Tafsir Surah Mumtahanah Ayat 3 – 5 (Orang Islam menyebabkan orang kafir tidak masuk Islam)

Mumtahanah Ayat 3:

لَن تَنفَعَكُم أَرحامُكُم وَلا أَولٰدُكُم ۚ يَومَ القِيٰمَةِ يَفصِلُ بَينَكُم ۚ وَاللهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Never will your relatives or your children benefit you; the Day of Resurrection He will judge between you. And Allāh, of what you do, is Seeing.

(MELAYU)

Karib kerabat dan anak-anakmu sekali-sekali tiada bermanfaat bagimu pada Hari Kiamat. Dia akan memisahkan antara kamu. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

 

لَن تَنفَعَكُم أَرحامُكُم وَلا أَولٰدُكُم

Karib kerabat dan anak-anakmu sekali-sekali tiada bermanfaat bagimu pada Hari Kiamat. 

Allah beritahu dalam ayat ini: Kasih sayang kamu kepada mereka yang kafir itu tidak akan beri faedah kepada kamu. Mereka tidak dapat menyelamatkan kamu dari neraka Allah ﷻ. Mereka tidak akan mempertahankan kamu. Mereka tidak akan beri alasan untuk menyelamatkan kamu.

Macam kisah Hatib, di hari akhirat nanti ahli keluarga dia tidak akan pertahankan dia pun. Mereka tidak akan kata: “Hatib buat begitu kerana nak tolong kami, ya Allah!”

Di hari akhirat kelak, semua orang akan sibuk dengan dirinya sendiri. Seperti disebut dalam ayat yang lain, Abasa:34-37:

يَومَ يَفِرُّ المَرءُ مِن أَخيهِ

pada hari ketika manusia lari dari saudaranya,

وَأُمِّهِ وَأَبيهِ

dari ibu dan bapanya,

وَصاحِبَتِهِ وَبَنيهِ

dari isteri dan anak-anaknya.

لِكُلِّ امرِئٍ مِنهُم يَومَئِذٍ شَأنٌ يُغنيهِ

Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.

 

يَومَ القِيٰمَةِ يَفصِلُ بَينَكُم

Dia akan memisahkan antara kamu. 

Kamu sangka kamu rapat dengan mereka, tapi nanti di akhirat nanti kamu akan dipisahkan dari mereka. Tidak akan dapat duduk bersama pun, jadi hendak tolong macam mana?

Semua akan diadili ikut apa yang dia telah lakukan semasa di dunia, tidak ada kena mengena dengan ahli keluarga dia. Tidak diadili manusia nanti secara berkumpulan.

Oleh kerana itu jangan kita buat kesalahan dan dosa kerana untuk kebaikan orang lain. Jangan kerana mereka, kita pun dapat dosa. Mereka nanti bukan boleh tolong kita pun. Ini penting kerana ada orang yang tidak tegur kesalahan ahli keluarga dia; atau ada yang buat dosa kerana ikut ahli keluarga dia.

Ini juga bermaksud yang Allah akan pisahkan antara ahli syurga dan ahli neraka. Mereka tidak duduk bersama-sama kerana amalan dan iman tidak sama. Maka tidak perlu berkasih sayang dengan mereka.

 

وَاللهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

Ingatlah yang Allah ﷻ sedang melihat apa sahaja yang kamu lakukan. Pengkhianatan kamu kepada orang Islam mungkin tidak diketahui oleh orang lain, tapi Allah ﷻ tahu segala-galanya.

Walaupun Allah ﷻ tahu apa yang telah dilakukan oleh Hatib, dan Allah ﷻ telah beri wahyu kepada Rasulullah ﷺ tentang perkara itu, tapi apabila surat itu telah didapati, Hatib tetap diberi peluang untuk mempertahankan dirinya dan menjelaskan keadaan dari sudut fahamannya.

Segala perbuatan manusia termasuk para sahabat juga diperhatikan. Walaupun Hatib seorang yang telah berjasa kepada agama (terlibat dalam Perang Badr dan pernah berbai’ah dengan Nabi semaktu Bai’atul Ridwan), tapi apabila dia melakukan kesalahan, beliau tetap juga bersalah dan kisah beliau menjadi pengajaran kepada kita semua. Tidaklah perbuatan salah para sahabat didiamkan begitu sahaja.

