Tafsir Surah Ali Imran Ayat 49 – 54 (Mukjizat Nabi Isa)

Ayat 49: Sifat ke tujuh dan seterusnya.

وَرَسولًا إِلىٰ بَني إِسرٰءِيلَ أَنّي قَد جِئتُكُم بِـَٔايَةٍ مِّن رَّبِّكُم ۖ أَنّي أَخلُقُ لَكُم مِّنَ الطّينِ كَهَيئَةِ الطَّيرِ فَأَنفُخُ فيهِ فَيَكونُ طَيرًا بِإِذنِ اللَّهِ ۖ وَأُبرِئُ الأَكمَهَ وَالأَبرَصَ وَأُحيِي المَوتىٰ بِإِذنِ اللَّهِ ۖ وَأُنَبِّئُكُم بِما تَأكُلونَ وَما تَدَّخِرونَ في بُيوتِكُم ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لَّكُم إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

SAHIH INTERNATIONAL

And [make him] a messenger to the Children of Israel, [who will say], ‘Indeed I have come to you with a sign from your Lord in that I design for you from clay [that which is] like the form of a bird, then I breathe into it and it becomes a bird by permission of Allah . And I cure the blind and the leper, and I give life to the dead – by permission of Allah . And I inform you of what you eat and what you store in your houses. Indeed in that is a sign for you, if you are believers.

MALAY

Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israil, (dengan menegaskan kepada mereka): “Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman.

 

وَرَسولًا إِلىٰ بَني إِسرٰءِيلَ

Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israel,

Nabi Isa عليه السلام adalah Rasul Bani Israel tetapi baginda akan menjadi Umat Nabi akhir zaman (Nabi Muhammad ﷺ).

Ayat ini dijadikan dalil bahawa Nabi Isa عليه السلام itu hanya Nabi untuk Bani Israel sahaja. Maka kalau sekarang selain daripada Bani Israel (seperti orang Cina dan India) menganut agama Kristian, maka memang tidak patut.

 

أَنّي قَد جِئتُكُم بِـَٔايَةٍ مِّن رَّبِّكُم

“Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa tanda dari Tuhan kamu,

Nabi Isa عليه السلام bukan datang dengan tangan kosong tetapi dengan tanda daripada Allah ‎ﷻ. Tanda baginda itu seorang Nabi, baginda datang dengan mukjizat. Baginda menegaskan yang tanda itu daripada Allah ‎ﷻ, bukan daripada baginda sendiri. Baginda tiada keupayaan untuk membuat mukjizat sendiri.

Inilah satu kekeliruan penganut Kristian. Mereka terkeliru dengan menyangkakan Nabi Isa عليه السلام mempunyai kuasa yang luar biasa melebihi manusia lain, sehinggakan mereka mengangkat baginda sebagai ‘Anak Tuhan’. Ini adalah kerana salah faham tentang mukjizat. Padahal mukjizat itu datang daripada kuasa Allah ‎ﷻ sahaja, bukan daripada baginda sendiri.

Masyarakat Islam yang jahil agama pun ada perasaan begitu terhadap Nabi Muhammad ﷺ. Mereka berkata Nabi Muhammad ﷺ bukan manusia biasa. Ini adalah kekeliruan kerana mereka jahil ilmu wahyu sahaja. Jadi, jangan sangka ayat ini tentang Nabi Isa عليه السلام dan penganut Kristian sahaja, tetapi ia boleh digunakan kepada masyarakat Islam kita yang jahil juga.

 

أَنّي أَخلُقُ لَكُم مِّنَ الطّينِ كَهَيئَةِ الطَّيرِ

iaitu aku boleh membuat untuk kamu daripada tanah liat seperti bentuk burung,

Sekarang disampaikan satu persatu mukjizat yang diberikan kepada Nabi Isa عليه السلام. Pertamanya tentang tanah liat yang dibentuk oleh baginda sehingga menyerupai seekor burung. Tentunya ia bukan burung asli. Baru lembaga burung sahaja. Buat bentuk macam ini biasa lagi.

 

فَأَنفُخُ فيهِ فَيَكونُ طَيرًا بِإِذنِ اللَّهِ

kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; 

Dengan izin Allah ‎ﷻ, apabila ditiup ukiran burung itu, maka ia hidup. Ini baru hebat dan mencabar akal mereka pada waktu itu.

Hendaklah ditekankan dengan kuat di sini bahawa ia terjadi ‘dengan izin Allah’. Kita kena sebut sebab kisah ini tidak sama kalau dalam Injil. Mereka buang lafaz ‘dengan izin Allah’ sampaikan penganut Kristian sangka yang Nabi Isa عليه السلام yang mempunyai kuasa itu.

 

وَأُبرِئُ الأَكمَهَ وَالأَبرَصَ وَأُحيِي المَوتىٰ بِإِذنِ اللَّهِ

dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; 

Mukjizat baginda yang seterusnya adalah menyembuhkan orang yang buta semenjak lahir (buta asli). Kalau buta semasa dewasa, itu belum hebat lagi.

Baginda juga boleh menyembuhkan orang yang berpenyakit sopak dan menghidupkan orang yang telah mati.

Mukjizat-mukjizat ini penting pada zaman itu kerana masyarakat waktu itu kuat dalam ilmu perubatan dan mereka memandang tinggi orang yang boleh mengubati. Kebiasaannya begitulah, mukjizat para Nabi berkaitan dengan masyarakat sezaman dengan mereka.

Kalau Nabi Musa عليه السلام, mukjizat utama baginda adalah untuk berlawan dengan sihir kerana masyarakat baginda kuat mengamalkan sihir. Kalau Nabi Muhammad ﷺ, mukjizat baginda yang terbesar adalah Al-Qur’an kerana baginda hidup di zaman manusia hebat dengan bahasa. Maka diberikan Al-Qur’an yang mengalahkan semua pemuka dalam bahasa pada zaman itu.

Sekali lagi, Allah ‎ﷻ menekankan dalam ayat ini yang kelebihan itu semuanya daripada Allah ‎ﷻ. Maka janganlah terkeliru yang kuasa itu datang daripada Nabi Isa عليه السلام pula.

 

وَأُنَبِّئُكُم بِما تَأكُلونَ

dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan

Baginda boleh beritahu mereka apa yang mereka makan sebelum itu – makan rotikah dan sebagainya.

 

وَما تَدَّخِرونَ في بُيوتِكُم

dan apa yang kamu simpan di rumah kamu.

Baginda boleh beritahu apa yang mereka sorok di rumah mereka. Macam kita sorokkan barang berharga di rumah kita juga. Ada yang diletakkan di bawah katil, bawah bantal, atau kita tebuk lubang dalam dinding, bawah lantai, mungkin berbagai-bagai cara lagi.

Baginda boleh cakap apa yang mereka disimpan di rumah mereka. Tentunya mereka terkejut kerana mereka sudah sorok baik-baik, tetapi Nabi Isa عليه السلام boleh tahu juga. Apakah baginda ada memasang CCTV di rumah mereka? Tentu tidak kerana ini adalah mukjizat Nabi Isa عليه السلام.

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لَّكُم إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda bagi kamu, jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman.

Segala semua itu adalah tanda yang jelas yang baginda adalah rasul. Kalau bukan bantuan daripada Allah ‎ﷻ, baginda tidak boleh tahu. Mukjizat sebegitu hanya diberikan kepada para Rasul sahaja.

Dalam riwayat ada disebut yang semua mukjizat itu dibuat dengan syarat. Sebelum baginda melakukan mukjizat itu, mereka kena berjanji untuk beriman kalau baginda tunjukkan. Maka, bukanlah baginda sentiasa melakukan perkara-perkara itu. Hanya sesekali sahaja dan bila perlu sebagai bukti kenabian baginda dan sebagai methode dakwah baginda.


 

Ayat 50:

وَمُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيَّ مِنَ ٱلتَّورَٮٰةِ وَلِأُحِلَّ لَكُم بَعضَ الَّذي حُرِّمَ عَلَيكُم ۚ وَجِئتُكُم بِـَٔايَةٍ مِّن رَّبِّكُم فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطيعونِ

SAHIH INTERNATIONAL

And [I have come] confirming what was before me of the Torah and to make lawful for you some of what was forbidden to you. And I have come to you with a sign from your Lord, so fear Allah and obey me.

MALAY

“Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu; dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.

 

وَمُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيَّ مِنَ ٱلتَّورَٮٰةِ

“Dan juga mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang ada di hadapanku

Nabi Isa ‎ﷻ akan membenarkan kitab wahyu yang sebelumnya. Iaitu kitab yang ada di hadapan mereka, iaitu Taurat. Nabi Isa ‎ﷻ bukan hendak mengubah kitab Taurat itu. Satu pendapat yang kuat mengatakan bahawa syari’at yang dipakai oleh Nabi Isa ‎ﷻ waktu itu adalah daripada Kitab Taurat.

 

وَلِأُحِلَّ لَكُم بَعضَ الَّذي حُرِّمَ عَلَيكُم

dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian yang telah diharamkan kepada kamu;

Baginda akan menghalalkan benda-benda yang sebelum ini diharamkan kepada Bani Israil. Sebab yang diharamkan itu adalah halal sebenarnya tetapi telah diharamkan oleh ulama’ mereka, bukannya Taurat.

Atau mungkin Allah ‎ﷻ yang mengharamkan, dan dihalalkan pula di dalam Kitab Injil. Maka ini termasuk dalam perkara nasikh mansukh. Ini membuktikan bahawa dalam Injil pun terdapat nasikh dan mansukh. Oleh itu, tidak patut kalau mereka pertikaikan hukum-hukum yang dimansukhkan di dalam Islam. Nasikh dan mansukh adalah perkara biasa sahaja di dalam agama.

Atau, seperti yang kita telah kata, mereka sendiri yang mengharamkan pada diri mereka. Maka Nabi Isa عليه السلام datang untuk menghalalkannya kembali. Sebagai contoh, Nabi Yaakub عليه السلام tidak boleh makan daging unta atas sebab-sebab kesihatan. Atau kerana baginda tidak suka rasa daging unta. Seperti kita juga, ada makanan yang kita tidak suka, maka itu merupakan perkara biasa sahaja. Yang pastinya, bukanlah Nabi Yaakub عليه السلام mengharamkan daging unta. Namun begitu kaum Yahudi mengharamkan daging unta ke atas diri mereka.

Sebahagian sahaja yang dihalalkan oleh Nabi Isa عليه السلام. Itulah penting kita lihat perkataan بَعْضَ itu yang bermaksud ‘sebahagian’. Ini penting kerana orang Kristian sudah salah faham terus. Mereka kata oleh kerana Nabi Isa عليه السلام sudah mati disalib, itu telah menyucikan segala dosa mereka, jadi mereka kata yang mereka sudah terselamat dan boleh berbuat apa-apa sahaja.

Inilah bala bagi mereka. Pada mereka, tujuan Nabi Isa عليه السلام itu disalib adalah untuk menyucikan dosa mereka, yang mereka panggil ‘Original Sins’ – Dosa Keturunan. Pada mereka, semua bayi yang dilahirkan, terus berdosa dan hanya akan hilang dosa itu jikalau menerima Jesus sebagai penyelamat. Ini amatlah bertentangan dengan fahaman agama Islam kerana semua bayi dilahirkan suci tanpa dosa sebenarnya.

 

وَجِئتُكُم بِـَٔايَةٍ مِّن رَّبِّكُم

dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa tanda dari Tuhan kamu. 

Nabi Isa عليه السلام datang dengan ayat Tuhan, bukan cakap sendiri. Baginda telah tunjukkan bukti dan dalil.

 

فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطيعونِ

Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.

Sepatutnya, dengan segala dalil dan bukti yang diberikan, mereka bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ.

Manakala tanda taqwa adalah dengan mentaati baginda. Itulah sekurang-kurangnya yang perlu dilakukan oleh umat para Nabi kepada Nabi mereka.

Inilah yang selalu dikatakan oleh semua Nabi kepada umat mereka. Begitu juga dengan Nabi Muhammad ﷺ. Oleh kerana itu, selain daripada belajar tafsir Al-Qur’an, kenalah juga belajar hadith Nabi, supaya kita tahu apakah perkara yang sunnah dalam agama.


 

Ayat 51: Inilah kesimpulan agama yang dibawa oleh Nabi Isa عليه السلام.

إِنَّ اللَّهَ رَبّي وَرَبُّكُم فَاعبُدوهُ ۗ هٰذا صِرٰطٌ مُّستَقيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Indeed, Allah is my Lord and your Lord, so worship Him. That is the straight path.”

MALAY

“Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepadaNya. Inilah jalan yang lurus”.

 

إِنَّ اللَّهَ رَبّي وَرَبُّكُم فَاعبُدوهُ

“Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepada-Nya sahaja

Nabi Isa عليه السلام pun berkata yang Allah ‎ﷻ adalah rabbnya, jadi kenapa sembah Nabi Isa ‎ﷻ? Nabi Isa عليه السلام mengingatkan umatnya untuk menghambakan diri kepada Allah ‎ﷻ sahaja, beribadat kepada Allah ‎ﷻ sahaja, jangan buat ibadat kepada selain Allah ‎ﷻ.

Ayat ini adalah ayat tauhid. Tauhid dalam ibadat dan seru. Kena cakap kepada Nasara sekarang tentang perkara ini kerana mereka telah keliru tentang agama mereka. Beritahu kepada mereka yang inilah yang Nabi Isa عليه السلام faham dan ajar, bukannya seperti yang diajar kepada mereka sekarang.

 

هٰذا صِرٰطٌ مُّستَقيمٌ

Inilah jalan yang lurus”.

Kitalah yang kena beritahu kepada mereka supaya jelas agama ini kepada mereka kerana inilah sahaja jalan yang lurus. Mereka keliru sebab tidak belajar sahaja sebab mereka telah diajar benda yang salah semenjak kecil lagi. Begitu juga orang-orang kita yang tidak belajar agama dengan betul, tidak dipandu oleh kefahaman wahyu.

Oleh itu, jalan yang lurus adalah menghambakan diri hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja, ibadat kepada Allah ‎ﷻ sahaja, seru kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Inilah tafsir bagi maksud ‘Jalan yang Lurus’ yang kita minta dalam Surah Fatihah yang setiap hari kita baca. Kita minta dipandu kepada jalan yang lurus, maka ketahuilah yang jalan yang lurus adalah menghambakan, ibadat dan seru hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Selain dari itu, bukan jalan yang lurus.


 

Ayat 52: Ini adalah jenis Ayat Idmaj. Maksudnya ada kisah panjang lagi sebelum ayat ini (yang perlu ditambah untuk menjelaskan maksud ayat ini).

۞ فَلَمّا أَحَسَّ عيسىٰ مِنهُمُ الكُفرَ قالَ مَن أَنصاري إِلَى اللَّهِ ۖ قالَ الحَوارِيّونَ نَحنُ أَنصارُ اللَّهِ ءآمَنّا بِاللَّهِ وَاشهَد بِأَنّا مُسلِمونَ

SAHIH INTERNATIONAL

But when Jesus felt [persistence in] disbelief from them, he said, “Who are my supporters for [the cause of] Allah ?” The disciples said,” We are supporters for Allah . We have believed in Allah and testify that we are Muslims [submitting to Him].

MALAY

Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah dia:” Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?”. Orang-orang “Hawariyyuun” (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: “Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah).

 

فَلَمّا أَحَسَّ عيسىٰ مِنهُمُ الكُفرَ

Maka ketika Nabi Isa merasa akan kekufuran daripada mereka

Apabila Nabi Isa عليه السلام membawakan dakwah tauhid, maka pemuka Yahudi telah menentang baginda kerana mereka telah rasa terancam sampai mereka membuat perancangan untuk membunuh baginda. Namun begitu, mereka tidak boleh menjalankan perancangan itu sendirian kerana puak Yahudi waktu itu berada di bawah takluk kerajaan Rom yang syirik. Maksudnya, bukanlah mereka yang memerintah.

Kerajaan Rom adalah kerajaan yang berfahaman syirik. Bukan kerajaan Rom sahaja yang musyrik kerana mereka waktu itu sendiri adalah Musyrikin kerana mereka memuja Nabi Uzair عليه السلام sebagai anak Allah ‎ﷻ. Mereka puja baginda hanya kerana Nabi Uzair عليه السلام boleh menghafal Kitab Taurat. Kiranya pada waktu itu hebat sangat kalau boleh menghafal Kitab Taurat sampai mereka memuja baginda sebagai anak tuhan. Padahal zaman sekarang orang Islam ramai sahaja yang boleh menghafal 30 juzuk Al-Qur’an.

Maka kerana bimbangkan pengaruh tauhid yang dibawa oleh Nabi Isa عليه السلام, mereka telah membuat cerita untuk mentohmah Nabi Isa عليه السلام kepada kerajaan Rom. Mereka menuduh Nabi Isa عليه السلام dan pengikut baginda telah merancang untuk menggulingkan kerajaan Rom dan Nabi Isa عليه السلام hendak menjadi raja. Waktu itu hukuman kepada cubaan mengguling kerajaan pada waktu itu adalah dipalang (salib).

 

قالَ مَن أَنصاري إِلَى اللَّهِ

berkatalah dia:” Siapakah penolong-penolongku kepada Allah?

Allah ‎ﷻ telah memberikan wahyu kepada baginda bahawa terdapat perancangan untuk membunuh baginda. Ataupun Nabi Isa عليه السلام sudah dapat merasa dan itulah maksud perkataan أَحَسَّ itu. Maka Nabi Isa عليه السلام telah bertanya kepada pengikutnya, siapakah yang akan menjadi pembantunya? Siapakah yang mahu menjadi pembela agama yang taat setia?

Dalam ayat ini, Nabi عليه السلام mengajak mereka menjadi pembantu baginda di dalam menegakkan agama Allah ﷻ, iaitu agama yang mentauhidkan Allah ﷻ.

 

قالَ الحَوارِيّونَ نَحنُ أَنصارُ اللَّهِ

Orang-orang “Hawariyyuun” (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: “Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. 

Ada 12 orang hawariyyun yang sedia membantu baginda. Perkataan hawari itu ada yang mengatakannya berasal daripada kata yang bermaksud ‘nelayan’ kerana waktu itu di Jerusalem ramai nelayan. Ada juga yang kata ia daripada perkataan ‘basuh’ yang bermaksud mereka itu adalah tukang cuci (tukang dobi) yang kerjanya mengambil upah membasuh pakaian.

Maknanya mereka itu daripada golongan bawahan. Tapi merekalah yang sanggup untuk menjadi pengikut kepada Nabi Isa عليه السلام dan sanggup membantu baginda menyebarkan agama dan mempertahankan baginda. Memang sudah kebiasaan sunnah, pengikut para Nabi selalunya adalah golongan bawahan.

Ada juga yang mengatakan bilangan hawariyyun itu tidak disebut dalam riwayat Islam. Yang dikatakan 12 orang itu adalah daripada kisah israeliyat sahaja. Allahu a’lam.

Daripada riwayat, ada disebut yang pemuka Yahudi yang jahatlah yang datang masuk mencari Nabi Isa عليه السلام untuk menangkap baginda. Kerana apabila orang Rom hendak menangkap Nabi Isa عليه السلام (selepas dikatakan baginda hendak menjatuhkan kerajaan Rom) mereka kata mereka tidak mengenali bagaimana rupa Nabi Isa عليه السلام kerana bagi mereka, sama sahaja rupa baginda dan pengikut-pengikutnya.

Oleh itu, ada seorang yang sanggup menjadi tukang pengecam siapa Nabi Isa عليه السلام. Dia kata dia yang akan masuk dahulu dan dia akan panggil Nabi Isa عليه السلام dan orang Rom waktu itu bolehlah menangkap baginda selepas itu iaitu selepas tahu mana satu baginda. Itu adalah rancangan mereka.

Tapi pada waktu itu Allah ‎ﷻ telah mengangkat Nabi Isa عليه السلام ke langit. Waktu itulah juga, Allah ‎ﷻ telah menukarkan wajah ketua Yahudi yang jahat itu (yang hendak mengecam baginda) jadi menyerupai wajah Nabi Isa عليه السلام. Pengikut yang lain nampak rupanya memang seperti Nabi Isa عليه السلام, maka mereka memanggil orang itu dengan panggilan Nabi Isa عليه السلام. Maka akhirnya dialah yang ditangkap oleh orang Rom dan kemudian dia pula yang dipalang.

Puak Yahudi yang jahat telah membuat propaganda yang mereka telah membunuh Nabi Isa عليه السلام. Namun terdapat satu kekeliruan, ke manakah hilangnya lelaki yang masuk mencari Nabi Isa عليه السلام itu? Tidak ada dikatakan yang dia dijumpai selepas itu (tidak disebut dalam sejarah). Tapi mereka sudah tidak kisah lagi sebab bagi mereka, yang paling penting adalah mereka sudah berjaya menangkap Nabi Isa عليه السلام. Itulah yang mereka canang-canangkan.

Penganut Kristian turut diperbodohkan sampai mereka terima cerita yang Nabi Isa عليه السلام mati disalib dan mereka pegang sehingga ke hari ini. Mereka tambah pula dalam akidah agama mereka, yang Nabi Isa عليه السلام disalib itu untuk menebus dosa keturunan daripada Nabi Adam عليه السلام (Original Sins kerana memakan pokok larangan).

Maknanya mereka itu ikut sahaja kata orang lain tanpa usul periksa. Mereka itu kalau dalam pepatah Arab, dikatakan ‘bodoh macam keldai’. Ini kerana keldai itu hanya ikut sahaja arahan manusia. Itulah bahayanya kalau tidak belajar agama, ikut sahaja tanpa usul periksa. Padahal sepatutnya kita kena ikut dalil. Itulah yang dipanggil ittiba‘ – ikut dengan mengetahui dan memahami dalil.

Kalau ikut tanpa tahu dalil, itu dinamakan taklid. Apabila bertaklid, ia boleh menjadi baik, namun boleh juga menjadi punah, macam-macam boleh jadi. Ini kerana kita tidak tahu sama ada orang yang kita ikut itu benar atau tidak. Jadi kenalah kita ittiba’ iaitu mengikut orang yang boleh memberikan dalil.

Dalil itu pula mestilah wahyu, bukannya hujah manusia dan bukan hujah akal. Dalam Al-Qur’an pun, kalau disuruh kita ikut, perkataan yang digunakan adalah ittiba‘. Nanti dalam ayat selepas ini akan disebut kalimah ittiba’ ini.

Maka kenalah belajar agama untuk mengetahui dalil itu. Bukan payah pun untuk belajar dan untuk faham. Agama ini mudah sahaja sebenarnya. Yang buat payah itu adalah kerana perkara-perkara bid’ah yang ditambah-tambah. Tidak ada alasan untuk tidak belajar Al-Qur’an dan hadith sedangkan benda-benda lain, kita boleh pula belajar sampai ke universiti, sampai ada ke tahap PHD atau sekurang-kurangnya sampai ke darjah enam.

12 hawariyyun itulah yang menegakkan agama Allah‎ ﷻ sepeninggalan Nabi Isa عليه السلام. Mereka menegakkan agama dan menyebarkan agama dengan cara senyap dan tersembunyi sebab takut mereka akan dibunuh. Oleh kerana dakwah dan ajaran agama pada waktu itu dengan cara sembunyi-sembunyi, maka maklumat agama terhalang kepada manusia yang kebanyakan, maka ramai yang tidak tahu.

Disebabkan itulah banyak salah faham terjadi dalam agama Kristian kerana mereka disuap dengan ajaran agama yang salah. Sedangkan, masih ada syari’at lagi pada waktu itu. Maknanya syari’at pada waktu itu sebelum dinaikkan Nabi Muhammad ﷺ sebagai Nabi, adalah kitab Injil. Maka sesiapa yang tidak beriman dengan kitab Injil pada waktu itu, maka dia adalah kufur.

