Tafsir Surah Baqarah Ayat 151 – 153 (Tazkiyatun Nafs)

Ayat 151: Ayat panduan bagi mereka yang mengajar. Kena faham dan huraikan balik kepada manusia tentang agama ini. Inilah tanggungjawab kepada orang yang ada ilmu, iaitu kena sampaikan.

كَما أَرسَلنا فيكُم رَسولًا مِّنكُم يَتلو عَلَيكُم ءَايَـٰتِنَا وَيُزَكّيكُم وَيُعَلِّمُكُمُ الكِتٰبَ وَالحِكمَةَ وَيُعَلِّمُكُم مّا لَم تَكونوا تَعلَمونَ

Sahih International

Just as We have sent among you a messenger from yourselves reciting to you Our verses and purifying you and teaching you the Book and wisdom and teaching you that which you did not know.

Malay

(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Qur’an) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.

 

كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ

Sebagaimana Kami utuskan kepada kamu

Sepertimana Nabi ﷺ diutuskan untuk menyempurnakan ajaran agama kepada umat Islam, begitu jugalah penukaran arah kiblat itu juga untuk menyempurnakan agama Islam.

Atau satu lagi maksud, sepertimana arahan menghadap kiblat ke Mekah adalah penyempurnaan nikmat kepada umat Islam, begitu juga Allah ‎ﷻ telah memilih Rasul akhir zaman daripada kalangan kamu.

 

رَسُولًا مِّنْكُمْ

Rasul dari kalangan kamu juga;

Allah ‎ﷻ mengangkat Rasul akhir zaman daripada bangsa Arab. Allah ‎ﷻ mengangkat Rasul untuk mereka daripada bangsa yang sama supaya mereka senang terima apa yang disampaikan oleh baginda. Kalau diberikan Rasul daripada bangsa yang lain, tentu mereka ada hujah untuk tidak terima kerana mereka boleh kata Rasul itu tidak faham apakah yang mereka lalui sebagai bangsa Arab.

Ayat-ayat ini adalah hasil daripada doa Nabi Ibrahim عليه السلام yang kita telah belajar sebelum ini (ayat Baqarah:129). Nabi Ibrahim عليه السلام telah berdoa supaya Allah ‎ﷻ memberikan Rasul kepada mereka, membacakan ayat-ayat Allah ‎ﷻ, mengajar mereka kitab dan hikmah dan membersihkan hati mereka.

Ayat ini hampir sama dengan ayat itu, tetapi dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ telah menyempurnakan susunan doa itu kerana semasa Nabi Ibrahim ‎ عليه السلام berdoa itu, anak baginda adalah Nabi Ismail عليه السلام ‎- seorang yang sudah berakhlak mulia. Namun begitu bagi umat-umat yang lain, belum tentu lagi anak mereka orang yang mukmin. Jadi ada keperluan lain yang diperlukan oleh manusia lain.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menyebut ‘pembersihan’ dahulu sebelum mengajar kitab dan hikmah. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ tahu bahawa pembersihan jiwa daripada kefahaman syirik perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum diberi pengajaran Al-Qur’an dan hikmah.

Ini adalah kerana kalau anak murid itu tidak dibersihkan daripada fahaman syirik, mereka tidak dapat menerima pengajaran Al-Qur’an dan Hadith. Jiwa mereka tidak dapat terima. Bukan sahaja tidak dapat terima, mereka pun tidak ada keinginan dalam hati mereka untuk belajar. 

 

يَتْلُو عَلَيْكُمْ ءَايَـٰتِنَا

Yang membacakan ke atas kamu ayat-ayat Kami;

Allah ‎ﷻ menjelaskan kerja Rasul dalam ayat ini. Ini adalah susunan yang berbeza daripada apa yang Nabi Ibrahim عليه السلام minta dahulu.

Ayat yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ayat-ayat Al-Qur’an. Maknanya guru mesti bacakan ayat Al-Qur’an kepada manusia. Begitu juga jika hendak berdakwah kepada mereka. Kita bacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka untuk ajak mereka beriman. Kena sampaikan ajaran tafsir Al-Qur’an kepada manusia. Inilah ilmu pertama yang kena dititik beratkan.

 

وَيُزَكِّيكُمْ

dan menyucikan kamu;

Kemudian baca lagi ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka, bagi menyucikan hati mereka daripada syirik. Inilah yang dikatakan ‘pembersihan’ itu. Selagi hati tidak suci daripada syirik, syariat tidak akan dapat dijalankan dengan sempurna. Ini dinamakan Tazkiyah. Dan ia perlu diambil dari Al-Qur’an. Kerana itulah pembacaan Al-Qur’an disebut dahulu.

Selepas itu, barulah ajar kitab (dalam bentuk hukum hakam) kepada mereka – iaitu asas-asas syariat, dan hikmah sebagai cara mengerjakan amalan iaitu mengikut sunnah. ‘Hikmah’ maksudnya ‘sunnah’. Inilah sahaja bahagian tasawuf yang ada dalam ayat ini. Makna ‘menyucikan’ itu, ada tiga perkara:

1- Menyucikan manusia daripada syirik kepada Allah ‎ﷻ. Ada banyak jenis syirik sebenarnya.

Pertama, dari segi perbuatan, seperti menyembah berhala dan lain-lain makhluk. Ini jenis syirik yang jelas kelihatan.

Kedua, ada syirik yang berkenaan hati. Seperti percaya kalau burung hantu berbunyi, bermakna ada orang hendak mati. Kalau kita percaya seperti itu, walaupun kita tidak buat lagi sebab tidak ada burung hantu di bandar, itu sudah menunjukkan akidah kita ada masalah.

Atau ada yang minta izin kepada penunggu pokok sebelum hendak kencing. Ada ulama’ yang kata sudah syirik kalau kata begitu dan ada yang kata hanya berdosa besar. Namun berdosa besar itu pun sudah perkara yang berat.

2- Kena beritahu manusia tentang syirik khafi – ‘syirik kecil’. Mengajar manusia untuk menjauhkan diri daripada mempunyai sifat-sifat buruk seperti: riak, ujub, takabbur dan sebagainya. Iaitu sifat-sifat mazmumah. Ini termasuk dalam perkara tazkiyatun nafs.

3- Membersihkan manusia daripada sifat-sifat nifak iaitu sifat munafik. Guru kena beritahu perkara ini kepada anak murid supaya tidak ada sifat nifak dalam diri anak murid. Ini kita amat takut kerana kita pun tidak pasti entah-entah kita ada sifat nifak dalam diri kita tanpa kita sedari. Maka kena belajar apakah sifat-sifat nifak itu dan bandingkan dengan diri kita.

Dalam bahasa Al-Qur’an, semua ini dinamakan tazkiyah, iaitu menyucikan jiwa manusia. Selagi ada syirik dalam hati, manusia itu bukan seorang yang beragama Islam lagi. Walaupun dia tidak pernah tinggal salat atau puasa dan selalu melakukan segala perbuatan baik.

Orang tasawuf mengambil berat bahagian syirik khafi dan mereka hurai dengan panjang lebar mengenai syirik kecil sampai tidak diberitahu tentang syirik yang besar. Tertipu juga mereka dengan syaitan yang menyebabkan mereka hanya lihat satu perkara sahaja.

Bukanlah kita hendak mengatakan bahawa tasawuf itu salah, tetapi mereka tidak menceritakan tentang syirik yang sepatutnya mereka cerita juga. Padahal syirik yang besar itu lebih penting daripada syirik khafi yang mereka selalu sentuh itu.

Selain daripada membersihkan jiwa daripada segala sifat-sifat di atas, kita juga perlu membersihkan akal kita daripada perkara-perkara yang tidak bermanfaat. Zaman sekarang, banyak sangat media-media yang telah direka oleh manusia untuk mengisi masa lapang kita dengan perkara yang tidak berfaedah. Kita sudah ada Twitter, Facebook, YouTube dan sebagainya yang memenuhi akal fikiran kita dengan maklumat yang tidak berfaedah dan membuang masa.

Ia juga merosakkan fikiran kita kerana di dalamnya ada berbagai-bagai tohmahan dan perkara-perkara yang tidak sesuai dengan agama. Sebaliknya, kita perlu isikan masa lapang kita dengan perkara yang berfaedah supaya kita boleh memikirkan perkara yang bermanfaat tentang agama. Kalau kita memasukkan akal kita dengan perkara yang baik, tetapi dalam masa yang sama kita juga memasukkan perkara yang tidak elok, itu pun tidak baik juga.

Apabila otak kita telah bersih daripada kekotoran, maka barulah kita dapat berfikir dengan jelas dan senang untuk ilmu agama masuk ke dalam akal kita. Barulah kita akan dapat maklumat yang benar tentang agama.

 

وَيُعَلِّمُكُمُ الْكِتٰبَ

dan ajar kepada kamu tentang Kitab Al-Qur’an;

Yang dimaksudkan adalah belajar tafsir Al-Qur’an. Bukan hanya setakat ‘baca’ sahaja, tetapi kena diajarkan tafsir Al-Qur’an itu kepada manusia, kerana kalau tidak, manusia tidak akan faham apa yang hendak disampaikan.

Kerana kalau setakat baca sahaja, kita tidak akan faham bagaimana hendak mengamalkan Al-Qur’an ini. Kerana itulah kita kena belajar sunnah Nabi ﷺ. Malangnya masyarakat kita hanya tahu belajar baca sahaja, tapi tidak diteruskan dengan usaha untuk memahami tafsir Al-Qur’an. Maka banyak yang mereka langgar.

Padahal ilmu tafsir Al-Qur’an ini amatlah penting. Sampaikan para sahabat tidak benarkan anak-anak mereka belajar perkara lain sebelum menamatkan pembelajaran tafsir Al-Qur’an. Maka ada banyak masalah dalam pemahaman agama masyarakat kita kerana tidak belajar langsung tafsir Al-Qur’an.

 

وَالْحِكْمَةَ

dan hikmah;

Yang dimaksudkan adalah hadith Nabi ﷺ tetapi kena pastikan hadith itu adalah sahih. Masyarakat kita baca juga hadis, tapi kerana jahil agama, mereka tidak periksa sama ada hadis itu sahih atau tidak. Mereka pakai sebut sahaja hadis, tapi sedar status sesuatu hadis itu.

Ini juga memerlukan ilmu dan kena belajar. Kerana hadis itu menambah ilmu yang ada di dalam Al-Qur’an. Kerana Al-Qur’an menyebut secara ringkas sahaja dan penjelasannya kena diambil dari hadis Nabi.

Ini pun masyarakat kita amat jauh. Kelas pembelajaran hadis dipandang sepi. Ramai belajar berbagai-bagai kitab, tapi syarah hadis tidak belajar lagi. Kerana itu apabila ada ajaran Sunnah disampaikan, mereka melenting kerana mereka tidak tahu tentang hadis-hadis Nabi.

 

وَيُعَلِّمُكُمْ مَّا لَمْ تَكُونُوا تَعْلَمُونَ

dan mengajar kamu apa yang sebelum ini kamu tidak tahu;

Banyak perkara yang kita tidak tahu tentang agama lebih-lebih lagi tentang perkara-perkara seperti tentang syurga dan neraka, tentang halal dan haram dan macam-macam lagi. Sebelum kita belajar, kita tidak tahu tentang semua itu. Kalau tidak diberitahu kepada kita, kita tidak akan dapat tahu kerana ia adalah perkara-perkara ghaib yang hanya boleh diketahui melalui wahyu, sama ada disampaikan dalam Al-Qur’an atau dari Hadith Nabi ﷺ.

Perkara-perkara tentang agama itu, manusia tidak akan langsung dapat tahu kalau tidak disampaikan oleh Allah ‎ﷻ melalui Nabi-Nya. Bagaimana pandai pun otak dan akal manusia, kita tidak akan dapat mencapainya sendiri. Kerana itulah kita perlukan ilmu yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ.

Jadi, kita kenalah berhati-hati dengan maklumat agama yang disampaikan yang tidak didasari dari wahyu kerana kalau bukan daripada wahyu, bagaimana lagi ilmu itu boleh disampaikan kepada kita?


 

Ayat 152: Sebelum ini ayat tentang tugas Rasul dan umat baginda kerana Nabi Muhammad ﷺ adalah Nabi akhir zaman, maka tugas Nabi ﷺ terbeban di atas bahu umat baginda. Jadi ada tiga tugas yang disebut dalam ayat sebelum ini:

1. Baca ayat Allah ‎ﷻ kepada hamba Allah ‎ﷻ untuk mengajak hamba Allah ‎ﷻ kenal Allah ‎ﷻ dan taat kepada Allah ‎ﷻ. Ini melibatkan interaksi dengan orang lain.

2. Menyucikan hati manusia. Nabi ﷺ telah ajar cara untuk melakukannya dan masing-masing kena ikhtiar sebab Nabi ﷺ tidak boleh menyucikan hati orang lain. Nabi ﷺ cuma boleh ajar dan beritahu kelebihan melakukannya. Inilah amalan yang dinamakan ‘tazkiyah’. Ini jenis amalan berseorangan.

3. Mengajar kitab Al-Qur’an dan Sunnah. Sunnah adalah cara pelaksanaan. Ini juga amalan yang kena berhubung dengan orang lain. Nabi ﷺ kena ‘ajar’ dan maksud ‘ajar’ itu adalah sehingga orang itu pandai. Namun berkenaan tazkiyah, oleh kerana kena buat sendiri, maka Nabi ﷺ tidak dapat memastikan orang itu pandai, maka Allah ‎ﷻ terangkan lagi dalam ayat seterusnya ini.

Secara ringkas, menyucikan hati dan akhlak ada lima (5) cabang. Apabila cukup lima cabang ini, barulah dikira hati manusia itu bersih dan jiwanya telah terdidik. Barulah boleh hati itu menerima hukum dan amalkan sunnah dengan mudah. Kalau tidak, memang payah sebab hati liar, tidak jinak. Lima cabang itu adalah:

1. Zikir kepada Allah ‎ﷻ.
2. Syukur
3. Sabar
4. Doa
5. Ta’zim

فَاذكُروني أَذكُركُم وَاشكُروا لي وَلا تَكفُرونِ

Sahih International

So remember Me; I will remember you. And be grateful to Me and do not deny Me.

Malay

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).

 

فَاذْكُرُونِي

Maka kamu ingatlah Aku banyak-banyak;

Latihlah diri kita supaya sentiasa mengingati Allah ‎ﷻ. Zikir di sini bukanlah zikir lidah biasa tetapi zikir orang yang ada akidah tauhid. Apabila seseorang itu sudah ada akidah tauhid yang kemas dalam diri, barulah zikir itu memberi kesan kepada diri dia sebab semua ayat zikir dalam Al-Qur’an bermaksud ‘zikir tauhid’.

Kalau seseorang itu ada fahaman syirik, zikir itu tidak memberi kesan kepada dirinya. Sebab itu kita boleh tengok bagaimana ada orang yang banyak lafaz zikir dia, tetapi dia ada juga akidah tauhid kerana zikirnya itu tidak memberi kesan kepada jiwanya. Dia tidak faham pun apa yang dia zikirkan.

Zikir ada jenisnya. Yang pertama adalah zikir yang diajar Nabi ﷺ seperti membaca Al-Qur’an.

Yang kedua adalah zikir yang diajar Nabi ﷺ pada waktu-waktu tertentu atau tempat-tempat tertentu. Ini dinamakan ‘Zikir Masnun’. Sebagai contoh, telah diajar apakah doa yang perlu dibaca sebelum masuk tandas, keluar rumah dan sebagainya. Nabi ﷺ sudah ajar supaya umat setiap waktu akan ingat Allah ‎ﷻ dan dalam masa yang sama, ingat tauhid. Kerana semua zikir-zikir itu sebenarnya mengingatkan kepada tauhid.

Ini adalah latihan tazkiyah kepada Allah ‎ﷻ. Iaitu supaya apabila hamba berada dalam keadaan dan suasana yang boleh merosakkan akidah, dia diajar untuk ingat kepada Allah ‎ﷻ. Oleh itu, setiap waktu kena serah diri kita kepada Allah ‎ﷻ. Ini akan menjalinkan hubungan rapat dengan Allah ‎ﷻ. Kita lakukan zikir ini di waktu manusia lain lalai dengan Allah ‎ﷻ.

Ketiga, ada juga zikir yang tidak ditetapkan masa, terpulang kepada hamba itu bila-bila masa sahaja dia hendak buat. Allah ‎ﷻ akan beri ganjaran mengikut betapa banyak amalannya.

Kena jelaskan lagi tentang hal zikir ini. Inilah sahaja yang puak tasawuf banyak buat. Iaitu, mereka banyak mengajar dan menyarankan kepada anak murid mereka untuk berzikir sahaja. Maka, amalan berzikir itulah sahaja yang banyak diamalkan oleh pengikut tarekat. Sampai beribu malah berjuta kali mereka akan buat.

Sedangkan membaca Al-Qur’an lagi banyak pahala. Imam Syafi’iy khatam Al-Qur’an sehari semalam dalam salat. Kalau dalam Ramadhan, beliau khatam dua kali Al-Qur’an sehari semalam. Namun malangnya, orang kita tidak banyak membaca Al-Qur’an, tetapi banyak baca wirid.

Ayat ini digunakan sebagai dalil bagi mereka yang kata bahawa ayat ini menyuruh manusia berzikir kepada Allah ‎ﷻ beramai-ramai kerana mereka melihat perkataan فَاذْكُرُونِي dalam bentuk jamak (plural). Bukan itu maksud ayat ini. Itu adalah tafsiran pemahaman yang salah. Ia hendak memberitahu bahawa kita semua kena berzikir, tetapi bukanlah berzikir beramai-ramai. Berzikir beramai-ramai adalah satu perbuatan bid’ah. Kita digalakkan berzikir, tetapi buat sendiri-sendiri.

Huruf فَ dalam perkataan فَاذْكُرُونِي ini bersambung daripada ayat sebelum itu. Ayat sebelum ini Allah ‎ﷻ telah memberikan Rasul kepada kita, mengajar kita tentang Al-Qur’an dan Hikmah dan telah membersihkan kita. Bermakna, selepas kita tahu bahawa Allah ‎ﷻ telah banyak melakukan kebaikan untuk kita, maka kita sepatutnya senang untuk mengingati Allah ‎ﷻ.

Mengingati Allah ‎ﷻ bukan hanya dengan berzikir meratib sahaja. Kalau kita membaca Al-Qur’an, itu pun sudah dikira mengingati Allah ‎ﷻ. Begitu juga kalau kita pergi ke majlis ilmu. Atau kita bercakap kepada manusia tentang Allah ‎ﷻ dalam percakapan kita, itu juga berzikir kepada Allah ‎ﷻ. Jangan sempitkan maksud zikir itu.

Kekeliruan tentang perkara inilah yang menyebabkan banyak yang keliru sampaikan mereka melebihkan majlis zikir meratib sehingga mereka telah melakukannya ke tahap bid’ah. Begitu penting untuk kita ingat kepada Allah ‎ﷻ sampaikan kalau kita lupa kepada Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan menyebabkan kita lupa kepada diri kita.

 

أَذْكُرْكُمْ

Maka Aku akan ingat kepada kamu;

Kalau kita ingat kepada Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan balas dengan ingat kepada kita. Bandingkan kalau kita ingat kepada manusia – sebanyak mana pun kita ingat kepada mereka, belum tentu mereka akan ingat kepada kita. Namun dalam ayat ini menyebutkan bahawa Allah ‎ﷻ akan ingat kepada kita kalau kita ingat kepada Dia.

Dalam sebuah hadith qudsi diketengahkan firman Allah ‎ﷻ, “Barangsiapa yang mengingat-Ku dalam dirinya nescaya Aku akan ingat dia dalam Diri-Ku dan barang siapa mengingat-Ku di hadapan khalayak ramai, maka Aku akan mengingatnya di hadapan khalayak yang lebih baik!”

Ada ketikanya, kita sentiasa ingat kepada orang-orang yang penting, sama ada pemimpin atau guru agama yang kita sayang – kita ingat mereka sentiasa, namun mereka tidak ingat kepada kita langsung. Itu adalah orang-orang yang penting dan besar dari kita, tetapi siapakah lagi yang lebih besar daripada Allah ‎ﷻ? Tentulah lebih penting lagi kepada kita kalau Allah ‎ﷻ yang ingat kepada kita. Kalau orang yang kita sayang ingat kepada kita pun kita sudah suka. Tambahan pula kalau Allah ‎ﷻ yang ingat kepada kita. Tentulah itu adalah satu nikmat yang amat besar.

Masa sedang berzikir itu, kita kena yakin yang Allah ‎ﷻ sedang ingat kepada kita. Inilah kelebihan utama dari perlakuan zikir kita itu. Inilah yang kita hendak dan rasa puas dengannya. Kita rasa puas sebab Allah ‎ﷻ ingat kepada kita. Apabila hubungan kita dengan Allah ‎ﷻ kuat, ia memberi kekuatan kepada kita untuk buat kerja Allah ‎ﷻ.

Jadi kena luangkan masa untuk zikir. Inilah yang banyak dilakukan oleh ulama Salafussoleh. Mereka akan meluangkan masa dalam sehari suntuk mereka untuk berzikir kepada Allah ‎ﷻ. Bukanlah mereka hanya meluangkan masa dengan mengajar dan menulis kitab sahaja, tetapi mereka akan meluangkan masa tertentu untuk berzikir kepada Allah ‎ﷻ. Mereka kuatkan tautan antara hati mereka dengan Allah ‎ﷻ.

 

وَاشْكُرُوا لِي

dan bersyukurlah kamu kepadaKu;

Jadi, cabang tazkiyah yang pertama adalah berzikir kepada Allah ‎ﷻ. Yang kedua, berterima kasih kepada Allah ‎ﷻ di atas segala pemberian-Nya. Pertama, dengan ucap lafaz syukur. Kedua, dengan menggunakan nikmat yang telah diberikan itu seperti yang dikehendaki oleh Allah ‎ﷻ.

Kalau kita buat begitu, Allah ‎ﷻ akan tambah nikmat itu. Nikmat yang telah diberikan itu tidak akan berkurangan. Jadi kalau mahu nikmat ditambah, maka kena bersyukur di atas nikmat yang kita telah dapat. Kalau ada berlaku keadaan di mana ada nikmat yang berkurangan, itu adalah tanda hamba itu lupa bersyukur.

Satu lagi perkara yang kita perlu lakukan untuk memenuhi syarat syukur kepada Allah ‎ﷻ adalah dengan taat kepada Allah ‎ﷻ. Ini memerlukan pedoman dari Allah ‎ﷻ juga, kerana kalau Allah ‎ﷻ tidak mengajar kepada kita, kita pun tidak akan tahu bagaimanakah cara untuk bersyukur kepada-Nya. Taat kepada Allah ‎ﷻ boleh dilakukan dengan melakukan ibadat kepada-Nya dan ibadat yang paling penting untuk menunjukkan kesyukuran kita kepada-Nya adalah dengan mengerjakan salat.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut, kalau kita ingat kepada Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan ingat kepada kita. Oleh itu, salah satu perkara yang kita kena bersyukur adalah Allah ‎ﷻ ingat kepada kita. Itu pun sudah satu nikmat yang besar.

 

وَلَا تَكْفُرُونِ

dan jangan kamu kufur;

Apabila ayat dalam Al-Qur’an hanya menyebut ‘jangan kufur’, itu bermaksud jangan kufur nikmat Allah ‎ﷻ. Iaitu tidak menghargai segala nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita dengan tidak mensyukuri-Nya. Kalau kufur kepada Allah ‎ﷻ, ayat Al-Qur’an akan menambah perkataan ‘dengan-Ku’ dalam ayat itu – la takfuruu bi.

Apabila Allah ‎ﷻ menyuruh kita bersyukur dan kemudian ditambah lagi dengan perkataan jangan jadi kufur (tidak mensyukuri-Nya), maka itu adalah satu penekanan kepada kita supaya berterusan mensyukuri kepada Allah ‎ﷻ sebab kalau Al-Qur’an hanya suruh bersyukur kepada-Nya sahaja, mungkin itu boleh dikatakan hanya sementara atau beberapa kali sahaja. Namun apabila sudah ada penekanan sebegini, maka ia adalah supaya kita berterusan mensyukuri Allah ‎ﷻ.

Alhamdulillah Allah ‎ﷻ telah memberikan kepada kita amalan salat untuk memenuhi tuntutan mensyukuri-Nya. Jadi kita kena jaga salat. Maka, cubalah berusaha untuk salat dengan khusyuk dan kita kena tambah dengan amalan-amalan ibadat yang lain.


 

Ayat 153: Ayat 153 – 158 adalah Perenggan Makro berkenaan Syariat Haji dan Umrah. Mengerjakan Haji dan Umrah ada unsur-unsur infaq dan jihad iaitu menyediakan bekalan, korban masa, tenaga, harta. Lebih-lebih lagi zaman dahulu kalau pergi belum tentu akan pulang.

Latihan tazkiyah yang telah disebutkan adalah dengan berzikir kepada Allah dan yang kedua adalah bersyukur. Latihan tazkiyah yang ketiga adalah dengan sabar. Sabar ini adalah amalan hati dan sabar ini banyak peringkat dan sebab itu Allah ‎ﷻ sebut banyak kali dalam Al-Qur’an supaya dapat dijelaskan semua peringkat itu.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mengajar tentang sabar dalam doa kerana ada hubungan yang amat rapat antara sabar dan doa. Ini kerana sabar tanpa doa tidak akan tahan lama.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا استَعينوا بِالصَّبرِ وَٱلصَّلَوٰةِ‌ ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصّٰبِرينَ

Sahih International

O you who have believed, seek help through patience and prayer. Indeed, Allah is with the patient.

Malay

Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar

 

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا

Wahai orang-orang yang beriman;

Ayat ini ditujukan kepada mereka yang ‘beriman sempurna’, iaitu mereka yang tidak berbuat syirik kepada Allah ‎ﷻ.

 

اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ

pohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar;

Pemahaman daripada ayat ini adalah kita disuruh untuk minta bantuan kepada Allah ‎ﷻ dengan cara menahan diri daripada memberitahu kepada makhluk apakah masalah yang kita hadapi. Sebaliknya kita mengadu kepada Allah ﷻ sahaja dan kurangkan mengadu kepada manusia. Pengharapan kita kena lebih tinggi kepada Allah ﷻ.

Antara perkara yang kita kena sabar adalah sabar terhadap segala ujian untuk menempuh perjalanan berpegang dengan sunnah. Contohnya, kena sabar untuk tidak pergi ke majlis sanding. Bukan senang untuk berlawan dengan kebiasaan masyarakat kita yang telah rosak.

Namun janganlah kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk menjadikan kita seorang yang penyabar jikalau waktu itu tidak ada apa-apa cubaan untuk kita. Ini kerana pernah Nabi ﷺ dengar seorang sahabat minta supaya Allah ‎ﷻ.

رواه الترمذي 3527 من طريق أَبِي الْوَرْدِ عَنْ اللَّجْلَاجِ عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ قَالَ : ” سَمِعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا وَهُوَ يَقُولُ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الصَّبْرَ ، فَقَالَ : سَأَلْتَ اللَّهَ الْبَلَاءَ فَسَلْهُ الْعَافِيَةَ

Nabi SAW mendengar seorang lelaki berdoa: ya Allah aku memohon kepadaMu sabar. Baginda bersabda: kamu meminta bala. Maka mintalah afiah. Riwayat tirmidzi.

Maka kita ingat yang doa minta Allah ﷺ jadikan kita seorang penyabar adalah doa meminta bala sebenarnya. Kerana untuk Allah ﷺ menjadikan kita seorang penyabar, maka Dia akan kenakan bala kepada kita untuk menzahirkan ‘sabar’ itu.  Maka kerana apa nak minta bala pula?

Ini kerana untuk mendapatkan sabar, kena datang bala dahulu, barulah boleh kita jadi sabar, bukan? Maka, dalam keadaan biasa, jangan kita minta sabar kerana itu mengundang bala datang kepada kita. Elok-elok tidak ada kesusahan, kita minta kesusahan pula diturunkan kepada kita. Sebenarnya, kalau sudah kena ujian, barulah minta sabar.

 

وَٱلصَّلَوٰةِ‌ۚ

dan bersolat.

Seperti telah disebutkan, kita dituntut untuk bersabar daripada mengeluh dan menceritakan kepada orang lain masalah kita. Sebaliknya kita disuruh untuk mengadu terus kepada Allah ‎ﷻ. Dengan mengerjakan salat, kita memberitahu hal itu kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Dalam salat itu, doalah dan mengadulah kepada Allah ‎ﷻ sebanyak-banyaknya.

Salat adalah muqaddimah kepada doa. Sembahyang itu sendiri adalah doa. Dan Nabi ﷺ telah mengajar kita bagaimana doa makbul dalam tasyahhud. Selain dari itu, Nabi ﷺ telah ajar untuk berdoa selepas buat amalan yang baik. Sebagai contoh, kita dapat tahu yang Nabi ﷺ akan berdoa selepas baginda berdakwah dan mengajar kepada umat.

Oleh itu, kita kena jadikan ini sebagai salah satu cara untuk berdoa. Banyak sekali dalil yang mengajar kita untuk berdoa selepas mengerjakan amal soleh. Sebagai contoh, dalam Surah Fatihah sendiri:

Iyyaka na’budu – isyarat kepada amalan.

Iyyaka nastain – isyarat kepada doa. Maknanya, selepas mengerjakan amalan, barulah kita berdoa.

Ada empat amalan yang kalau manusia buat dan doa selepasnya, doa itu akan makbul:

1.  Mengajak manusia kepada agama tauhid
2.  Ketika mengajar
3.  Ketika melakukan ibadat
4. Kerja amal secara sukarela sebagaimana kisah Nabi Musa عليه السلام yang menolong anak Nabi Syuaib عليه السلام dalam Qasas:24.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ ajar kita untuk meminta pertolongan dengan sabar dan salat. Ingatlah bahawa nasihat yang sama telah diberikan kepada Ahli Kitab sebelum ini dalam surah Baqarah ini juga dalam ayat ke 45. Sekarang nasihat yang sama diberikan kepada kita orang Islam pula.

Dahulu, merekalah umat terpilih – Allah ‎ﷻ kata mereka adalah umat terpilih dalam ayat ke 47. Mereka telah diberikan tanggungjawab dan mereka tidak menunaikannya atau telah meninggalkan amanah yang telah diberikan kepada mereka. Sekarang, kita sebagai umat Islam pula yang telah diberikan kelebihan menjadi ‘umat pertengahan’. Kita juga telah diberi tanggungjawab oleh Allah ‎ﷻ. Masa mereka telah berlalu, masa kita sekarang pula.

 

إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصّٰبِرِينَ

Sesungguhnya Allah akan bersama orang yang bersabar.

Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa Dia bersama (dari segi ilmu, bukan fizikal) orang yang bersabar. Maka, ini adalah satu motivasi yang amat tinggi kepada kita. Walaupun kita sedang susah waktu itu, tetapi kalau kita sabar, kita cuba rasakan yang Allah ‎ﷻ bersama dengan kita. Allah ‎ﷻ beri ujian kepada kita untuk tambah pahala kita kerana apabila kita sabar, maka kita akan dapat pahala yang banyak.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

 

Kemaskini: 22 Julai 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 151 – 153 (Tazkiyatun Nafs)”

  1. Assalamualaikum
    Teguran pembetulan ejaan pada Ayat 152 Perenggan 1 Sub 2. Menyucikan hari manusia. kepada ‘Menyucikan hati manusia’
    Terima kasih atas perkongsian ilmu Ustaz. Teruskan penulisan Ustaz

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s