Ayat 23: Apakah ancaman Allah ﷻ terhadap mereka? Ayat 23 – 35 adalah Perenggan Makro Kelima dan ia berkenaan pejuang yang beriman. Sebelum itu disebut sebagai perbandingan, balasan kepada golongan munafik yang tidak berjihad; atau balasan kepada golongan mukmin yang tidak menjalankan tugas mentadbir dunia dengan baik setelah menang perang.
أُولٰئِكَ الَّذينَ لَعَنَهُمُ اللهُ فَأَصَمَّهُم وَأَعمىٰ أَبصٰرَهُم
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Those [who do so] are the ones that Allāh has cursed, so He deafened them and blinded their vision.
(MELAYU)
Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan ditulikan-Nya telinga mereka dan dibutakan-Nya penglihatan mereka.
أُولٰئِكَ الَّذينَ لَعَنَهُمُ اللهُ
Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah
Mereka akan mendapat laknat Allah ﷻ. Siapakah mereka? Iaitu mereka yang ambil kuasa tetapi sebenarnya mereka menyebabkan kerosakan di bumi.
Dan juga, kalau lari dari berjuang, tidak mengendahkan jihad, tidak menyokong jihad dan terlibat dengan jihad, akan kena laknat juga.
Oleh itu, ayat ini mengajak kita membuka minda kita: bagaimana keadaan umat Islam sekarang? Kalau kita lihat, kita tidak dapat nafikan yang ramai antara umat Islam yang gila kuasa. Asyik sibuk hendak berebut kuasa sahaja. Kadang-kadang kejadian perebutan kuasa itu terjadi dalam masjid! Nak jadi tok siak pun boleh bergaduh!
Macam-macam cara mereka akan gunakan untuk menjatuhkan pihak lain. Kalau jenis begitulah kebanyakan umat Islam sekarang, agaknya macam manalah cara mereka untuk mendapatkan kuasa dan bagaimanalah keadaan mereka bila sudah dapat kuasa nanti? Kita pun sedih tengok apa yang terjadi dalam masyarakat sekarang. Kebanyakan dari mereka yang mahukan kuasa itu tidak tahu hendak guna kuasa itu untuk kebaikan.
Bayangkan kalau di masjid pun ada masalah, macam manalah hendak perintah dunia? Mereka itu semua buat malu orang Islam sahaja! Mereka itulah yang memalukan agama Islam sampai orang bukan Islam pun tidak teringin hendak masuk Islam. Oleh kerana itulah mereka kena laknat dengan Allah ﷻ sahaja nanti.
Dan bukan dalam organisasi sahaja ada masalah ini; kita boleh lihat bagaimana dalam keluarga pun sudah ada yang salahguna kuasa. Ada yang menindas ahli keluarga sendiri, ahli keluarga pun benci kepada mereka, tidak hormat kepada mereka, adik beradik berkelahi, ibubapa tidak tahu bagaimana hendak mendidik anak, dan macam-macam lagi masalah sosial yang kita boleh lihat. Itu jangan cerita bagaimana suami salah guna kuasa sebagai ketua keluarga.
Bayangkan, kalau di rumah pun tidak boleh hendak jaga jadi adil, macam manalah hendak jaga organisasi yang lebih besar, bagaimanalah hendak memerintah dunia?
Sebenarnya, kalau dilihat umat Islam sekarang, memang tidak layak langsung untuk memerintah dunia. Mereka hanya merosakkan nama Islam sahaja. Kerana perangai merekalah yang menyebabkan orang luar kutuk Islam. Orang pun “tak hingin” hendak masuk Islam kerana tengok muslimin yang berperangai buruk.
فَأَصَمَّهُم وَأَعمىٰ أَبصٰرَهُم
dan ditulikan-Nya telinga mereka dan dibutakan-Nya penglihatan mereka.
Allah ﷻ jadikan mereka pekak. Mereka memang boleh dengar tetapi tidak faham apa yang mereka dengar itu. Kerana ada hijab rohani dalam telinga mereka. Mereka sudah tidak dapat dengar kata-kata orang bawahan mereka yang tidak puas hati, yang mengharapkan pertolongan dari mereka. Mereka itu hanya hendak sedap duduk di atas sahaja.
Atau bermaksud Allah ﷻ memekakkan telinga mereka dari menerima kebenaran. Telinga mereka telah Allah ﷻ letakkan dengan sumbatan rohani. Kalau ada orang beri nasihat kepada mereka tentang agama, mereka tidak dapat terima. Maka mereka terus sesat.
Mereka juga akan dibutakan mata rohani mereka sampaikan mereka tidak nampak apa yang mereka lakukan itu adalah salah. Mereka hanya pandai baca sahaja Al-Qur’an tetapi mereka tidak sangka yang ayat itu dikenakan kepada mereka. Ini adalah kerana mereka tidak faham Al-Qur’an kerana mereka tidak belajar tafsir dan tidak faham apa yang mereka bacakan itu. Kerana itu mereka tidak sedar yang Al-Qur’an yang mereka baca itu sebenarnya sedang mengutuk mereka.
Atau maksudnya Allah ﷻ butakan mata mereka dari melihat kebenaran. Kebenaran depan mata pun mereka tidak nampak. Allah ﷻ tidak benarkan mereka menerima kebenaran kerana Allah ﷻ hendak seksa mereka kerana Allah ﷻ telah murka dengan mereka.
Ayat 24: Ayat Zajrun (teguran keras). Mereka tidak dapat melihat kebenaran yang dibawa oleh Al-Qur’an itu adalah kerana mereka tidak tadabbur Al-Qur’an. Syarat untuk nampak kebenaran agama adalah dengan dengar dan belajar maksud ayat-ayat Al-Qur’an itu dan kemudian tadabbur Al-Qur’an itu. Jadi ini adalah langkah untuk selamatkan diri dari kena laknat Allah ﷻ.
أَفَلا يَتَدَبَّرونَ القُرءآنَ أَم عَلىٰ قُلوبٍ أَقفالُها
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Then do they not reflect upon the Qur’ān, or are there locks upon [their] hearts?
(MELAYU)
Maka apakah mereka tidak tadabbur Al-Qur’an ataukah hati mereka terkunci?
أَفَلا يَتَدَبَّرونَ القُرءآنَ
Maka apakah mereka tidak tadabbur Al-Qur’an?
Allah ﷻ beri teguran: tidakkah mereka tadabbur Al-Qur’an? Adakah mereka tidak tadabbur Al-Qur’an itu sampai mereka kena laknat?
Kalimah tadabbur dari kalimah دبر (dubur) iaitu bahagian belakang. Ianya dilakukan apabila menyelidik sesuatu itu sampai melihat apa yang di sebalik sesuatu itu. Maknanya melihat dengan mendalam dan teliti.
Sebagai contoh, kalau kita melihat satu bangunan, kalau kita lihat biasa sahaja, kita cuma tengok bahagian depan. Tetapi apabila kita memang hendak tahu dengan lebih lagi, maka kita akan pergi lawat sampai ke bahagian belakang bangunan itu. Ini menunjukkan kehendak kita untuk mengetahui bangunan itu.
Oleh kerana itu, apabila tadabbur Al-Qur’an, kita kena fikirkan dalam-dalam dan cuba lihat apakah fahaman yang tersirat dalam Al-Qur’an itu dan bagaimana ia terpakai untuk diri kita. Iaitu dengan melihat apakah tuntutan ayat itu. Untuk mendapatkan kefahaman ini, maka kena lihat depan dan belakang.
Sebagai contoh lagi, kalau ada orang jual barang-barang kepada kita, tentu kita akan lihat depan dan belakang benda itu, bukan? Kita akan lakukan begitu sebab kita hendak tahu betul atau tidak barang yang dijual itu.
Oleh itu, maksud tadabbur adalah mengkaji makna Al-Qur’an yang telah dipelajari secara mendalam. Maknanya, kita sudah belajar tafsir ayat itu, dan kemudian kita fikirkan ayat itu dengan mendalam lagi. Maka kena belajar tafsir dahulu, kemudian baru boleh tadabbur.
Untuk melakukan tadabbur ini memerlukan masa, bukan? Oleh itu, Allah ﷻ tegur mereka: tidakkah mereka luangkan masa untuk belajar dan memahami Al-Qur’an? Tidakkah mereka rasa yang Al-Qur’an itu penting sampai mereka sanggup hendak luangkan masa untuk menelitinya? Sibuk apa sangat dengan dunia, sampai tidak ada masa hendak tadabbur Al-Qur’an?
أَم عَلىٰ قُلوبٍ أَقفالُها
ataukah ke atas hati mereka terkunci?
Adakah hati mereka telah ada kunci? Kalimah أَقفالُها adalah dalam bentuk idhafah. Terjemahan kalimat أَقفالُها adalah ‘kunci hatinya’. Maknanya hati ini memang telah ada kunci, bukan pakai kunci dari luar tetapi ia sudah ada kuncinya sendiri.
Sepatutnya kunci itu terbuka tetapi kalau buat tidak kisah sahaja dengan Al-Qur’an, hati akan kunci dirinya sendiri. Ini adalah amat bahaya. Takut kalau kita jadi begini, sampai kita tidak faham apakah yang Allah ﷻ hendak sampaikan kepada kita melalui Al-Qur’an ini.
Kenapa Allah ﷻ kaitkan hati pula apabila bercakap tentang tadabbur, sedangkan kalau memikirkan sesuatu, bukankah pakai akal? Ini adalah kerana kalau pakai akal sahaja, tidak akan berjaya kerana mereka yang dapat tadabbur adalah mereka yang telah terima Al-Qur’an ini – iaitu hati mereka telah terima kebenaran dari Al-Qur’an ini dan mereka sebenarnya mahu tahu apakah yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an itu.
Bukannya mereka baru hendak fikirkan, kemudian terima. Tidak begitu. Kerana untuk memahami Al-Qur’an ini, kena terima dahulu dengan hati yang suci. Kena ada kehendak dahulu dan kehendak itu dari hati.
Ini adalah perkara yang menakutkan kepada kita kerana kalau kita cuba tadabbur, tetapi masih tidak faham apa yang hendak disampaikan dalam Al-Qur’an, maksudnya hati kita telah dikunci oleh Allah ﷻ dari memahami Al-Qur’an. Semoga kita terselamat dari keadaan ini.
Ayat 25: Sekarang kita masih lagi bercakap tentang golongan munafik yang duduk bersama dalam majlis Nabi ﷺ tetapi masih tidak dapat hidayah. Ini adalah kerana hati mereka telah ditutup, maka mereka akan membuat kesalahan-kesalahan dalam agama.
إِنَّ الَّذينَ ارتَدّوا عَلىٰ أَدبٰرِهِم مِّن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُمُ الهُدَى ۙ الشَّيطٰنُ سَوَّلَ لَهُم وَأَملىٰ لَهُم
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, those who reverted back [to disbelief] after guidance had become clear to them – Satan enticed them and prolonged hope for them.
(MELAYU)
Sesungguhnya orang-orang yang kembali ke belakang (kepada kekafiran) sesudah petunjuk itu jelas bagi mereka, syaitan telah menjadikan mereka mudah (berbuat dosa) dan memanjangkan angan-angan mereka.
إِنَّ الَّذينَ ارتَدّوا عَلىٰ أَدبٰرِهِم
Sesungguhnya orang-orang yang kembali ke belakang
Sekali lagi Allah ﷻ gunakan kalimah دبر (belakang) dalam ayat ini. Kali ini ia membawa maksud pusing ke belakang. Ia memberitahu kita, selepas mereka terima hidayah, mereka patah balik kepada keadaan asal mereka iaitu mereka telah murtad.
Mereka digelar sebagai golongan murtad kerana mereka menolak ayat-ayat Al-Quran kerana kalau tolak satu sahaja dari ayat Al-Qur’an sudah bermaksud menolak agama dan telah keluar Islam menjadi murtad.
مِّن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُمُ الهُدَى
sesudah petunjuk itu jelas bagi mereka,
Mereka berpatah balik ke belakang sedangkan sudah dijelaskan hal wahyu dan agama kepada mereka. Apabila mereka tolak ayat Al-Qur’an maka Allah ﷻ jadikan syaitan sebagai qarin yang duduk dengan mereka dan mengarahkan mereka untuk buat kerosakan.
Ianya salah mereka yang telah menyebabkan syaitan dibenarkan masuk. Berkemungkinan mereka buat syirik yang menyebabkan syaitan dapat peluang untuk duduk dengan mereka. Kerana syaitan tidak mampu hendak masuk kepada orang yang mengamalkan tauhid. Macam kita baca bismillah ketika hendak masuk rumah, maka syaitan tidak boleh ikut masuk. Jadi, sekiranya abaikan sunnah maka akan beri peluang untuk syaitan masuk.
Atau, Allah ﷻ hadiahkan qarin dari kalangan syaitan kepada mereka kerana mereka tidak mengendahkan Al-Qur’an. Ini seperti disebut dalam Zukhruf:36.
وَمَن يَعشُ عَن ذِكرِ الرَّحمٰنِ نُقَيِّض لَهُ شَيطانًا فَهُوَ لَهُ قَرينٌ
Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.
الشَّيطٰنُ سَوَّلَ لَهُم
syaitan telah menjadikan mereka mudah
Mereka mudah untuk mengerjakan dosa kerana syaitan yang taswil (memudahkan) untuk mereka. Ini adalah salah satu dari talbis iblis. Maksudnya Syaitan mudahkan benda buruk untuk mereka.
Apabila mereka lakukan dosa dan perkara buruk itu, mereka tidak rasa bersalah pun. Mereka rasa ianya perkara yang kecil sahaja, perkara mudah sahaja. Ini kerana syaitan telah mengelabui mata dan hati mereka. Syaitan bisikkan: “tak salah apa yang kamu buatkan itu.”
Mereka itu jenis orang yang tidak rasa hendak jadi baik, tidak rasa hendak kenal Al-Qur’an pun. Apabila mereka dikenakan dengan penyakit taswil, pada mereka boleh buat banyak perkara yang mereka suka kerana ianya tidak penting mana. Maka kerana itu, senang sahaja mereka tolak ayat-ayat Al-Qur’an kerana mereka tidak mementingkan Al-Qur’an. Mereka pula rasa dosa itu kecil sahaja. Bila kita rasa dosa itu kecil, maka kita tidak takut hendak buat dosa.
وَأَملىٰ لَهُم
dan memanjangkan angan-angan mereka.
Syaitan juga akan memanjangkan angan-angan mereka. Mereka akan berfikir dan berangan tentang macam-macam yang mereka hendak buat dengan kehidupan mereka yang singkat ini. Mereka hendak makan sana, hendak kerja sini, dan banyak lagi angan-angan.
Sepatutnya mereka memikirkan janji-janji Allah ﷻ yang ada dalam Al-Qur’an – memikirkan tentang syurga dengan keindahannya dan bagaimana hendak ke sana. Tetapi mereka ini diangankan dengan keindahan dalam kehidupan dunia sahaja. Mereka itu sibuk dengan dunia sahaja – buat itu dan ini sampai melupakan persediaan untuk ke akhirat. Syaitanlah yang memanjangkan angan-angan mereka itu.
Atau ia bermaksud syaitan itu mengarahkan mereka untuk menangguhkan buat kebaikan kerana walaupun sudah tahu bahawa itu adalah perkara yang baik tetapi mereka tinggalkan juga kerana melengah-lengahkan. Boleh buat tetapi tidak buat-buat juga.
Ini dinamakan taswif dalam ilmu talbis iblis. Kerana itu ramai dari kalangan manusia yang hendak belajar tafsir, tetapi tangguh dulu sampai mereka tidak sibuk. Padahal bila masanya kita tidak sibuk? Akhirnya mati tidak belajar langsung. Sedar-sedar sudah dalam kubur.
Ayat 26: Amat bahaya kalau masih hendak ikut resam tok nenek. Iaitu orang munafik itu setengah hendak ikut Nabi ﷺ dan setengah hendak ikut kata orang lain.
ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا لِلَّذينَ كَرِهوا ما نَزَّلَ اللهُ سَنُطيعُكُم في بَعضِ الأَمرِ ۖ وَاللهُ يَعلَمُ إِسرارَهُم
(SAHEEH INTERNATIONAL)
That is because they said to those who disliked what Allāh sent down,¹ “We will obey you in part of the matter.” And Allāh knows what they conceal.
•i.e., the Jews of Madīnah.
(MELAYU)
Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka (orang-orang munafik) itu berkata kepada orang-orang yang benci kepada apa yang diturunkan Allah (orang-orang Yahudi): “Kami akan mematuhi kamu dalam beberapa urusan”, sedang Allah mengetahui rahasia mereka.
ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا لِلَّذينَ كَرِهوا ما نَزَّلَ اللهُ
Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka berkata kepada orang-orang yang benci kepada apa yang diturunkan Allah:
Mereka yang berkata itu adalah golongan munafik.
Dan yang diturunkan oleh Allah ﷻ itu adalah Al-Qur’an.
Yang benci kepada Al-Qur’an itu adalah golongan kafir Quraisy.
Kisahnya, golongan munafik telah hantar maklumat kepada puak Quraisy yang memang sudah benci dengan Al-Qur’an.
سَنُطيعُكُم في بَعضِ الأَمرِ
“Kami akan mematuhi kamu dalam beberapa urusan”,
Golongan munafik sudah buat janji dengan puak Quraisy. Maknanya mereka tikam Nabi ﷺ dan orang mukmin dari belakang kerana puak Quraisy itu adalah musuh kepada umat Islam.
Golongan munafik itu beritahu yang mereka sebenarnya berpihak kepada Quraisy itu. Mereka kata mereka akan tolong puak Quraisy yang akan berperang dengan Muslim itu. Maknanya mereka hendak ikut Quraisy. Kerana Quraisy itu ketua Arab pada mereka.
Dan memang dalam Surah Baqarah disebut tentang mereka yang jumpa musuh Islam. Dan apabila ditegur tentang perbuatan mereka itu, mereka kata mereka buat islah (kebaikan).
Ayat yang dimaksudkan adalah Baqarah:11
وَإِذا قيلَ لَهُم لا تُفسِدوا فِي الأَرضِ قالوا إِنَّما نَحنُ مُصلِحونَ
Dan bila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi”. Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan perbaikan”.
Tafsiran kedua: Ada juga mufasir yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah Yahudi yang berada di Madinah. Golongan munafik itu lebih condong kepada Yahudi Madinah. Ini kerana golongan Yahudi tidak suka apabila wahyu Al-Qur’an diberikan kepada bangsa Arab. Mereka mahu ia diberikan kepada bangsa mereka juga. Jadi mereka dengki sangat apabila Nabi Muhammad ﷺ dapat wahyu.
وَاللهُ يَعلَمُ إِسرارَهُم
sedang Allah mengetahui rahsia mereka.
Allah ﷻ ingatkan mereka yang Dia tahu apa yang mereka rahsiakan. Kalimah سرر bermaksud rahsia. Sedangkan kalimah إسرار adalah sesuatu yang cuba dirahsiakan. Allah ﷻ beritahu yang apa yang mereka cuba rahsiakan itu, Allah ﷻ sudah tahu dan Allah ﷻ bongkarkan dalam ayat ini. Rancangan mereka untuk bersekongkol dengan Musyrikin Mekah (atau Yahudi di Madinah) itu Allah ﷻ tahu dan Allah akan bongkar nanti.
Ayat 27: Takhwif duniawi. Apakah nasib mereka nanti?
فَكَيفَ إِذا تَوَفَّتهُمُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ يَضرِبونَ وُجوهَهُم وَأَدبٰرَهُم
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Then how [will it be] when the angels take them in death, striking their faces and their backs?
(MELAYU)
Bagaimanakah (keadaan mereka) apabila malaikat mencabut nyawa mereka seraya memukul-mukul muka mereka dan punggung mereka?
فَكَيفَ إِذا تَوَفَّتهُمُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ
Bagaimanakah (keadaan mereka) apabila malaikat mencabut nyawa mereka
Apabila sifat mereka lain dari sifat orang mukmin sejati, maka natijah untuk mereka juga berlainan. Natijahnya nanti, mereka akan mati dalam azab. Allah ﷻ suruh mereka bayangkan bagaimanalah nanti keadaan mereka masa malaikat ambil nyawa mereka.
يَضرِبونَ وُجوهَهُم وَأَدبٰرَهُم
seraya memukul-mukul muka mereka dan punggung mereka?
Malaikat akan cabut nyawa mereka tetapi tidak cabut sahaja, bahkan sambil pukul muka mereka dan punggung mereka. Apabila dipukul muka mereka, maka akan naik belakang badan mereka dan malaikat pukul belakang pula. Bila pukul belakang maka naik muka, maka muka pula dipukul. Kejadian ini berulang-ulang kali. Maka kematian mereka amat menyeksakan.
Ayat 28:
ذٰلِكَ بِأَنَّهُمُ اتَّبَعوا ما أَسخَطَ اللهَ وَكَرِهوا رِضوٰنَهُ فَأَحبَطَ أَعمٰلَهُم
(SAHEEH INTERNATIONAL)
That is because they followed what angered Allāh and disliked [what earns] His pleasure, so He rendered worthless their deeds.
(MELAYU)
Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka mengikuti apa yang menimbulkan kemurkaan Allah dan kerana mereka membenci keredhaan-Nya, sebab itu Allah menghapus (pahala) amal-amal mereka.
ذٰلِكَ بِأَنَّهُمُ اتَّبَعوا ما أَسخَطَ اللهَ
Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka mengikuti apa yang menimbulkan kemurkaan Allah
Mereka jadi begitu kerana mereka buat apa yang menyebabkan Allah ﷻ marah. Allah ﷻ sudah ajar cara yang Allah ﷻ suka tetapi mereka tidak ikut juga dan hendak buat cara sendiri. Maka terimalah azab itu.
وَكَرِهوا رِضوٰنَهُ
dan kerana mereka membenci keredhaan-Nya,
Bukan itu sahaja, malah mereka benci dengan perkara yang diredhai oleh Allah ﷻ. Mereka tidak suka hendak buat perkara yang mereka tahu meredhakan Allah ﷻ sedangkan kita sepatutnya mencari redha Allah ﷻ.
Sebagai contoh, Allah ﷻ redha kepada mereka yang infak harta mereka pada jalan Allah ﷻ, tetapi mereka tidak mahu hendak buat kerana mereka tidak mementingkan untuk mendapatkan redha Allah ﷻ. Mereka sudah rasa cukup dengan apa yang mereka ada. Mereka tidak ada rasa suka pun untuk mencari redha Allah ﷻ.
فَأَحبَطَ أَعمٰلَهُم
sebab itu Allah menghapus (pahala) amal-amal mereka.
Maka Allah ﷻ akan musnahkan amal baik mereka. Bayangkan golongan munafik itu solat di belakang Nabi ﷺ tetapi pahala mereka tidak dikira. Bayangkan berapa banyak pahala yang mereka patut dapat – solat belakang Nabi ﷺ, menyebarkan Islam sebagai puak yang awal, beriman dengan Nabi ﷺ sendiri dan macam-macam lagi kelebihan sebagai golongan awal Muslim.
Tetapi itu semua tidak ada harga pada mereka. Pahala mereka semuanya hilang begitu sahaja. Mereka amat rugi kerana segala pahala dan usaha baik mereka dimusnahkan semua sekali. Padahal mereka sepatutnya untung sungguh kerana solat kita kalau dibandingkan dengan solat di belakang Rasulullah ﷺ tentu tidak sama. Mereka tidak dikira sebagai beramal kerana tikam belakang orang Islam.
Ayat 29: Zajrun. Teguran di atas sifat-sifat munafik.
أَم حَسِبَ الَّذينَ في قُلوبِهِم مَّرَضٌ أَن لَّن يُخرِجَ اللهُ أَضغٰنَهُم
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Or do those in whose hearts is disease think that Allāh would never expose their [feelings of] hatred?
(MELAYU)
Atau apakah orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya mengira bahawa Allah tidak akan menampakkan kedengkian mereka?
أَم حَسِبَ الَّذينَ في قُلوبِهِم مَّرَضٌ
Atau apakah orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya mengira,
Mereka sebenarnya tidak suka kepada Nabi Muhammad ﷺ. Mereka tidak suka dengan perubahan kuasa yang berlaku di Madinah kerana mereka sangka mereka yang patut berkuasa dan bukannya Nabi Muhammad ﷺ.
Tetapi mereka simpan perasaan tidak suka itu di dalam hati mereka sahaja, kerana kalau mereka keluarkan, nanti mereka tidak boleh jadi orang Islam lagi dan waktu itu yang berkuasa adalah orang Islam. Oleh kerana itulah mereka kena bermuka-muka dan tunjuk seolah-olah mereka orang mukmin.
Allah ﷻ tegur mereka: mereka sangka Allah ﷻ tidak tahukah apa yang ada dalam hati mereka?
أَن لَّن يُخرِجَ اللهُ أَضغٰنَهُم
bahawa Allah tidak akan menampakkan kedengkian mereka?
Adakah mereka sangka yang Allah ﷻ akan simpan sahaja sifat dengki mereka kepada agama Islam itu? Memang perasaan mereka itu duduknya di dalam hati tetapi Allah ﷻ keluarkan dengan memberi alamat zahir: sama ada dari kata-kata mereka atau dengan tindak tanduk mereka yang semua orang boleh lihat.
Memang mereka duduk bersama dengan orang mukmin dan zahirnya tidak nampak beza pun antara keduanya. Mereka nampak sama sahaja sampai Nabi ﷺ pun tidak boleh kenal mereka dengan mudah. Tetapi mereka itu masih boleh dikenali, cuma kena tengok lama-lama, baru boleh perasan.
Dalam Surah Taubah juga Allah ﷻ telah menjelaskan sifat-sifat mereka supaya mereka boleh dikenali. Maka kita pun kena belajar juga sifat-sifat mereka. Pertamanya, supaya kita pun kena bandingkan dengan diri kita (takut-takut kita pun ada sifat munafik itu; keduanya, supaya kita kenal mereka dan kita dapat berhati-hati dengan mereka.
Kalimah أضغان adalah bentuk jamak dari ضغن, iaitu kedengkian yang tersembunyi di dalam hati terhadap Islam, Rasulullah ﷺ dan para pengikut baginda yang berjuang menegakkan syiarnya.
Begitulah dengan orang zaman sekarang yang ada perasaan dendam kepada ajaran Sunnah. Kerana itu mereka akan buat berbagai-bagai helah untuk menjatuhkan ajaran sunnah di negara ini. Mereka sampai menggunakan cara yang kasar, cara yang jelek untuk menentang jalan sunnah.
Mereka terpaksa gunakan cara itu kerana dakwah sunnah semakin diterima oleh masyarakat. Mereka tidak suka, tetapi mereka tidak ada hujah kerana hujah mereka lemah. Maka mereka gunakan cara buruk termasuklah penipuan.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 10 Jun 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
One thought on “Tafsir Surah Muhammad Ayat 23 – 29 (Golongan munafik itu sudah murtad)”