Dzariyat Ayat 52: Ini adalah ayat syikayah tentang kesalahan masyarakat yang dahulu; ia juga sebagai tasliah untuk Nabi ﷺ.
كَذٰلِكَ ما أَتَى الَّذينَ مِن قَبلِهِم مِّن رَّسولٍ إِلّا قالوا ساحِرٌ أَو مَجنونٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Similarly, there came not to those before them any messenger except that they said, “A magician or a madman.”
(MELAYU)
Demikianlah tidak seorang rasul pun yang datang kepada orang-orang yang sebelum mereka, melainkan mereka mengatakan: “Dia adalah seorang tukang sihir atau seorang gila”.
كَذٰلِكَ ما أَتَى الَّذينَ مِن قَبلِهِم مِّن رَّسولٍ
Demikianlah tidak seorang rasul pun yang datang kepada orang-orang yang sebelum mereka,
Allah ﷻ menyebut tentang kaum-kaum dahulu sebelum Nabi Muhammad ﷺ. Mereka juga telah didatangi oleh Rasul-rasul mereka. Kerana Allah ﷻ sentiasa beri panduan hidup kepada manusia. Allah ﷻ tidak biarkan sahaja.
Tetapi bagaimana balasan kaum-kaum itu terhadap Rasul mereka?
إِلّا قالوا ساحِرٌ أَو مَجنونٌ
melainkan mereka mengatakan: “Dia adalah seorang tukang sihir atau seorang gila”.
Setiap kali Rasul dihantar kepada kaum mereka, telah dikatakan kepada Rasul itu tuduhan-tuduhan yang tidak patut. Selalunya tuduhan itu sama sahaja, sama ada para Rasul itu dikatakan sebagai ‘ahli sihir’ ataupun ‘orang gila’.
Allah ﷻ menceritakan perkara ini sebagai tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad ﷺ. Bukan zaman Nabi Muhammad ﷺ sahaja ianya berlaku tetapi ia berlaku zaman berzaman, berulang-ulang kali. Apabila baginda tahu yang benda ini sama sahaja, maka legalah sedikit hati baginda. Inilah tujuan tasliah.
Para Rasul عليهم السلام dikatakan sebagai ‘ahli sihir’ kerana mereka boleh kumpul orang untuk beriman dengan mereka tanpa disebabkan oleh duit. Kerana selalunya manusia boleh kumpul orang lain kerana pengaruh dan juga harta, tetapi para Rasul tidak ada kedua-dua perkara itu.
Dan mereka dikatakan ‘orang gila’ kerana sentiasa bercakap perkara yang sama sahaja berulang-ulang. Sama ada orang marah ataupun tolak mereka, malah kutuk dan lawan mereka, para Rasul itu tetap memberitahu perkara yang sama dan tidak berubah. Pada golongan penentang, mereka hairan dan melihat para Rasul itu sudah bagai orang gila kerana masih sanggup melakukan perkara itu.
Atau mereka kata para Rasul itu gila kerana mereka kata takkanlah orang yang sudah mati akan dihidupkan kembali. Ini kalau dinisbahkan kepada ketidakpercayaan orang Musyrikin Mekah kepada kehidupan semula setelah mati.
Dzariyat Ayat 53: Kalau kita lihat, sama sahaja tuduhan zaman berzaman itu. Ini agak menghairankan.
أَتَوَاصَوا بِهِ ۚ بَل هُم قَومٌ طاغونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Did they suggest it to them?¹ Rather, they [themselves] are a transgressing people.
- i.e., Did the former disbelievers pass on these words to the Makkans so that they repeat the same expressions?
(MELAYU)
Apakah mereka saling berpesan tentang apa yang dikatakan itu. Sebenarnya mereka adalah kaum yang melampaui batas.
أَتَوَاصَوا بِهِ
Apakah mereka saling berpesan tentang apa yang dikatakan itu?
Amat menghairankan kerana perkara yang sama berlaku kepada setiap Rasul sampaikan kita boleh tertanya: adakah kaum-kaum itu memberikan wasiat untuk berkata perkara yang sama kepada kaum-kaum selepas mereka? Tapi mereka bukannya berjumpa pun. Maka ini amat menghairankan.
Kalau difikirkan lebih mendalam lagi, memang benar ada wasiat tapi bukan antara kaum lama kepada kaum baru. Tapi kerana syaitan yang menyampaikan cara untuk menyesatkan manusia dengan cara yang sama kerana kalau dulu ianya berjaya, maka ianya boleh digunakan lagi. Sama sahaja kerana apabila lahir kaum yang baru, maka syaitan akan menggunakan model dan propaganda yang sama sahaja kepada mereka.
بَل هُم قَومٌ طاغونَ
Sebenarnya mereka adalah kaum yang melampaui batas.
Kerana sifat degil yang ada pada mereka, maka syaitan akan datang dan memberi ajaran sesat yang sama kepada mereka. Syaitan tak perlu nak reka hujah baru sebab boleh pakai hujah yang lama sahaja. Selagi ia boleh dipakai, maka syaitan akan pakai hujah yang sama. Syaitan akan suruh mereka melampau batas dalam agama supaya mereka buat perkara ikut nafsu mereka.
Dzariyat Ayat 54: Arahan kepada Nabi ﷺ dan para pendakwah.
فَتَوَلَّ عَنهُم فَما أَنتَ بِمَلومٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So leave them, [O Muḥammad], for you are not to be blamed.
(MELAYU)
Maka berpalinglah kamu dari mereka dan kamu sekali-kali tidak tercela.
فَتَوَلَّ عَنهُم
Maka berpalinglah kamu dari mereka
Kepada mereka yang menentang dan menolak kebenaran itu, tidak perlu dihadap lagi dan boleh sahaja ditinggalkan mereka dan tidak dipersalahkan jikalau kita meninggalkan mereka. Jangan hirau kata-kata penentangan mereka. Teruskan berdakwah kepada orang lain dahulu. Pergi kepada orang yang hendak dengar.
فَما أَنتَ بِمَلومٍ
dan kamu sekali-kali tidak tercela.
Kadang-kadang apabila kita cuba berdakwah kepada manusia, ada antara mereka itu tidak mahu mendengar dan terus menggunakan kata-kata sesat dan memanggil kita dengan nama-nama yang tidak baik. Maka tidak salah jikalau kita meninggalkan mereka waktu itu kerana jelas yang mereka belum lagi bersedia untuk mendengar dakwah kita.
Dan ini penting untuk diberitahu kerana Rasulullah ﷺ rasa berat hati untuk meninggalkan mereka kerana baginda rasa bertanggungjawab dan baginda rasa ada kekurangan pada diri baginda dalam berdakwah. Baginda takut ada kekurangan dalam cara baginda berdakwah sampaikan manusia tidak ikut. Kerana itu Allah ﷻ menenangkan hati baginda dengan memberitahu bahawa baginda tidak dipersalahkan jikalau baginda meninggalkan mereka.
Kalau kita telah menyampaikan dakwah dan memberikan ajaran tauhid yang benar kepada manusia, maka kita tidak akan dipersalahkan lagi. Kita telah jalankan tugas kita. Memang tugas kita sampaikan sahaja dakwah tauhid dan kalau mereka menentang, itu bukan tanggungjawab kita.
Ini juga bermaksud, kalau kita ‘tidak sampaikan’… maka kita akan dipersalahkan! Inilah yang amat menakutkan kita. Adakah kita sudah jalankan kerja dakwah ini? Atau adalah kita rasa selesa sahaja tanpa melakukan apa-apa? Orang yang ada ilmu tentu rasa tidak senang duduk selagi tidak sampaikan kepada manusia ajaran tauhid ini.
Dzariyat Ayat 55:
وَذَكِّر فَإِنَّ الذِّكرىٰ تَنفَعُ المُؤمِنينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And remind, for indeed, the reminder benefits the believers.
(MELAYU)
Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.
وَذَكِّر
Dan tetaplah memberi peringatan,
Jangan putus asa dan teruskan memberi peringatan kepada manusia. Kena faham yang ‘beri peringatan’ berbeza dengan ‘perbincangan’ kerana beri peringatan itu adalah satu hala sahaja.
Bandingkan pula dengan ayat sebelum ini. Dalam ayat sebelum ini baginda diberitahu yang baginda boleh meninggalkan mereka tetapi dalam ayat ini pula memberitahu bahawa baginda kena terus memberi peringatan kepada mereka. Lalu bagaimana kita nak faham perbezaan antara dua ayat ini? Kena nampak suruhan itu kepada dua perkataan yang berlainan pula. Kalau dengan orang yang degil, tak perlu nak berbincang lagi dengan mereka.
Maksudnya, kita kena terus bercakap beri ceramah kepada orang ramai kerana kita tidak tahu siapakah di antara mereka yang ada bibit-bibit keimanan di dalam diri mereka. Janganlah kita tinggalkan dakwah kerana kita selalu ditentang. Memang para pendakwah selalu ditentang dan dihalang dari menyampaikan agama.
Maka kita sebagai pendakwah kena sentiasa mencari peluang untuk memberi peringatan kepada manusia. Kadang-kadang kita mungkin mendapat peluang untuk bercakap di khalayak yang ramai. Mungkin waktu itu semasa kita melihat mereka, mungkin timbul dalam hati kita yang mereka itu bukannya hendak mendengar dakwah agama daripada kita.
Tidak kira sama ada mereka itu orang bukan Islam ataupun orang Islam sendiri. Kerana ada sahaja orang Islam, tetapi nampaknya mereka tidak mementingkan agama. Kepada mereka ini juga kita kena sampaikan dakwah.
Jangan biarkan perasaan itu menghalang kita dari memberi peringatan kepada mereka kerana kita tidak tahu siapakah di antara mereka itu yang sebenarnya mahukan kebenaran dan Allah ﷻ buka hati mereka untuk menerima kebenaran. Mungkin Allah ﷻ buka hati mereka waktu itu.
Kadang-kadang kita rasa seperti kita patut bercakap kepada orang-orang masjid dan surau sahaja. Kita rasa mereka sahaja yang mahu dengar ceramah dan dakwah agama. Tidak bolehlah begitu kerana kita kena juga beri peringatan kepada orang-orang yang lalai leka. Mereka itu lebih memerlukan peringatan dari orang lain. Sebab itu kalau ada yang sanggup pergi berdakwah kepada budak rempit, di kelab malam, itu amat bagus sekali.
Dan itulah sunnah para Nabi dan Rasul عليهم السلام yang berdakwah kepada orang-orang yang asalnya tidak tahu apa-apa tentang agama dan kebanyakan daripada mereka adalah golongan yang menentang; tetapi para Rasul itu tetap juga beri peringatan kepada manusia.
Maka jangan kita lupakan orang yang di jalanan. Kita bagi peringatan secara satu hala sahaja pun boleh. Kalau mereka tolak waktu itu, tinggalkan mereka dan cari lagi peluang untuk dakwah lain kali. Semoga dengan banyak kali mereka mendengar peringatan, sampai satu masa, mereka terbuka hati.
فَإِنَّ الذِّكرىٰ تَنفَعُ المُؤمِنينَ
kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.
Peringatan akan beri kebaikan kepada yang ‘hendak’ beriman. Kita tidak tahu peringatan yang mana yang akan memberi kesan kepada manusia. Kerana kita mungkin cakap banyak tetapi orang tidak dengar, tetapi ada orang lain yang cakap sikit saja dengan dia dan dia terus pegang dan percaya. Kerana kita tidak tahu di manakah antara kata-kata kita yang Allah ﷻ takdirkan untuk menjadi berkesan kepada manusia.
Jangan rasa rugi beri peringatan kepada orang. Kerana tidak ada rugi pada kita dalam berdakwah. Kalau pun orang yang didakwah itu tidak mahu terima, kita masih tetap dapat pahala. Jadi memang kita tidak akan rugi langsung.
Beri peringatan itu bermaksud beri peringatan dengan Al-Qur’an. Inilah dakwah yang utama. Ia akan menjadi kebaikan kepada orang yang mahu menjadi orang mukmin.
Memang manusia memerlukan peringatan dari orang. Kerana kalau manusia tidak diberi peringatan, maka mereka akan terus menuju ke arah kesesatan. Ini kerana syaitan tidak akan lepaskan peluang untuk menyesatkan manusia. Kalau tiada peringatan kepada mereka, maka tinggal syaitanlah sahaja yang memandu mereka. Kalau syaitan sahaja yang tinggal, maka ke arah mana agaknya mereka akan pergi?
Dzariyat Ayat 56: Ini adalah ayat yang penting kerana ia selalu dibaca dan disebut oleh manusia. Mari kita lihat maknanya.
وَما خَلَقتُ الجِنَّ وَالإِنسَ إِلّا لِيَعبُدونِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And I did not create the jinn and mankind except to worship Me.
(MELAYU)
Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.
Tujuan hidup manusia dan jin adalah untuk menghambakan diri kepada Allah ﷻ. Selalu orang menterjemahkan ayat ini sebagai: “tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembahKu”. Ini agak kurang tepat kerana ‘sembah’ itu adalah satu bahagian sahaja dari menghambakan diri kepada Allah ﷻ.
Dalam ayat ini, ‘jin’ disebut dahulu kerana jin yang dicipta dahulu sebelum manusia. Dan jin juga disebut dahulu kerana kadangkala jin di dalam bentuk syaitan itu yang menjadi penghalang kepada manusia untuk menerima kebenaran. Maka mereka memang kena jaga diri mereka, jangan jadi syaitan.
Ada tujuan Allah ﷻ jadikan manusia iaitu untuk menghambakan diri kepadaNya. Dan apabila kita jadi ‘hamba’, maka kita kena taat kepada suruhanNya dan menjalankan apa sahaja tugas yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita. Akan tetapi amat sedih apabila kita melihat bagaimana kebanyakan daripada manusia tidak memenuhi tugas mereka ini. Mungkin kerana ramai tidak tahu pun kenapa tujuan mereka dijadikan.
Kita telah sebut beza ‘sembah’ dan ‘hamba’ di atas tadi. Ini adalah penting untuk difahami kerana ada yang ‘sembah’ Allah ﷻ tapi mereka tidak ‘menghambakan’ diri kepada Allah ﷻ. Maksudnya mereka itu solat, puasa dan jaga zakat dan lain-lain lagi, tetapi dalam bab lain, mereka tidak jaga. Mereka jaga bab ibadat sahaja, tapi tidak dalam semua hal.
Oleh kerana itu, ada yang solat dan puasa, tetapi dalam masa yang sama mereka mengamalkan riba, rasuah, mereka berlaku zalim kepada orang lain dan banyaklah lagi kesalahan yang mereka lakukan.
Maka kita kena ingat yang kita ini adalah HAMBA Allah ﷻ. Inilah ringkasan 30 juzuk Al-Qur’an yang kita perlu tahu: Kita HAMBA dan Allah ﷻ TUHAN. Banyak-banyak ayat Al-Qur’an dan tafsir yang kita telah belajar, maka inilah ringkasan kepada keseluruhan ayat-ayat itu.
Kalimah لِيَعبُدونِ diambil juga dari kalimah ‘al-ibaadah’ العبادة dan dari sudut bahasa ia merujuk kepada keadaan yang hina. Ini seperti kata-kata orang Arab, طَرِيقٌ مُعَبَّد (jalan yang dipijak dan dilenyek). Jadi makna العبادة adalah keadaan hina dan juga disebut الذَّل. Kemudian digunakan pada istilah syarak dengan makna ‘Tauhid’. Jadi makna ibadah di dalam Al-Qur’an adalah mengesakan Allah ﷻ dengan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya secara merendah diri, mencintai, mengharap dan takut.
Kata Ibn Abbas, semua perkataan ibadah yang datang di dalam Al-Qur’an maknanya Tauhid. Juga disebut oleh al-Baghawi di dalam tafsirnya. Jadi ayat ini menjadi dalil bahawa Tauhid adalah wajib. Ia adalah tujuan kita diciptakan dan apa yang menjadi kehendak syar’i Allah adalah satu perintah dariNya. Dan asal setiap perintah Allah adalah wajib selagi tidak ada dalil lain yang mengatakan tidak (ini adakah kaedah hukum). Sesiapa yang tidak melakukan perkara yang wajib maka dia telah melakukan perkara yang haram dan dia telah berdosa.
Adapun maksud ibadah secara istilah syari’at, para ulama memberikan beberapa definisi yang beraneka ragam. Di antara definisi terbaik dan terlengkap adalah yang disampaikan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah.
Beliau mengatakan, “Ibadah adalah suatu istilah yang mencakup segala sesuatu yang dicintai Allah dan diredhai-Nya, baik berupa perkataan maupun perbuatan, yang tersembunyi (batin) maupun yang nampak (lahir). Maka salat, zakat, puasa, haji, berbicara jujur, menunaikan amanah, berbakti kepada kedua orang tua, menyambung tali kekerabatan, menepati janji, memerintahkan yang ma’ruf, melarang dari yang munkar, berjihad melawan orang-orang kafir dan munafiq, berbuat baik kepada tetangga, anak yatim, orang miskin, ibnu sabil (orang yang kehabisan bekal di perjalanan), berbuat baik kepada orang atau haiwan yang dijadikan sebagai pekerja, memanjatkan do’a, berzikir, membaca Al Qur’an dan lain sebagainya adalah termasuk bagian dari ibadah.
Begitu pula rasa cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, takut kepada Allah, inabah (kembali taat) kepada-Nya, memurnikan agama (amal ketaatan) hanya untuk-Nya, bersabar terhadap keputusan (takdir)-Nya, bersyukur atas nikmat-nikmat-Nya, merasa redha terhadap qadha/takdir-Nya, tawakal kepada-Nya, mengharapkan rahmat (kasih sayang)-Nya, merasa takut dari seksa-Nya dan lain sebagainya itu semua juga termasuk bahagian dari ibadah kepada Allah.” (Al ‘Ubudiyah, cet. Maktabah Darul Balagh hal. 6).
Allah ﷻ jadikan alam ini keseluruhannya, tetapi kenapa Allah ﷻ sebut ‘jin’ dan ‘manusia’ sahaja? Ini adalah kerana walaupun semua makhluk Allah ﷻ jadikan, tetapi yang ada tanggungjawab syariat adalah jin dan manusia sahaja. Jin dan manusialah sahaja yang diberikan kebebasan untuk memilih jalan kebaikan atau keburukan. Sedangkan binatang dan juga malaikat dan makhluk lain, mereka tidak ada pilihan – mereka terus taat kepada Allah ﷻ tanpa pilihan.
Dzariyat Ayat 57: Allah ﷻ tidak perlukan manusia. Sebaliknya kitalah yang memerlukan Allah ﷻ.
ما أُريدُ مِنهُم مِّن رِّزقٍ وَما أُريدُ أَن يُطعِمونِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
I do not want from them any provision, nor do I want them to feed Me.
(MELAYU)
Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi-Ku makan.
ما أُريدُ مِنهُم مِّن رِّزقٍ
Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun dari mereka
Sekali lagi disebut tentang ‘rezeki’ kerana surah ini berkenaan rezeki. Allah ﷻ tidak meminta rezeki dari manusia dan jin. Tidaklah Allah ﷻ memerlukan kita dan mengharap apa-apa dari kita, malah Allah ﷻlah yang memberikan rezeki kepada kita semua.
Allah ﷻ tidaklah suruh makhluk menyembahNya kerana Allah ﷻ memerlukan sembahan dari makhluk. Allah ﷻ tidak memerlukan apa-apa pun dari makhluk. Sama ada makhluk sembah atau pun tidak, tidaklah berkurang atau bertambah kemuliaan dan kehebatan Allah ﷻ.
وَما أُريدُ أَن يُطعِمونِ
dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi-Ku makan.
Dan Allah ﷻ tidak meminta makanan daripada manusia. Malah Allah ﷻ yang memberi makanan kepada kita.
Maksud ayat ini, agama yang Allah ﷻ berikan kepada kita ini adalah untuk kepentingan kita. Allah ﷻ jadikan hukum syariat yang kita kena amalkan ini adalah untuk kebaikan kita. Allah ﷻ tidak perlukan apa-apa pun dari kita.
Ini adalah tempelak yang amat besar kepada Musyrikin Mekah dan juga penyembah-penyembah berhala dari dulu sampai sekarang – mereka sembah berhala dan patung sembahan mereka, tetapi mereka jugalah yang beri berhala dan patung mereka makan. Ini memang karut sekali – kalau yang disembah itu tuhan atau ilah, maka merekalah yang cari makan sendiri, bukan?
Dzariyat Ayat 58: Ayat 58 adalah Perenggan Makro Ketujuh. Ia mengajar kita untuk tauhid pada sifat Allah ﷻ. Jangan beri satu pun sifat Allah ﷻ kepada makhluk.
إِنَّ اللهَ هُوَ الرَّزّاقُ ذُو القُوَّةِ المَتينُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, it is Allāh who is the [continual] Provider, the firm possessor of strength.
(MELAYU)
Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki Yang mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh.
إِنَّ اللهَ هُوَ الرَّزّاقُ
Sesungguhnya Allah, Dialah Maha Pemberi rezeki
Allah ﷻ tidak perlukan rezeki dari kita, sebaliknya Allah ﷻlah yang sentiasa memberi rezeki kepada manusia. Allah ﷻ beri rezeki itu kepada manusia tidak kira sama ada orang itu beriman ataupun tidak. Semua rezeki yang kita dapat ini adalah dari Allah ﷻ.
Maka jangan kita kata ada makhluk yang beri rezeki kepada kita. Jangan kita kata: “habislah kalau ayah aku mati, siapa nak beri aku makan?” atau kita kata: “kalau tokey itu tak beri kerja kat aku.. mana aku nak dapat rezeki?”. Ini adalah contoh kata-kata yang lari dari tauhid.
ذُو القُوَّةِ المَتينُ
Yang mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh.
Allah ﷻ tidak perlukan pertolongan dari kita kerana Allah ﷻ mempunyai kekuatan. Allah ﷻ sangat kukuh, tidak ada yang dapat menggegarNya atau menggerakkanNya.
Nota tambahan: ayat 56-58 ini adalah Ghurur zaman moden. Ghurur adalah apabila manusia tertipu dengan dirinya sendiri. Dia sangka dia yang menentukan hala tuju dirinya. Dia sangka usahanya yang pasti membuahkan hasil. Dia terlupa yang semua itu diberi oleh Allah ﷻ. Oleh itu, apabila dia berjaya, dia sangka dia berjaya kerana kepandaian dan usaha dirinya. Dia lupa menisbahkan kejayaannya itu kepada Allah ﷻ.
Dalam surah 56 Allah ﷻ telah sebut yang tugas kita di dunia adalah menjadi hamba Allah ﷻ. Maka kita kena terus melakukan amal dan ibadat seperti yang Allah ﷻ kehendaki. Tetapi ada manusia yang tidak dapat nak taat. Mereka sangka mereka kena lebih banyak usaha dalam dunia untuk berjaya. Maka mereka sampai sanggup melencong dari ketaatan kepada Allah ﷻ semata-mata untuk berjaya.
Maka Allah ﷻ jawab dalam ayat 57-58 bahawa bukan manusia yang buat rezeki sendiri, tetapi Allah ﷻ yang berikan rezeki itu kepada manusia. Allah ﷻ sudah janjikan rezeki kepada kita, maka kita kena taat sahaja. Jangan sangka kita kena teruk-teruk cari rezeki.
Perumpamaan seperti seorang pelajar universiti yang dihantar oleh ayahnya untuk belajar. Ayahnya telah beritahu, dia tidak perlu risau tentang makan dan minumnya kerana ayahnya yang akan tanggung. Tugas anaknya hanya belajar sahaja.
Bagaimana kalau anak itu pergi bekerja kerana takut tidak makan? Tentu ayah dia marah bukan? Kenapa nak bekerja lagi sedangkan makan pakainya telah dijamin oleh ayahnya? Kenapa sampai melawan arahan ayahnya (iaitu belajar)?
Maka begitulah dengan manusia. Jangan bekerja dan mencari rezeki sampaikan meninggalkan taat kepada Allah ﷻ. Jangan takut dengan pemberian rezeki dari Allah ﷻ. Allah ﷻ telah janjikan rezeki kepada kita, asalkan kita taat kepadaNya sahaja. Pencarian rezeki memang kena ada usaha, tetapi janganlah kita lupa tanggungjawab kita kepada Allah ﷻ. Jangan kita lupa kepada akhirat kerana terlalu mengejar dunia. Kerja itu lebih kurang sahaja, kerana rezeki kita telah ditentukan oleh Allah ﷻ.
Kena bergantung kepada Allah ﷻ dalam pencarian rezeki. Ramai yang tidak bergantung dengan Allah ﷻ. Sampaikan kalau mereka bekerja di tempat yang haram rezekinya, mereka takut berhenti dari kerja itu. Kerana mereka takut mereka tidak dapat gaji dari tempat lain. Malang sekali kerana mereka tidak faham yang rezeki Allah ﷻ ini luas.
Dzariyat Ayat 59: Ayat 59 – 60 adalah Perenggan Makro Kelapan dan terakhir surah ini. Ia mengandungi kesaksian akal tentang hukum balasan baik dan buruk. Akal kita sendiri sebenarnya telah terima kebenaran ini.
Ia juga mengandungi Takhwif duniawi. Bagaimana kalau setelah diberi segala peringatan, tapi masih kufur juga?
فَإِنَّ لِلَّذينَ ظَلَموا ذَنوبًا مِّثلَ ذَنوبِ أَصحٰبِهِم فَلا يَستَعجِلونِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And indeed, for those who have wronged is a portion [of punishment] like the portion of their companions [i.e., predecessors], so let them not impatiently urge Me.
(MELAYU)
Maka sesungguhnya untuk orang-orang zalim ada bahagian (seksa) seperti bahagian teman mereka (dahulu); maka janganlah mereka meminta kepada-Ku untuk menyegerakannya.
فَإِنَّ لِلَّذينَ ظَلَموا ذَنوبًا مِّثلَ ذَنوبِ أَصحٰبِهِم
Maka sesungguhnya untuk orang-orang zalim ada bahagian (seksa) seperti bahagian teman mereka (dahulu);
Mereka yang zalim akan mendapat bahagian azab. Iaitu mereka yang menolak akidah tauhid dan melakukan dosa di muka bumi. Mereka akan mendapat bahagian api neraka sama seperti ‘sahabat-sahabat’ mereka dahulu yang sama akidah. Maknanya, kalau kita pun ada akidah sama dengan Musyrikin Mekah itu, maka kita pun akan dapat bahagian sama dengan mereka juga.
Walaupun orang yang sama akidah ini tidak pernah kenal dan bertegur sapa, tapi mereka dikira sebagai ‘sahabat’ kerana fahaman dan amalan mereka sama sahaja. Yang degil macam mereka juga.
فَلا يَستَعجِلونِ
maka janganlah mereka meminta kepada-Ku untuk menyegerakannya.
Mereka pasti akan kena dengan azab itu. Tunggu sahajalah. Janganlah nak minta dipercepatkan kerana bila sudah kena nanti, memang menyesal tak sudah.
Ini adalah kerana ada yang mengejek-ngejek – “bila lagi azab itu? cepatlah turunkan…..”
Dzariyat Ayat 60:
فَوَيلٌ لِّلَّذينَ كَفَروا مِن يَومِهِمُ الَّذي يوعَدونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And woe to those who have disbelieved from their Day which they are promised.
(MELAYU)
Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang kafir pada hari yang diancamkan kepada mereka.
Celakalah orang-orang kafir itu (orang-orang yang engkar) pada hari mereka menerima azab mereka. Hari itu mereka memang celaka.
Dan hari itu memang telah pernah dijanjikan kepada mereka dahulu. Mereka sahaja yang tidak mahu percaya dan tidak mahu beri perhatian. Mereka tolak mentah-mentah.
Allahu a’lam. Alhamdulillah, sekian tafsir Surah Dzariyat ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Thur.
Kemaskini: 10 Mei 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan