Ayat 43: Ini adalah satu lagi kisah sebagai contoh ke-empat.
وَفي ثَمودَ إِذ قيلَ لَهُم تَمَتَّعوا حَتّىٰ حينٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And in Thamūd, when it was said to them, “Enjoy yourselves for a time.”
(MELAYU)
Dan pada (kisah) kaum Tsamud ketika dikatakan kepada mereka: “Bersenang-senanglah kalian sampai suatu waktu”.
وَفي ثَمودَ
Dan pada (kisah) kaum Tsamud
Selepas kaum Aad dimusnahkan, kaum yang dibangkitkan selepas mereka adalah kaum Tsamud. Kaum ini juga dikenali oleh Penduduk Mekah kerana mereka lalu di kawasan peninggalan mereka juga. Nabi mereka adalah Nabi Saleh عليه السلام.
إِذ قيلَ لَهُم تَمَتَّعوا حَتّىٰ حينٍ
ketika dikatakan kepada mereka: “Bersenang-senanglah kalian sampai suatu waktu”.
Ayat ini ringkas sahaja, terus disebut kisah azab yang dikenakan kepada mereka. Kisah mereka disebut dalam banyak surah-surah yang lain dengan lebih panjang. Ringkasnya mereka telah diberikan dengan unta mukjizat kerana mereka sendiri yang minta. Tapi akhirnya mereka bunuh unta itu.
Selepas mereka bunuh unta mukjizat itu maka mereka diberi masa hanya tiga hari. Buatlah apa yang nak buat selama tiga hari itu; Nabi Saleh عليه السلام beritahu mereka: bersenang lenanglah kamu kerana ada masa tiga hari sahaja, tidak lebih dari itu.
Ayat 44:
فَعَتَوا عَن أَمرِ رَبِّهِم فَأَخَذَتهُمُ الصّٰعِقَةُ وَهُم يَنظُرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
But they were insolent toward the command of their Lord, so the thunderbolt seized them while they were looking on.
(MELAYU)
Maka mereka berlaku angkuh terhadap perintah Tuhannya, lalu mereka disambar petir dan mereka melihatnya.
فَعَتَوا عَن أَمرِ رَبِّهِم
Maka mereka berlaku degil terhadap perintah Tuhannya,
Kalimah فَعَتَوا dari kata dasar ع ت و yang bermaksud kedegilan, melawan yang tinggi sekali. Mereka telah menolak kebenaran. Dan kemudian mereka minta mukjizat dari Nabi Saleh عليه السلام.
Dan selepas mukjizat diberikan, mereka tetap berdegil. Jadi memang mereka ini amat teruk sangat. Kerana minta mukjizat dan diberi mukjizat, tapi masih degil lagi. Maka azab untuk mereka amat terus sangat.
فَأَخَذَتهُمُ الصّٰعِقَةُ
lalu mereka disambar petir
Kalimah صاعقة boleh bermaksud petir dan juga tempikan yang kuat. Tempikan yang kuat yang sampai menghancurkan mereka.
Dalam ayat ini digunakan kalimah صاعقة tapi dalam ayat-ayat yang lain, ada digunakan kalimah yang lain. Ini mungkin bermaksud mereka dikenakan dengan semua jenis azab yang disebut itu. Ini kerana mereka teruk sangat, maka balasan untuk mereka amat teruk.
وَهُم يَنظُرونَ
dan mereka melihatnya.
Mereka melihat sendiri azab itu tapi mereka hanya dapat melihat sahaja. Mereka boleh lihat sendiri bagaimana seorang demi seorang mati di hadapan mereka. Mereka tidak boleh buat apa untuk menghalangnya.
Ayat 45:
فَمَا استَطٰعوا مِن قِيامٍ وَما كانوا مُنتَصِرينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And they were unable to arise, nor could they defend themselves.
(MELAYU)
Maka mereka sekali-kali tidak dapat bangun dan tidak pula mendapat pertolongan,
فَمَا استَطٰعوا مِن قِيامٍ
Maka mereka sekali-kali tidak dapat bangun
Mereka tidak dapat berdiri dengan betul kerana azab itu, kerana teruk sangat bila kena. Kalau berdiri pun tidak boleh, lalu bagaimana mereka hendak lari meminta tolong kepada orang lain?
وَما كانوا مُنتَصِرينَ
dan tidak pula mendapat pertolongan,
Maka tidak ada sesiapa pun yang boleh tolong mereka lagi. Tiada sesiapa yang boleh menghalang azab dari Allah ﷻ.
Ayat 46: Ini adalah kisah kelima iaitu kisah Nabi Nuh عليه السلام.
وَقَومَ نوحٍ مِّن قَبلُ ۖ إِنَّهُم كانوا قَومًا فٰسِقينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And [We destroyed] the people of Noah before; indeed, they were a people defiantly disobedient.
(MELAYU)
dan (Kami membinasakan) kaum Nuh sebelum itu. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik.
وَقَومَ نوحٍ مِّن قَبلُ
dan kaum Nuh sebelum itu.
Kaum Nabi Nuh عليه السلام juga telah dibinasakan. Dan mereka itu dari dulu lagi, kerana mereka adalah kaum yang awal. Sebelum kaum Tsamud, Aad dan juga Sodom dimusnahkan. Ramai yang sudah tahu kisah Banjir Besar yang dikenakan kepada seluruh dunia. Dalam banyak kisah-kisah lama, sudah ada kisah ini dalam keseluruhan tamadun.
إِنَّهُم كانوا قَومًا فٰسِقينَ
Sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik.
Mereka itu dengan terang sekali menolak kebenaran dan melakukan dosa dengan banyak. Mereka menolak untuk menerima akidah tauhid. Maka kerana itulah mereka dimusnahkan.
Ringkas sahaja disebut tentang kaum Nabi Nuh عليه السلام kerana sudah ada banyak disebut dalam surah-surah yang lain.
Ayat 47: Ayat 47 – 49 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia mengandung Dalil Aqli tentang hukum balasan baik dan buruk. Sebelum ini telah disebut dengan dalil-dalil naqli iaitu kisah dari kaum yang terdahulu. Sekarang Allah ﷻ gunakan dalil aqli – suruh kita lihat alam ini pula.
وَالسَّماءَ بَنَينٰها بِأَيدٍ وَإِنّا لَموسِعونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And the heaven We constructed with strength, and indeed, We are [its] expander.
(MELAYU)
Dan langit itu Kami bangun dengan kekuasaan (Kami) dan sesungguhnya Kami benar-benar berkuasa
وَالسَّماءَ بَنَينٰها بِأَيدٍ
Dan langit itu Kami bangunkan dengan tangan (Kami)
Surah ini banyak memberi isyarat kepada rezeki dan langit adalah tempat turunnya rezeki dan kerana itu Allah ﷻ sebut langit yang dijadikan dengan tanganNya. Allah ﷻ banyak suruh lihat kepada langit kerana senang untuk kita lihat dan ambil pengajaran darinya.
وَإِنّا لَموسِعونَ
dan sesungguhnya Kami benar-benar mengembangkan
Kalimah لَموسِعونَ dari kata dasr و س ع yang bermaksud kembang. Allah ﷻ memberitahu bahawa langit ini semakin berkembang dan ini juga telah disahkan oleh saintis. Alam ini berterusan mengembang.
Ia menjadi bukti bagi teori Big Bang. Kerana apabila langit berkembang, maka ia tanda asalnya ia dari satu titik yang meletup. Saintis tahu yang langit ini semakin mengembang kerana jarak antara planet semakin menjauh dan menjauh. Bayangkan belon diletak titik padanya. Semasa ia membesar ditiup angin, semakin jauh titik-titik itu.
Allah ﷻ hendak memberitahu yang Dia sendiri yang mencipta alam ini dan Dialah juga yang mengembangkan alam ini tanpa bantuan sesiapa pun. Jadi ini adalah tauhid fi tasarruf. Allah ﷻ sahaja yang mengurus alam ini sendirian berhad dan kerana itu tidak patut kalau ada yang kata Allah ﷻ tidak mampu membangunkan semula makhluk selepas Kiamat.
Juga boleh bermaksud, Allah ﷻ telah menjadikan alam ini, dan tidaklah Allah ﷻ biarkan sahaja alam ini begitu sahaja. Allah ﷻ tetap memberikan keperluan kehidupan di dalam alam ini. Kerana itu ada sahaja perkara baru yang terjadi di dalam ini.
Maka ini menunjukkan kekuasaan Allah ﷻ yang amat luar dan kembang dan takkanlah Tuhan yang begini berkuasa tidak boleh nak mengulangi kejadian makhlukNya di akhirat kelak?
Ayat 48:
وَالأَرضَ فَرَشنٰها فَنِعمَ المٰهِدونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And the earth We have spread out, and excellent is the preparer.
(MELAYU)
Dan bumi itu Kami hamparkan, maka sebaik-baik yang menghamparkan (adalah Kami).
وَالأَرضَ فَرَشنٰها
Dan bumi itu Kami hamparkan,
Kalimah ف ر ش bermaksud lantai yang selesa. Dihamparkan bumi ini untuk mudah kita berjalan di atasnya dan tinggal di atasnya.
Tapi tidaklah ini bermaksud bumi ini ‘datar’ pula. Bumi ini tetap sfera. Tapi dengan keluasan bumi ini kita tidak terasa pun yang ianya sfera. Maka mudah sahaja untuk kita berjalan dan mengembara di atasnya.
فَنِعمَ المٰهِدونَ
maka sebaik-baik yang menghamparkan (adalah Kami).
Kalimah المٰهِدونَ dari kata dasar م ه د yang bermaksud menghamparkan, bagi sesuatu itu jadi rata, bagi tegang (macam kemaskan cadar yang ditegangkan pada katil). Allah ﷻ memberikan keselesaan di bumi ini selesa untuk didiami seperti pelukan seorang ibu kepada anaknya.
Dalam banyak-banyak yang bagi keselesaan kepada orang lain, Allah ﷻlah yang paling baik, tidak ada tandingan bagi Allah ﷻ. Allah ﷻ telah beri segalanya kepada kita, yang tidak ada yang boleh berikan selain dari Allah ﷻ. Kerana ada orang boleh sediakan rumah untuk orang lain, tapi lihatlah Allah ﷻ sediakan keseluruhan bumi untuk kita diami.
Ayat 49:
وَمِن كُلِّ شَيءٍ خَلَقنا زَوجَينِ لَعَلَّكُم تَذَكَّرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And of all things We created two mates [i.e., counterparts]; perhaps you will remember.
(MELAYU)
Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran Allah.
Semua ciptaan Allah ﷻ ini ada pasangannya seperti langit dan bumi yang telah disebut sebentar tadi. Berbagai-bagai jenis yang Allah ﷻ ciptakan. Semuanya ada pasangannya dan Allah ﷻ sahaja yang tidak ada pasangan.
Kenapa penting untuk kita melihat kejadian alam ini dalam bentuk pasangan? Kenapa konsep ‘pasangan’ ini penting? Kerana macam diri kita ada roh dan juga ada jasad kita, begitu juga dengan kehidupan kita di dunia ini ada pasangannya iaitu kehidupan di akhirat kelak.
Ya, pasangan dunia sekarang adalah alam akhirat. Dengan adanya alam dunia ini, tentu ia juga ada pasangannya. Dan apakah pasangannya? Itulah akhirat. Maka akhirat itu pasti dengan adanya dunia ini.
Ayat 50: Ayat 50 – 57 adalah Perenggan Makro Keenam. Ia mengandungi seruan kepada tauhid, risalah dan hari akhirat. Selepas tahu yang akhirat itu pasti, maka apakah yang kita kena buat?
فَفِرّوا إِلَى اللهِ ۖ إِنّي لَكُم مِّنهُ نَذيرٌ مُّبينٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So flee to Allāh.¹ Indeed, I am to you from Him a clear warner.
- i.e., turn to Allāh and take refuge in Him from disbelief and sin, thereby escaping His punishment.
(MELAYU)
Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu.
فَفِرّوا إِلَى اللهِ
Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah.
Allah ﷻ suruh kita ‘lari’ kepadaNya. Dalam ayat tadi, sudah ada isyarat kepada akhirat. Akhirat itu sudah pasti dari hujah-hujah yang diberikan. Di akhirat nanti makhluk akan berlari kepada Allah ﷻ, bukan? Semua kena tuju kepada Allah ﷻ, bukan? Maka jangan tunggu waktu itu baru hendak berlari kepada Allah ﷻ tetapi berlarilah kepada Allah ﷻ semasa di dunia ini lagi. Maka bersegeralah lari mencari Allah ﷻ.
Maksudnya taatlah kepada Allah ﷻ. Kenallah Dia semasa kita masih hidup di dunia ini. Kerana nanti kita sudah pasti akan mengadap Allah ﷻ. Bagaimana nak mengadap Allah ﷻ kalau tidak taat kepadaNya semasa di dunia? Bagaimana hendak taat kepadaNya kalau kita tidak kenal Dia?
إِنّي لَكُم مِّنهُ نَذيرٌ مُّبينٌ
Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu.
Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ beritahu yang baginda hanya menyampaikan maklumat sahaja. Ikutlah ajaran dari Rasulullah ﷺ ini kerana baginda telah ditugaskan untuk menyampaikan ajaran dari Allah ﷻ. Baginda telah sampaikan ajaran agama ini dengan nyata, tanpa belit-belit.
Baginda telah sampaikan ajaran tauhid, dengan percuma. Tidaklah baginda minta upah atau minta kekuasaan atau kerajaan dari manusia dalam menyampaikan ajaran itu.
Ayat 51: Allah ﷻ sambung ayat seterusnya tentang tauhid. Begitulah pentingnya ayat-ayat tauhid ini, sentiasa sahaja Allah ﷻ ulang-ulang di dalam Al-Qur’an. Sentiasa sahaja Allah ﷻ akan kembali menyebut tentang tauhid. Allah ﷻ ulang sabdaan Nabi Muhammad ﷺ di dalam ayat ini.
وَلا تَجعَلوا مَعَ اللهِ إِلٰهًا آخَرَ ۖ إِنّي لَكُم مِّنهُ نَذيرٌ مُّبينٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And do not make [as equal] with Allāh another deity. Indeed, I am to you from Him a clear warner.
(MELAYU)
Dan janganlah kamu mengadakan ilah yang lain disamping Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu.
وَلا تَجعَلوا مَعَ اللهِ إِلٰهًا آخَرَ
Dan janganlah kamu mengadakan ilah yang lain disamping Allah.
Jangan jadikan ilah selain daripada Allah ﷻ. Iaitu menjadikan pengharapan kepada selain dari Allah ﷻ. Kita kena sembah, taat dan berharap kepada Allah ﷻ sahaja. Ini memerlukan pemahaman yang jelas. Kerana ramai yang tidak tahu apakah maksud ilah itu.
Musyrikin Mekah tahu apa maksud kalimah la ilaaha ilallah. Kerana itu Musyrikin Mekah tolak kalimah la ilaaha illallah kerana mereka faham apa yang dikatakan. Tapi orang kita, kerana tidak faham maksud ‘ilah‘, mereka selalu sebut (bertahlil) tapi dalam masa yang sama, mereka menjadikan ilah selain Allah ﷻ.
Ini adalah kerana amat jahilnya masyarakat kita dengan ilmu wahyu dan agama secara keseluruhan. Ini kerana pembelajaran agama amat kurang di negara ini. Ramai yang ikut-ikut sahaja apa yang orang lain buat.
Antara kesalahan utama yang dilakukan oleh masyarakat kita adalah menyeru ilah-ilah lain bersama dengan seruan kepada Allah ﷻ. Iaitu roh-roh para Nabi, wali dan malaikat. Ini adalah kerana masyarakat kita tidak jelas tentang tauhid sebagaimana yang diajar dalam Al-Qur’an. Maka ada yang bertawasul kepada Nabi, wali dan malaikat dalam doa mereka.
إِنّي لَكُم مِّنهُ نَذيرٌ مُّبينٌ
Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu.
Tugas Rasulullah ﷺ adalah untuk menyampaikan sahaja ajaran agama yang jelas kepada umat baginda. Dan baginda telah lakukan. Dan kita sebagai pengikut ajaran baginda, tentu juga kena sambung tugas baginda itu.
Maka kita kena sampaikan ajaran tauhid ini kepada manusia, sebagaimana yang Allah ﷻ sampaikan dalam Al-Qur’an. Tapi, untuk boleh sampaikan, kenalah kita faham dulu, bukan? Maka tidak dapat tidak, kena belajar tafsir Al-Qur’an sampai habis. Cuba faham dan kemudian amalkan.
Setelah amal, maka kena sebarkan pula. Inilah tugas kita semasa di dunia ini. Sekejap sahaja kita hidup di dunia, maka ambillah peluang untuk jalankan tugas kita sebagai hamba Allah ﷻ.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 16 Mei 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan