai bila-bila. Itulah Tuhan di masa senang dan di masa susah; itulah Tuhan di dalam rumah dan di luar rumah – di mana-mana sahaja.
Juga cara penyembahan kita tidak bertukar-tukar seperti agama lain. Sebab itulah kita larang orang dari lakukan bidaah, kerana itu adalah pengubahan dalam cara ibadah yang dilarang dalam agama. Agama Islam kita telah tetap dari dulu sampai bila-bila dan tidak perlu diubah-ubah.
Ada juga yang mengatakan yang hazaf ي dalam kalimah دينِ itu adalah sebagai taukid – penekanan.
Penutup:
Kita telah pernah sebut bagaimana 10 surah terakhir ini banyak menceritakan tentang Rasulullah SAW. Termasuk dalam perkara ini adalah bagaimana baginda meneruskan perjuangan Nabi Ibrahim a.s. Salah satu sunnah Nabi Ibrahim a.s. adalah meninggalkan kaum baginda seperti yang disebut dalam surah Mumtahinah:4.
قَد كانَت لَكُم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ في إِبرٰهيمَ وَالَّذينَ مَعَهُ إِذ قالوا لِقَومِهِم إِنّا بُرَآءُ مِنكُم وَمِمّا تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ كَفَرنا بِكُم وَبَدا بَينَنا وَبَينَكُمُ العَدٰوَةُ وَالبَغضاءُ أَبَدًا حَتّىٰ تُؤمِنوا بِاللهِ وَحدَهُ
Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dari daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah saja.
Begitulah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan sekarang dalam surah al-Kaafiroon ini pula disebut tentang Nabi Muhammad SAW juga meninggalkan kaum baginda kerana mereka telah tidak ada peluang untuk berubah. Maksudnya, apa yang baginda lakukan ini adalah sunnah Nabi Ibrahim a.s. juga, bukan baginda yang mula-mula lakukan.
Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah an-Nasr.
Kemaskini: 30 September 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan.