Tafsir Surah Baqarah Ayat 54 – 57 (Yahudi sembah lembu)

Ayat 54: Ini adalah jasa kelima yang Allah ‎ﷻ ingatkan kepada mereka.

وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ يا قَومِ إِنَّكُم ظَلَمتُم أَنفُسَكُم بِاتِّخاذِكُمُ العِجلَ فَتوبوا إِلىٰ بارِئِكُم فَاقتُلوا أَنفُسَكُم ذٰلِكُم خَيرٌ لَكُم عِندَ بارِئِكُم فَتابَ عَلَيكُم ۚ إِنَّهُ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ

Sahih International

And [recall] when Moses said to his people, “O my people, indeed you have wronged yourselves by your taking of the calf [for worship]. So repent to your Creator and kill yourselves. That is best for [all of] you in the sight of your Creator.” Then He accepted your repentance; indeed, He is the Accepting of repentance, the Merciful.

Malay

Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: ” Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ

Dan ingatlah ketika berkata Nabi Musa kepada kaumnya:

Apabila Nabi Musa عليه السلام balik dari Bukit Thur, baginda telah bersabda kepada mereka.

إِنَّكُمْ ظَلَمْتُمْ أَنْفُسَكُمْ بِاتِّخَاذِكُمُ الْعِجْلَ

“Sesungguhnya kamu sudah menzalimi diri kamu kerana mengambil anak lembu (sebagai sembahan)”

Sebelum itu, apabila Nabi Musa عليه السلام telah naik ke Bukit Thur, Allah ‎ﷻ telah bertanyakan Nabi Musa عليه السلام kenapa tidak dibawakan kaumnya sekali? Nabi Musa عليه السلام berkata, kaumnya ada mengikutnya tidak jauh di belakang dan baginda sengaja datang awal supaya boleh mendapat redha Allah ‎ﷻ lebih awal, kemudian baru redha kepada kaumnya pula.

Allah ‎ﷻ memberitahu dengan sebab Nabi Musa عليه السلام datang awal itu, dan meninggalkan kaumnya di belakang, amat membahayakan. Kerana perbuatan Nabi Musa عليه السلام itulah, kaum Nabi Musa عليه السلام itu telah murtad sepeninggalan baginda dan ada yang sembah anak lembu. Mendengarkan hal tersebut, maka Nabi Musa عليه السلام telah balik dengan segera menemui kaum Bani Israil.

Mereka dikira zalim kerana telah melakukan syirik menyembah anak lembu. Maka mereka semua disuruh supaya bertaubatlah segera – iaitu menyesal dengan hati dan berikrar untuk tidak akan membuatnya lagi dan istighfar dengan mulut. Inilah rukun-rukun taubat yang biasa.

فَتُوبُوا إِلَىٰ بَارِئِكُمْ

“Maka bertaubatlah kamu kepada Pencipta kamu”;

Ini adalah nasihat yang diberikan oleh baginda. Amat menarik kerana kata بَارِئِ digunakan dalam ayat ini. Perkataan itu banyak digunakan dalam Kitab mereka. Maka Allah ‎ﷻ menggunakan dalam Qur’an juga, dan tidak menggunakan kalimah ‘Rabb’.

فَاقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ

“Kemudian kamu bunuhlah diri-diri kamu.”

Walaupun begitu, syariat Nabi Musa عليه السلام pada waktu itu, tidak sempurna taubat dengan hanya istighfar mulut sahaja, tetapi mereka juga kena dibunuh. Mereka yang tidak bersalah hendaklah membunuh kaumnya yang bersalah. Waktu itu Allah ‎ﷻ menurunkan awan hitam supaya tidak nampak muka yang dibunuh. Diriwayatkan seramai 70 ribu orang telah dibunuh.

Tapi kenapa disebut أَنفُسَكُم (diri-diri kamu) sedangkan bukan bunuh diri? Kerana mereka semuanya sesama agama, maka dikira membunuh diri mereka sendiri. Inilah dalil yang mengatakan mereka kena berbunuhan sesama mereka untuk diterima taubat mereka.

Bani Israil terbahagi kepada 12 puak. Dari setiap puak itu ada yang telah menyembah anak lembu itu. Bukan semua di antara mereka yang menyembah. Maksud arahan ini adalah setiap puak hendaklah mengenalpasti siapakah yang telah menyembah anak lembu itu dan dia mestilah dibunuh. Itulah yang dimaksudkan ‘bunuhlah diri-diri kamu”.

Oleh kerana mereka yang menyembah itu telah melakukan perbuatan syirik dan mereka telah murtad, maka mereka layak dibunuh. Ini adalah sama seperti hukuman murtad yang Islam ada. Maka, hukum bunuh kepada mereka yang murtad bukanlah perkara baru. Dalam syariat Yahudi pun sudah ada hukum bunuh kepada yang murtad.

Syariat bunuh sebegini tidak ada dalam syariat kita kecuali dalam keadaan tertentu sahaja – contohnya orang berkahwin yang berzina, orang yang membunuh orang lain, dan sebagainya yang termaktub dalam hukum hudud. Tetapi dalam bab syirik, tidak ada hukuman bunuh sebegini. Kalau ada, tentu susah kita. Ramai orang Islam kena bunuh belaka, kerana syirik yang berleluasa dalam masyarakat. Maka, Allah ‎ﷻ tidak kenakan dalam syariat Nabi akhir zaman.

ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ عِنْدَ بَارِئِكُمْ

“Yang demikian itu lebih baik untuk kamu di sisi Pencipta kamu”;

Bertaubat dan bersedia untuk dibunuh itulah yang lebih baik di sisi Tuhan mereka. Kerana kalau mereka bertaubat dan bersedia dibunuh, di akhirat mereka tidak dikenakan azab lagi. Maknanya, orang-orang yang dibunuh itu telah hapus segala kesalahan mereka. Maknanya mereka itu adalah ahli syurga sebenarnya. Ini kerana mereka mati dalam keadaan bersih dari dosa dan tentulah masuk syurga.

Mungkin ada melihat hukum bunuh itu adalah berat dan teruk. Tetapi Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini bahawa ia adalah baik di sisi Allah ‎ﷻ. Ia adalah kebaikan untuk mereka. Jangan kita pula sangka ia adalah hukuman yang tidak patut. Yang penting adalah apa yang Allah ‎ﷻ redha.

فَتَابَ عَلَيْكُمْ

“Maka Allah menerima taubat kamu”;

Maka Allah ‎ﷻ menerima taubat mereka. Inilah nikmat dimaksudkan dan ia adalah jasa yang amat besar. Dan apabila Allah ‎ﷻ menerima taubat mereka, mereka dimasukkan ke dalam syurga. Nikmat masuk syurga bukankah nikmat yang amat besar?

Selepas mereka membunuh diri mereka, Allah ‎ﷻ telah mengampunkan dosa mereka. Ayat ini mengatakan Allah ‎ﷻ telah mengampunkan dosa mereka. Maka mereka yang menyembah anak lembu itu semua adalah ahli syurga belaka. Cuma kita sahaja yang sangka mereka masuk neraka. Padahal, mereka semuanya masuk syurga. Kerana Allah ‎ﷻ telah menerima taubat mereka.

Taubat mereka telah diterima kerana mereka telah mengikut syariat Allah ‎ﷻ. Dan syariat waktu itu adalah mereka kena bunuh diri mereka. Oleh kerana mereka mengikut syariat, maka Allah ‎ﷻ telah menerima taubat mereka.

Namun begitu, selepas itu, bangsa Yahudi sangka mereka adalah orang yang ‘terpilih’ – kerana Allah ‎ﷻ sentiasa memaafkan kesalahan mereka. Sampai mereka tidak kisah apabila mereka melakukan kesalahan di dunia. Mereka kata Allah ‎ﷻ tentu akan memaafkan mereka. Mereka rasa, kalau Allah ‎ﷻ memasukkan mereka ke dalam neraka pun, hanya untuk beberapa hari sahaja.

Itu adalah pemahaman yang salah. Yang telah dibunuh dalam kisah ini diterima taubat mereka kerana mereka telah bertaubat dan mereka telah mengikuti syariat.

Kisah ini bukan boleh digunakan kisah itu sebagai ‘lesen’ untuk mengatakan bahawa Allah ‎ﷻ akan terus sentiasa mengampuni dosa semua Bani Israil. Untuk mendapat pengampunan, mestilah bertaubat dan mengikut syariat. Ada proses yang perlu diikuti sebelum taubat diterima. Jangan kita umat Islam pun sangka begitu pula. Ramai yang ada akidah: “takpe, kita orang Islam akhirnya akan masuk syurga juga….”

إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ

Sesungguhnya Allah itu Maha Menerima Taubat;

Allah ‎ﷻ berkali-kali boleh menerima taubat. Walaupun manusia banyak kali melakukan kesalahan dosa, tetapi apabila mereka bertaubat, Allah ‎ﷻ terima taubat mereka.

Dalam hal ini, jangan terpedaya dengan bisikan syaitan. Apabila kita telah bertaubat, tetapi kita melakukan juga kesalahan yang sama, syaitan akan hasut kita. Dia kata: “Buat apa kau taubat lagi, sedangkan kau akan buat kesalahan yang sama. Baik kau terus buat sahaja sebab Allah dah tak terima taubat kau dah.. buat malu jer kau nak bertaubat.”

Ini adalah salah faham tentang taubat. Walaupun kita sudah bertaubat, tetapi kadang-kadang kerana lemah dan bisikan syaitan, kita mungkin melakukan kesalahan yang sama. Kalau kita lakukan kesalahan yang sama, bertaubatlah lagi. Jangan kita putus harap dengan taubat. Allah ‎ﷻ boleh menerima taubat kita berkali-kali, walaupun untuk kesalahan yang sama.

الرَّحِيمُ

Lagi Maha Mengasihani;

Allah ‎ﷻ sanggup menerima taubat hamba-Nya kerana sifat Allah ‎ﷻ yang raheem. Allah ‎ﷻ amat sayangkan kita makhluk-Nya.

Apabila Allah ‎ﷻ menerima taubat hamba itu, Dia tidak seksa lagi mereka di akhirat kelak.

Maka, mereka yang menyembah anak lembu itu telah selamat. Kita belum tentu lagi akan selamat.


Ayat 55: Ini adalah nikmat keenam yang diberikan kepada Bani Israil.

Nabi Musa عليه السلام telah bertapa selama 40 hari dan setelah tamat 40 hari, baginda telah mendapat Kitab Taurat. Apabila baginda pulang, kaumnya ada memberi berbagai-bagai reaksi.

Bayangkan waktu itu mereka ada 70 ribu orang. Ada yang tidak percaya yang Taurat itu dari Allah ‎ﷻ. Mereka tidak percaya sampai ada yang ingin tengok juga cara bagaimana Kitab Taurat diturunkan. Yang berkata begini adalah mereka yang tidak sembah anak lembu sebab yang sembah anak lembu sudah dibunuh. Maknanya, yang tidak menyembah patung anak lembu itu pun ada masalah juga.

Maka Nabi Musa عليه السلام telah diperintahkan untuk memilih setiap seribu orang, seorang wakil. Maka ada 70 orang telah dipilih untuk lihat bagaimana cara kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa عليه السلام. Mereka telah dibawa naik ke Bukit Thur untuk menyaksikan sendiri proses penurunan Taurat itu. Setelah mereka sendiri melihatnya, mereka masih juga tidak percaya. Mereka kemudian minta untuk melihat Allah ‎ﷻ dengan mata mereka sendiri.

Oleh kerana permintaan mereka itu, Allah ‎ﷻ mematikan mereka terus pada waktu itu juga. Kerana amat kurang ajar mereka itu. Allah ‎ﷻ mematikan mereka dengan tempikan dan gegaran. Terus mereka mati bergelimpangan. Mereka lihat sendiri yang mereka jatuh rebah dan mati di situ juga.

وَإِذ قُلتُم يا موسىٰ لَن نُؤمِنَ لَكَ حَتّىٰ نَرَى اللهَ جَهرَةً فَأَخَذَتكُمُ الصّاعِقَةُ وَأَنتُم تَنظُرونَ

Sahih International

And [recall] when you said, “O Moses, we will never believe you until we see Allah outright”; so the thunderbolt took you while you were looking on.

Malay

Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”. Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.

وَإِذْ قُلْتُمْ

Dan ingatlah ketika kamu berkata;

Yang berkata dalam ayat ini bukan Yahudi zaman Nabi Muhammad ﷺ, tetapi tok nenek mereka dahulu. Tapi Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan ‘kamu’ dalam ayat ini. Ini adalah kerana Bani Israil merasakan mereka adalah satu keluarga yang dari dahulu sehingga sekarang. Mereka bangga dengan keturunan mereka yang dahulu. Dan mereka tahu apa yang terjadi pada zaman dahulu kerana disampaikan turun temurun. Jadi Allah ‎ﷻ bercakap kepada mereka seperti mereka adalah orang yang sama juga.

Seramai 70 orang wakil dari Bani Israil telah dijemput naik ke Bukit Thursina untuk melihat cara kitab Taurat diturunkan. Semua sekali rakyat Bani Israil adalah seramai 70 ribu orang. Setiap seribu, dipilih seorang wakil untuk naik ke atas mengikut Nabi Musa عليه السلام. Selepas mereka melihat bagaimana Taurat diturunkan, mereka masih tidak berpuas hati lagi untuk beriman. Maka mereka berkata:

يَا مُوسَىٰ لَنْ نُؤْمِنَ لَكَ

“Wahai Musa, kami tidak akan percaya kepada kamu”,

Mereka masih tidak percayakan Nabi Musa عليه السلام. Kerana perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah ‘لَكَ’ – kepada kamu. Bayangkanlah, Nabi mereka sendiri pun mereka tidak percaya. Sedangkan Nabi Musa عليه السلام itulah yang telah membawa mereka menyeberangi Laut Merah, telah mengeluarkan air dari batu dan macam-macam lagi mukjizat yang mereka boleh lihat dengan mata mereka sendiri. Namun mereka masih tidak percaya. Lihatlah betapa degilnya mereka.

Ada yang mengatakan bahawa makna ‘لَكَ’ yang digunakan dalam ayat ini menunjukkan mereka ‘tidak mahu ikut arahan kamu’. Mereka percaya Nabi Musa عليه السلام adalah seorang Rasul dan Nabi tetapi mereka masih tidak mahu mengikut arahan baginda. Kerana kalau tidak percaya, perkataan yang sepatutnya digunakan adalah ‘بِكَ’ – ‘dengan kamu’.

Maknanya, mereka itu adalah umat yang amat degil. Dengan Nabi yang memang mereka sudah percaya pun mereka tidak mahu mengikut arahan yang diberikan. Padahal, arahan yang disampaikan oleh Nabi Musa عليه السلام itu adalah arahan dari Allah ‎ﷻ, bukan dari dirinya sendiri.

Ada yang berkata, yang mereka tidak percaya itu adalah arahan supaya dibunuh mereka yang telah murtad kerana menyembah anak lembu itu. Mereka tuduh arahan itu dari Nabi Musa عليه السلام sahaja. Maka mereka hendak dengar sendiri arahan itu dari Allah ‎ﷻ. Begitulah degil dan kurang ajar mereka dengan Nabi mereka sendiri. Maka, kalau dengan Nabi mereka sendiri yang mereka telah terima pun mereka degil, apatah lagi dengan Nabi Muhammad ﷺ.

حَتَّىٰ نَرَى اللَّهَ جَهْرَةً

“sehingga kamu menunjukkan Allah secara terang-terang”;

Mereka hendak melihat sendiri Allah ‎ﷻ dengan mata mereka. Padahal Nabi Musa عليه السلام hendak tengok Allah ‎ﷻ pun sudah pengsan – kerana tidak mampu – ada dikisahkan dalam ayat yang lain.

Lihat betapa degilnya mereka. Mereka tidak cukup dengan melihat bagaimana Kitab Taurat diturunkan sahaja, tetapi mereka hendak melihat sendiri Allah ‎ﷻ dengan mata mereka. Ini adalah perbuatan yang melampau. Musyrikin Mekah pun ada yang minta begitu.

فَأَخَذَتْكُمُ الصَّاعِقَةُ

Maka ditimpakan azab tempikan kepada kamu;

Disebabkan oleh permintaan mereka itu, mereka dikenakan azab tempikan dari Jibrail عليه السلام, maka mereka terus mati. Tempikan itu kuat sampaikan boleh mati terus.

وَأَنْتُمْ تَنْظُرُونَ

sedangkan kamu melihat;

Mereka melihat sendiri kawan-kawan mereka mati seorang demi seorang. Ini kerana mereka mati seorang demi seorang.


Ayat 56: Ini selepas mereka dimatikan, Nabi Musa عليه السلام bimbang kalau baginda yang dituduh telah membunuh mereka itu. Melihatkan kejadian itu, Nabi Musa عليه السلام merayu kepada Allah ‎ﷻ, kalau yang wakil itu dimatikan, apa lagi yang baginda hendak beritahu kepada umatnya yang lain?

Padahal 70 orang itu adalah wakil yang telah dipilih dan dikira yang paling bagus dan lebih cerdik kalau dibandingkan dengan kaum mereka yang lain. Nanti takut baginda dituduh membunuh golongan yang pandai supaya yang tinggal itu golongan yang bodoh sahaja dan senang untuk baginda kawal mereka. Maka, Musa عليه السلام ‎berdoa kepada Allah ‎ﷻ semoga dihidupkan mereka kembali.

ثُمَّ بَعَثناكُم مِن بَعدِ مَوتِكُم لَعَلَّكُم تَشكُرونَ

Sahih International

Then We revived you after your death that perhaps you would be grateful.

Malay

Kemudian Kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan dari sambaran petir itu), supaya kamu bersyukur.

ثُمَّ بَعَثْنَاكُمْ مِنْ بَعْدِ مَوْتِكُمْ

Kemudian Kami bangkitkan kamu hidup selepas matinya kamu;

Inilah nikmat keenam yang dimaksudkan. Iaitu setelah mereka dimatikan, mereka dihidupkan kembali. Banyak cubaan untuk menafsirkan ayat ini dengan cara lain. Kerana ada yang susah untuk terima orang yang sudah mati, boleh hidup balik. Yang seeloknya, kita terima bahawa memang Allah ‎ﷻ telah mematikan mereka, dan Allah ‎ﷻ telah menghidupkan mereka kembali. Allah ‎ﷻ mampu untuk melakukannya.

Maka Allah ‎ﷻ menghidupkan mereka semula dan mereka semua bertaubat. Takkan sudah mati tidak bertaubat lagi? Dan apabila mereka pulang, mereka telah memberitahu kisah yang terjadi kepada kaum mereka yang tidak ikut itu.

Walaupun begitu, pun mereka masih tidak terima juga. Sampai mereka kata wakil-wakil itu semuanya telah berpakat dengan Nabi Musa عليه السلام untuk menipu mereka. Mereka tuduh Nabi Musa عليه السلام memberi rasuah kepada 70 orang wakil mereka itu. Begitulah teruknya puak Yahudi itu.

Maka kerana kedegilan mereka, Allah ‎ﷻ telah mengangkat gunung ke atas kepala mereka untuk menakutkan mereka dan paksa mereka taat. Allah ‎ﷻ suruh mereka membuat keputusan sama ada hendak terima atau tidak. Kalau tidak terima, gunung itu akan dijatuhkan ke atas mereka. Selepas mereka berjanji untuk taat, barulah Allah ‎ﷻ mengalihkan gunung itu dan diletakkan di tempat lain. Ini semua disebut dalam Qur’an dalam ayat yang lain.

لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Mudah-mudahan kamu bersyukur.

Allah ‎ﷻ mengatakan supaya ‘mudah-mudahan kamu bersyukur’. Padahal, mereka dibunuh kerana mereka tidak taat. Kenapa Allah ‎ﷻ menggunakan kata ‘syukur’ dalam ayat ini? Kerana kalau seseorang itu benar-benar bersyukur kepada Allah ‎ﷻ, dia akan taat kepada arahan Allah ‎ﷻ.

Sebab itu kita kena faham, ‘syukur’ itu bukan hanya menyebut ‘alhamdulillah’ berkali-kali sahaja. Tetapi perlu diikuti dengan perbuatan. Iaitu kita kena taat kepada Allah ‎ﷻ. Apa yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat, kita lakukan. Apa yang Allah ‎ﷻ larang, kita tinggalkan.

Maka, jasa Allah ‎ﷻ adalah Allah ‎ﷻ menghidupkan semula 70 orang wakil itu selepas mereka dimatikan. Tujuan dihidupkan semula itu adalah supaya mereka dapat bersyukur. Bersyukur kerana mereka dapat bertaubat selepas dihidupkan dan tidak terus mati sampai ke neraka.

Maka, para sahabat yang sedang membaca Qur’an itu, barulah tahu tentang kisah-kisah puak Yahudi itu. Semua kisah itu tidak diceritakan oleh puak Yahudi di Madinah. Ini adalah rahsia mereka kerana mana mungkin mereka akan membuka pekung mereka sendiri.


Ayat 57: Ini adalah nikmat yang ketujuh.

Ini adalah dalam peristiwa berlainan. Apabila mereka sudah terima Taurat, Nabi Musa عليه السلام berkata untuk mengamalkan Taurat itu, kena pulang ke Palestin, tempat asal mereka. Di sanalah nanti mereka boleh mengamalkan syariat seperti yang ada Taurat itu.

Cuma tempat itu waktu itu sedang dijajah oleh golongan yang angkuh dan ganas iaitu golongan Amaliqah. Mereka kena balik dahulu ke Palestin itu dan berperang dengan puak yang sedang mendudukinya waktu itu. Selepas mengalahkan mereka itu, barulah Bani Israil dapat duduk di Palestin.

Apabila dengar sahaja kena berperang, Bani Israil tidak mahu. Nabi Musa عليه السلام berkata, berperang itu syarat sahaja, kerana Allah ‎ﷻ sudah menjanjikan kemenangan. Hanya suruh berperang sahaja dan Allah ‎ﷻ akan halau puak itu dengan qudrat-Nya. Allah ‎ﷻ akan bantu mereka mencapai kemenangan dengan mudah.

Yang hanya ikut Nabi Musa عليه السلام hanya dua orang sahaja, salah seorangnya adalah yang akan naik menjadi Nabi, iaitu Yusha’ bin Nun. Yang selain dari dua orang itu, mereka suruh Nabi Musa عليه السلام dan Allah ‎ﷻ sendiri pergi berperang. Mereka hendak tunggu di luar sahaja, apabila sudah menang baru mereka akan masuk.

Akibat dari kata-kata kurang ajar mereka itu, Allah ‎ﷻ telah sesatkan mereka di satu padang pasir selama 40 tahun. Nama padang pasir itu adalah Padang Tih. Dalam 40 tahun itulah Nabi Musa عليه السلام wafat bersama dengan mereka yang telah kurang ajar bercakap dengan Nabi Musa عليه السلام dahulunya. Yang hanya boleh keluar dari kesesatan di padang itu hanya anak cucu mereka.

Merekalah yang telah pergi untuk berperang di Palestin dan menawan kota Palestin di bawah pimpinan Nabi Yusha’ عليه السلام. Dalam riwayat, dikatakan yang luas padang itu hanyalah 32 batu persegi sahaja. Tetapi mereka disesatkan oleh Allah ‎ﷻ sampai tidak jumpa jalan keluar. Mereka berpusing-pusing dalam padang yang tidak berapa luas itu. Sesat sampai 40 tahun itu adalah sebagai hukuman Allah ‎ﷻ di atas kedegilan mereka.

Di manakah nikmat yang dimaksudkan? Semasa sesat di padang itu, tentulah tidak ada makanan dan minuman. Namun Allah ‎ﷻ dengan qudrat-Nya, telah membantu mereka – untuk air Nabi Musa عليه السلام disuruh mengetuk batu dan keluar air untuk minuman mereka; dan mereka diberikan dengan makanan yang turun dari langit seperti sejenis burung dan diberikan dengan sejenis manisan (Manna dan Salwa).

Oleh kerana Allah ‎ﷻ yang menyesatkan mereka di situ, tidak boleh pergi mana-mana, maka Allah ‎ﷻ telah memberikan kepada mereka makanan, pakaian dan sebagainya. Sama juga kalau kerajaan Malaysia memenjarakan banduan, sehingga mereka tidak boleh cari makan sendiri, maka kerajaan Malaysia lah yang kena berikan makanan kepada mereka.

Ini adalah satu keajaiban yang ditunjukkan dan diberikan kepada mereka. Allah ‎ﷻ hendak tunjuk yang Dia boleh berbuat apa sahaja asalkan mereka ikut sahaja syariat dari Allah ‎ﷻ. Oleh itu nikmat yang disebut dalam ayat ini adalah Allah ‎ﷻ telah berikan makanan dan minuman kepada mereka.

وَظَلَّلنا عَلَيكُمُ الغَمامَ وَأَنزَلنا عَلَيكُمُ المَنَّ وَالسَّلوىٰ ۖ كُلوا مِن طَيِّباتِ ما رَزَقناكُم ۖ وَما ظَلَمونا وَلٰكِن كانوا أَنفُسَهُم يَظلِمونَ

Sahih International

And We shaded you with clouds and sent down to you manna and quails, [saying], “Eat from the good things with which We have provided you.” And they wronged Us not – but they were [only] wronging themselves.

Malay

Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”, (serta Kami berfirman): “Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu”. Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri.

وَظَلَّلْنَا عَلَيْكُمُ الْغَمَامَ

Dan Kami teduhkan atas kamu dengan awan;

Pada siang hari, awan akan meneduhkan mereka dari terik panas matahari. Kata الْغَمَامَ bermaksud awan jenis yang menggembirakan hati mereka – sebagai peneduh. Mereka di padang pasir waktu itu dan tentu tidak ada pelindung dari kepanasan melainkan awan itu.

Sepanjang hari, mereka akan berjalan lebih kurang sejauh 20 batu. Esok mereka akan jalan ke arah lain pula sampai malam. Mereka berpusing-pusing dalam kawasan yang sama selama 40 tahun. Begitulah cara Allah ‎ﷻ sesatkan mereka. Walaupun mereka berada dalam kawasan yang kecil, namun mereka masih sesat lagi. Oleh kerana mereka berjalan dalam kepanasan terik matahari, maka Allah ‎ﷻ berikan teduhan kepada mereka.

وَأَنْزَلْنَا عَلَيْكُمُ الْمَنَّ وَالسَّلْوَىٰ

Dan Kami turunkan ke atas kamu Manna dan Salwa;

Allah ‎ﷻ menurunkan makanan daripada syurga kepada mereka: Manna itu seperti campuran madu dan susu. Mereka tidak perlu berusaha untuk mencari makanan itu. Mereka boleh ambil sahaja di ranting-ranting kayu waktu pagi.

Salwa itu seperti burung Puyuh. Apabila turun ke bumi, sudah siap masak. Atau, mereka senang tangkap untuk dimakan burung itu. Maknanya, mereka tidak perlu bersusah payah untuk mencari makanan. Lagi pun, di padang pasir tidak ada makanan.

Tetapi makanan-makanan itu diberi dengan syarat, jangan simpan untuk esok. Kerana esok, mereka akan dapat makanan yang lain pula. Allah ‎ﷻ telah menjanjikan bahawa esok mereka akan dapat lagi apa yang diberikan itu. Allah ‎ﷻ hendak mengajar mereka supaya bergantung dan percaya kepada rezeki dari Allah ‎ﷻ.

Tetapi, mereka simpan juga. Kerana mereka tidak percaya rezeki dari Allah ‎ﷻ. Mereka takut kalau-kalau esok tidak dapat makanan lagi. Kesannya, daging yang mereka simpan itu telah menjadi busuk. Selepas kejadian itu, semua daging yang manusia simpan beberapa lama sahaja, akan menjadi busuk. Sebelum kesalahan yang telah dilakukan oleh Bani Israil ini, daging memang akan tahan lama, tidak busuk-busuk. Kita pun terkesan sekali dengan kesalahan yang dilakukan oleh Bani Israil itu. Ini ada disebut dalam Kitab Sahih Bukhari.

“Kalau bukan kerana bani Israil nescaya makanan dan daging kita tidak akan membusuk dan seandainya bukan kerana Hawa (isteri Nabi Adam) nescaya wanita tidak akan mengkhianati suaminya selama-lamanya.” (HR Bukhari & Muslim).

Untuk minuman, mereka dapat dari air hujan (selain dari air dalam batu). Anak-anak mereka lahir siap dengan pakaian dan pakaian itu membesar sekali sama dengan badan mereka yang membesar. Sampai begitu sekali Allah ‎ﷻ memudahkan kehidupan mereka.

Ada tafsir lain yang mengatakan bahawa Manna itu adalah gandum dan Salwa itu adalah jenis burung yang jinak yang senang ditangkap. Jadi Allah ‎ﷻ telah memberikan dua sumber makanan yang penting kepada mereka untuk kehidupan mereka: gandum mewakili karbohidrat dan daging burung membekalkan protein kepada mereka.

كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ

Makanlah dari makanan yang baik-baik;

Allah ‎ﷻ mengingatkan mereka bahawa Allah ‎ﷻ telah memberikan makanan yang baik kepada mereka. Maka makanlah makanan yang baik-baik itu. Ayat ini juga mengingatkan kepada kita: Allah ‎ﷻ telah berikan rezeki yang baik dan halal kepada kita, maka makanlah yang baik dan halal itu. Jangan cari makanan dan rezeki yang haram.

Satu lagi pengajaran kepada kita adalah: Apa sahaja yang Allah ‎ﷻ berikan, tentulah baik.

مَا رَزَقْنَاكُمْ

yang telah Kami rezekikan kepada kamu;

Ayat ini mengandungi hukum yang perlu kita ambil tahu: jikalau Allah ‎ﷻ telah suruh kita makan makanan yang halal, tetapi kita tidak makan sebab dikatakan ‘pantang’, itu adalah kufur kepada Allah ‎ﷻ. Iaitu kita mengharamkan yang Allah ‎ﷻ telah halalkan.

Kecualilah kalau doktor telah melarang kita makan. Ataupun kita tidak lalu hendak makan kerana tidak kena dengan selera kita, itu tidak mengapa. Tetapi ada juga yang mengatakan pantang kalau makan sesuatu makanan yang telah Allah ‎ﷻ halalkan.

Contohnya, apabila orang dalam ‘pantang bersalin’, orang perempuan dilarang untuk makan ayam. Padahal, kalau dalam masyarakat Cina, mereka disuruh untuk makan ayam seekor sehari selepas bersalin – kerana memberi kekuatan kepada tubuh mereka. Jadi, apabila Allah ‎ﷻ menghalalkan ayam dan kita mengharamkan dalam waktu ‘tertentu’, maka itu adalah perbuatan kufur.

Mengharamkan benda yang Allah ‎ﷻ telah halalkan, bermakna kita mengambil kerja Tuhan. Kerana yang boleh mengharamkan, hanyalah Allah ‎ﷻ sahaja. Orang yang menyuruh itu, dan kita ikut, orang itu seumpama tuhan kita.

وَمَا ظَلَمُونَا

Dan tidaklah mereka menganiaya Kami;

Allah ‎ﷻ tidak terkesan langsung dengan kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan. Allah ‎ﷻ tidak memerlukan ketaatan manusia. Tidak kurang darjat Allah ‎ﷻ kalau tiada sesiapa pun yang menyembah-Nya. Sebaliknya, kitalah yang memerlukan Allah ‎ﷻ redha kepada kita. Untuk mendapat redha Allah ‎ﷻ, hendaklah kita mengikut arahanNya.

وَلَٰكِنْ كَانُوا أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

tapi merekalah dulu menzalimi diri mereka sendiri;

Mereka telah menzalimi diri mereka sendiri di dunia dahulu, dengan melakukan perbuatan syirik. Bukan Allah ‎ﷻ yang menzalimi mereka tetapi mereka yang menzalimi diri mereka sendiri.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 4 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s