Tafsir Surah Ali Imran Ayat 40 – 48 (Kisah kelahiran Nabi Yahya)

Ayat 40: Ini adalah tentang sifat manusia yang gopoh hendak mengetahui.

Setelah diberikan dengan berita yang baginda sendiri yang minta sebelumnya (anak), terus Nabi Zakaria عليه السلام hendak tahu maklumat lebih lagi. Sebagaimana seorang businessman yang masuk tender kerajaan… setelah diberitahu yang dia memenangi tender, tentulah soalan seterusnya yang dia akan tanya adalah: bila boleh dapat Surat Tawaran?

Ini adalah sifat normal manusia, begitu juga Nabi.

قالَ رَبِّ أَنّىٰ يَكونُ لي غُلٰمٌ وَقَد بَلَغَنِيَ الكِبَرُ وَامرَأَتي عاقِرٌ ۖ قالَ كَذٰلِكَ اللَّهُ يَفعَلُ ما يَشاءُ

SAHIH INTERNATIONAL

He said, “My Lord, how will I have a boy when I have reached old age and my wife is barren?” The angel said, “Such is Allah ; He does what He wills.”

MALAY

Nabi Zakaria berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?”, Malaikat menjawab: “Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya”.

قالَ رَبِّ أَنّىٰ يَكونُ لي غُلٰمٌ

Nabi Zakaria berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, 

Sekarang Nabi Zakaria عليه السلام hendak tahu alamat (tanda) yang isteri baginda sedang mengandung. Soalan daripada Nabi Zakaria عليه السلام ini bukanlah kerana baginda tidak percaya dengan janji Allah ﷻ. Jangan kita salah faham pula kerana seorang Nabi tentunya sudah yakin dengan Allah ‎ﷻ. Baginda sudah percaya kepada janji Allah ‎ﷻ tetapi yang baginda hendak tahu ‘cara bagaimana’ baginda akan mendapat anak.

Ini sama sahaja bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام minta supaya Allah ﷻ tunjukkan bagaimana Dia menghidupkan yang telah mati. Ini adalah kerana apabila ada ilmu, maka ia akan memberi ketenteraman kepada kita dan ini lebih molek.

Lihatlah juga dalam ayat ini, Nabi Zakaria tanya terus dengan Allah ‎ﷻ. Padahal berita gembira itu disampaikan oleh malaikat tetapi apabila hendak bertanya, baginda tanyakan terus pada Allah ‎ﷻ. Ini kerana baginda tahu, malaikat itu hanya penyampai sahaja, tidak boleh berbuat lebih daripada itu.

Maka begitulah, ini mengajar kita supaya tidak bertawasul dalam berkomunikasi dengan Allah ‎ﷻ. Kalau doa, doa terus sahaja kepada Allah ‎ﷻ. Tak perlu pakai broker (orang tengah) dalam berdoa kerana Allah ﷻ maha mendengar doa kita.

وَقَد بَلَغَنِيَ الكِبَرُ وَامرَأَتي عاقِرٌ

padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?”,

Baginda hendak tahu bagaimana cara baginda akan mendapat anak itu kerana baginda sedar yang baginda sudah tua (dalam riwayat dikatakan bahawa baginda sudah berumur 120 tahun). Maka memang bagina sangat tua dan kalau dalam keadaan normal seorang lelaki, tidak ada harapan untuk mendapat anak lagi.

Dan yang lebih pelik lagi, isterinya pula tidak pernah melahirkan anak (boleh dikatakan seorang yang mandul). Jadi, baginda tertanya-tanya, bagaimanakah caranya baginda akan mendapat anak? Adakah baginda kena berkahwin lain kerana isterinya mandul, atau Allah ‎ﷻ akan menjadikannya muda dan sihat semula? Atau baginda akan diberikan dengan isteri yang baru?

قالَ كَذٰلِكَ اللَّهُ يَفعَلُ ما يَشاءُ

Malaikat menjawab: “Dengan keadaan kamu sekarang, Allah melakukan apa yang dikehendaki-Nya”.

Allah ‎ﷻ jawab yang anak itu akan dikurniakan kepada baginda dengan keadaan baginda waktu itu. Allah ‎ﷻ tidak perlu menukar isteri baginda, Allah ‎ﷻ juga tidak perlu menjadikan baginda muda semula.

Ini kerana Allah ‎ﷻ tidak perlu mengikut peraturan sesuatu proses untuk menjadikan sesuatu. Kita sebagai manusia, memanglah kena mengikut proses adat kejadian. Nak buat sesuatu kena keadaan sempurna baru ia menjadi. Tapi Allah ‎ﷻ boleh melakukan semua perkara yang menyalahi adat. Malah adat kejadian itu pun Allah ‎ﷻ yang buat, maka Allah ﷻ boleh sahaja nak ganti.


Ayat 41: Ini adalah soalan seterusnya daripada Nabi Zakaria عليه السلام. Baginda terlalu gembira tidak terhingga. Maka baginda hendak tahu lebih lagi – sekarang hendak tahu ‘bila’ pula.

قالَ رَبِّ اجعَل لّي ءآيَةً ۖ قالَ ءآيَتُكَ أَلّا تُكَلِّمَ النّاسَ ثَلٰثَةَ أَيّامٍ إِلّا رَمزًا ۗ وَاذكُر رَبَّكَ كَثيرًا وَسَبِّح بِالعَشِيِّ وَالإِبكٰرِ

SAHIH INTERNATIONAL

He said, “My Lord, make for me a sign.” He Said, “Your sign is that you will not [be able to] speak to the people for three days except by gesture. And remember your Lord much and exalt [Him with praise] in the evening and the morning.”

MALAY

Nabi Zakaria berkata lagi: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda (yang menunjukkan isteriku mengandung)”. Allah berfirman: “Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam) melainkan dengan isyarat sahaja; dan ingatlah kepada Tuhanmu (dengan berzikir) banyak-banyak, dan bertasbihlah memuji Allah (dengan mengerjakan sembahyang), pada waktu malam dan pada waktu pagi”.

قالَ رَبِّ اجعَل لّي ءآيَةً

Nabi Zakaria berkata lagi: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda

Nabi Zakaria عليه السلام hendak tahu pula tanda yang isterinya akan melahirkan anak, atau tanda bila isterinya akan mengandung.

Bukanlah baginda gopoh tetapi dikatakan yang baginda ingin tahu supaya selepas dapat tanda itu, baginda boleh bersyukur banyak-banyak kepada Allah ‎ﷻ di atas kurniaan yang besar itu.

Atau baginda minta tanda bilakah isterinya akan mengandung supaya baginda boleh membuat persiapan sambut anak.

قالَ ءآيَتُكَ أَلّا تُكَلِّمَ النّاسَ ثَلٰثَةَ أَيّامٍ إِلّا رَمزًا

Allah berfirman: “Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari melainkan dengan isyarat sahaja; 

Allah ﷻ beritahu bahawa tanda yang isterinya akan mengandung adalah lidah baginda akan menjadi kelu selama tiga hari. Baginda hanya boleh berkomunikasi dengan umat baginda menggunakan isyarat tangan sahaja. Iaitu macam orang bisu.

وَاذكُر رَبَّكَ كَثيرًا

dan ingatlah kepada Tuhanmu banyak-banyak, 

Allah ‎ﷻ menyuruh baginda mengingati Allah ‎ﷻ dalam hati (kerana lidah sudah kelu tidak boleh berkata). Zikir dalam hati pun dikira zikir juga.

وَسَبِّح بِالعَشِيِّ وَالإِبكٰرِ

dan bertasbihlah pada waktu malam dan pada waktu pagi”.

Baginda disuruh bertasbih juga membersihkan nama Allah ‎ﷻ daripada segala sifat syirik dan kekurangan.

Kalimah العَشِيِّ bermaksud waktu dari waktu Zuhur ke Maghrib.

Kalimah الإِبكارِ pula adalah waktu pagi dari waktu Fajar ke Dhuha. Waktu-waktu ini adalah waktu yang amat molek untuk berzikir dan beribadat kepada Allah ‎ﷻ.

Maksudnya: hendaklah kepada Allah ﷻ sepanjang hari.

Tafsir lain:

Zikir: ingat dengan hati

Tasbih: sebut dengan lidah


Ayat 42: Selepas menceritakan tentang kejadian ajaib yang berlaku kepada Nabi Zakariya, Allah beralih pula kepada kisah Maryam. Nabi Zakariya mendapat anak di usia yang lanjut, itu sudah pelik. Tapi lebih ajaib lagi adalah kisah Maryam dan kelahiran Nabi Isa a.s. tanpa ayah.

Maryam adalah seorang wanita yang mulia dan ditinggikan kedudukannya. Beliau adalah seorang wali Allah ﷻ. Tetapi salah faham tentang kedudukan Maryam telah menyebabkan separuh dari manusia di dunia ini (penganut Kristian) telah kufur dengan menyeru beliau.

Ini kerana kelahiran Maryam yang pelik. Dan memang kebanyakan manusia akan terkesan dengan perkara yang ajaib. Ini kerana mereka tidak biasa dengar. Maka manusia perlu dibiasakan dengan perkara yang di luar kebiasaan. Maka kena biasakan baca dan belajar tafsir Al-Qur’an supaya biasa sahaja dengan perkara-perkara pelik kerana dalam Al-Qur’an memang selalu disebut.

Allah berfirman dalam ayat ini untuk memberitahu kita bahawa beliau adalah manusia biasa sahaja. Memang beliau seorang yang mulia tapi masih lagi seorang manusia, jadi tidak boleh diseru dan dipuja. Ini kerana tidak ada sifat ilah pada beliau.

وَإِذ قالَتِ ٱلمَلَـٰٓٮِٕڪَةُ يٰمَريَمُ إِنَّ اللَّهَ اصطَفٰكِ وَطَهَّرَكِ وَاصطَفٰكِ عَلىٰ نِساءِ العٰلَمينَ

SAHIH INTERNATIONAL

And [mention] when the angels said, “O Mary, indeed Allah has chosen you and purified you and chosen you above the women of the worlds.

MALAY

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: “Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).

وَإِذ قالَتِ ٱلمَلَـٰٓٮِٕڪَةُ

Dan ingatlah ketika malaikat berkata:

Malaikat bercakap dengan Maryam dengan cara ilham kerana beliau bukan Nabi. Ulama’ hampir sepakat mengatakan tidak ada Nabi dan Rasul dari kalangan wanita. Jadi tidaklah malaikat bercakap terus dengan Maryam. Kita tidak tahu cara bagaimana komunikasi itu berlaku.

يٰمَريَمُ إِنَّ اللَّهَ اصطَفٰكِ وَطَهَّرَكِ

“Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu,

Allah sendiri telah memilih Maryam menjadi manusia yang beriman dan taat. Allah pilih beliau kerana kesucian yang ada pada Maryam. Allah pilih dia dari dia kecil lagi. Ada orang, apabila dah dewasa baru dipilih, tapi Maryam dari kecil lagi. Ini adalah satu kedudukan yang tinggi sekali.

Allah menyucikan Maryam dari perkara-perkara yang tidak elok dalam hal agama. Beliau dari kecil lagi terpelihara dari melakukan dosa-dosa besar.

وَاصطَفٰكِ عَلىٰ نِساءِ العٰلَمينَ

dan telah memilihmu melebihi perempuan-perempuan seluruh alam

Allah pilih Maryam setelah beliau baligh, menjadi perempuan yang paling mulia pada zamannya. Itu adalah kedudukan yang tinggi. Jadi sebelum baligh beliau dijaga, dan selepas baligh beliau diberi kedudukan yang tinggi.

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah yang pilih Maryam menjadi makhluk yang taat. Bukannya Maryam itu salah satu ilah yang boleh dipuja. Inilah kekeliruan yang hendak diperjelaskan oleh Allah.


Ayat 43:

يٰمَريَمُ اقنُتي لِرَبِّكِ وَاسجُدي وَاركَعي مَعَ الرّٰكِعينَ

SAHIH INTERNATIONAL

O Mary, be devoutly obedient to your Lord and prostrate and bow with those who bow [in prayer].”

MALAY

“Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-orang yang rukuk “.

يٰمَريَمُ اقنُتي لِرَبِّكِ

“Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu,

Allah yang pilih Maryam menjadi seorang yang taat kepada Allah. Allah perintah dia jadi taat, iaitu dengan jaga hukum.

وَاسجُدي وَاركَعي مَعَ الرّٰكِعينَ

dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-orang yang rukuk “.

