Tafsir Surah Baqarah Ayat 11 – 13 (Sikap orang munafik)

Baqarah Ayat 11: Allah ﷻ ajar cara bagaimana untuk mengenali golongan Munafik. Bukan untuk kita melabel atau menuduh mereka tetapi untuk kita bandingkan dengan diri kita. Entah kita pun ada sifat mereka. Kalau kita nampak pada orang lain, maka kita boleh berhati-hati dengan mereka supaya tidak terpengaruh dengan kata-kata mereka. Ini kerana mereka itu pandai berkata-kata dan kalau kita tidak berhati-hati, kita boleh termakan dengan kata-kata mereka.

Kalau Allah ﷻ tidak ajar dan beritahu kita tentang mereka, kita tidak tahu kerana ia tidak jelas kepada kita disebabkan ia adalah penyakit dalaman. Melalui tanda-tanda yang Allah ﷻ beri tentang mereka, kita boleh kenali sifat-sifat itu. Macam juga kalau kita nampak asap, itu adalah tanda adanya api.

Pertama, mereka salah faham dengan kebenaran. Mereka tidak nampak kebenaran dan mana yang benar, sebaliknya yang salah, mereka kata betul. Apabila kita tunjuk dalil-dalil daripada Al-Qur’an kepada mereka dan mereka tolak, kita sudah boleh agak yang mereka itu ada penyakit munafik dalam diri mereka.

Begitulah mereka, apabila diberi dalil dan bukti yang sahih, mereka susah hendak terima. Mereka mahu menggunakan fahaman mereka sahaja. Padahal, yang kita bawa adalah nas Al-Qur’an, bukannya kata-kata kita sendiri. Memang sepatutnya kita kena dakwah dengan ayat Al-Qur’an dan sunnah. Jangan bawa dalil yang lain.

وَإِذا قيلَ لَهُم لا تُفسِدوا فِي الأَرضِ قالوٓا إِنَّما نَحنُ مُصلِحونَ

Sahih International

And when it is said to them, “Do not cause corruption on the earth,” they say, “We are but reformers.”

Malay

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab: ” Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan”.

 

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ

Dan apabila dikatakan kepada mereka:

Sahabat Nabi ﷺ yang melihat perangai mereka pun rasa lain macam. Sebab mereka boleh lihat yang golongan Munafik itu membuat perkara yang pelik-pelik seperti pergi berjumpa dengan orang Yahudi. Mereka wala’ kepada orang kafir pula sedangkan sepatutnya mereka lebih rapat dan wala’ dengan umat Islam. Maka, para sahabat yang beriman pun telah menegur mereka, kenapa pergi lagi ke majlis orang Yahudi?

Begitulah orang yang sudah belajar, apabila mereka lihat sesuatu yang tidak kena, mereka akan terus tegur kesalahan orang lain, tidaklah tengok sahaja. Disebabkan ramai yang takut menegurlah yang menyebabkan kemungkaran berterusan. Apabila yang tahu tidak menegur, maka yang melakukan kesalahan sangka mereka tidak melakukan kesalahan pun.

Apabila digunakan kalimah قِيلَ (dikatakan), ia adalah di dalam bentuk pasif. Iaitu tidak diberitahu di sini siapakah yang bercakap. Ini adalah kerana siapa yang bercakap tidak penting, yang penting adalah mesej yang disampaikan.

 

لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ

Janganlah kamu berbuat kerosakan di atas muka bumi;

Orang-orang yang beriman memberi nasihat kepada orang-orang Munafik itu supaya jangan membuat kerosakan. Apakah ‘kerosakan’ yang dimaksudkan itu? Untuk kita memahami ayat ini, kita kena faham sejarah Madinah sebelum zaman Nabi Muhammad ﷺ datang ke Madinah. Orang Ansar mempunyai tok guru daripada golongan Yahudi.

Orang Yahudi itu adalah sumber rujukan mereka dalam agama. Itu adalah sebelum kedatangan Islam. Mereka jadikan Yahudi sumber rujukan kerana mereka tahu bahawa orang-orang Yahudi itu telah lama beragama dan ada kitab daripada Allah ﷻ. Maka mereka menghormati golongan Yahudi itu.