Apabila telah terbongkar perbuatan Hatib itu, Saidina Umar رضي الله عنه terus bertindak untuk membunuh Hatib yang beliau lihat sebagai pembelot kerana telah membocorkan rahsia kerajaan Islam. Tapi beliau ditahan oleh Rasulullah ﷺ yang dipandu oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ lebih tahu apa yang ada dalam hati manusia.

Saidina Umar رضي الله عنه juga tidak salah kerana beliau hanya melihat pada luaran sahaja. Dan memang manusia boleh menilai dari luaran sahaja kerana manusia tidak boleh membaca hati manusia. Hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu.

Dan Allah ﷻ tahu bahawa niat Hatib bukanlah untuk menjatuhkan Islam. Dan kita pun boleh faham perkara ini kerana Hatib telah berhijrah dari Mekah ke Madinah dan telah berjuang di dalam Perang Badr. Kalau beliau tidak ikhlas dengan agama Islam, tentulah dia tidak melakukan perkara-perkara ini. Alasan yang diberikan juga dapat dikenalpasti sebagai benar: dia dan keluarganya memang pendatang ke Mekah dan tidak ada pelindung.

Walaupun begitu, perbuatan Hatib itu tetap salah dan telah menerima teguran dari Allah ﷻ seperti yang disebut di dalam ayat-ayat surah ini. Tapi tidaklah hukuman yang dikenakan kepada beliau itu seperti hukuman yang diberikan kepada golongan munafik.

Dan tidak ada dalam riwayat yang mengatakan beliau dikenakan dengan apa-apa bentuk hukuman fizikal oleh Rasulullah ﷺ. Tapi apabila tiga ayat ini memperkatakan tentang perbuatannya, tentulah sebagai seorang mukmin itu pun sudah cukup sebagai hukuman berat bagi Hatib.

Kedudukan Hatib sebagai Ahli Badr tidaklah menjadi ‘tiket’ kepada beliau dan Ahli Badr yang lain untuk berbuat dosa. Tapi kerana pengorbanan besar yang mereka telah lakukan di Badr, maka Allah ﷻ melihat mereka dengan pandangan rahmat dan sanggup untuk mengampunkan dosa-dosa mereka jikalau Allah ﷻ mahu.

Melakukan pembocoran rahsia kerajaan Islam tidaklah terus menjadikan seseorang itu kufur atau terkeluar dari Islam. Ianya tetap berdosa, tapi tidaklah sampai mengeluarkan seseorang itu dari Islam.

Apabila Saidina Umar رضي الله عنه hendak membunuh Hatib, Nabi Muhammad ﷺ tidaklah kata hukuman itu tidak boleh. Maknanya itu memang perbuatan yang salah. Cuma baginda ﷺ memberikan ruang kepada Hatib kerana kedudukan beliau sebagai Ahli Badr. Maka ulama fiqh berbeza pendapat apakah hukuman yang dikenakan kepada mata-mata (spy) kerajaan yang membocorkan rahsia kerajaan Islam.

Ada yang kata hukum bunuh dan ada yang kata penjara. Ada yang kata terpulang kepada Khalifah untuk menilai apakah keadaan yang terlibat dan berapa besar kerosakan yang dilakukan.

Dalam mendapat maklumat dari wanita yang menyimpan surat Hatib, Saidina Ali رضي الله عنه dan sahabat yang lain telah mengugut untuk membogelkan wanita itu kalau dia tidak memberikan surat itu. Perkara itu tidaklah terjadi tapi mereka telah mengancam wanita itu yang mereka akan melakukannya jikalau wanita itu tidak memberikan surat itu.

Ini menjadi hujah bahawa dalam mendapatkan maklumat dari orang bersalah, boleh dibogelkan walaupun wanita. Tentu sekali mereka telah memberitahu kepada baginda ﷺ keadaan itu dan baginda tidak menegur mereka kerana telah mengugut begitu.


 

Mumtahanah Ayat 4: Allah ﷻ suruh orang mukmin jadikan perbuatan dan kata-kata Nabi Ibrahim عليه السلام sebagai contoh tauladan. Jangan bersekongkol dengan ahli keluarga yang kafir. Lihatlah apa yang Nabi Ibrahim sanggup lakukan: baginda sanggup berpisah dengan ahli keluarganya yang kufur.

قَد كانَت لَكُم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ في إِبرٰهيمَ وَالَّذينَ مَعَهُ إِذ قالوا لِقَومِهِم إِنّا بُرَآءُ مِنكُم وَمِمّا تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ كَفَرنا بِكُم وَبَدا بَينَنا وَبَينَكُمُ العَدٰوَةُ وَالبَغضاءُ أَبَدًا حَتّىٰ تُؤمِنوا بِاللهِ وَحدَهُ إِلّا قَولَ إِبرٰهيمَ لِأَبيهِ لَأَستَغفِرَنَّ لَكَ وَما أَملِكُ لَكَ مِنَ اللهِ مِن شَيءٍ ۖ رَّبَّنا عَلَيكَ تَوَكَّلنا وَإِلَيكَ أَنَبنا وَإِلَيكَ المَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

There has already been for you an excellent pattern1 in Abraham and those with him, when they said to their people, “Indeed, we are disassociated from you and from whatever you worship other than Allāh. We have denied you, and there has appeared between us and you animosity and hatred forever until you believe in Allāh alone” – except for the saying of Abraham to his father, “I will surely ask forgiveness for you, but I have not [power to do] for you anything against Allāh. Our Lord, upon You we have relied, and to You we have returned, and to You is the destination.

  • An example to be followed.

(MELAYU)

Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dari daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah saja. Kecuali perkataan Ibrahim kepada bapanya: “Sesungguhnya aku akan memohonkan ampunan bagi kamu dan aku tiada dapat menolak sesuatu pun dari kamu (seksaan) Allah”. (Ibrahim berkata): “Ya Tuhan kami hanya kepada Engkaulah kami bertawakkal dan hanya kepada Engkaulah kami bertaubat dan hanya kepada Engkaulah kami kembali”.

 

قَد كانَت لَكُم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ في إِبرٰهيمَ

Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim

Kisah para Nabi عليهم السلام sepatutnya dijadikan sebagai tauladan bagi kita. Mereka itu adalah contoh yang amat baik bagi orang yang beragama. Dalam Nisa:69 disebut yang para Nabi عليهم السلام adalah antara golongan yang mendapat nikmat dari Allah ﷻ. Maka kita kenalah ikut cara hidup mereka dan perjuangan mereka untuk kita dapat nikmat dari Allah ﷻ. Kita tidak boleh jadi Nabi, tapi kita tetap boleh ikut cara-cara mereka.

Salah seorang Nabi yang besar adalah Nabi Ibrahim عليه السلام. Ada banyak kisah baginda dalam Al-Qur’an ini dan kita hendaklah mengkaji kisah-kisah itu dengan saksama.

 

وَالَّذينَ مَعَهُ

dan orang-orang yang bersama dengan dia; 

Bukan sahaja kisah Nabi Ibrahim عليه السلام dijadikan sebagai contoh, tapi kisah mereka yang bersama baginda juga patut dijadikan sebagai contoh.

Dalam ayat ini kita dapat tahu satu perkara yang kita mungkin tidak tahu sebelum ini, iaitu Nabi Ibrahim عليه السلام juga ada para sahabat yang bersama dengan baginda. Tapi tidak banyak maklumat yang kita tahu tentang mereka. Secara umumnya, yang mengikut Nabi Ibrahim عليه السلام memang tidak ramai.

 

إِذ قالوا لِقَومِهِم إِنّا بُرَآءُ مِنكُم وَمِمّا تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ

ketika mereka berkata kepada kaum mereka: “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah selain Allah, 

Para sahabat Nabi Ibrahim عليه السلام itu telah beriman dan mereka sanggup taat kepada ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Mereka berpegang dengan ajaran tauhid sampaikan mereka sanggup berlepas diri dari puak mereka yang mengamalkan syirik. Inilah sekali lagi contoh wala’ wal bara’ yang kita perlu ikuti. Hendaklah berlepas diri dari orang yang melakukan perlanggaran syariat.

Kalimah baraa’ adalah sama seperti apa yang ada dalam Surah Tawbah (juga salah satu nama Surah Tawbah) dan kita telah katakan di awal surah ini yang Surah Mumtahanah ini memang berkait rapat dengan Surah Tawbah.

Salah satu dari pegangan agama adalah menolak taghut. Maka Nabi Ibrahim عليه السلام dan pengikut baginda telah menolak kesyirikan yang dilakukan oleh kaum baginda. Kita tidak boleh bersama dengan golongan musyrik itu dan menerima apa yang mereka lakukan.

Apabila Nabi Ibrahim عليه السلام dan para sahabat baginda nampak yang kaum mereka tidak akan berubah, maka mereka berlepas diri daripada mereka itu dan bertindak untuk meninggalkan mereka. Maknanya, kena tengok keadaan juga – jangan terus nak tinggalkan, kerana kita kena berdakwah juga kepada mereka. Hanya apabila sudah lama berdakwah dan mereka tetap tidak mahu beriman, maka waktu itulah baru meninggalkan mereka.

 

كَفَرنا بِكُم

kami ingkari (kekafiran)mu 

Nabi Ibrahim عليه السلام dan para sahabat baginda kufur (menolak) dengan perbuatan kaum mereka;  bermaksud orang mukmin itu tidak nampak yang kaum mereka itu ada harapan untuk beriman lagi.

 

وَبَدا بَينَنا وَبَينَكُمُ العَدٰوَةُ وَالبَغضاءُ أَبَدًا

dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya

Oleh kerana amalan syirik mereka sudah sebati dalam diri mereka, maka mereka tidak akan dapat bersatu atas dasar tauhid. Maka tentu nyata permusuhan dan kebencian antara mereka. Kerana akidah tidak sama dan pegangan pun tidak sama. Dan kerana itu, amalan pun tidak akan sama.

 

حَتّىٰ تُؤمِنوا بِاللهِ وَحدَهُ

sampai kamu beriman kepada Allah saja. 

Maka permusuhan dan kebencian itu akan tetap ada melainkan jika mereka yang musyrik itu meninggalkan amalan dan fahaman syirik mereka dan beriman kepada tauhid juga. Maka penolakan kepada perlakuan syirik itu bukan sekejap-sekejap sahaja tapi selama-lamanya melainkan mereka berubah. Waktu itu barulah boleh duduk bersama dengan mereka di atas satu akidah.

Allah ﷻ telah menceritakan tentang contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام. Baginda mengajak kepada ajaran tauhid dan berlepas diri dari mereka yang berfahaman musyrik. Maka itu adalah contoh baik yang kita sebagai umat Islam kena ikut.

Kecuali satu perkara yang kita tidak boleh ikut dari perbuatan Nabi Ibrahim عليه السلام. Apakah ia?

 

إِلّا قَولَ إِبرٰهيمَ لِأَبيهِ

Kecuali perkataan Ibrahim kepada bapanya:  

Nabi Ibrahim عليه السلام sangat sayang kepada ayahnya dan tidak sanggup memikirkan ayahnya dibakar di dalam neraka maka baginda berjanji untuk meminta ampun bagi pihak ayahnya. Sebelum baginda meninggalkan bapa baginda untuk menuju ke Palestin, baginda telah berjanji kepada ayahnya.

 

لَأَستَغفِرَنَّ لَكَ

“Sesungguhnya aku akan memohonkan ampunan bagi kamu

Baginda berjanji kepada bapanya yang baginda akan meminta ampun bagi pihak bapanya. Ini telah disebut dalam Maryam:47

قالَ سَلامٌ عَلَيكَ ۖ سَأَستَغفِرُ لَكَ رَبّي ۖ إِنَّهُ كانَ بي حَفِيًّا

Nabi Ibrahim berkata: ” Selamat tinggallah ayah; aku akan memohon kepada Tuhanku mengampuni dosamu; sesungguhnya Dia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya kepadaku.

Dan juga telah disebut dalam Syu’ara’:86

وَاغفِر لِأَبي إِنَّهُ كانَ مِنَ الضّالّينَ

dan ampunilah bapaku, kerana sesungguhnya dia adalah termasuk golongan orang-orang yang sesat,

Maka sebagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام lakukan terhadap kaum keluarga dan umat baginda (meninggalkan mereka), maka hendaklah kamu orang-orang Mukmin ikut contoh baginda itu. Yang tidak boleh ikut contoh baginda adalah apabila baginda berdoa supaya Allah ﷻ mengampunkan dosa bapanya. Larangan ini telah disebut dalam Tawbah:113

ما كانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذينَ آمَنوا أَن يَستَغفِروا لِلمُشرِكينَ وَلَو كانوا أُولي قُربىٰ مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُم أَنَّهُم أَصحابُ الجَحيمِ

Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat(nya), sesudah jelas bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahanam.

Maka kalau kita ada ibubapa yang telah mati dalam akidah kufur, maka tidak ada cara lagi bagi kita untuk menyelamatkan mereka lagi. Masa mereka untuk bertaubat telah berlalu. Allah ﷻ boleh ampunkan dosa lain, kecuali dosa syirik. Maka mereka tidak ada harapan lagi.

Tidak boleh gunakan contoh Nabi Ibrahim عليه السلام dalam ayat Surah Mumtahanah ini kerana tidak ada larangan lagi pada waktu itu dan baginda tidak tahu. Maka orang yang masuk Islam hanya boleh doakan ibu bapa mereka semasa ibu bapa mereka masih hidup sahaja (supaya mereka diberi hidayah). Selepas itu tidak boleh lagi.

 

وَما أَملِكُ لَكَ مِنَ اللهِ مِن شَيءٍ

dan aku tiada dapat menolak sesuatu pun dari kamu (seksaan) Allah”.

Baginda عليه السلام tahu baginda tiada kuasa nak minta ampun dan memberi keampunan kepada bapa baginda. Baginda عليه السلام cuma ikhtiar sahaja dengan berdoa kepada Allah ﷻ. Maka, dikatakan yang kalaulah ada perkara lain yang baginda عليه السلام boleh buat untuk ayahnya itu, baginda akan lakukan kerana baginda sayang kepada ayahnya.

Dan apabila Nabi Ibrahim عليه السلام sedar kesalahan baginda meminta ampun bagi pihak bapanya itu, maka baginda telah meninggalkan doa baginda itu seperti disebut dalam Tawbah:114

وَما كانَ استِغفارُ إِبراهيمَ لِأَبيهِ إِلّا عَن مَوعِدَةٍ وَعَدَها إِيّاهُ فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ أَنَّهُ عَدُوٌّ لِلَّهِ تَبَرَّأَ مِنهُ ۚ إِنَّ إِبراهيمَ لَأَوّاهٌ حَليمٌ

Dan permintaan ampun dari Ibrahim (kepada Allah) untuk bapanya tidak lain hanyalah kerana janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya itu. Maka, tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa bapanya itu adalah musuh Allah, maka Ibrahim berlepas diri dari padanya. Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun.

Jadi, ini adalah dalil bahawa yang kita hanya ikut amalan para Nabi عليهم السلام yang mereka telah lakukan sehingga ke akhir hayat mereka. Kalau amalan itu para Nabi عليهم السلام sendiri tinggalkan, maka tidaklah boleh kita nak ikut. Jadi tidak boleh menggunakan dalil perbuatan Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa untuk ayahnya ini sebagai amalan kita pula. Kerana baginda عليه السلام pun sedar kesalahan baginda itu dan baginda sendiri tinggalkan.

 

رَّبَّنا عَلَيكَ تَوَكَّلنا

“Ya Tuhan kami hanya kepada Engkaulah kami bertawakkal 

Ini adalah doa Nabi Ibrahim عليه السلام dan para sahabat baginda apabila mereka meninggalkan kaum mereka menuju ke tempat lain. Ini menunjukkan baginda dan orang mukmin hanya bertawakal kepada Allah ﷻ sahaja dan menyerahkan urusan mereka kepada-Nya.

 

وَإِلَيكَ أَنَبنا

dan hanya kepada Engkaulah kami bertaubat 

Memang hanya kepada Allah ﷻ sahaja tempat harapan dan pergantungan kita. Kalau kita telah melakukan kesalahan, maka kita kena kembali kepada Allah ﷻ.

 

وَإِلَيكَ المَصيرُ

dan hanya kepada Engkaulah kami kembali”.

Kita semua akan mengadap Allah ﷻ dan akan dipertanggungjawabkan di atas segala perbuatan kita selama kita hidup di dunia. Maka kena sedar perkara ini dan ingat sentiasa. Kalau kita dapat ingat, maka tentulah kita takut untuk melakukan kesalahan dan dosa. Kerana kita takut untuk menjawab di hadapan Allah ﷻ nanti.


 

Mumtahanah Ayat 5: Ini adalah munajat (doa secara bersendirian) Nabi Ibrahim عليه السلام kepada Allah ﷻ.

رَبَّنا لا تَجعَلنا فِتنَةً لِّلَّذينَ كَفَروا وَاغفِر لَنا رَبَّنا ۖ إِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Our Lord, make us not [objects of] torment for the disbelievers and forgive us, our Lord. Indeed, it is You who is the Exalted in Might, the Wise.”

(MELAYU)

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami fitnah bagi orang-orang kafir. Dan ampunilah kami ya Tuhan kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

 

رَبَّنا لا تَجعَلنا فِتنَةً لِّلَّذينَ كَفَروا

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami fitnah bagi orang-orang kafir.

Ada beberapa tafsir bagi ayat ini:

1. Kalimah ‘fitnah’ bermaksud ‘ujian’ (bukan seperti fahaman kebanyakan orang Melayu tentang maksud ‘fitnah’, itu sebenarnya ‘tohmah’). Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa supaya jangan jadikan umat Islam sebagai mangsa kepada orang-orang kafir kerana orang-orang kafir akan buat macam-macam perkara yang buruk kepada manusia. Janganlah orang Islam menjadi mangsa bagi ujian itu.

Sebagai contoh, kalau dimenangkan orang kafir ke atas orang mukmin, orang mukmin boleh menggunakan ini sebagai hujah untuk mengatakan yang mereka yang kafir itulah yang benar dan orang mukmin itu pula yang salah. Kerana ramai manusia sangka yang menang, yang kaya, yang senang itu yang benar (walaupun sebenarnya tidak).

Jadi ini adalah doa minta keselamatan dari tangan orang-orang kafir. Doa ini amat penting dan Allah ﷻ ajar terutama kepada para sahabat Nabi ﷺ dan ahli keluarga mereka yang sedang diganggu atau dibunuh oleh orang-orang kafir. Kita pun boleh gunakan doa ini kerana ianya amat baik sekali.

 

2. Satu lagi maksud yang lebih dalam dari doa ini adalah supaya kita tidak menjadi ‘ujian’ kepada orang-orang kafir dari masuk Islam. Ini kerana jika mereka lihat akhlak kita dan perbuatan kita yang buruk, ia boleh menyebabkan mereka tidak mahu masuk ke dalam agama Islam. Kerana mereka tentu akan sangsi: “kalau agama Islam ini benar, tentu orang yang menganutinya juga adalah baik. Tapi aku lihat orang Muslim ini teruk-teruk perangainya”.

Memang tidak dapat dinafikan ramai dari kalangan orang Islam yang tidak mengamalkan agama Islam dengan benar. Maka perbuatan mereka telah menyebabkan nama Islam dikotori. Orang tidak pandang tinggi kepada Islam kerana melihat kepada orang Islam itu sendiri. Padahal, kesucian agama Islam tidak bergantung kepada penganutnya. Agama Islam itu sudah benar, tapi penganutnya sahaja yang tidak tahu mengamalkannya.

Ujian bagi orang yang belum masuk Islam adalah membezakan antara ‘agama Islam’ dan ‘orang Islam – Muslim’. Ianya tidak semestinya sama. Kalau mereka nilai agama Islam dan Muslim itu sama, ada kemungkinan mereka akan pandang agama Islam itu sebagai buruk. Kerana itu ada orang yang pernah berkata: “Alhamdulillah aku kenal Islam sebelum aku kenal orang Muslim”.

Kerana kalau dia kenal dan lihat perangai orang Islam yang buruk, mungkin dia pun tidak teringin nak masuk Islam. Tapi dia sempat mempelajari agama Islam yang benar yang menyebabkan dia tertarik dan dia masuk Islam. Selepas itu baru dia tahu yang rupanya ramai orang Islam yang tidak mengamalkan agama Islam dengan benar pun.

Maknanya kita berdoa supaya kita tidak menjadi penghalang kepada orang-orang kafir untuk kenal dan masuk Islam. Janganlah mereka lihat kita dan terus buat keputusan yang agama Islam itu adalah agama yang buruk. Maka kita minta Allah perbaiki diri kita supaya kita ini baik dan menjadi contoh yang baik bagi agama Islam.

Kita kena sedar realiti umat Islam sekarang  yang buruk perangainya. Ini adalah satu perkara yang amat memalukan sebagai contoh ada negara Islam yang menindas rakyatnya; dan kita pun boleh nampak akhlak ramai orang Islam sekarang amat buruk sampaikan ia memberi kesan yang buruk kepada agama Islam sendiri. Ini kerana orang bukan Islam tentu melihat dan menilai: kalau agama Islam ini baik maka tentulah umatnya juga baik, bukan?

Ini tidak semestinya kerana ada sahaja orang Islam yang tidak amalkan ajaran dalam agamanya pun. Masalahnya orang-orang bukan Islam ramai yang melihat semua orang Islam sebagai ‘wakil’ kepada agama Islam dan segala perbuatan orang-orang yang bodoh di kalangan kita pun merujuk kepada kesalahan di dalam agama ini.

Ini tidak dapat dipersalahkan sangat kerana mereka bukannya mahu melihat ‘teori’ tentang agama Islam tetapi mereka mahu melihat bagaimana Islam dipraktikkan oleh orang-orang Muslim. Ini memang kebiasaan manusia. Sebagai contoh, kehebatan sesebuah universiti itu dilihat kepada graduannya, bukan?

Maka perbuatan beberapa orang yang bodoh boleh menyebabkan rosaknya dakwah yang kita hendak sampaikan kepada orang luar. Maka kita berdoa kepada Allah ﷻ supaya janganlah kita termasuk ke dalam golongan orang yang bodoh itu.

3. Doa ini juga meminta supaya tidaklah orang kafir itu dapat mengalahkan orang Islam sampaikan nanti orang Islam pula akan meninggalkan agama Islam kerana tidak tahan dengan dugaan. Kerana ada yang kalau susah sangat duduk dalam agama Islam, ada yang boleh meninggalkan agama ini. Kerana mungkin ada orang yang tidak tahan dengan ujian kehidupan.

 

وَاغفِر لَنا رَبَّنا

Dan ampunilah kami ya Tuhan kami.

Dan harapan kepada pengampunan juga dipanjatkan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام. Ini kerana memang minta ampun ini hendaklah selalu diamalkan oleh kita setiap hari kerana kita selalu sahaja melakukan kesilapan dan dosa.

 

إِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الحَكيمُ

Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

Sekarang kita diajar tentang sifat-sifat Allah. Di sini disebut yang Allah ﷻ bersifat al-Aziz: Maknanya Allah ﷻ boleh sahaja nak azab sesiapa sahaja yang telah melakukan kesalahan dan syirik. Tidak ada sesiapa yang boleh halang Allah ﷻ. Sebagai contoh, Allah ﷻ boleh kenakan azab kepada manusia bila-bila masa sahaja.

Tapi Allah ﷻ juga bersifat al-Hakeem: ini merujuk kepada kebijaksanaan Allah ﷻ memberi tangguh kepada makhluk-Nya untuk mengubah cara hidup dan amalan mereka. Tidaklah hamba yang berdosa Allah terus beri azab dan hukuman kepada mereka (kita panggil beri ‘cash’).

Ini memberi peluang kepada semua dari kita untuk belajar dan membaiki kesalahan. Kalaulah Allah ﷻ tidak beri tangguh dan teruk azab sesiapa yang berdosa dan melakukan syirik, tentu tidak ada sesiapa yang hidup di dunia ini kerana semua akan mati belaka. Kita dulu sebelum belajar pun entah berapa banyak dosa kita telah buat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 9 Semptember 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

TafsirWeb

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s