Maryam perlu melakukan solat berjemaah bersama dengan orang lain. Kenapa dia kena solat berjemaah? Sebab dia tinggal di masjid, maka kena solat bersama dengan orang lain.

Disebut rukuk dalam ayat ini sebagai isyarat kepada ‘solat’, kerana kalau sebut ‘sujud’, tidak dikira solat lagi kerana sujud itu boleh dilakukan luar solat. Sebagai contoh, sujud syukur dan sujud tilawah boleh dilakukan di luar solat.

Disebut sujud dahulu kerana ibadah Yahudi adalah sujud selepas qiyam. Mereka tidak ada rukuk. Qiyam, rukuk dan sujud itu ada di dalam ibadat solat umat Nabi Muhammad.

Tafsir lain: rukuk itu bermaksud pergaulan, taat setia dan rendah diri dengan orang-orang lain di dalam masyarakat.


Ayat 44:

ذٰلِكَ مِن أَنباءِ الغَيبِ نوحيهِ إِلَيكَ ۚ وَما كُنتَ لَدَيهِم إِذ يُلقونَ أَقلٰمَهُم أَيُّهُم يَكفُلُ مَريَمَ وَما كُنتَ لَدَيهِم إِذ يَختَصِمونَ

SAHIH INTERNATIONAL

That is from the news of the unseen which We reveal to you, [O Muhammad]. And you were not with them when they cast their pens as to which of them should be responsible for Mary. Nor were you with them when they disputed.

MALAY

Peristiwa yang demikian ialah sebahagian dari berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka mencampakkan qalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah di antara mereka yang akan memelihara Maryam. Dan engkau juga (wahai Muhammad) tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka berkelahi (tentang perkara menjaga dan memelihara Maryam).

ذٰلِكَ مِن أَنباءِ الغَيبِ نوحيهِ إِلَيكَ

Peristiwa yang demikian ialah sebahagian dari berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad),

Yang telah disampaikan ini semua adalah cerita yang manusia tak boleh tahu melainkan kalau Allah yang beri wahyu. Ia tidak boleh dicari dengan akal. Ini adalah sebagai dalil tsabitnya Nabi Muhammad itu seorang Nabi.

Semua orang pada zaman itu tahu yang Nabi tidak belajar dengan sesiapa. Baginda dikenali tidak pergi ke mana-mana pun pada jangkamasa yang lama. Kalau baginda ada hilang setahun dua, barulah boleh kata baginda ada pergi berguru dengan orang lain. Tapi sepanjang hidup baginda, baginda ada di Mekah sahaja. Kalau pergi mengembara kerana berdagang pun, baginda pergi dengan orang lain yang tahu gerak-geri baginda dan apa yang baginda lakukan sepanjang perjalanan itu.

Jadi baginda tidak dapat kisah ini melainkan dari wahyu daripada Allah. Dan kisah ini tentunya menyebabkan wakil Nasara dari Najran terkejut kerana maklumat ini tidak ramai yang tahu. Kalau penganut Kristian yang biasa pun tidak tahu kisah-kisah yang telah dibacakan oleh Nabi Muhammad itu. Kerana kisah-kisah sebegini hanya ada pada mereka yang berkedudukan tinggi dalam agama mereka sahaja.

وَما كُنتَ لَدَيهِم إِذ يُلقونَ أَقلٰمَهُم أَيُّهُم يَكفُلُ مَريَمَ

sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka mencampakkan qalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah di antara mereka yang akan memelihara Maryam.

Dari sini kita dapat tahu yang ramai yang berebut nak pelihara Maryam semasa beliau kecil. Punyalah ramai berebut sampai kena dibuat undian. Caranya adalah, masing-masing yang mahu memelihara Maryam perlu mencampak qalam (pen) mereka ke dalam air. Pada qalam itu ditulis nama mereka.

Dan telah ditakdirkan hanya qalam Nabi Zakariya sahaja yang timbul dan tidak hanyut. Ini adalah mukjizat yang diberikan kepada Nabi Zakariya. Kerana Allah sendiri yang hendak Nabi Zakariya menjaga Maryam.

وَما كُنتَ لَدَيهِم إِذ يَختَصِمونَ

Dan engkau juga (wahai Muhammad) tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka berkelahi

Allah mengatakan yang Nabi Muhammad tidak ada ketika mereka berbantah-bantah tentang siapakah yang layak menjaga Maryam. Kerana masing-masing hendak menjaga beliau.

Memanglah Nabi Muhammad tidak ada waktu itu tapi baginda boleh beritahu kisah kejadian itu sekarang, sebab baginda dapat wahyu dari Allah. Ini hendak menegaskan kepada manusia terutama Kristian Najran itu bahawa memang tsabit baginda adalah seorang Nabi.


Ayat 45:

إِذ قالَتِ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ يٰمَريَمُ إِنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةٍ مِّنهُ اسمُهُ المَسيحُ عيسَى ابنُ مَريَمَ وَجيهًا فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ وَمِنَ المُقَرَّبينَ

SAHIH INTERNATIONAL

[And mention] when the angels said, “O Mary, indeed Allah gives you good tidings of a word from Him, whose name will be the Messiah, Jesus, the son of Mary – distinguished in this world and the Hereafter and among those brought near [to Allah ].

MALAY

(Ingatlah) ketika malaikat berkata: “Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan dia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah).

إِذ قالَتِ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ

ketika malaikat berkata:

Malaikat masih berkomunikasi dengan Maryam dengan cara ilham (bukan dengan cara wahyu).

يٰمَريَمُ إِنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةٍ مِّنهُ اسمُهُ المَسيحُ عيسَى ابنُ مَريَمَ

“Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan Kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, 

Malaikat memberitahu kepada Maryam bahawa akan terjadi anak dalam perut Maryam, dengan lafaz kun fayakun (Jadi, maka jadilah). Itulah lafaz ‘Kalimah Allah’ yang dimaksudkan.

Maknanya bayi itu akan terjadi dengan lafaz titah dari Allah. Ianya adalah karamah Maryam dan Mukjizat Nabi Isa a.s. Maka telah jelas yang Nabi Isa dilahirkan tanpa bapa.

Nama baginda pun telah siap diberi oleh Allah. Nama ini adalah satu kelainan kerana tidak pernah nama seseorang dibinkan kepada nama emaknya. Kecuali Nabi Isa sahaja. Maka, kalau ada amalan yang menggunakan nama emak, seperti dalam perbomohan dan pembacaan talqin, kita tidak pasti dari manakah datangnya ajaran pelik itu.

Ayat ini adalah antara ayat yang digunakan oleh orang Kristian untuk mengelirukan umat Islam yang jahil. Kristian kata, lihatlah dalam Al-Qur’an sendiri mengaku yang Nabi Isa itu adalah ‘Kalam’, dan ‘Kalam’ itu adalah Allah.

Itu adalah pandangan yang sesat. Kalimah yang dimaksudkan adalah kalimah Kun Fayakun. Sebenarnya, semua makhluk Allah jadikan dengan Kun Fayakun, bukannya Nabi Isa sahaja. Cuma Allah sebut khusus kepada Nabi Isa kerana baginda dijadikan dengan cara lain sedikit, di mana baginda tidak ada bapa.

Maka Allah nak beritahu yang sama sahaja semua kejadian, Allah juga yang jadikan. Walaupun nampak manusia lain lahir hasil dari persenyawaan lelaki dan perempuan, tapi sebenarnya Allah juga yang menjadikannya dengan lafaz kun fayakun.

Perkataan al-Masih adalah gelaran khas bagi Nabi Isa. Asalnya dari bahasa Ibrani yang bermaksud ‘diperciki dengan minyak’ (The anointed one). Ianya dilakukan kepada raja-raja yang dinobatkan, di mana mereka akan dipalit dengan minyak.

Menurut kepercayaan Bani Israil, setelah mangkatnya raja mereka yang besar, iaitu Nabi Daud dan Nabi Sulaiman, akan datang lagi raja mereka yang besar, yang akan mendirikan kembali kerajaan Bani Israil. Raja yang dimaksudkan adalah Nabi Isa, iaitu raja yang memperbaiki jiwa yang rosak.

Tetapi pendita Yahudi tidak menerima kenabian baginda. Kerana Nabi Isa telah menegur kesalahan-kesalahan mereka dalam mengubah Kitab Taurat. Mereka marah sangat kepada baginda sampaikan mereka buat tohmahan yang Nabi Isa hendak mengambil alih kerajaan Rom. Oleh kerana mereka tidak menerima Nabi Isa, maka sampai sekarang mereka masih menunggu kedatangan raja itu.

وَجيهًا فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat,

Terkenal lagi dimuliakan di dunia kerana baginda adalah seorang Nabi. Bagindalah Nabi terakhir sehinggalah Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul.

Dan baginda akan terkenal kembali nanti apabila baginda turun semula nanti. Perkataan وَجيهًا datang dari perkataan ‘wajah’. Kalau seseorang itu anak haram, tentunya malu nak tunjuk wajah di khalayak ramai. Tapi Nabi Isa bukanlah anak haram, jadi tidak perlu baginda malu dengan kedudukan baginda. Kita sebut di sini kerana ada pihak yang mengatakan baginda anak haram.

Baginda juga akan terkenal di akhirat kerana baginda adalah salah seorang yang akan beri syafaat kepada orang beriman.

وَمِنَ المُقَرَّبينَ

dan dia juga dari orang-orang yang didampingkan

Maksudnya baginda dihampirkan dengan Allah. Ini adalah isyarat yang Allah rapatkan baginda secara fizikal iaitu diangkat ke langit. Ini adalah salah satu dalil yang menjadi sandaran yang Nabi Isa dinaikkan ke langit ke sisi Allah. Nanti kita akan berikan dalil-dalil yang lain.


Ayat 46:

وَيُكَلِّمُ النّاسَ فِي المَهدِ وَكَهلًا وَمِنَ الصّٰلِحينَ

SAHIH INTERNATIONAL

He will speak to the people in the cradle and in maturity and will be of the righteous.”

MALAY

“Dan dia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa dia masih kecil dalam buaian, dan semasa dia dewasa, dan dia adalah dari orang-orang yang soleh.”

وَيُكَلِّمُ النّاسَ فِي المَهدِ

“Dan dia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa dalam buaian,

Dalam riwayat ada disebut, Maryam رضي الله عنها telah mengandung dan melahirkan pada hari yang sama. Apabila beliau membawa pulang anaknya (Nabi Isa عليه السلام) yang baru dilahirkan itu, dan terpaksa menghadapi kaumnya yang tidak mahu percaya serta menuduhnya melakukan perkara yang tidak elok, tentulah beliau tidak mampu menjawab tuduhan tersebut. Maka beliau diarahkan oleh Allah ‎ﷻ untuk tunjukkan sahaja kepada Nabi Isa عليه السلام yang berada dalam dukungannya.

Nabi Isa عليه السلام sendiri yang menjawab tuduhan kaumnya itu semasa dalam pelukan ibunya lagi walaupun baginda baru sahaja entah berapa jam lahir ke dunia. Ini adalah mukjizat Nabi Isa عليه السلام. Ini disebut dalam Surah Maryam dengan lebih panjang lagi.

وَكَهلًا

dan semasa dia dewasa, 

Kalimah كَهْلً bermaksud umur 40 ke atas. Maknanya Nabi Isa عليه السلام dikatakan bercakap-cakap pada usia selepas 40. Apakah yang peliknya bercakap di usia dewasa? Yang ajaibnya, baginda telah diangkat ke langit semasa baginda berumur 33 tahun.

Ini memberi isyarat bahawa baginda akan turun semula ke dunia dan akan bercakap-cakap dengan manusia sehingga ke usia كَهْلً. Mengikut riwayat, baginda akan turun dalam umur yang sama – 33 tahun. Kemudian baginda akan berkahwin dan beramal ibadat dengan syari’at Nabi Muhammad ﷺ.

Baginda juga dikatakan akan hidup selama 24 tahun lagi di dunia sebelum wafat. Oleh itu, tidak benar kalau ada yang kata baginda sudah mati. Akidah yang benar adalah Nabi Isa عليه السلام telah diangkat ke langit dan akan dikembalikan ke dunia nanti.

وَمِنَ الصّٰلِحينَ

dan dia adalah dari orang-orang yang soleh.”

Ini adalah sifat kelima baginda yang disebut dalam ayat-ayat ini. Baginda adalah orang soleh darjat Nabi, bukan darjat orang biasa.


Ayat 47: Sekarang adalah balasan daripada Maryam رضي الله عنها.

قالَت رَبِّ أَنّىٰ يَكونُ لي وَلَدٌ وَلَم يَمسَسني بَشَرٌ ۖ قالَ كَذٰلِكِ اللَّهُ يَخلُقُ ما يَشاءُ ۚ إِذا قَضىٰ أَمرًا فَإِنَّما يَقولُ لَهُ كُن فَيَكونُ

SAHIH INTERNATIONAL

She said, “My Lord, how will I have a child when no man has touched me?” [The angel] said, “Such is Allah ; He creates what He wills. When He decrees a matter, He only says to it, ‘Be,’ and it is.

MALAY

Maryam berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?” Allah berfirman; “Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya; apabila Dia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Dia hanyalah berfirman kepadanya: ` Jadilah engkau ‘, lalu menjadilah ia.”

قالَت رَبِّ أَنّىٰ يَكونُ لي وَلَدٌ وَلَم يَمسَسني بَشَرٌ

Maryam berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?”

Ini adalah soalan yang keluar daripada Maryam رضي الله عنها. Bukanlah beliau tidak yakin dengan berita yang disampaikan oleh Allah ‎ﷻ melalui malaikat itu. Beliau yakin yang Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa sahaja. Kita pun sudah belajar beliau biasa mendapat makanan dengan cara yang luarbiasa. Jadi hal-hal yang lain daripada kebiasaan dan tidak dapat diterima oleh akal yang logik, adalah perkara biasa untuk beliau sebenarnya.

Oleh sebab itu, apabila diberitahu yang beliau akan mendapat anak, beliau boleh menerimanya. Cuma, beliau hendak tahu caranya sahaja. Begitulah juga soalan Nabi Zakariya  عليه السلام – ingin mengetahui caranya sahaja. Ini kerana kalau diikutkan dengan cara biasa, tidak mungkin akan terjadi kerana beliau tidak pernah disentuh oleh lelaki (baik dengan cara haram ataupun halal).

Daripada ayat ini juga, kita dapat tahu yang Maryam رضي الله عنها pun bercakap terus dengan Allah ‎ﷻ. Ini kerana beliau juga tahu yang malaikat hanyalah penyampai berita sahaja. Jadi Maryam رضي الله عنها tidak bertanya kepada malaikat yang menyampaikan maklumat itu. Maryam رضي الله عنها tanya terus kepada Allah ‎ﷻ.

قالَ كَذٰلِكِ

Allah berfirman; “Demikianlah keadaannya, 

Allah ‎ﷻ jawab, dengan keadaan beliau begitulah juga. Tidak perlu ada lelaki yang bersetubuh dengannya, Allah‎ ﷻ boleh sahaja menjadikan anak. Allah ‎ﷻ tidak perlu mengikut proses yang biasa.

اللَّهُ يَخلُقُ ما يَشاءُ

Allah menjadikan apa yang dikehendaki-Nya; 

Sebab Dia adalah Tuhan. Dia boleh berbuat apa sahaja yang dikehendaki-Nya.

Ayat ini menggunakan lafaz يَخْلُقُ. Ini berbeza dengan kelahiran Nabi Yahya  عليه السلام (digunakan lafaz جعل). Ini kerana dalam kes Maryam رضي الله عنها ini, memang digunakan lafaz يَخْلُقُ kerana dijadikan daripada tiada kepada ada dengan lafaz Kun fa Yakun. Sedangkan untuk kejadian anak-anak yang normal, mestilah melalui proses kejadian dan dalam keadaan itu digunakan lafaz جعل.

Namun begitu, dengan menggunakan lafaz يَخْلُقُ dalam ayat ini hendak menekankan yang Nabi Isa عليه السلام adalah ‘makhluk’: bukanlah kejadian luar biasa, bukanlah baginda ini merupakan ‘Anak Tuhan’, tetapi dijadikan oleh Allah ‎ﷻ, sama seperti makhluk-makhluk yang lain. Nabi Isa عليه السلام adalah ciptaan Allah ‎ﷻ, bukannya daripada juzuk (sebahagian daripada) Allah ‎ﷻ.

إِذا قَضىٰ أَمرًا فَإِنَّما يَقولُ لَهُ كُن فَيَكونُ

apabila Dia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Dia hanyalah berfirman kepadanya: ` Jadilah ‘, lalu menjadilah ia.”

Apabila Allah ‎ﷻ hendakkan sesuatu, mudah sahaja bagi-Nya. Lafaz kun fayakun ini hanya sebagai isyarat kepada kita betapa mudahnya dan cepatnya Allah ‎ﷻ hendak menjadikan sesuatu. Allah ‎ﷻ tidak perlu lafaz pun, ia akan terjadi juga.


Ayat 48: Ini adalah sifat ke-enam.

وَيُعَلِّمُهُ الكِتٰبَ وَالحِكمَةَ وَٱلتَّورَٮٰةَ وَالإِنجيلَ

SAHIH INTERNATIONAL

And He will teach him writing and wisdom and the Torah and the Gospel

MALAY

Dan Allah akan mengajarnya ilmu menulis, dan hukum-hukum aturan ugama, dan juga kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil.

وَيُعَلِّمُهُ الكِتٰبَ وَالحِكمَةَ

Dan Allah akan mengajarnya al-Kitab dan hikmah,

Lafaz الكِتابَ dalam ayat ini adalah Al-Qur’an. Apabila baginda dibangkitkan semula, baginda akan diajar Kitab Al-Qur’an dan baginda akan beramal dengan syariat dari Al-Qur’an.

Dan baginda juga akan diajar dengan sunnah Nabi Muhammad. Kerana itu baginda kena belajar Al-Qur’an dan sunnah. Walaupun baginda adalah seorang Nabi, tapi baginda tidak boleh pakai syariat lain selain dari syariat Nabi Muhammad.

Begitulah, walaupun seorang Nabi yang mulia macam mana pun, kena juga pakai syariat Nabi Muhammad. Maka, tidak ada pilihan lain kepada manusia. Maka janganlah dilanggar syariat itu. Kenalah belajar syariat Nabi Muhammad.

Jangan jadi sesat pun dengan menggunakan fahaman yang salah seperti yang diamalkan oleh puak tarekat sufi. Mereka amat bodoh ilmu agama sampaikan ada syariat yang dilanggar oleh mereka kerana hendak pakai pendapat guru mereka. Mereka kata ilmu dan darjat guru sudah terlalu tinggi sampai tidak perlu ikut syariat.

Semoga kita dan anak cucu kita terselamat dari ajaran sesat yang dibawa oleh golongan-golongan sebegitu.

وَٱلتَّورَٮٰةَ وَالإِنجيلَ

dan juga kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil.

Nabi Isa tahu dengan mendalam kitab Taurat (sebelum baginda diangkat ke langit). Kita telah tahu yang baginda telah diberikan dengan Kitab Injil. Tapi baginda juga mahir dan hafal kitab Taurat itu. Waktu itu pendita dan pemuka puak Yahudi telah menukar isi kandungan kitab Taurat. Mereka telah memesongkan ajaran agama yang berlainan dengan apa yang ditulis dalam Kitab Taurat.

Jadi apabila mereka memesongkan Kitab Taurat, Nabi Isa telah beritahu yang benar. Baginda beritahu, apa yang disampaikan oleh pendita Yahudi itu tidak seperti yang termaktub dalam Taurat. Maka tentunya marah pendita-pendita Yahudi itu kerana Nabi Isa a.s. telah bongkar perbuatan buruk mereka itu. Susahlah mereka cari makan kalau apa yang mereka bawa sekarang dipersoalkan.

Mereka nak lawan pun susah, kerana kalau mereka berkeras, Nabi Isa boleh suruh mereka keluarkan kitab Taurat yang asli dan boleh sama-sama periksa siapa yang benar. Maka kerana itu akhirnya mereka buat perancangan untuk bunuh Nabi Isa.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 September 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir al-Azhar – Hamka

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Ali Imran Ayat 40 – 48 (Kisah kelahiran Nabi Yahya)”

  1. Assalamualaikum
    saya setiap hari share “satu hari satu muka surat” alquran kepada keluarga dan sahabat supaya sama2 dapat menjiwai alquran.
    Oleh itu saya mohon tadabbur ustad yg di siarkan…diambil dari “satu mukasurat” al quran. Ini adalah bagi menggalakkan sahabat utk mengemari tadabur yg di share. Jazakallah khair

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s