Ayat 12: Sekarang kita masuk kepada kisah lelaki yang bernama Luqman ini yang dijadikan nama surah ini. Beliau bukanlah seorang Nabi tapi orang Arab memang kenal beliau. Kisah beliau telah disebut dalam syair-syair mereka. Ada orang Arab yang terpelajar yang ada menyimpan kata-kata hikmat dari Luqman ul Hakeem ini. Antara yang disebut adalah seorang lelaki yang bernama Suwaid bin Samit.
Jadi ini adalah Dalil Naqli berkenaan Luqman. Allah hendak memberitahu orang Arab dan kita juga, ilmu tauhid ini bukan dibawa oleh Nabi Muhammad sahaja. Ianya telah lama ada dan diajar oleh Luqman yang mereka kenal itu. Jadi jangan kata Nabi Muhammad reka ajaran baru pula.
وَلَقَد ءآتَينا لُقمٰنَ الحِكمَةَ أَنِ اشكُر ِلِلهِ ۚ وَمَن يَشكُر فَإِنَّما يَشكُرُ لِنَفسِهِ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللهَ غَنِيٌّ حَميدٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And We had certainly given Luqmān wisdom [and said], “Be grateful to Allāh.” And whoever is grateful is grateful for [the benefit of] himself. And whoever denies [His favor] – then indeed, Allāh is Free of need and Praiseworthy.
(MELAYU)
Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmat kepada Luqman, iaitu: “Bersyukurlah kepada Allah. Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji”.
وَلَقَد ءآتَينا لُقمٰنَ الحِكمَةَ
Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmah kepada Luqman,
Ada juga yang kata beliau adalah seorang Nabi dan ada yang kata beliau seorang wali Allah tetapi pendapat jumhur mengatakan yang beliau adalah wali. Ini biasa sahaja kerana zaman dahulu tidak ada penulisan sejarah seperti sekarang. Kerana itu macam-macam maklumat yang sampai kepada kita.
Ada yang kata beliau dari golongan Aad dan raja Yaman pada masa itu. Iaitu beliau adalah pengikut Nabi Hud a.s. dan antara yang diselamatkan apabila Allah turunkan azab kepada penduduk Aad.
Tapi ada juga yang menolak pendapat ini. Maka kita tidak perlu tahu dengan mendalam pun siapakah beliau. Kerana yang penting adalah apa yang hendak disampaikan, bukannya persona seseorang itu. Kerana itulah Allah selalunya tidak beri penjelasan lanjut siapakah individu dalam Al-Qur’an.
Allah telah berikan kebijaksanaan kepada beliau. Sampaikan beliau dikenali sebagai Luqmanul Hakim – Luqman yang bijaksana. Hikmah yang dimaksudkan adalah tentang ilmu pengetahuan agama.
Allah ingatkan yang kebijaksanaan yang dia ada itu Allah yang beri. Kalimah الحِكمَةَ bermaksud ilmu yang dapat diamalkan. Iaitu ilmu wahyu yang beliau amalkan.
أَنِ اشكُر ِلِلهِ
iaitu: “Bersyukurlah kepada Allah.
Muqaddar: beliau diarahkan untuk bersyukur kepada Allah kerana pemberian kebijaksanaan itu. Dia kena ingatkan diri dia untuk bersyukur kepada Allah.
Dan inilah salah satu dari hikmah juga. Orang yang ada hikmah boleh nampak kepentingan untuk bersyukur. Memang kita kena bersyukur dan merendahkan diri. Iaitu sedar bahawa apa yang kita ada bukanlah dari kelebihan diri sendiri tetapi diberikan oleh Allah. Dan kerana ada kefahaman itu, seseorang itu akan merendahkan diri.
Jadi orang mukmin kena ada syukur dan rendah diri. Kedua-dua sifat ini ia adalah dua sifat yang berkait rapat antara satu sama lain. Kerana orang yang rendah diri akan bersyukur jikalau ada kelebihan pada dirinya.
وَمَن يَشكُر فَإِنَّما يَشكُرُ لِنَفسِهِ
Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri;
Allah sebutkan kelebihan bersyukur. Sesiapa yang bersyukur ia akan beri kelebihan kepada dirinya. Inilah hikmah yang tinggi. Sudahlah dapat kelebihan sesuatu, kemudian bersyukur pula lagi dan dapat pahala pula lagi. Dan Allah akan tambah lagi kelebihan yang telah diberi itu. Maka bertambah-tambah lagi kelebihan yang ada.
Dan maksud bersyukur adalah dengan melakukan taat kepada wahyu Allah. Bukannya hanya sebut alhamdulillah, alhamdulillah sahaja. Kena tunjukkan syukur dengan taat kepada hukum Allah.
Dan ayat ini tidak ada menyebut bersyukur kepada Allah sahaja. Ayat ini sebut dalam bentuk umum sahaja. Maka kita kena berterima kasih juga kepada orang yang telah berbuat bakti kepada kita seperti ahli keluarga kita, guru-guru kita, kawan-kawan kita dan sesiapa sahaja.
وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللهَ غَنِيٌّ حَميدٌ
dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji”.
Dan kalau tidak bersyukur kepada Allah pun Allah tidak memerlukan syukur dan juga ibadah kita kerana Allah itu Maha Kaya. Dan maksud Maha Kaya adalah tidak memerlukan sesiapa. Kita syukur atau tidak, ibadah atau tidak, tidaklah mengurangkan kedudukan Allah.
Kalau seseorang yang kaya dan tidak memerlukan pertolongan orang lain maka tidaklah semestinya dia itu orang yang baik. Tetapi Allah sudahlah Dia sebut Dia kaya, kemudian Allah tambah dengan kalimah حَميدٌ yang bermaksud Allah Maha Terpuji.
Kalimah حَميدٌ berbeza dengan kalimah محمود (yang dipuji). Kerana kalimah محمود memerlukan orang yang memujiNya tetapi kalimah حَميدٌ (terpuji) bermaksud sama ada kita puji Allah pun atau tidak, Allah tetap terpuji. Sebelum ada makhluk yang memujiNya, Dia sudah terpuji.
Ayat 13: Sekarang kita masuk kepada penceritaan nasihat Luqman kepada anaknya.
وَإِذ قالَ لُقمٰنُ لِابنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يٰبُنَيَّ لا تُشرِك بِاللهِ ۖ إِنَّ الشِّركَ لَظُلمٌ عَظيمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And [mention, O Muḥammad], when Luqmān said to his son while he was instructing him, “O my son, do not associate [anything] with Allāh. Indeed, association [with Him] is great injustice.”
(MELAYU)
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu dia memberi pelajaran kepadanya: “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”.
وَإِذ قالَ لُقمٰنُ لِابنِهِ
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya,
Ini adalah satu lagi kisah diantara seorang ayah dan anaknya dan ada banyak di dalam Al-Qur’an. Nama anaknya dikatakan ialah Saran, menurut suatu pendapat yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi.
Banyak sekali pengajaran di dalam nasihat Luqman ini kepada anaknya. Allah nak ajar menggunakan konsep penceritaan kerana kita senang terkesan dengan cerita. Ia lebih menarik perhatian dan memberi bekas kepada diri kita.
وَهُوَ يَعِظُهُ
di waktu dia memberi pelajaran kepadanya:
Waktu ini Luqman sedang memberi ajaran agama kepada anaknya. Ini memberi isyarat bahawa anaknya itu sudah dewasa dan boleh memahami nasihat-nasihat yang diberikan kepadanya. Maka ini adalah satu suasana di mana seorang ayah kena pandai mencari masa untuk mengajar kepada anaknya. Jangan pakai cakap sahaja tapi kenalah tengok keadaan yang sesuai.
Kita kena cari peluang untuk nasihat orang lain. Ihsan adalah orang baik yang mahu orang lain pun baik juga. Tak boleh nak selamatkan diri sendiri sahaja. Orang muhsin bukan sahaja memikirkan tentang dirinya tetapi dia memikirkan bagaimana semua orang lain boleh jadi baik.
Terutama sekali seorang ayah kena jalankan tugas beri ajaran kepada anaknya. Kena jalankan tanggungjawab ini dan kena ingat perkara ini. Tanggungjawab ayah bukan beri makan dan pakai sahaja kepada anaknya tapi kena beri ilmu pengetahuan. Dan ilmu yang paling penting adalah ilmu agama. Jangan serahkan bagi ilmu itu kepada guru sekolah sahaja.
Mari kita lihat apa nasihat agung Luqman itu sampai Allah masukkan dalam Al-Qur’an.
يٰبُنَيَّ لا تُشرِك بِاللهِ
“Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah,
Yang pertama sekali kena ajar kepada manusia adalah perbetulkan akidah mereka. Maka pertama sekali kena ajar ajaran tauhid kepada anak-anak kita.
Dan ajaran tauhid tidak lengkap kalau tidak belajar tentang syirik. Kita kena belajar perkara yang kita perlu lakukan dan kita kena juga belajar perkara yang kita kena tinggalkan. Ramai belajar tauhid tapi tidak belajar tentang syirik. Maka kerana itu ramai yang amalkan syirik tanpa mereka sedari. Ini amat malang sekali.
Lihatlah bagaimana Luqman menggunakan panggilan mesra kepada anaknya. Maka kena gunakan kasih sayang dalam mengajar. Jangan gunakan kata-kata kasar dengan anak pula. Walaupun dia itu anak kita, tapi kita tetap kena menggunakan kelembutan kerana kalau kita kasar tentu anak kita susah untuk terima.
إِنَّ الشِّركَ لَظُلمٌ عَظيمٌ
sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”.
Dan ajar kepada manusia bahaya syirik itu kerana ianya adalah zalim yang paling besar sekali. Zalim memang sudah teruk dan zalim yang paling teruk sekali adalah syirik.
Maksud ‘zalim’ adalah ‘tidak memberikan seseorang haknya’. Dan kalau kita tidak berikan haq ketuhanan kepada Allah, maka itu adalah zalim yang paling besar sekali. Kalau zalim dengan manusia pun sudah teruk, apatah lagi kalau zalim dengan Allah, bukan?
Kerana itu jikalau ada yang amalkan syirik, maka Allah akan memasukkan pelakunya ke dalam neraka dan tidak akan keluarkan sampai bila-bila. Kerana ianya teruk sangat dan dosa yang paling besar.
Malangnya ramai orang tidak sedar besarnya perkara ini dan kerana itu ramai orang yang tidak belajar bahaya syirik dan kerana itu mereka dengan selambanya amalkan syirik. Apabila tok guru mereka ajar sesuatu amalan, mereka terus amalkan tanpa soal. Malangnya, kadangkala amalan itu adalah amalan syirik.
Kita sedar yang mereka bukannya sengaja nak amalkan syirik tapi mereka tertipu kerana jahil wahyu. Ini adalah kerana apakah maksud syirik diajar di dalam Al-Qur’an dan ramai yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Maka kerana itu ramai yang tidak mahir bab syirik ini.
Ramai yang tidak tahu bahawa zalim itu bermaksud syirik. Ini termasuk pada sahabat juga pada mulanya. Ini kita tahu dari hadis:
قَالَ الْبُخَارِيُّ حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ، حَدَّثَنَا جَرِيرٌ، عَنِ الْأَعْمَشِ، عَنْ إِبْرَاهِيمَ، عَنْ عَلْقَمَةَ ،عَنْ عَبْدِ اللَّهِ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ: {الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ} [الْأَنْعَامِ: 82] ، شَقَّ ذَلِكَ عَلَى أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلم، وَقَالُوا: أَيُّنَا لَمْ يَلْبس إِيمَانَهُ بِظُلْمٍ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “أنه لَيْسَ بِذَاكَ، أَلَا تَسْمَعَ إِلَى قَوْلِ لُقْمَانَ: {يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ}
Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Qutaibah, telah menceritakan kepada kami Jarir, dari Al-A’masy, dari Ibrahim, dari Alqamah, dari Abdullah yang menceritakan bahawa ketika diturunkan firman-Nya: Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik). (Al-An’am: 82) Hal itu terasa berat bagi para sahabat Nabi Saw. Kerana mereka berkata, “Siapakah di antara kita yang tidak mencampuri imannya dengan perbuatan zalim (dosa).” Maka Rasulullah Saw. bersabda, “Bukan demikian yang dimaksudkan dengan zalim. Tidakkah kamu mendengar ucapan Luqman: ‘Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.’ (Luqman: 13)
Dalam banyak-banyak hukum Allah berikan di dalam Al-Qur’an, tidak ada hukuman yang manusia boleh kenakan kepada manusia yang mengamalkan syirik. Macam mencuri, ada hukuman potong tangan, bukan? Tapi kalau buat syirik, apa hukuman pemerintah boleh kenakan dari dalam hudud? Jadi kerana itu mereka rasa ianya perkara yang ringan sahaja kerana mereka tidak dikenakan dengan sebarang hukuman.
Tapi apakah perkara yang Luqman ajar kepada anaknya? Sebelum ini telah disebut bagaimana bahayanya industri hiburan maka mungkin kita boleh ambil isyarat daripada permulaan surah ini untuk mengatakan bahawa Luqman sedang memberi nasihat kepada anaknya yang muda itu. Kerana bukankah industri hiburan ini banyak mempengaruhi anak-anak muda?
Dalam beliau asalnya memberi nasihat kepada anaknya itu mungkin dalam perkara kehidupan dunia. Beliau kemudian menambah dengan mengajar anaknya tentang tauhid dan juga syirik. ini kerana agak pelik kalau sedang sembang-sembang dengan ayahnya dan tiba-tiba sebut tentang syirik pula.
Tapi Luqman telah bawa pembelajaran itu kepada kisah tentang syirik. Ini kerana syirik itu boleh terjadi dalam banyak perkara. Maka kena kaitkan dengan kehidupan kita dan bagaimana syirik boleh terjadi.
Sebagai contoh, kalau kita rasa kita dapat banyak perkara baik kerana usaha kita dan juga nasib kita dan kepandaian kita sahaja, maka itu pun juga syirik kerana tidak menisbahkan kebaikan yang kita dapat itu kepada Allah. Ini adalah ‘syirik dalaman’. Tak nampak dengan nyata yang seseorang itu sedang buat syirik tapi memang ada, bukan?
Kita boleh lihat bagaimana kalimah ‘syirik’ dan ‘syukur’ itu lebih kurang sahaja bunyinya kerana syirik itu boleh berlaku apabila berterima kasih kepada selain Allah sedangkan benda itu diberi oleh Allah.
Ayat 14: Sekarang Allah pula yang berkata. Ayat 14 – 19 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia mengandungi kata-kata nasihat dari Luqman.
وَوَصَّينَا الإِنسٰنَ بِوٰلِدَيهِ حَمَلَتهُ أُمُّهُ وَهنًا عَلىٰ وَهنٍ وَفِصٰلُهُ في عامَينِ أَنِ اشكُر لي وَلِوٰلِدَيكَ إِلَيَّ المَصيرُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And We have enjoined upon man [care] for his parents. His mother carried him, [increasing her] in weakness upon weakness, and his weaning is in two years. Be grateful to Me and to your parents; to Me is the [final] destination.
(MELAYU)
Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu.
وَوَصَّينَا الإِنسٰنَ بِوٰلِدَيهِ
Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya;
Selepas Allah menyebut tentang nasihat seorang ayah kepada anaknya maka Allah terus menyebut berbuat baik dengan ibu bapa kerana ibu bapa itulah yang sepatutnya memperkenalkan anaknya dengan tauhid dan agama.
Satu kelebihan berbuat kepada ibubapa ini, Allah selalu menyebutnya selepas menyebut tentang menyembah kepadaNya sahaja (tauhid). Ini menunjukkan bahawa ianya jatuh nombor 2 sahaja selepas tauhid. Sebagai contoh:
{وَقَضَى رَبُّكَ أَلا تَعْبُدُوا إِلا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا}
Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. (Al-Isra: 23)
Dalam ayat sebelum ini Luqman mengajar anaknya tentang tauhid dan apabila sampai kepada nasihat untuk anak itu tentang berbuat baik dengan ibubapa, bukan Luqman yang memberi nasihat tetapi Allah sendiri yang memberi nasihat kepada anak itu untuk menghormati ibu bapa.
Ini adalah kerana nasihat ini bukan sahaja untuk anak Luqman tapi kepada semua anak dalam dunia ini. Allah ingatkan kepada semua anak untuk berbuat baik kepada ibubapa masing-masing. Kena layan mereka dengan baik dan lebih lagi dari orang-orang lain. Kerana tidak sama ibubapa itu kalau dibandingkan dengan orang lain.
حَمَلَتهُ أُمُّهُ وَهنًا عَلىٰ وَهنٍ
ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah,
Kena buat baik kepada ibu kerana ibu telah mengandungkan kita dalam susah payah selama 9 bulan.
Dalam ayat ini disebut tentang ibu sahaja kerana yang paling susah dalam mengandung dan menjaga anak semasa kecil adalah ibu. Allah menceritakan kesusahan yang dialami oleh seorang ibu dalam menanggung kandungan anaknya di mana ibu itu menjadi semakin berat dan menjadi semakin lemah dari masa ke semasa.
Semakin lama ibu itu menanggung anaknya, dia semakin sakit dan dia semakin lemah kerana segala makanan yang dimakan oleh ibu itu dimakan oleh anak itu. Sudahlah anak itu semakin berat, makanan emak dia pun dia ambil. Memang emaknya makan tapi nutrisi makanan itu diambil oleh anaknya yang di dalam kandungan.
وَفِصٰلُهُ في عامَينِ
dan menyusuinya dalam dua tahun.
Sudahlah ibu itu menanggung anak selama sembilan bulan dan kemudian dia kena menyabung nyawa untuk mengeluarkannya. Akan tetapi kerja ibu itu tidak habis lagi kerana dia kena menyusukan anaknya itu selama dua tahun pula. Dalam ayat ini disebut banyak tentang ibu kerana dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang bapa.
Jadi seorang ibu itu telah bersusah payah untuk memberi kehidupan kepada anaknya itu dan tugas bapa pula untuk memberi pelajaran kepada anaknya. Ini telah disebut dalam ayat sebelum ini di mana Luqman mengajar anaknya.
Semua ibu dalam dunia ini sama ada beriman ataupun tidak, pernah ada jasa kepada anaknya tetapi bapa belum tentu lagi kerana jikalau bapa tidak menjalankan tugas untuk mendidik, maka mereka tidak menjalankan tugas mereka. Maka kerana itu kedudukan ibu itu lebih tinggi dari kedudukan bapa.
Maka kita lihatlah bagaimana amat ramai sekali bapa yang tidak menjalankan tugas mereka. Ramai yang cari rezeki untuk makan dan pakai keluarga, tapi pelajaran agama tidak diberi. Sudahlah mereka tidak pandai mengajar agama (kerana mereka pun tidak belajar), mereka tidak galakkan anak belajar pula. Macam tidak kisah pun kalau diri sendiri dan anak terus duduk dalam jahil.
Jadi ayat ini mengingatkan anak kepada jasa ibu kerana kadang-kadang ianya dilupakan. Ini kerana seorang anak itu apabila sudah ada akal dan ingatan, maka dia akan nampak yang ayahnya yang selalu bagi makan dan bagi duit kepadanya. Kalau nak makan dan nak beli permainan, selalunya duit itu dari ayah, bukan?
Maka anak itu nampak macam ayahnya yang banyak jasa kepadanya. Sedangkan jasa ibu itu lagi banyak, tapi ia dilakukan semasa mereka tidak ingat apa-apa lagi. Semasa kita lahir dan berumur 3 tahun, kita tidak ingat apa-apa, bukan? Kita tidak ingat susah payah ibu kita waktu itu. Maka Allah yang ingatkan manusia dengan pengorbanan dan susah payah ibu itu.
Sudahlah kena menyusui anak itu, dan anak itu bukan tahu bila masa tidak boleh menyusu. Maka mereka akan minta susu kadang-kadang di malam hari semasa ibu itu sedang nyenyak tidur. Maka tentulah ibu itu susah untuk rehat, bukan? Memang para bapa tidak dapat nak bayangkan kesusahan yang dialami oleh ibu itu. Walaupun bapa duduk di sebelah, tapi bapa hanya melihat sahaja, yang susahnya adalah ibu.
Ayat ini juga mengingatkan kepada ibubapa yang penyusuan anak baru lahir itu seeloknya dilakukan selama dua tahun. Ianya tidaklah wajib tapi digalakkan. Ini seperti yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:
{وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ}
Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. (Al-Baqarah: 233), hingga akhir ayat.
أَنِ اشكُر لي وَلِوٰلِدَيكَ
Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu,
Allah ingatkan balik tentang syukur. Pertamanya kena syukur kepada Allah kerana apa-apa pun, semua yang kita ada ini adalah dari Allah. Walaupun banyak jasa ibubapa, ia tidak dapat menandingi jasa Allah kepada makhlukNya.
Tapi kemudian Allah kembali mengingatkan kepada anak itu untuk berlaku baik bukan hanya kepada ibu tetapi juga kepada bapa sekali di hujung ayat ini. Allah sebut kedua-duanya sekali walaupun di awal ayat tadi sebut tentang ibu sahaja. Ini kerana dengan bapa pun kena buat baik juga. Sama ada mereka beri pendidikan agama atau tidak, mereka tetap ayah kita dan mereka tetap telah berjasa.
Antara tanda syukur kepada ibu bapa adalah dengan menjaga mereka. Jangan biarkan mereka hidup dalam susah. Malangnya ramai yang tidak endahkan ibubapa setelah ibubapa mereka tua. Ramai yang sudah ada kehidupan dan keluarga sendiri, maka susah payah ibubapa mereka sudah tidak hirau lagi.
Kalau mereka tidak perlukan kita jaga mereka pun, kenalah selalu berhubung dengan mereka dan menggembirakan mereka. Di akhir usia, perkara yang dapat menggembirakan mereka adalah anak cucu. Maka kalau tidak duduk sekali pun, selalulah hubungi mereka.
إِلَيَّ المَصيرُ
hanya kepada-Kulah kembalimu.
Kenalah bersyukur kepada Allah. Dan kita ingatkan kembali bahawa syukur kepada Allah adalah dengan cara taat kepada segala suruhanNya.
Kena ingat yang semua kita akan kembali kepada Allah dan kalau kita tidak taat kepada Allah, maka bahaya kita nanti kerana kita nanti akan mengadap Allah. Apa yang kita nak bawa kepada Allah kalau banyak arahanNya kita tak ikut?
Dan salah satu dari arahanNya adalah dalam ayat ini iaitu berbuat baik kepada ibubapa dan bersyukur kepada mereka.
Dan syukur kepada ibubapa juga bermaksud taat kepada suruhan mereka. Tapi taat itu ada syaratnya. Bukan semua perkara kita kena taat. Taat kepada Allah memang mutlak tapi taat kepada ibubapa tidak mutlak. Kalau perkara yang salah, kita tidak boleh taat.
Walaupun ibubapa mungkin tidak boleh hukum kita kalau tidak taat kepada mereka, tapi ingatlah bahawa kita akan kembali bertemu Allah. Dan kalau kita tidak taat kepada ibubapa kita, maka Allah akan hukum kita.
Maka taat kepada Allah dan taat kepada ibubapa berkait rapat. Maka kalau kita nak anak kita taat kepada kita, maka kena ajar mereka untuk taat kepada Allah. Kerana kalau mereka taat kepada Allah, maka secara automatik mereka akan taat kepada kita.
Ayat 15: Walaupun Allah tekankan tentang kepentingan berbuat baik kepada ibubapa, tetapi Tuhan lebih penting daripada ibubapa. Memang kena taat kepada mereka tetapi taat kepada mereka tidak mutlak.
وَإِن جٰهَداكَ عَلىٰ أَن تُشرِكَ بي ما لَيسَ لَكَ بِهِ عِلمٌ فَلا تُطِعهُما ۖ وَصاحِبهُما فِي الدُّنيا مَعروفًا ۖ وَاتَّبِع سَبيلَ مَن أَنابَ إِلَيَّ ۚ ثُمَّ إِلَيَّ مَرجِعُكُم فَأُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL) But if they endeavor to make you associate with Me that of which you have no knowledge, do not obey them but accompany them in [this] world with appropriate kindness and follow the way of those who turn back to Me [in repentance]. Then to Me will be your return, and I will inform you about what you used to do.
(MELAYU)
Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Kuberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.
وَإِن جٰهَداكَ عَلىٰ أَن تُشرِكَ بي ما لَيسَ لَكَ بِهِ عِلمٌ
Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu,
Di awal tadi telah disebut bagaimana Luqman sebagai seorang bapa mengajar anak supaya jangan buat syirik tetapi bagaimana pula jikalau ibu bapa yang suruh buat syirik?
Ini boleh berlaku kalau ibubapa sendiri tidak tahu agama dan jauh dari wahyu. Maka mereka yang mengajar dan mengajak anak mereka untuk melakukan perbuatan-perbuatan syirik. Mungkin mereka itu yang mengamalkan ajaran tarekat yang mengamalkan tawasul, maka mereka telah ajak anak-anak mereka juga buat perkara yang sama.
Dan kalau anak itu sendiri belajar agama dan wahyu dan tahu bahawa perbuatan itu tidak ada dalil (tidak ada ilmu tentangnya), maka bolehkah ikut?
فَلا تُطِعهُما
maka janganlah kamu mengikuti keduanya,
Allah kata, jangan ikut mereka. Kerana mereka melakukan perkara yang tidak ada dalil tentangnya, maka kita sebagai seorang Muslim kenalah hanya mengamalkan perkara yang ada dalil sahaja. Maka kerana itu kenalah kita belajar mana yang benar dan mana yang tidak.
Jadi, walaupun kita kena taat kepada ibubapa, maka taat itu tidak mutlak. Hanya taat dalam perkara yang baik dan perkara yang harus sahaja. Kalau mereka suruh buat perkara dosa dan syirik, jangan pula kita ikut mereka. Ketaatan kepada Allah lebih tinggi lagi dari ketaatan kepada manusia.
Memang kadangkala ibu bapa pandai untuk memujuk anaknya melakukan sesuatu, termasuklah mengajak jauh dari agama. Seorang sahabat mengalami masalah ini:
Imam Tabrani mengatakan di dalam Kitabul ‘Isyarh-nya, telah menceritakan kepada kami Abu Abdur Rahman Abdullah ibnu Ahmad ibnu Hambal, telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnu Ayyub ibnu Rasyid, telah menceritakan kepada kami Maslamah ibnu Alqamah, dari Daud ibnu Abu Hindun, bahawa Sa’d ibnu Malik pernah mengatakan bahawa ayat berikut diturunkan berkenaan dengannya, yaitu firman-Nya: Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya. (Luqman: 15), hingga akhir ayat. Bahawa dia adalah seorang yang berbakti kepada ibunya. Ketika apabila dia masuk Islam, ibunya berkata kepadanya, “Hai Sa’d, mengapa engkau berubah pendirian? Kamu harus tinggalkan agama barumu itu (Islam) atau aku tidak akan makan dan minum hingga mati, maka kamu akan dicela kerana apa yang telah kulakukan itu, dan orang-orang akan menyerumu dengan panggilan, ‘Hai pembunuh ibunya!’.” Maka aku menjawab, “Jangan engkau lakukan itu, Ibu, kerana sesungguhnya aku tidak bakal meninggalkan agamaku kerana sesuatu.” Maka ibuku tinggal selama sehari semalam tanpa mahu makan, dan pada pagi harinya dia kelihatan lemas. Lalu ibuku tinggal sehari semalam lagi tanpa makan, kemudian pada pagi harinya kelihatan bertambah lemas lagi. Dan ibuku tinggal sehari semalam lagi tanpa makan, lalu pada pagi harinya dia kelihatan sangat lemah. Setelah kulihat keadaan demikian, maka aku berkata, “Hai ibu, perlu engkau ketahui, demi Allah, seandainya engkau mempunyai seratus jiwa, lalu satu persatu keluar dari tubuhmu, nescaya aku tidak akan meninggalkan agamaku kerana sesuatu. Dan jika engkau tidak ingin makan, silakan tidak usah makan; dan jika engkau ingin makan silakan makan saja,” Akhirnya ibuku mahu makan.
وَصاحِبهُما فِي الدُّنيا مَعروفًا
dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik,
Maka seperti telah disebut, kita tidak boleh taat kepada mereka jikalau mereka suruh buat syirik tetapi kita masih tetap kena rapat dengan mereka kerana mereka itu ibubapa kita. Tetap kena layan mereka dengan cara yang baik walaupun mereka itu mengamalkan syirik. Jangan pula kita tinggalkan mereka, kutuk mereka, keji mereka dengan kata-kata yang buruk. Ingatlah yang mereka itu tetap ibubapa kita.
Berlaku baik kepada mereka itu sudah menjadi perkara yang مَعروفًا (diketahui ramai) dan bukanlah Islam sahaja yang menyuruh perkara ini tetapi akal manusia dan juga masyarakat yang normal sudah tahu bahawa memang kena berbuat baik dengan ibubapa. Al-Qur’an hanya mengingatkan manusia kembali kepada perkara yang manusia sepatutnya sudah tahu dan sudah buat.
وَاتَّبِع سَبيلَ مَن أَنابَ إِلَيَّ
dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku,
Kita ikut mereka yang telah condong dan taat kepada Allah. Jadi jikalau ibubapa tidak mengajar kita tauhid malah mengajar kita syirik, maka kita tidak boleh ikut ajaran mereka itu tetapi kita tetap kena berbuat baik dengan mereka.
Dan dalam masa yang sama kita kena cari orang untuk kita ikut dan bukan ikut ibu bapa kita jikalau mereka salah. Maka kena cari guru yang benar. Maka kena ada usaha dari kita untuk cari guru belajar tafsir Al-Qur’an, belajar hadis dan sebagainya.
ثُمَّ إِلَيَّ مَرجِعُكُم
kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu,
Ingatlah yang kita semua akan kembali bertemu Allah dan kita akan ditanya tentang apa yang kita lakukan. Kita akan ditanya: kamu ikut ibubapa kamu atau kamu ikut ajaran yang benar?
فَأُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ
maka Kuberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.
Apabila kembali kepada Allah, bukan kosong sahaja perjumpaan itu. Allah akan ceritakan balik apa yang kita semua telah lakukan dan akan dipertanggungjawabkan.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 23 Jun 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi