Tafsir Surah Fatihah Ayat 7 [Bahagian 1] (Siapa orang-orang yang diberi nikmat)

Ayat 7:

صِرٰطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم وَلَا الضّالّينَ

Sahih International

The path of those upon whom You have bestowed favor, not of those who have evoked [Your] anger or of those who are astray.

Malay

Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

 

صِرٰطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ

Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah beri nikmat kepada mereka;

Sekarang kita masuk kepada ayat yang baru. Lihatlah lafaz ayat ini macam kita sedang bercakap dengan Allah, kerana digunakan kata ganti nama kedua – Engkau. Nanti kita akan lihat bagaimana apabila disebut tentang mereka ‘yang dimurkai’ dalam ayat seterusnya, ianya adalah dalam bentuk ayat pasif dan apabila menyebut tentang mereka ‘yang sesat’, ianya adalah dalam bentuk ayat aktif. Semua itu memberi pemahaman yang berbeza.

Ayat ini menjelaskan lagi apakah ‘jalan lurus’ seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini, supaya jelas dan tidak ada yang salah guna dan mendakwa jalan merekalah yang lurus. Memang ramai dalam dunia Islam yang kata merekalah jalan yang lurus. Jadi bagaimana kita nak tahu siapakah yang berada atas jalan yang lurus itu?

Allah mengajar dalam ayat ini untuk membandingkan dengan cara orang-orang dulu. Kerana mereka yang telah lalui jalan itu dan mereka telah mendapat pujian dari Allah.

Kalau kita lihat, ayat ini tidak memberitahu yang jalan yang lurus itu adalah Jalan Al-Qur’an dan Sunnah. Kenapa tidak begitu? Bukankah kalau kita berpegang kepada Al-Qur’an dan Sunnah, kita akan selamat? Tidak disebut begitu kerana kalau kata hanya ikut jalan Al-Qur’an dan sunnah, mungkin ada yang salah faham. Mungkin ada yang buat jalan sendiri dan kata mereka ikut Al-Qur’an dan Sunnah Nabi.

Berapa banyak yang sudah mendakwa begitu dengan memetik ayat-ayat Al-Qur’an dan hadis-hadis tapi mereka sebenarnya jauh dari jalan yang lurus? Mereka itu tidak berada atas jalan yang lurus kerana mereka faham Al-Qur’an dan Sunnah dengan cara mereka sendiri. Padahal kita sepatutnya mengikut jalan yang telah dilalui oleh golongan Salafussoleh – mereka yang berada dalam tiga kurun yang pertama selepas kebangkitan Islam.

Mereka yang belajar sendiri dengan Nabi Muhammad, dan mereka rapat dengan mereka. Sahabat belajar dengan Nabi, Tabein belajar dengan para sahabat dan Tabi’ Tabein belajar dengan Tabein. Maka, mereka lebih faham agama dari kita. Maka kita kenalah periksa sama ada amalan dan fahaman kita sama dengan cara yang mereka amalkan. Kerana ada yang buat cara sendiri tapi mendakwa mereka ikut Al-Qur’an.

Tapi mereka buang jalan Sunnah dan reka fahaman Al-Qur’an dengan cara mereka sendiri. Ini adalah salah sama sekali dan ramai yang telah tertipu dengan mereka. Lihatlah bagaimana ada puak yang hanya berpegang dengan Al-Qur’an tanpa berpegang dengan Hadis – golongan Anti-Hadis; lihatlah bagaimana Syiah kata mereka juga berpegang dengan Al-Qur’an dan Hadis, tapi mereka tafsir ayat Al-Qur’an ikut pemahaman mereka yang sesat dan mereka pilih dan reka hadis supaya kena dengan kehendak mereka.

Ingatlah bahawa yang kita hendak, bukan nak buat jalan yang baru. Jalan itu telah lama ada dan telah dilalui oleh golongan salaf yang sebelum kita. Maka apabila kita baca ayat ini dalam doa kita, kita sebenarnya minta Allah tunjuk apakah jalan itu. Kerana kita hendak capai jalan yang lurus itu dengan cara yang benar. Kita nak ikut cara mereka yang diberi ‘nikmat’. Bukan jalan yang salah dan sesat.

 

Apabila kita selalu membaca ayat ini, sepatutnya kita kena tertanya-tanya, siapakah ‘mereka’ yang dimaksudkan? Allah sudah beritahu yang kita ada contoh untuk kita ikut, takkan kita tak mahu tahu siapakah mereka? Kalau kita tidak teringin nak ikut cara mereka, maknanya kita tidak jujur dengan diri kita sendiri. Dan kalau nak ikut mereka, kenalah kita tahu siapa mereka, bukan?

Macam dalam dunia sekarang sebagai contoh, kalau ada artis yang disukai, tentu manusia akan cari macam-macam maklumat tentang artis pujaan mereka itu. nota: ini bukan suruh cari maklumat tentang artis, kerana itu adalah kerja bodoh dan buang masa sahaja. Cuma dijadikan sebagai contoh supaya lebih faham.

Kita nak tahu apakah sifat-sifat mereka yang Allah maksudkan dan apakah yang menyebabkan mereka berada di atas jalan yang lurus. Kerana apabila kita sudah tahu sifat-sifat mereka, kita bolehlah cuba ikut sifat-sifat itu, bukan?

Untuk mengetahui siapakah mereka dan sifat-sifat mereka, cara pertama adalah kita tengok dalam Al-Qur’an apakah yang Allah telah beritahu kita tentang mereka. Ini adalah tafsir Al-Qur’an dengan Al-Qur’an. Satu ayat dijelaskan dalam ayat-ayat lain. Inilah tafsir yang paling utama. Ulama’ tafsir akan mencari penjelasan ayat-ayat Al-Qur’an pada ayat-ayat Al-Qur’an yang lain dahulu.

Kalau tidak jumpa, baru dicari maksudnya dengan bersandarkan kepada Hadis yang sahih. Kerana kita kena terima mana-mana ayat Al-Qur’an dengan pemahaman dalam ayat lain. Kalau kita jumpa ayat yang nampak berlawanan dengan ayat-ayat lain, maka ketahuilah yang pemahaman kita salah kerana Al-ayat-ayat Qur’an tidak akan berlawanan antara satu sama lain.

Oleh itu, adakah ayat dalam Surah Al-Fatihah ini ditafsirkan dalam ayat lain? Sudah tentu ada. Ayat ini ditafsirkan dalam Ayat Nisa(4):69

وَمَن يُطِعِ اللهَ وَالرَّسولَ فَأُولٰئِكَ مَعَ الَّذينَ أَنعَمَ اللهُ عَلَيهِم مِنَ النَّبِيّينَ وَالصِّدّيقينَ وَالشُّهَداءِ وَالصّالِحينَ ۚ وَحَسُنَ أُولٰئِكَ رَفيقًا

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

Dalam ayat dari Surah an-Nisa’ ini, Allah memberitahu yang jalan yang lurus itu adalah ‘Taat kepada Allah’ dan ‘Taat kepada Rasul’. Inilah kunci pemahaman kepada jalan yang lurus.

Taat kepada Allah adalah taat kepada Al-Qur’an dan taat kepada Rasul merujuk kepada Sunnah Nabi. Untuk mencapainya, hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an untuk taat kepada Allah dan belajar syarah Hadis untuk taat kepada Rasul. Kerana kalau kita tidak belajar, bagaimana kita nak tahu apa yang kita perlu taati, bukan? Malangnya ramai yang mengaku taat kepada Allah dan Rasul tapi tak belajar pun apa benda yang mereka kena taat.

Lihatlah bagaimana perkataan yang sama digunakan dalam Surah Al-Fatihah – أَنْعَمَ اللهُ عَلَيْهِمْ. Jadi tahulah kita yang ayat ini mentafsir ayat ke 7 dari Surah Al-Fatihah itu.

 

Siapakah yang telah diberi nikmat itu?

Masih lagi kita syarah ayat Nisa:69 di atas. Selepas memberitahu definisi ‘Jalan yang Lurus’, Allah menyenaraikan siapakah orang yang telah diberi nikmat. Ada empat golongan yang disebut: Para Nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan Solehin.

Kita kena kenal mereka dan kena tahu apakah sifat mereka. Banyaklah yang telah disebut dalam Al-Qur’an dan hadis-hadis tentang mereka.

Yang pertama disebut adalah para Nabi. Kita tidak boleh menjadi Nabi tapi kita masih boleh mencontohi sifat-sifat mereka. Secara ringkasnya, para Nabi itu berdakwah menggunakan ayat-ayat Allah mengajak manusia kepada Allah. Mereka sanggup berkorban dalam menjalankan usaha mereka dan tidak putus asa dalam menyampaikan dakwah.

Kita pun kena jadi macam mereka juga kerana yang kita nak ikut adalah cara Nabi. Sebagai contoh, kita ikut cara Nabi Ibrahim. Seperti yang Allah sebut dalam An’am: 161

قُلْ إِنَّنِي هَدَانِي رَبِّي إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ دِينًا قِيَمًا مِّلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang betul lurus, (kepada) ugama yang tetap teguh, iaitu ugama Nabi Ibrahim yang ikhlas, dan tiadalah dia dari orang-orang musyrik”.

Bukan Nabi Ibrahim sahaja, tetapi kita kena ikut cara nabi-nabi yang lain, terutama sekali cara Nabi Muhammad kerana kita ikut syariat baginda. Nabi Muhammad pernah bersabda yang kalau Nabi Musa masih hidup lagi, Nabi Musa pun kena ikut syariat baginda. Kita tidak boleh ikut syariat Nabi lain tetapi akidah mereka kita kena ikut, begitu juga dengan akhlak mereka dan banyak lagi yang kita boleh contohi dari mereka.

Dan kemudian disebut orang-orang yang siddiqSiapakah mereka? Iaitu mereka yang membenarkan kebenaran apabila mereka mendengarnya. Iaitu orang-orang dahulu yang telah membenarkan Nabi-nabi. Mereka itu percaya sungguh dengan Allah dan Nabi. Mereka tidak berganjak dari pegangan mereka walaupun diuji.

Sebagai contoh, lihatlah Abu Bakr. Ada musyrikin yang datang kepada beliau dan mengejek yang Muhammad kata baginda sudah mi’raj ke langit, dan tanpa ragu, beliau terima kalau Nabi kata begitu. Mereka datang nak lemahkan pegangan Abu Bakr, nak dia rasa sangsi kepada Nabi, tapi tidak.

Mereka juga sanggup berkorban apa sahaja atas nama Allah. Kerana kalau pendirian kita tetap, kita akan sanggup korbankan segalanya termasuk nyawa sendiri. Kerana kita percaya akhirat itu benar. Apa-apa sahaja yang kita korbankan, kita kena yakin yang kita akan dapat balik dengan lebih banyak di akhirat nanti. Lihatlah bagaimana Abu Bakr menyerahkan segala hartanya atas jalan Allah. Apabila ditanya apa yang tinggal untuk dirinya, dia jawab: Allah dan Rasul!

Zaman sekarang, orang siddiq itu adalah, apabila telah diberitahu bahawa apa yang mereka amalkan itu salah contohnya, mereka terima dan mereka membenarkan kerana yang memberitahu itu telah membawakan dalil-dalil dari Al-Qur’an dan Sunnah. Padahal, berkemungkinan mereka pun buat juga. Tapi apabila kebenaran telah datang, mereka membenarkan dan menerimanya.

Bermakna mereka menerima dalil dari Al-Qur’an dan Hadis. Tidak menolak lagi walaupun dahulunya mereka telah buat juga amalan yang salah itu. Dia percaya bahawa kalau ianya datang dari Al-Qur’an dan hadis Nabi, tentulah ianya adalah kebenaran. Contohnya Abu Bakr as Siddiq, apabila orang memberitahu bahawa Nabi Muhammad telah naik ke langit, dia telah membenarkan kerana Nabi yang berkata dia telah naik ke langit.

Dan ketiganya disebut: orang-orang yang bersaksi; Iaitu orang-orang yang mati Syahid. Dia telah berjihad fi sabilillah supaya orang kafir berhenti dari sembah berhala. Bermakna, dia juga telah menyebarkan agama. Sama ada dengan cara jihad perang atau jihad menggunakan mulut.

Dia juga akan termasuk dalam golongan orang yang bangkit di hadapan Allah nanti dan bersaksi siapakah yang menerima dakwahnya semasa di dunia dulu dan siapakah yang menolak. Dan Nabi Muhammad sendiri akan bersaksi bahawa dia telah menyebarkan agama Allah. Tidakkah kita mahu Nabi Muhammad menjadi saksi kita? Maka berpegang teguhlah dengan ajaran Islam yang benar dan sebarkan ajaran itu.

Mereka itu beruntung kerana Allah pilih mereka. Ramai yang mahu mati syahid, tapi tidak semua dapat. Sebagai contoh, Khalid al Walid banyak sekali berjihad di jalan Allah, tapi beliau tidak dapat mati semasa berperang, tapi mati di katil rumahnya.

Satu lagi sifat golongan ini, mereka juga sanggup berkorban, sampaikan mereka sanggup berkorban nyawa mereka sekali pun. Ini kerana mereka percaya dengan janji Allah yang akan membalas segala pengorbanan mereka itu.

Dan keempat dan akhir sekali disebut: orang-orang yang soleh; iaitu orang-orang yang taat kepada Allah dengan melakukan suruhan dan meninggalkan laranganNya. Inilah dia orang-orang Mukmin. Untuk kenal siapakah orang mukmin, contoh terbaik adalah para sahabat Nabi. Kerana Nabi sudah kata mereka adalah ahli syurga.

Di hujung ayat ini, Allah memberitahu bahawa merekalah yang sepatutnya kita jadikan sebagai ikutan kita, bukannya artis, ahli sukan atau pemimpin politik di dunia. Ini penting kerana manusia memang akan ada ikutan atau idola mereka. Jadi kita kena pandai memilih orang yang menjadi ikutan kita. Jangan salah pilih pula.

Ingatlah bahawa Nabi pernah bersabda bahawa kita akan dibangkitkan dengan orang yang kita cintai. Adakah kita hendak dibangkitkan bersama dengan golongan dalam surah an-Nisa ini atau bersama dengan artis, ahli sukan dan pemimpin politik?

قِيلَ لِلنَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – الرَّجُلُ يُحِبُّ الْقَوْمَ وَلَمَّا يَلْحَقْ بِهِمْ قَالَ الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ

Ada yang berkata pada Nabi SAW, ‘Ada seseorang yang mencintai suatu kaum, namun dia tak pernah berjumpa dengan mereka.’ Nabi SAW  lantas bersabda, ‘Setiap orang akan dikumpulkan bersama orang yang ia cintai.’” (HR Muslim  no:  2640)

Maka kita sudah tahu apakah syarat jalan yang lurus dan siapakah contoh ikutan kita. Kalau sudah tahu apakah sifat mereka, sanggupkah kita ikut? Kalau tidak mampu, sekurangnya kenalah ada niat untuk mengikut cara mereka. Kerana kita mungkin tidak berkorban macam mereka, tapi dalam hati kita, kena ada niat untuk cuba dan kita lakukan sedikit sebanyak.

Allah telah memberikan rahmatNya kepada kita, kita mungkin tidak perlu melalui apa yang para Nabi Nabi itu lalui. Sebagai contoh, kita tidak perlu sampai sembelih anak kita sendiri seperti yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim.

Kita juga tidak dalam suasana perang sekarang, jadi tidak perlu berperang dan mungkin pada sesetengah orang, tidak ada peluang untuk berperang. Kerana untuk berperang dan berjihad, kena ada syarat-syaratnya. Bukan boleh terus sahaja bunuh orang kafir.

Ramai yang mempunyai fahaman salah tentang Jihad, sampaikan mereka pergi ke tempat-tempat awam orang kafir dan bom mereka. Padahal yang sepatutnya dilakukan adalah dakwah kepada mereka, bukan bom terus. Adakah patut, mereka belum tahu tentang Islam lagi, tapi kita terus bom mereka?! Kebodohan manusia memang tiada hadnya!

Dalam ayat ini, kita disuruh untuk menyebut contoh orang-orang yang Allah telah kurniakan nikmat kepada mereka. Dalam kehidupan ini, kita selalu mengambil orang-orang yang sebelum kita sebagai contoh teladan untuk diikuti. Kerana itu bahasa yang digunakan dalam ayat ini adalah ‘past tense’. Iaitu orang-orang yang sudah lepas.

Ini adalah kerana orang-orang yang sudah lepaslah yang boleh diikuti. Kalau orang-orang yang ada sekarang, belum tentu mereka akan selamat lagi. Kita tak tahu apa nasib mereka di hujung hayat mereka.

Jadi, orang-orang yang diberi nikmat itu telah diberitahu oleh Allah dalam surah an-Nisa. Itu adalah tafsir pertama.

 

Tafsir kedua, ‘orang-orang yang telah diberi nikmat’ itu bermaksud ‘orang mukmin’. Iaitu merujuk kepada Nabi Muhammad dan yang bersama baginda. Dan orang mukmin itu bukan hanya pada zaman itu sahaja, ianya akan ada pada setiap zaman. Maka, kita kena cari siapakah mereka dan kita kena bersama dengan mereka mengamalkan Islam ini.

Seperti yang kita sudah beritahu, jalan yang lurus itu sudah dilalui oleh golongan-golongan sebelum kita. Sudah ramai orang yang lalui jalan itu, maknanya, kita ada golongan yang boleh kita ikut mereka. Apabila dikatakan kita kena ikut mereka, maknanya, bukan kita faham agama ini ikut faham kita sendiri sahaja.

Sebab itu apabila kita memperkatakan tentang ‘jalan yang lurus’, kita tidak hanya kata ianya jalan Al-Qur’an dan sunnah sahaja. Kena ditambah, jalan Al-Qur’an dan Sunnah seperti yang difahami oleh golongan sebelum kita – golongan salafussoleh. Kerana mereka telah melaluinya dan Allah telah kata mereka yang telah mendapat nikmat.

Sebagai contoh, untuk faham apa yang hendak disampaikan dalam Al-Qur’an, kita kena belajar. Tak boleh baca dan faham sendiri. Tapi entah berapa ramai yang mengaku mereka itu benar. Jadi itu adalah perasan sendiri sahaja.

Tiga golongan (siddiqin, syuhada’ dan solehin) yang disebut dalam Surah an-Nisa’ sebelum ini akan sentiasa ada sampai kiamat. Hanya Nabi sahaja yang tidak akan sesiapa yang boleh jadi lagi. Apabila ada yang telah mati, Allah akan ganti dengan orang lain. Kecuali para Nabi sahaja, kerana Nabi terakhir adalah Nabi Muhammad.

Tetapi para siddiqin, syuhada’ dan solehin akan sentiasa sahaja ada di setiap zaman. Maka kita kena cari mereka dan bergaul dengan mereka, belajar dengan mereka. Tiga golongan itu pasti ada kerana Allah takkan bagi Al-Qur’an dan tidak beri guru untuk mengajarnya. Kerana Allah mahu kita faham Al-Qur’an. Kalau dulu, Nabi yang ajar para sahabat. Kemudian para sahabat ajar para tabein.

Dan tabein ajar golongan tabi’ tabein dan seterusnya zaman berzaman. Sekarang, kita lihat belajar apa kata ulama’. Dan kena lihat bagaimana diamalkan oleh golongan-golongan itu. Memang mereka itu tidaklah jelas kelihatan kerana mereka bukannya para selebriti, jadi kena buka mata dan cari mereka.

Jadi, kena belajar dengan mereka. Kerana kita takkan faham sendiri. Cuma kena pandai cari guru. Kena pandai nilai manakah guru yang ajar dengan benar. Kita kena kritis dalam perkara ini. Jangan pakai terima sahaja semua ustaz kerana ada ustaz yang tidak belajar tafsir pun. Kerana banyak ajaran sesat sekarang. Mereka juga mengaku mereka bawa ajaran Al-Qur’an dan Sunnah.

Tapi entah berapa banyak yang mengaku, tapi dalam masa yang sama, mereka merosakkan agama dan manusia. Sekarang ini banyak yang mengaku dan mendakwa yang mereka berada di atas jalan yang lurus. Bagaimana kita nak tahu mana satu? Ayat ini beri jawapan, iaitu kena ikut golongan yang telah disebut.

Dalam hadis, Nabi ada sebut untuk ikut sunnah baginda dan sunnah Khalifah Rasyidin al Mahdiyyin. Berikut adalah potongan dari hadis itu:

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ…

“…berpeganglah kamu dengan sekalian dengan sunnahku dan sunnah Khalifah al-Rasyidin yang berada di atas petunjuk…” Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani

Kalimah الرَّاشِدِينَ adalah mereka yang tahu apakah kebenaran itu dan ikut amalkan kebenaran itu. Ini penting kerana ada yang tahu apakah kebenaran tapi mereka tak ikut.

Kalimah الْمَهْدِيِّينَ pula bermaksud mereka yang terpimpin, lawan kepada ضلل (sesat). Dua-dua sifat ini adalah lawan kepada dua sifat yang juga disebut dalam Surah Al-Fatihah – yang dimurkai dan sesat. غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ. Lafaz الرَّاشِدِينَ lawan kepada الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ dan الْمَهْدِيِّينَ lawan kepada الضَّالِّينَ. Kita akan belajar tentang dua golongan ini nanti dalam ayat yang seterusnya.

Siapakah mereka? Ramai yang kata mereka yang dimaksudkan adalah empat orang Khalifah selepas Nabi Muhammad sahaja – Saidina Abu Bakr, Umar, Uthman dan Ali. Ini mungkin tidak berapa tepat. Makna yang lebih luas adalah, mereka itu adalah umat yang selepas Nabi dan mengikut jalan Nabi.

Ini memberi makna yang lebih luas. Sahabat menjadi contoh kita, jadi kena lihat bagaimana mereka amalkan agama. Kena ada usaha untuk cari maklumat. Yang penting, kita kena ada niat untuk mengikut mereka. Kalau kita sudah ada niat yang murni, tentu kita akan berusaha untuk mencari maklumat bagaimana mereka mengamalkan agama.

Kalau kita sudah melakukan yang terbaik, sudah berusaha setakat yang kita mampu, kalau kita tersilap, mungkin Allah ampunkan kerana kita bukannya tidak ada usaha, cuma tersilap sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya.

Kemaskini: 12 Oktober 2019


Rujukan: 

Jamal Zarabozo

Nouman Ali Khan

 

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

4 thoughts on “Tafsir Surah Fatihah Ayat 7 [Bahagian 1] (Siapa orang-orang yang diberi nikmat)”

  1. Assalamualaikum tuan Ustaz.
    Saya pohon izin untuk mencetak tafsiran surah al Fathihah khasnya, dari blog tuan, untuk diedarkan kepada penuntut kelas Bahasa al Quraan (bahasa Arab), yang saya sedang ajarkan kepada orang² dewasa disurau tempat saya di Puchong Selangor.

    Harap mendapat keizinsn tuan Ustaz.
    جزكالله خير.

    Like

      1. Assalamualaikum ustaz.. Bolehkan kalau saya mahu salin tafsir ini dengan tangan saya. Saya mahu bukukan utk manfaat saya dah keluarga.. Syukran ustaz

        Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s