Ketika Nabi Isa عليه السلام dapat tahu ada dalam kalangan halaqah baginda itu yang ingkar dengan ajaran tauhid dan akan membelot, maka baginda meminta tolong sesiapa yang boleh membantu baginda. Jadi kalau sampai perlu untuk meminta tolong, maka jelaslah itu adalah sifat manusia, bukannya sifat ‘anak tuhan’ atau tuhan sendiri. Oleh itu, ini menunjukkan bahawa Nabi Isa عليه السلام hanya seorang Nabi dan Rasul sahaja.

 

ءآمَنّا بِاللَّهِ وَاشهَد بِأَنّا مُسلِمونَ

Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam

12 Hawariyyun itu telah bersedia untuk membantu baginda. Mereka mengaku beriman dan percaya kepada tauhid. Maknanya mereka sanggup menyerah diri membela agama.

Mereka meminta Nabi Isa عليه السلام menjadi saksi yang mereka menyerahkan diri mereka kepada Allah ‎ﷻ.


 

Ayat 53: Ayat ini adalah sambungan kepada kisah Hawariyyun yang sanggup membantu Nabi Isa عليه السلام dalam dakwah baginda. Setelah mereka menyatakan kesanggupan mereka, sekarang diberitahu yang mereka bermunajat pula kepada Allah ‎ﷻ.

Oleh itu ini mengajar kita, kita mula-mula kena sanggup dahulu, dan selepas itu apa yang terjadi, kita kena doa minta tolong kepada Allah ﷻ. Perjuangan memerlukan kesanggupan dan permohonan doa kepada Allah ‎ﷻ. Harapan mesti diletakkan 100% kepada Allah ‎ﷻ kerana tanpa pertolongan Allah ‎ﷻ, maka tidak ada harapan.

رَبَّنا ءآمَنّا بِما أَنزَلتَ وَاتَّبَعنَا الرَّسولَ فَاكتُبنا مَعَ الشّٰهِدينَ

SAHIH INTERNATIONAL

Our Lord, we have believed in what You revealed and have followed the messenger Jesus, so register us among the witnesses [to truth].”

MALAY

“Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikut RasulMu; oleh itu suratkanlah kami beserta orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui keesaanMu dan kebenaran RasulMu)”.

 

رَبَّنا ءآمَنّا بِما أَنزَلتَ

“Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan,

Sebelum ini mereka minta Nabi Isa عليه السلام menjadi saksi namun dalam ayat ini mereka terus mengaku dengan Allah ‎ﷻ yang mereka telah beriman dengan wahyu yang Allah ‎ﷻ turunkan. Memang kita kena terus sahaja cakap dengan Allah ‎ﷻ dan tidak perlu perantaraan.

 

وَاتَّبَعنَا الرَّسولَ

dan kami mengikut Rasul

Mereka kata mereka telah ikut Nabi Isa عليه السلام. Mereka kata mereka ittiba’ dengan baginda. Maknanya mereka ikut dengan rela, dengan cinta dan ikut dengan tepat. Dan itulah maksud ittiba’. Selain itu juga, tidak menambah-nambah ajaran yang diberikan oleh Nabi.

Inilah yang dikehendaki daripada kita – ikut sahaja dan jangan ditambah-tambah dalam agama. Jangan amalkan amalan bid’ah langsung. Jadi untuk tahu apakah yang bid’ah dan tidak, kena belajar untuk membezakan manakah yang bid’ah dan mana yang sunnah.

Maknanya mereka bersetuju untuk taat kepada arahan Rasul mereka.

 

فَاكتُبنا مَعَ الشّٰهِدينَ

oleh itu tuliskanlah kami berserta orang-orang yang menjadi saksi

Sebelum ini mereka meminta Nabi Isa عليه السلام menjadi saksi yang mereka adalah Muslim, sekarang mereka meminta Allah ‎ﷻ sendiri yang menjadi saksi. Mereka meminta Allah ‎ﷻ tuliskan mereka sebagai orang yang bersaksi sebagai Muslim.


 

Ayat 54: Sekarang kita lihat tentang pihak lawan pula.

وَمَكَروا وَمَكَرَ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيرُ المٰكِرينَ

SAHIH INTERNATIONAL

And the disbelievers planned, but Allah planned. And Allah is the best of planners.

MALAY

Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itu pun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.

 

وَمَكَروا وَمَكَرَ اللَّهُ

Dan mereka merancang tipu daya dan Allah pun merancang

Ini adalah tentang rancangan pemuka Yahudi yang jahat. Mereka telah membuat rancangan yang halus dan terperinci. Kalimah مَكَرَ tidak semestinya untuk rancangan yang jahat sahaja. Cuma dalam ayat ini mengenai rancangan jahat mereka untuk membunuh Nabi Isa عليه السلام.

Mereka menghasut Raja Rom dengan menuduh Nabi Isa عليه السلام dan kumpulan baginda membuat perancangan untuk mengguling kerajaan. Mereka hendak membunuh Nabi Isa عليه السلام tetapi tidak mampu untuk membunuhnya sendiri. Maka ‘orang dalam’ yang duduk bersama dengan halaqah Nabi Isa عليه السلام sendiri telah menjadi dalang semata-mata  untuk menjadi saksi (saksi palsu) yang kononnya Nabi Isa عليه السلام ada berkata sesuatu yang boleh dijadikan sebagai bukti baginda ingin menggulingkan kerajaan Rom.

Perkara sebegini biasa juga berlaku pada zaman sekarang. Ada yang sanggup menjadi tali barut, ‘api dalam sekam’ demi untuk mengalahkan pergerakan umat Islam.

Allah ‎ﷻ pula merancang dan tentunya Allah ‎ﷻ lebih licik lagi dalam merancang.

 

وَاللَّهُ خَيرُ المٰكِرينَ

dan Allah sebaik-baik yang merancang

Rancangan mereka belum tentu berjaya tetapi rancangan Allah ‎ﷻ sudah pasti akan berjaya. Akhirnya nanti Allah ‎ﷻ memberikan keselamatan kepada Nabi Isa عليه السلام.

Maka kerana itu kita hendaklah bergantung sahaja kepada Allah ‎ﷻ. Orang kafir yang menjadi musuh Islam mungkin banyak rancangan mereka hendak menjatuhkan Islam, yang kita pun tidak tahu. Apa lagi yang kita boleh buat selain daripada mengharap dan menyerahkan segala urusan kepada Allah ‎ﷻ?

Ingatlah bahawa rancangan mereka tidak akan berjaya kalau Allah ‎ﷻ tidak benarkan. Jadi tidak perlu sibukkan diri kita dengan teori konspirasi yang berbagai-bagai jenis itu. Kita serahkan sahaja urusan kita dan urusan mereka kepada Allah ﷻ. Bukankah ini lebih mudah?

 

Allahu a’lam. Sambung kepada ayat seterusnya

Kemaskini: 7 Mac 2021


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir al-Azhar – Hamka

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 40 – 48 (Kisah kelahiran Nabi Yahya)

Ayat 40: Ini adalah tentang sifat manusia yang gopoh hendak mengetahui.

Setelah diberikan dengan berita yang baginda sendiri yang minta sebelumnya (anak), terus Nabi Zakaria عليه السلام hendak tahu maklumat lebih lagi. Sebagaimana seorang businessman yang masuk tender kerajaan… setelah diberitahu yang dia memenangi tender, tentulah soalan seterusnya yang dia akan tanya adalah: bila boleh dapat Surat Tawaran?

Ini adalah sifat normal manusia, begitu juga dengan para Nabi. Mereka pun hendak tahu juga dengan segera pemberian dari Allah ﷻ.

قالَ رَبِّ أَنّىٰ يَكونُ لي غُلٰمٌ وَقَد بَلَغَنِيَ الكِبَرُ وَامرَأَتي عاقِرٌ ۖ قالَ كَذٰلِكَ اللَّهُ يَفعَلُ ما يَشاءُ

SAHIH INTERNATIONAL

He said, “My Lord, how will I have a boy when I have reached old age and my wife is barren?” The angel said, “Such is Allah ; He does what He wills.”

MALAY

Nabi Zakaria berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?”, Malaikat menjawab: “Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya”.

 

قالَ رَبِّ أَنّىٰ يَكونُ لي غُلٰمٌ

Nabi Zakaria berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, 

Sekarang Nabi Zakaria عليه السلام hendak tahu alamat (tanda) yang isteri baginda sedang mengandung. Soalan daripada Nabi Zakaria عليه السلام ini bukanlah kerana baginda tidak percaya dengan janji Allah ﷻ. Jangan kita salah faham pula kerana seorang Nabi tentunya sudah yakin dengan Allah ‎ﷻ. Baginda sudah percaya kepada janji Allah ‎ﷻ tetapi yang baginda hendak tahu ‘cara bagaimana’ baginda akan mendapat anak.

Ini sama sahaja bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام minta supaya Allah ﷻ tunjukkan bagaimana Dia menghidupkan yang telah mati. Ini adalah kerana apabila ada ilmu, maka ia akan memberi ketenteraman kepada kita dan ini lebih molek.

Lihatlah juga dalam ayat ini, Nabi Zakaria tanya terus dengan Allah ‎ﷻ. Padahal berita gembira itu disampaikan oleh malaikat tetapi apabila hendak bertanya, baginda tanyakan terus pada Allah ‎ﷻ. Ini kerana baginda tahu, malaikat itu hanya penyampai sahaja, tidak boleh berbuat lebih daripada itu.

Maka begitulah, ini mengajar kita supaya tidak bertawasul dalam berkomunikasi dengan Allah ‎ﷻ. Kalau doa, doa terus sahaja kepada Allah ‎ﷻ. Tak perlu pakai broker (orang tengah) dalam berdoa kerana Allah ﷻ maha mendengar doa kita.

 

وَقَد بَلَغَنِيَ الكِبَرُ وَامرَأَتي عاقِرٌ

padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?”,

Baginda hendak tahu bagaimana cara baginda akan mendapat anak itu kerana baginda sedar yang baginda sudah tua (dalam riwayat dikatakan bahawa baginda sudah berumur 120 tahun). Maka memang baginda sangat tua dan kalau dalam keadaan normal seorang lelaki, tidak ada harapan untuk mendapat anak lagi.

Dan yang lebih pelik lagi, isterinya pula tidak pernah melahirkan anak (boleh dikatakan seorang yang mandul). Jadi, baginda tertanya-tanya, bagaimanakah caranya baginda akan mendapat anak? Adakah baginda kena berkahwin lain kerana isterinya mandul, atau Allah ‎ﷻ akan menjadikannya muda dan sihat semula? Atau baginda akan diberikan dengan isteri yang baru?

 

قالَ كَذٰلِكَ اللَّهُ يَفعَلُ ما يَشاءُ

Malaikat menjawab: “Dengan keadaan kamu sekarang, Allah melakukan apa yang dikehendaki-Nya”.

Allah ‎ﷻ jawab yang anak itu akan dikurniakan kepada baginda dengan keadaan baginda waktu itu. Allah ‎ﷻ tidak perlu menukar isteri baginda, Allah ‎ﷻ juga tidak perlu menjadikan baginda muda semula.

Ini kerana Allah ‎ﷻ tidak perlu mengikut peraturan sesuatu proses untuk menjadikan sesuatu. Kita sebagai manusia, memanglah kena mengikut proses adat kejadian. Nak buat sesuatu kena keadaan sempurna baru ia menjadi. Tapi Allah ‎ﷻ boleh melakukan semua perkara yang menyalahi adat. Malah adat kejadian itu pun Allah ‎ﷻ yang buat, maka Allah ﷻ boleh sahaja nak ganti.


 

Ayat 41: Ini adalah soalan seterusnya daripada Nabi Zakaria عليه السلام. Baginda terlalu gembira tidak terhingga. Maka baginda hendak tahu lebih lagi – sekarang hendak tahu ‘bila’ pula.

قالَ رَبِّ اجعَل لّي ءآيَةً ۖ قالَ ءآيَتُكَ أَلّا تُكَلِّمَ النّاسَ ثَلٰثَةَ أَيّامٍ إِلّا رَمزًا ۗ وَاذكُر رَبَّكَ كَثيرًا وَسَبِّح بِالعَشِيِّ وَالإِبكٰرِ

SAHIH INTERNATIONAL

He said, “My Lord, make for me a sign.” He Said, “Your sign is that you will not [be able to] speak to the people for three days except by gesture. And remember your Lord much and exalt [Him with praise] in the evening and the morning.”

MALAY

Nabi Zakaria berkata lagi: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda (yang menunjukkan isteriku mengandung)”. Allah berfirman: “Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam) melainkan dengan isyarat sahaja; dan ingatlah kepada Tuhanmu (dengan berzikir) banyak-banyak, dan bertasbihlah memuji Allah (dengan mengerjakan sembahyang), pada waktu malam dan pada waktu pagi”.

 

قالَ رَبِّ اجعَل لّي ءآيَةً

Nabi Zakaria berkata lagi: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda

Nabi Zakaria عليه السلام hendak tahu pula tanda yang isterinya akan melahirkan anak, atau tanda bila isterinya akan mengandung.

Bukanlah baginda gopoh tetapi dikatakan yang baginda ingin tahu supaya selepas dapat tanda itu, baginda boleh bersyukur banyak-banyak kepada Allah ‎ﷻ di atas kurniaan yang besar itu.

Atau baginda minta tanda bilakah isterinya akan mengandung supaya baginda boleh membuat persiapan sambut anak.

 

قالَ ءآيَتُكَ أَلّا تُكَلِّمَ النّاسَ ثَلٰثَةَ أَيّامٍ إِلّا رَمزًا

Allah berfirman: “Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari melainkan dengan isyarat sahaja; 

Allah ﷻ beritahu bahawa tanda yang isterinya akan mengandung adalah lidah baginda akan menjadi kelu selama tiga hari. Baginda hanya boleh berkomunikasi dengan umat baginda menggunakan isyarat tangan sahaja. Iaitu macam orang bisu.

 

وَاذكُر رَبَّكَ كَثيرًا

dan ingatlah kepada Tuhanmu banyak-banyak, 

Allah ‎ﷻ menyuruh baginda mengingati Allah ‎ﷻ dalam hati (kerana lidah sudah kelu tidak boleh berkata). Zikir dalam hati pun dikira zikir juga.

 

وَسَبِّح بِالعَشِيِّ وَالإِبكٰرِ

dan bertasbihlah pada waktu malam dan pada waktu pagi”.

Baginda disuruh bertasbih juga membersihkan nama Allah ‎ﷻ daripada segala sifat syirik dan kekurangan.

Kalimah العَشِيِّ bermaksud waktu dari waktu Zuhur ke Maghrib.

Kalimah الإِبكارِ pula adalah waktu pagi dari waktu Fajar ke Dhuha. Waktu-waktu ini adalah waktu yang amat molek untuk berzikir dan beribadat kepada Allah ‎ﷻ.

Maksudnya: hendaklah kepada Allah ﷻ sepanjang hari.

Tafsir lain:

Zikir: ingat dengan hati

Tasbih: sebut dengan lidah


 

Ayat 42: Selepas menceritakan tentang kejadian ajaib yang berlaku kepada Nabi Zakariya, Allah beralih pula kepada kisah Maryam. Nabi Zakariya mendapat anak di usia yang lanjut, itu sudah pelik. Tapi lebih ajaib lagi adalah kisah Maryam dan kelahiran Nabi Isa a.s. tanpa ayah.

Maryam adalah seorang wanita yang mulia dan ditinggikan kedudukannya. Beliau adalah seorang wali Allah ﷻ. Tetapi salah faham tentang kedudukan Maryam telah menyebabkan separuh dari manusia di dunia ini (penganut Kristian) telah kufur dengan menyeru beliau.

Ini kerana kelahiran Maryam yang pelik. Dan memang kebanyakan manusia akan terkesan dengan perkara yang ajaib. Ini kerana mereka tidak biasa dengar. Maka manusia perlu dibiasakan dengan perkara yang di luar kebiasaan. Maka kena biasakan baca dan belajar tafsir Al-Qur’an supaya biasa sahaja dengan perkara-perkara pelik kerana dalam Al-Qur’an memang selalu disebut.

Allah berfirman dalam ayat ini untuk memberitahu kita bahawa beliau adalah manusia biasa sahaja. Memang beliau seorang yang mulia tapi masih lagi seorang manusia, jadi tidak boleh diseru dan dipuja. Ini kerana tidak ada sifat ilah pada beliau.

وَإِذ قالَتِ ٱلمَلَـٰٓٮِٕڪَةُ يٰمَريَمُ إِنَّ اللَّهَ اصطَفٰكِ وَطَهَّرَكِ وَاصطَفٰكِ عَلىٰ نِساءِ العٰلَمينَ

SAHIH INTERNATIONAL

And [mention] when the angels said, “O Mary, indeed Allah has chosen you and purified you and chosen you above the women of the worlds.

MALAY

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: “Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).

 

وَإِذ قالَتِ ٱلمَلَـٰٓٮِٕڪَةُ

Dan ingatlah ketika malaikat berkata:

Malaikat bercakap dengan Maryam dengan cara ilham kerana beliau bukan Nabi. Ulama’ hampir sepakat mengatakan tidak ada Nabi dan Rasul dari kalangan wanita. Jadi tidaklah malaikat bercakap terus dengan Maryam. Kita tidak tahu cara bagaimana komunikasi itu berlaku.

 

يٰمَريَمُ إِنَّ اللَّهَ اصطَفٰكِ وَطَهَّرَكِ

“Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu,

Allah sendiri telah memilih Maryam menjadi manusia yang beriman dan taat. Allah pilih beliau kerana kesucian yang ada pada Maryam. Allah pilih dia dari dia kecil lagi. Ada orang, apabila sudah dewasa baru dipilih, tapi Maryam dari kecil lagi. Ini adalah satu kedudukan yang tinggi sekali.

Allah menyucikan Maryam dari perkara-perkara yang tidak elok dalam hal agama. Beliau dari kecil lagi terpelihara dari melakukan dosa-dosa besar.

 

وَاصطَفٰكِ عَلىٰ نِساءِ العٰلَمينَ

dan telah memilihmu melebihi perempuan-perempuan seluruh alam

Allah pilih Maryam setelah beliau baligh, menjadi perempuan yang paling mulia pada zamannya. Itu adalah kedudukan yang tinggi. Jadi sebelum baligh beliau dijaga, dan selepas baligh beliau diberi kedudukan yang tinggi.

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah yang pilih Maryam menjadi makhluk yang taat. Bukannya Maryam itu salah satu ilah yang boleh dipuja. Inilah kekeliruan yang hendak diperjelaskan oleh Allah.


 

Ayat 43:

يٰمَريَمُ اقنُتي لِرَبِّكِ وَاسجُدي وَاركَعي مَعَ الرّٰكِعينَ

SAHIH INTERNATIONAL

O Mary, be devoutly obedient to your Lord and prostrate and bow with those who bow [in prayer].”

MALAY

“Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-orang yang rukuk “.

 

يٰمَريَمُ اقنُتي لِرَبِّكِ

“Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu,

Allah yang pilih Maryam menjadi seorang yang taat kepada Allah. Allah perintah dia jadi taat, iaitu dengan jaga hukum.

 

وَاسجُدي وَاركَعي مَعَ الرّٰكِعينَ

dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-orang yang rukuk “.

Maryam perlu melakukan solat berjemaah bersama dengan orang lain. Kenapa dia kena solat berjemaah? Sebab dia tinggal di masjid, maka kena solat bersama dengan orang lain.

Disebut rukuk dalam ayat ini sebagai isyarat kepada ‘solat’, kerana kalau sebut ‘sujud’, tidak dikira solat lagi kerana sujud itu boleh dilakukan luar solat. Sebagai contoh, sujud syukur dan sujud tilawah boleh dilakukan di luar solat.

Disebut sujud dahulu kerana ibadah Yahudi adalah sujud selepas qiyam. Mereka tidak ada rukuk. Qiyam, rukuk dan sujud itu ada di dalam ibadat solat umat Nabi Muhammad.

Tafsir lain: rukuk itu bermaksud pergaulan, taat setia dan rendah diri dengan orang-orang lain di dalam masyarakat.


 

Ayat 44:

ذٰلِكَ مِن أَنباءِ الغَيبِ نوحيهِ إِلَيكَ ۚ وَما كُنتَ لَدَيهِم إِذ يُلقونَ أَقلٰمَهُم أَيُّهُم يَكفُلُ مَريَمَ وَما كُنتَ لَدَيهِم إِذ يَختَصِمونَ

SAHIH INTERNATIONAL

That is from the news of the unseen which We reveal to you, [O Muhammad]. And you were not with them when they cast their pens as to which of them should be responsible for Mary. Nor were you with them when they disputed.

MALAY

Peristiwa yang demikian ialah sebahagian dari berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka mencampakkan qalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah di antara mereka yang akan memelihara Maryam. Dan engkau juga (wahai Muhammad) tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka berkelahi (tentang perkara menjaga dan memelihara Maryam).

 

ذٰلِكَ مِن أَنباءِ الغَيبِ نوحيهِ إِلَيكَ

Peristiwa yang demikian ialah sebahagian dari berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad),

Yang telah disampaikan ini semua adalah cerita yang manusia tak boleh tahu melainkan kalau Allah yang beri wahyu. Ia tidak boleh dicari dengan akal. Ini adalah sebagai dalil tsabitnya Nabi Muhammad itu seorang Nabi.

Semua orang pada zaman itu tahu yang Nabi tidak belajar dengan sesiapa. Baginda dikenali tidak pergi ke mana-mana pun pada jangkamasa yang lama. Kalau baginda ada hilang setahun dua, barulah boleh kata baginda ada pergi berguru dengan orang lain. Tapi sepanjang hidup baginda, baginda ada di Mekah sahaja. Kalau pergi mengembara kerana berdagang pun, baginda pergi dengan orang lain yang tahu gerak-geri baginda dan apa yang baginda lakukan sepanjang perjalanan itu.

Jadi baginda tidak dapat kisah ini melainkan dari wahyu daripada Allah. Dan kisah ini tentunya menyebabkan wakil Nasara dari Najran terkejut kerana maklumat ini tidak ramai yang tahu. Kalau penganut Kristian yang biasa pun tidak tahu kisah-kisah yang telah dibacakan oleh Nabi Muhammad itu. Kerana kisah-kisah sebegini hanya ada pada mereka yang berkedudukan tinggi dalam agama mereka sahaja.

 

وَما كُنتَ لَدَيهِم إِذ يُلقونَ أَقلٰمَهُم أَيُّهُم يَكفُلُ مَريَمَ

sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka mencampakkan qalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah di antara mereka yang akan memelihara Maryam.

Dari sini kita dapat tahu yang ramai yang berebut nak pelihara Maryam semasa beliau kecil. Punyalah ramai berebut sampai kena dibuat undian. Caranya adalah, masing-masing yang mahu memelihara Maryam perlu mencampak qalam (pen) mereka ke dalam air. Pada qalam itu ditulis nama mereka.

Dan telah ditakdirkan hanya qalam Nabi Zakariya sahaja yang timbul dan tidak hanyut. Ini adalah mukjizat yang diberikan kepada Nabi Zakariya. Kerana Allah sendiri yang hendak Nabi Zakariya menjaga Maryam.

 

وَما كُنتَ لَدَيهِم إِذ يَختَصِمونَ

Dan engkau juga (wahai Muhammad) tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka berkelahi

Allah mengatakan yang Nabi Muhammad tidak ada ketika mereka berbantah-bantah tentang siapakah yang layak menjaga Maryam. Kerana masing-masing hendak menjaga beliau.

Memanglah Nabi Muhammad tidak ada waktu itu tapi baginda boleh beritahu kisah kejadian itu sekarang, sebab baginda dapat wahyu dari Allah. Ini hendak menegaskan kepada manusia terutama Kristian Najran itu bahawa memang tsabit baginda adalah seorang Nabi.


 

Ayat 45:

إِذ قالَتِ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ يٰمَريَمُ إِنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةٍ مِّنهُ اسمُهُ المَسيحُ عيسَى ابنُ مَريَمَ وَجيهًا فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ وَمِنَ المُقَرَّبينَ

SAHIH INTERNATIONAL

[And mention] when the angels said, “O Mary, indeed Allah gives you good tidings of a word from Him, whose name will be the Messiah, Jesus, the son of Mary – distinguished in this world and the Hereafter and among those brought near [to Allah ].

MALAY

(Ingatlah) ketika malaikat berkata: “Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan dia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah).

 

إِذ قالَتِ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ

ketika malaikat berkata:

Malaikat masih berkomunikasi dengan Maryam dengan cara ilham (bukan dengan cara wahyu).

 

يٰمَريَمُ إِنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةٍ مِّنهُ اسمُهُ المَسيحُ عيسَى ابنُ مَريَمَ

“Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan Kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, 

Malaikat memberitahu kepada Maryam bahawa akan terjadi anak dalam perut Maryam, dengan lafaz kun fayakun (Jadi, maka jadilah). Itulah lafaz ‘Kalimah Allah’ yang dimaksudkan.

Maknanya bayi itu akan terjadi dengan lafaz titah dari Allah. Ianya adalah karamah Maryam dan Mukjizat Nabi Isa a.s. Maka telah jelas yang Nabi Isa dilahirkan tanpa bapa.

Nama baginda pun telah siap diberi oleh Allah. Nama ini adalah satu kelainan kerana tidak pernah nama seseorang dibinkan kepada nama emaknya. Kecuali Nabi Isa sahaja. Maka, kalau ada amalan yang menggunakan nama emak, seperti dalam perbomohan dan pembacaan talqin, kita tidak pasti dari manakah datangnya ajaran pelik itu.

Ayat ini adalah antara ayat yang digunakan oleh orang Kristian untuk mengelirukan umat Islam yang jahil. Kristian kata, lihatlah dalam Al-Qur’an sendiri mengaku yang Nabi Isa itu adalah ‘Kalam’, dan ‘Kalam’ itu adalah Allah.

Itu adalah pandangan yang sesat. Kalimah yang dimaksudkan adalah kalimah Kun Fayakun. Sebenarnya, semua makhluk Allah jadikan dengan Kun Fayakun, bukannya Nabi Isa sahaja. Cuma Allah sebut khusus kepada Nabi Isa kerana baginda dijadikan dengan cara lain sedikit, di mana baginda tidak ada bapa.

Maka Allah nak beritahu yang sama sahaja semua kejadian, Allah juga yang jadikan. Walaupun nampak manusia lain lahir hasil dari persenyawaan lelaki dan perempuan, tapi sebenarnya Allah juga yang menjadikannya dengan lafaz kun fayakun.

Perkataan al-Masih adalah gelaran khas bagi Nabi Isa. Asalnya dari bahasa Ibrani yang bermaksud ‘diperciki dengan minyak’ (The anointed one). Ianya dilakukan kepada raja-raja yang dinobatkan, di mana mereka akan dipalit dengan minyak.

Menurut kepercayaan Bani Israil, setelah mangkatnya raja mereka yang besar, iaitu Nabi Daud dan Nabi Sulaiman, akan datang lagi raja mereka yang besar, yang akan mendirikan kembali kerajaan Bani Israil. Raja yang dimaksudkan adalah Nabi Isa, iaitu raja yang memperbaiki jiwa yang rosak.

Tetapi pendita Yahudi tidak menerima kenabian baginda. Kerana Nabi Isa telah menegur kesalahan-kesalahan mereka yang telah mengubah kandungan Kitab Taurat. Mereka marah sangat kepada baginda sampaikan mereka buat tohmahan yang Nabi Isa hendak mengambil alih kerajaan Rom. Oleh kerana mereka tidak menerima Nabi Isa, maka sampai sekarang mereka masih menunggu kedatangan raja itu.

 

وَجيهًا فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat,

Terkenal lagi dimuliakan di dunia kerana baginda adalah seorang Nabi. Bagindalah Nabi terakhir sehinggalah Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul.

Dan baginda akan terkenal kembali nanti apabila baginda turun semula nanti.

Perkataan وَجيهًا datang dari perkataan ‘wajah’. Kalau seseorang itu anak haram, tentunya malu nak tunjuk wajah di khalayak ramai. Tapi Nabi Isa bukanlah anak haram, jadi tidak perlu baginda malu dengan kedudukan baginda. Kita sebut di sini kerana ada pihak yang mengatakan baginda anak haram.

Baginda juga akan terkenal di akhirat kerana baginda adalah salah seorang yang akan beri syafaat kepada orang beriman.

 

وَمِنَ المُقَرَّبينَ

dan dia juga dari orang-orang yang didampingkan

Maksudnya baginda dihampirkan dengan Allah. Ini adalah isyarat yang Allah rapatkan baginda secara fizikal iaitu diangkat ke langit. Ini adalah salah satu dalil yang menjadi sandaran yang Nabi Isa dinaikkan ke langit ke sisi Allah. Nanti kita akan berikan dalil-dalil yang lain.


 

Ayat 46:

وَيُكَلِّمُ النّاسَ فِي المَهدِ وَكَهلًا وَمِنَ الصّٰلِحينَ

SAHIH INTERNATIONAL

He will speak to the people in the cradle and in maturity and will be of the righteous.”

MALAY

“Dan dia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa dia masih kecil dalam buaian, dan semasa dia dewasa, dan dia adalah dari orang-orang yang soleh.”

 

وَيُكَلِّمُ النّاسَ فِي المَهدِ

“Dan dia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa dalam buaian,

Dalam riwayat ada disebut, Maryam رضي الله عنها telah mengandung dan melahirkan pada hari yang sama. Apabila beliau membawa pulang anaknya (Nabi Isa عليه السلام) yang baru dilahirkan itu, dan terpaksa menghadapi kaumnya yang tidak mahu percaya serta menuduhnya melakukan perkara yang tidak elok, tentulah beliau tidak mampu menjawab tuduhan tersebut. Maka beliau diarahkan oleh Allah ‎ﷻ untuk tunjukkan sahaja kepada Nabi Isa عليه السلام yang berada dalam dukungannya.

Nabi Isa عليه السلام sendiri yang menjawab tuduhan kaumnya itu semasa dalam pelukan ibunya lagi walaupun baginda baru sahaja entah berapa jam lahir ke dunia. Ini adalah mukjizat Nabi Isa عليه السلام. Ini disebut dalam Surah Maryam dengan lebih panjang lagi.

 

وَكَهلًا

dan semasa dia dewasa, 

Kalimah كَهْلً bermaksud umur 40 ke atas. Maknanya Nabi Isa عليه السلام dikatakan bercakap-cakap pada usia selepas 40. Apakah yang peliknya bercakap di usia dewasa? Yang ajaibnya, baginda telah diangkat ke langit semasa baginda berumur 33 tahun.

Ini memberi isyarat bahawa baginda akan turun semula ke dunia dan akan bercakap-cakap dengan manusia sehingga ke usia كَهْلً. Mengikut riwayat, baginda akan turun dalam umur yang sama – 33 tahun. Kemudian baginda akan berkahwin dan beramal ibadat dengan syari’at Nabi Muhammad ﷺ.

Baginda juga dikatakan akan hidup selama 24 tahun lagi di dunia sebelum wafat. Oleh itu, tidak benar kalau ada yang kata baginda sudah mati. Akidah yang benar adalah Nabi Isa عليه السلام telah diangkat ke langit dan akan dikembalikan ke dunia nanti.

 

وَمِنَ الصّٰلِحينَ

dan dia adalah dari orang-orang yang soleh.”

Ini adalah sifat kelima baginda yang disebut dalam ayat-ayat ini. Baginda adalah orang soleh darjat Nabi, bukan darjat orang biasa.


 

Ayat 47: Sekarang adalah balasan kata-kata daripada Maryam رضي الله عنها.

قالَت رَبِّ أَنّىٰ يَكونُ لي وَلَدٌ وَلَم يَمسَسني بَشَرٌ ۖ قالَ كَذٰلِكِ اللَّهُ يَخلُقُ ما يَشاءُ ۚ إِذا قَضىٰ أَمرًا فَإِنَّما يَقولُ لَهُ كُن فَيَكونُ

SAHIH INTERNATIONAL

She said, “My Lord, how will I have a child when no man has touched me?” [The angel] said, “Such is Allah ; He creates what He wills. When He decrees a matter, He only says to it, ‘Be,’ and it is.

MALAY

Maryam berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?” Allah berfirman; “Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya; apabila Dia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Dia hanyalah berfirman kepadanya: ` Jadilah engkau ‘, lalu menjadilah ia.”

 

قالَت رَبِّ أَنّىٰ يَكونُ لي وَلَدٌ وَلَم يَمسَسني بَشَرٌ

Maryam berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?”

Ini adalah soalan yang keluar daripada Maryam رضي الله عنها. Bukanlah beliau tidak yakin dengan berita yang disampaikan oleh Allah ‎ﷻ melalui malaikat itu. Beliau yakin yang Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa sahaja. Kita pun sudah belajar beliau biasa mendapat makanan dengan cara yang luar biasa. Jadi hal-hal yang lain daripada kebiasaan dan tidak dapat diterima oleh akal yang logik, adalah perkara biasa untuk beliau sebenarnya.

Oleh sebab itu, apabila diberitahu yang beliau akan mendapat anak, beliau boleh menerimanya. Cuma, beliau hendak tahu caranya sahaja. Begitulah juga soalan Nabi Zakariya  عليه السلام – ingin mengetahui caranya sahaja. Ini kerana kalau diikutkan dengan cara biasa, tidak mungkin akan terjadi kerana beliau tidak pernah disentuh oleh lelaki (baik dengan cara haram ataupun halal).

Daripada ayat ini juga, kita dapat tahu yang Maryam رضي الله عنها pun bercakap terus dengan Allah ‎ﷻ. Ini kerana beliau juga tahu yang malaikat hanyalah penyampai berita sahaja. Jadi Maryam رضي الله عنها tidak bertanya kepada malaikat yang menyampaikan maklumat itu. Maryam رضي الله عنها tanya terus kepada Allah ‎ﷻ.

 

قالَ كَذٰلِكِ

Allah berfirman; “Demikianlah keadaannya, 

Allah ‎ﷻ jawab, dengan keadaan beliau begitulah juga. Tidak perlu ada lelaki yang bersetubuh dengannya, Allah‎ ﷻ boleh sahaja menjadikan anak. Allah ‎ﷻ tidak perlu mengikut proses yang biasa.

 

اللَّهُ يَخلُقُ ما يَشاءُ

Allah menjadikan apa yang dikehendaki-Nya; 

Sebab Dia adalah Tuhan jadi Dia boleh berbuat apa sahaja yang dikehendaki-Nya.

Ayat ini menggunakan lafaz يَخْلُقُ. Ini berbeza dengan kelahiran Nabi Yahya  عليه السلام (digunakan lafaz جعل). Ini kerana dalam kes Maryam رضي الله عنها ini, memang digunakan lafaz يَخْلُقُ kerana dijadikan daripada tiada kepada ada dengan lafaz Kun fa Yakun. Sedangkan untuk kejadian anak-anak yang normal, mestilah melalui proses kejadian dan dalam keadaan itu digunakan lafaz جعل.

Namun begitu, dengan menggunakan lafaz يَخْلُقُ dalam ayat ini hendak menekankan yang Nabi Isa عليه السلام adalah ‘makhluk’: bukanlah kejadian luar biasa, bukanlah baginda ini merupakan ‘Anak Tuhan’, tetapi dijadikan oleh Allah ‎ﷻ, sama seperti makhluk-makhluk yang lain. Nabi Isa عليه السلام adalah ciptaan Allah ‎ﷻ, bukannya daripada juzuk (sebahagian daripada) Allah ‎ﷻ.

 

إِذا قَضىٰ أَمرًا فَإِنَّما يَقولُ لَهُ كُن فَيَكونُ

apabila Dia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Dia hanyalah berfirman kepadanya: ` Jadilah ‘, lalu menjadilah ia.”

Apabila Allah ‎ﷻ hendakkan sesuatu, mudah sahaja bagi-Nya. Lafaz kun fayakun ini hanya sebagai isyarat kepada kita betapa mudahnya dan cepatnya Allah ‎ﷻ hendak menjadikan sesuatu. Allah ‎ﷻ tidak perlu lafaz pun, ia akan terjadi juga.


 

Ayat 48: Ini adalah sifat ke-enam.

وَيُعَلِّمُهُ الكِتٰبَ وَالحِكمَةَ وَٱلتَّورَٮٰةَ وَالإِنجيلَ

SAHIH INTERNATIONAL

And He will teach him writing and wisdom and the Torah and the Gospel

MALAY

Dan Allah akan mengajarnya ilmu menulis, dan hukum-hukum aturan ugama, dan juga kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil.

 

وَيُعَلِّمُهُ الكِتٰبَ وَالحِكمَةَ

Dan Allah akan mengajarnya al-Kitab dan hikmah,

Lafaz الكِتابَ dalam ayat ini adalah Al-Qur’an. Apabila baginda dibangkitkan semula, baginda akan diajar Kitab Al-Qur’an dan baginda akan beramal dengan syariat dari Al-Qur’an.

Dan ‘hikmah’ adalah Sunnah. Iaitu baginda juga akan diajar dengan sunnah Nabi Muhammad. Kerana itu baginda kena belajar Al-Qur’an dan sunnah. Walaupun baginda adalah seorang Nabi, tapi baginda tidak boleh pakai syariat lain selain dari syariat Nabi Muhammad.

Begitulah, walaupun seorang Nabi yang mulia macam mana pun, kena juga pakai syariat Nabi Muhammad apabila Nabi Muhammad telah diangkat menjadi Rasul. Maka, tidak ada pilihan lain kepada manusia. Maka janganlah dilanggar syariat itu. Kenalah belajar syariat Nabi Muhammad. Kenalah belajar agama ini dengan seboleh mungkin. Kena ada usaha untuk belajar dan jangan berterusan duduk dalam kejahilan agama.

Jangan jadi sesat pun dengan menggunakan fahaman yang salah seperti yang diamalkan oleh puak tarekat sufi. Mereka amat bodoh ilmu agama sampaikan ada syariat yang dilanggar oleh mereka kerana hendak pakai pendapat guru mereka. Mereka kata ilmu dan darjat guru sudah terlalu tinggi sampai tidak perlu ikut syariat.

Semoga kita dan anak cucu kita terselamat dari ajaran sesat yang dibawa oleh golongan-golongan sebegitu. Satu lagi golongan yang kita kena hati-hati dan tolak terus adalah golongan Habib yang datang dari Yaman.

 

وَٱلتَّورَٮٰةَ وَالإِنجيلَ

dan juga kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil.

Nabi Isa tahu dengan mendalam kitab Taurat (sebelum baginda diangkat ke langit). Kita telah tahu yang baginda telah diberikan dengan Kitab Injil. Tapi baginda juga mahir dan hafal kitab Taurat itu. Waktu itu pendita dan pemuka puak Yahudi telah menukar isi kandungan kitab Taurat. Mereka telah memesongkan ajaran agama yang berlainan dengan apa yang ditulis dalam Kitab Taurat.

Jadi apabila mereka memesongkan Kitab Taurat, Nabi Isa telah beritahu yang benar. Baginda beritahu, apa yang disampaikan oleh pendita Yahudi itu tidak seperti yang termaktub dalam Taurat. Maka tentunya marah pendita-pendita Yahudi itu kerana Nabi Isa a.s. telah bongkar perbuatan buruk mereka itu. Susahlah mereka cari makan kalau apa yang mereka bawa sekarang dipersoalkan.

Mereka nak lawan pun susah, kerana kalau mereka berkeras, Nabi Isa boleh suruh mereka keluarkan kitab Taurat yang asli dan boleh sama-sama periksa siapa yang benar. Maka kerana itu akhirnya mereka buat perancangan untuk bunuh Nabi Isa.

Dan kita pun tahu yang Kitab Injil itu diberikan kepada baginda. Ia memang dikaitkan dengan baginda sampai bila-bila.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 6 Mac 2021


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir al-Azhar – Hamka