Apabila Nabi Muhammad ﷺ sudah ada dalam kalangan mereka, mereka akan berjumpa dengan pendiea Yahudi menceritakan tentang ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ. Pendeta Yahudi akan berkata begini dan begitu. Orang Yahudi akan menggunakan peluang itu untuk merosakkan Islam dari dalam. Mereka akan beri maklumat salah untuk merosakkan Islam. Kemudian golongan Munafik itu akan membawakan apa yang mereka dapat daripada pendeta Yahudi kepada kaum mereka.

Mereka kata pendeta Yahudi itu yang betul kerana Yahudi itu lebih lama mendapat ilmu agama jika dibandingkan dengan Nabi Muhammad ﷺ. Maka, mereka melaga-lagakan sahabat Nabi dengan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka kata Nabi ﷺ pula yang tidak betul. Itulah kerosakan yang dimaksudkan dalam ayat ini.

Orang munafik itu masih lagi berkawan dengan pendeta Yahudi yang mereka rujuk itu walaupun setelah Nabi Muhammad ﷺ berada dalam kalangan mereka dan mereka pun mengaku telah beragama Islam. Mereka masih tidak percaya sepenuhnya kepada Nabi Muhammad ﷺ. Maka mereka mahu berkawan dengan kedua-dua pihak.

Mereka mahu lihat siapakah yang akan menang. Mereka tidak sepenuhnya duduk dalam Islam. Oleh kerana mereka masih tetap pergi berjumpa dengan orang Yahudi, orang lain yang melihat mereka pun berasa seperti tidak salah pula untuk pergi berjumpa dengan Yahudi dan mengambil agama daripada Yahudi. Ini juga merosakkan fahaman agama orang lain. Ini bermakna mereka merosakkan agama dari dalam.

Ini terjadi sebab mereka tidak ada pegangan agama yang kuat. Mereka tidak faham agama dengan sebenarnya, kerana mereka tidak belajar dengan betul. Mereka kejap ke sana dan kejap ke sini.

Sebenarnya tidak boleh begitu, kerana ajaran yang suci tidak boleh campur aduk dengan yang tercemar. Sepatutnya salah faham mereka itu mesti dibersihkan terus. Mereka sepatutnya sudah tidak boleh merujuk lagi kepada pendeta-pendeta Yahudi itu.

Adakah perkara yang sama berlaku zaman sekarang? Memang ada. Ada yang dengar apa yang ustaz Sunnah katakan dan mereka balik beritahu kepada ustaz-ustaz mereka yang mengajar perkara bid’ah. Ustaz itu pula kata tidak betul ajaran yang kita sampaikan sebab tidak sama ilmu kita dan mereka. Perkara ini pula kemudian dimasukkan ke dalam medsos dan ramailah yang akan komen dan komen.

Memang tidak sama kerana kita menggunakan dalil daripada Al-Qur’an dan Sunnah, tetapi guru-guru mereka tidak pula belajar Al-Qur’an dan Hadith Nabi. Maka kerosakan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah melaga-lagakan Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat. Begitu juga ada orang yang melagakan antara ajaran berasaskan sunnah dan tidak sunnah pada zaman sekarang.

Maka kerosakan yang dilakukan oleh golongan Munafik adalah melemahkan Islam dari dalam. Berbeza dengan orang kafir itu kita memang tahu mereka ada usaha untuk merosakkan agama Islam, tetapi dari luar. Ia senang ditolak kerana ia datang daripada musuh. Namun kalau yang merosakkan itu dari dalam, bagaimana? Ia lagi susah kerana ia seolah-olah datang daripada orang Islam sendiri.

Kerosakan yang dilakukan oleh mereka itu amat teruk sampaikan ada penambahan فِي الْأَرْضِ (di mukabumi) dan tidak cukup dengan disebut لَا تُفْسِدُوا (jangan buat kerosakan) sahaja. Ini memberi isyarat kepada kita yang kerosakan yang mereka lakukan itu boleh merebak ke seluruh dunia jikalau tidak dibendung.

Selain daripada itu, banyak lagi kerosakan lain dalam perkara agama yang dilakukan oleh golongan Munafik itu, iaitu kepercayaan yang bertentangan dengan wahyu. Mereka melakukan kemungkaran dan maksiat. Perbuatan mereka itu diikuti pula oleh orang lain. Ini adalah kerana perbuatan buruk selalunya diikuti oleh orang lain. Maka ini bukannya kerosakan fizikal seperti menebang pokok dan tarah bukit. Itu pun salah juga, tetapi bukan itu yang dimaksudkan di sini.

