Tafsir Surah Luqman Ayat 8 – 11 (Langit ada tiang)

Ayat 8: Ayat tabshir ukhrawi.

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ لَهُم جَنّٰتُ النَّعيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who believe and do righteous deeds – for them are the Gardens of Pleasure,

(MELAYU)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal saleh, bagi mereka syurga-syurga yang penuh kenikmatan,

 

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا

Sesungguhnya orang-orang yang beriman

Iaitu mereka yang beriman sempurna – percaya kepada apa yang perlu dipercayai dan tidak melakukan syirik. Tapi untuk tahu apakah syirik itu, kenalah belajar terutama sekali kena habiskan belajar tafsir Al-Qur’an 30 juzuk. Ini kerana dalam Al-Qur’an telah diajar dengan panjang lebar tentang tauhid dan syirik.

 

وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

dan mengerjakan amal-amal saleh, 

Mereka bukan sahaja beriman, tapi mereka juga menunjukkan tanda iman mereka itu dengan mengerjakan amal ibadah dan amal kebaikan. Dan ibadah itu mestilah amal ibadah yang soleh. Maksud amal soleh adalah amal yang sunnah, ada contoh dari amalan dan ajaran Nabi Muhammad dan para sahabat.

Dan ini menolak amalan bidaah yang banyak diamalkan oleh manusia sekarang. Kekeliruan manusia tentang amal bidaah ini amatlah banyak sekali. Ini kerana tidak belajar sahaja atau mungkin juga mereka belajar, tapi belajar cara yang salah.

 

لَهُم جَنّٰتُ النَّعيمِ

bagi mereka syurga-syurga yang penuh kenikmatan,

Balasan kepada mereka yang beriman sempurna dan mengerjakan amalan yang sunnah, mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. Ianya adalah tempat untuk menikmati segala macam jenis nikmat yang tidak terhingga.

Mereka hidup bersenang-senang di dalamnya, merasakan berbagai macam kenikmatan dan kegembiraan yang berupa makanan, minuman, pakaian, rumah, kenderaan, wanita, pemandangan yang indah-indah, serta mendengarkan nyanyian yang merdu-merdu. Semuanya itu merupakan kenikmatan yang belum pernah terdetik di dalam hati seorang manusia pun.

Mereka hidup kekal di dalamnya, tidak akan berpindah darinya, dan sama sekali tidak mahu pindah darinya. Allah tidak sebut mereka dapat syurga, tapi ‘syurga-syurga’. Ini memberi isyarat yang mereka ada dapat lebih dari satu taman-taman.

Lihat bagaimana ayat ini digunakan. Allah sebut: “bagi mereka syurga-syurga yang penuh nikmat”. Allah tidak sebut: “bagi mereka nikmat dalam syurga”. Nampak tak bezanya? Kalau Allah kata mereka dapat ‘nikmat’ dalam syurga, itu bermaksud mereka hanya dapat nikmat sahaja, tapi tidak dapat syurga itu. Ini macam kita boleh pakai kemudahan dalam hotel, tapi hotel itu bukan kita yang punya.

Tapi bila Allah kata: “bagi mereka syurga yang penuh nikmat”, itu bermaksud syurga-syurga itu diberikan kepada mereka dan mereka boleh buat apa sahaja yang mereka hendak. Kerana syurga itu mereka yang punya!


 

Ayat 9:

خٰلِدينَ فيها ۖ وَعدَ اللهِ حَقًّا ۚ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Wherein they abide eternally; [it is] the promise of Allāh [which is] truth. And He is the Exalted in Might, the Wise.

(MELAYU)

Kekal mereka di dalamnya; sebagai janji Allah yang benar. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

خٰلِدينَ فيها

Kekal mereka di dalamnya;

Dan mereka akan kekal di dalam syurga itu. Sesiapa yang masuk syurga, tidak akan keluar sampai bila-bila. Ini adalah satu nikmat yang amat besar. Kerana kalau kita dapat duduk hotel yang paling mahal dan mewah pun, kita tahu yang kita tidak lama di dalamnya. Kita tahu yang lambat laun, kita kena keluar juga dan balik ke rumah kita yang sebenar.

Itu sedikit sebanyak mengurangkan kenikmatan semasa duduk di hotel yang mewah itu. Tapi kalau kita dapat tahu yang kita akan kekal di dalam syurga dan segala nikmat itu tidak berkesudahan, maka itu juga adalah nikmat tambahan.

 

وَعدَ اللهِ حَقًّا

sebagai janji Allah yang benar.

Apa yang Allah janjikan adalah benar dan akan berlaku di akhirat. Kalau manusia yang berjanji, belum tentu dapat lagi. Tapi kalau Allah yang berjanji, pasti ia akan berlaku.

 

وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah Maha Perkasa untuk sempurnakan janjiNya. Kalau Allah nak beri, Allah boleh beri. Allah mampu beri maka tidak ada keraguan yang ada manusia yang akan dapat nikmat itu nanti.

Maksud al-Aziz adalah Maha Berkuasa, tidak boleh dikalahkan. Maksudnya, tidak ada sesiapa yang boleh halang Allah untuk beri apa yang Dia telah janjikan. Maka ini memastikan kepada kita yang Allah pasti akan berikan segala kenikmatan yang dijanjikan itu.

Allah bijaksana untuk beri nikmat itu kepada siapa. Allah akan buat keputusan dengan tepat. Allah tahu bagaimana nak menilai manusia itu. Walaupun dia hidup sekejap sahaja, tapi Allah akan balas dengan nikmat yang lagi hebat dan berterusan. Ini kerana Allah tahu siapa yang layak dan bagaimana nak balas orang itu.

Maknanya, tidaklah Allah terberi nikmat syurga kepada orang yang tidak layak; dan tidaklah Allah terlupa untuk beri nikmat syurga kepada siapa yang layak. Dua kemungkinan ini tidak akan ada.


 

Ayat 10: Ayat 10 – 13 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia memberitahu yang syirik adalah kezaliman terbesar. Dimulai dengan ayat 10 ini sebagai Dalil Aqli kerana syirik itu bahaya.

خَلَقَ السَّمٰوٰتِ بِغَيرِ عَمَدٍ تَرَونَها ۖ وَأَلقىٰ فِي الأَرضِ رَوٰسِيَ أَن تَميدَ بِكُم وَبَثَّ فيها مِن كُلِّ دابَّةٍ ۚ وَأَنزَلنا مِنَ السَّماءِ ماءً فَأَنبَتنا فيها مِن كُلِّ زَوجٍ كَريمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He created the heavens without pillars that you see and has cast into the earth firmly set mountains, lest it should shift with you, and dispersed therein from every creature. And We sent down rain from the sky and made grow therein [plants] of every noble kind.

(MELAYU)

Dia menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya dan Dia meletakkan gunung-gunung (di permukaan) bumi supaya bumi itu tidak menggoyangkan kamu; dan memperkembang biakkan padanya segala macam jenis binatang. Dan Kami turunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan padanya segala macam tumbuh-tumbuhan yang baik.

 

خَلَقَ السَّمٰوٰتِ بِغَيرِ عَمَدٍ تَرَونَها

Dia menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya

Allah menceritakan tentang keindahan alam ini yang Dia telah jadikan. Akan tetapi kita tahu bagaimana manusia yang mengisi masa lapang mereka dengan hiburan itu tentu tidak ada masa untuk melihat keindahan alam ini lagi.

Kalau tidak lagha dengan hiburan, maka manusia akan ada masa untuk lihat langit yang amat indah itu. Langit itu amat luas, tapi Allah boleh bina tanpa ada tiang pun.

Allah suruh manusia lihat langit dan memang orang Arab dulu suka lihat langit. Ini kerana mereka tidak ada hiburan sangat, maka masa mereka diisi dengan melihat langit. Sampai mereka tidur di bumbung rumah mereka untuk melihat langit. Kita selalu tengok tv dan dengar lagu di radio sahaja. Ini sebab senang sangat nak dapatkan hiburan zaman sekarang. Sampaikan jarang sangat kita tengok alam ini.

Maksud ayat ini boleh diterjemahkan dalam dua bentuk:

  1. Allah jadikan langit tanpa tiang, atau
  2. Allah jadikan langit itu dengan tiang, tapi kita sahaja yang tidak nampak.

Kedua-dua pendapat ini dipegang oleh para mufassir. Ada yang pakai pendapat pertama dan ada yang pakai pendapat kedua. Al-Hasan dan Qatadah mengatakan bahawa langit tidak mempunyai tiang, baik yang tidak terlihat mahupun yang terlihat.

Ibnu Abbas, Ikrimah, dan Mujahid mengatakan bahawa langit memang mempunyai tiang, tetapi manusia tidak dapat melihatnya.

 

وَأَلقىٰ فِي الأَرضِ رَوٰسِيَ أَن تَميدَ بِكُم

dan Dia meletakkan gunung-gunung (di permukaan) bumi supaya bumi itu tidak menggoyangkan kamu;

Selepas suruh tengok langit, Allah suruh tengok bumi pula. Tengoklah sedikit kepada gunung ganang yang gagah itu. Allah jadikan gunung itu kukuh supaya tak goyang ditiup angin walau laju mana pun angin itu.

Dan gunung itu juga sebagai pasak bumi sebenarnya. Ia mengukuhkan kedudukan plat bumi ini supaya tidak bergerak. Kerana kalau bergerak, susah juga kita untuk hidup di bumi ini.

Orang Arab juga suka lihat kepada gunung dan mereka memang terpesona dengan gunung itu. Kerana itulah banyak ayat dalam Al-Qur’an menceritakan tentang gunung kerana ia memang rapat dengan mereka. Allah memang gunakan perumpamaan dan contoh dari perkara yang manusia senang lihat.

 

وَبَثَّ فيها مِن كُلِّ دابَّةٍ

dan memperkembang biakkan padanya segala macam jenis binatang.

Di atas bumi yang luas ini, Allah jadikan berbagai jenis kehidupan. Ada berbagai jenis binatang yang kita boleh lihat setiap hari. Kalau zaman sekarang, banyak boleh dilihat di zoo sahaja, tapi masih ada tempat seperti di Afrika yang memang ada banyak lagi hidupan liar.

Semua itu juga mempesonakan. Manusia kaji tentang berbagai jenis binatang itu kerana manusia memang terpesona. Kita sekarang pun suka tengok rancangan National Geographic Special.

 

وَأَنزَلنا مِنَ السَّماءِ ماءً

Dan Kami turunkan air hujan dari langit, 

Untuk keperluan kita dan juga binatang-binatang itu, Allah turunkan hujan untuk melangsungkan kehidupan kita. Kerana benda hidup memerlukan air. Kerana itu kalau di planet-planet yang diteroka, para pengkaji akan cari sumber air. Kerana kalau ada sumber air, maka itu menandakan ada kehidupan di planet itu. Atau pernah ada kehidupan di planet itu.

Allah selalu menggunakan contoh air hujan kerana memang manusia memerlukan air hujan ini. Kalau Malaysia ini tidak turun hujan beberapa minggu pun sudah jadi kemarau dan kita semua gelisah kerana tidak ada air untuk minum dan mandi. Bila kena catu sahaja air, semua orang akan rasa susahnya, bukan?

 

فَأَنبَتنا فيها مِن كُلِّ زَوجٍ كَريمٍ

lalu Kami tumbuhkan padanya segala macam tumbuh-tumbuhan yang baik.

Dengan air hujan itu, maka dapatlah tumbuh tanam-tanaman. Dan kita makan tumbuhan itu dan juga dimakan oleh binatang-binatang. Dan binatang-binatang itu pun dimakan oleh kita. Ini kerana memang segala yang ada di atas muka bumi ini adalah untuk kita. Ini kerana kitalah khalifah bumi ini, maka semuanya berkhidmat untuk kira sebenarnya.

Maka lihatlah segala yang Allah telah berikan kepada kita ini. Semuanya dari Allah. Apabila kita lihat langit, bumi, gunung, air hujan, binatang dan segala yang ada pada alam ini, ia sepatutnya mengingatkan kita kepada Allah – Allah yang jadikan semua ini untuk kita. Dan hendaklah kita berterima kasih dengan Allah atas segala nikmatNya itu.


 

Ayat 11: 

هٰذا خَلقُ اللهِ فَأَروني ماذا خَلَقَ الَّذينَ مِن دونِهِ ۚ بَلِ الظّٰلِمونَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

This is the creation of Allāh. So show Me what those other than Him have created. Rather, the wrongdoers are in clear error.

(MELAYU)

Inilah ciptaan Allah, maka perlihatkanlah olehmu kepadaKu apa yang telah diciptakan oleh sembahan-sembahan(mu) selain Allah. Sebenarnya orang-orang yang zalim itu berada di dalam kesesatan yang nyata.

 

هٰذا خَلقُ اللهِ

Inilah ciptaan Allah,

Semua yang kita lihat pada alam ini, Allah yang cipta. Begitulah berkuasanya Allah untuk buat apa sahaja. Begitu hebatnya alam ini, maka tahulah kita yang menjadikannya tentu lebih hebat lagi. Tidak terbayang oleh kita tentang kehebatanNya. Kita tidak dapat melihat Khaaliq (Pencipta) tapi kita tetap dapat lihat makhluk (yang dicipta). Maka kita belajar tentang Khaaliq dengan melihat makhluk.

Maka kerana Allah yang menjadikan semua ini dan Maha Berkuasa, maka kalau ada apa-apa keperluan, minta kepada Allahlah sahaja. Tidak perlu nak minta kepada selain Allah, bukan?

Allah ingatkan yang semua ini adalah makhluk ciptaan Allah. Maka Allah suruh kita tengok alam. Jangan sibuk duduk dalam rumah sahaja. Sekali sekala kenalah keluar dan tengok alam ini. Bawa anak isteri jalan-jalan dan nikmati keindahan alam ini.

 

فَأَروني ماذا خَلَقَ الَّذينَ مِن دونِهِ

maka perlihatkanlah olehmu kepadaKu apa yang telah diciptakan oleh sembahan-sembahan(mu) selain Allah.

Maka kita pun tahu yang alam ini semuanya dicipta oleh Allah. Patutnya sembah dan puja Allahlah sahaja, bukan?

Tapi ada juga manusia yang memuja dan menjadikan selain dari Allah sebagai ilah. Maka Allah tanya balik kepada mereka itu: Yang selain Allah boleh buatkah alam ini? Kalau ada, mari tunjuk mana satu yang mereka cipta dan bina. Tunjuk yang ini Allah yang buat dan ini ada ilah lain yang buat.

 

بَلِ الظّٰلِمونَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

Sebenarnya orang-orang yang zalim itu berada di dalam kesesatan yang nyata.

Tentu tidak ada ciptaan selain dari ciptaan Allah. Ilah-ilah yang disembah selain Allah itu tidak mampu untuk buat apa-apa pun. Nak buat nyamuk seekor pun tidak boleh, apatah lagi nak buat alam.

Maka orang yang melakukan syirik itu telah melakukan zalim yang paling besar iaitu syirik. Maksud ‘zalim’ adalah tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Makhluk sepatutnya hanya menyembah dan menyeru Allah sahaja, tapi ada manusia yang menyembah dan menyeru kepada selain Allah.

Mereka itu benar-benar telah sesat yang nyata, tapi mereka sahaja yang tidak perasan. Kerana kalau mereka gunakan akal mereka yang waras, mereka pun tahu yang ilah-ilah yang mereka sembah itu tidak boleh buat apa-apa pun. Jadi kenapa nak sembah dan berdoa kepada ilah-ilah selain Allah itu?

Kalau mereka boleh dengar pun doa kita, apa yang mereka boleh buat? Jadi mereka yang sembah dan seru selain Allah itu adalah orang yang gila sebenarnya. Mereka sudah tak guna akal mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 23 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s