Tafsir Surah an-Nisa Ayat 66 – 70 (Empat golongan yang diberi nikmat)

Ayat 66: Allah nak beritahu dalam ayat ini, keputusan yang telah diberikan oleh Nabi itu, samada berat atau ringan, kena diterima.

Juga Allah nak beritahu bahawa apa sahaja yang Allah telah putuskan, itu adalah untuk kebaikan kita sebenarnya. Memang kena ikut pun tapi untuk kebaikan kita sebenarnya. Kena percaya dan jangan tolak untuk terima.

Dan sekarang Allah hendak menceritakan sifat mereka yang lemah iman:

وَلَو أَنّا كَتَبنا عَلَيهِم أَنِ اقتُلوا أَنفُسَكُم أَوِ اخرُجوا مِن دِيٰرِكُم مّا فَعَلوهُ إِلّا قَليلٌ مِّنهُم ۖ وَلَو أَنَّهُم فَعَلوا ما يوعَظونَ بِهِ لَكانَ خَيرًا لَّهُم وَأَشَدَّ تَثبيتًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if We had decreed upon them, “Kill yourselves” or “Leave your homes,” they would not have done it, except for a few of them. But if they had done what they were instructed, it would have been better for them and a firmer position [for them in faith].

MALAY

Dan sesungguhnya kalau Kami wajibkan kepada mereka (dengan perintah): “Bunuhlah diri kamu sendiri, atau keluarlah dari tempat kediaman kamu”, nescaya mereka tidak akan melakukannya, kecuali sedikit di antara mereka. Dan sesungguhnya kalau mereka amalkan nasihat pengajaran (meliputi suruh dan tegah) yang telah diberikan kepada mereka, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih meneguhkan (iman mereka).

 

وَلَو أَنّا كَتَبنا عَلَيهِم أَنِ اقتُلوا أَنفُسَكُم

Dan sesungguhnya kalau Kami wajibkan kepada mereka (dengan perintah): “Bunuhlah diri kamu sendiri,

Kalaulah Allah suruh mereka bunuh diri mereka sendiri, macam yang telah diarahkan kepada umat Nabi Musa dahulu, apakah yang mereka akan lakukan?

Seperti yang kita telah belajar dalam Baqarah:54, puak Yahudi yang telah melakukan kesalahan menyembah patung anak sapi betina itu telah diarahkan untuk membunuh diri mereka dan mereka lakukan.

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Mahmud ibnu Gailan, telah menceritakan kepada kami Bisyr ibnus Sirri, telah menceritakan kepada kami Mus’ab ibnu Sabit, dari pamannya (yaitu Amir ibnu Abdullah ibnuz Zubair) yang mengatakan sehubungan dengan firman-Nya: Dan sesungguhnya kalau Kami perintahkan kepada mereka, “Bunuhlah diri kalian atau keluarlah kalian dari kampung kalian,” niscaya mereka tidak akan melakukannya, kecuali sebahagian kecil dari mereka. (An-Nisa: 66) Ketika ayat ini diturunkan, maka Rasulullah Saw. bersabda:

“لَوْ نَزَلَتْ لَكَانَ ابْنُ أُمِّ عَبْدٍ مِنْهُمْ”.

Seandainya perintah itu diturunkan. niscaya Ibnu Ummi Abdin termasuk dari mereka (yang menaati-Nya).

Tapi, kalau puak munafik itu disuruh membunuh diri mereka, adakah mereka akan buat? Maksudnya, katakanlah Allah suruh mereka yang datang itu kena bunuh diri mereka, adakah mereka akan lakukan?

 

أَوِ اخرُجوا مِن دِيٰرِكُم

atau keluarlah dari tempat kediaman kamu

Atau, katakanlah mereka diarahkan oleh Allah untuk keluar dari kampung halaman mereka sebagaimana yang telah diarahkan kepada umat Nabi Musa, adakah mereka akan lakukan?

