Tafsir Surah Baqarah Ayat 6 – 11 (Golongan Munafik)

Baqarah Ayat 6: Ayat 6 – 7 menyebut ciri-ciri orang kafir. Mereka itu adalah golongan yang Allah murkai. Dalam dua ayat ini diberikan sifat mereka yang dimurkai seperti dalam ayat Al-Fatihah. Jadi, ayat ini ditujukan kepada orang Yahudi dan Munafik.

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا سَواءٌ عَلَيهِم ءأَنذَرتَهُم أَم لَم تُنذِرهُم لا يُؤمِنونَ

Sahih International

Indeed, those who disbelieve – it is all the same for them whether you warn them or do not warn them – they will not believe.

Malay

Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman.

 

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا

Sesungguhnya orang-orang yang kafir engkar;

Kenapa dipakai gelaran ‘kafir’ kepada mereka? Kerana dalam hati mereka ada sifat tolak kebenaran. ‘Kufur’ adalah satu perkataan yang umum. Banyak jenis kufur sebenarnya. Ada yang Syirik, ada yang tolak Nabi, ada yang tolak Al-Qur’an walaupun satu ayat.

Sebagai contoh, ada yang tolak hudud, ada yang tolak hukum faraid dan sebagainya. Ada yang jadi kufur dengan perbuatan mereka, sebagai contoh, mereka sujud kepada selain Allah, campak Al-Qur’an kerana hendak menghina Al-Qur’an dan sebagainya.

Jadi ada banyak cara untuk jadi kafir. Kafir dalam ayat ini adalah sengaja menutup kebenaran kerana degil. Mereka ini sudah tahu yang Al-Qur’an itu benar, tapi masih tolak juga. Mereka akan dihumbankan ke dalam neraka jahannam selama-lamanya. Kedegilan inilah yang menyebabkan kekafiran Yahudi dan Musyrikin Mekah kerana mereka tahu kebenaran tapi tolak kerana degil.

Itulah mereka yang sengaja menutup kebenaran kerana degil dalam hati mereka. Ini adalah orang-orang yang menolak ajakan dakwah Islam sampai kepada Peringkat keempat. Iaitu hati mereka telah dikunci mati.

Mulanya peringkat pertama, hati mereka ragu-ragu tentang Allah – itu sudah sifat orang munafik.

Peringkat Kedua: mereka lawan dengan hati – tidak mahu terima dakwah Islam.

Peringkat Ketiga: mereka lawan berdepan. Bila ayat Al-Qur’an dibacakan kepada mereka dan mereka sudah faham, tapi tetap tidak mahu terima. Ada yang kerana sayang kepada tok guru lagi daripada ayat Al-Qur’an. Ini dinamakan ‘Syirik Tok Guru’.

Peringkat Keempat: Apabila seseorang itu terus melawan berkali-kali dan menentang dengan keras, Allah akan mengunci mati hatinya dari terima kebenaran.

 

سَواءٌ عَلَيهِم ءأَنذَرتَهُم أَم لَم تُنذِرهُم

sama sahaja ke atas mereka, sama ada kamu beri ancaman kepada mereka, atau kamu tidak beri ancaman kepada mereka

Dalam menjalankan kerja dakwah, kita kena sampaikan kepada semua orang, tanpa memilih bulu, tidak kira sama ada mereka itu sahabat kita, ahli keluarga kita, sama ada orang kafir atau tidak.

 

لَا يُؤْمِنُونَ

mereka tidak beriman

Sama sahaja kalau beri peringatan atau tidak, kerana degil, mereka tidak akan beriman. Kerana orang degil tidak akan beriman.

Kita kena faham maksud ayat ini. Kalau kita salah faham, kita akan sangka bahawa tidak ada gunanya lagi berdakwah kepada ‘orang kafir’. Sebab kita mungkin kata kalau kita beri peringatan atau tidak, mereka tidak akan terima dakwah kita (kerana mereka orang kafir). Bukan begitu.

– pertamanya, siapa boleh tahu yang mereka itu jenis degil? Siapa yang boleh kata seseorang itu jenis kufur degil? Kita tidak boleh tahu kerana ianya adalah perkara dalam hati. Kalau kita agak sendiri, itu tidak tepat. Dan Allah pun tidak ada beri tanda mereka untuk kita kenal mereka. Maka kita kena dakwah kepada mereka.

– keduanya, mereka sahaja yang tidak akan berubah, bukan kita yang pergi dakwah Al-Qur’an kepada mereka. Kerana dalam ayat ini, Allah kata ‘ke atas mereka’. Mereka sahaja yang tak dapat faedah dengan dakwah itu, tapi setiap kali kita pergi dakwah kepada mereka, kita akan dapat faedah. Untuk dapat kekuatan iman, kita kena sampaikan kepada orang lain.

Lihatlah kisah Nabi Musa. Bukankah Allah suruh Nabi Musa dakwah kepada Firaun? Padahal Allah tahu yang Firaun tidak akan beriman sampai bila-bila, jadi kenapa suruh juga dakwah kepada Firaun? Allah suruh juga Nabi Musa pergi berdakwah kepada Firaun, kerana Nabi Musa akan meningkat imannya setiap kali baginda jumpa dan dakwah kepada Firaun.

Lagi satu, kita kena faham yang kafir yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang yang telah didakwah berkali-kali tapi mereka masih lagi tidak terima. Sampai kepada peringkat mereka lawan kita balik. Bayangkan orang Musyrikin Quraish itu didakwah sendiri oleh manusia yang paling mulia – Nabi Muhammad.

Tentulah cara dakwah Nabi adalah yang paling baik. Tapi walaupun begitu, mereka masih tidak terima. Malah mereka menentang dan cuba untuk membunuh Nabi. Bertahun-tahun Nabi Muhammad berdakwah kepada mereka tapi mereka masih tidak terima dan malah menentang baginda dengan keras. Allah telah kunci mati hati mereka dari menerima ajaran Islam.

Ayat ini bukan hanya merujuk kepada Musyrikin Mekah pada zaman Nabi. Kalau zaman sekarang, kalau kita dakwah kepada manusia dan ajak mereka kembali kepada Al-Qur’an dan sunnah, dan mereka engkar untuk terima, sampai kepada peringkat mereka lawan kita, maka mereka juga termasuk dalam golongan yang dimaksudkan dalam ayat ini.

Iaitu mereka yang telah diberikan dengan dalil-dalil dari Al-Qur’an dan Hadis Nabi, tapi mereka masih lagi tolak. Cara tolak mereka itu bermacam-macam. Tapi pada dasarnya, mereka tolak ayat-ayat Allah dan hadis Nabi.


 

Baqarah Ayat 7: Kenapa mereka takkan beriman? Kerana mereka berada pada kesesatan tahap keempat. Apa yang terjadi kepada mereka?

خَتَمَ اللهُ عَلىٰ قُلوبِهِم وَعَلىٰ سَمعِهِم ۖ وَعَلىٰ أَبصٰرِهِم غِشٰوَةٌ ۖ وَلَهُم عَذابٌ عَظيمٌ

Sahih International

Allah has set a seal upon their hearts and upon their hearing, and over their vision is a veil. And for them is a great punishment.

Malay

(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.

 

خَتَمَ اللهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ

Maka Allah kunci mati hati-hati mereka

Kalau tahap 1 sampai 3, masih ada harapan lagi. Tapi kalau sudah kufur tahap 4, setelah hati telah dikunci mati, tidak ada harapan kepada mereka. Ini dinamakan Khatmul Qalbi. Ini terjadi apabila mereka banyak sangat menolak ayat-ayat Qur’an.

4 peringkat hati rosak

وَعَلَىٰ سَمْعِهِمْ

dan ke atas pendengaran mereka;

Yang dikunci itu bukan telinga, tapi pendengaran mereka. Mereka dengar, tapi tak faham apa yang kita sampaikan. Macam kita panggil lembu. Lembu itu dengar suara kita, tapi dia tak faham yang kita sedang panggil dia.

 

وَعَلىٰ أَبصٰرِهِم غِشٰوَةٌ

dan ke atas penglihatan  mereka ada penutup.

Bukan mata yang dikunci tapi pemahaman. Macam lembu tengok kita, tapi mereka tidak mengerti apa-apa. Musyrikin Mekah boleh lihat bagaimana mulianya akhlak Nabi, tapi mereka tidak dapat terima dakwah Nabi.

Penutup itu adalah dalam bentuk rohani sahaja, bukanlah ada penutup yang betul.

 

وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

dan bagi mereka azab yang hebat.

Balasan kepada mereka adalah mereka akan kekal di dalam neraka selama-lamanya. Dan azab yang akan dikenakan kepada mereka amat berat sekali kerana mereka itu golongan yang degil dan golongan yang menentang kebenaran.

Habis Ruku’ 1 dari 40 surah ini


 

Baqarah Ayat 8: Tafsir bagi ayat dalam surah Fatihah – وَلَا ٱلضَّآلِّينَ (dan orang-orang yang sesat).

Ianya adalah berkenaan golongan Munafik. Dalam ayat ke 8 hingga ayat ke 20 adalah tentang ciri-ciri orang Munafik. Ingatlah bahawa orang munafik ini solat sama dengan Nabi. Mereka tak tinggal solat berjemaah bersama Nabi, kecuali solat Subuh dan Isya’. Jihad pun kadang-kadang mereka pergi, zakat pun kadang-kadang mereka bayar.

Mereka bersama Nabi dan para sahabat yang lain, tapi mereka tidak beriman sebenarnya. Tapi Allah masih lagi kata mereka kafir kerana mereka jahil dan mereka tidak menepati kehendak Islam dan kerana mereka itu ‘jahil akidah’.

Jahil akidah ini adalah amat bahaya sekali. Masyarakat kita pun ramai yang jahil akidah dan mereka dikira sudah berada atas pagar munafik. Jadi kalau mereka duduk bersama dengan kita, solat dengan kita, belum tentu mereka selamat lagi.

Ubatnya adalah belajar faham Al-Qur’an dari awal hingga akhir. Kita kena ajar mereka kerana takut mereka mati dalam ‘kufur jahil’. Iaitu mereka tidak tahu benda yang mereka wajib tahu dan yang wajib mereka tolak. Kita takut tanpa sedar mereka munafik. Bukan mereka sahaja, tapi kita pun kena takut diri kita pun tergolong dalam golongan munafik juga.

Oleh itu, kena ajak mereka datang belajar tafsir Al-Qur’an dan kita sendiri kena habis belajar tafsir Al-Qur’an. Kalau sudah belajar tafsir Al-Qur’an, mereka sendiri akan sedar yang apa yang mereka dulu ada buat adalah perkara yang salah.

Banyak maklumat tentang sifat munafik yang Allah sebut dalam Al-Qur’an sebab ramai yang punah kerana jahil dalam agama.

Orang munafik itu, pada zahirnya mereka nampak Muslim, tapi batinnya mereka kufur. Mereka itu bukan jenis ‘kufur engkar’, tapi ‘kufur jahil’. Maka, amat bahaya kalau tak belajar tafsir Al-Qur’an.

Kita juga kena faham antara ‘jahil akidah’ dan ‘jahil amalan’. Kalau ada yang hanya melakukan amalan munafik, masalah mereka kurang sikit sebab akhirnya mereka akan masuk syurga selepas duduk dalam neraka. Itu jikalau mereka tidak ada masalah akidah. Tapi kalau ada masalah akidah, tempat mereka adalah di dalam neraka selama-lamanya.

Jadi, dalam ayat-ayat selepas ini kita akan belajar tentang golongan Munafik. Tapi berhati-hati, bukan tugas kita untuk mengatakan atau menuduh orang lain sebagai munafik. Bukan ajaran Nabi untuk mengatakan seseorang itu munafik. Yang kita kena buat adalah kena belajar supaya kita boleh periksa diri kita takut-takut kita pun munafik juga.

Iaitu kita kena periksa diri kita dahulu, bukan gunakan pengetahuan ini untuk melihat atau menilai seseorang itu munafik atau tidak. Bukannya untuk kita senang-senang nak tuduh orang lain munafik, lebih-lebih lagi kalau mereka tidak setuju dengan kita. Oleh itu, berhati-hatilah dan jaga hati kita dari terjerumus dalam perkara ini.

وَمِنَ النّاسِ مَن يَقولُ ءآمَنّا بِاللهِ وَبِاليَومِ الآخِرِ وَما هُم بِمُؤمِنينَ

Sahih International

And of the people are some who say, “We believe in Allah and the Last Day,” but they are not believers.

Malay

Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat”; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.

 

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ

Dan ada diantara manusia itu yang berkata:

Mereka itu adalah golongan munafik. Kalau bab mengaku, memang mereka nombor satu. Merata-rata mereka akan canangkan iman mereka.

 

ءآمَنَّا بِاللهِ

“Kami beriman dengan Allah”

Golongan munafik ini memang mengaku mereka beriman dan mereka menampakkan keislaman mereka dari segi zahir atau lahiriah. Mereka mengaku begitu kerana mereka takut disisih oleh masyarakat.

 

وَبِالْيَوْمِ الْآخِرِ

“dan beriman dengan hari akhirat”;

Dalam ayat ini, mereka mendakwa dengan lidah mereka yang mereka beriman. Dalam ayat ini, mereka mengatakan mereka beriman dengan dua rukun iman: ‘percaya kepada Allah’ dan ‘percaya kepada Hari Akhirat’. Disebut hanya dua rukun iman untuk merangkumi kesemua rukun iman yang lain. Tidak perlu disebut kesemua rukun iman.

Tetapi, walaupun mereka mengaku dengan mulut mereka sendiri, Allah nafikan keimanan dalam hati mereka. Lafaz mereka benar, tapi hati mereka yang tidak benar. Mereka hanya dakwa dengan lidah sahaja sedangkan lidah bukan tempat iman. Iman yang duduk dalam hati.

Dan ada perkara iman yang mereka tak terima lagi. Contohnya, mereka kata boleh guna perantaraan dalam berdoa (tawasul). Itu adalah satu fahaman yang salah, dan kalau ada satu sahaja salah dalam hal akidah pun sudah cukup untuk membahayakan mereka.

Orang munafik memang akan mengaku yang mereka beriman. Mereka kata mereka solat juga dan mereka beriman juga. Tapi sebenarnya hati mereka tidak. Lihatlah bagaimana mereka sendiri rasa bahawa mereka itu ada masalah. Jadi mereka akan datang sendiri tanpa dipinta untuk menyatakan ‘keislaman’ mereka. Ini sama macam anak-anak kita yang tiba-tiba akan beritahu mereka tidak bersalah – bermakna, mereka mesti ada buat salah.

 

وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِينَ

Mereka sebenarnya tidak beriman.

Allah sendiri beritahu yang mereka itu tidak beriman. Mereka tidak beriman dalam hati mereka. Allah tahu apa yang dalam hati mereka dan kerana itu Allah boleh kata mereka itu munafik (kita tidak boleh nak menuduh orang lain). Mereka hanya dipanggil ‘Muslim’ kerana duduk sekali dengan orang Islam yang lain.

Kalau mereka duduk tinggal di Amerika contohnya, mereka akan ikut perangai orang Amerika. Sebab waktu itu, mereka tak malu dengan sesiapa lagi. Cuma sebab mereka duduk sekali dengan orang Muslim lainlah yang mereka kena buat perangai Islam tu.


 

Baqarah Ayat 9: Apakah sifat mereka ini?

يُخٰدِعونَ اللهَ وَالَّذينَ ءآمَنوا وَما يَخدَعونَ إِلّا أَنفُسَهُم وَما يَشعُرونَ

Sahih International

They [think to] deceive Allah and those who believe, but they deceive not except themselves and perceive [it] not.

Malay

Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.

 

يُخٰدِعُونَ اللهَ

Mereka hendak tipu Allah Taala;

Tapi bolehkah mereka hendak menipu Allah? Tentu tidak boleh. Maknanya, mereka menipu wakil Allah, iaitu Nabi Muhammad.

 

وَالَّذِينَ ءآمَنُوا

Dan (mereka nak tipu) orang-orang yang beriman.

Iaitu mereka hendak menipu para sahabat Nabi. Mereka cuba nak tipu orang beriman. Mereka hendak dilihat sebagai orang beriman juga dan tidaklah canggung dengan orang Muslim yang lain.

Kenapa mereka dikira menipu? Kerana mereka sebut apa yang bukan dalam hati mereka.

 

وَما يَخدَعونَ إِلّا أَنفُسَهُم

Tidaklah mereka menipu melainkan diri mereka sendiri

Kesan penipuan itu akan terkena kepada diri mereka kerana penipuan itu akan menyebabkan bahana kepada diri mereka. Tidaklah penipuan mereka itu akan memberi kesan bahaya kepada orang lain melainkan diri mereka sendiri sahaja. Malangnya, mereka sendiri pun tidak sedar.

 

وَمَا يَشْعُرُونَ

dan mereka sebenarnya tidak sedar. 

Akhirnya mereka menipu diri mereka sendiri, tapi mereka tidak sedar. Ini adalah kerana mereka tidak ada kefahaman dalam agama. Mereka tidak faham agama dengan kefahaman yang sebenar. Mereka tidak faham yang kefahaman agama kena ikut neraca Al-Qur’an. Bukannya ikut suka sendiri dan kata-kata guru-guru mereka.

Mereka sendiri tidak sedar bahawa mereka adalah munafik. Mereka sangka mereka sudah Muslim. Jadi, kita amat takut kalau-kalau kita sekarang ini pun munafik juga. Kita sekarang sangka kita sudah Muslim. Tapi mungkin tanpa kita sedar, kita rupanya tergolong dalam golongan munafik juga.

Oleh itu, kita kenalah periksa diri kita dan bandingkan dengan kehendak dalam Al-Qur’an. Munafik ini adalah satu penyakit hati. Kalau sesuatu penyakit itu, mesti ada tanda-tandanya. Jadi kita kena tahu apakah tanda orang munafik itu. Tanda-tanda itu diterangkan dalam ayat-ayat seterusnya.

Lihatlah, kalau duduk dengan Nabi pun boleh jadi salah faham, boleh keliru, lalu bagaimana agaknya dengan kita zaman sekarang? Ini amat menakutkan.

Nabi tak sebut siapakah yang munafik pada zamannya itu. Kerana mungkin mereka akan jadi beriman berkat duduk dengan Nabi dan rapat dengan Al-Qur’an. Maka itulah sebabnya Nabi tak pernah sebut nama mereka (untuk jaga nama baik mereka). Begitu jugalah kita ini. Kita harap dengan kita terus belajar Al-Qur’an ini akan dapat mengeluarkan kemunafikan jika ada dalam diri kita.


 

Baqarah Ayat 10:

فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ ٱللَّهُ مَرَضً۬ا‌ۖ وَلَهُم عَذَابٌ أَلِيمُۢ بِمَا كَانُواْ يَكذِبُونَ

Sahih International

In their hearts is disease, so Allah has increased their disease; and for them is a painful punishment because they [habitually] used to lie.

Malay

Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).

 

فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ

Dalam hati mereka ada penyakit;

Mereka itu digelar sebagai munafik kerana dalam hati mereka ada ‘penyakit’. Kerana penyakit ini, keimanan tidak dapat masuk dalam diri mereka. Apakah maksud ‘penyakit’ dalam ayat ini? Dalam ayat ini, penyakit yang dimaksudkan adalah penyakit akidah yang rosak.

Dalam ayat lain, maksud penyakit lain pula, oleh kerana itu tidak semua penyakit itu sama. Kena tengok kepada apa yang hendak disampaikan dalam ayat itu. Jangan kita sangka kalau disebut ‘penyakit’ dalam ayat-ayat yang lain, ianya bermaksud penyakit akidah pula.

Penyakit dalam ayat ini bermaksud dengki, atau benci kepada kebenaran. Ia juga bermaksud dengki dengan orang yang membawa kebenaran. Ini adalah satu sifat yang amat bahaya dan perlu dikeluarkan. Kalau seseorang itu boleh buang perasaan itu, barulah boleh masuk iman dalam hati. Kalau tidak, sampai bila-bila pun iman tidak masuk.

Berapa ramai yang ada masalah ini? Tentulah ramai yang kita tahu berpenyakit seperti ini. Iaitu mereka yang apabila maksud Al-Qur’an dibawa kepada mereka, mereka benci dan tolak kerana ianya berlainan dengan fahaman mereka.

Satu lagi penyakit mereka adalah syak dan ragu-ragu tentang Allah. Mereka ragu dengan Tuhan sendiri. Ini disebabkan oleh kerana hawa nafsu. Penyakit itu telah mengakibatkan rosak akidah. Yang mereka ragukan itu adalah tentang agama.

Iaitu mereka rasa kalau mereka doa sendiri kepada Allah, Allah tak layan doa mereka, maka mereka kena dapatkan orang lain untuk doakan untuk mereka. Inilah yang dinamakan tawasul dalam doa (yang dilarang).

Mereka juga mementingkan diri sendiri. Kalau Islam beri faedah kepada mereka, mereka terima, kalau tidak beri untung, mereka akan tolak. Contohnya, ada manusia yang menyertai parti politik, bukan untuk membela Islam, tapi sebenarnya hendak mendapatkan kuasa.

Allah sendiri kata dalam ayat ini bahawa Munafik itu adalah satu jenis penyakit. Jadi kita kena tahu apakah simtom-simton penyakit itu. Kerana setiap penyakit ada tanda-tandanya.

 

فَزَادَهُمُ اللهُ مَرَضًا ۖ

Maka Allah akan tambah bagi mereka penyakit baru;

Apabila mereka sudah ada penyakit itu, Allah akan tambah penyakit baru. Ianya akan bertambah apabila semakin banyak ayat Al-Qur’an yang mereka tolak. Penyakit itu akan bertimpa-timpa ke atas mereka.

Apakah penyakit yang ditambah itu? Penyakit ragu-ragu mereka itu akan ditambah oleh Allah sampai akhirnya mereka akan berbuat syirik kepada Allah. Mereka akan rasa kalau mereka berdoa sendiri, doa mereka tidak diterima. Kerana mereka rasa mereka tidak layak didengar oleh Allah. Kerana mereka banyak dosa dan sebagainya.

Maka mereka akan menggunakan orang lain sebagai perantaraan untuk menyampaikan doa mereka kepada Allah. Maka mereka akan bertawasul dalam berdoa. Maka itu adalah perbuatan syirik. Asalnya mereka ada perasaan ragu-ragu. Kemudian Allah tambah penyakit itu apabila mereka terus di dalam perasaan itu. Apabila mereka melaksanakannya, maka mereka telah melakukan perbuatan syirik. Mula-mula ragu sahaja, tapi kemudian mereka laksanakan.

Ingatlah, jikalau kita sombong dalam ibadat untuk baca doa terus kepada Allah (tanpa melalui perantaraan), Allah akan masukkan kita ke dalam neraka jahannam. Mereka yang buruk sangka kepada Tuhan menyangka yang Tuhan tidak akan makbulkan doa mereka kalau mereka doa sendiri.

Padahal, Allah itu Maha Mendengar rintihan hambaNya. Dan Allah suruh kita doa terus kepadaNya. Bukan melalui perantaraan. Mereka yang ada prasangka begitu adalah kerana mereka rasa sangsi dengan Allah.

 

وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

dan bagi mereka azab yang pedih;  

Untuk orang munafik, diberikan ‘azab yang pedih’. Ini lagi teruk dari yang diberikan kepada orang kafir. Kerana azab yang pedih, adalah azab yang tidak berkurangan langsung.

 

بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ

dengan apa yang mereka dustakan;

Mereka bohong kerana cakap apa yang bukan dalam hati mereka. Jadi mereka dikenakan azab itu adalah kesalahan mereka sendiri.

Jadi, ini adalah simptom pertama orang yang ada penyakit munafik – mereka suka menipu. Kita pun sudah tahu yang salah satu dari sifat munafik adalah menipu bila berkata.


 

Baqarah Ayat 11: Allah ajar cara bagaimana nak mengenali mereka. Kalau Allah tak ajar, kita tak tahu kerana ianya tidak jelas kepada kita. Kerana ianya adalah penyakit dalaman. Dari alamat ini, kita boleh kenal sifat-sifat itu. Macam juga kalau kita nampak asap, itu adalah tanda adanya api.

Pertama, mereka salah faham dengan kebenaran. Mereka tak nampak kebenaran dan mana yang benar, sebaliknya yang salah, mereka kata betul. Apabila kita tunjuk dalil-dalil dari Al-Qur’an kepada mereka dan mereka tolak, kita sudah boleh agak yang mereka itu ada penyakit munafik dalam diri mereka.

Begitulah mereka, apabila diberi dalil dan bukti yang sahih, mereka susah nak terima. Mereka nak pakai fahaman mereka sahaja. Padahal, yang kita bawa adalah nas Al-Qur’an, bukannya kata-kata kita sendiri. Dan memang sepatutnya kita kena dakwah dengan ayat Al-Qur’an dan sunnah. Jangan bawa dalil yang lain.

وَإِذا قيلَ لَهُم لا تُفسِدوا فِي الأَرضِ قالوا إِنَّما نَحنُ مُصلِحونَ

Sahih International

And when it is said to them, “Do not cause corruption on the earth,” they say, “We are but reformers.”

Malay

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab: ” Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan”.

 

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ

Dan apabila dikatakan kepada mereka:

Sahabat yang melihat perangai mereka pun rasa lain macam. Sebab mereka boleh lihat yang golongan Munafik itu buat perkara yang pelik-pelik seperti pergi berjumpa dengan orang Yahudi. Maka, para sahabat yang beriman pun telah menegur mereka, kenapa pergi lagi ke majlis orang Yahudi?

Begitulah orang yang sudah belajar, apabila mereka lihat sesuatu yang tak kena, mereka akan tegur terus kesalahan orang lain, tidaklah tengok sahaja.

 

لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ

Janganlah kamu berbuat kerosakan di atas muka bumi;

Orang-orang yang beriman memberi nasihat kepada orang-orang Munafik itu supaya jangan buat kerosakan. Apakah ‘kerosakan’ yang dimaksudkan itu? Untuk kita memahami ayat ini, kita kena faham sejarah Madinah sebelum zaman Nabi Muhammad datang ke Madinah. Orang Anshar ada tok guru dari golongan Yahudi.

Orang Yahudi itu adalah sumber rujukan mereka dalam agama. Itu sebelum kedatangan Islam. Kerana mereka tahu bahawa orang-orang Yahudi itu telah lama beragama dan ada kitab dari Allah. Jadi mereka menghormati golongan Yahudi itu.

Apabila Nabi Muhammad sudah ada di kalangan mereka, mereka akan berjumpa dengan pendita Yahudi menceritakan tentang ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Pendita Yahudi akan berkata begini dan begitu. Kemudian golongan Munafik itu akan membawakan apa yang mereka dapat dari Pendita Yahudi kepada kaum mereka.

Mereka kata pendita Yahudi itu yang betul kerana Yahudi itu lagi lama dapat ilmu agama dari Nabi Muhammad. Jadi, mereka laga-lagakan sahabat Nabi dengan Nabi Muhammad. Mereka kata Nabi pula yang tak betul. Itulah kerosakan yang dimaksudkan dalam ayat ini. Kerosakan yang dimaksudkan adalah kerosakan dalam perkara agama. Iaitu kepercayaan yang bertentangan dengan wahyu. Jadi ini bukannya kerosakan potong pokok dan tarah bukit.

Orang munafik itu masih lagi berkawan dengan pendita Yahudi yang mereka rujuk itu walaupun setelah Nabi Muhammad berada di kalangan mereka dan mereka pun mengaku telah beragama Islam. Mereka masih tidak percaya sepenuhnya kepada Nabi Muhammad. Jadi mereka nak kawan dengan dua-dua pihak.

Mereka nak lihat siapakah yang akan menang. Mereka tidak sepenuhnya duduk dalam Islam. Dan kerana mereka masih tetap pergi berjumpa dengan orang Yahudi, orang lain yang tengok pun rasa macam tidak salah pergi berjumpa dengan Yahudi dan mengambil agama dari Yahudi. Ini juga merosakkan fahaman orang lain.

Ini terjadi sebab mereka tidak ada pegangan agama yang kuat. Mereka tidak faham agama dengan sebenarnya, kerana mereka tidak belajar dengan betul. Mereka kejap ke sana dan kejap ke sini.

Sebenarnya tak boleh begitu, kerana ajaran yang suci tak boleh campur dengan yang cemar. Sepatutnya salah faham mereka itu kena dibersihkan terus. Mereka sepatutnya sudah tidak boleh rujuk lagi kepada pendita-pendita Yahudi itu.

Adakah perkara yang sama berlaku zaman sekarang? Memang ada. Ada yang dengar apa yang ustaz Sunnah katakan dan mereka balik beritahu kepada ustaz-ustaz mereka yang mengajar perkara bidaah. Ustaz itu pula kata tak betul ajaran yang kita sampaikan sebab tak sama ilmu kita dan mereka.

Memang tidak sama kerana kita menggunakan dalil dari Al-Qur’an dan Sunnah, tapi guru-guru mereka tidak pun belajar Al-Qur’an dan Hadis Nabi. Jadi kerosakan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah melaga-lagakan Nabi Muhammad dan para sahabat. Begitu juga ada orang yang melagakan antara ajaran berasaskan sunnah dan tidak sunnah pada zaman sekarang.

 

قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ

Mereka jawab: Sebenarnya kami orang yang nak buat baik;

Selepas ditegur, puak munafik itu menjawab seperti yang disebut dalam surah ini, dalam nada membantah. Mereka kata: kami ini hendak mendamaikan orang yang berbalah, sebenarnya; Ini adalah kerana mereka nampak Nabi ada kebenarannya, tapi mereka nampak puak yahudi pun ada kebenaran juga, maka kononnya mereka nak jadi orang tengah.

Kononnya nak jadi orang tengah supaya dua pihak itu mencari persamaan antara mereka dan dapat berdamai. Mereka rasa mereka sedang buat kebaikan, tapi sebenarnya tidak. Mereka kata mereka bukan mereka nak lagakan, tapi nak buat baik.

Mereka kata mereka sebenarnya mencari kebenaran. Tapi itu tidak benar. Apa yang mereka lakukan adalah membunuh ajaran agama. Mereka sebenarnya berbuat kerosakan.

Ini macam perbezaan antara puak sunnah dan puak sekolah pondok pada zaman sekarang. Puak Sunnah berpegang kepada ajaran Sunnah tapi puak sekolah Pondok banyak yang berpegang kepada ajaran yang bidaah (ajaran tok nenek yang sudah lama diamalkan di negara ini). Jadi, adalah golongan yang kononnya nak satukan dua kumpulan yang berbeza pegangan ini. Kononnya nak pakai dua-dua fahaman.

Nampak macam sedap dan molek apa yang mereka katakan itu. Tapi mereka tak faham bahawa kebenaran hanya satu sahaja. Yang mereka nampak dua-dua belah pihak ada juga kebenaran itu adalah kerana mereka jahil. Kefahaman mereka tidak jelas dan tidak betul. Sahabat lain sudah faham dah, tapi mereka sahaja yang masih tidak faham.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 Oktober 2019

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

8 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 6 – 11 (Golongan Munafik)”

  1. Assalamualaikum
    Sy ada sedikit kekeliruan
    Apabila kita memberi sedekah kepada peminta sedekah Dan Kita meminta dia mendoakan kesejahteraan Kita
    Atau
    Kita hendak bermusafir Dan Kita Mohon keluarga dan teman2 mendoakan keselamatan kita
    Adakah contoh2 ini Kita telah menggunakan perantaraan (tawasul) dalam berdoa kepada Allah SWT atau memang dibolehkan
    Tq

    Like

    1. Pertama, tidak perlu nak minta peminta sedekah mendoakan kita. Kerana kita telah buat amal kebaikan, maka doa kita yang makbul waktu itu.
      Dan kedua, kalau hendak musafir, maka doa kita yang makbul. Kita yang patutnya doa untuk mereka.
      Jadi dalam dua kes ini, tidak perlu pun hendak minta doa orang lain.

      Ya, minta doa orang lain itu termasuk tawasul. Maka elakkan langsung. Boleh, kalau niat kita hendak ingatkan orang untuk berdoa. Itu sahaja. Perkara nampak kecil, tapi begitulah kita hendak melatih diri kita. Tahan diri kita dari berharap kepada doa orang lain.

      Like

  2. jangan tafsir ikut nafsu bro. nyatakan tafsiran siapa, jika apa yang bro tulis tu bukan tafsiran ayat..lebih baik tulis ia sebagai ulasan tafsir… Bro layak menafsir ayat Al-Qur’an ke? kalau layak xpe lah..

    Like

    1. saya sudah beri kitab dan kelas rujukan saya dalam setiap pos. boleh baca sampai hujung.

      dan saya tak layak tafsir sendiri, saya cuma sampaikan yang ulama’ tafsir sahaja. tuan yang bertanya sudah belajar tafsir kah sampai habis 30 juzuk? saya sudah habis dan bukan sekali sahaja, lebih dari sekali.
      saya tanya tuan sebab kalau saya salah tafsir, boleh tegur di mana kesalahan saya. saya sanggup ubah tafsir itu. sebab saya mahukan kebenaran. itu niat saya.

      saya tak perlu nak ulas kitab secara khusus, sebab semua orang boleh baca sendiri sahaja. yang saya sampaikan tafsir yang saya belajar untuk orang yang hendak belajar. dan dikaitkan dengan situasi semasa.
      dan kepada yang tidak hendak belajar, semoga timbul rasa minat untuk belajar. kerana tafsir memang wajib dipelajari. jadi saya mudahkan bahasa bagi orang awam kerana kalau dari kitab, orang susah nak faham.

      kena buka hati dan iman. bila baca quran dan tafsirannya. kalau ada yang terasa dengan tulisan saya, bukannya saya yang kena ubah tafsir itu, tapi orang itu yang kena ubah diri dia. sebab berlawanan dengan wahyu Allah. bukannya wahyu Allah yang kena ubah. ini asas: kita kena ikut wahyu; bukan wahyu kena ikut kita. itu kalau nak jadi orang bertaqwa lah.

      itulah tanda ‘hamba Allah’. bukan jadi hamba nafsu. hamba nafsu adalah ikut benda yang tidak ada dalil.

      terima kasih sebab membaca tulisan saya. saya harap anda terus baca. sebab ini anda baru sampai ayat 6 Baqarah sahaja. Kena teruskan lagi. fi amanillah.

      Like

      1. Orang yang dlm hati sikap menentang, Allah tutup hati mereka kpd kebenaran.

        Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

        وَا لَّذِيْنَ سَعَوْ فِيْۤ اٰيٰتِنَا مُعٰجِزِيْنَ اُولٰٓئِكَ لَهُمْ عَذَا بٌ مِّنْ رِّجْزٍ اَلِيْمٌ
        “Dan orang-orang yang berusaha menentang ayat-ayat keterangan Kami sambil menyangka dapat melepaskan diri (dari hukuman Kami), – mereka itu akan beroleh azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
        (QS. Saba’ 34: Ayat 5)

        Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

        وَاِ ذَا قَرَأْتَ الْقُرْاٰ نَ جَعَلْنَا بَيْنَكَ وَبَيْنَ الَّذِيْنَ لَا يُؤْمِنُوْنَ بِا لْاٰ خِرَةِ حِجَا بًا مَّسْتُوْرًا 
        “Dan apabila engkau membaca Al-Quran , Kami jadikan perasaan ingkar dan hasad dengki orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu sebagai dinding yang tidak dapat dilihat, yang menyekat mereka daripada memahami bacaanmu.”
        (QS. Al-Isra’ 17: Ayat 45)

        Like

    2. Ya Hamba Allah…
      Jangan terjah orang macam tu. Kalau nak balas, balaslah dgn ilmu yang ada. Ayat yang tuan guna mencerminkan sikap tuan punya tulisan.
      Kalau rasa tuan yang benar, tak pe lah….hihihi

      Like

    3. Alhamdulillah dan jazakallahukhairan kepada sdra penulis blig.

      Setakat yang saya baca, nota blog Celik Tafsir ini komprehensif dan sangat bermanfaat. Ianya juga sama seperti yang disyarahkan oleh Al-Fadhil Maulana Abdul Hadi Yaakob (MAHY) yang mempunyai sanad dan juga merujuk kepda banyak kitab-kitab tafsir.

      Yang tidak pernah ikuti MAHY, boleh semak profil serta sanad beliau dan ikuti daurah tafsir MAHY melalui link berikut :

      https://t.me/DaurahTafsir2022

      Like

  3. terima kasih atas usaha buat celiktafsir ini. sngt membantu untuk saya paham lebih mendalam tentang al quran. selama ini saya hanya baca al quran tanpa baca tafsiran. tetapi bacaan saya jadi lebih indah bila baca tafsiran sekali.

    Like

Leave a comment