Tafsir Surah Luqman Ayat 1 – 7 (Lagu dan muzik itu haram)

Pengenalan: 

Ini adalah surah ketiga dalam rentetan kumpulan 4 surah dari Surah Ankaboot sampai Surah Sajdah. Keempat-empat surah ini mengandungi mesej yang hampir sama. Tapi terlebih lagi ada banyak persamaan antara Surah Ankaboot dengan Surah Luqman ini.

Dakwa surah ini adalah berkat itu hanya milik Allah. Ini seperti juga surah-surah dari Surah Ankaboot sampai Surah Sajdah itu.


Ayat 1: Surah ini mengandungi 4 perenggan makro. Ayat 1 – 9 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia mengandungi kalam Tuhan yang Maha Bijaksana.

الم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Luqmān: Luqmān, the Wise, whose learning and wisdom was known among pre-Islāmic Arabs. He was said to have been an Abyssinian or Nubian slave who lived in the area of Madyan and thus knew Arabic.

Alif, Lām, Meem.

(MELAYU)

Alif Laam Miim

 

Ini adalah ayat Muqatta’ah. Seperti yang kita telah banyak kali beritahu sebelum ini, kita tidak tahu apakah tafsir bagi ayat-ayat muqatta’ah ini. Boleh baca penerangan dalam awal Surah Ghafir.


 

Ayat 2: Allah menceritakan tentang Al-Qur’an. Memang dalam banyak surah, selepas sahaja Allah sebut ayat Muqatta’ah, selalu Allah sambung dengan penerangan tentang Al-Qur’an.

تِلكَ ءآيٰتُ الكِتٰبِ الحَكيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

These are verses of the wise¹ Book,

  • See footnote to 10:1.

(MELAYU)

Inilah ayat-ayat Al Qur’an yang mengandung hikmat,

 

Permulaan Surah Luqman ini sama macam permulaan Surah Baqarah. Jadi boleh dibaca penerangan tentang bagaimana Al-Qur’an ini mengandungi banyak hikmah. Kepada mereka yang memahaminya, mereka akan mendapat hikmah yang banyak. Maka kerana itu diwajibkan kita mempelajari tafsir Al-Qur’an.


 

Ayat 3:

هُدًى وَرَحمَةً لِّلمُحسِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

As guidance and mercy for the doers of good

(MELAYU)

menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang berbuat kebaikan,

 

هُدًى

menjadi petunjuk

Mereka yang mahu beriman, boleh menjadikan Al-Qur’an ini sebagai petunjuk hidup yang boleh membawa kebaikan sampai ke akhirat. Asalkan mahu belajar sahaja. Malangnya ramai yang tidak mahu mengambil pengajaran daripada Al-Qur’an ini. Ramai yang baca (dan ramai juga yang hafal) tapi ramai yang tidak mahu mempelajarinya. Oleh kerana itu ramai yang melanggar ajaran dalam Al-Qur’an.

 

وَرَحمَةً

dan rahmat

Dengan mempelajari dan mengamalkan ajaran dalam Al-Qur’an ini akan memberi rahmat kepada kita. Maka takkan kita tidak mahu memperolehi rahmat yang Allah janjikan ini?

Setakat ini ada persamaan dengan Surah Baqarah Lebih kurang tapi ada beza selepas ini.

 

لِّلمُحسِنينَ

bagi orang-orang yang berbuat kebaikan,

Al-Qur’an ini boleh memberi petunjuk dan rahmat kepada semua orang tetapi yang boleh mengambil manfaat darinya adalah  mereka yang memiliki hati yang baik (muhsin). Iaitu mereka mahu mencari kebenaran dan apabila kebenaran datang kepada mereka, mereka boleh menerimanya.

Hati mereka sendiri sudah baik dan mereka berusaha untuk menjadikan orang lain juga baik. Mereka tidak hanya hendak melepaskan diri mereka sahaja tetapi mereka juga memikirkan tentang orang lain juga. Inilah salah satu dari sifat muhsin.


 

Ayat 4: Kemudian Allah memberitahu sifat Muhsin itu. Masih ada persamaan dengan Surah Baqarah.

