Ayat 177: Ayat ini terkenal sebagai ‘Ayatul Birr’ (ayat tentang kebaikan). Ia berkenaan kebajikan, iaitu kebajikan secara keseluruhan.
Ada dua jenis kebajikan sebenarnya – ibadah dan etika (akhlak). Ada Muslim yang amat menjaga kebajikan daripada segi ibadah: jaga salat, puasa, haji dan sebagainya.
Namun ada satu jenis lagi kebajikan iaitu daripada segi etika: jaga hubungan dengan keluarga, sedekah kepada anak yatim dan orang miskin. Dua-dua kena ada sebenarnya tanpa ditinggalkan salah satu.
Malangnya ramai orang Islam yang hanya mengamalkan satu bahagian sahaja. Ramai yang salat tetapi tidak menolong orang miskin. Ada yang tidak pernah tinggal salat tetapi mereka menipu orang lain dalam perniagaan mereka.
Dan ada pula yang baik dari segi etika, tidak kacau orang dan tidak buat jenayah, tapi mereka tidak jaga agama mereka: sebagai contoh, ada yang kata walaupun mereka tidak pakai tudung menutup aurat, tapi mereka kata mereka seorang yang baik. Pernah dengar, bukan?: “walaupun aku tak pakai tudung, tapi hati aku baik, tau…..”.
Kedua-dua elemen kebaikan kena ada dalam agama dan akhlak. Oleh kerana itu, Allah gabungkan dua-dua elemen ini dalam ayat ini (supaya tidak ada alasan bagi manusia untuk kata tidak tahu). Kebajikan itu mesti buat dua-dua elemen. Ibadah dan etika/akhlak yang baik kerana ianya serangkai. Tidak boleh tinggalkan salah satu.
Selain dari itu, ada kalangan orang Islam yang hanya memfokuskan ibadat mereka kepada satu-satu perkara sahaja. Mereka suka buat satu perkara ibadat sahaja dan mereka hanya buat yang itu sahaja. Itu pun tidak bagus. Dalam Islam kita kena tahu manakah yang penting. Jangan kita pandang hanya kepada ibadah dalam bentuk pergerakan sahaja.
Jangan kita lupa kepada apakah mesej Islam yang hendak dibawa. Sebagai contoh, ada yang terlalu menekankan apakah amalan yang dilakukan dalam ibadat Haji sampai mereka terlupa apakah mesej yang hendak dibawa dalam ibadat itu.
Ibadat Haji adalah sebagai satu latihan tentang apakah yang akan berlaku di Padang Mahsyar nanti. Kita akan berkumpul di Padang Arafah, dibangkitkan dengan pakaian ihram. Tapi kerana tidak faham, maka mereka sibukkan diri mereka menjaga hukum hakam dalam Haji itu sahaja.
Ada orang Islam yang hanya tahu satu-satu perkara sahaja dalam Islam, maka mereka menganggap itulah agama, sampaikan kalau ada orang lain buat lain sikit dari apa yang mereka biasa lakukan, mereka akan marah dan tak dapat terima. Pernah ada kisah bagaimana seorang lelaki yang marahkan seorang ustaz kerana ustaz itu mengajar bahawa tidak ada bacaan Qunut dalam solat subuh.
Orang lelaki itu kata: “Kau jangan mengajar benda yang salah di kampung ini. Walaupun aku tak sembahyang, tapi aku hafal Qunut, tau!” Orang itu sangka itulah agama, maka kalau ada yang tak buat Qunut dalam solat subuh, macam tidak buat solat.
Begitu juga ada jenis yang jahil agama, sampaikan kalau ada imam yang tidak baca doa dengan suara yang kuat, mereka sangka sembahyang tak sempurna.
Ada orang yang menjadikan kerja mereka menyalahkan cara ibadat orang lain. Hanya kerana mereka sudah biasa dengan cara-cara tertentu. Mereka dari kecil lagi sudah buat satu cara, jadi mereka lihat kalau orang lain buat cara lain, mereka itu salah.
Ini adalah jenis manusia yang hendak mencari salah orang sahaja. Dan ini telah menampakkan kejahilan mereka dalam agama. Masalahnya, orang jahil pula yang kuat suaranya. Mereka yang terkehadapan nak kutuk orang.
Bermula dari ayat ini kita akan bertemu dengan istilah Umur Muslihah dan Umur Munazimah. Bila sudah kenal Allah, maka seseorang itu akan taat kepada Allah dalam ibadat dan dalam adat. Satu taat dalam bentuk ibadat dan ini dinamakan umur muslihah.
Dan satu lagi taat dalam adat dan ini adalah umur munazimah. Adat adalah perkara-perkara yang terjadi dalam kehidupan seharian. Ianya termasuk cara hidup dan cara berinteraksi dengan alam sejagat. Itu pun Allah sudah tetapkan kepada kita supaya kehidupan kita jadi baik. Tapi untuk perkara adat jadi baik, perkara umur muslihah kena sempurna dahulu. Kalau tidak sempurna, jangan harap kehidupan kita akan jadi baik.
Dalam kita hendak dakwah orang luar kepada Islam, kita kena tunjukkan model yang baik kepada mereka. Kena hidup macam cara Nabi dan sahabat. Manusia luar sebelum tengok Al-Qur’an, dia akan tengok kita yang mempelajari Al-Qur’an. Sepatutnya cara hidup kita adalah baik sampai boleh menarik mereka masuk Islam.
Begitulah yang terjadi zaman dahulu dengan Nabi dan para sahabat. Manusia bukan Islam melihat bagaimana cara para sahabat bermuamalah dan hidup bermasyarakat sampaikan mereka teringin untuk masuk Islam dan jadi seperti mereka. Kalau kehidupan kita sendiri tidak teratur, bagaimana kita nak ajak manusia lain kepada Islam? Kadang-kadang orang luar tidak teringin kepada Islam kerana tidak ada tarikan kepada mereka apabila melihat perangai kita.
Kita yang sudah faham Islam ini kena sampaikan kepada manusia lain. Tujuannya adalah untuk memperkenalkan Allah dan syariat Allah kepada mereka. Dan untuk sampaikan Islam, dengan cara jihad dan infak.
Kerana itu dalam Surah Al-Baqarah ini banyak disebut tentang dua perkara itu. Allah telah susun dengan susunan yang amat baik sekali sampai kita boleh faham kalau kita boleh belajar. Semua yang akan disebut ini penting sampaikan tidak boleh tinggalkan salah satu.
لَّيسَ ٱلبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُم قِبَلَ ٱلمَشرِقِ وَٱلمَغرِبِ وَلَـٰكِنَّ ٱلبِرَّ مَن ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱليَومِ ٱلأَخِرِ وَٱلمَلَـٰٓٮِٕڪَةِ وَٱلكِتَـٰبِ وَٱلنَّبِيِّـۧنَ وَءَاتَى ٱلمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ ذَوِى ٱلقُربَىٰ وَٱليَتَـٰمَىٰ وَٱلمَسَـٰكِينَ وَٱبنَ ٱلسَّبِيلِ وَٱلسَّآٮِٕلِينَ وَفِى ٱلرِّقَابِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّڪَوٰةَ وَٱلمُوفُونَ بِعَهدِهِم إِذَا عَـٰهَدُواْۖ وَٱلصَّـٰبِرِينَ فِى ٱلبَأسَآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَحِينَ ٱلبَأسِۗ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلمُتَّقُونَ
Righteousness is not that you turn your faces toward the east or the west, but [true] righteousness is [in] one who believes in Allah, the Last Day, the angels, the Book, and the prophets and gives wealth, in spite of love for it, to relatives, orphans, the needy, the traveler, those who ask [for help], and for freeing slaves; [and who] establishes prayer and gives zakah; [those who] fulfill their promise when they promise; and [those who] are patient in poverty and hardship and during battle. Those are the ones who have been true, and it is those who are the righteous.
Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.
لَيْسَ الْبِرَّ أَنْ تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ
Tidaklah kebajikan itu hanya kamu hadapkan muka kamu ke timur atau ke barat;
Ayat ini masih lagi ada kena mengena dengan kiblat. Ayat ini juga adalah teguran kepada Puak Yahudi Nasara yang selalu membuat berbagai tuduhan kepada Islam untuk merendahkan agama Islam.
Antaranya, mereka tuduh Islam ini dalam hal kiblat pun tidak tetap – sekejap ke sana dan sekejap ke sini. Allah nak beritahu dalam ayat ini, bukanlah kebaikan itu hanya memandang ke arah kiblat sahaja. Cetek sangat fikiran kalau rasa agama setakat ritual sahaja.
Mengadap ke arah kiblat dalam solat itu memang penting, tapi bukan itu sahaja yang kita kena jaga. Allah jawab bukan kebaikan hanya tempat hadap sahaja ke arah timur dan barat. Islam bukan itu sahaja tapi Islam adalah agama yang sempurna yang merangkumi segenap kehidupan manusia.
Dalam ayat ini, Allah hendak menerangkan apakah kebajikan itu. Kita kena tahu ada lagi perkara-perkara lain yang perlu dibuat daripada mengadap ke arah kiblat sahaja. Maknanya, bukan hanya satu cara sahaja untuk kita buat ibadah. Ada lagi perkara-perkara lain yang perlu kita lakukan.
وَلَٰكِنَّ الْبِرَّ مَنْ ءَامَنَ بِاللَّهِ
tapi kebajikan itu adalah orang yang beriman dengan Allah;
Yang pertama, kenalah beriman dengan Allah. Kerana kalau orang itu kafir, dan dia mengadap ke kiblat dalam solat pun tidak sah solat dia. Beriman adalah kebaikan yang paling utama.
Kalimah الْبِرَّ bermaksud kebajikan atau kebaikan. Ia diambil dari perkataan بر yang bermaksud ‘tanah’. Berlawanan dengan perkataan بحر yang bermaksud ‘lautan’. Kerana Allah hendak bezakan antara lautan dan daratan. Orang Arab menggunakan kata الْبِرَّ untuk merujuk kepada kebajikan kerana hendak menekankan yang ianya adalah sesuatu yang stabil.
Kalau lautan, ianya sentiasa bergelora. Jadi, Allah telah mengisyaratkan bahawa perbuatan kebajikan ini hendaklah stabil, iaitu berterusan dilakukan. Bukan untuk dilakukan sekejap-sekejap sahaja.
Dari segi bahasa, beriman dengan Allah bukanlah satu perbuatan yang tepat dikatakan sebagai ‘kebajikan’ kerana tidak ada sesuatu fizikal yang dilakukan, bukan? Oleh itu, ayat ini bermaksud, kebajikan itu dikeluarkan oleh orang yang beriman dengan Allah.
Ada tiga komponen yang penting dalam iman: Percaya kepada Allah, percaya kepada hari akhir dan percaya kepada wahyu. Al-Quran sentiasa mengulang-ulang ketiga-tiga elemen ini. Potongan ayat di atas telah menyebut komponen yang pertama.
Ayat ini keseluruhannya menceritakan tentang melakukan kebajikan. Kenapakah manusia melakukan kebajikan itu? Kerana Allah. Kerana mengharapkan redha Allah. Tapi kadang-kadang manusia buat kebajikan bukan kerana Allah semata-mata. Lihat ayat di bawah.
وَالْيَوْمِ الْآخِرِ
dan beriman kepada hari akhirat
Ini adalah komponen kedua dalam Iman: percaya kepada hari akhirat.
Ada yang buat kebajikan kerana mengharapkan redha Allah. Itulah sebab yang terbaik sekali. Tapi ada juga yang buat kebajikan kerana mereka mengharapkan syurga dan takutkan neraka. Ini juga adalah sebab yang baik. Tapi kurang sedikit dari sebab yang pertama (mengharapkan redha Allah). Sebab itu Allah menyebut sebab yang pertama dahulu.
Walaupun ianya tidaklah satu sebab yang paling baik, tapi boleh kalau dimulai melakukan kebajikan dengan sebab takut neraka dan mengharapkan syurga. Kerana lama-kelamaan apabila manusia sudah semakin tinggi imannya, mereka akan sampai kepada tahap mereka melakukan sesuatu itu hanya kerana mengharapkan redha Allah (bukan kerana syurga dan neraka sahaja).
Ini sepertimana para sahabat melakukan sesuatu kerana mengharapkan redha Allah. Kerana itulah apabila kita menyebut nama para sahabat, kita tambah dengan perkataan ‘radhiallahu anhu’ – Allah redha kepadanya.
Tapi, para peringkat permulaan, tentu susah nak dapatkan redha yang bersih murni. Permulaan manusia yang beriman adalah kerana takutkan Allah, takutkan neraka dan mengharap syurga. Dan ini tidak salah pun. Kerana memang syurga dan neraka itu dijanjikan oleh Allah untuk kita pun. Maka tidaklah salah kalau kita buat amal kerana mengharap syurga dan kerana takutkan neraka.
Jadi, kalau kita hendak buat baik, bagaimana kita tahu apakah perbuatan baik itu? Kita hanya dapat tahu dengan wahyu yang Allah diturunkan kepada kita. Bagaimana caranya? Ayat ini bersambung lagi.
وَٱلمَلَـٰٓٮِٕڪَةِ
dan (beriman kepada) para malaikat
Ini adalah elemen ketiga dalam komponen iman: percaya kepada wahyu. Malaikat adalah pembawa wahyu itu kepada para Rasul. Maka kena percaya kepada kewujudan mereka. Dan kena tahu nama-nama malaikat yang utama. Kena tahu serba sedikit tentang mereka.
وَٱلكِتَـٰبِ
dan (beriman kepada) kitab
Wahyu tentang apakah kebajikan itu kita dapat tahu dari ‘Kitab’ yang Allah turunkan melalui perantaraan malaikat. Perkataan ‘kitab’ ini ada ال، maknanya ia merujuk kepada kitab yang spesifik – Al-Qur’an.
Untuk mengetahui apakah kebaikan yang perlu kita lakukan, kita kena merujuk kepada Al-Qur’an sebagai kitab yang terakhir. Kerana kitab-kitab yang sebelum Al-Qur’an belum tentu kebenaran di dalamnya kerana telah diubah-ubah.
وَالنَّبِيِّينَ
dan (beriman kepada) para Nabi
Nabi adalah manusia yang telah dipilih oleh Allah untuk menyampaikan wahyu Allah kepada kita. Kalau mereka tidak sampaikan, kita tidak akan tahu apakah yang Allah hendak kita buat. Kalau ada perkara yang tidak jelas kepada kita dalam Al-Qur’an, Nabi akan jelaskan.
Nabi juga menambah banyak lagi perkara-perkara kebajikan yang perlu kita lakukan kerana Al-Qur’an hanya menyebut perkara-perkara yang penting dan asas sahaja. Maka kerana itu kita kena belajar hadis juga untuk melengkapkan pemahaman agama kita. Janganlah jadi golongan Anti-Hadis pula.
Jadi elemen wahyu ada dalam tiga perkataan dalam ayat ini: Malaikat – Al-Qur’an – Rasul. Tiga perkara ini adalah asas untuk seseorang Muslim itu untuk berbuat kebajikan. Macam kalau nak bina bangunan, kenalah ada asas yang kuat. Kontraktor bangunan itu akan ambil masa yang lama untuk bina asas yang kukuh. Kena piling tiang-tiang dalam tanah.
Kerana apabila ada asas yang kuat, barulah bangunan itu dapat tegak berdiri. Begitu juga, apabila sudah ada asas iman, barulah mudah untuk melakukan kebajikan.
Itu semua adalah dasar untuk melakukan kebajikan. Ayat ini telah menyebut tentang Rukun Iman. Tentulah bukan perkara ini sahaja. Tapi Allah sebut perkara-perkara ini untuk merangkumi segala Rukun Iman yang lain.
Setelah itu, Allah sebut tentang amalan pula. Allah mengajar kita apakah yang perlu dilakukan dalam perkara kebajikan itu.
وَءَاتَى الْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِ
dan infakkan hartanya yang dia sayangi;
Allah menyebut memberi sesuatu yang kita sayangi, sebab ada yang memang memberi sedekah, tapi dari barang yang dia memang nak buang. Kadang-kadang kita tengah kemas stor kita, ada barang kita tak pakai lama. Atau ada baju yang lusuh yang kita pun tak mahu nak pakai. Kita beri yang itu kepada orang lain.
Kadang-kadang sudah rosak-rosak barang yang kita nak beri itu. Padahal sedekah sepatutnya barang yang ada nilai. Kalau kita beri barang yang tiada nilai, tidak boleh lagi digunakan orang, tidak ada pahala atas kita. Kerana itu Allah tekankan yang kita kena beri harta yang kita sayang. Itu pemberian yang paling bernilai sekali. Itulah makna عَلَىٰ حُبِّهِ, memberi sedekah walaupun dia sayang kepada harta itu.
Yang paling kurang pahala dari harta sedekah yang kita dapat adalah diberi semasa sudah nak mati. Sedekah itu memang sah dan ada pahala, tapi nilainya paling kurang. Kerana daripada tak beri, elok beri, walaupun kita sudah nak mati. Tetapi dalam hadis, disebut kita kena beri infak semasa kita masih sayang dan mahu kepada harta itu.
Dari Abu Hurairah, dia berkata bahawa ada seseorang yang menemui Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, lalu dia berkata,
يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ الصَّدَقَةِ أَعْظَمُ أَجْرًا قَالَ أَنْ تَصَدَّقَ وَأَنْتَ صَحِيحٌ شَحِيحٌ، تَخْشَى الْفَقْرَ وَتَأْمُلُ الْغِنَى، وَلاَ تُمْهِلُ حَتَّى إِذَا بَلَغَتِ الْحُلْقُومَ قُلْتَ لِفُلاَنٍ كَذَا، وَلِفُلاَنٍ كَذَا، وَقَدْ كَانَ لِفُلاَنٍ
“Wahai Rasulullah, sedekah yang mana yang lebih besar pahalanya?” Beliau menjawab, “Engkau bersedekah pada saat kamu masih sihat, saat kamu takut menjadi fakir, dan saat kamu berangan-angan menjadi kaya. Dan janganlah engkau menunda-nunda sedekah itu, hingga apabila nyawamu telah sampai di tenggorokan, kamu baru berkata, “Untuk si fulan sekian dan untuk fulan sekian, dan harta itu sudah menjadi hak si fulan” (Muttafaqun ‘alaih. HR. Bukhari no. 1419 dan Muslim no. 1032).
Selepas kita tahu kita perlu infakkan harta kita, kita perlu tahu kepada siapakah yang kita perlu infakkan harta itu:
ذَوِي الْقُرْبَىٰ
(kepada) kaum kerabat keluarga;
Yang paling utama kita kena tolong adalah ahli keluarga kita yang terdekat. Untuk kita tahu siapa yang memerlukan, tentulah kita kena ziarah saudara-mara kita yang ada lagi. Barulah kita tahu keadaan mereka. Jarang sekarang orang kita yang buat macam itu. Kita kena mulakan balik. Harta yang utama diberi adalah kepada kaum kerabat kita sendiri.
Selepas itu, kena beri juga kepada jiran tetangga yang tinggal berdekatan dengan kita. Tapi sebaiknya jangan melangkau, kena cari yang dekat dengan kita dahulu. Jangan kita memberi kepada orang yang jauh, tapi yang dekat dengan kita, kita tak beri lagi.
Masalahnya, orang yang paling rapat dengan kitalah yang kita selalu berkelahi dengan mereka. Dengan pakcik dan makcik, dengan sepupu dan sebagainya, malah ramai yang berkelahi dengan adik beradik. Ada sahaja perkara yang tidak kena dengan mereka pada pandangan kita. Maka kita ramai yang bermasam muka dengan sanak saudara kita. Tak bertegur sapa, kata buruk tentang mereka kepada orang lain dan sebagainya.
Tapi lihatlah dalam ayat ini, Allah suruh kita tolong mereka, infak kepada mereka. Mereka sebenarnya lebih layak terima bantuan dari kita dahulu sebelum orang lain. Ada sebab mengapa Allah jadikan mereka saudara mara kita, bukan kita yang tentukan.
Bayangkan siapakah bapa saudara Nabi? Abu Lahab yang menjadi musuh kuat Rasulullah. Ini menunjukkan yang Allah yang pilih siapakah yang jadi saudara mara kita. Maka kita kena redha dengan saudara mara kita.
وَٱليَتَـٰمَىٰ
dan (kepada) anak yatim
Allah banyak beri anjuran untuk membantu anak-anak yatim. Ini adalah kerana mereka tidak ada penaung lagi dan mereka amat memerlukan bantuan. Banyak sekali pahala kalau bantu mereka. Dan besar sekali dosa kalau tidak memberikan hak-hak mereka.
Tapi bagaimana kita nak tolong anak-anak yatim kalau kita sendiri pun tidak kenal siapakah anak yatim dalam kawasan kita tinggal? Oleh itu, kita kena ambil tahu tentang masyarakat kita. Kenalah tanya-tanya siapakah anak-anak yatim dalam kawasan kita.
وَٱلbمَسَـٰكِينَ
dan (kepada) orang-orang miskin
Allah beri kita duit yang lebih supaya kita dapat bantu orang lain. Kerana itu kita juga kena kenal siapakah orang miskin dalam kawasan kita. Kena bercampur gaul dengan masyarakat untuk tahu siapakah mereka.
Kadang-kadang mereka tidak meminta-minta kerana mereka malu. Mereka juga tidak mahu menyusahkan orang lain. Jadi kita kena berusaha untuk mencari siapakah yang susah dalam kawasan kita.
وَابْنَ السَّبِيلِ
dan (kepada) orang yang dalam perjalanan
Kita juga kena beri bantuan kepada mereka yang dalam musafir. Termasuk dalam hal ini adalah mereka yang bermusafir kerana menyebarkan agama. Kerana waktu itu mereka memang putus bekalan dan mereka memang mengharapkan bantuan dari penduduk setempat.
Sunnah dalam Islam adalah menjemput orang yang dalam perjalanan untuk tinggal dengan kita. Untuk itu, kita kenal orang kawasan kita supaya apabila ada yang kita tak kenal, maka kita tahu yang dia adalah orang luar, orang musafir.
Maka sunnahnya adalah mengajak dia tinggal dengan kita. Sepatutnya kita berebut-rebut dengan orang lain untuk mengajak mereka tinggal dengan kita. Tapi kita buat yang sebaliknya. Kalau ada saudara mara sendiri pun kalau boleh kita nak mereka tinggal di hotel. Ini tidak baik dan kita kena ubah perangai kita.
وَالسَّائِلِينَ
dan (kepada) orang yang meminta-minta kerana terdesak;
Kita sangka, kalau orang yang meminta mestilah Allah letak di depan, tapi tidak. Allah letak di hujung-hujung ayat. Kalau ada yang meminta, kita kena tolong seboleh mungkin. Tidak semestinya yang meminta itu tergolong dalam golongan yang fakir miskin. Maka kerana itu mungkin mereka tidak memerlukan sangat, dan kerana itu Allah tidak sebut mereka di awal ayat.
Cuma mungkin masa itu dia tengah ada masalah. Sebagai contohnya, ada yang telefon kita minta bantuan secara tiba-tiba. Sebelum dia nak telefon kita tu, dia sudah banyak kali fikir, susun ayat macam mana nak minta tolong dengan kita. Sebab dia malu sangat nak minta dengan kita.
Maka cubalah kita bantu mereka kalau boleh. Kalau kita tak boleh bantu waktu itu, kita kena minta maaf pula kepada dia. Jangan kita hina dia kerana minta kepada kita. Bukan senang untuk dia minta tolong. Itu sebabnya, dalam masyarakat kita, selalu kita tengok orang meminta sedekah di kedai makan, di lalu lalang dan sebagainya.
Kalau kita boleh tolong, kita beri. Tapi kalau kita tidak boleh beri, atau tidak mahu beri, jangan kita herdik mereka dan halau mereka. Kita kena bermanis muka dengan mereka.
وَفِي الرِّقَابِ
dan orang dalam tawanan hamba abdi;
Zaman sekarang, tidak ada lagi golongan hamba abdi. Tapi ada juga pembantu rumah atau pekerja asing yang kena tipu dengan majikan mereka, sampai tak boleh nak balik negara mereka. Sampaikan ada ejen peras ugut mereka lagi.
Ataupun orang yang kena tawan dan dilarikan dari tempat tinggal mereka dan dijual di negara lain. Ini masih lagi terjadi zaman sekarang. Ini juga termasuk dalam maksud ayat ini. Iaitu mereka nak bebaskan diri dari tawanan. Nampak mereka macam bebas, tapi tidak kerana pasport mereka orang lain pegang. Orang tak nampak pertalian ayat ini dalam keadaan zaman sekarang kalau tidak belajar.
Ada juga orang yang di’tawan’ oleh hutang yang terlalu banyak sampai mereka tidak dapat bayar. Macam pinjaman rumah, pinjaman pelajaran dan sebagainya. Itu bukanlah dalam bentuk perhambaan seperti apa yang kita faham dulu, tapi ianya masih lagi boleh diterima sebagai satu bentuk perhambaan. Mereka memerlukan bantuan kita, maka kita kena tolong mereka seboleh mungkin.
Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya.
Kemaskini: 31 Disember 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
28 September 2020
LikeLike