Orang yang benar-benar mukmin akan sanggup untuk meninggalkan daerah tempat tinggal mereka. Jangan kita lupa bahawa telah ada kalangan umat yang sebegitu – golongan Muhajirin telah meninggalkan tempat tinggal mereka, rumah mereka, tanah mereka, keluarga mereka dan kekayaan mereka kerana menyahut arahan Allah untuk berhijrah.

 

مّا فَعَلوهُ إِلّا قَليلٌ مِّنهُم

nescaya mereka tidak akan melakukannya, kecuali sedikit di antara mereka. 

Allah nak beritahu yang mereka tidak akan mampu ikut kecuali sedikit sahaja dari kalangan mereka.

Ini adalah kerana mereka tidak beriman sebenarnya. Ataupun mereka itu lemah iman dan mereka tidak akan sanggup nak berkorban atas agama. Mereka tidak akan membahayakan nyawa mereka dan meninggalkan kampung halaman mereka untuk agama Islam.

 

وَلَو أَنَّهُم فَعَلوا ما يوعَظونَ بِهِ لَكانَ خَيرًا لَّهُم

Dan sesungguhnya kalau mereka amalkan nasihat pengajaran (meliputi suruh dan tegah) yang telah diberikan kepada mereka, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka

Kalaulah mereka ikut apa yang telah diarahkan kepada mereka, itu lebih baik untuk mereka. Kerana arahan itu datang dari Allah. Dan apa yang datang dari Allah tentunya baik belaka.

Maka ini mengajar kita yang kita kena taat sepenuhnya kepada apa yang Allah suruh. Dah pernah jadi kepada kaum Musa pun dan mereka ikut. Dan selagi mereka ikut, maka mereka mendapat pertolongan dari Allah.

Walaupun arahan yang Allah berikan itu nampak macam tak masuk akal (akal tidak dapat terima kerana akal kita lemah), maka jangan kita ikut pemikiran kita yang cetek ini. Ketahuilah yang apa sahaja arahan dari Allah adalah tepat sekali, cuma kita sahaja yang tidak nampak kebaikannya.

 

وَأَشَدَّ تَثبيتًا

dan lebih meneguhkan

Itulah perbuatan yang kukuh. Kita kena ikut apa sahaja arahan Allah samada kita nampak hikmahnya atau tidak dalam hukum itu. Perbuatan itu akan mengukuhkan iman mereka. Kerana setiap arahan dari Allah ada hikmahnya, cuma kita sahaja mungkin tidak nampak.

Para ulama selalu mencari apakah hikmah kepada sesuatu amalan itu, tapi ada yang dapat difahami dan ada yang tidak. Tapi kita tetap kena taat juga, bukan?

Surah ini tentang hukum dan tentang golongan munafik. Ada kaitan kenapa disebut keduanya sekali dalam surah ini. Ini adalah kerana golongan munafik itu ada masalah nak ikut hukum yang Allah telah putuskan. Mereka akan rasa berat sahaja nak ikut apa yang telah disampaikan. Mereka akan cari jalan nak tolak dan tidak taat dengan hukum itu. Antaranya mereka kata: “tak masuk akallah kenapa kita kena buat begini… “


 

Ayat 67: Ini balasan kepada mereka yang mahu ikut hukum yang telah disampaikan oleh Allah.

وَإِذًا لَّآتَينٰهُم مِّن لَّدُنّا أَجرًا عَظيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And then We would have given them from Us a great reward.

MALAY

Dan (setelah mereka berkeadaan demikian), tentulah Kami akan berikan kepada mereka – dari sisi Kami – pahala balasan yang amat besar;

 

وَإِذًا

Dan jika begitu,

Jika sekiranya mereka dapat pegang hukum yang telah disampaikan oleh Allah.

 

لَّآتَينٰهُم مِّن لَّدُنّا أَجرًا عَظيمًا

tentulah Kami akan berikan kepada mereka – dari sisi Kami – pahala balasan yang amat besar;

Mereka akan diberikan pahala yang sangat besar.

Dan Allah kata pemberian itu dari SisiNya, jadi ianya bukanlah perkara yang biasa, tapi ianya adalah sesuatu yang amat istimewa.


 

Ayat 68: Ini pula adalah kelebihan kedua yang mereka akan dapat kalau jaga hukum dan taat kepada Rasul.

وَلَهَدَينٰهُم صِرٰطًا مُّستَقيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We would have guided them to a straight path.

MALAY

Dan tentulah Kami pimpin mereka ke jalan yang lurus.

Selalu di dalam solat kita, kita minta kepada Allah supaya bawa kita ke arah ‘Jalan yang lurus’. Nah, sekarang Allah dah beri caranya.

Sekarang Allah beritahu bahawa jalan yang lurus itu adalah dengan taat kepada segala arahan hukum yang datang dari Rasulullah. Dan apabila dapat ikut, mahu ikut, cuba untuk ikut, Allah akan pimpin mereka ke jalan lurus yang membawa ke syurga.


 

Ayat 69: Seperti yang kita selalu dengar pepatah: “tak kenal maka tak cinta”. Kerana kita tidak kenal siapakah Nabi itulah yang menyebabkan kita tidak taat kepada apa yang baginda sampaikan. Maka kita kena kenal Nabi dahulu dan mereka yang mengikuti para Nabi dahulu.

Ayat ini adalah penjelasan siapakah golongan yang ‘diberi nikmat’ dalam Surah Fatihah. Iaitu ayat صِراطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم. Kita kena kenal siapakah mereka supaya kita boleh jadikan mereka sebagai tauladan buat kita. Ada empat golongan yang disebut dalam ayat ini.

Kalau kita nak masuk ke dalam golongan yang mendapat nikmat dari Allah itu, maka hendaklah kita kenal mereka dan cuba ikut jejak langkah mereka.

وَمَن يُطِعِ اللَهَ وَالرَّسولَ فَأُولٰئِكَ مَعَ الَّذينَ أَنعَمَ اللَهُ عَلَيهِم مِّنَ النَّبِيّينَ وَالصِّدّيقينَ وَالشُّهَداءِ وَالصّٰلِحينَ ۚ وَحَسُنَ أُولٰئِكَ رَفيقًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever obeys Allāh and the Messenger – those will be with the ones upon whom Allāh has bestowed favor of the prophets, the steadfast affirmers of truth, the martyrs and the righteous. And excellent are those as companions.

MALAY

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

 

وَمَن يُطِعِ اللَهَ وَالرَّسولَ

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, 

Mereka yang boleh taat kepada Allah adalah hanya mereka yang kenal Allah (seperti yang patut dikenali di dalam Qur’an). Oleh kerana itu, kita kena kenal Allah sebagaimana yang Allah kenalkan DiriNya dalam Qur’an. Maka, kena belajar Tafsir Qur’an, baru boleh kenal Allah.

Bukannya belajar Ilmu Makrifat dari jalan tareqat itu kerana itu bukan caranya. Itu adalah cara khayalan sahaja dan reka-rekaan sahaja. Nak kenal Allah, kenalah kenal dengan ilmu.

Mereka yang boleh taat arahan Rasul adalah kerana mereka kenal baginda. Oleh kerana itu, kena kenal Rasul dengan mempelajari sunnah-sunnah baginda dan sejarah hidup baginda – iaitu Sirah Nabawi. Ini adalah pembelajaran wajib yang perlu ada dalam masyarakat kita.

Dan kita kena faham bahawa untuk taat kepada Allah, kita kena taat kepada Rasulullah. Itulah caranya dan tidak ada cara lain. Kerana bagaimana nak taat kepada Allah, kerana kita tidak tahu apakah yang Allah hendak?

Maka, Allah telah lantik Nabi sebagai Rasul untuk menyampaikan kehendakNya, maka kenalah kita ikut apa yang disampaikan oleh Nabi kerana baginda menyampaikan kehendak Allah. Kita tidak akan dapat maklumat terus dari Allah, bukan?

Allah beri hidayah kepada kita melalui NabiNya. Memang Allah telah beri Qur’an dan Qur’an itu telah sampai pun kepada kita, tapi kalau bukan Nabi yang jelaskan, kita takkan faham.

Oleh kerana itu, amatlah dangkal sekali fikiran mereka yang menolak hadis Nabi seperti golongan anti-Hadis.

Ada pula yang terlalu sesat sampai mereka kata mereka boleh berhubung terus dengan Allah. Ini adalah mereka yang sesat. Itu adalah orang gila. Yang ikut golongan seperti itu pun gila juga.

Ada takdim dan ta’khir dalam ayat ini. Allah mulakan taat kepada Allah sebelum taat kepada Rasul. Oleh itu, taat kepada Qur’an adalah lebih utama daripada taat kepada hadis. Memang kena ikut hadis tapi kena cari ayat Qur’an dahulu sebagai dalil dan nas dalam menghukum. Kalau tidak ada dalam Qur’an, baru kena cari dalam hadis.

Ini seperti hadis yang menceritakan bagaimana Nabi menghantar Muaz untuk menjadi gabenor:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِمُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ حِينَ بَعَثَهُ إِلَى الْيَمَنِ فَذَكَرَ: ” كَيْفَ تَقْضِي إِنْ عَرَضَ لَكَ قَضَاءٌ؟ ” قَالَ: أَقْضِي بِكِتَابِ اللهِ. قَالَ: ” فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي كِتَابِ اللهِ؟ ” قَالَ: فَبِسُنَّةِ رَسُولِ اللهِ قَالَ: ” فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي سَنَةِ رَسُولِ اللهِ؟ ” قَالَ: أَجْتَهِدُ رَأْيِي وَلَا آلُو. قَالَ: فَضَرَبَ صَدْرِي فَقَالَ: ” الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي وَفَّقَ رَسُولَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِمَا يُرْضِي رَسُولَهُ “

Ketika Nabi Muhammad SAW mahu mengutuskan Mu`az ke Yaman, baginda bertanya: Bagaimanakah kamu akan berhukum apabila datang kepadamu suatu masalah? Beliau menjawab: Aku akan berhukum dengan Kitabullah (Al-Qur’an). Soal Nabi lagi: Bagaimana jika tidak terdapat di dalam Kitabullah? Maka Mu`az menjawab: Maka aku akan berhukum dengan Sunnah Rasulullah SAW. Soal baginda lagi: Bagaimana pula jika ia tidak terdapat di dalam Sunnah Rasulullah SAW? Beliau menjawab: Aku akan berijtihad dengan pandanganku dan tidak akan melampau. Kemudian Mu`az bercerita; Setelah itu, Rasulullah menepuk dadaku sambil berkata: Segala puji hanya bagi Allah yang telah membuat sepakat utusan Rasulullah yang menjadikan rasul-Nya redha.

Jadi, di dalam potongan ayat ini sudah ada dua perkara utama yang kita kena jadikan sebagai pegangan kita: Qur’an dan Sunnah. Sebab itu selalu diulang-ulang oleh golongan Sunnah di negara kita (samada para ustaz atau pendakwah), kenalah ikut Qur’an dan Sunnah.

 

فَأُولٰئِكَ مَعَ الَّذينَ أَنعَمَ اللهُ عَلَيهِم

maka mereka yang bersifat sebegitu, akan bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka,

Mereka yang taat kepada Allah dengan taat kepada Rasul itulah yang akan diberi ‘nikmat’ oleh Allah. Ianya terbuka kepada sesiapa sahaja sampailah ke hari kiamat.

Mereka inilah yang dimaksudkan telah mendapat nikmat dalam Surah Fatihah itu: صِراطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم. Maka, kalau kita hendak mendapat nikmat seperti yang dijanjikan oleh Allah dalam surah Fatihah itu, kita kena ikut sunnah Nabi.

Jangan tinggalkan sunnah, jangan lupa belajar sunnah Nabi. Nak belajar benda lain boleh, tapi kenalah belajar tafsir Qur’an dan sunnah Nabi dahulu. Kena dahulukan yang penting dahulu. Kerana nak habiskan tafsir Qur’an dan hadis ini pun ambil masa juga. Jadi kena ada usaha yang fokus.

 

مِّنَ النَّبِيّينَ

iaitu dari kalangan Nabi-nabi,

Kemudian Allah berikan hirarki empat golongan yang telah diberi nikmat itu. Ini adalah susunan keutamaan dan kemuliaan.

Allah mulakan dengan para Nabi dahulu kerana merekalah insan teristimewa yang telah diberikan dengan ilmu pengetahuan yang terus dari Allah dan mereka telah berkorban untuk menyampaikannya.

Kita memang tidak boleh menjadi seperti mereka kerana tidak ada manusia yang akan menjadi Nabi selepas Nabi Muhammad. Tapi walaupun kita tidak boleh menjadi seperti mereka, kita boleh ikut sunnah-sunnah mereka dan apakah perbuatan mereka yang boleh diikuti.

Mereka telah menyampaikan ajaran tauhid kepada umat manusia dan telah berkorban untuk melakukannya. Maka kita pun kenalah sampaikan ajaran tauhid ini kepada manusia dan bersedia untuk berkorban untuk menyampaikannya.

 

وَالصِّدّيقينَ

dan orang-orang Siddiqiin,

Lafaz ‘Siddiq’ adalah dalam sighah mubalaghah – bersangatan, ekstrem. Ini adalah kerana mereka ini adalah mereka yang ‘amat benar’. Kerana merekalah yang mula-mula percaya dan membenarkan para Nabi. Mereka membenarkan para Nabi itu sewaktu tidak ada orang yang terima.

Lihatlah contoh Siddiq yang terkenal, iaitu Abu Bakr as-Siddiq, bagaimana beliau amat percaya kepada Nabi Muhammad. Semua sahabat waktu itu pada mulanya ada ragu-ragu dengan dakwah baginda, tapi Abu Bakr tidak pernah ragu. Dia terus terima apa yang baginda sampaikan.

Oleh itu, golongan siddiqin adalah mereka yang terima kebenaran walau macam mana keadaan pun. Mereka percaya kepada apa yang disampaikan dari Nabi, tapi menuntut dalil kebenarannya. Dan mereka juga golongan yang sanggup berkorban untuk agama.

Lagi satu, mereka ini adalah orang yang ‘benar’. Maksudnya benar percakapan dan perbuatan mereka. Tidaklah mulut cakap lain tapi perbuatan lain pula. Maknanya, orang boleh percaya apa yang mereka kata. Kawan ataupun lawan pun sudah tahu yang dia ini boleh dipercayai kerana dia ada prinsip.

 

وَالشُّهَداءِ

dan orang-orang yang Syahid,

Golongan yang ketiga adalah mereka yang sanggup mengorbankan nyawa mereka untuk menegakkan agama Allah. Mereka berjihad fisabilillah dan mereka telah diberikan dengan kelebihan yang amat-amat tinggi iaitu dimatikan semasa berjuang di jalan Allah.

Kalimah syahid ini dari segi bahasa bermaksud ‘nampak’, ‘saksi’. Maka dari segi syarak, orang yang syahid ini ada beberapa definisi:

1. Seperti kita sebut di atas, iaitu mereka berjihad fi sabilillah. Sampai mereka sanggup mengorbankan nyawa mereka untuk menegakkan agama. Mereka membuktikan keimanan mereka sehingga sanggup menyabung nyawa. Ini yang biasa kita dengar.

2. Dalam bentuk umum, seorang yang syahid itu menampakkan keimanannya dalam segenap kehidupan dia.

3. Mereka ini orang yang dikenali boleh dipercayai, sampaikan kalau mereka jadi saksi sahaja, semua orang akan percaya dan yakin dengan persaksiannya.

وَالصّٰلِحينَ

serta orang-orang yang soleh. 

Dan golongan yang terakhir sekali adalah golongan yang soleh. Iaitu seorang yang beramal mengikut apa yang diajar dan ada contoh dari Nabi. Mereka tidak mengamalkan amalan bidaah.

Mereka adalah orang yang baik tabiatnya, suci dan bersih dari kekotoran rohani dan jasmani. Mereka sentiasa berusaha meninggalkan dosa. Segala kehidupan mereka menuju ke arah kebaikan dan menjauh dari keburukan.

Nota: Ada takdim (datang dahulu) dan ta’khir (datang kemudian) dalam ayat ini. Ada susunan menurun. Tentu ada beza empat kedudukan itu dan kerana itu Allah susun begitu. Allah mulakan dengan golongan yang paling utama – para Nabi sampai kepada golongan yang terakhir sekali – solehin.

Ini mengajar kita yang golongan Solehin adalah tahap yang paling rendah untuk selamat dari neraka. Maksudnya, untuk mendapat kedudukan dalam syurga, sekurang-kurangnya kena jadi golongan solehin. Inilah golongan yang ‘cukup-cukup makan’ sahaja untuk masuk syurga, kalau kurang dari ini, tidak akan masuk syurga.

 

وَحَسُنَ أُولٰئِكَ رَفيقًا

Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan

Merekalah yang terbaik untuk dijadikan teman di dalam syurga nanti. Kerana kalau kita jadi salah satu dari empat golongan inilah sahaja untuk melayakkan kita masuk syurga. Maka nak jadikan mereka sebagai teman di akhirat, di dunia lagi dan kena berteman dengan orang yang jenis macam itu. Mereka inilah yang selayaknya untuk diikuti jejak langkah.

Banyak perkataan ‘teman’ dalam Qur’an. Apa beza lafaz teman yang lain dengan رَفيقًا seperti dalam ayat ini? Lafaz رَفيقًا dari katadasar yang bermaksud ‘bantal’ yang memberi maksud kita selesa sebab kita selesa apabila kepala kita dialas oleh bantal. Maksudnya mereka itu jenis kawan yang kalau mereka ada, kita rasa selesa dan tenang.

Dalam Tafsir ibn Kathir, ada dibawa satu hadis yang menceritakan asbabun nuzul ayat ini:

Diriwayatkan oleh At-Thabrani dan Ibnu Marduwaih dengan sanad La ba’sa bihi yang bersumber dari ‘Aisyah: bahawa seorang laki-laki menghadap Nabi Saw dan berkata: Ya Rasulallah! Aku cintai tuan lebih daripada cinta kepada diriku dan anakku sendiri. Dan jika aku sedang di rumah selalu ingat tuan dan tidak sabar ingin segera bertemu dengan tuan. Dan jika aku ingat ajalku dan ajal tuan, aku yakin bahwa tuan akan diangkat beserta Nabi-nabi di syurga. Apabila masuk syurga, aku takut kalau-kalau tidak bisa bertemu dengan tuan”. Maka Nabi terdiam tidak menjawab sedikit pun sehingga turun Jibril dengan membawa ayat ini (An-Nisa ayat 69) sebagai janji Allah kepada orang yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya.

Maksudnya, mereka yang taat kepada Allah dan Rasul, akan mendapat peluang untuk duduk bersama dengan golongan Nabi, siddiqin, syuhada’ dan solehin. Maka, berusahalah kita untuk mencapai kedudukan ini supaya kita nanti akan bersama dengan golongan yang diberi nikmat itu. Dan ini dimulai dengan ilmu, dan ilmu yang mula kena belajar adalah ilmu tafsir Qur’an.

Lafaz ini juga adalah lafaz terakhir yang diucapkan oleh Nabi Muhammad semasa baginda menghembuskan nafas terakhir:

حَدَّثَنَا بِشْرُ بْنُ مُحَمَّدٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ قَالَ يُونُسُ قَالَ الزُّهْرِيُّ أَخْبَرَنِي سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ فِي رِجَالٍ مِنْ أَهْلِ الْعِلْمِ أَنَّ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ وَهُوَ صَحِيحٌ إِنَّهُ لَمْ يُقْبَضْ نَبِيٌّ حَتَّى يَرَى مَقْعَدَهُ مِنْ الْجَنَّةِ ثُمَّ يُخَيَّرَ فَلَمَّا نَزَلَ بِهِ وَرَأْسُهُ عَلَى فَخِذِي غُشِيَ عَلَيْهِ ثُمَّ أَفَاقَ فَأَشْخَصَ بَصَرَهُ إِلَى سَقْفِ الْبَيْتِ ثُمَّ قَالَ اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الْأَعْلَى فَقُلْتُ إِذًا لَا يَخْتَارُنَا وَعَرَفْتُ أَنَّهُ الْحَدِيثُ الَّذِي كَانَ يُحَدِّثُنَا وَهُوَ صَحِيحٌ قَالَتْ فَكَانَتْ آخِرَ كَلِمَةٍ تَكَلَّمَ بِهَا اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الْأَعْلَى

Telah menceritakan kepada kami Bisyr bin Muhammad, Telah menceritakan kepada kami Abdullah, Yunus berkata; Az Zuhri berkata; Telah mengabarkan kepadaku Sa’id bin Al Musayyab -di antara orang-orang yang berilmu-, bahawa Aisyah isteri Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berkata; Ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berada dalam keadaan sihat wal afiat, beliau pernah bersabda: ‘Sesungguhnya seorang nabi tidaklah diwafatkan hingga diperlihatkan kepadanya tempatnya di syurga lalu ia dipersilakan untuk memilih.’ Aisyah berkata; “Ketika malaikat pencabut nyawa datang kepada Rasulullah, sementara kepala beliau berada di pangkuan saya, maka Rasulullah pengsan beberapa saat. Tak lama kemudian ia sedar kembali. Setelah itu, beliau menatap pandangannya ke atas sambil mengucapkan: Ya Allah, (aku memilih) bersama-sama Rafiqul A’la! ‘ Aisyah berkata; “Dengan demikian, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak memilih untuk hidup lebih lama lagi bersama kami.” Aisyah pernah berkata; “Saya teringat ucapan yang pernah beliau sampaikan kepada kami ketika beliau masih sihat; “Itulah kata-kata terakhir yang pernah beliau ucapkan, yaitu: ‘Ya Allah, pertemukanlah aku dengan kekasihku Yang Maha Tinggi.’


 

Ayat 70:

ذٰلِكَ الفَضلُ مِنَ اللهِ ۚ وَكَفىٰ بِاللهِ عَليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is the bounty from Allāh, and sufficient is Allāh as Knower.

MALAY

Yang demikian itu adalah limpah kurnia dari Allah; dan cukuplah Allah Yang Maha Mengetahui.

 

ذٰلِكَ الفَضلُ مِنَ اللهِ ۚ

Yang demikian itu adalah limpah kurnia dari Allah; 

Mereka akan mendapat nikmat dan limpah kurnia yang besar dari Allah. Mereka mendapat kedudukan itu bukanlah kerana usaha mereka sahaja, tapi kerana rahmat dan limpah kurnia dari Allah.

Kerana kalau bukan Allah yang memberi taufik hidayah kepada hambaNya, mereka tidak akan mendapat menjalankan kehidupan mereka dengan baik.

 

وَكَفىٰ بِاللهِ عَليمًا

dan cukuplah Allah Yang Maha Mengetahui 

Cukuplah Allah mengetahui siapakah kamu. Tidak payah dikenali oleh makhluk, asalkan Allah kenal. Tidak ada majlis perisytiharan kamu termasuk dalam golongan yang mana, asalkan Allah tahu kamu termasuk dalam golongan yang mana.

Ia juga bermaksud, cukuplah Allah yang mengetahui siapakah yang layak mendapat kedudukan yang tinggi itu. Untuk mendapat kedudukan itu, Allah beri hidayah kepada mereka dan Allah lah yang Maha Mengetahui, siapakah yang layak mendapat hidayah itu.

Habis Ruku’ ke 9 dari 24 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 April 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s