الَّذينَ يُقيمونَ الصَّلَوٰةَ وَيُؤتونَ الزَّكَوٰةَ وَهُم بِالآخِرَةِ هُم يوقِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who establish prayer and give zakāh, and they, of the Hereafter, are certain [in faith].

(MELAYU)

(iaitu) orang-orang yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka yakin akan adanya negeri akhirat.

 

الَّذينَ يُقيمونَ الصَّلَوٰةَ

orang-orang yang mendirikan solat,

Mereka yang muhsin itu amat menjaga solat mereka dengan baik. Ini adalah contoh ibadat yang melibatkan hubungan dengan Allah. Habluminallah (tali dengan Allah). Ibadah yang paling utama adalah solat.

 

وَيُؤتونَ الزَّكَوٰةَ

menunaikan zakat 

Ini pula melibatkan hubungan dengan masyarakat. Iaitu kita keluarkan zakat untuk beri bantuan kepada orang yang memerlukan. Ia bukan sahaja taat kepada suruhan Allah tetapi ia juga dapat menyambungkan perhubungan baik dengan masyarakat.

Ini kerana apabila kita keluarkan zakat, maka ia membantu orang yang memerlukan. Maka orang yang menerima zakat itu akan rasa berterima kasih kepada mereka yang memberi. Maka ada hubungan baik, timbal balik.

Dua ibadat ini adalah sebagai contoh. Bukanlah cukup dengan buat dua ibadat ini sahaja. Tapi ia sudah mewakili segala ibadat yang Allah suruh. Maka kena belajar tentang ibadah-ibadah yang lain pula.

 

وَهُم بِالآخِرَةِ هُم يوقِنونَ

dan mereka yakin akan adanya negeri akhirat.

Allah kata kita dengan akhirat kena yakin kerana ia hanya boleh didapati dengan dalil. Memang kita tidak boleh nampak negeri akhirat itu lagi, tapi dalilnya sudah jelas.

Apabila selalu baca dan dengar dalil maka lama kelamaan seseorang itu akan mendapat keyakinan. Kerana akhirat ini kita bukan boleh tengok dan nampak maka kita kena percaya berdasarkan dalil. Kerana kalau guna akal sahaja maka tidak mungkin manusia akan capai pemahaman dan keyakinan kepada akhirat.

Apabila yakin adanya akhirat, maka cara hidup mereka pun akan jadi baik. Tidaklah mereka buat sesuka hati mereka sahaja. Mereka perhatikan apa sahaja perbuatan mereka kerana takut nak menjawab di akhirat kelak.

Dan memang maksud ‘ihsan’ adalah kita beribadat seolah-olah kita melihat Allah dan kerana kita memang tidak dapat melihat Allah, maka hendaklah kita sedar yang Allah sedang melihat kita. Maka kalau sedang solat, latihlah diri supaya sedar yang Allah sedang memerhatikan kita.


 

Ayat 5: Inilah natijah kepada mereka yang ada tiga sifat di atas.

أُولٰئِكَ عَلىٰ هُدًى مِّن رَّبِّهِم ۖ وَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those are on [right] guidance from their Lord, and it is those who are the successful.

(MELAYU)

Mereka itulah orang-orang yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

 

أُولٰئِكَ عَلىٰ هُدًى مِّن رَّبِّهِم

Mereka itulah orang-orang yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhannya

Apabila taat kepada Allah, maka Allah akan terus beri petunjuk kepada mereka. Petunjuk inilah yang kita perlukan dalam kehidupan kita. Kerana kita hendak selamat di dunia dan di akhirat. Maka untuk selamat, memerlukan petunjuk.

 

وَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Dan mereka akan berjaya di dunia dan lebih penting lagi, akan berjaya di akhirat. Inilah kejayaan kepada mereka yang berusaha semasa di dunia.


 

Ayat 6: Ini adalah ayat zajrun dan takhwif ukhrawi. Sebelum ini sebut tentang manusia yang berjaya, sekarang nak sebut mereka yang tidak berjaya pula.

Sepatutnya manusia itu meluangkan masa untuk memahami ayat-ayat Allah. Tapi kebanyakan manusia tidak begitu. Ramai yang sibuk dengan benda lain sampai tak sempat nak beramal ibadat.

وَمِنَ النّاسِ مَن يَشتَري لَهوَ الحَديثِ لِيُضِلَّ عَن سَبيلِ اللهِ بِغَيرِ عِلمٍ وَيَتَّخِذَها هُزُوًا ۚ أُولٰئِكَ لَهُم عَذابٌ مُّهينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And of the people is he who buys the amusement of speech¹ to mislead [others] from the way of Allāh without knowledge and who takes it [i.e., His way] in ridicule. Those will have a humiliating punishment.

  • i.e., that which has no benefit. Described by different ṣaḥābah as shirk (association with Allāh), misleading stories, frivolous songs, or music but includes all which distracts or diverts one from the Qur’ān and remembrance of Allāh.

(MELAYU)

Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan.

 

وَمِنَ النّاسِ مَن يَشتَري لَهوَ الحَديثِ

Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna

Mereka يَشتَري iaitu tukar wahyu dan ambil لَهوَ الحَدي iaitu ‘percakapan sia-sia’. Abdullah Ibnu Mas’ud mengatakan yang dimaksudkan adalah nyanyian. Ini seperti yang disebut:

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepadaku Yunus ibnu Abdul A’la, telah menceritakan kepada kami Ibnu Wahb, telah menceritakan kepadaku Yazid ibnu Yunus, dari AbuSakhr, dari Ibnu Mu’awiyah Al-Bajali, dari Sa’id ibnu Jubair, dari Abus Sahba Al-Bakri, bahawa dia pernah mendengar Abdullah ibnu Mas’ud ketika ditanya mengenai makna firman Allah Swt.: Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah. (Luqman: 6) Maka Ibnu Mas’ud menjawab bahawa yang dimaksudkan adalah nyanyian.

Hal yang sama dikatakan oleh Ibnu Abbas, Jabir, Ikrimah, Sa’id ibnu Jubair, Mujahid, Mak-hul, Amr ibnu Syu’aib, dan Ali ibnu Bazimah.

Al-Hasan Al-Basri mengatakan bahawa firman-Nya: Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan. (Luqman: 6) Maksudnya, nyanyian dan seruling (musik).

Qatadah telah mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan. (Luqman: 6) Demi Allah, barangkali dia tidak mengeluarkan perbelanjaan untuk itu, tetapi yang dimaksudkan dengan istilah syira’ itu ialah ‘menyukainya’. Sebab cukuplah kesesatan bagi seseorang bila dia memilih perkataan yang batil daripada perkataan yang hak, dan memilih hal yang mudarat daripada hal yang bermanfaat.

Di dalam nyanyian pada zaman jahiliah itu, mereka memuji sesuatu itu sampai ke tahap mendewakan dan sampai ke tahap syirik. Jadi bukan sahaja nyanyian itu mereka akan menjauhkan mereka daripada wahyu Allah tetapi ia juga menjerumuskan mereka ke dalam syirik.

Hasan al Basri kata ianya bermaksud syirik kerana apabila tidak mengendahkan Al-Qur’an maka lawannya adalah syirik. Apabila tidak ada semangat untuk belajar wahyu, maka Allah akan ganti dengan pemahaman syirik kepada mereka. Inilah bahayanya dan malangnya apabila ramai yang tidak tahu ajaran wahyu.

Ada juga ulama’ yang mengatakan yang ianya merujuk kepada apa-apa sahaja perkara keduniaan yang menyebabkan manusia leka sampai terlupa untuk mengamalkan agama dan membuat persediaan kepada akhirat.

Ad-Dahhak telah mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna. (Luqman: 6) bahawa yang dimaksud adalah kemusyrikan.

Hal yang sama dikatakan oleh Abdur Rahman ibnu Zaid ibnu Aslam, lalu dipilih oleh Ibnu Jarir, yang kesimpulannya mengatakan bahawa setiap perkataan yang menghalang-halangi ayat-ayat Allah dan mencegah untuk mengikuti jalan­Nya, itulah yang dinamakan lahwul hadis.

Ada pendapat yang mengatakan kisah ini berkenaan cubaan musyrikin Mekah untuk menghalang manusia dari mendengar bacaan Al-Qur’an dari Nabi Muhammad. Mereka perasan bagaimana bacaan Al-Qur’an itu amat indah sampaikan ramai yang tertarik dengan bacaan baginda. Dan orang Mekah ataupun orang Arab memang suka kepada bacaan yang indah kerana itulah hiburan bagi mereka.

Jadi kepada penentang wahyu, mereka merasakan yang mereka perlu melakukan sesuatu untuk mengalihkan perhatian manusia dari mendengar bacaan Al-Qur’an dari Nabi Muhammad. Maka ada yang sampai pergi carikan bawa balik seorang wanita yang suaranya merdu untuk buat konsert setiap kali Nabi Muhammad membacakan Al-Qur’an kepada manusia.

Akan tetapi ayat ini berbentuk umum, maka jangan terhadkan kepada kisah itu sahaja. Kalau zaman sekarang pun, ayat ini masih terpakai.

Jadi ada banyak industri dalam dunia ini yang hendak mengisi masa lapang manusia untuk mendapatkan keuntungan seperti hiburan, sukan, politik dan sebagainya. Jadi kita kena berhati-hati dengan penggunaan masa kita. Jangan layan sangat perkara yang lagha sampai menyebabkan kita terleka dengan perkara-perkara itu yang melalaikan kita dari agama dan dari Allah.

 

لِيُضِلَّ عَن سَبيلِ اللهِ

untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah

Perkara-perkara itu lagha itu akan dapat melalaikan manusia. Dan manusia-manusia yang terlibat dengan industri hiburan itu merosakkan masyarakat kerana menjauhkan manusia daripada agama. Manusia memang banyak buang masa dengan hidupan di media massa sahaja. Padahal tidak ada langsung perkara yang untung dengan hiburan itu.

Bagaimana mereka rosakkan masyarakat? Mereka bercakap tentang perkara-perkara yang tidak sepatutnya dikatakan di khalayak ramai dan mereka berpakaian dengan pakaian yang menjolok mata dan mereka menjadi ikutan akhlak yang buruk kepada mereka yang lemah akal.

 

بِغَيرِ عِلمٍ

tanpa pengetahuan 

Jadi manusia sudah terikut-ikut mengisi masa mereka dengan hiburan dan perkara-perkara yang tidak penting yang sepatutnya mereka isikan masa itu untuk belajar agama dan zikir kepada Allah.

Mereka lakukan perkara itu dalam keadaan ‘tanpa ilmu’ – iaitu dalam keadaan jahil.

Dan memang hiburan-hiburan dan juga pengisian masa lapang itu tidak menambah langsung kepada ilmu manusia. Ia hanya membuang masa sahaja, sedangkan sepatutnya kita cari jalan nak tambah ilmu kita.

Nak dapatkan hiburan itu memerlukan wang dan belanja, bukan? Tapi ilmu pengetahuan ini percuma sahaja (kalau belajar dengan ustaz Sunnah). Jadi mereka membeli benda yang sia-sia dan buang masa dan meninggalkan perkara yang lebih mulia.

Ia sampai boleh menyesatkan manusia. Kerana apabila tidak tumpu perhatian kepada agama, maka syaitan akan isi dengan perkara yang salah. Maka akhirnya manusia boleh jadi sesat. Kerana sibuk dengan perkara lagha, maka orang itu tidak ada ilmu dan kerana tidak ada ilmu, maka senang sahaja syaitan nak tipu dan sesatkan dia.

 

وَيَتَّخِذَها هُزُوًا

dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. 

Asbabun Nuzul ayat ini tentang Musyrikin Mekah yang memanggil dan mengupah penyanyi dan tukang cerita untuk melalaikan manusia dari mendengar bacaan Al-Qur’an Nabi Muhammad.

Dan bukan itu sahaja tetapi mereka menjadikan agama Allah sebagai ejekan dan mainan. Mereka nak sampaikan kepada orang yang lain yang agama bawaan Nabi Muhammad itu adalah sesuatu yang tidak penting mana. Macam budak-budak kalau main, mereka pun tahu yang permainan itu olok-olok sahaja. Sampai masa mereka akan tinggalkan apabila nak makan atau nak tidur. Mereka tinggalkan begitu sahaja kerana mereka tahu ia tidak penting.

 

أُولٰئِكَ لَهُم عَذابٌ مُّهينٌ

Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan.

Kalau mereka tak bertaubat dan ubah cara hidup mereka, mereka akan kena azab. Mereka akan dapat pembalasan di akhirat yang akan menghina mereka.


 

Ayat 7:

وَإِذا تُتلىٰ عَلَيهِ ءآيٰتُنا وَلّىٰ مُستَكبِرًا كَأَن لَّم يَسمَعها كَأَنَّ في أُذُنَيهِ وَقرًا ۖ فَبَشِّرهُ بِعَذابٍ أَليمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when Our verses are recited to him, he turns away arrogantly as if he had not heard them, as if there was in his ears deafness. So give him tidings of a painful punishment.

(MELAYU)

Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami dia berpaling dengan menyombongkan diri seolah-olah dia belum mendengarnya, seakan-akan ada sumbatan di kedua telinganya; maka beri khabar gembiralah dia dengan azab yang pedih.

 

وَإِذا تُتلىٰ عَلَيهِ ءآيٰتُنا وَلّىٰ مُستَكبِرًا

Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami dia berpaling dengan menyombongkan diri

Dia sendiri memang tidak baca Al-Qur’an, maka kalau dia dengar pun, hanya apabila ‘dibacakan’ kepadanya.

Tapi bila dibacakan dan ditafsirkan maksud ayat-ayat itu, dia berpaling. Maksudnya dia tidak mahu terima. Dia tidak mahu nak amalkan. Dia malas nak dengar. Sebab itu ada orang yang apabila kita menceritakan tentang ayat-ayat Al-Qur’an, mereka ada yang kata: “sikit-sikit Qur’an, sikit Qur’an, tidak ada benda lain lagi kah?”. Ini adalah kerana mereka rasa rimas apabila kita membacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka. Kerana ia akan berlainan dari fahaman dan akidah mereka.

Dia menolak dalam keadaan sombong. Sombong itu bermaksud tidak mahu terima kebenaran. Dia rasa dia lebih hebat dari wahyu, lebih tinggi dari wahyu. Dia rasa dia tidak perlu ikut ajaran dari wahyu.

 

كَأَن لَّم يَسمَعها

seolah-olah dia belum mendengarnya, 

Apabila dibacakan ayat-ayat wahyu kepada mereka yang suka berhibur itu, maka mereka berpusing tidak mahu mendengar seolah-olah mereka tidak mendengar ayat-ayat wahyu itu dibacakan kepada mereka.

Mereka buat tidak tahu sahaja. Hanya masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri sahaja, tak singgah pada akal.

 

كَأَنَّ في أُذُنَيهِ وَقرًا

seakan-akan ada sumbat di kedua telinganya; 

Allah kata mereka itu seolah-olah ada sumbatan para telinga mereka. Ini bukan sumbatan tahi telinga tapi sumbatan maknawi (dari segi makna sahaja, bukan dari segi fizikal). Kalau nak korek, memang tidak berjumpa.

 

فَبَشِّرهُ بِعَذابٍ أَليمٍ

maka beri khabar gembiralah dia dengan azab yang pedih.

Allah ejek mereka dengan suruh beri ‘berita gembira’. Padahal ia bukan berita gembira kerana kena azab bukanlah berita baik.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 23 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Luqman Ayat 1 – 7 (Lagu dan muzik itu haram)”

    1. Ya betul. Kita pilih satu yang kita rasa ia paling kuat. Tidak semestinya itu yang benar di sisi Allah, tapi sekurang-kurangnya kita pilih satu yang kita kira selamat.

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s