Selain daripada kerosakan dalam agama, sebenarnya mereka juga menyebabkan kerosakan pada alam fizikal juga. Ini adalah kerana dosa akan menyebabkan murka Allah ﷻ dan menyebabkan Allah ﷻ menurunkan bala. Kerana itulah jikalau bala turun, maka manusia dianjurkan untuk bertaubat dan istighfar. Sebagai contoh, untuk menurunkan rezeki seperti hujan, dianjurkan untuk istighfar seperti disebut di dalam Nuh: 10-11

فَقُلتُ استَغفِروا رَبَّكُم إِنَّهُ كانَ غَفّارًا
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.

يُرسِلِ السَّماءَ عَلَيكُم مِدرارًا
“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

 

قَالُوٓا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ

Mereka jawab: Sebenarnya kami orang yang hendak berbuat baik;

Selepas ditegur, puak munafik itu menjawab seperti yang disebut dalam surah ini, dalam nada membantah. Maka ini adalah juga sikap orang Munafik: apabila ditegur, mereka membantah dan menolak teguran orang terhadap mereka. Mereka tidak boleh terima teguran tetapi menunjukkan sifat mujadalah (melawan) mereka yang buruk. Kita boleh lihat balasan mereka itu adalah dengan hujah-hujah yang mengarut; mereka sahaja nampak ia sebagai alasan yang betul, tetapi sebenarnya tidak.

Lagi satu sifat mereka, bila berbalah itu mereka berlebihan dan zalim menentang. Bukannya mereka hendak berhujah dengan hujah yang bernas dan baik, sebaliknya mengutuk sana dan sini. Mereka jatuhkan kedudukan orang, melabelkan dengan labelan yang teruk-teruk. Dalilnya tidak diberi-beri pun di dalam hujah mereka. Kalau diberi pun, disalahfahami ikut kepala mereka. Ini seperti disebut di dalam hadith,

أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا ، وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ
“Ada empat tanda, jika seseorang memiliki empat tanda ini, maka ia disebut munafik tulen. Jika ia memiliki salah satu tandanya, maka dalam dirinya ada tanda kemunafikan sampai ia meninggalkan perilaku tersebut, iaitu: jika diberi amanat, khianat; jika berbicara, dusta; jika membuat perjanjian, tidak dipenuhi; jika berselisih, dia akan berbuat zalim,
(HR. Muslim)

Di dalam ayat ini kita boleh lihat hujah mereka: “Kami ini hendak mendamaikan orang yang berbalah, sebenarnya”; Ini adalah kerana mereka kata mereka nampak Nabi ﷺ ada kebenarannya, tetapi mereka nampak puak Yahudi pun ada kebenaran juga, maka kononnya mereka ingin menjadi orang tengah.

Cuba perhatikan, mereka menggunakan kalimah إِنَّمَا yang bukan sahaja bermaksud penekanan, tetapi ia juga menolak orang lain. Maksudnya mereka kata mereka sahaja yang membuat kebaikan dan orang lain tidak. Inilah maksud إِنَّمَا dari segi bahasa.

Kalimah صلح bermaksud melakukan pembaikan. Iaitu kalau ada sesuatu yang rosak, dibaiki; atau kalau sesuatu itu sudah elok, ditambah elok lagi. Golongan Munafik itu sangka itulah yang mereka lakukan. Mereka perasan sahaja.

Di dalam Islam, kata-kata orang yang mengaku dia buat benda baik tidak dikira. Macam kalau kita sedekah dan kata ‘ini derma ikhlas’ tidaklah menjadikan sedekah itu terus menjadi ikhlas. Ia hendaklah menepati syarat-syarat barulah menjadi ikhlas dan baik.

Kononnya mereka hendak menjadi ‘orang tengah’ supaya dua pihak itu mencari persamaan antara mereka dan dapat berdamai. Mereka rasa mereka sedang membuat kebaikan, tetapi sebenarnya tidak. Mereka kata mereka bukan mereka mahu lagakan, tetapi hendak berbuat baik.

Mereka kata mereka sebenarnya mencari kebenaran. Namun itu tidak benar. Apa yang mereka lakukan adalah membunuh ajaran agama. Mereka sebenarnya membuat kerosakan.

Ini sama seperti perbezaan antara puak Sunnah dan puak sekolah pondok pada zaman sekarang. Puak Sunnah berpegang kepada ajaran Sunnah tetapi puak sekolah Pondok banyak yang berpegang kepada ajaran yang bidaah (ajaran tok nenek yang sudah lama diamalkan di negara ini). Maka, adalah golongan yang kononnya ingin menyatukan dua kumpulan yang berbeza pegangan ini. Kononnya hendak meneutralkan kedua-dua fahaman.

Nampak macam sedap dan molek apa yang mereka katakan itu. Akan tetapi mereka tidak faham bahawa kebenaran hanya satu sahaja. Yang mereka nampak kedua-dua belah pihak ada juga kebenaran itu adalah kerana mereka jahil. Kefahaman mereka tidak jelas dan tidak betul. Sahabat lain sudah faham, tetapi mereka sahaja yang masih tidak faham.

Ada banyak perkara yang memang tidak akan bertembung, maka cubaan dengan niat yang murni itu tidak akan berjaya. Ia membuang masa sahaja dan yang melakukannya adalah orang-orang yang naif. Mereka tidak tahu sudah beratus tahun sudah orang cuba melakukannya tetapi gagal; tiba-tiba mereka rasa macam mereka pula boleh menjadi orang tengah mahu mendamaikan.

Contohnya perbezaan antara aliran Salaf dan Asya’irah. Memang tidak akan bertembung sampai bila-bila. Maka sebenarnya kena pilih salah satu sahaja, bukannya hendak menggabungkan antara keduanya. Orang yang sudah aliran Asya’irah tidak akan mahu menerima aliran Salafi (melainkan dia belajar ilmu wahyu kembali) dan golongan Salafi tidak akan mahu menggunakan aliran Asya’irah yang banyak masalah itu.

Begitu juga antara Syiah dan Sunnah. Memang tidak akan bertembung mencapai titik persetujuan. Memang telah lama ada cuba melakukan taqrib antara keduanya, tetapi tidak berjaya. Ia tidak akan Berjaya kerana fahaman asas sudah berbeza. Manusia bukan senang berubah. Kalau yang berubah pun, secara individu sahaja. Iaitu seseorang yang sudah tidak percaya lagi dengan aliran yang dianutinya dulu dan dia pun berubah. Bukannya keseluruhan aliran itu berubah.


 

Baqarah Ayat 12: Apa Allah ﷻ kata tentang alasan mereka itu?

أَلَآ إِنَّهُم هُمُ ٱلمُفسِدُونَ وَلَـٰكِن لَّا يَشعُرُونَ

Sahih International

Unquestionably, it is they who are the corrupters, but they perceive [it] not.

Malay

Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.

 

أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ

Ketahuilah, mereka itulah sebenarnya berbuat kerosakan

Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini yang orang-orang Munafik itu sebenarnya berbuat kerosakan, kerana mereka telah menjadikan kebenaran kelihatan samar. Sepatutnya kebenaran itu sudah jelas. Dek kerana mereka jahil, mereka tidak sedar.

Bayangkan, orang luar yang nampak mereka, akan menjadi ragu-ragu. Apabila mereka lihat golongan munafik itu pergi rujuk kepada golongan Yahudi, mereka menjadi ragu. Mereka akan terfikir, kalau Nabi Muhammad ﷺ itu sudah benar, kenapa pula ada golongan yang pergi juga kepada orang Yahudi? Itu menjadi satu kerosakan yang besar.

Dengan secara diam-diam munafik Yahudi telah mencari daya-upaya bagaimana supaya segala rencana Nabi ﷺ terkandas. Orang-orang Arab Badwi yang belum ada kepercayaan, sekiranta datang ke Madinah, ada kesempatan, mereka mencemuh Islam. Padahal sejak Nabi ﷺ datang ke Madinah, telah diikat janji akan hidup berdampingan secara damai. Mereka tidak sedar bahawa perbuatan mereka itu merosak dan berbahaya, terutama kepada kedudukan mereka sendiri, sebab Islam tidak akan lemah tetapi akan bertambah kuat. Kalau ditanyakan, mereka menyatakan bahawa maksud mereka baik, mencari jalan damai. Jelaslah bahwa perbuatan mereka yang amat berbahaya itu tidak mereka sedari, kerana hawa nafsu belaka.

Orang munafik Arab pun sentiasa mencari helah untuk melemahkan Islam dari dalam. Mereka akan menghasut orang Arab yang lain dengan menimbulkan kesangsian kepada ajaran Nabi ﷺ, keluarga Nabi ﷺ dan macam-macam lagi.

Teruk sekali kerosakan yang dilakukan oleh golongan Munafik itu sampaikan Allah ﷻ menggunakan kalimah الْمُفْسِدُونَ untuk merujuk kepada mereka. Ini adalah dalam bentuk kata-nama dan ia lebih kuat lagi daripada kalau kata-kerja yang digunakan. Ini berbeza antara orang yang menyanyi (kata-kerja) dengan penyanyi (kata-nama). Tentu penyanyi lebih banyak menyanyi daripada orang yang sekali sekala menyanyi, bukan?

Ini dikuatkan lagi dengan kalimat إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ yang mempunyai penekanan إِنَّ dan penambahan هُمُ. Ini kerana hendak menjawab perkataan yang mengatakan hanya mereka sahaja yang melakukan pembaikan (إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ).

 

وَلَـٰكِن لَّا يَشعُرُونَ

Sedangkan mereka itu tidak sedar

Namun mereka sendiri tidak sedar kerana mereka salah faham. Sepatutnya apabila diberi pengajaran daripada Al-Qur’an, mereka kena terima sepenuhnya, bukan terima sesetengahnya sahaja. Kalau tidak terima sepenuhnya, maka mereka akan terus berada dalam keraguan. Maka Allah ﷻ telah sebut kesalahan mereka dalam ayat ini.

Allah ﷻ telah cabutkan kefahaman agama daripada mereka kerana mereka bersifat munafik sejak mulanya lagi. Mereka tidak ada ilmu dan kefahaman. Teruknya akal mereka itu, senang sangat ditipu oleh syaitan. Oleh kerana itulah benda yang buruk mereka nampak baik; benda busuk pada mereka wangi; yang syirik mereka anggap tauhid. Mereka ini terbalik. Sebab itu mereka tidak nampak kesalahan yang mereka lakukan. Allah ﷻ berfirman di dalam Kahf: 103-104

قُل هَل نُنَبِّئُكُم بِالأَخسَرينَ أَعمٰلًا
Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?

الَّذينَ ضَلَّ سَعيُهُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَهُم يَحسَبونَ أَنَّهُم يُحسِنونَ صُنعًا
(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”.

Sebab itulah kita nampak ramai golongan pengamal bid’ah tidak akan berubah. Ini kerana mereka tidak cukup kefahaman agama untuk faham kesalahan bid’ah itu. Pada otak mereka, apa yang mereka lakukan itu sudah amat baik, maka kenapa perlu ditinggalkan? Syaitan pula bisikkan kepada mereka: “banyak sangat dah pahala kau buat ni… teruskan nak….”

Begitulah bahayanya kalau duduk di tempat yang sudah lama mengamalkan amalan bid’ah. Mereka sudah tidak nampak ia buruk maka ia sudah lali, sudah biasa. Ini macam orang yang duduk lama di kandang kambing, bau tahi kambing sudah tidak ada lagi pada mereka. Padahal orang luar kalau berjumpa dengan mereka, bau badan mereka pun sudah tercium bau kambingnya; mereka sahaja yang tidak perasan lagi. Maka begitulah juga dengan negara kita yang sudah terlalu biasa dengan amalan bid’ah sampaikan masyarakat awam yang tidak belajar Sunnah, tidak nampak buruknya amalan itu.

Satu lagi maksud tidak sedar adalah mereka tidak sedar yang Rasulullah ﷺ dan para sahabat sudah mengenali mereka dan sikap mereka.

Kenapa mereka tidak sedar? Kerana mereka telah ditipu oleh syaitan. Syaitan menampakkan benda yang buruk kepada mereka. Syaitan juga membisikkan kepada mereka yang kononnya mereka telah banyak melakukan kebaikan. Maka mereka perasan mereka orang yang baik.

Ayat ini jenis takhliah. Iaitu nasihat untuk menghilangkan sifat munafik. Berbeza dengan tahliah, iaitu sesuatu yang perlu dipenuhi dalam hati. Maka dalam agama ini, ada yang mesti dikosongkan (tinggalkan), dan ada yang mesti diisikan. Kerana kalau tidak ditinggalkan, iman tidak dapat masuk. Selagi membuat dosa, maka akan menggelapkan hati. Bila gelap hati, hidayah tidak dapat masuk. Sebab itu bila kita ajar ajaran tauhid dan tafsir Al-Qur’an mereka tidak akan faham.

Maka janganlah lagi keliru, memang amalan bid’ah adalah amalan berdosa. Pahala tidak ada, yang ada hanyalah dosa. Mereka tidak akan tinggalkan amalan bid’ah itu kerana mereka sangka ia adalah baik. Mereka kena belajar apa itu sunnah, barulah mereka akan faham. Selagi tidak belajar dengan baik, akal mereka tidak akan terima.


 

Baqarah Ayat 13: Kenapakah terjadinya sifat munafik itu? Kerana jiwa yang kosong dengan ilmu tetapi rasa diri itu pandai. Akan dijawab di dalam ayat ini.

Di dalam ayat sebelum ini mengandungi nahi mungkar, sekarang disebut amar ma’ruf pula. Memang dalam memberi dakwah dan nasihat, didahulukan dengan menghentikan perbuatan buruk dahulu, barulah diisi dengan perbuatan yang baik.

وَإِذَا قِيلَ لَهُم ءَامِنُواْ كَمَآ ءَامَنَ ٱلنَّاسُ قَالُوٓاْ أَنُؤمِنُ كَمَآ ءَامَنَ ٱلسُّفَهَآءُ‌ۗ أَلَآ إِنَّهُم هُمُ ٱلسُّفَهَآءُ وَلَـٰكِن لَّا يَعلَمُونَ

Sahih International

And when it is said to them, “Believe as the people have believed,” they say, “Should we believe as the foolish have believed?” Unquestionably, it is they who are the foolish, but they know [it] not.

Malay

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman”. Mereka menjawab: “Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?” Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

 

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ

Dan apabila dinasihatkan kepada mereka:

Ini apabila nasihat diberikan kepada mereka lagi. Maknanya tetap ada yang memberi nasihat dan teguran kepada mereka. Teguran yang diberikan itu adalah kerana sayang kepada mereka dan mahu mereka menjadi baik.

 

ءآمِنُوا كَمَآ ءآمَنَ النَّاسُ

Berimanlah kamu sepertimana berimannya manusia;

Nasihat diberikan lagi kepada mereka, supaya duduk dan mengambil ilmu dengan Nabi ﷺ sahaja. Berimanlah seperti para sahabat Nabi ﷺ yang mukmin. Tidak perlu belajar Taurat atau Injil lagi. Tidak perlu pergi kepada pendeta Yahudi dan ambil ilmu daripada mereka.

Ini adalah nasihat dalam bentuk tahliah – untuk buat sesuatu, masukkan sesuatu. Iaitu ambil ilmu yang Nabi ﷺ sampaikan. Mereka dinasihati untuk mengikut contoh para sahabat Nabi ﷺ yang setia. Sahabat yang setia dan beriman itu duduk belajar dengan Nabi ﷺ sahaja. Mereka sudah tidak merujuk kepada golongan Yahudi lagi. Mereka sudah tahu ada masalah dengan golongan Yahudi itu sebenarnya.

Begitu juga dengan orang yang hendak terima Sunnah. Tidak perlu lagi pergi belajar dengan guru-guru yang mengajar tanpa mengikut ajaran Sunnah. Jangan pergi lagi kepada guru yang mengajar bid’ah. Yang belum benar-benar berpegang dengan Sunnah sahaja yang masih lagi ambil ilmu daripada asatizah yang bukan Sunnah. Kenapa lagi hendak ambil ilmu daripada mereka? Penat pula perlu ditapis ilmu yang berikan, bukan? Baik tinggalkan sahaja mereka itu.

Di sini Allah ﷻ gunakan kalimah النَّاسُ yang dari segi bahasa bermaksud ‘manusia’. Akan tetapi yang dimaksudkan adalah para sahabat, bukan manusia secara umum. Ini mengajar kita yang iman yang perlu diikuti dan cara beragama yang perlu diikuti adalah para sahabat. Merekalah kayu ukur agama yang benar kerana mereka yang belajar dengan Nabi ﷺ sendiri. Hasilnya mereka lebih faham agama kerana mereka belajar dengan insan yang paling pandai.

Oleh kerana itu hendaklah difahami maksud sebenar apabila dikatakan Ahli Sunnah wal Jama’ah. Sunnah itu merujuk kepada sunnah Nabi ﷺ, dan jama’ah itu merujuk kepada jemaah para sahabat. Mereka inilah golongan salaf yang perlu diikuti. Kita kena ikut cara mereka faham agama, kena ikut cara mereka beribadah. Tidak perlu kita hendak reka-reka fahaman dan syariat yang baru.

Malangnya ramai tidak faham hal ini. Ada yang salah faham mengatakan ‘jama’ah’ di dalam Ahli Sunnah wal Jama’ah itu adalah golongan majoriti. Ini tidak benar. Takkan kena ikut majoriti pula? Seandainya suatu masa nanti Syiah menjadi majoriti, takkan kena ikut ajaran Syiah pula? Cubalah bawa berfikir sedikit. Tambahan pula setiap hari kita berdoa di dalam Surah Fatihah ayat 7,

صِرٰطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka

Siapakah mereka yang telah diberikan nikmat itu? Itulah golongan para sahabat kerana mereka yang telah mendahului jalan agama ini dan mereka yang telah dipuji oleh Allah ﷻ. Mereka yang datang kemudian (khalaf), belum tentu mereka benar lagi.

 

قَالُوٓا أَنُؤْمِنُ كَمَآ ءآمَنَ السُّفَهَاءُ

Mereka jawab: patutkah kami beriman sepertimana berimannya orang yang bodoh-bodoh?

Apabila mereka diberi nasihat sebegitu, puak-puak Munafik itu jawab: puak yang duduk dengan Nabi Muhammad ﷺ sahaja itu jenis orang yang bodoh. Mereka pula sudah biasa mengaji dengan puak Yahudi. Mereka kata mereka belajar dengan orang yang tahu baca Kitab, sedangkan Nabi Muhammad ﷺ itu tidak tahu pun baca kitab. Mereka kata: Lihatlah bagaimana orang kampungnya (Mekah) sendiri menghalaunya, bukan?

Kalimah أَنُؤْمِنُ adalah di dalam bentuk istifham (soalan) namun ia bukanlah di dalam bentuk soalan, akan tetapi hendak menghina (adakah patut kami beriman?) dan merendahkan.

Mereka memandang rendah pada Nabi Muhammad ﷺ; mereka juga melihat sahabat Nabi ﷺ yang taat dengan Nabi ﷺ itu pun jenis tidak pandai, tidak pandai mencari harta macam orang Yahudi. Memang pun orang Yahudi itu kaya raya.

Kumpulan munafik itu juga mengatakan orang-orang Muhajirin yang telah berpindah dari Mekah itu bodoh-bodoh belaka. Mereka kata Muhajirin itu bodoh kerana meninggalkan segala apa yang mereka ada semasa di Mekah dulu. Mereka tidak mahu bersama dengan orang-orang yang mereka kata bodoh itu.

Maka ini adalah satu lagi sifat Munafik. Mereka memandang orang-orang yang miskin dan tidak ada pengaruh sebagai bodoh. Ini kerana mereka hanya memandang kebendaan dan kedudukan. Kalau ustaz naik kereta biasa, tidak nampak gah dan kaya, pengikut pun tidak ramai, golongan ini tidak mahu belajar. Mereka akan banding-bandingkan dengan ustaz mereka yang apabila live, beribu sertai. Sedangkan ustaz Sunnah, sedikit sahaja yang ikuti. Memanglah begitu kerana lebih ramai orang jahil daripada orang berilmu dalam dunia ini. Kerana itulah orang jahil akan pergi dengar kepada orang jahil juga. Bukan begitu?

Ini juga satu lagi sifat golongan Munafik. Mereka menuduh golongan yang berilmu pula yang bodoh. Sedangkan mereka itu tidak berilmu tetapi senang-senang sahaja mereka menuduh golongan yang belajar sebagai bodoh. Maka kepada orang yang belajar, bersedialah untuk dituduh bodoh oleh manusia. Ketahuilah itu adalah orang-orang Munafik. Maka tidak perlu terkejut sangat kalau dituduh sebegitu.

Zaman sekarang pun ada juga orang sebegini. Apabila kita ajak mereka untuk belajar sepertimana orang-orang yang sudah belajar Al-Qur’an dan Sunnah, mereka akan kata mereka yang belajar Al-Qur’an dan Sunnah itu bodoh. Mereka akan suruh kita belajar lagi. Mereka akan kata kita tidak habis belajar lagi. Ini kerana mungkin mereka pun ada pengajian mereka (pondok, tarekat dan sebagainya) yang pada mereka lebih hebat lagi daripada belajar tafsir Al-Qur’an dan hadith Nabi.

Mereka rasa mereka sudah pandai kerana mereka telah belajar dengan banyak guru dan banyak sudah mentelaah kitab-kitab karangan manusia. Padahal mereka tidak sedar bahawa yang mereka belajar itu adalah ilmu yang salah kerana tidak berdasarkan Al-Qur’an dan sunnah.

 

أَلَآ إِنَّهُمْ هُمُ السُّفَهَاءُ

Ketahuilah, sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh

Allah ﷻ beritahu kepada kita siapa yang bodoh sebenarnya. Mereka yang telah silap pilih fahaman dalam agama, maka merekalah yang bodoh, bukannya orang lain yang belajar ilmu wahyu.

Di dalam ayat ini, Allah ﷻ gunakan istilah السُّفَهَاءُ. Agak keras bahasa yang digunakan oleh Allah ﷻ di sini. Memang kadangkala Allah ﷻ menggunakan istilah yang agak keras untuk mengajar. Ini mengajar kita, boleh gunakan istilah ‘bodoh’ tetapi sekali sekala lah sahaja. Sebagaimana Allah ﷻ pun bukan selalu gunakan, maka kita janganlah pula berlebihan, asyik panggil orang ‘boddo’, ‘boddo’ sahaja. Takut nanti terkena kepada diri kita sendiri pula.

 

وَلَـٰكِن لَّا يَعلَمُونَ

tetapi mereka tidak tahu;  

Mereka tidak sedar bahawasanya merekalah yang tidak berilmu. Walaupun orang-orang Munafik itu kata pengikut-pengikut Nabi ﷺ itu bodoh, namun sebenarnya merekalah yang bodoh, iaitu bodoh dan jahil dalam hal agama. Al-Qur’an yang benar pun mereka tidak mahu belajar. Mereka tidak boleh bezakan manakah nafsu dan mana wahyu. Yang mereka kejar adalah nafsu, bukannya wahyu.

Mereka tidak tahu perkara-perkara yang benar, kerana kalau hendak tahu, kena belajar. Namun mereka tidak mahu belajar.

Maka ini mengajar kita termasuk orang yang dipanggil ahli agama untuk banyak berfikir dan menggunakan akal yang waras. Jangan sangka diri terlalu pandai sampai tidak boleh ditegur. Janganlah pandang orang lain sebelah mata. Buka fikiran untuk menilai juga fahaman orang lain supaya kita tidak menuduh orang lain bodoh, sedangkan entah-entah kita yang bodoh. Jangan gunakan bahasa yang kasar menuduh orang lain bodoh, kerana entah-entah pandangan dia yang betul. Gunakan dalil dan hujah yang sahih untuk menilai dan berbincanglah jikalau ada fahaman yang berbeza. Contohnya ada puak yang tiada hujah tetapi setakat boleh kata: “Ini fahaman Wahabi!” Kita pun tertunggu-tunggu juga mana hujahnya selepas kutukannya itu, tetapi sampai ke sudah ‘krik’-‘krik’ sahaja.

Di dalam ayat sebelum ini digunakan kalimah لا يَشعُرُونَ sedangkan di sini digunakan pula لا يَعلَمُونَ kerana di sini hendak menidakkan pengetahuan ilmu agama mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 Julai 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment