Baqarah Ayat 12:
أَلَآ إِنَّهُم هُمُ ٱلمُفسِدُونَ وَلَـٰكِن لَّا يَشعُرُونَ
Unquestionably, it is they who are the corrupters, but they perceive [it] not.
Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.
أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ
Ketahuilah, mereka itulah sebenarnya berbuat kerosakan
Allah beritahu dalam ayat ini yang orang-orang Munafik itu sebenarnya berbuat kerosakan, kerana mereka telah menjadikan kebenaran nampak samar. Sepatutnya kebenaran itu sudah jelas.
Bayangkan, orang luar yang nampak mereka, akan jadi ragu-ragu. Iaitu apabila mereka lihat golongan munafik itu, mereka jadi ragu. Mereka akan terfikir, kalau Nabi Muhammad itu sudah benar, kenapa pula ada golongan yang pergi juga kepada orang Yahudi? Itu menjadi satu kerosakan yang besar.
وَلَـٰكِن لَّا يَشعُرُونَ
Sedangkan mereka itu tidak sedar
Tapi mereka sendiri tidak sedar kerana mereka salah faham. Sepatutnya apabila diberi pengajaran dari Al-Qur’an, mereka kena terima sepenuhnya, bukan terima sikit-sikit. Kalau tak terima sepenuhnya, maka mereka akan terus berada dalam keraguan. Maka Allah telah sebut kesalahan mereka dalam ayat ini.
Allah telah cabutkan kefahaman agama dari mereka kerana mereka bersifat munafik dari mulanya lagi.
Ayat ini jenis takhliah. Iaitu nasihat untuk menghilangkan sifat munafik. Berbeza dengan tahliah, iaitu sesuatu yang perlu dipenuhi dalam hati. Jadi, ada yang kena kosongkan, ada yang kena tinggalkan. Kerana kalau tidak ditinggalkan, iman tidak dapat masuk.
Baqarah Ayat 13:
وَإِذَا قِيلَ لَهُم ءَامِنُواْ كَمَآ ءَامَنَ ٱلنَّاسُ قَالُوٓاْ أَنُؤمِنُ كَمَآ ءَامَنَ ٱلسُّفَهَآءُۗ أَلَآ إِنَّهُم هُمُ ٱلسُّفَهَآءُ وَلَـٰكِن لَّا يَعلَمُونَ
And when it is said to them, “Believe as the people have believed,” they say, “Should we believe as the foolish have believed?” Unquestionably, it is they who are the foolish, but they know [it] not.
Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman”. Mereka menjawab: “Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?” Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ
Dan apabila dinasihatkan kepada mereka:
Ini apabila nasihat diberikan kepada mereka lagi.
ءآمِنُوا كَمَا ءآمَنَ النَّاسُ
Berimanlah kamu sepertimana berimannya manusia;
Nasihat diberikan lagi kepada mereka, supaya duduk dan ambil ilmu dengan Nabi sahaja. Tak perlu nak belajar Taurat atau Injil lagi. Tak perlu nak pergi kepada pendita Yahudi dan ambil ilmu dari mereka.
Ini adalah nasihat dalam bentuk tahliah – untuk buat sesuatu, masukkan sesuatu. Iaitu ambil ilmu yang Nabi sampaikan. Mereka dinasihati untuk ikut macam para sahabat Nabi yang setia. Sahabat yang setia dan beriman itu duduk belajar dengan Nabi sahaja. Mereka sudah tidak rujuk kepada golongan Yahudi lagi.
Begitu juga dengan orang yang hendak terima sunnah. Tak perlu lagi nak pergi belajar dengan guru-guru yang mengajar tanpa mengikut ajaran Sunnah. Jangan pergi lagi kepada guru yang mengajar bidaah.
قَالُوا أَنُؤْمِنُ كَمَا ءآمَنَ السُّفَهَاءُ
Mereka jawab: patutkah kami beriman sepertimana berimannya orang yang bodoh-bodoh?
Apabila mereka diberi nasihat sebegitu, puak-puak Munafik itu jawab: puak yang duduk dengan Nabi Muhammad sahaja itu jenis orang yang bodoh. Mereka pula sudah biasa mengaji dengan puak Yahudi. Mereka kata mereka belajar dengan orang yang tahu baca Kitab, sedangkan Nabi Muhammad itu tidak tahu pun baca kitab. Mereka kata: Lihatlah bagaimana orang kampung dia (Mekah) sampai halau dia, bukan?
Mereka pandang rendah pada Nabi Muhammad; mereka pun melihat sahabat Nabi yang taat dengan Nabi itu pun jenis tidak pandai, tak pandai cari harta macam orang Yahudi. Memang orang Yahudi kaya raya.
Kumpulan munafik itu juga mengatakan orang-orang Muhajirin yang telah berpindah dari Mekah itu bodoh-bodoh belaka. Mereka kata Muhajirin itu bodoh kerana meninggalkan segala apa yang mereka ada semasa di Mekah dulu. Jadi mereka tidak mahu bersama dengan orang-orang yang mereka kata bodoh itu.
Zaman sekarang pun ada juga orang sebegini. Apabila kita ajak mereka untuk belajar sepertimana orang-orang yang dah belajar Al-Qur’an dan Sunnah, mereka akan kata mereka yang belajar Al-Qur’an dan Sunnah itu bodoh. Mereka akan suruh kita belajar lagi. Mereka akan kata kita tak habis belajar lagi. Ini kerana mungkin mereka pun ada pengajian mereka (pondok, tarekat dan sebagainya) yang pada mereka lebih hebat lagi dari belajar tafsir Al-Qur’an dan hadis Nabi.
Mereka rasa mereka sudah pandai kerana mereka telah belajar dengan banyak guru dan banyak sudah mentelaah kitab-kitab karangan manusia. Padahal mereka tidak sedar bahawa yang mereka belajar itu adalah ilmu yang salah kerana tidak berdasarkan Al-Qur’an dan sunnah.
أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ السُّفَهَاءُ
Ketahuilah, sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh
Allah beritahu kepada kita siapa yang bodoh sebenarnya. Mereka yang telah silap pilih fahaman dalam agama, maka merekalah yang bodoh, bukannya orang lain yang belajar ilmu wahyu.
وَلَـٰكِن لَّا يَعلَمُونَ
tapi mereka tidak tahu;
Mereka tak sedar bahawasanya merekalah yang tidak berilmu. Walaupun orang-orang Munafik itu kata pengikut-pengikut Nabi itu bodoh, tapi sebenarnya merekalah yang bodoh, iaitu bodoh dan jahil dalam hal agama. Al-Qur’an yang benar pun mereka tak mahu belajar. Mereka tak boleh bezakan manakah nafsu dan mana wahyu. Yang mereka kejar adalah nafsu, bukannya wahyu.
Mereka tak tahu perkara-perkara yang benar, kerana kalau hendak tahu, kena belajar. Tapi mereka tak mahu belajar.
Baqarah Ayat 14:
وَإِذا لَقُوا الَّذينَ ءآمَنوا قالوا ءآمَنّا وَإِذا خَلَوا إِلىٰ شَيٰطينِهِم قالوا إِنّا مَعَكُم إِنَّما نَحنُ مُستَهزِءونَ
And when they meet those who believe, they say, “We believe”; but when they are alone with their evil ones, they say, “Indeed, we are with you; we were only mockers.”
Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: ” Kami telah beriman “, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:” Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)”.
وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ ءآمَنُوا
Apabila mereka berjumpa dengan orang beriman;
Iaitu apabila mereka berjumpa sahabat-sahabat Nabi.
قَالُوا ءآمَنَّا
Mereka berkata: “Kami beriman”;
Mereka tahu mereka salah, oleh itu mereka cepat-cepat kata bahawa mereka sebenarnya beriman. Mereka tak mahu nampak canggung kalau tidak mengaku beriman dengan Rasulullah.
Mungkin timbul persoalan: Kenapakah agaknya golongan Munafik itu tidak terus sahaja tinggalkan Nabi dan para sahabat yang beriman? Bukankah senang kalau begitu?
Golongan munafik itu tidak terus mengaku kafir dan duduk terus sebelah pihak Yahudi kerana kalau mereka mengaku kafir, mereka akan dihukum bunuh. Itu adalah hukum hudud. Kerana dakwah kepada orang kafir itu hanya tiga hari sahaja, kalau tak masuk Islam atau tidak bayar pampasan, mereka akan dibunuh. Oleh itu, mereka tidak berani nak mengaku kafir terus. Jadi, di depan Nabi dan para sahabat, mereka mengaku mereka beriman.
Jadi, hidup mereka susah sebenarnya. Bila duduk dengan para sahabat yang beriman, mereka kata mereka beriman juga. Dan mereka pergi majlis Nabi juga. Mereka hidup berpura-pura.
وَإِذَا خَلَوْا إِلَىٰ شَيٰطِينِهِمْ
Dan apabila mereka berpaling pergi kepada syaitan-syaitan mereka;
Iaitu yang dimaksudkan tok guru-tok guru mereka dari kalangan Pendita Yahudi itu.
Nota: di sini kita boleh lihat satu lagi dalil dan hujah untuk mengatakan bahawa ‘syaitan’ itu adalah sifat sebenarnya. Ramai dari kalangan umat Islam sangka yang syaitan itu adalah sejenis makhluk. Mereka sangka ada jin, manusia, malaikat dan syaitan.
Sebenarnya, ‘syaitan’ itu adalah sifat. Iaitu sifat menjauhkan manusia dari Allah. Ia boleh jadi manusia atau jin. Kalau jin yang menghasut manusia, maka dia syaitan; kalau manusia yang menghasut manusia lain, maka dia juga syaitan.
Kita boleh lihat dalam ayat ini. Golongan munafik itu berjumpa golongan Yahudi, iaitu golongan manusia. Bukannya jumpa makhluk lain. Tapi Allah kata mereka itu ‘syaitan-syaitan’. Ini adalah kerana sifat mereka yang menjauhkan golongan munafik itu dari Allah.
قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ
Mereka berkata: Kami sebenarnya bersama kamu;
Apabila mereka pergi kepada ‘syaitan-syaitan’ mereka (iaitu golongan Yahudi), mereka kata lain pula. Mereka beritahu kepada puak-puak Yahudi itu yang hati mereka sebenarnya bersama puak Yahudi itu.
Yang dimaksudkan ‘syaitan’ dalam ayat ini adalah ulama-ulama Yahudi dan pembesar-pembesar mereka. Hati golongan Munafik sebenarnya bersama puak Yahudi itu, walaupun tubuh badan mereka bersama Nabi Muhammad. Mereka terpaksa menipu kerana kalau tak tunjuk yang mereka sokong Nabi Muhammad, mereka sudah kena sisih oleh masyarakat mereka.
Mereka telah memberitahu rahsia umat Islam kepada orang Yahudi. Kerana mereka hendak berbaik juga dengan golongan Yahudi itu. Maknanya, mereka nak berbaik dengan orang Islam, dan mereka hendak berbaik dengan orang Yahudi juga. Ini tidak boleh. Kita tidak boleh menjadikan orang kafir sebagai teman rapat kita. Teman rapat adalah orang yang kita berkongsi rahsia dengan mereka.
إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ
Sebenarnya kami hendak mengejek-ngejek mereka sahaja;
Mereka kata yang mereka hanya memperlekeh orang-orang beriman itu dengan menipu kata mereka beriman. Mereka mengaku mempersendakan para sahabat yang beriman. Dan mereka hendak memperdayakan puak-puak yang beriman.
Tapi di dunia lagi Allah telah malukan mereka. Dua-dua pihak tak percaya kepada mereka. Orang beriman tidak percayakan mereka, orang Yahudi pun tidak percayakan mereka.
Ini terjadi pada zaman sekarang pun. Ada orang Islam yang hendak berkawan dengan dua-dua pihak – di pihak Sunnah mereka nak kawan, di pihak Bidaah pun mereka nak kawan juga.
Balaghah: penggunaan nahu dalam bahasa Arab Al-Qur’an membawa makna yang tertentu. Kalau kita tahu, ia semakin memberi faham kepada ayat-ayat Al-Qur’an yang tidak akan dapat dikenalpasti kalau setakat baca terjemahan sahaja. Apakah yang hendak disampaikan?
Ada perbezaan antara penggunaan kata-kerja (verb) dan kata-nama (noun) dalam Al-Qur’an. Penggunaan kata-nama lebih kuat dari kata-kerja. Kalau kata-kerja digunakan, ia bermaksud sementara sahaja sedangkan kalau kata-nama yang digunakan, ia bermaksud lebih kekal.
Kalau kita lihat kalimah ءآمَنَّا (kami beriman), ia dalam bentuk kata-kerja jadi ia bermaksud sementara sahaja. Tapi kalau kita lihat kalimah مُسْتَهْزِئُونَ (kami memperolok-olokkan), ia dalam bentuk kata-nama, maka ia membawa maksud berkekalan.
Jadi walaupun golongan munafik ini hendak membeli jiwa golongan mukmin dan juga golongan Yahudi, tapi dari segi bahasa yang digunakan sudah nampak mereka lebih condong kepada siapa.
Baqarah Ayat 15:
اللهُ يَستَهزِئُ بِهِم وَيَمُدُّهُم في طُغيٰنِهِم يَعمَهونَ
[But] Allah mocks them and prolongs them in their transgression [while] they wander blindly.
Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu).
اللهُ يَسْتَهْزِئُ بِهِمْ
Allah lah yang mempersenda-sendakan mereka
Allah jawab dalam ayat ini yang Allahlah yang memperbodohkan munafik itu. Allah beri balasan terus kepada mereka. Mereka hendak mempersendakan manusia lain, tapi Allah pula yang mempersendakan mereka.
وَيَمُدُّهُمْ
Dan Allah membiarkan mereka
Allah biarkan sahaja mereka buat apa yang mereka hendak buat. Tapi ingat, bukanlah bermakna yang Allah redha dengan perbuatan mereka. Jangan ada pula yang sangka, kalau Allah biarkan, itu adalah kerana Allah redha. Allah ‘benarkan’ tidak semestinya Allah ‘redha’.
Jangan kita keliru dengan perkara itu. Memang ramai yang keliru dan kerana kekeliruan ini, ramai yang terus berada dalam kesesatan. Kerana mereka fikir: “kalau Allah tak setuju, takkan Allah benarkan aku buat benda ni..”.
فِي طُغْيٰنِهِمْ
Dalam kesesatan mereka
Allah biarkan mereka terus jadi bodoh. Allah biarkan mereka dalam kesesatan wahyu supaya tak faham wahyu dan buta hati. Kalau nak sesat, Allah boleh sahaja biarkan mereka jadi sesat. Kerana mereka yang buat pilihan untuk tidak mahu mendengar kebenaran.
يَعْمَهُونَ
kebingungan
Mereka jadi bodoh kebingungan kerana buta hati. Hati mereka tidak keruan, sekejap ke sana dan sekejap ke sini. Hati mereka tidak tetap dan tidak tenang sentiasa. Allah akan memberi peluang kepada mereka untuk berbuat kerosakan supaya mereka nanti akan dimasukkan ke dalam neraka yang paling dalam.
Baqarah Ayat 16:
أُولٰئِكَ الَّذينَ اشتَرَوُا الضَّلٰلَةَ بِالهُدىٰ فَما رَبِحَت تِّجٰرَتُهُم وَما كانوا مُهتَدينَ
Those are the ones who have purchased error [in exchange] for guidance, so their transaction has brought no profit, nor were they guided.
Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.
أُولَٰئِكَ
Mereka itulah orang-orang,
Janganlah kita jadi seperti mereka. Maka kerana itu kita kena belajar tentang mereka supaya kita dapat jauhkan diri kita dari sifat-sifat mereka.
الَّذِينَ اشْتَرَوُا الضَّلٰلَةَ بِالْهُدَىٰ
yang membeli kesesatan dengan jual petunjuk;
Ini adalah kerana mereka tukar hidayah dengan kesesatan. Bayangkan mereka ini telah jumpa Nabi sendiri. Mereka dengar sendiri wahyu Allah dibacakan kepada mereka oleh Nabi sendiri. Tapi mereka masih lagi tidak beriman. Pelik benar kesesatan mereka. Mereka ada peluang yang amat baik sekali kerana mereka bersama Nabi tapi mereka tidak mahu mengambil peluang itu.
Mereka buang peluang keemasan mereka yang dapat duduk dengan Nabi dan duduk dengan para sahabat yang lain. Ayat ini kata, mereka beli kesesatan dengan jual hidayah. Bukanlah ia maksudnya mereka sudah dapat hidayah tapi mereka telah tukar peluang dapat hidayah itu dengan kesesatan.
Tapi sebenarnya yang dimaksudkan adalah mereka tukar peluang, tak ambil peluang yang mereka ada itu. Mereka tidak pernah ada hidayah sebenarnya.
فَمَا رَبِحَتْ تِجٰرَتُهُمْ
Tidaklah untung perniagaan mereka
Allah buat perbandingan iman dengan perniagaan. Kalau berniaga, tentulah kita hendak untung, bukan? Allah beritahu yang mereka itu akan menyebabkan mereka takkan untung sampai bila-bila. Semoga Allah selamatkan kita dari jadi seperti mereka.
وَمَا كَانُوا مُهْتَدِينَ
Dan tidaklah mereka terpimpin.
Mereka sangka mereka terpimpin, dapat hidayah, tapi Allah menafikan hal itu. Mereka tidak terpimpin langsung.
Maka kita amat takut kalau kita pun begitu juga. Kita rasa kita sudah beriman, sudah benar-benar seorang Muslim sejati, sudah terpimpin. Tapi takut-takut rupanya kita tergolong dalam golongan orang munafik pula. Maka kena belajar lagi apakah sifat-sifat orang munafik dalam Al-Qur’an dan dalam hadis. Kena baca keseluruhan ayat-ayat berkenaan munafik untuk dapat maklumat yang penuh.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 15 Oktober 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
“Golongan munafik itu tidak terus mengaku kafir dan duduk terus sebelah pihak Yahudi kerana kalau mereka mengaku kafir, mereka akan dihukum bunuh. Itu adalah hukum hudud. Kerana dakwah kepada orang kafir itu hanya tiga hari sahaja, kalau tak masuk Islam atau tidak bayar pampasan, mereka akan dibunuh. Oleh itu, mereka tidak berani nak mengaku kafir terus. Jadi, di depan Nabi dan para sahabat, mereka mengaku mereka beriman”
Assalamualaikum.
Mungkin perlu diluaskan atau dipelbagai sebab munafik tidak langsung menyertai(terang2an) kekafiran mereka. Kemungkinan lain yang harus dinyatakan adalah “kepentingan” .kerana situasa munafik berlaku dimadinah.kepentingan utama mereka adalah “kemungkinan” dakwah nabi juga akan menang.jadi sekiranya mereka terang-terangan kekafiran mereka,mereka akan rugi.kafi mereka sembunyikan kekafiran mereka antara sebab lain adalah kepentingan.
Tetapi setelah fatahul makkah .nabi sudah menang.situasi berbeza..mereka sembunyikan kekafiran mereka kerna mereka takut untuk dihukum
Wallahua’lam.semoga membantu mentafsiran .
LikeLike
ya, disebut dalam surah-surah dan ayat-ayat yang lain. Memang satu ayat tidak dapat memberikan cerita penuh, kena dirujuk kepada ayat-ayat lain. Nak dicerita keseluruhan tentang munafik dalam ayat ini pun, sudah ada disebut dalam ayat-ayat yang lain, jadi tidak perlu. maka, kena baca keseluruhan Quran juga akhirnya.
LikeLike